Jumaat, 10 Februari 2017

MEMAHAMI KAITAN ISLAM, SIRAH & GLOBAL

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh umat, sedangkan luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh”. Inilah satu ungkapan seorang yang mengambil cakna tentang Realiti Umat Islam Masa kini, dialah Dr. Majdi Hilali. Umat Islam masa kini sudah mula hilang identiti mereka. Kemunduran umat Islam telah sampai ke tahap kemuncak apabila jatuhnya Khilafah Uthmaniyah oleh Laknatullah Mustafa Kamal At-tartuk pada 3 Mac 1924. Maka tidak hairanlah pada masa kini, kita diheboh-hebohkan dengan pelbagai tohmahan dan cacian serta agenda-agenda dan propaganda-propaganda musuh yang hanyalah semata-mata mahu menjatuhkan umat Islam.

Allah berfirman kepada iblis dalam Al-Quran :

“Dan perdayakanlah sesiapa sahaja di antara mereka yang engkau (iblis) sanggup dengan suaramu (yang memukau), kerahkanlah pasukanmu terhadap mereka, yang berkuda dan yang berjalan kaki, dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak lalu beri janjilah kepada mereka.”

Kemudian Allah berfirman lagi dalam ayat yang sama, untuk mengenalkan kepada manusia siapakah sebenarnya Iblis,

“ Padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka”. (Surah Al-Isra’:64)

Melalui kata-kata Dr. Majdi Hilali dan Firman Allah sebentar tadi, saya lebih suka untuk mengaitkan penulisan saya ini kepada tiga perkara iaitu Islam, Sirah dan Globalisasi. Mengapa begitu? Teruskan membaca. Baiklah, bermulanya penulisan saya dengan satu persoalan, “Apakah wajar Islam itu dikenali sebagai ‘Islamophobia’?” Saya sama sekali seratus peratus tidak setuju dengan kenyataan sebegini. Saya tidak mahu kaitkan dengan isu ‘nine eleven’.Dan semuanya telah terbukti, ini adalah satu perancangan musuh Islam yang sangat sistematik dengan pelbagai teori konspirasi yang mengatakan bahawa ini adalah rancangan ‘FREEMASON’ dan sebagainya. Kemungkinan ada kebenarannya. Tetapi bukanlah ini yang ingin saya bicarakan dalam penulisan saya. Mengapa musuh-musuh Islam begitu mudah mengeluarkan propaganda sebegitu.



Hal ini kerana, umat Islam itu sendiri lemah dalam memahami hakikat sebenarnya agama Islam dan umat Islam kini berada pada zaman kemunduran umat Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan Islam? Hakikat Islam yang sebenar dapat kita teliti melalui maksud Islam itu sendiri. Daripada sudut bahasanya Islam berasal daripada perkataan ‘سلم’ yang membawa kepada tiga makna iaitu, pertamanya bermakna ‘Selamat dan Terjamin’, keduanya bermakna ‘Bebas dan Bersih’ dan ketiganya bermakna ‘Menyembah dan Menyerah’. Justeru, apabila kita menggunakan akal fikiran kita dengan lebih rasional, kita akan mampu memahami apakah yang dimaksudkan Islam daripada sudut Istilahnya. Jadi, apabila kita menggabungkan ketiga-tiga makna tersebut, orang yang mengisyhtiharkan dirinya sebagai seorang Muslim, maka sudah tentu dia adalah seorang yang ‘Selamat dan Terjamin daripada dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT’ dan juga seorang yang ‘Bebas daripada aib dan Bersih daripada celaan Allah SWT’ serta merupakan seorang yang ‘Menyembah dan Menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT’.

Di sini, kita dapat lihat kesyumulan Islam melalui konsep Rububiyyah (Allah kepada manusia) dan Uluhiyyah (manusia kepada Allah). Hal ini terbukti selepas peristiwa ‘Nine Eleven‘ apabila ‘International Speaker’ iaitu Dr. Zakir Naik semasa ucapannya dalam rancangan ‘PEACE TV’ mengenai ‘Terrorism and Jihad in Islamic Persepctive’. Beliau mengatakan bahawa, “Dalam masa sebulan selepas peristiwa ‘nine eleven’ sebanyak 20000 orang telah memasuki Islam di Amerika.” Hal ini kerana mereka tidak mengambil maklumat tersebut dengan membabi buta sahaja, bahkan mereka mengkaji satu persatu sehingga mereka menemui kebenaran dan hakikat yang sebenar di mana, Islam bukanlah seperti mana yang dipropagandakan oleh musuh-musuh Islam. Maka terbuktilah kebenaran dan mukjizat Al-Quran.

