Isnin, 27 Disember 2021

BENCANA ALAM : RAKYAT PERLUKAN BANTUAN, BUKAN LAKONAN

 

Seyogianya seluruh rakyat Malaysia melahirkan rasa berduka cita dan simpati diatas musibah banjir yang melanda beberapa negeri dalam tempoh hari. Meskipun zahirnya keadaan semakin terkawal, namun tiada ungkapan yang boleh kita gambarkan gelora kesedihan dan kepiluan yang sedang memuncak di jiwa mereka yang terlibat sesudah pulang ke rumah untuk membersihkan kawasan. Bagai hilang separuh nyawa, keadaan getir ini perlu dihadapi dan ditelan jua.

Kita sangat bertuah kerana berada di bumi Malaysia. Selain keunikan tersendiri Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat kaum, agama dan bangsa, Malaysia juga begitu kaya dengan rakyatnya yang bersifat pemurah sehingga merentasi perbezaan agama dan bangsa. Apa yang kita saksikan selama tempoh musibah banjir ini melanda, rakyat Malaysia telah pun berjaya sebenarnya merealisasikan aspirasi negara dibawah slogan "Keluarga Malaysia". Sikap mulia membantu orang lain yang berada dalam kesusahan ini merupakan sebahagian tuntutan dalam Islam. Sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barangsiapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat".




Pun begitu, dalam kita bersemangat menghulurkan pelbagai bantuan dan pertolongan, kita tidak boleh memadam api kemarahan dan kekecewaan sebahagian mereka yang ditimpa musibah terhadap pentadbiran kerajaan baik negeri mahupun persekutuan dalam usaha menguruskan bencana ini. Banyak persoalan dan keraguan rakyat terhadap pihak pengurusan bencana negara yang tidak terungkai dengan baik oleh pihak kerajaan. Kegagalan ini juga lebih mendalam parah dan lukanya apabila beberapa kenyataan dan tindakan para menteri yang agak "kurang bijak" menafikan itu ini dan lain-lain.

Seingat kita semua, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada 5 Oktober 2021 di perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. Pelancaran tersebut sudah tentu membawa sebuah signifikan kesiapsiagaan jentera pengurusan bencana negara yang melibatkan pelbagai agensi dibawahnya seperti Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain.

Namun demikian, ketentuan Allah telah melebihi segala perancangan dan persediaan para hamba Nya. Seharusnya kita perlu akur akan ketentuan ini dan ianya adalah sebuah pelajaran dan pengalaman terbaik untuk kita mengamatinya. Begitu pun hal itu berlaku, pihak kerajaan tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga. Perlu tampil dengan polisi dan dasar yang benar-benar boleh membantu dan meringankan beban rakyat. Bukannya datang dengan penuh wakil-wakil media, kemudiannya diambil gambar sana sini. Perkara demikian bukan sahaja tidak dapat meredakan kemarahan rakyat malah sebaliknya menambah lagi rasa marah dan jelek dengan pihak kerajaan.




Sebenarnya, apa yang telah mengundang kemarahan dan kekecewaan rakyat pada kerajaan adalah lebih menjurus kepada persoalan pengurusan bencana yang agak kelam-kabut dan berkecamuk. Setelah berjuta-juta peruntukan diberikan kepada NADMA, sebuah badan khas pengurusan bencana, dilancarkan pula bulan khas siapsiaga, tetapi hasilnya sangat lemah dan menghampakan. Kehendak rakyat sudah tentu bukannya hendak sangat para menteri turun ke sana sini. Jika tujuan para menteri turun ke padang untuk sekadar bertanya khabar, tolong mencuci sana sini, tanpa syarat perlu jadi menteri pun, rakyat sudah dan telah lakukannya.

Apa yang lebih mustahak adalah kerajaan perlu tampil dengan bentuk polisi bantuan yang boleh dihulurkan sebagai sokongan kepada mereka yang diuji demi sebuah perjuangan meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, pada hemat diri ini, pihak kerajaan tanpa perlu mengeluarkan kenyataan yang meloyakan rakyat, ada baiknya juga pihak kerajaan perlu ambil segala kritikan dan luahan ketidakpuasan hati rakyat ini sebagai muhasabah para menteri. Dengan mengambil sikap yang luhur, tiada salahnya jika pihak kerajaan memohon maaf kepada rakyat dan mengakui akan kekhilafan ini. Bukannya terus tunding-menunding jari sana-sini.

Kepada mereka yang bergelar pemimpin, ingatlah amaran Nabi SAW kepada setiap mereka yang bergelar pemimpin, yang menggalas tanggungjawab menguruskan hal umat. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga".




Hadith ini merupakan suatu amaran dan peringatan oleh baginda kepada semua yang bergelar pemimpin. Sedarlah Yang Berhormat, rakyat memilih anda kerana kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kepimpinan dan kewibawaan yang ada pada Yang Berhormat. Namun jika inilah kualiti para pemimpin yang ada, sambil lewa membantu, turun padang pula, bergambar lebih banyak dari bekerja, hadaplah kekecewaan rakyat dengan redha dan jauh lebih dasyat, jika masih mahu berlakon di hadapan rakyat, terimalah ancaman Allah mengharamkan syurga.

Oleh itu, redakanlah kemarahan dan kekecewaan ini dengan polisi dan dasar yang membantu mereka untuk meneruskan hidup. Sebaliknya janganlah membebankan rakyat dengan pelbagai karenah birokrasi yang menjengkelkan. Usahlah berlakon untuk menjadi hero dan heroin. Setiap babak lakonan yang ditonjolkan itu sedikit pun tidak dapat memadamkan kedukaan rakyat. Disaat getir ini, rakyat lebih memerlukan bantuan, bukannya lakonan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

SALAHKAH MEMILIKI PERASAAN CINTA SEBELUM BERKAHWIN ?

 

Perasaan cinta merupakan salah satu anugerah Allah SWT kepada setiap para makhluk Nya. Ianya juga menjadi bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT yang menjadikan cinta menyatukan antara satu sama lain. Bagaikan udara yang dihirup, perasaan cinta merupakan pelengkap hidup yang menjadikan kita manusia yang normal. Tanpa cinta, tidak sempurna lah kehidupan sebagai seorang manusia.

Kerana cinta, kita mengenal pencipta. Kerana cinta, kita mengenal Rasulullah, kerana cinta, kita mengenal siapa diri kita, dan kerana cinta, kita dilahirkan ke dunia. Maksud cinta sangatlah subjektif. Ianya bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Sebahagian manusia, memaknai cinta dengan perbuatan, sebahagiannya pula memaknai cinta dengan pertuturan. Pelbagai definisi dan makna cinta yang akan kita temui terletak kepada bagaimana kita memandangnya.




Persoalan besar yang seringkali bermain di minda kebanyakan orang muda adalah soal apakah Islam melarang perasaan cinta sebelum kahwin ? Adakah menjadi suatu kesalahan dan berdosa andai kita telah jatuh cinta kepada seseorang ? Bagaimana untuk menzahirkan rasa cinta jika benar cinta sebelum kahwin di larang oleh Islam ? Demikianlah dilema yang seringkali membelenggu orang muda untuk menzahirkan rasa cintanya pada seseorang. Sehingga sebahagian masyarakat yang "kuat beragama" memandang cinta sebelum kahwin adalah suatu yang menjijikkan.

