Selasa, 2 Februari 2016

PERIGI MENCARI TIMBA

Wanita yang lambat berumah tangga sering dipandang negatif. Kemudian hati yang gundah itu pula terikat dengan peribahasa lama, ‘masakan perigi mencari timba’. Kadangkala sebagai wanita, ada perkara yang perlu kita abaikan untuk membawa perubahan. Perigi boleh mencari timba. Asalkan timba yang dicari itu sesuai semua hukum syaraknya. Kalau dilihat dari sudut sejarah atau Sirah Rasulullah s.a.w, ternyata isteri baginda yang pertama, Saidatina Khadijah yang terlebih dahulu meminang baginda melalui perantaraan orang kepercayaan beliau, Maisarah. Memang Khadijah wanita hebat yang ditentukan Allah SWT yang terbukti menjadi tiang sokong kepada perjuangan dakwah yang agung. Pengorbanan Khadijah tiada tolok bandingnya. Sebagai seorang yang matang dan jauh lebih berpengalaman, Khadijah dapat menilai yang mana kaca, yang mana permata! 


Iktibar yang perlu diambil dari kisah cinta Khadijah dan Muhammad SAW, sekiranya seorang wanita mempunyai keyakinan dan kekentalan semangat, positif melihat dirinya sebagai seorang insan yang punya banyak potensi dan sumbangan untuk masyarakat, tidak salah baginya memilih secara tegas calon suami yang bakal melayari hidup bersama untuk merealisasikan impian dan hasrat mulianya. Apa yang boleh diteladani dari kisah Khadijah ini, seorang wanita tidak hanya berserah kepada takdir bagi menunggu jodohnya datang menggolek. Usaha mestilah ada  merangkumi doa yang tidak pernah jemu serta pengharapan kepada kerahmatan serta belas kasihan Allah menjadi sandaran dan sokongan. Namun persoalannya hari ini, tidak banyak cara dan ruang dalam masyarakat kita untuk seorang wanita membuka langkah berani sebegitu rupa. Apatah lagi, kalau yang dilamar menolak pula pinangan kita. Tidakkah haru biru jadinya? Di mana hendak disorokkan wajah yang hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong ini. 





Tidak hairanlah sekiranya ramai di antara wanita berkerjaya yang sudah agak lewat usia, memilih untuk terus membujang dari menanggung risiko bimbang akan melalui pengalaman pahit ini. Di sini peranan ibu bapa sepatutnya dimainkan. Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam menguruskan jodoh anak-anak gadis mereka. Kepada anak-anak pula haruslah mempercayai ibu bapa dalam memilihkan jodoh yang sesuai dengan mereka. Jika ibu bapa memainkan peranan menjadi orang tengah dalam urusan jodoh anak-anak mereka, tidak timbul tanggapan negatif mengenai perigi mencari timba. Kadangkala tanggapan orang seperti ini harus ditangani dengan sabar dan wajah penuh senyuman. Tidak semua orang berada dalam kasut yang sama. Secara amnya, tanggungjawab dalam mencari jodoh bukanlah terletak pada si gadis semata-mata. Jikapun dia telah bertemu dengan pilihan hatinya, ibu bapa juga harus turut mengetahui tentang asal-usul si lelaki agar tidak ada yang menyesal di kemudian hari. Sesungguhnya, jodoh, ajal dan maut itu sudah ditentukan Allah SWT. Namun, usaha kita juga perlu dalam mengharungi perjalanan mencari cinta sejati. InsyaAllah.

Jumaat, 15 Januari 2016

MUHASABAH DIRI

Islam amat menganjurkan amalan bermuhasabah sebagai agenda penilaian diri selepas setiap amal atau perbuatan selesai dilaksanakan. Sebagai seorang manusia, setiap saat dilalui adalah kehidupan. Manfaat diperolehi harus bersyukur dan segala mudarat mestilah cuba dielakkan agar tidak berulang kembali. Di sinilah letaknya peranan muhasabah diri yang sepatutnya dijadikan bahan pengukur keupayaan dan pencapaian diri. Dalam konteks pengurusan, bedah siasat dilakukan selepas selesainya pelaksanaan sesuatu perancangan supaya sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan kekurangan itu dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku berulang kali. Maka, dalam kehidupan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang tersandang di bahunya pelbagai tanggungjawab perlu lebih menilai pencapaian dirinya adakah semakin baik amalan dan ketaatanya kepada Allah atau sama saja seperti hari berlalu.