Allah berfirman:

Katakanlah (Muhammad), “Berimanlah kamu kepadanya (Al-Quran) atau tidak usah beriman (sama sahaja bagi Allah). Sesungguhnya orang yang telah diberi pengetahuan sebelumnya, apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur wajah dan bersujud.”

Dan dalam ayat seterusnya,

“dan mereka berkata, ‘Maha Suci Tuhan kami, sungguh janji tuhan kami pasti akan dipenuhi.'”

Dan Allah berfirman lagi,

“ dan mereka menyungkur wajah sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah Al-Isra’: 107-109)

Siapa tidak kenal ‘Cat Stevens’ yang sekarang lebih lunak dikenali sebagai Yusuf Islam selepas beliau mendapat hidayah (near-death experience) pada tahun 1978, dan beliau sangat bergiat sebagai seorang pendakwah Islam tegar. Kini, beliau telah mendirikan yayasan kemanusiaan Small Kindness yang daripada mulanya membantu mangsa kelaparan di Afrika dan kini yayasan beliau membantu ribuan anak yatim dan keluarga di Balkan, Indonesia, dan Iraq. Lihatlah antara sumbangan beliau setelah memeluk Islam. Antara rakaman beliau ialah The life of the Last Prophet, Prayers of the Last Prophet, A is for Allah, dan I look I see. Inilah salah satu contoh pendakwah. Maka, betullah apa yang diperkatakan oleh Dr. Zakir Naik, “One of the best type of Jihad is Dakwah.” Ini terbukti dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan kenapa kita perlu hairan, ketika mana Sayyidina Umar mengisyhtiharkan dirinya sebagai seorang Muslim, kehidupan beliau berubah dan berputar 180 darjah kepada yang lebih baik.




Daripada menjadi seorang musuh tegar mencaci dan menghina Baginda SAW kepada menjadi ‘Personal Assistant’ yang sangat setia selepas Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. Sehingga dikisahkan bahawa, Sayyidina Umar mahu memenggal kepala individu yang mengatakan Rasulullah sudah wafat. Begitu sekali cinta para Sayyidina Umar kepada Rasulullah SAW. Bagaimana pula kita? Kita perlu sentiasa persoalkan dalam diri kita, sekiranya benar cinta kita kepada Rasulullah SAW, maka tidak cukup sekadar kita mempelajari teori semata-mata. Bahkan sudah tiba masanya sekarang kita mengambil Rasulullah sebagai ‘Uswatun Hasanah’ dalam semua aspek kehidupan sama ada daripada segi ‘RUHIYYAH’, ‘AQLIYYAH’, dan ‘JASADIYYAH’. Suka saya tegaskan di sini, realiti umat Islam kini mengambil Rasulullah sebagai contoh hanya dalam aspek yang sesuai dengan dirinya. Seolah-olah, Rasulullah sekadar model ikutan yang sama seperti Mahatma Ghandi, Aristotle, Hercules. Sebenarnya tidak!
Sebagai umat Islam, Allah tegaskan dalam Al-Quran dengan penggunaan Uslub Taukid:

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah SAW itu, suri teladan yang baik bagimu”,

Kemudian Allah sambung lagi dalam ayat yang sama,

“ bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab:21)