Sebenarnya, pemahaman cinta yang kebanyakan masyarakat faham adalah seperti apa yang telah dihidangkan oleh pihak barat. Cinta yang dilihat seperti jijik itu adalah merupakan dimensi cinta yang dipromosi oleh budaya barat. Bagi mereka, cinta hanyalah sebuah alat untuk mencapai tujuan seks semata-mata. Seperti yang dipromosikan oleh barat kepada masyarakat melalui filem, drama dan sebagainya, perasaan cinta dilihat seperti tidak baik dan tidak senonoh. Walhal, perasaan cinta adalah salah satu tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 235 yang bermaksud :

"Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara kiasan) untuk meminang perempuan (yang dalam idah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain daripada menyebutkan kata-kata (secara kiasan) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar".

Berdasarkan ayat ini, beberapa perkara boleh kita ambil faham tentang maksudnya. Menerusi ayat ini, kita fahami bahawa Allah melarang para lelaki meminang wanita yang berada dalam idah kematian suaminya. Larangan meminang wanita yang masih berada dalam tempoh idahnya sudah tentu mempunyai banyak maslahah terutamanya membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Pun begitu, Allah tidak melarang untuk para lelaki meminang wanita tersebut selepas habis idahnya.




Pada masa sama, Allah juga tidak melarang kita berkeinginan menyimpan perasaan cinta dan selalu teringat akan orang yang kita cintai. Kerana demikianlah fitrah bagi seseorang manusia yang normal. Bezanya, kita dilarang cinta kepada sesama sejenis seperti yang disebutkan sebagai gay, lesbian dan sebagainya. Bahkan pada zaman Nabi SAW, baginda Nabi pernah melahirkan rasa simpati kepada Mughith yang merupakan bekas suami Barirah yang mana beliau masih mencintai isterinya itu. Perkara ini diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari, daripada Abdullah bin 'Abbas, katanya yang bermaksud :

"Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir di janggutnya. Nabi SAW berkata kepada 'Abbas : "Wahai 'Abbas, tidaklah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith ?' Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah) : 'Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya.' Barirah berkata : 'Apakah engkau memerintahkan ku ?' Nabi SAW bersabda : ' Aku hanya mencadangkan.' Kata Barirah : 'Aku tidak memerlukan dia."

Berdasarkan kisah ini, baginda Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta kepada bekas isterinya, Barirah. Malah baginda Nabi SAW bersimpati dengan apa yang menimpa Mughith. Baginda cuba memujuk Barirah, namun Barirah tidak mahu. Demikianlah tiada paksaan dalam cinta. Oleh kerana itu, tidaklah salah bagi seseorang menzahirkan rasa cinta pada seseorang selagi mana hal itu tidak melanggar syarak. Untuk mengungkapkan cinta kepada seseorang, tiadalah salahnya. Begitu juga menyimpan perasaan cinta pada seseorang, tiadalah salahnya. Malah hal itu menunjukkan bahawa hidup kita berdiri diatas normal kehidupan.




Cumanya, perkara yang dilarang adalah perbuatan zina. Yang dimaksudkan dengan zina adalah seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, berpegangan tangan sebelum bernikah, bercumbuan, berkelakuan seperti sudah bernikah, hal inilah yang dilarang oleh Islam. Adapun bercinta sebelum nikah yang masih mempunyai jarak antara lelaki dan perempuan, menjaga dan memelihara adab pergaulan, maka hal itu merupakan fitrah manusiawi. Menghalang fitrah, boleh mengundang kepada kemaksiatan yang lebih besar. Bahkan ianya tidak mustahil, jika kita terus berfikiran sempit, menghalang perkenalan antara lelaki dan perempuan, boleh menyebabkan timbul kecenderungan suka sejenis kerana fitrah asalnya telah dihalang.

Agama Islam tidaklah sesempit demikian. Islam agama yang luhur, yang meraikan fitrah manusia yang suka mencintai dan dicintai. Oleh kerana itu, syariat datang untuk memandu diri manusia bagi menyalurkan perasaan yang mulia ini ke tempat yang dibenarkan oleh agama. Mempunyai perasaan cinta, timbul kecenderungan untuk mencintai seseorang yang kita minat dan suka, tidaklah berdosa. Asalkan perasaan itu kita disemai dengan syariat, disulam dengan adab. Islam tidak mengharamkan perasaan cinta. Yang ditentang dan ditegah adalah perbuatan zina dan mendekati zina. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Ahad, 19 Disember 2021

BILA UJIAN MUSIBAH DATANG MENYAPA

 

Sebahagian manusia apabila melihat sesuatu musibah bencana datang melanda, tidak kurang daripadanya ada yang mengajak untuk kembali bermuhasabah diri. Ada juga yang mencela dengan mengatakan itulah azab balasan bagi orang yang melakukan dosa. Tidak kurang juga, segelintirnya gemar membuat teori itu ini mengaitkan dengan angka dan digit tertentu dan ada juga yang mengaitkannya dengan tanda-tanda kiamat dan akhir zaman.

Pertamanya, adalah lebih baik sekiranya kita terlebih perlu memahami dan meneliti firman Allah SWT dalam surah al Ankabut ayat 2 yang bermaksud :

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi ?".




Melalui ayat ini, biarpun sekadar sebuah lontaran pertanyaan kepada kita namun intipati ayat ini membawa makna dan hikmahnya yang menjentik hati bagi mereka yang mahu berfikir. Ujian bukan sahaja dalam bentuk kesusahan, kesukaran dan selainnya tetapi kesenangan, kesihatan yang baik, kemewahan harta benda juga merupakan suatu ujian dari Allah. Untuk itu, adalah tidak adil untuk kita menyimpulkan bahawa bagi mereka yang diuji dengan musibah bencana dan malapetaka adalah merupakan petanda kemurkaan Allah SWT.

Dalam situasi getir berhadapan dengan ujian musibah dan bencana ini, adalah menjadi keutamaan bagi kita untuk menghulurkan bantuan dan menzahirkan perasaan simpati dan berdukacita dengan apa yang berlaku. Menghulurkan bantuan bukan sahaja terletak pada nilai wang ringgit, memberikan kata-kata semangat, mendoakan mereka juga sebahagian bentuk sedekah yang boleh kita hulurkan. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam".

Hadith ini menjelaskan perumpamaan bagaimana sewajarnya sikap yang perlu diambil ketika melihat saudara seakidah kita dilanda dengan ujian musibah. Membantu, bukan membuntu. Menolong dan bukan sebaliknya menghukum. Sekiranya tidak mampu memberikan wang ringgit, berilah kata-kata semangat, motivasi dan nasihat yang baik untuk mereka terus cekal dan tabah. Sekiranya tidak mampu juga, berdoalah untuk mereka agar dipermudahkan urusan. Inilah keutamaan yang perlu kita praktikkan dan bukannya menghentam sana-sini.