Rasulullah sendiri sering berpesan kepada sahabatnya dengan mengingatkan mereka melalui sabdanya yang bermaksud ‘perbaharui iman kamu’ supaya kualiti iman dapat dipertingkat dan tidaklah hanya berada pada takuk sama tanpa ada sebarang anjakan. Umar al-Khattab pula pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”. Ia menunjukkan individu Muslim yang mendambakan kebaikan dalam hidup mestilah menghiasi dirinya dengan sentiasa menghitung diri mencari dan mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dirinya bukannya hanya menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari, tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti dengan kecantikan diri. 





Peribadi Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun haruslah dijadikan idola dan contoh. Beliau selalu meminta orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah mencatatkan Umar pernah ditegur wanita dalam persoalan mengehadkan jumlah mahar. Malah, beliau pernah diacukan pedang oleh rakyat pimpinannya untuk diperbaiki kesalahan yang mungkin dilakukan olehnya ketika menjadi khalifah. Lihatlah resmi setiap Khulafa al-Rasyidin Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali akan bangun berkhutbah selepas selesai perlantikan sebagai pemimpin masyarakat Islam. Antara inti pati ucapan mereka ialah mengharapkan agar orang Islam membetulkan apa-apa kesilapan yang mereka lakukan semasa memimpin dan memberi sokongan selama mereka berada benar di atas landasan al-Quran dan menolak mereka apabila mereka mengetepikan pimpinan wahyu dan sunnah rasul.


Inilah konsep muhasabah yang dipegang oleh pemimpin Islam terkemuka pada awal pemerintahan Islam selepas kewafatan Rasulullah. Maka, apabila pemimpin tertinggi negara secara terbuka meminta orang ramai membuat penilaian di atas kepemimpinannya, maka masyarakat umum adalah lebih penting bermuhasabah sendiri di hadapan Allah adakah kita ini hamba yang benar-benar taat mematuhi perintahnya dan menjalankan kewajipan sebagai khalifah Allah yang diamanahkan sebagai pemakmur bumi ini?. Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim. Orang yang sentiasa bermuhasabah akan sentiasa menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas akan melakukan perubahan ke arah kebaikan. Secara tidak langsung apabila seseorang berasakan kelemahan dirinya, pasti dia akan cuba merangka strategi memperbaiki diri supaya kekurangan itu tidak selama-lamanya ada dalam dirinya. Ia hanya boleh dilakukan dengan menjauhkan perasaan ego dan sombong dalam diri. Jika fikiran, perasaan dan minda dikuasai perasaan bahawa dirinya baik tanpa kekurangan, maka selama itulah tiada perubahan yang dapat dilakukan ke arah pembaikkan diri yang lebih sempurna. Muhasabah diri juga adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di akhirat. Dia akan sentiasa berasa kurang dan lemah diri di hadapan Allah dan cuba untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Bagaimanakah kaedah untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan diri? Mungkin dirasakan amat susah untuk mengenal pasti keaiban dirinya sendiri berbanding aib orang lain kerana ramai manusia lebih mudah melihat kepada orang lain daripada melihat kepada dirinya sendiri. 

Selasa, 12 Januari 2016

ISLAM ADALAH DAMAI

Ulama ulung, al-Imam Abdullah bin al-Mubarak mempunyai seorang jiran berbangsa Yahudi. Apabila beliau membeli daging atau buah-buahan, beliau akan menghadiahkannya kepada jirannya itu. Suatu hari orang Yahudi itu bermaksud menjual rumahnya, datanglah seorang yang hendak membeli. Dia berkata: "Harga rumahku ini dua ribu dinar, yang seribu adalah harga rumah dan seribu lagi harga berjiran dengan Ibnu Mubarak." Beliau amat terharu dengan perkataan jirannya itu, lalu diapun mendatanginya seraya berkata: "Ini seribu dirham untuk harga rumahmu dan engkau jangan menjualnya." Setelah peristiwa itu akhirnya Yahudi itu masuk Islam. Saidina Ali pernah berkata: "Sesiapa yang mahu menguasai manusia, kuasailah hatinya." Para sahabat Rasulullah SAW memiliki kepakaran dalam mempengaruhi manusia, melembutkan hati dan menundukkan jiwa mereka kepada Islam. Rasulullah telah mendidik duta-duta Islam yang bertugas membawa ajaran agama ke luar Makkah. Salah seorang duta Islam yang pertama adalah Saidina Mus'ab bin Umair yang ditugaskan ke Madinah.