Wahai para pembaca sekalian, bahkan dalam ‘ULUM NABAWI’, terdapat 5 perkara yang dibahaskan dalam ilmu ini, di mana sekiranya salah satu sahaja yang diambil daripada 5 perkara ini, maka seseorang itu belum lagi dikira seorang yang menguasai Ulum Nabawi. Pertamanya ialah ‘Syamail Muhammadi’, Keduanya ialah ‘ad-Dalail’, ketiganya ialah ‘Fadhail’, keempatnya ialah ‘Qasais’ dan kelimanya ialah ‘Sirah’. Hanya dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi sahaja yang mampu untuk kita menemui hakikat kebenaran dan tujuan kita diutuskan ke muka bumi ini. Setuju atau tidak apabila saya mengeluarkan kenyataan ini untuk kita sama-sama berfikir dengan lebih mendalam. Al-Quran yang akan membawa kita kepada HIDAYAH Allah dan dengan mengikuti Sunnah Nabi yang akan membawa kita kepada TAUFIQ Allah. Moga-moga penulisan saya terjawab mengenai 3 persoalan yang ingin dibicarakan iaitu Islam agama yang syumul, pelajari sirah kenali Rasulullah dan kembali kepada ajaran Al-Quran adalah resolusi terbaik untuk permasalahan globalisasi masa kini. Termasuk juga permasalahan Islamophobia. Syeikh Abu Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi menulis kitab ‘Apakah Derita Yang Akan Melanda Dunia Apabila Umat Islam Mundur’ menunjukkan satu kerugian yang besar sekiranya umat Islam mundur dan satu kerugian yang lebih besar dalam tamadun dunia apabila tidak mengambil Islam sebagai satu sistem kehidupan yang Syamil, Kamil dan Mutakamil.

Khamis, 2 Februari 2017

MENCARI KEBAHAGIAAN ATAS JALAN REDHANYA

Bahagia belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, ataukah duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya. Pakar-pakar motivasi menyatakan: ”Anda adalah apa yang anda fikirkan tentang diri anda”. Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: ”Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini merupakan kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga merupakan kebaikan.” Hadis riwayat Imam Muslim. 

Semuanya baik, baik dan baik. Apa-apa yang Allah SWT pilihkan untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah SWT telah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud RA apabila ditanya: ”Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?” Beliau menjawab: ”Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?”
Orang banyak mengatakan: ”Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagimana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah terpenuhi dengan sempurna. Selamilah dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat redha. Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.
Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ’tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ’terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah SWT: ”Allahpun reda ke atas diri mereka dan merekapun reda dengan pemberian-Nya.” Surah Al-Bayyinah: 8.
Ada dua rahasia yang terkandung dalam kalimah Allah tersebut, yang pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kekadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga. Yang kedua adalah wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.
Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah SWT menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari-hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda. Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang ’diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.
Tanda-tanda reda ada tiga. Pertama adalah Kata-kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah serapah dan maki hamun rasa tak puas hati. Yang kedua ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri. Yang terakhir, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mestika yang bernama reda kepada Allah.

Selasa, 17 Januari 2017

MASIH BOLEH BERTENANG

Sewaktu kita bersemangat hendak melakukan perubahan besar dalam hidup, masa itulah nafsu pun memujuk untuk kita kekal di takok yang sama. Ketika kita mahu melakukan kebaikan,waktu itu juga kejahatan mula memesongkan kita supaya suka kepada keburukan. Kerana yang buruk itu selalunya sangat cantik pada nafsu manusia. Segala yang indah di mata Allah dan Rasul semuanya satu penyakit yang menyusahkan jiwa untuk kita ikut taat dan patu pada setiap perintah. Mencegah keji dan munkar itu satu amal yang dituntut 24 jam sehari. Terutama hati yang sangat mudah dikuasai syaitan, yang membolak balikkan jiwa dan pedoman kita untuk menjauhi hukum Allah.
Lalu memilih hukum manusia yang sememangnya jahil. Kerana kita telah hidup di dalam fasa jahiliyah moden yang ratanya manusia mengaku beragama tetapi terpesong jauh dari landasan deen yang lurus. Setiap kita telah membengkokkan Kitab dan Sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita dengan menjadikannya hanya satu bacaan yang berfungsi hanya untuk tujuan ritual semata-mata. Hanya diperlukan untuk menghalau jin dan syaitan yang merasuk manusia. Membuang bala yang dicipta yang manusia dengan dijadikan jampi serapah, merendahkan mertabat al-quran sebagai petunjuk bagi seluruh manusia. Itu sahajakah fungsi al-quran?
Al-quran tidak mampu menjadi syafaat bagi kita kerana ia telah pun hilang dari dada manusia. Apa yang tinggal cuma helaian kertas yang tulisannya dilagu-lagu kita tanpa memahami langsung apa tujuan dan maksud setiap perintahNya. Mak bapak lebih suka anak-anak membacanya dengan nyaring, penuh lenggok dari mereka membaca dengan penuh minat dan kefahaman. Biarlah sedap di dengar telinga mereka, dari dihayati maknanya oleh hati kerana takutkan perintah Allah!


