Khamis, 28 Julai 2022

TABIAT MEROKOK YANG BURUK LAGI KEJI

 

Rokok adalah sesuatu perkara yang semua sedia maklum tentangnya. Padanya terkandung beberapa bahan kimia yang tidak diperlukan oleh tubuh badan manusia sekalipun apa jua alasan yang diberikan. Berdasarkan kajian yang dilakukan, sekurang-kurangnya terdapat 13 bahan kimia yang terdapat dalam sebatang rokok. Antaranya ialah Nikotin, Butana, Tar, Metanol, Arsenik, Ammonia dan lain-lain. Beberapa bahan yang dinyatakan ini sebahagiannya digunakan sebagai bahan racun serangga, bahan pencuci dan sebagainya.

Sebagai manusia yang sedar dan waras, sudah tentu bahan-bahan seperti ini tidak tergamak untuk kita jadikan sebagai rutin kita menyedut dan menghisap bahan kimia yang tidak sihat untuk tubuh badan. Bertepatan dengan kehendak syarak, Islam sangat melarang umatnya untuk melakukan perkara yang boleh mengundang kemudaratan dan membawa kebinasaan kepada diri dan orang lain. Seharusnya kita ingat bahawa merokok bukan sahaja membahayakan diri kita namun turut mengheret orang lain dan menjejaskan kesihatan orang yang berada di sekeliling kita.




Dalam al Quran, Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-A'raf ayat 157 yang bermaksud :

"Ia nenghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk"

Sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Ahmad :

"Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan"

Dalil diatas adalah batu asas kepada penghujahan mengharamkan tabiat merokok. Pelbagai perolehan data dan hasil kajian menunjukkan tabiat merokok langsung tidak membawa apa-apa sebarang kebaikan kepada diri. Menurut Prof. Dr. Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia bahawa setiap rokok mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun. Ini bermaksud, secara tidak sedar, bagi mereka yang merokok adalah sama seperti memakan atau meminum racun. Jelas ianya sesuatu perbuatan yang bodoh dan tidak bermaruah.

Tabiat merokok kini sudah dinormalisasikan oleh masyarakat kita. Tabiat ini juga dari hari ke hari semakin berleluasa dan membarah dalam kalangan para remaja kita. Jika dahulu, seawal usia 15 ke 16 tahun para remaja mula berjinak dengan rokok. Namun dengan peredaran zaman yang semakin pantas, seawal usia 7 tahun sudah ada yang mula berjinak dengan tabiat buruk ini. Ini sesuatu yang membimbangkan kita semua.




Lebih memalukan, apabila tabiat merokok ini turut membarah dalam kalangan para asatizah, pendakwah dan golongan yang disebutkan sebagai agamawan. Tidak sepatutnya pada mereka yang melaungkan slogan pertahankan Islam, membela kedaulatan Islam namun di mulut mereka tidak terlepas daripada melakukan tabiat merokok yang terkutuk itu. Tabiat ini bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan bahkan turut mengundang tabiat memboros dan membazir. Wang ringgit yang dibelanjakan untuk membeli rokok boleh di ibaratkan seperti membakar duit sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra' ayat 26-27 yang bermaksud :

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya"

Menurut Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, beliau menyatakan bahawa :

"Pemborosan adalah haram. Yang dimaksudkan dengan haram adalah : membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah, sama ada banyak atau sedikit walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan dan membazirkan wang, walaupun dalam jumlah yang kecil, membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia"

Larangan melakukan pembaziran juga ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada al-Mughirah bin Syu'bah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keatas kamu penderhakaan terhadap ibu-ibu, membunuh anak-anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci kepada kamu bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta"




Dikalangan para sarjana Islam, majoriti para ulama menyatakan hukum merokok adalah haram. Hal ini boleh kita lihat dalam beberapa pandangan oleh sarjana Islam antarannya Imam Syafie dalam kitabnya yang terkenal, al-Umm. Beliau telah menyatakan bahawa jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu atau disedut) yang boleh memabukkan, perbuatan itu adalah jelas haram. Berdasarkan pandangan tersebut, mengambil sesuatu itu juga dimaksudkan dengan mengambil bahan yang mengandungi racun yang boleh menyebabkan kematian.

Dalam kitab Fath Al-Mu'in, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan berkenaan dua sebab utama mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam. Dua sebab tersebut adalah pertama, ia mendatangkan kerosakan yang nyata atau menimbulkan yang tersembunyi dan kedua, ia merosakkan tubuh badan dengan jelas. Demikian dua sebab mengapa sesuatu itu diharamkan dan kedua-dua sebab ini terdapat pada tabiat merokok ini. Oleh itu, tidak ada apa lagi yang boleh kita nyatakan tentang rokok melainkan jelas lagi terang, ianya dilarang, ditegah dan diharamkan oleh Islam.

Pengharaman rokok juga telah difatwakan oleh beberapa badan fatwa dan ulama kontemporari yang lain seperti Dar al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Ali Juma'at dan lain-lain lagi. Kesemua mereka ini dengan tegas menyatakan hukum haram merokok. Dalam konteks Malaysia pula, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang telah bersidang kali ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.

Tanpa mengira siapa pun kita, baik yang berada di barisan hadapan atau di belakang, di kanan atau di kiri, tabiat merokok ini harus kita kekang dan banteras daripada menjadi sebahagian budaya wajib pada masyarakat. Tabiat ini harus ditangani dan diberikan kesedaran akannya. Tidak dapat disangkalkan lagi, tabiat merokok sangat buruk lagi keji, tidak bermaruah serta tidak bertamadun. Penting diri dan secara tidak langsung mereka telah membahayakan diri sendiri. Jauhilah tabiat ini selagi masa masih ada. Tidak ada istilah terlambat untuk melakukan perubahan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 25 Julai 2022

DEMI GENERASI MALAYSIA BAHARU

 

Kesihatan yang baik merupakan nikmat yang amat bermakna pada setiap makhluk yang bernyawa. Hidup sihat, menghirup udara yang segar dan selamat, antara cita-cita dan angan-angan kita semua. Namun kini, cita-cita dan angan-angan tersebut tidak lagi akan tinggal kenangan, andai seluruh rakyat Malaysia di semua peringkat khasnya peringkat legislatif (Badan Perundangan) iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara menyokong penubuhan Akta Kawalan Tembakau 2022 Sungguh besar hati ini sekiranya kita semua dapat menyokong usul pihak kerajaan ini melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Untuk mencipta suatu gaya hidup yang sihat, kita seharusnya perlu lebih berani dan terbuka menerima apa sahaja usaha bagi mencorakkan hidup rakyat Malaysia yang lebih sihat dan baik. Kejayaan akan bermula dengan langkah yang pertama. Untuk mencapai langkah tersebut, kita seharusnya bersedia dan kuat untuk menggapainya. Oleh yang demikian, kita mestilah menyokong akta baharu ini yang akan dibawa oleh pihak kerajaan dan akan dibahaskan oleh para ahli parlimen. Sejujurnya, kita mahu melihat gaya hidup warga Malaysia baharu lebih sihat dan terjamin kualiti udaranya.