Penyebaran Islam dilakukan dengan jalan damai dan persahabatan, bukan seperti yang didakwa para orientalis songsang bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Hakikatnya, peperangan yang terjadi dalam sejarah Islam adalah bersifat perang kerana membela diri. Rasulullah SAW mengajarkan kelembutan dan akhlak mulia sebagai teras kecemerlangan dakwahnya. Terbukti ketika baginda membuka kota Makkah dan menawan penduduknya, saat itu kunci Kaabah telah dilarikan oleh pemegang amanahnya yang bernama Usman bin Talhah, seorang musyrikin. Keluarga Usman dipandang mulia kerana telah berkhidmat menjaga Kaabah secara turun temurun. Itulah warisan yang paling mahal dan berprestij bagi zuriat mereka. Dia menyeru dari atas bumbung Kaabah: "Sesekali takkan ku biarkan lelaki yang mengaku dirinya Nabi merampasnya daripadaku." 




Lalu Saidina Ali bin Abu Talib memulas tangan Usman dan mengambil kunci itu. Kemudian datanglah al-Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Rasulullah SAW memohon agar kunci itu diserahkan kepada keluarga beliau. Ia merupakan satu penghormatan terbesar bagi sesiapa sahaja yang mampu berkhidmat kepada Baitullah. Namun Rasulullah SAW menyuruh Ali untuk mengembalikannya kepada Usman bin Talhah yang masih kafir dan nyata penentangannya kepada baginda SAW. Rasulullah juga menyuruh Ali meminta maaf kerana telah menyakiti tangannya. Setelah menerima apa yang menjadi haknya Usman bin Talhah menyatakan dirinya masuk Islam. Beliau begitu terharu dengan sifat adil dan kasih sayang yang terserlah pada keperibadian Rasulullah SAW. Akhirnya semua orang kafir di Makkah menyerahkan dirinya kepada agama Allah. Dengan rasa tunduk mereka menginsafi diri betapa indah dan mulianya ajaran agama Allah ini.


Tetapi kini, persepsi terhadap kemuliaan Islam telah tercalar dengan peristiwa-peristiwa keganasan. Padahal ia adalah angkara manusia-manusia durjana yang tidak bertanggungjawab yang bertopengkan Islam. Sesungguhnya mereka telah keluar dari prinsip yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan diamalkan para sahabat dan tabiin dalam memperjuangkan agama Islam ini. Bagaimanakah metod dakwah yang sesuai pada zaman yang serba canggih ini? Mengapa tidak dicuba dengan cara yang lebih bertamadun seperti persaingan dalam bidang sains dan ekonomi, politik dan budaya, pertahanan dan keamanan, kerana semua itu adalah media dakwah paling penting untuk diterokai generasi Islam saat ini. Setiap muslim bertanggungjawab mempamerkan nilai-nilai Islam ketika berinteraksi dengan non-muslim. Kewajipan menyampaikan mesej Islam ini bukan terletak di tangan para pendakwah yang berlatar belakang pendidikan Islam sahaja, tetapi setiap individu muslim adalah pendakwah dengan bidang dan kepakarannya masing-masing. 





Seorang artis adalah pendakwah jika dia mampu memberikan teladan yang baik kepada peminat-peminatnya, seorang ahli politik atau ahli perniagaan, wartawan atau budayawan diharapkan mampu menegakkan mesej Islam di medan yang diceburi, bahkan seorang angkasawan atau penjaga kedai sekalipun harus mempunyai kesedaran membela Islam di mana jua dia berada. Cara yang paling sederhana dan mudah ialah tunjukkan akhlak Islam yang mulia, jujur dan amanah, sopan santun dan berbudi bahasa, adil dan bertanggungjawab, kasih sayang dan simpati, semua itu merupakan ciri-ciri Islam yang mesti diperjuangkan. Senyuman dan kata-kata yang manis sudah cukup membuktikan bahawa Islam itu penyebar kasih sayang sejagat. Namun perlu diingat tentang masalah akidah dan kepercayaan yang tidak boleh sama sekali berlaku tolak ansur di dalamnya. Untukmu agamamu dan untukku agamaku, tapi kita masih boleh berkasih sayang dan berdamai.