Keduanya, sesuatu ujian musibah yang terkena kepada kita pasti ada hikmah disebaliknya. Ianya sudah pasti ada nilai yang akan diperolehi setimpal dengan tahap keimanan kita. Bagi golongan orang beriman yang diuji, kesabaran mereka pasti memperoleh balasan syurga dan penghormatan oleh Allah diberikan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Furqan ayat 75 yang bermaksud :

"Mereka itu akan diberi balasan syurga dengan tempat yang tinggi (dalam syurga) atas kesabaran mereka, dan disana mereka akan disambut dengan penghormatan dan salam".

Syeikh al Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunnatullah yang tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan kekuasaan. Demikian pernyataan Syeikh al Saadi menjelaskan bagaimana sikap orang beriman ketika berhadapan dengan ujian kesusahan dan kesukaran. Pastinya dirinya teruji dengan penuh kesabaran. Dan beruntunglah orang-orang yang bersabar.

Bagi golongan orang yang baik tetapi terlanjur berbuat dosa, sudah tentu ujian musibah ini adalah kaffarah bagi diri mereka untuk kembali memperbaiki setiap kekurangan dalam diri. Ianya bukan suatu balasan azab Allah tetapi sebaliknya menjadi sebuah kaffarah peluang untuk menghapuskan dosa. Sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah menimpa seseorang muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekalipun melainkan Allah SWT akan menjadikan semua itu sebagai penghapus kepada dosa-dosanya".




Manakala bagi golongan yang ingkar dan enggan taat perintah Allah, sudah pasti ujian musibah yang melanda mereka adalah sebuah bala balasan daripada Allah SWT. Hal ini seperti firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al An'am ayat 44 yang bermaksud :

"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan)."

Demikianlah bagaimana Allah membalas setiap para hamba Nya berdasarkan bagaimana keadaan kita berhadapan dengan ujian Nya. Ujian itu sangat penting dalam kehidupan. Ianya barangkali menjadi asbab kita akur dengan kebesaran Allah dan barangkali ianya juga boleh menjadi asbab kita dihukum oleh Nya. Persoalan yang lebih besar adalah tentang bagaimana sikap yang diambil oleh kita ketika berhadapan dengan ujiannya. Kita yang kadangkala terasa seperti tidak diuji, juga sebenarnya diuji oleh Allah dengan perasaan merasa diri baik kerana tidak diuji dan sebagainya. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

Khamis, 16 Disember 2021

KERAHMATAN ISLAM MERAIKAN BUDAYA DAN ADAT

 

Islam merupakan agama fitrah yang meraikan hak-hak manusia dalam berkehidupan. Bahkan, kedatangan Islam telah memberikan banyak manfaat kepada manusia khususnya dalam mengatur urusan kehidupan. Hal ini kerana Islam membawa suatu cara kehidupan yang lengkap dan sempurna sesuai dengan naluri dan kehendak sebagai seluruh manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Saba' ayat 28 yang bermaksud :

"Dan Kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita dan sebagai pemberi peringatan".

Berdasarkan firman Nya ini, Islam tidaklah diturunkan dengan mempromosikan budaya dan tradisi sesuatu bangsa dan kaum. Ini juga bermakna keislaman seseorang bukanlah terletak dan terpaut pada apa bangsa dan kaumnya bahkan merentasi semua agama, budaya dan adat. Maka kedatangan Islam secara menyeluruh menyeru semua manusia baik apa pun agama dan kaumnya, meski berbeza budaya dan adatnya, selagi hal perbezaan itu tidak bertentangan dengan syarak, maka agama mengizinkannya.




Kita boleh lihat bagaimana baginda Nabi SAW yang berbangsa dan berketurunan arab, meraikan kebiasaan sesuatu kaum selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik, yang bermaksud :

"Apabila Nabi SAW ingin menulis surat ke Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas : "Seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan baginda berukir Muhammad Rasulullah".

Berdasarkan hadith ini, kita dapat melihat bagaimana baginda Nabi SAW meraikan kebiasaan sesuatu kaum seperti bangsa Rom yang tidak membaca surat kecuali padanya terdapat cop, maka baginda meraikan hal itu selagi mana tidak bercanggah dengan syarak. Sikap baginda Nabi yang meraikan hal itu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada kita supaya tidak jumud dalam sesuatu perkara selagi hal itu boleh diraikannya.

Demikiannya Islam. Tujuan utama kedatangan Islam adalah untuk membebaskan para manusia daripada menjadi hamba berhala yang langsung tidak dapat memberi manfaat dan mudharat. Islam datang dengan tujuan untuk membebaskan manusia dari mensyirik dan mempersekutukan Allah. Pada masa sama, budaya dan adat tradisi yang baik, yang secara dasarnya tidak berlawanan dengan prinsip Islam, maka ianya diharuskan untuk kita laksanakan.




Sebagai contoh, adalah menjadi budaya orang Melayu untuk berpakaian baju melayu serta bersampin, ditambah pula dengan pemakaian songkok, ianya suatu budaya yang baik dan tidak menyanggahi syarak. Pemakaian baju melayu bersampin, bukanlah pakaian rasmi bagi orang Islam, tetapi sebaliknya ia hanya budaya dan adat tradisi orang Melayu. Demikian juga bagi bangsa arab, menjadi kelaziman bagi mereka memakai jubah dan serban. Pemakain itu tidaklah melambangkan ianya pakaian rasmi Islam sebaliknya ianya hanyalah pakaian budaya dan adat tradisi bangsa arab.

Baginda Nabi SAW juga tidak ketinggalan untuk memakai pakaian selain daripada kebiasaan pakaian budaya dan tradisi bangsa arab. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada al Mughirah bin Su'bah, yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW memakai jubah Rom - dalam sebahagian hadith disebut jubah syamiah (negeri Syam) - yang sempit kedua-dua tangan bajunya".

Melihat akan sikap keterbukaan dan keraian baginda Nabi yang pernah mengenakan pakaian jubah Rom, telah mengajar kita bahawa Islam tidak datang untuk tujuan menghapuskan budaya dan adat tradisi kaum bahkan Islam menggalakan kita untuk saling mengenali antara satu sama lain dan meraikan sesuatu budaya dan adat tradisi selagi hal itu tidak berlawanan dengan prinsip Islam.




Oleh itu, orang Islam yang mengenakan baju melayu bersampin dan bersongkok, bukan bermakna dirinya lebih Islam dari orang lain. Begitu juga pada mereka orang Islam yang memakai jubah dan serban, bukanlah bermakna dirinya lebih Islam dari orang lain. Sebaliknya ia hanya sekadar budaya dan adat tradisi yang diharuskan oleh Islam. Termasuk juga makan ketupat di pagi raya, memberi duit raya dan ziarah menziarahi di hari raya, ianya merupakan budaya dan adat yang diraikan oleh Islam kerana semua amalan tersebut sudah menjadi sebahagian tuntutan dalam agama Islam.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahawa :

"Rasulullah SAW itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua-dua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat daripada kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai pakaian buatan Qibti Mesir yang ditenun daripada kattan. Maka bererti sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini pelbagai, berdasarkan kepelbagaian negeri".