Akta Kawalan Tembakau 2022 diwujudkan dibawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2008) yang diwartakan pada tahun 2020 sebagai undang-undang larangan merokok. Menurut laporan akhbar bertarikh 15 Januari 2022, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa undang-undang dibawah akta ini yang lebih tegas bakal melahirkan generasi akan datang yang tidak kenal apakah itu rokok dan produk berkaitannya. Akta ini juga akan menjadi harapan sebagai "generation end-game" (generasi penamat) perbuatan merokok di Malaysia untuk tempoh jangka panjang.

Menurut Tinjauan Morbiditi Kebangsaan yang telah dijalankan pada tahun2019, didapati peratusan merokok dalam kalangan remaja berusia 18 tahun (iaitu umur selepas undang-undang tidak melarang mereka merokok) adalah tinggi. Dianggarkan sebanyak 24.49 % remaja berusia 18 tahun merokok berbanding statistik sebelum ini sebanyak 7.7 % sahaja. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22.78 % adalah menggunakan rokok tembakau. Berdasarkan tinjauan ini, sudah tentu peningkatan tersebut bukanlah sesuatu yang membanggakan. Bahkan perlu lebih bimbang dengan trend tidak sihat ini yang semakin normalisasi dalam kehidupan remaja seawal usia 18 tahun ke bawah.

Keadaan ini lebih memburukkan lagi apabila kini terdapat pelbagai produk rokok yang canggih dan mudah untuk mendapatkannya seperti vape dan lain-lain. Ini semua berpunca daripada tabiat merokok yang kian menjadi-jadi dan mampu membunuh dalam senyap. Trend merokok dikalangan remaja sudah menjadi normal pada masa kini. Malah sebahagian remaja hari ini beranggapan bagi mereka yang tidak merokok adalah sebagai suatu sikap "pondan", "bacul", "lembik" dan "tidak macho". Doktrin seperti ini bukan hal yang baru namun sejak dahulu lagi. Namun apabila hal tersebut tidak dibendung dan ditangani secara serius, maka lihatlah generasi muda hari ini yang telah mewarisi tabiat buruk merokok ini daripada generasi terdahulu.




Tabiat merokok ini bukan sahaja buruk, kotor dan jijik pada mereka yang melakukannya, bahkan kesannya boleh menyebabkan pencemaran udara, mengheret orang disekeliling menghidu asap rokok sekaligus merosakkan kesihatan diri dan orang di sekelilingnya. Jika dilihat suatu laporan yang dikeluarkan oleh The Tobacco Atlas 2019, fakta menunjukkan kematian pramatang bayi akibat rokok adalah sebanyak 27,000 setiap tahun. Ini bermakna sekiranya kita masih berlengah dan tidak menyokong usaha baik ini bermaksud kita saban tahun akan menghadapi 27, 000 kematian bayi pramatang. Adakah angka ini yang kita nak ? Apakah ini yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia ? Sudah tentu tidak.

Peningkatan peratusan merokok ini bukanlah suatu yang mengembirakan. Kesannya, peningkatan ini juga turut akan menekan peningkatan kos yang harus ditanggung oleh kerajaan. Kajian yang dibuat menyatakan rawatan akibt komplikasi penyakit punca hasilan tembakau dianggarkan sebanyak RM 8.77 bilion menjelang tahun 2030. Ini sekaligus membebankan pihak kerajaan untuk menampung kenaikan kos rawatan ini akibat daripada kenaikan peratusan merokok dikalangan remaja hari ini. Anggaran ini tidaklah mengembirakan kita apatah lagi membabitkan duit kerajaan yang datangnya daripada hasil rakyat juga.

Oleh itu, sewajarnya seluruh rakyat Malaysia terutamanya pada mereka yang beragama Islam, bersatu dan menzahirkan rasa sokongan kepada kewujudan akta ini bagi memastikan kelestarian warga Malaysia yang lebih ceria dan sihat. Kita tidak mahu lagi episod duka bayi pramatang, kanser akibat tabiat merokok, kerosakan jantung dan sebagainya menjadi pembunuh senyap nombor satu di Malaysia. Dengan kelulusan akta ini, generasi yang lahir selepas tahun 2005 adalah generasi yang tidak lagi mengenal tabiat buruk merokok. Seluruh ahli parlimen sebagai pemain kuasa legislatif haruslah lebih sedar dan matang untuk mencorakan masa depan negara yang lebih sejahtera. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 20 Julai 2022

HINA AGAMA : MARAHLAH DENGAN RASIONAL

 

Sesiapa pun akan terasa marah dengan sesuatu yang dikatakan penghinaan. Jangan kan soal agama, maruah kita sendiri pun sekiranya dihina, kita akan bangkit dan marah akan hal itu. Malah jika penghinaan itu lebih dasyhat daripada itu, penghinaan kepada ibubapa kita, adik beradik kita atau bangsa kita lebih lagilah kita akan rasa marah dengan perbuatan tersebut. Apatah lagi apabila penghinaan tersebut menyentuh soal agama kepercayaan kita, selayaknya kita turut marah dan mengecam akan hal itu.

Terlebih dahulu, Islam melarang kita untuk menghina, mencaci atau mempermainkan sembahan tuhan agama lain. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan"




Syeikah Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab tafsirnya al-Munir, ketika menjelaskan maksud ayat ini beliau menyatakan bahawa para ulama berkata hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul Nya. 

Perasaan marah apabila dihina adalah lumrah dalam kehidupan. Malah menjadi suatu masalah besar sekiranya maruah Islam dihina, kita pula langsung tidak merasai marah dan benci akan perbuatan tersebut. Barangkali tidak ada iman dalam dirinya dan tiada perasaan kasih sayang kepada Allah dan Rasul Nya. Itu sebab orang dahulu kala pernah menyatakan "marah tanda sayang". Ini bererti kemarahan kita apabila Islam dihina membuktikan kita benar-benar kasih dan sayang pada agama Islam. Meskipun kita sedar diri sendiri tidaklah sempurna mana untuk dianggap soleh namun setidak-tidaknya perasaan itu membuktikan yang kita ini benar-benar kasih dan sayang pada Islam.

Namun begitu, kemarahan kita kerana Allah dan Rasul Nya sama sekali tidak pernah menghalalkan perbuatan kekerasan dan berlaku zalim kepada mereka yang membuat penghinaan. Bahkan dalam semua keadaan, jika terdapat perselisihan sesama manusia, Allah Azza Wa Jalla menyuruh kita untuk kembali kepada petunjuk al Quran dan as Sunnah dan sebaliknya bukan bertunjangkan emosi panas baran kita. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 59 yang bermaksud :

"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul Nya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari akhirat".