Sabtu, 9 Januari 2016

KUNCI KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA

Semua pasangan suami isteri mengidamkan kehidupan rumah tangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumah tangga tersebut? Adakah dengan mempunyai kekayaan dan memiliki segala-galanya, kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Berapa banyak sebenarnya kes penceraian yang berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang kononnya mempunyai kemewahan hidup semakin ketara? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya? Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semula jadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperoleh kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Namun bagi sesebuah rumah tangga Muslim yang bahagia itu ianya bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat.


Bagi mereka yang merancang ingin mendirikan rumah tangga yang bahagia, aspek pemilihan jodoh yang tepat adalah sangat penting. Ini kerana, perkongsian hidup yang lahir nanti akan menentukan nasib sesudah berumah tangga dan menentukan corak hidup dalam masyarakat sama ada mendapat keredhaan Allah SWT atau sebaliknya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :
“Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 




Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah s.a.w memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah atau suami yang soleh itu? Hikmahnya ialah dengan mempunyai nilai keagamaan itulah seseorang itu dapat memiliki akhlak yang baik, menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan saling bantu membantu dalam rangka untuk membina rumah tangga yang diredhai Allah SWT. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumah tangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Pada hakikatnya, kebahagiaan rumah tangga yang bahagia itu telah jelas ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumah tangga iaitu membina rumah tangga itu adalah semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT, bukan disebabkan faktor atau dorongan yang lain.


Tetapi berapa ramai yang menjadikan matlamat hidup ini untuk mencari keredhaan Allah SWT? Di mana letaknya keberkatan dalam berumah tangga? Apakah pasangan itu sekufu dan apakah neraca yang diguna pakai dalam penentuan sekufu atau tidak? Sekufu di sisi Islam adalah sekiranya pasangan suami isteri mempunyai kefahaman Islam dan matlamat hidup yang jelas, tahu akan tanggungjawab masing-masing bahawa membina rumah tangga Muslim itu adalah suatu ibadah, saling merindui rumah tangga yang dirahmati dan diberkati Allah SWT, suami isteri yang saling nasihat menasihati antara satu sama lain dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT, cuba mewujudkan suasana rumah tangga yang harmoni, suami yang memberikan didikan agama kepada isteri dan ingatlah isteri yang solehah boleh membawa suami ke syurga. Ingatlah para isteri yang dikasihi Allah SWT, antara ciri-ciri sifat isteri yang solehah itu apabila dia taat kepada Allah SWT, Rasulullah s.a.w dan suaminya. 




Selain itu, menjaga sembahyang lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Maka masuklah dia ke dalam syurga mengikut mana-mana pintu yang disukainya. Berazamlah untuk menjadi isteri yang solehah. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumah tangga itu ialah isteri yang solehah agar dapat membina keluarga sakinah. Begitu juga, para suami yang soleh, mereka adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah agar tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami yang soleh juga akan memberikan makan, minum, pakaian, kemudahan tempat tinggal, memberikan perlindungan dan melayani isteri dengan baik. Suami juga perlu banyak bersabar, menunjukkan contoh yang baik, memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf

Rabu, 30 Disember 2015

SURAT TERBUKA UNTUK PAS-UMNO

Buat para pendokong ummah yang saya sanjungi sekalian, 

Islam adalah agama yang menyeru umatnya agar mereka bersatu dan menjaga ukhuwah Islamiyyah sesama Islam. Sejarah menceritakan kepada kita bahawa persaudaraan yang berasaskan akidah ini berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada berbagai pegangan agama dan kabilah. Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara golongan Ansar dan Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati oleh masyarakat Islam pada zaman nabi SAW. Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan. Bahkan, terdapat sesetengah ahli keluarga tidak mengenali saudara terdekat, dan ada jiran tetangga tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran tetangga yang lain. Sesetengah golongan fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan oleh masyarakat sekitar. Fenomena hasad dengki, fitnah, khianat, dendam dan buruk sangka semakin berleluasa dalam masyarakat.