Anak-anak muda kita sudah jauh membelakangi ilmu Allah. Jauh sudah kita melangkah al-quran dalam setiap perjalanan hidup kita. Kita sebaik ibubapa, apa peranan kita mengembalikan anak-anak kepada mengenali Allah dan Rasul? Mencintai mereka dan agama dari segala isi dunia? Mereka lebih suka habiskan masa di depan program hiburan dan melalaikan dari peruntukkan masa untuk mengenali kitaballah dan sunnah rasul. Hidup dah tak macam orang yang ada agama. Bebas bercampur laki dan perempuan. Malu sudah hilang dari menjadi sebahagian dari unsur iman.
Akal bukan lagi pemandu untuk menjadi penunjuk ilmu. Agama bukan lagi satu cara hidup yang wajib ditaati. Musuh Islam telah berjaya membuang agama dari jasad orang Islam. Yang tinggal hanya alasan untuk hidup menghabiskan segala nikmat usia, nyawa, masa dan apa sahaja yang boleh dihabiskan untuk dunia. Dah puas berjoli dan berpoya nanti, simpanlah dikit baki usia masa tua untuk Allah. Waktu tu baru nak bertaubat, cari tudung tutup rambut dan si jantan baru nak belajar pakai serban. Al-Fatihah baru mula nak mengaji, dok sibuk betulkan tajwid sebab nak itu surah yang wajib dibaca dalam solat.
Ada 7 ayat yang kita ulang setiap waktu solat, tapi malang kita langsung tak faham apa maknanya? Apa pengisiannya? Apa kehendak Allah atas kita? Tak apa, tunggulah tua sikit. Nanti aku belajaq! Ya. Tunggulah waktu itu. Masa segala tenaga dan jwa sudah diserahka pada dunia. Bila rambut sudah beruban baru nak kembali jadi hamba. Sedangkan selama badan bergetah. Rambut penuh dengan minyak Pomade, belah tepi siap dikikis habis bulu sampai nampak kulit. Waktu itu Allah kita letak tepi. Yang penting layan dulu gelojak nafsu puas-puas. Mati itu lambat lagi. Kata kita yang tak kenal diri.
Al-Quran diturunkan mengikut asbab manusia di penghujung akhir zaman. Begitulah fasa ilmu berkembang dengan menjadikan manusia celik MATA dan HATI. Ianya pelajaran dari manusia untuk manusia, dengan beroleh petunjuknya dan ilham dari Allah demi mencipta INSAN yang mampu mendengar nasihat agama. Itulah wahyu yang menghidupkan kita supaya menggunakan seluruh nyawa yang dikandung badan untuk berbakti kepada Allah. Tak guna kalau kita ada jasad tapi tak hidup mengikut hukum Allah. Kita hanya memilih dunia kerana ia telah menghidupkan nafsu kita dengan segala isi dan keindahannya. Siapa tak suka dikelilingi wanita ? Siapa tak mahu ada kuasa ? Siapa tak nak dilimpahi harta ?
Kita memilih syurga dunia kerana itulah yang dimahukan oleh si Dajjal yang telah mencipta dunia kita hari ni mengikut kemahuan nafsu kita. Musuh sedang berusaha memesongkan aqidah umat Muhammad sama ada dalam kita sedar atau tidak. Bangun saja dari tidur, kita sudah pun di dalam dunia mereka. Kita mungkin dikenali manusia, tapi makhluk di langit belum tentu kenal siapa kita? Hanya jasad yang berkeliaran di bumi menunggu MATI.
“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? (Hukum) Mana yang lebih baik daripada (hukum) Allah? Bagi orang-orang yang meyakini?” (Al Maidah: 50)