Sebagai orang yang beriman, apabila Islam dihina, sudah tentu akan merasai perasaan marah tersebut. Ini juga petanda kita masih ada iman dalam diri kita. Untuk itu, kita haruslah bersikap rasional berdasarkan keimanan kita dalam mengungkap dan mengekspresikan kemarahan kita dengan perbuatan tersebut. Rasionalnya kita bukan mengikut nafsu ammarah kita sebaliknya mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan mencontohi Rasulullah SAW ketika berdepan dengan penghinaan.




Marahnya kita dengan bertuhankan emosi semata-mata tidak akan membawa apa-apa kebaikan sekalipun kita berpuas hati dengan tindakan memukul dan menyakiti orang yang menghina itu. Sekalipun kita merasa puas dengan jari-jemari menulis komentar, membuat status kecaman dengan cacian, makian dan carutan, hal itu bukanlah yang diajarkan oleh Islam. Mencarut, memaki-hamun dan sebagainya merupakan sifat melampau yang dibenci dan disanggah oleh Allah Azza Wa Jalla. Firman Nya dalam surah al-Maidah ayat 87 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".

Oleh yang demikian, seharusnya kita meluruskan sifat kemarahan ini dengan tidak melampaui batas. Tidak menghalalkan perbuatan menzalimi dan menyakiti orang apatah lagi menghalalkan perbuatan mencerca, memaki-hamun dan sebagainya untuk mempertahankan Islam. Marah yang melampaui batas sehingga mencarut dan sebagainya bukanlah jalan keluar yang ditunjukkan oleh Islam. Marahlah dengan keimanan. Jangan biarkan emosi hawa nafsu membelenggu kita sehingga secara tidak sedar, kita sendiri telah pun melakukan perbuatan yang mengundang pula kemarahan dan kemurkaan Allah SWT.

Negara ini mempunyai kedaulatan undang-undang. Bertindaklah mengikut lunas undang-undang yang sedia ada. Usahlah kita mengambil tindakan sendiri kerana kelak akan merugikan kita sekaligus mencetuskan persepsi salah terhadap Islam kerana menunjukkan akhlak yang tidak baik. Hakikat yang harus kita akui bersama adalah kemarahan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Namun kita harus ingat bahawa Islam menyuruh kita marah dan benci akan perbuatannya bukannya individu perseorangan. Marah dan bencilah perbuatan tersebut dengan keimanan kepada Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Isnin, 18 Julai 2022

ANAK DAN ISTERI UNTUK DILINDUNGI, BUKAN UNTUK DIKASARI

 

Sesebuah rumahtangga yang bahagia sudah tentu di dalamnya terdapat nilai-nilai keharmonian seperti saling menghormati, bertolak-ansur dan saling memahami. Tanpa nilai-nilai harmoni ini, mana mungkin sesebuah rumahtangga dapat diterjemahkan sebagaimana yang telah disebutkan di dalam al Quran seperti sakinah (ketenangan) mawaddah (kebahagiaan), rahmah (kasih sayang). Tiga elemen ini merupakan pokok asas dalam membina sesebuah rumahtangga yang berjaya.

Firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud :

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu perasaan kasih sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir".

Malangnya, apabila institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan, bertukar keadaan menjadi tempat keganasan rumahtangga seolah-olah berada di dalam neraka jahanam. Menurut Portal MyHealth, keganasan rumahtangga boleh dimaksudkan sebagai perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Ia terdiri daripada fizikal dan gangguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan.




Berdasarkan definisi berikut, keganasan rumahtangga tidak tertakluk kepada fiizkal semata-mata. Ianya boleh berlaku juga dalam bentuk pertuturan maki-hamun, psikologi dan emosi perasaan. Untuk rekod, sebanyak 7,468 kes keganasan rumahtangga dilaporkan pada tahun 2021. Berbanding pada tahun sebelumnya tahun 2020, sebanyak 5,260 kes dilaporkan. Ini bermakna, peningkatan sebanyak 2,208 kes dilaporkan. Meskipun begitu, statistik ini juga tertakluk kepada laporan yang diterima. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa ? Oleh itu kita sudah tentu tidak boleh memandang sekadar angka semata-mata kerana realitinya mungkin ramai lagi yang terkesan dengan kes ini namun takut untuk tampil membuat laporan.

Bagi membendung gejala keganasan ini, sudah pasti ia berbalik kepada diri sendiri baik sebagai seorang suami mahupun seorang isteri, memahami dan menghayati semula tanggungjawab membina rumahtangga yang harmoni. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka".

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya)".

Berdasarkan dua dalil ini, ianya sudah cukup untuk kita menyatakan bahawa peranan seorang suami sebagai ketua keluarga sangat besar amanah dan tanggungjawab bagi melindungi anak dan isterinya daripada sebarang kecelakaan. Malah, sebagai seorang suami juga, bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin termasuklah dalam soal membahagiakan anak isterinya selari dengan syariat. Demikian juga seorang suami yang baik adalah mereka yang paling baik terhadap isterinya. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ibn Majah, daripada Ibn Abbas RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya".

Imam Muhammad Nuruddin al-Sindi dalam kitab Hasyiah al-Sindi, beliau menyatakan bahawa hadith ini membawa maksud pergaulan yang mesra antara ahli keluarga merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut dalam agama. Maka sesiapa yang bersikap mesra dengan ahli keluarganya tergolong dalam kalangan yang terpilih berdasarkan sifat ini. Barangkali orang yang bersifat sedemikian (dikira) bersamaan dengan perkara-perkara baik yang lain sehingga dia dikatakan seorang yang baik secara mutlak.

Demikian juga menurut Imam as-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Awthar, beliau menyatakan Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan baginda Nabi. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri baginda tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah.




Dengan apa tujuan sekalipun, Islam sangat melarang kita untuk melakukan kekerasan dan keganasan termasuklah dalam soal mendidik anak isteri. Islam sangat melarang kita sebagai suami mendidik dengan cara kekasaran dan boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka".

Imam al-Nawawi dalam kitab Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn Hajjaj menyatakan bahawa :

"Hadith ini menyebutkan secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga seringg terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi".

Demikian tegasnya Islam melarang umatnya untuk berkelakuan kasar sesama manusia lebih-lebih lagi dalam soal memukul pada bahagian muka yang padanya terhimpun kecantikan dan keelokkan. Adapun dalam soal mendidik isteri yang derhaka kepada suami, Islam telah pun memberikan garis panduan sebagai jalan keluar kepada kemelut rumahtangga ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukul lah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)".