Apa yang lebih membimbangkan kita ialah berlakunya permusuhan dan perbalahan dalam kalangan para pemimpin dan pengikut parti politik. Seterusnya boleh mengancam kekuatan dan kedaulatan umat Islam. Dengan rendah hati, saya meminta semua umat Islam mengenepikan soal warna parti, perbezaan politik, permusuhan lama, dan pertelingkahan yang tidak pernah berkesudahan. Marilah kita duduk semeja berbincang dan bermesyuarat demi menjaga, memelihara dan mempertahankan hak agama Islam secara bersama. Kalaulah mereka yang berbeza akidah dan kepercayaan boleh duduk bersama dan bekerjasama. Apakah kita yang mempunyai rasul, ucapan syahadah, kiblat dan Al-Quran yang sama, tidak ada ruang langsung untuk kita duduk berbincang dan bersatu?. Oleh itu, semua pihak wajib bermuhasabah dalam usaha menegakkan agama Allah di bumi yang kita sayangi ini. Setiap individu perlu berfikiran positif untuk bekerjasama dan membantu dalam apa jua kebajikan dan maslahah umat Islam. 





Duhai ummah yang bertuah ini,

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran, bahawa pada masa ini kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi dan kualiti sosial kita tertinggal jauh ke belakang. Oleh itu, kita tiada pilihan lain melainkan kembali bersatu menguatkan persaudaraan kita berdasarkan ketaatan kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Di hujung penulisan ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan berdasarkan apa yang disebut oleh Imam Besar Masjidil Haram, Mekah iaitu Al-Syeikh Professor Dr Abdul Rahman Al-Sudais. Beliau telah menggariskan beberapa asas utama perpaduan ummah dalam khutbah beliau semasa berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011, antaranya ialah setiap umat Islam wajib berpegang dengan akidah yang sahih. Kita wajib mengamalkan segala perintah Allah SWT, bermula daripada solat, zakat, puasa, haji dan segala bentuk-bentuk ibadat yang lain. Selain itu, kita juga wajib meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Selain itu, setiap Muslim wajib mengikut sunnah Nabi SAW dalam apa jua keadaan dan kehidupan kita. Ini kerana Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang mesti diikuti untuk mencapai kejayaan. 


Selain itu beliau turut menyatakan bahawa setiap umat mestilah menjadi umat yang berilmu dan berpengetahuan. Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, kita mestilah mendalami ilmunya. Ini dibuktikan dengan turunnya ayat Al-Quran yang pertama yang menyuruh kita mencari ilmu iaitu ‘Iqra’. Begitu juga dengan orang yang berilmu akan diangkat darjatnya oleh Allah SWT. Oleh itu, menjadi tuntutan kepada kita yang menuntut ilmu agar mengamalkan ilmu tersebut.  Beliau turut menggariskan bahawa akhlak yang sempurna adalah asas kesatuan umat kerana Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji. Amat menyedihkan sekiranya akhlak tidak dijadikan tumpuan umat Islam. Oleh itu, kita mestilah menjaga akhlak keperibadian yang baik tidak kira di mana jua kita berada, sama ada sesama Islam, atau bukan Islam. Begitu juga adab dan akhlak yang terpuji mestilah dipelihara, jika berlaku perbezaan pandangan dalam masalah berkaitan cabang-cabang feqah dan agama. Ini mengambil contoh daripada sikap para sahabat Nabi RAnhum dan imam-imam yang terdahulu.