Rabu, 11 Januari 2017

TERSEDAR DARI KELALAIAN DUNIA

Menjadi seorang ibubapa, di awal kelahiran bayi yang pertama sebenarnya kita sedang belajar dari anak erti amanah. Bagaimana kita menyusun pendidikan seorang anak supaya menjadi manusia yang mengikut kehendak Allah dan Rasul. Kita pula mendidik jiwa kita untuk kembali kepada fitrah seorang insan yang menggalang tanggungjawab untuk mencipta anak-anak mengikut acuan Allah (sibghatullah). Di sinilah anak-anak menjadi guru di dalam mencungkil potensi seorang ibu dan bapa. Perasaan kasih dan sayang yang terbit dari lubuk hati seorang ibu takkan mampu dibuat-buat. Segala macam rasa dapat dilihat dari riak muka seorang ibu dari saat pertama kali melihat, menyentuh, menyusu dan sebagainya. Semua itu satu getaran amanah untuk memastikan anak tadi lahir menjadi manusia berguna untuk agama.
Berbanding anak yang lahir kerana hubungan yang terlarang. Anak tadi tidak haram, masih suci dan fitrahnya sama seperti bayi yang lain. Yang haramnya ibu dan bapa yang tak bertanggungjawab itu! Hidup membabi buta sampai sanggup membuang anak! Langsung tidak ada perasaan kemanusiaan, tak ada perasaan belas kasih lagi sewaktu membunuh anak sendiri. Tiada kasih sayang yang tumpah untuk melihat anak tersebut hidup seperti manusia lain. Bagi mereka anak hanya eksesori sumbang mahram tadi yang 'terlekat' akibat ketelanjuran dari kebodohan mereka sendiri!


Wahai anak yang kami sayangi. Teruslah mendidik kami menjadi ibubapa yang sabar. Tekun berusaha memperkemaskan ilmu agama kami demi mendidik kamu agar membesar menjadi insan yang dikehendaki Allah. Faqih di dalam urusan agama, menggalang cita-cita Allah dan Rasul dalam memastikan Islam tertegak menjadi cara hidup kami dan kamu. Kami akui terlalu banyak lompong jahiliah dalam hidup kami di masa lampau. Kami sedar kekurangan kami sewaktu kami hanyut mengenal dunia. Kami insaf akan dosa lalu kerana tidak benar-benar kenal siapa Allah dan Rasul untuk dijadikan panduan hidup kami.
Kini kami mahu betulkan kembali langkah kaki kami mengikut sunnah Allah dan Rasul. Kami sedang berusaha untuk memahami kitab-Nya yang tidak pernah berubah dari dahulu hingga sekarang. Jaminan syurga Allah hanyalah untuk mereka yang tenang jiwanya. Telah kami ikrar untuk cipta anak-anak kami mengikut acuan yang ditinggal para nabi dan rasul. Menjadikan kamu anak yang tidak disentuh manusia. Penghuni taman syurga. Cita-cita kami pasti mahukan kamu faham apa misi hidup kalian di dunia. Bukan hanya melompat terkinja-kinja di konsert dan hidup dek kerana hiburan semata-mata. Terpesong ke jalan yang salah. Hidup seperti tak ada makbapak di dunia! Kami tahu dunia semakin menggila dan sentiasa mahu menghanyutkan kami mengikut arus ke neraka. Lautan manusia yang sudah tersesat berhimpun di dalam jahiliyah moden. Jauhkanlah kami agar takkan ulangi kesilapan yang lalu, hidup membuta tuli hanya mengikut nafsu dunia.
Biasanya setiap sambutan hari lahir itu disertai kemeriahan sanak saudara dan majlis potong kek untuk meraikan si anak. Tapi buat kamu tidak ada yang istimewa melainkan ucapan kasih sayang dan ikrar tekad dari kami untuk memastikan kami istiqomah dalam mendidik kamu. Kek itu satu SIMBOLIK PENJAJAH yang telah memusnahkan sejarah bangsa dan agama kita. Mereka masuk ke dalam sistem kita, menghadiahkan kita dengan janji manis dan bulan bintang untuk memberi tawaran yang menyedapkan kita. Dibahaginya kita mengikut suku sakat masing-masing hingga semuanya bergaduh kerana harta, kuasa dan wanita! Semua kita diracun dengan kemanisan gula-gula dunia. Semua berebut untuk dapat bahagian kek masing-masing. Kek yang besar mencipta manusia yang tamak.
Yang kaya bertambah kaya. Yang miskin bertambah miskin. Itulah kek yang bernama KAPITALIS. Mereka berikan kita CAHAYA palsu melalui lilin yang dibakar. Segala keseronokan, kemewahan, hiburan dan kesenangan duniawi dileburkan untuk memastikan kita leka dan lalai. Tertipu dek hawa nafsu yang menyangka kita dalam cahaya kebenaran. Hujungnya kita sendiri memadam cahaya itu dan hidup kembali dalam kegelapan. Langsung hilang asal usul. Lupa diri, agama dan bangsa. Ketika itulah mereka meracik-racik, membelah dan meratah kita penuh rakus. Memakan kita dalam sedar, malangnya kita sudah lemah tak mampu bangkit melawan mereka. Jadilah kita dari nenek moyang dahulu bangsa yang dijajah, bangsa yang lemah dan bodoh. Manusia yang alpa dan lalai ditipu hidup-hidup dengan dunia yang penuh janji palsu. Terjajah minda, ilmu dan budaya hidup penjajah.
Agama hanyalah adat. Hidup dengan upacara ibadat, tetapi tidak kenal hakikat hidup beragama. Tidak bangkit untuk menongkat agama yang dipandang hina! Malah kita sendiri ramai yang masih menghina agama sendiri. Mempermainkan agama! Mempergunakan agama! Allah sedang dipandang kecil oleh seluruh manusia. Kerana perbuatan kita yang mengaku beragama. Kita sedang hidup dikandang manusia! Digembala mereka yang mahukan harta dan kuasa. Disembelih bila habis keringat dikorbankan untuk di firaun! Manusia kini hanya menyembah duit.