Ini merupakan garis panduan oleh Islam bagi tujuan mendidik isteri yang derhaka. Ianya tersusun dengan tertib dan peringkatnya. Dimulakan dengan usaha menasihati dengan hikmah, jika masih berdegil, maka kita dianjurkan untuk berpisah tempat tidur dan sekiranya masih berdegil juga, maka Islam menyuruh kita untuk memukul dengan pukulan yang tidak mendatangkan kecederaan. Pukulan tersebut juga adalah bertujuan untuk mendidik dan bukannya untuk melepaskan baran diri kita.

Sesungguhnya sesebuah rumahtangga itu dibina bagi mencapai maksud ketenangan, kebahagiaan dan kasih sayang. Kerukunan rumahtangga haruslah dipelihara oleh suami dan isteri. Seorang suami yang juga merupakan seorang ketua keluarga seharusnya lebih matang dan bijaksana mengemudi rumahtangga dengan penerapan nilai-nilai harmoni bertepatan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Jangan sesekali membiarkan diri kita dikuasai oleh nafsu ammarah dan emosi yang tidak bertepian. Kelak akan mengakibatkan kemusnahan sesebuah rumahtangga tersebut. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Ahad, 17 Julai 2022

SEKULARISME ; MENGHAKIS AGAMA, MENCABUT IMAN

Perkataan "Sekularisme" merupakan sebuah gagasan falsafah pemikiran yang berkiblatkan dunia Barat. Ketamadunan Barat yang hidup diatas slogan hak kebebasan dan asasi manusia telah memungkinkan timbulnya suatu gagasan falsafah dan pemikiran yang dinamakan sebagai Sekularisme. Jika dahulu gagasan falsafah ini disebarluaskan di dunia barat namun dunia Islam juga turut terkena tempiasnya. Akhirnya, muncul lah watak-watak Sekularisme dalam dunia Islam seperti di Turki, Mustafa Kemal Atartuk, yang telah mengubah Turki menjadi sebuah negara sekular.

Menurut David Marten, seorang ahli falsafah barat, beliau menyatakan bahawa istilah sekularisme ini berasal daripada bahasa Latin saeculum iaitu secular, ianya mempunyai banyak makna dan luas pengertiannya. Michael Hill berkata dalam bukunya berjudul A Sociology of Religion, beliau menyatakan sekularisme merujuk kepada masa dan tempat. Bagi lebih memahaminya, Syed Muhammad Naquib al Attas menghuraikan maksud "masa" dan "tempat" itu dengan menyebut masa yang bersifat kekinian dan tempat ialah yang bersifat keduniaan.




Dalam definisi yang lain, Dr. Yusuf al Qaradawi menyatakan bahawa dalam bahasa Arab, sekularisme disebut sebagai al-Almaniyyah yang membawa maksud alam. Namun beliau beranggapan terjemahan yang betul bagi kalimah sekularisme adalah al-La Diniyyah (tanpa agama). Ini bermakna, sekularisme adalah sebuah gagasan pemikiran yang mengajak umat manusia untuk maju dengan meninggalkan agama. Lebih menguatkan lagi pemahaman ini, sekularisme menurut kamus Oxford bermaksud keduniaan dan kebendaan tanpa keagamaan dan kerohanian. Secara ringkasnya, boleh kita fahami bahawa sekularisme adalah gagasan yang memisahkan antara keduniaan dan keagamaan.

Gagasan sekularisme terbina diatas nilai-nilai yang menentang agama. Bagi seorang sekular, agama hanyalah dilihat tidak lebih daripada ritual dan acara tertentu pada hari dan tempat tertentu. Dalam kebanyakan masa, hidup sebenar tidak memerlukan agama untuk mencapai kemajuan. Agama dianggap sebagai ibadat dan upacara sahaja dan untuk itu manusia tidak perlu diikat dengan agama. Keseluruhan hidup ini bagi mereka adalah seratus peratus diatas kebendaan dan keduniaan. Kekayaan, kemajuan dan kebahagiaan tidak akan dicapai oleh manusia andai terikat dan dikongkong oleh ajaran agama.

Dalam kitab Awlawiyyat al-Harakat al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadamah, Dr. Yusuf al Qaradawi menyatakan bahawa golongan sekular berpada sekadar mendirikan syiar Islam seperti solat, puasa, haji dan umrah. Tetapi mereka musykil dan tidak memahami Islam secara tepat. Dalam hal ini, mereka juga tidak menjadikan ulama dan pemikir Islam yang dipercayai (thiqah) sebagai rujukan. Demikian apa yang telah dijelaskan oleh al Qaradawi bagi kita memahami dengan lebih mendalam kerangka pemikiran sekularisme ini.




Kemunculan gagasan sekularisme di barat adalah berpunca daripada masalah keagamaan, kecelaruan pemikiran, kejiwaan dan realiti kehidupan mereka sendiri. Berdasarkan catatan sejarah, agama Kristian yang dianuti oleh warga dunia barat telah gagal memberikan kefahaman yang utuh kepada penganutnya sehingga menimbulkan kekecewaan mereka terhadap agama. Kekeliruan dan kekecewaan ini telah mendorong mereka terkapai-kapai mencari makna kehidupan sebenar.

Malah, hakikat yang harus diakui, agama Kristian itu sendiri mengiktiraf dualisme iaitu pemisahan dua entiti antara kuasa dan agama. Hal ini kerana dalam kepercayaan Kristian, dunia ini dibahagikan kuasa kepada dua bahagian. Sebahagian untuk Kaisar (pemerintah) yang menguasai kekuasaan kehidupan dunia yang berupa kuasa negara. Sebahagian lagi untuk kuasa Tuhan yang diserah kepada pihak berkuasa kerohanian iaitu pihak Gereja.

Kegagalan mereka untuk mengenali Allah sepertimana yang difahami dan diyakini oleh orang Islam, turut mendorong kepada usaha memisahkan dunia dan agama. Sejarah pemikiran barat menyaksikan mereka tidak mengenali Allah, Tuhan yang mengetahui segala-galanya, Dia yang menguasai kerajaan lamgit dan bumi, Dia lah juga yang mentadbir alam yang luas tidak bertepian ini. Akhirnya, kejahilan yang mereka tanggung membuatkan mereka memisahkan antara agama dan keduniaan.




Berbeza dengan Islam. Hidup beragama bertuhankan Allah yang Maha Esa, tidak dapat dipisahkan dengan keduniaan. Setiap gerak-geri kita, pada segala perbuatan zahir dan batin kita, semuanya dengan penuh keimanan menyakini bahawa Allah lah segala-galanya. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 162, yang bermaksud :

"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, dan hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".