Khamis, 24 Disember 2015

BUKU SAHABAT YANG BAIK

Musibah akan menimpa diri manusia jika akal dan hatinya tidak diaktifkan dengan membaca. Kejumudan akan berlaku dan akibatnya diri akan sibuk dengan kejahilan yang diciptakan sendiri. Suka berhibur, panjang angan-angan, malas berusaha, hati dan fikiran kosong dan matlamat hidup menjadi kabur. Miskin ilmu, namun kaya nafsu menyebabkan manusia melarat jiwa dan raga. Buku adalah harta yang tak pernah habis. Ia ibarat kunci untuk membuka otak dan memandunya ke arah nasihat. Banyak membaca membuat lidah petah, hati lapang dan fikiran terang. Buku adalah hiburan ketika kita bersendirian, teman berdialog dan penawar hati yang sedih. Semakin sering membaca, mengulang, mengkaji dan menghafal, maka semakin berbuahlah ilmu, ranum dan manis terasa manfaatnya untuk manusia. Syaitan yang menebarkan racun kepada ahli ibadat dengan mudah akan merosakkan amal yang mereka lakukan kerana amal tanpa ilmu menjadi sia-sia.
Sedangkan ahli ilmu yang mengamalkan ilmunya menjadi musuh syaitan yang terlalu kuat kerana ilmu ibarat benteng yang terbuat dari besi waja yang kukuh. Antara faedah ilmu ialah menghindarkan bisikan syaitan dan menghilangkan kesedihan. Kesedihan itu bersarang di dalam hati yang gelap, iaitu hati yang tiada cahaya ilmu. Jika hati ditimpa kesusahan, ambillah ubat penawar daripada lautan ilmu, kitab yang mengandungi khazanah langit dan bumi, dunia dan akhirat. Mengapa membawa diri ke tempat yang jauh, jika di dalam sebuah buku kita boleh menikmati perjalanan seluas mata memandang. Kesusahan yang diderita oleh Abu Hurairah RA ketika menuntut ilmu tidak menyurutkan semangatnya untuk mendampingi Rasulullah SAW. Suatu hari beliau menderita kelaparan yang amat sangat sehingga orang yang melihatnya menyangka beliau mempunyai penyakit sawan. Keadaan umat Islam saat itu terlalu daif, ramai yang menahan lapar selama berhari-hari. 



Abu Hurairah Ra adalah antara sahabat yang miskin namun dia sentiasa bersama Rasulullah SAW untuk menghafal Hadis. Walaupun hanya empat tahun bergaul dengan baginda SAW namun tiada seorangpun dari kalangan sahabat yang mampu menandingi banyaknya hafalan Abu Hurairah. Sesungguhnya kesedihan dan kemiskinan itu ada penawarnya. Ilmu yang bermanfaat membawa kebahagiaan yang hakiki. Teringat saya akan kisah perjalanan mencari ilmu oleh ulama hadis yang paling ulung, al-Imam al-Bukhari. Walau dalam keadaan daif yang dideritai, pada usia 11 tahun beliau telah mula mempelajari hadis. Setelah menghafal hadis dari ulama yang tinggal di kotanya, beliau mengembara ke negeri-negeri yang jauh bersama ibunya kerana sang ayah telahpun meninggal dunia. Walaupun hidup dalam keadaan yatim, beliau terus mencari ilmu hadis hingga ke Balkh, Baghdad, Makkah, Kufah, ‘Asqalan dan Damsyik.
Beliau berkata: “Ketika aku berumur lapan belas tahun, aku telah menghafal fatwa-fatwa daripada para sahabat dan tabiin.” Seorang sahabat beliau pernah berkata: “Al-Bukhari pergi bersama-sama kami belajar kepada seorang guru. Kami semua mencatat hadis-hadis yang kami pelajari namun dia hanya duduk berdiam diri sahaja. Salah seorang menegurnya: “Kamu hanya membuang masamu.” Datang lagi sahabat yang lain menegurnya, hingga beliau marah dan berkata: “Kamu semua telah mengganggu, mari bawakan kesemua catatan kamu.” Sungguh, kami telah mendengar dia menghafal sebanyak 15,000 hadis persis sama banyaknya seperti catatan kami. Pada masa ini, sumber rujukan ilmu bertambah luas. Buku-buku yang berada di pasaran terlalu banyak, amat senang diperolehi. Tamadun manusia bertambah maju, hanya yang rajin membaca dan sayangkan buku dapat mengejar segala ketinggalan dalam kemajuan ilmu. Membaca adalah ibadat, jika ia boleh menerangi hati dan menundukkan jiwa ke jalan Allah. Dialah Pemilik segala ilmu dan atas setiap mereka yang berilmu itu ada Yang Maha Berilmu.