Demikianlah bagaimana Islam datang membawa kerahmatan kepada seluruh manusia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Untuk itu, dapat kita fahami bahawasanya Islam sangat meraikan budaya dan adat tradisi sesuatu kaum selagi mana hal tersebut tidak membawa kepada pelanggaran hukum syariat Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

 

Ahad, 12 Disember 2021

BERDAMAILAH DENGAN TAKDIR

 

Takdir adalah salah satu tuntutan wajib bagi orang Islam untuk beriman padanya yang juga disebutkan sebagai qada' dan qadar. Dalam al Quran, terdapat beberapa definisi takdir yang disebut oleh Allah SWT dalam beberapa melalui firman Nya. Antara makna yang disebutkan oleh Allah SWT, takdir itu adalah segala sesuatu yang terjadi diatas ketentuan Nya. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah ar Ra'd ayat 8 yang bermaksud :

"Dan setiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi Nya dengan kadar yang tertentu"

Juga dalam ayat yang lain, Allah SWT menyebutkan bahawa takdir itu adalah sesuatu yang diciptakan dengan jalan takdirnya. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Qamar ayat 49 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)".

Dalam al Aqaid Islamiyah, Imam Nawawi memberikan makna kepada takdir sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syeikh Syed Sabiq :

"Sesungguhnya segala yang maujud ini telah digariskan oleh Allah sejak zaman qidam Dia Maha Mengetahui apa sahaja yang terjadi dalam waktu-waktu yang ditentukan, sesuai dengan garis yang telah ditetapkan Nya. Terjadi sesuatu itu pasti tepat menurut sifat-sifat keadaan yang khusus seperti yang telah digariskan oleh Allah".




Secara mudah, takdir adalah sebuah ketetapan dan peraturan azali yang dibuat oleh Allah SWT sebagai yang Maha Mencipta kita. Pada takdir itu juga mempunyai undang-undang yang umum yang terkait dengan persoalan asbab dan musabab dalam kehidupan para hamba Nya. Oleh itu, sebagai orang yang beriman, kita wajib beriman dengan takdir Nya yang sudah ditentukan atas kehendak Nya yang Maha Berkuasa.

Mengajak diri untuk berdamai dengan takdir bukanlah bermakna kita perlu berputus asa dan lari daripada berusaha. Bahkan sikap berputus asas dan malas berusaha adalah suatu sikap yang ditentang dan dilarang oleh agama. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Bukhari, daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW menyebut dalam doanya yang bermaksud :

"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada Mu dari rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada Mu dari bebanan hutang dan penindasan".

Berdamai dengan takdir membawa maksud kita redha dengan setiap yang berlaku, akur diatas setiap yang terjadi di samping kita terus bersangka baik dengan Allah SWT. Setiap manusia pasti ada perkara yang di cita-citakannya. Baik dalam soal jodoh, rezeki atau lain-lainnya. Meskipun begitu, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik bagi diri kita sendiri. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 216 yang bermaksud :

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui".

Demikian lah bagaimana Allah telah menentukan sesuatu takdir diatas pengetahuan Nya yang Maha Hebat. Bagi kita yang berakal waras, kekecewaan dalam hidup kerana gagal mencapai apa yang kita citakan selama ini adalah sesuatu yang sakit untuk diubati, pahit untuk ditelan dan sukar untuk dilupai. Namun percayalah, hidup diatas realiti lebih bermakna daripada alam fantasi. Berdiri di alam realiti lebih bermaruah dan punyai harga diri berbanding terus menerus memilih untuk meratapi, bersedih dan pilu. 




Sebagai manusia yang serba lemah dan berada dalam serba kekurangan, untuk menelan sesuatu takdir yang tidak seperti apa yang kita harapkan memanglah sesuatu yang sulit. Ianya bagaikan menyucuk ke dada dan seolah hilang separuh nyawa. Tetapi untuk namanya kelangsungan hidup, realitinya harus kita bangkit dan meneruskan perjalanan walau pun dengan keadaan merangkak, hidup mesti diteruskan. Pengalaman dan kenangan silam akan terus menghantui kita sekiranya kita tidak memilih untuk berdamai dengan takdir.

Justeru, bersangka baiklah kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Dia lah tempat untuk kita merintih dan memohon. Dia juga lah tempat sebaik-baik kita bersandar. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah".

Hidup ini adalah tentang soal pilihan. Banyak kelebihan andai kita memilih untuk berdamai. Lupakan yang suram. Pilih lah untuk menjadi manusia yang bermaruah. Bangkit pada hari ini untuk melakarkan masa depan. Percayalah, Allah sebaik-baik perancang hidup ini. Semoga Allah memimpin hidup kita menuju jalan redha Nya.

Khamis, 9 Disember 2021

SOROTAN PERJALANAN MAIPs 100 TAHUN

 

Tahun 1920 merupakan tahun yang menjadi titik tolak kepada sebuah penubuhan badan yang menguruskan hal ehwal Islam di negeri Perlis. Sebelum daripada itu, ketika Perlis berada di bawah pemerintahan kerajaan Siam dan British, hal ehwal agama Islam diserahkan kepada Raja Pemerintah yang diangkat sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Menyedari akan kepentingan menubuhkan sebuah badan khas untuk menguruskan hal ehwal agama Islam, pada tahun 1920, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Marhum Syed Alwi Ibni Al Marhum Syed Saffi Jamalullail telah menubuhkan Majlis Agama Islam. 

Dengan tertubuhnya sebuah badan khas ini, maka bermula lah sebuah pengurusan hal ehwal Islam yang lebih bersistematik. Berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, MAIPs yang juga memainkan peranan besar dalam membangunkan ummah telah melalui tempoh transformasi dibawah peneraju Duli-Duli Tuanku yang menjadi Yang Dipertua MAIPs. Sejak zaman Al Marhum Tuanku Syed Alwi lagi, MAIPs yang ketika itu dikenali sebagai pejabat zakat dari semasa ke semasa telah melakukan penambah baikkan selari dengan tuntutan dan peredaran zaman.




Secara umumnya, penubuhan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah bermula daripada sebuah enakmen yang disebut sebagai The Muhammadan Marriages (Separation) Amendment Enactment No. 14. Enakmen tersebut adalah berkaitan pendaftaran nikah, cerai dan rujuk yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perlis pada 12 September 1919. Kesinambungan daripada itu, pada tanggal 24 Februari 1922, Kerajaan Negeri Perlis telah mewartakan Shariah Court Enactment No. 5. Secara faktanya, kedua-kedua enakmen yang disebutkan ini telah diluluskan melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri Perlis dan diperkenankan oleh Raja Syed Alwi Ibni Syed Saffi Jamalullail.

Adalah tidak salah untuk kita menyatakan bahawa penggubalan dan pewartaan kedua-dua enakmen ini adalah menjadi sebahagian asas menuju kearah penubuhan sebuah badan khas yang menguruskan hal ehwal agama Islam di negeri Perlis. Kenyataan ini juga dikuatkan lagi dengan merujuk kepada minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri Perlis sepanjang tahun 1909 hingga tahun 1920, kita akan mendapati perbincangan awal berkenaan pengurusan zakat hanya dibincangkan secara lebih terperinci dalam mesyuarat bertarikh 1 Mac 1920.