Imam Ibnu Jauzi dalam kitab Zad al-Masir fi Ilm al-Tafsir, beliau menyatakan bahawa "Dan hidupku" dalam ayat ini bermaksud seluruh kehidupanku dalam ketaatan kerana Allah SWT. Berdasarkan kalam tersebut, dapat kita fahami bahawasanya agama Islam yang kita anuti ini bukanlah sekadar ritual upacara bersifat akhirat sahaja bahkan segala macam urusan hidup kita di dunia ini adalah juga termasuk dalam soal ketaatan kita kepada titah perintah Allah SWT. Kita keluar mencari rezeki, mengurus keluarga, membesarkan anak-anak dan sebagainya juga temasuk daripada ibadah kita untuk Allah Azza Wa Jalla.

Oleh yang demikian, jelas kepada kita sesungguhnya gagasan falsafah sekularisme adalah sebuah pemikiran terpesong dan bercanggah dengan syariat agama Islam. Ideologi ini menuntut kita memisahkan urusan agama dan dunia. Walhal, Islam sama sekali tidak pernah menyuruh kita memisahkan antara dua entiti ini. Pada Islamnya itu, terkandung di sana seruan politik, ekonomi, sosial yang berlandaskan neraca al Quran dan as Sunnah. Tanpa perlu kebergantungan kepada mana-mana falsafah, Islam merupakan suatu cara hidup yang sempurna lagi indah. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Jumaat, 15 Julai 2022

ISLAM, POLITIK DAN UMAT MANUSIA

 

Sebenarnya dari kejauhan sanubari kebanyakkan manusia pada hari ini sudah kecewa, letih dan penat melihat perkembangan politik semasa. Tidak kira di mana pun tempat di seluruh dunia ini, umat manusia sentiasa berperang memperjuangkan agenda politik masing-masing. Umpama suci dalam debu, sukar untuk dinilai siapa yang benar dan siapa yang salah. Lebih dasyat lagi, sebahagian mereka menunggang agama bagi membenarkan apa sahaja kepercayaan dasar politik mereka.

Kita seringkali mendengar keluhan dikalangan masyarakat yang kecewa dengan politik hari ini menyebutkan perkataan seperti "berhentilah berpolitik", "politik memecah belahkan umat", "sudah-sudahlah main politik" dan seumpamanya. Sekiranya benar berpolitik ini membawa kepada kebinasaan umat manusia, memecah belahkan rakyat dan merugikan ramai pihak, maka mengapa Islam mengajar kita untuk berpolitik ? Tidak kah berpolitik itu sia-sia, lalai dan membawa perpecahan semata-mata ? Keserabutan ini timbul dek kerana kita sebenarnya gagal untuk memahami makna dan kerangka sebenar politik.




Perkataan "politik" adalah berasal daripada kata akar polis yang asalnya di ambil dari bahasa Greek. Polis menurut bahasa Greek bermaksud negara, kota dan kemajuan. Secara literalnya, politik membawa maksud suatu ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan, dasar-dasar kerajaan, ilmu berkaitan hidup bernegara dan seumpamanya. Dalam kesempurnaan agama Islam, perbincangan berkenaan politik juga dibincangkan dan dibahaskan menurut syarak dibawah bidang fiqh. Perbahasan berkenaannya disebutkan dengan pelbagai nama seperti al-Siyasah al-Syar'iyyah, Fiqh al-Siyasah, al-Ahkam al-Sultaniyyah dan lain-lain.

Istilah politik ini telah dipopularkan oleh Plato dan anak muridnya Aristotle. Plato menerusi karya agungnya, Republic atau tajuk asalnya Politea telah membahaskan berkenaan politik itu sendiri. Dalam karya tersebut, beliau juga membincangkan tentang sifat ahli politik. Kemudiannya perkataan politikos ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebagai politikus. Dalam Islam, politik juga disebutkan dengan beberapa istilah lain selari menurut syariat Islam seperti al-Khilafah, al-Imamah, al-Qiyadah, al-Riyasah dan al-Siyadah.

Islam sangat menuntut umatnya untuk berpolitik bagi tujuan mengurus hal ehwal dan memimpin umat, mempertahankan agama dengan menjalankan hukum syariat, sekaligus membawa rahmat kepada sekalian umat manusia. Kewajiban melantik pemimpin untuk menguruskan hal ehwal umat adalah penting dan menjadi keutamaan bagi umat Islam. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin".

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitab al-Hisbah : "Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai".

Tokoh sejarawan Islam, Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah menyatakan bahawa melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat ketika wafatnya baginda Nabi, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.




Selain itu, bagi menunjukkan betapa pentingnya kita melantik pemimpin bagi menjalankan fungsi politik, iaitu menguruskan hal ehwal umat manusia, Imam Mawardi, antara tokoh yang seringkali dijadikan rujukan oleh gerakan politik Islam berkenaan penulisannya dalam soal politik, beliau pernah menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, bahawa imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.

Secara asasnya, tuntutan berpolitik itu sangat penting dan mustahak melantik pemimpin bagi memastikan hal ehwal umat manusia terjaga dan terpelihara. Dengan berpolitik, pemimpin yang dilantik dan dipilih bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan hal ehwal umat manusia seperti aturan jalan raya, percukaian dan sebagainya bahkan beliau sendiri bertanggungjawab memelihara agama Islam. Sekiranya pemimpin yang dilantik tidak berpegang dengan asas agama, maka runtuhlah sesebuah umat tersebut.

Seperti kata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Iqtisad fi al-I'tiqad, beliau menyatakan bahawa :

"Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang".

Namun begitu, amat malang sekali, apabila politik yang pada dasarnya menjadi wadah untuk mengurus umat bertukar menjadi alat untuk kepentingan peribadi. Dunia politik hari ini yang majoritinya bersistemkan demokrasi, diragut dan dicabul oleh tangan-tangan ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Demokrasi yang pada asasnya tidak bercanggah dengan syarak, kini dirobek prinsipnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menunggang politik demi keuntungan tertentu. Maka hasilnya, episod perebutan kuasa, tikam-menikam dari belakang, korupsi, politik murahan dan jijik terus menjadi tatapan kita yang semakin jauh dengan makna sebenar berpolitik.




Inilah bahana apabila sebahagian dari kita telah memperalatkan politik demi mengaut keuntungan untuk kepentingan tertentu. Lebih menjengkelkan lagi, bukan setakat politik yang diperalatkan, malah agama juga ditunggangi dan hasilnya terbitlah fatwa-fatwa politik demi menghalalkan apa yang pada mereka benar dan mengharamkan apa yang pada mereka salah. Tidak lagi berpegang kepada wahyu Allah SWT. Kemelut politik yang dilihat hari ini bukanlah cerminan sebenar berpolitik dalam Islam. Sebahagiannya telah disalah fahami dan sebahagiannya lagi telah ditunggangi oleh mereka yang cerdik pandai pak pandir.