Rabu, 4 Januari 2017

HANYUT DIBUAI MIMPI DUNIA

Ramai yang masih belum sedar hidup ini akan lebih bermakna hanya dengan memahami Kitab Allah dan menjalani kehidupan sebagaimana Sunnah para rasul. Menjadi muslim yang berserah diri kepada Allah dengan mempraktikkan segala kerjabuat Rasulullah di dalam membangunkan agamanya mengikut lunas dan sempadan wahyu. Hari ini manusia sedang hidup di dalam kebohongan dunia sementara, menipu diri sendiri berlumba-lumba mencari habuan dunia masing-masing. Terleka dan lalai dengan arus kemodenan sehingga lupa maksud hidup beragama. Harta dan diri telah diserahkan untuk memonopoli dunia dengan nafsu, bukan lagi iman.
Mereka menjadi takut pada asas agama kerana kita tidak memahami tuntutannya. Lari meninggalkan cara hidup al-Quran kerana tidak faham makna tauhid yang sebenar. Siangnya beriman, malamnya kafir kerana dunia sudah dibeli dengan harga yang mahal manakala agama sudah dijual dengan harga yang sangat murah. Kita hilang pedoman hidup kerana aqidah yang tidak kuat memegang fahaman Allah dan Rasul. Sanggup hidup dalam jahil kerana menafikan kebenaran ilmu bahawa syurga dan neraka itu benar. Agama dipermainkan oleh umat Islam sendiri, hukum dilanggar tanpa segan dan malu. Kerana kita sudah tidak punya pendengaran, penglihatan dan hati yang sensitif tentang agama.


Kita bingung kerana hidup terlalu mengejar dunia hingga lupa ada sebab kenapa kita dicipta sebagai manusia. Kita ada akal tapi malas nak guna. Kita ada mata tapi sengaja jadi buta. Kita ada telinga tapi lebih suka menjadi pekak. Lalu yang hidup cuma sebatang tubuh yang dimakan usia, hidup kerana nafsu makan dan minum. Menghabiskan umur untuk hidup dengan cita-cita manusia, bukan untuk kepentingan agama. Kita sanggup bermatian-matian mengejar impian dunia, tetapi tidak langsung ingat apa impian dan wasiat Nabi kepada kita. Ingat pun tidak, apa lagi nak buat!
Islam bukan lagi satu cara hidup, tapi anutan yang mengikut fahaman nenek moyang. Hidup bersangka-sangka, mengikut kebanyakan manusia yang sesat seperti di bumi sendiri. Islam hanyalah kerana keturunan, bukan lagi kerana kepercayaan iman yang sebenar. Bila manusia hilang keyakinan hidup beragama, kita disogok dengan pelbagai umpan dunia. Pakat sibuk mencari tujuan dan matlamat hidup mengikut acuan manusia bukan pencipta. Kita Dipecah belah oleh sistem manusia yang sentiasa mengambil kesempatan di atas kelemahan kita kepada harta, tahta dan wanita.
Sentiasa berdebat dan bermusuhan kerana fahaman yang dijajah manusia berpaksikan ideologi dunia. Fanatisme terhadapat ISME (fahaman) manusia, dari KAPITALISMA hinggalah SOSIALISMA yang melahirkan manusia komunis sampailah yang tidak mengaku bertuhan. Semua itu penyakit manusia yang dah lupa agama. Kerana nak hidup berjaya di dunia, tuhan mereka adalah duit yang mencipta nama, takhta dan kuasa untuk mengumpul harta dan wanita. 
Jadilah kita manusia yang menyembah apa saja di depan mata asalkan boleh menjadikan kita hidup dalam syurga ciptaan manusia. Sanggup hidup dikuda manusia, menjadi lembu untuk dipergunakan demi kepentingan manusia yang tamak haloba. Dikandang di dalam sistem yang hanya menjadikan kita alat untuk memastikan ekonomi dunia bergerak, menguntungkan yang kaya. Siapa kita sekarang? Di dalam kandang atau di luar kandang?