Mesyuarat pada tanggal 1 Mac 1920 yang telah dipengerusikan oleh Raja Syed Alwi Jamalullail telah membuat keputusan berkenaan tanggungjawab dan peranan “kathi” adalah untuk menyediakan dan mengedarkan notis pemberitahuan berkaitan maklumat kewajiban membayar zakat kepada seluruh negeri Perlis. Oleh yang demikian, berdasarkan catatan sejarah ini, boleh kita simpulkan bahawa peranan MAIPs yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal agama Islam di negeri Perlis secara rasmi telah bermula sejak tahun 1920 lagi.




Usaha pengukuhan peranan dan tanggungjawab MAIPs yang ketika itu dikenali sebagai Dewan Penasihat Raja terus dilaksanakan dengan jayanya. Hal ini terbukti apabila pada tahun 1930, Undang-undang Mahkamah Syariah 1340 H telah digubal semula bertujuan untuk menambah baikkan lagi pengurusan hal ehwal Islam di negeri Perlis. Hasil cadangan yang dikemukakan oleh Sheikh Ahmad Mohd. Hashim dan di sokong oleh Haji Ahmad Muhammad dan Wan Ahmad Wan Daud, satu peraturan mengutip zakat mula disemak. Akhirnya, hasil daripada semakan dan penggubalan undang-undang  tersebut, Raja Syed Alwi yang ketika itu merupakan Raja Perlis telah memperkenankan Undang-undang No. 3 tentang kaedah kutipan zakat di negeri Perlis pada 8 November 1932. Sorotan daripada itu, Majlis Mesyuarat Negeri Perlis telah meluluskan satu peraturan khas yang disebut sebagai Peraturan Mengutip Zakat dan Fitrah Perlis 1932.

Nama MAIPs telah digunakan secara rasminya apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail perkenan bagi mengurniakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948. Berdasarkan Perkara 6 (1), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, Raja Pemerintah negeri Perlis boleh memerintah supaya ditubuhkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Majlis ini bertanggungjawab sebagai badan penasihat rasmi DYMM Tuanku Raja Perlis dalam urusan hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Setelah itu, usaha pemerkasaan dan pengukuhan MAIPs terus dilakukan dengan menubuhkan sebuah undang-undang khas penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri Perlis seterusnya mendapat perkenan daripada Almarhum DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 27 Disember 1949.

MAIPs yang sebelum ini dikenali dengan nama Pejabat Zakat dan Fitrah Perlis telah memainkan peranannya dahulu di Pejabat Pemeriksa Kira-kira Kerajaan Perlis. Menjelang tahun 1951, MAIPs dibawah nama tersebut telah memiliki bangunannya sendiri yang terletak di Jalan Hospital, Kangar. Tapaknya kini telah dijadikan bangunan Bank Rakyat cawangan Kangar. Usaha untuk pemerkasaan MAIPs terus diperhebatkan lagi apabila pada tahun 1964, MAIPs telah diangkat sebagai sebuah badan berkanun negeri Perlis dan ianya telah diperkenankan oleh Almarhum Tengku Suleiman ibni Almarhum Tengku Bendahara Abu Bakar pada 27 Februari 1964. Dengan itu, MAIPs yang diangkat sebagai sebuah badan berkanun telah memberikan suatu kedudukan yang tinggi dan hal ini akan memberikan ruang untuk MAIPs terus memperkasakan lagi peranan dan tanggungjawabnya untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi umat Islam khasnya di negeri Perlis.




Sebagai merealisasikan peranan MAIPs yang juga sebagai sebuah badan penasihat kepada DYMM Raja Pemerintah, pada tahun 1986, DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang ketika itu sebagai Raja Muda Perlis telah diperkenankan oleh Raja Perlis ditabal sebagai Yang Dipertua MAIPs yang ke 7. Rentetan daripada itu, DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Tuanku Yang Dipertua MAIPs, dengan berpegang teguh pada dasar Ahli Sunnah Waljamaah, Tuanku  tanpa membuang masa, terus-menerus mencipta langkah merangka usaha bagi memantapkan pengurusan MAIPs. MAIPs sebagai sebuah badan berkanun terus berkembang hebat memperkasakan agenda membangunkan ummah dengan penggubalan Enakmen Baitulmal dan Zakat pada tahun 1988. Dengan penggubalan enakmen tersebut, MAIPs telah memantapkan pengurusan baitulmal yang merangkumi wakaf, sumber am dan zakat dengan memperkenalkan serta mewujudkan pelbagai skim agihan dan garis panduan berkenaan pengurusan zakat.

Episod kecemerlangan dan kegemilangan MAIPs terus diwarnai dengan pelbagai kejayaan yang telah dikecapi dengan hebatnya. Tahun 2006, telah membawa suatu dimensi baharu bagi MAIPs. Hal ini kerana, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pemangku Raja Perlis ketika itu. Enakmen yang telah diperkenankan ini telah membawa kepada suatu anjakan paradigma baharu kepada MAIPs untuk terus mengorak langkah membawa perubahan yang lebih besar sekaligus memberikan impak pembangunan sosioekonomi yang mampan untuk umat Islam khususnya di negeri Perlis.

Dibawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, MAIPs telah diberikan peruntukkan kuasa bagi mengukuhkan lagi pengurusan dan pentadbiran MAIPs. Sejajar dengan itu, MAIPs yang kemudiannya dikemudi oleh Yang Dipertua MAIPs ke 8, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, telah memulakan langkah maju ke hadapan dengan mengasaskan sebuah gagasan transformasi pengurusan MAIPs. Menyedari akan kepentingan melakukan sesuatu yang lebih besar, pada tahun 2011, MAIPs dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang diketuai oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah melaksanakan Kajian Transformasi Pengurusan dan Pelan Strategik MAIPs. Hasil daripada kajian dan pelan strategik tersebut, MAIPs telah berjaya menempa kejayaan dengan menampilkan pelbagai inisiatif yang lebih kemas dan hebat.

Usaha yang gigih dan langkah yang jitu telah melakarkan perubahan yang positif dan ianya telah membawa MAIPs ke suatu dimensi yang baharu. Kini dibawah MAIPs, terdapat beberapa program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIPs yang bukan sahaja bertujuan untuk sekadar memberi bahkan mendidik jati diri warga asnaf untuk berani melangkah keluar dari kepompong kemiskinan sehingga menjadikan mereka pula antara yang menyumbangkan zakat. Program dan inisiatif MAIPs yang merangkumi pelbagai aspek ekonomi, sosial dan pendidikan telah banyak merubah kehidupan warga asnaf khususnya di negeri Perlis.

Dari sudut pembangunan sosioekonomi, menyedari akan kepentingan membantu warga asnaf keluar dari kemiskinan, MAIPs telah menubuhkan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). ATAM telah ditubuhkan bertujuan untuk memberikan fokus terhadap usaha-usaha memperkasakan warga asnaf dengan menawarkan peluang Latihan dan kemahiran serta menjamin pekerjaan mereka. Bagi merealisasikan objektif penubuhannya, ATAM telah pun bekerjasama dengan puluhan syarikat dan institusi latihan kemahiran bagi menawarkan kepada warga asnaf yang berminat untuk diberikan latihan sekaligus dijamin pekerjaan.