Oleh yang demikian, umat manusia perlu lah sedar akan kebobrokan acuan politik hari ini dan bangkitlah untuk memperbetulkannya kembali. Adalah perlu bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan politik ini wajar dipertahankan. Kancah politik hari ini benar-benar memerlukan transformasi politik, perlu kepada usahanya yang lebih segar dan matang, mesti dipupuk budaya sihat berpolitik, tidak lagi sekadar retorik dan janji. Bukan lagi sekadar laungan di bibit mulut semata-mata.

Buya Hamka pernah berpesan : "Tugas kita bukanlah untuk berhasil, tugas kita adalah untuk mencuba kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan kesempatan untuk berhasil". Maknanya, sekiranya umat manusia yang kecewa dengan politik hari ini, memboikot dan menolak politik, tanpa berusaha untuk memperbaikinya, maka sedarlah bahawa tanpa kita berusaha memperbaikinya, kita tidak akan menemui politik yang sihat lagi. Teruskan berusaha memperbetulkan semula politik ini dengan kemampuan yang ada. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 12 Julai 2022

HIDUP SEBAGAI MUSLIM : BUKAN SEKADAR BERBUAT BAIK

 

Hidup sebagai seorang muslim yang berdiri diatas tunjang keimanan dan ketaqwaan adalah merupakan suatu nikmat yang paling besar dan bermakna. Pemberian nikmat iman ini juga merupakan salah satu kasih dan cintanya Allah SWT kepada para hamba Nya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Ibnu Mas'ud RA berkata yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah memberi dunia pada orang yang Allah cinta mahupun tidak. Sedangkan iman hanya diberikan kepada orang yang Allah cinta".

Oleh yang demikian, nikmat iman ini hanya dianugerahkan kepada mereka yang Allah SWT kasihi dan cintai. Ini bermakna, bukan calang-calang mereka yang diberikan nikmat keimanan ini melainkan dengan kasih sayang Allah kepadanya. Beruntunglah bagi mereka yang sehingga kini dapat merasai nikmat iman kepada Allah dan mudah-mudahan nikmat ini kekal selamanya hingga kita dijemput pulang ke negeri kekal abadi.

Dalam pada itu, keimanan kita kepada Allah SWT akan mendorong diri kita untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT yang disebutkan sebagai amar makruf dan nahi mungkar. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan jadilah sebahagian daripada kamu suatu umat yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan".




Berdasarkan firman tersebut, tugas utama yang dipikul oleh setiap manusia yang beriman kepada Nya, iaitu mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Dua kompenen terpenting ini, amar makruf (mengajak berbuat baik) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) merupakan tanda dan bukti kita cinta dan kasih kepada Allah SWT.

Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim, perkataan makruf (kebaikan) adalah satu nama yang mencakupi segala yang dicintai oleh Allah, berupa iman dan amal soleh. Perkataan munkar (maksiat) pula adalah satu nama yang mencakupi segala yang dilarang oleh Allah SWT. Demikian pula Al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya Mufradat fi Gharib al-Quran, beliau menyatakan bahawa makruf itu adalah satu nama bagi setiap perbuatan yang diketahui kebaikannya oleh akal atau syariat, sedangkan munkar adalah apa yang diingkari oleh keduanya.

Berdasarkan definisi ini, dapat kita fahami bahawa tugas seorang muslim yang beriman kepada Allah, tidak sekadar merangkumi urusan mengajak diri dan para manusia untuk berbuat baik semata-mata malah sebaliknya kita juga perlu melarang, menghalang atau mencegah diri dan para manusia yang lain daripada melakukan kemungkaran. Secara tidak langsung, keimanan yang sebenar bukan sekadar menunaikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Tetapi keimanan yang sebenar juga harus dibuktikan dengan tindakan kita melarang, mencegah atau menghalang sesuatu hal kemungkaran itu berlaku.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat akan kemungkarab maka hendaklah dia mengubah (yakni menghalang) dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya (perkataan), sekiranya dia masih tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman".

Berdasarkan hadith ini, telah terang lagi bersuluh akan kewajiban kita sebagai orang beriman untuk menolak dan menentang segala kemungkaran dan kebatilan dalam segenap kehidupan. Dengan apa jua cara sekalipun, melalui kuasa yang kita miliki, jika tidak mampu, kita gunakan kaedah memberi amaran atau menasihatinya untuk tidak berbuat lagi. Namun jika kita tidak mampu juga, maka bencilah akan kemungkaran itu dengan hati yang beriman dan hal itu adalah selemah-lemah iman.




Mencegah kemungkaran merupakan tanggungjawab kita bersama. Tanpa mengira apa jua situasi dan keadaan, kita memikul tanggungjawab itu. Misalnya dalam sebuah institusi kekeluargaan, seorang bapa yang beriman tidak cukup sekadar rajin ke masjid menunaikan solat, tidak sekadar bersedekah dan sebagainya, tetapi seorang bapa yang beriman juga bertanggungjawab melarang anak isterinya dariapda melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Wajib menegur anak isteri menutup aurat, mengingatkan mereka akan kewajiban solat dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan berjiran pula, apabila kita melihat sesuatu kemungkaran seperti jenayah dadah, percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram dalam satu rumah, keganasan rumahtangga dan seumpamanya lagi, maka kita perlu bertanggungjawab dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa. Dengan tangan kita, hubungi pihak berkuasa. Berikan maklumat sewajarnya dan bersedia menghulurkan kerjasama bagi memudahkan urusan. Bukannya berdiam diri dan tidak ambil peduli.

Ingatlah peringatan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Ibnu Mas'ud, bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah pada salah satu umat sebelumku melainkan dia mempunyai pengikut setia dan orang-orang yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian setelah itu, datang generasi-generasi yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa melawan mereka dengan tangannya, dia orang mukmin. Sesiapa yang melawan mereka dengan lisannya, dia orang mukmin. Dan sesiapa yang melawan mereka dengan hatinya, dia orang mukmin. Dan di belakang itu, tidak ada iman sebesar biji sawi pun".

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahwa mencegah, menghalang atau melarang sesuatu kemungkaran itu daripada berlaku sama ada dengan cara menggunakan tangan, lisan mahupun hati, ia adalah tanda orang yang beriman. Sebaliknya, jika kita tidak berbuat apa-apa, berdiam diri dan berpeluk tubuh sahaja, maka tidak adalah iman walau sebesar biji sawi dalam diri kita. Ini bermakna, adalah besar maknanya sekiranya kita dapat melaksanakan tugas nahi mungkar ini. Ia berkait rapat dengan keimanan kita kepada Allah.