Jumaat, 18 Disember 2015

KASIH SAYANG TIDAK BOLEH DI JUAL BELI

Mengharungi zaman serba moden hari ini tiada siapa dapat menyangkal bahawa kehidupan kita hari ini segalanya memerlukan duit.Biarpun ramai yang berkata duit bukan segala-galanya namun hakikat yang perlu kita terima bahawa dunia hari ini segala-galanya juga perlukan duit.Kerana harta kita leka, kerana harta ramai mengaku saudara dan kerana harta kita bersengketa. Ramai antara kita yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam tak kira masa semata-mata ingin mengumpul harta dan kekayaan.Betapa kita bangga dengan kekayaan yang ada hinggakan sesetengahnya mula dikuasai sifat sombong dan mula bermegah.Kita mula memilih rakan yang sepadan dan setaraf, kita memilih kedai untuk singgah makan demi menjaga status dan kita hanya memilih barangan berjenama untuk diguna.


Jika dulu kita berjalan menunduk ke bumi tapi kini kita melangkah sambil menongkat ke langit.Kita mudah lupa bahawa kaki kita sebenarnya tetap berpijak di bumi nyata. Kita lupa bahawa seandainya kepala kita terhantuk dan berdarah, kita tetap perlu menunduk ke bumi demi menahan kesakitan.Ketika itu juga kita sedar bahawa darah yang mengalir tidak akan naik ke langit tetapi tetap mengalir tumpah kebumi.Di saat terlantar menahan sakit kita merenung setiap inci tubuh yang sebelum ini sihat tetapi dikerah demi mengejar kemewahan.Tiada istilah rehat untuknya kerana naluri dan impian kita berkata bahawasanya masa itu amat berharga. Kerana duit dan kerana harta kita ketepikan nilai kasih sayang. 



Kita timbus dan semadikan kerana beranggapan ianya tiada nilai dan tiada harga.Kita butakan hati dan kita lontarkan sejauhnya demi mengejar harta dan kemewahan dunia.Sesungguhnya tiada siapa yang tidak merasa bangga apabila hidup diulit kemewahan apatah lagi jika segalanya atas titik peluh dan usahanya sendiri.Sampai pada satu ketika akhirnya ramai yang mula menyedari apabila merasakan mereka bagaikan kehilangan sesuatu.Jiwa mula meronta mencari sesuatu yang selama ini telah ditimbus, sesuatu yang kita anggap tiada harga dan sesuatu yang dianggap tiada nilainya


Sesuatu yang kita anggap racun rupanya tersembunyi penawar di dalamnya.Penawar paling ampuh untuk mengubat hati yang sepi, penawar untuk menangkis bisa yang meresap di dalam hati dan penawar terbaik menemani hidup yang sunyi.Akhirnya kita menyedari bahawa sesungguhnya penawar tersebut yang bergelar Kasih dan Sayang amat tinggi nilainya kerana ia tidak boleh dijual beli, ia tidak dilelong dan ia tidak pernah meletakkan harga. Sesekali menyendiri kita seakan-akan ingin merubah takdir agar kita bisa hidup bahagia seperti orang lain sedangkan takdir itulah yang kita harapkan sewaktu kita menempa jalan membina kemewahan. 




Kita melihat ada yang cuma hidup sederhana tapi dilimpahi dengan kasih sayang dan hati kita berkata kenapa kita tidak dikurniakan kebahagian seperti mereka.Kita kembali rindukan gurau senda yang pernah kita nikmati, kita kembali mencari kemana hilangnya tawa mesra dan belaian manja lantas kita berkata andai dapat diundur masa ingin kita letakkan kasih dan sayang itu kembali berada di tempatnya.Akhirnya kita perlu akui bahawa sesungguhnya Allah itu maha adil, dilebihkan buat kita satu bahagian dan dikurangkan pula satu lagi bahagian agar kita tidak terus leka dan lupa untuk bersyukur kepadanya.Bersyukur kerana dikurniakan dan dilimpahi rezeki olehnya biarpun kebahagian dan kasih sayang itu masih belum menjadi milik kita.


Harta bukan segalanya biar setinggi gunung ia terbina, ia akan kembali susut apabila dikikis tetapi kasih sayang tidak akan terhenti ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti.Cedoklah ia apabila terasa dahaga dan ternyata bila diri disayangi itulah kalimah yang lebih bermakna kerana tanpanya hidup kita terasa bagaikan tidak sempurna.Setiap insan yang bernyawa berhak untuk hidup bahagia maka berusahalah agar kebahagian turut menjadi milik kita.