Selain itu, MAIPs dengan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terus proaktif mengagihkan zakat kepada warga asnaf melalui pelbagai skim dan program bantuan yang ditawarkan. Antaranya ialah Program Hijrah Minda, Program Kayuhan MAIPs Peduli, Skim Bantuan Mikro Baikpulih Rumah, Skim Kediaman Rumah MAIPs, Skim Bantuan Sara Hidup dan pelbagai lagi inisiatif lain yang dilaksanakan untuk pembangunan sosioekonomi ummah.



Dibawah MAIPs juga, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan menawarkan biasiswa pengajian dengan beberapa program berkaitan pengajian berteraskan Islam seperti perbankan Islam, pengurusan kewangan dan hartanah dan pengurusan halal. Untuk rekod, tahun 2020, KUIPs telah berjaya menubuhkan Fakulti Al Quran dan Sunnah yang telah pun disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis pada 26 November 2020. KUIPs kini telah beroperasi di Kuala Perlis dengan membuka pengambilan pelajar dari dalam dan luar negara. Dengan penubuhan KUIPs, ianya menjadi lambing komitmen dan kejituan MAIPs dalam usaha memperkasakan pendidikan.

MAIPs yang juga berperanan untuk menegakkan syiar Islam, tidak ketinggalan untuk memperkasakan pembangunan dakwah islamiah. Dibawah MAIPs, sebuah badan dakwah, One Centre Malaysia Perlis khasnya dakwah kepada orang bukan Islam ditubuhkan pada tahun 2017. Fokus utama mereka adalah untuk membantu MAIPs memainkan peranan menyebarkan Islam disamping MAIPs turut berkolaborasi dengan badan dakwah yang lain seperti PERKIM, Hidayah Centre Foundation, Pertubuhan IKRAM, Gabungan Belia Ibnu al Qayyim (GBIQ) dan lain-lain. Bagi memantapkan pemahaman masyarakat khususnya masyarakat Islam berkenaan pengamalan sunnah, MAIPs dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis telah mewujudkan pelbagai siri seminar dan program dakwah seperti Akademi Imam, Program Ihya’ Masjid Semarak Dakwah, dan lain-lain.




Malah secara khusus lagi, MAIPs dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mewujudkan Skim Muballigh Jabatan Mufti yang diberikan suntikan dana oleh MAIPs. Juga MAIPs telah memanfaatkan tapak masjid Arau lama dengan memperbaiki segala infrastruktur dan menjadikan ianya sebagai Centre Of Sunnah dibawah kelolaan Jabatan Mufti Negeri Perlis. DYTM Tuanku Yang Dipertua MAIPs yang begitu prihatin dan mengambil berat akan kepentingan membaca turut memperkenalkan sebuah program ‘Anjung Buku-buku Agama dan Pusat Rujukan Islam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Demikian beberapa coretan ringkas yang boleh kita gambarkan berkenaan perjalanan 100 tahun MAIPs menjunjung syiar memaju ummah. Untuk menceritakan sebuah perjalanan panjang ini sudah tentu tidak akan selesai dengan artikel ini namun cukuplah bagi kita memahaminya bahawa MAIPs yang dilihat sangat proaktif pada hari ini bermula dengan sebuah mesyuarat yang akhirnya diperkasakan dari semasa ke semasa.Terdapat banyak lagi memori manis kejayaan MAIPs menempa nama bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan dikenali di arena antarabangsa. Kita doakan agar MAIPs dibawah teraju Duli-duli Tuanku terus memayungi ummah dan menterjemahkannya dalam tindakan. Insha Allah.


Rabu, 8 Disember 2021

MASJID BUKAN SEKADAR TEMPAT BERSOLAT

 

Masjid merupakan sebuah institusi terpenting dalam Islam. Perkataan masjid adalah berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud nama tempat bersujud. Dari sudut syarak pula, terdapat dua makna. Pertamanya, masjid membawa maksud mana-mana tempat permukaan bumi. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith sahih riwayat al Bukhari, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)"

Keduanya, masjid juga dari sudut istilah membawa maksud tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. Oleh kerana ianya merupakan sebuah tempat yang sangat penting, maka bagi manusia yang mengimarahkan dan memakmurkan masjid diberikan kemuliaan dan kedudukan yang hebat di sisi Islam. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah at Taubah ayat 18 yang bermaksud :

"Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah. Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk"




Berdasarkan firman Allah, mereka yang kerjanya mengimarahkan masjid dengan beribadah kepada Allah selain menghidupkan masjid dengan pelbagai pengisian jasmani dan rohani adalah terdiri daripada golongan mereka yang beriman kepada Allah SWT. Ini bermakna, bukanlah sesuatu yang biasa bilamana Allah sendiri yang mengiktiraf mereka ini dengan menggelarkan mereka dengan gelaran orang beriman. Ianya satu pengiktirafan dan darjah kebesaran tertinggi kurniaan Allah buat para hamba Nya yang sentiasa menghidupkan masjid.

Imam al Qurtubi dalam al Jami' li Ahkam al Quran, beliau menyatakan terdapat golongan salaf yang menyatakan sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlah prasangkamu kepadanya. Perkara ini sepertimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat at Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad yang bermaksud :

"Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya"

Syeikh al Tantawi ketika menafsirkan ayat ini di dalam kitabnya Tafsir al Wasit, beliau menyatakan bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada baginda Nabi SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. Ibnu al Jauzi pula menyebut dalam Zad al Masir fi 'Ilm al Tafsir, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid terdapat dua pendapat, pertama ; merujuk kepada mereka yang selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah). Keduanya pula, membawa maksud membangunkan masjid dan memperbaikinya.




Pada zaman Rasulullah SAW, masjid yang dibina diatas nilai ketaqwaan kepada Allah SWT bukan sahaja menjadi tempat untuk orang Islam menunaikan ibadah solat semata-mata sebaliknya masjid telah memainkan peranan yang sangat besar dan efektif dalam usaha membangunkan ummah. Masjid pada zaman Nabi telah menjadi pusat kegiatan ekonomi. Hal ini tercatat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir bin Abdullah :

"Aku pergi bertemu Rasulullah semasa baginda berada di masjid. Selepas baginda menyuruh aku mengerjakan solat dua rakaat, baginda membayar hutangnya kepada ku dan memberi lebihan wang sedikit kepada ku".

Selain itu juga, masjid pada zaman Nabi SAW berperanan sebagai tempat interaksi sosial. Perkara ini seperti tercatat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, bahawa Jabir bin Samura telah berkata yang bermaksud :

"Rasulullah seringkali duduk di tempat baginda mengerjakan solat subuh sehingga matahari naik, baginda akan berdiri di situ sambil para sahabat lain berbual menceritakan keadaan masing-masing pada waktu jahiliah dahulu dan mereka akan tertawa mendengar gelagat lucu. Rasulullah pun sama-sama mendengar tetapi baginda hanya tersenyum sahaja".