Demikianlah kehidupan sebagai seorang muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Kerja dan tugas kita tidak sekadar menyeru orang berbuat baik, tidak cukup sekadar kita mendirikan solat, bersedekah semata-mata. Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan kemungkaran dan kebatilan tidak bermaharajalela dan merosakkan umat. Kemungkaran bukan sekadar dalam ibadah, juga dalam soal akidah kita. Kita wajib menolak sebarang kebatilan dalam kehidupan kita. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 5 Julai 2022

INFLASI : RAKYAT MAHU SOLUSI, BUKAN RETORIK

 

Inflasi merupakan suatu istilah yang menggambarkan kedudukan ekonomi semasa. Menurut Kamus Online Cambridge, inflasi membawa maksud peningkatan harga yang berterusan secara umum. Kadar inflasi pula membawa maksud ukuran bagi kadar peningkatan harga dalam bentuk peratusan. Semakin tinggi kadar inflasi maka semakin meningkat pula kos perbelanjaan. Misalnya, apabila kadar inflasi meningkat sebanyak 2.5 peratus, ini bermakna perbelanjaan kos sara hidup juga mengalami peningkatan sebanyak 2.5 peratus. Kesannya, harga akan mengalami kenaikan.

Sememangnya kita harus akui bahawa dunia pada hari ini terkesan dengan kadar inflasi yang kian meningkat. Hal ini telah memberi tekanan kepada hidup rakyat marhaen yang berstatus B40 yang purata pendapatannya pada kadar RM 4000 ke bawah. Keadaan inflasi yang terjadi akan mengakibatkan kuasa membeli menjadi semakin menurun dan lemah. Dengan kenaikan harga yang kian meninggi, adalah mustahil untuk rakyat mempunyai kuasa beli yang sama pada sebelum ini.




Menginsafi akan keadaan gawat ini, sudah tentu menjadi harapan rakyat marhaen terutamanya golongan B40 mendambakan sebarang usaha dan tindakan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan. Sekiranya keadaan ini semakin runsing dan memenatkan, tidak hairanlah kita akan dihidangkan lagi dengan laporan berita bunuh diri, bunuh keluarga dan lain-lain akibat hilang kewarasan berhadapan krisis inflasi yang tidak menentu ini. Atas apa nama jua usaha sekalipun, rakyat mahukan solusi dan penyelesaian bagi mengurangkan kenaikan kos sara hidup.

Bukannya sekadar tubuh ini dan tubuh itu, jawatankuasa ini dan itu, namun hasilnya masih kabur dan tidak berpenghujung. Keceluparan mulut para menteri, juga pegawai tinggi kerajaan, yang menyarankan agar rakyat kurangkan makan telur, menyatakan kenaikan harga barang bukan masalah besar dan lain-lain kenyataan kurang cerdik oleh para menteri hanya mencurah api di minyak tanah sahaja. Membakar dan bukannya memadam. Apakah setiap kali negara berdepan dengan krisis ekonomi, rakyat juga yang dipersalahkan ? Mungkinkah menjadi trend terkini rakyat disaran ikat perut dan kurangkan makan ?

Bagai tradisi kerajaan sejak dahulu, apabila sesuatu masalah berlaku, maka disuruhnya rakyat untuk buat itu dan ini. Sedangkan, tatkala ada rakyat yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pak menteri sempat pula berpolitik sana sini demi memenuhi kehendak dan cita-citanya yang tidak berkesudahan. Dikala ada rakyat yang kini terpaksa mencatu makanan, pak menteri pula dengan senang hati bercakap kerajaan jamin itu ini di mulut, namun belum tentu dapat dilaksanakan lagi. Lebih menyedihkan, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan, mesyuarat demi mesyuarat berlangsung, namun realitinya semakin menekan.




Sekadar bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab. Ke mana hilangnya peranan Majlis Pemulihan Ekonomi ? Apakah tindakan dan strategi yang diambil oleh Majlis Tindakan Ekonomi ? Bagaimana pula dengan fungsi yang dimainkan oleh Majlis Kos Sara Hidup ? Kesemua ini sudah tentu menelan belanja yang banyak bagi kelangsungan peranan jawatankuasa-jawatankuasa tersebut. Persoalan besarnya, ke manakah semua nya ini ? Adakah sekadar tubuh lalu mengenyangkan poket ahli mesyuarat dengan elaun kehadiran mesyuarat ? Ini belum lagi kita meneliti semula tugas dan peranan pak menteri yang bersaiz besar dan menelan belanja yang tinggi.

Umpama menunggu bulan jatuh ke riba, penyelesaian yang diambil setakat ini dengan menubuhkan lagi jawatankuasa khas yang diberi nama JIHAD. Apa pun nama dan gelaran yang diberikan, penubuhan pelbagai atas apa jua nama sekalipun, bukan ini yang ditunggu dan diharapkan oleh rakyat. Bukan retorik tubuh itu dan ini, tetapi yang dinantikan ialah perancangan, strategi dan gerak usaha bagi mengurangkan kadar inflasi yang kian menekan ini. Kita barangkali yang makan gaji setiap bulan, tidak terkesan dengan keadaan semasa. Tetapi adakah kita terfikir apa pula nasib mereka yang tidak berpendapatan tetap, penggangur dan lain-lain.

Boleh jadi di saat dan ketika ini, kita memerlukan pejuang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan lain-lain yang berani menentang British ekoran tekanan ekonomi yang dikenakan kepada penduduk tempatan sewaktu itu. Kini, kita tidak lagi berdepan dengan penjajah. Namun masalahnya tetap sama. Menekan dan ditekan. Rakyat pula yang disuruh ikat perut, kurang makan telur dan bela ayam. Kita sedar dan percaya, perancangan hari ini tidak akan terus berjaya pada keesokkannya. Namun sekurang-kurangnya adalah setitis cahaya yang boleh mengukirkan senyuman di bibir rakyat. Setidak-tidaknya, terpalit setulus keyakinan pada kerajaan dengan nampaknya usaha dan tindakan sedang dilaksanakan.

Kepada semua pemimpin dan kepada kita yang dipimpin, sebarang usaha yang dilaksanakan tidak akan dapat direalisasikan andai kita tidak saling bantu antara satu sama lain. Oleh itu, saranan kepada kerajaan, tampil lah dengan solusi yang menyakinkan. Usaha harus bergerak selari dengan kelincahan para menteri di arena politik kepartian. Kepada yang dipimpin, sabar dan berilah ruang kepada kerajaan membuktikan kredibiliti mereka bagi membantu rakyat. Sesungguhnya kuasa di tangan kita. Meskipun kuasa rakyat 5 tahun sekali, jangan disangka sekali tidak akan berbuah berulang kali. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Isnin, 4 Julai 2022

ADA APA DENGAN HARI ARAFAH ?

