Rezeki
Allah itu adalah sangat luas tidak bertepian. Kekayaan Allah SWT tidak sedikit
pun berkurangan meskipun Allah sangat pemurah dengan sifatnya yang Maha
Sempurna. Diatas kehendak Nya jualah, sesiapa sahaja yang Allah mahu muliakan,
pastinya akan dimuliakan. Dengan kehendak Nya jualah, sesiapa sahaja yang Allah
mahu hinakan pastinya akan dihina. Soal mulia atau hina tidaklah sama sekali
berkaitan dengan harta dan kedudukan. Seseorang yang kaya-raya dan
berkedudukan, bukan semestinya tanda mulia. Begitu juga sebaliknya, seseorang
yang miskin tidak berkedudukan, bukan semestinya tanda Allah menghina.
Kaya
atau miskin kah seseorang itu sama sekali tidak mewakili kemuliaan atau
kehinaan pada seseorang. Hal ini kerana sejarah telah menceritakan kepada kita
betapa ramai juga manusia yang kaya namun di humban ke neraka dan manusia yang
miskin dimasukkan ke syurga. Misalnya seperti kisah Qarun yang menjadi manusia
terkaya pada zaman Nabi Musa AS. Setelah Allah mengurniakan padanya kekayaan
harta yang melimpah ruah, beliau berubah menjadi sombong dan takbur dengan
kekayaan. Sebagai balasannya, Allah telah menghumbankan Qarun bersama hartanya
ke dalam bumi.
Firman
Allah SWT berfirman dalam surah al-Qasas ayat 81 yang bermaksud :
"Maka
Kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada
baginya satu golongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan dia tidak
termasuk orang-orang yang dapat membela diri".
Sekiranya
kekayaan itu adalah merupakan lambang kepada kemuliaan, nescaya Allah akan
memuliakan Qarun yang kaya-raya. Namun Qarun yang lalai dan leka dengan
hartanya yang kaya, membuatkan dirinya dihukum oleh Allah dengan
sehina-hinanya. Pada masa sama, kemiskinan bukanlah suatu bentuk kehinaan oleh
Allah. Kerana melihat pada sirah baginda Nabi SAW, kita akan dapat melihat
beberapa keadaan baginda Nabi terpaksa mengikat perut kerana ketiadaan makanan
di rumah. Kemiskinan juga tidak bermaksud Allah murka dan benci kepada kita.
Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Aku
melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah
terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat
ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri
daripada golongan perempuan".
Berdasarkan
hadith ini, dapat kita fahami bahawa kebanyakan penghuni syurga adalah
dikalangan mereka fakir dan miskin. Seandainya benar miskin bermaksud hina,
masakan boleh mereka ini menjadi penghuni syurga setelah mereka dihina dengan
kemiskinan. Oleh yang demikian, jelas pada kita bahawa kaya atau miskin,
bukanlah memberi erti tanda mulia atau hina. Sebetulnya, yang menjadikan diri
manusia itu mulia atau hina adalah berdasarkan ketaqwaannya kepada Allah SWT.
Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang
bermaksud :
"Sesungguhnya
orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling
taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal".
Kemuliaan
atau tidak, ia terletak kepada ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Taqwa padanya
mempunyai banyak maksud. Seperti kata Saidina Ali RA, taqwa ialah takut kepada
Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit
dan bersiap sedia untuk hari kesudahan. Kata Abdullah bin Mas'ud pula, taqea
adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan
tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari. Melihat kepada beberapa
definisi ini, jelas kepada kita kaya atau miskin bukanlah ukuran atau penentu
untuk mulia atau hina.
Lembaran
sejarah juga telah mencatatkan beberapa manusia dikalangan sahabat Nabi yang kaya-raya
dimuliakan oleh Allah SWT dengan dimasukkan ke dalam syurga bahka menjadi
antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Dalam sebuah hadith riwayat Ibn
Hibban yang bermaksud :
"Abu
Al-Khalifah mengkhabarkan kepada kami daripada Syu’bah daripada Al-Hurr Bin
Al-Siyah daripada Abdurrahman Bin Al-Akhnas bahawa ada satu ketika beliau
berada di Masjid. Maka Mughirah menyebut tentang Ali dan beliau mencela Ali.
Lalu Sa’id Bin Zaid bangun dan berkata : Aku bersaksi dengan nama Rasulullah
SAW bahawa aku mendengar Baginda bersabda tentang sepuluh orang yang berada di
dalam syurga : Nabi berada di syurga, Abu Bakar berada di syurga , Umar berada
di syurga, Uthman berada di syurga, Ali berada di syurga, Talhah Bin Ubaidullah
berada di syurga, Zubair Bin Al-‘Awwam berada di syurga, Sa’ad Bin Malik berada
di syurga, Abdurrahman Bin ‘Auf berada di syurga. Kalau kamu mahu akan aku
namakan orang yang kesepuluh. Para sahabat bertanya siapakah dia lalu Nabi SAW
diam. Para sahabat bertanya lagi : siapakah dia?. Maka Nabi SAW menjawab :
Sa’id Bin Za’id.”
Salah
seorang sahabat Nabi yang kaya-raya yang juga dijamin syurga oleh Allah SWT
adalah Abdurrahman Bin Auf. Kekayaan beliau sama sekali tidak menjadikan
dirinya hina malah disebabkan kekayaannya lah Allah meninggikan darjat kedudukannya
kerana sifat murah hatinya beliau khususnya dalam usaha berdakwah. Kemurahan
hati dengan membelanjakan kekayaan pada jalan yang benar akan dapat menjadikan
diri manusia itu dikasihi dan dirahmati oleh Allah. Sebaliknya, jika terdapat
orang miskin tetapi sombong dan angkuh hidupnya, golongan seperti ini dibenci
oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al-Nasai'e,
daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Empat
golongan manusia yang dibenci Allah iaitu penjual yang suka bersumpah, orang
miskin yang sombong, orang tua yang suka melacur dan pemimpin yang
derhaka".
Demikianlah
makna rezeki pada kehidupan. Sesungguhnya rezeki boleh datang dan pergi. Namun
yang kekal dihitung oleh Allah ialah bagaimanakah kita menguruskan rezeki itu
menjadi berkat dan rahmat pada kehidupan. Rezeki yang banyak, sehingga menjadi
kaya, tidak semestinya bermakna Allah sayang dan mulia. Tetapi sebagai satu
ujian untuk menguji keimanan kita dalam membelanjakan rezeki yang Allah
berikan. Hidup dalam kemiskinan pula tidak bermaksud Allah menghina hamba Nya.
Bahkan kemiskinan juga suatu ujian kehidupan bagi menguji keimanan kita dalam
bersabar, berusaha dan bertawakkal kepada Nya. Semoga Allah merahmati dan
mengampuni kita semua.