Demikian juga masjid pada zaman baginda Nabi telah menjadi sebuah tempat bersosial dan menyambut perayaan. Sepertimana yang diceritakan oleh Aisyah RA dalam sebuah hadith yang bermaksud :

"Beberapa orang pahlawan dari Abisinia telah datang ke masjid pada suatu hari raya dan mereka mempamerkan seni mempertahan diri. Rasulullah menjemput saya menyaksikan perlawanan tersebut. Aku meletakkan kepala ku pada bahu baginda dan melihat pameran seni mempertahankan diri itu sehingga aku puas lalu memalingkan pandanganku"

Melihat akan beberapa fungsi dan peranan masjid pada zaman Nabi SAW membuatkan kita berasa jauh berbeza berbanding dengan peranan masjid pada masa kini. Jangan kan kerana covid, sebelum daripada itu lagi kebanyakan kita gagal untuk mengembalikan fungsi masjid sepertimana yang telah berlaku pada zaman Nabi SAW. Kegagalan ini sudah tentu perlu dijadikan muhasabah dan ruang untuk kita perbaiki dari semasa ke semasa. Persepsi berkenaan masjis hanya sekadar tempat bersolat perlu diperbetulkan dengan meluaskan pemahaman mereka berkaitan peranan dan fungsi masjid sebenar.




Amat dukacita hari ini, sebahagian mereka yang diberikan amanah dan kepercayaan untuk menguruskan masjid langsung tidak berusaha untuk memakmurkannya. Sebaliknya hanya sekadar datang dan pulang untuk menunaikan solat semata-mata. Lebih menyedihkan, terdapat segelintir pihak pengurusan masjid yang meletakkan pemisahan saf kanak-kanak yang sekaligus mewujudkan kasta mengikut umur. Walhal, perkara ini tidak berlaku di zaman Nabi SAW.  Sikap seperti inilah antara yang menyumbang kepada ketidakmesraan masjid terhadap golongan muda.

Kita harus berubah. Persepsi yang salah berkaitan masjid perlu ditangani dengan tindakan dan langkah aktif pihak pengurusan masjid dengan merangka dan merancang pelbagai aktiviti serta pengisian menarik bagi menterjemahkan peranan dan fungsi sebenar masjid. Kita tidak boleh lagi sekadar menunding jari menyalahkan orang itu dan ini tidak datang ke masjid tetapi sebaliknya kita harus melihat kepada kedudukan dan jawatan kita, apa yang telah kita lakukan untuk menarik orang ramai hadir ke masjid.  Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Selasa, 7 Disember 2021

GANGGUAN SEKSUAL & PERANAN KITA

 

Tahukah anda bahawa dalam tempoh tiga tahun antara 2018 hingga 2020, sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan remaja dilaporkan oleh pihak PDRM. Menurut satu laporan akhbar Harian Metro yang disiarkan pada 28 Julai 2021, mengikut data yang dikumpulkan oleh pihak polis, jenayah seksual yang telah dilaporkan mendapati pelbagai aplikasi media sosial yang digunakan untuk tujuan tersebut seperti Instagram, TikTok, Facebook, MiChat, Telegram, BeeTalk, Whatsapp dan WeChat. Penggunaan pelbagai aplikasi media sosial yang kini semakin canggih dan pantas, seakan-akan tiada batasannya ini telah mengundang kepada peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan remaja.

Berdasarkan laporan akhbar tersebut juga, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D1), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima 2,010 kes jenayah seksual membabitkan kedua-dua golongan itu pada 2018, manakala 2,297 kes direkodkan pada 2019 dan 2,590 kes pada tahun lalu. Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual kepada remaja dan kanak-kanak terus meningkat walaupun ketika negara dilanda pandemik covid-19 bermula awal tahun lalu.




Kenyataan dan statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM menerusi laporan akhbar tersebut sudah tentu tidak mengembirakan malah turut mengundang keresahan dan kegelisahan para ibubapa dalam usaha mendidik anak-anak mendepani cabaran yang penuh hebat ini. Apa yang dilaporkan tersebut hanyalah berkaitan dengan golongan kanak-kanak dan golongan remaja sahaja. Belum lagi kita lihat statistik dan realiti jenayah seksual ini berlaku terhadap wanita dan pekerja. Hal ini sangat membimbangkan dan ianya perlu ditangani secara segera dan penuh bijaksana. Mengambil kira keadaan suasana hari ini yang diselubungi dengan pelbagai aplikasi media sosial yang dilihat semakin hari semakin menjadi barah bagi mereka yang menyalahgunakan kemudahan sedia ad aini.

Bagi membendung isu yang kian membarah dalam masyarakat kita pada hari ini, isu pokoknya ialah apakah  peranan kita yang perlu dimainkan dan diterjemahkan bermula dari institusi kekeluargaan, sebagai bapa, ibu, abang dan kakak, juga sebagai masyarakat komuniti dan lebih jauh daripada itu peranan kita sebagai rakyat yang menyayangi masa depan negara yang tercinta ini. Rata-rata perbincangan berlegar dikalangan warganet ialah tentang mencari salah siapa dan tugas siapa untuk menanganinya. Tanpa benar-benar serius, kita tidak boleh lagi sekadar membincang ini salah siapa dan itu tugas siapa. Saya percaya, masing-masing ada peranan dan fungsi yang perlu dimainkan secara bersama, bukan sahaja untuk ahli keluarga kita bahkan juga untuk jiran tetangga kita dan amnya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, menyedari akan kepentingan peranan yang perlu dimainkan secara bersama, beberapa tindakan dan langkah yang perlu kita terjemahkan selari dengan semangat “Keluarga Malaysia” yang dijadikan sebagai aspirasi negara. Antara langkah dan peranan terpenting yang harus kita terjemahkan adalah dengan membina keluarga yang bahagia dan sejahtera. Keluarga yang bahagia bukanlah seperti yang sering dihidangkan melalui tontonan drama dan filem yang mempunyai harta dan kekayaan yang mewah, namun keluarga yang bahagia sebenarnya perlu dan mesti mengandungi 3 elemen terpenting iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kecintaan) dan rahmah (kasih sayang).

Sepertimana firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

Pembinaan keluarga yang bahagia dan sejahtera turut akan memberikan implikasi dan kesan yang baik kepada komuniti masyarakat sekaligus dapat melahirkan jati diri rakyat yang penuh hebat. Konflik kekeluargaan yang kadang-kala dilihat seperti normal adalah tidak sihat untuk pembinaan masyarakat yang harmoni. Akibat konflik inilah, ianya sedikit sebanyak akan mengheret anak-anak untuk mencari kebahagiaan dan keseronokan diluar rumah yang akhirnya akan mengundang masalah sosial yang lebih besar dan dasyat.