 

Arafah merupakan sebuah nama tempat yang terletak di sebelah timur Kota Makkah. Jarak dari Arafah ke Kota Makkah dianggarkan sejauh 20 kilometer. Berkenaan sejarah nama Arafah, Imam al-Tha'labi telah menyatakan dalam kitab tafsirnya, Tafsir Tha'labi, para ulama berbeza pandangan berkenaan penamaan hari Arafah. Antaranya menurut Imam Ad-Dahhak, beliau menyatakan bahawa pada hari Arafah, Nabi Adam AS telah bertemu dengan Hawa' setelah diperintah keluar dari syurga oleh Allah. Mereka bertemu semula pada hari Arafah.

Menurut Imam As-Suddi, tempat tersebut dinamakan Arafah adalah kerana bertemunya Nabi Ibrahim AS dengan Ummu Ismail (Ibu Nabi Ismail) yang disebutkan sebagai Hajar di Arafah setelah isteri pertama Nabi Ibrahim cemburu melihat Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Selain itu, Imam Ata' pula menyatakan bahawa dinamakan Arafah kerana Jibril AS telah mengajarkan manasik haji ke Nabi Ibrahim AS. Lalu diterangkan tentang Arafah.

Demikian pula menurut riwayat Abu Tufail daripada Ibn Abbas, ia dinamakan Arafah kerana Jibril AS telah menunjukkan tempat sekian-sekian untuk manasik haji maka baginda Nabi Ibrahim AS berkata aku mengetahuinya. Sebahagian ulama lain pula menyatakan bahawa dinamakan Arafah kerana pada hari itu manusia sekaliannya mengetahui serta memperakui dosa-dosa mereka. Maka disitulah dijadikan tempat untuk memperakui dosa yang pada asalnya jugalah Nabi Adam AS mengakui kesalahan dan diterima taubat.




Hari Arafah adalah pada tarikh 9 Zulhijjah. Arafah, selain merujuk kepada nama tempat, pada hari itu juga seluruh umat Islam yang melaksanakan ibadah haji akan berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Berwukuf di Arafah dalam erti kata lain, berada di Arafah walau satu saat sekalipun walaupun dalam sebarang keadaan. Perbuatan tersebut juga merupakan salah satu rukun haji. Ini bermakna, adalah wajib bagi umat Islam yang menjalani ibadah haji melaksanakan ibadah wukuf di Arafah.

Bagi umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan bagi mereka untuk berpuasa pada hari Arafah. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Qatadah al-Ansari RA, Rasulullah ketika ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda Nabi bersabda yang bermaksud :

"Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang"

Umat Islam yang melaksanakan ibadah haji pula disunatkan untuk tidak berpuasa dan sekiranya mereka berpuasa juga, hal itu telah menyalahi perkara utama. Menurut sebuah hadith riwayat Muslim, Dari Umm al-Fadhl binti al-Harith, katanya :

"Ramai dikalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu baginda berada di Arafah lantas baginda meminumnya"

Juga dalam hadith yang lain riwayat Abu Daud dan al-Nasa'ie, dari Abu Hurairah RA katanya :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah".

Pada hari Arafah, terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan berdasarkan al-Quran dan hadith Nabi SAW. Antaranya pada hari Arafah, diturunkan firman Allah SWT pada ayat 3 surah al-Maidah yang menyatakan bahawa pada hari ini (hari Arafah), Allah SWT telah menyempurnakan dan melengkapkan agama Islam tanpa perlu kepada sebarang penambahan mahupun pengurangan.

Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki bertanya kepadanya :

"Wahai Amirul Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al Quran) yang kamu membacanya. Jika ia keatas kami sekalian bangsa Yahudi, maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya : Apakah ayat itu ? Dia berkata : "Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu". Umar berkata : Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut keatas Nabi SAW ketika baginda Nabi berdiri di Arafah pada hari Jumaat".

Kata As-Sya'bi, telah turun ayat ini (ayat 3 surah al-Maidah) kepada Rasulullah SAW ketika baginda Nabi berada di Arafah, tempat Nabi Ibrahim pernah berada sebelum ini. Syirik berkurangan dan robohlah segala tempat jahiliah serta mereka tidak lagi melakukan tawaf di Kaabah secara tidak berpakaian.




Selain itu, hari Arafah merupakan hari yang baik dan mulia untuk kita berdoa kepada Allah SWT. Perkara ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abdullah bin 'Amr, bahawa Nabi SAW bersabda :

"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah"

Para ulama berbeza pandangan ketika membahaskan tentang kelebihan berdoa pada hari Arafah. Adakah kelebihan ini dikhususkan kepada mereka yang berada di Arafah atau sebaliknya untuk semua walau dimana sahaja. Dalam hal ini, ada beberapa pandangan. Dalam kitab al-Muntaqa' Syarah Muwatto', berkata al-Baji Rahimahullah, makna hadith "Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah" ialah zikir yang paling berkat, paling besar pahala dan paling hampir dengan ijabah (diperkenan/diterima).

Oleh yang demikian, berdasarkan hal tersebut, sebahagian ulama menyatakan kelebihan berdoa pada hari Arafah adalah khusus untuk jemaah haji sahaja kerana mereka sudah tentu lebih dekat untuk diterima doa kerana berada pada tempatnya. Sebahagian ulama pula berpandangan dibolehkan juga mereka yang tidak melaksanakan ibadah haji berdoa pada hari Arafah. Ini berdasarkan dalam kitab al-Islam Soal wa al-Jawab Fatawa, karangan Syeikh Soleh al-Munajjid, menyatakan bahawa :

"Imam Ahmad juga membolehkannya walau beliau sendiri tidak melakukannya. Hal ini menunjukkan bahawa mereka menilai keutamaan hari Arafah tidaklah khusus bagi orang yang haji sahaja. Walau memang berkumpul ramai-ramai seperti ini untuk berzikir dan berdoa pada hari Arafah tidak pernah ada asalnya dari Nabi SAW".




Padanya juga, merupakan hari dimana Allah akan memberikan keampunan dosa, pelepasan dari azab api neraka dan kemegahan bagi orang yang melakukan ibadah wukuf di Arafah. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda :

"Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada api neraka melebihi hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfirman, "Apa yang diinginkan oleh mereka ?".

Juga dalam hadith yang lain, riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani, daripada Abdullah bin 'Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah berbangga dihadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah. Allah berfirman : "Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba Ku, mereka sedang datang berhimpun kepada Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut".

Demikianlah apa yang ada pada hari Arafah. Padanya terhimpun segala kesempurnaan syariat agama Islam ini. Ini bermakna, setelah itu, tidak ada lagi wahyu yang diturunkan kepada Nabi dan selepas kenabian. Oleh itu, keaslian dan ketulenan agama ini harus dipelihara dan dijaga dari sebarang unsur tokok tambah (bid'ah) yang boleh mencemarkan intipati ajaran Islam sebenar. Semoga Allah mengampuni kita semua.