Pembinaan institusi kekeluargaan yang baik juga sangat penting bagi menangani jenayah sumbang mahram yang semakin berleluasa ini. Keadaan ini juga bertambah parah dengan adanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan, membuka ruang dan peluang juga untuk terjadinya tragedi yang tidak bermoral ini. Hal ini berdasarkan kenyataan pihak PDRM berhubung kes sumbang mahram. Untuk rekod, tahun 2020 telah mencatatkan sebanyak 1,105 kes membabitkan jenayah rogol kanak-kanak dan diikuti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebanyak 1,100 kes. Manakala kes sumbang mahram yang direkodkan pada tahun 2020 adalah sebanyak 223 kes. Inilah fakta angka-angka yang telah direkodkan. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan ? Sehubungan itu, hubungan kekeluargaan yang erat perlu diterjemahkan bagi membentengi keluarga kita daripada terjemurus dalam kancah aktiviti tidak bermoral ini. Dalam hal ini juga, Islam telah ajarkan kepada kita supaya memisahkan tempat tidur anak-anak seawal usia mereka 10 tahun. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”




Selain itu, antara langkah dan peranan terpenting yang boleh kita mainkan secara bersama adalah dengan memilih rakan yang baik dan rasional. Pemilihan rakan juga sangat penting bagi membentuk diri kita di masa hadapan. Tambahan pula,pada hari ini dengan kecanggihan teknologi yang hebat dan pantas, ada segelintir para ibubapa tidak endah dan mengambil ringan tentang soal dengan siapa anak-anak mereka berkawan. Ibubapa juga seharusnya mengenali dan mengambil peduli tentang soal pemilihan rakan yang baik untuk anak-anak mereka. Ruang persahabatan yang berada di dalam lingkungan rakan yang baik juga akan sedikit sebanyak menyumbang kepada pembinaan akhlak dan moral anak-anak. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya.  Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat." 

Demikian juga firman Allah SWT dalam surah al Zukruf ayat 67 yang bermaksud :

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)."

Oleh itu, pemilihan rakan yang baik akan turut menyumbang kepada pengurangan kes jenayah gangguan seksual memandangkan suasana dan keadaan sekeliling yang baik dan harmoni. Disebalik angka dan statistik yang dilaporkan, saya percaya bahawa sesetengahnya adalah berpunca daripada ajakan dan pelawaan kawan yang mempengaruhi ruang lingkup pemikiran mereka yang akhirnya menjerat diri mereka sendiri terjerumus dalam kancah yang tidak bermoral ini. Adalah amat wajar sekali untuk para ibubapa mengenalpasti dengan siapa anak-anak mereka bergaul dan sudah tentu, ibubapa itu sendiri perlulah terlebih dahulu menjadi seorang sahabat yang baik kepada anak-anak. Dengan keadaan dan perkembangan semasa pada hari ini, kebanyakan ibubapa telah menghabiskan banyak masa di luar rumah bagi mencari rezeki dan kesibukan ini sudah tentu memberikan ruang masa yang terluang untuk anak-anak bergaul dengan rakan mereka. Untuk itu, sangatlah penting dan mustahak, ibubapa harus peduli tentang soal pergaulan anak-anak mereka diluar sana.

Bagi menangani isu jenayah gangguan seksual ini, adalah penting juga bagi kita untuk menolak budaya menormalisasikan sebarang lawak, sindiran atau gurauan yang berbaur lucah dan tidak senonoh. Perkara ini sememangnya sudah mempunyai gerak usaha untuk membudayakan dikalangan masyarakat segala lawak bahan jenaka, sindiran mahupun gurauan yang berbentuk lucah dan tidak senonoh ini. Untuk menangani isu ini, seharusnya para ibubapa perlu lebih prihatin terhadap bahan internet yang dilayari oleh anak-anak. Ibubapa perlu lebih bijak dan bergerak aktif selari dengan perkembangan semasa, memantau dan meneliti setiap gerak-geri anak-anak ketika melayari internet. Dalam arena arus perdana ini, kita tidak menafikan akan kepentingan belajar melalui wadah internet seperti keadaan sekarang. Penggunaan internet kini semakin luas dan dilihat sudah menjadi suatu keperluan dalam usaha meneruskan proses pembelajaran. Namun perkara itu tidak seharusnya menjadi lessen untuk para ibubapa tidak mengendahkan apa yang dibuat oleh anak-anak.




Juga selain itu, kandungan bahan tontonan di kaca televisyen juga perlu diambil kira agar kita tidak tersalah memilih segmen atau drama yang menghidangkan adegan dan babak yang tidak senonoh. Hal ini lebih mencabar apabila tumbuh bagai cendawan drama dan filem yang mempromosikan budaya hidup barat seperti hidup berpasangan tanpa berkahwin, dengan ditontonkan adegan romantik biarpun belum berkahiwn, menjadikan budaya tersebut dilihat seperti biasa dan inilah bentuk penjajahan sebenar yang sedang dan telah menyerang pola pemikiran kita. Hal ini akan mengundang perasaan ingin bercinta, ingin berkongsi kasih sayang dan akhirnya ke jalan haram penzinaan. Oleh itu, pemilihan stesyen televisyen juga amat perlu dititikberatkan oleh ibubapa atau penjaga.

Sebagai mengimbangi peranan ibubapa, pihak kerajaan harus lebih serius dengan pihak syarikat penyiaran swasta bagi memastikan isi kandungan dan bahan tontonan di layar kaca televisyen bersesuaian dengan tahap umur. Sebuah badan khas yang membantu pihak kerajaan dalam industri kreatif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu memainkan peranan aktif untuk menapis dan menyaring setiap filem yang diterbitkan agar sesuai dan menepati sosiobudaya masyarakat Malaysia. Kita faham, setiap filem mempunyai nilai dan mesejnya yang tersendiri namun bukanlah semua yang menonton filem-filem tersebut mampu menghadam dan mencapai maksud mesej yang hendak disampaikan. Malah, sebahagian adegan yang tidak senonoh itu lebih diingati berbanding mesej utama yang hendak disampaikan.

Saya kira apa salahnya jika pihak FINAS memberi galakkan kepada para pemain industri kreatif untuk lebih banyak mencipta sesebuah filem dan drama yang membina ideologi dan menguatkan jati diri manusia. Jika dahulu, tidak kurang sepinya kita mempunyai filem-filem hebat seperti Darah Satria tahun 1983, Wira Angkasa 1987 dan sebagainya. Kita perlu menghidangkan budaya yang sihat dalam dunia perfileman kerana ianya bukan sekadar untuk berhibur bahkan jauh daripada itu adalah untuk membina jati diri para penonton. Kita perlu menyemak dan menilai semula kualiti filem dan drama yang kian berlambak ditayangkan di pelbagai stesyen televisyen. Lambakan drama dan filem inilah yang menjadi hidangan minda anak-anak kita.

Firman Allah SWT dalam surah an Nur ayat 30-31 yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Demikian beberapa tindakan dan langkah yang boleh kita ambil peduli bersama dan memainkan peranan secara bertanggungjawab bagi menangani isu jenayah gangguan seksual ini dalam radar lapangan masing-masing. Seorang guru, sudah tentu lapangannya di dalam pendidikan. Seorang polis lapangannya di dalam soal penguatkuasaan. Tetapi sekurang-kurangnya, biar apapun lapangan kita, peranan kita mestilah bermula dari rumah terlebih dahulu. Didikan dari rumah akan mencerminkan watak kita pada masyarakat. Keluarga yang utuh akan menjanjikan masyarakat yang kukuh. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menangani isu tidak bermoral ini.