Ahad, 1 Januari 2017

SERIK & INSAF

Segala hasil baik mahupun buruk yang berlaku pada kita adalah hasil dari perbuatan tangan-tangan kita juga. Allah S.W.T. tidak akan ubah nasib kita jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Itu telah Allah nyatakan dengan sangat jelas. Orang yang jahil dan malas berusaha akan menyerahkan segalanya kepada Allah sahaja tanpa berusaha. Kononnya segala yang terjadi telah ditetapkan dari sebelum dia lahir lagi.
Ya! memang baik buruk dari semua yang berlaku telah Allah tetapkan di dalam Luh Mahfuz, Al Quran kitab Agungnya. Semua manual kehidupan itulah yang akan menetapkan hasil baik mahupun buruk kepada pelakunya. Sejak azali lagi telah Allah tetapkan kebaikan dan kesejahteraan bagi sesiapa yang mematuhi arahanNya dan keburukkan bagi mereka yang mengingkari aturan hidup yang telah ditunjukkan oleh Nya.
Serik biasanya diguna oleh seseorang yang telah mengalami sesuatu yang pahit atau musibah ke atas dirinya sendiri. Sebesar-besar pelajaran di ambil. Jika boleh tidak sekali-kali mahu mengalaminya lagi. Insaf adalah suatu kesedaran yang terbit dari dalam diri atas pelbagai asbab. Kadangkala keinsafan terbit berikutan pengalaman pahit pada diri sendiri. Ada juga yang insaf hanya setelah mendengar nasihat atau melihat pengalaman ‘serik’ yang berlaku pada orang lain. Inilah yang sebaik-baiknya.


Ada pengalaman serik yang bersifat sementara dan berbaloi untuk diinsafi. Ada pula kerosakan yang bersifat kekal. Rasa serik dan insaf sudah tidak berguna lagi. Inilah fenomena "Nasi sudah jadi bubur", atau "cempedak sudah jadi nangka". Sebagai contoh, anak gadis yang suka berkeliaran, bergaul bebas, berpakaian seksi dan berpoya-poya harus merasa insaf apabila melihat ada rakannya yang telah diratah jantan dan melahirkan anak luar nikah. Merasa serik hanya setelah semua itu berlaku pada diri sendiri adalah tidak berguna sama sekali. Dara sudah hilang, maruah diri hilang dan masa depan jadi gelap.
Lebih malang lagi jika kita bukan sahaja tidak pernah insaf, malah tidak pernah kenal erti serik. Kejadian buruk yang sama berlaku berulang kali pada diri kita tanpa sedikitpun pelajaran diambil. Ada yang melahirkan anak luar nikah sampai berkali-kali. Ibubapa pula masih membiarkan sahaja anak gadis berkeliaran walaupun sudah ada ahli keluarganya yang melahir anak luar nikah, sebahagiannya hasil zina bersama keluarga sendiri.
Umat Islam WAJIB mengambil pelajaran dan menginsafi segala kesilapan lalu. Baik buruk sesebuah keluarga, jatuh bangunnya umat dan sesebuah negara semuanya ada cerita dan pelajaran yang harus diambil dan diinsafi. AlQuran sendiri sentiasa mengingatkan kita melalui pengalaman buruk orang-orang terdahulu. Alangkah baiknya jika kita cuba fahami mesej Allah yang telah menceritakan segala pengalaman buruk umat terdahulu dan mengelakkan langkah yang sama agar kita tidak turut merasainya.
Dari Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda,
“Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)
Lebih malang sekali apabila kita hanya menyesali, menginsafi dan serik dengan siksa neraka atas segala perbuatan kita di dunia.

Jumaat, 9 Disember 2016

KEKELIRUAN DALAM BERAGAMA

Islam adalah agama yang diredhai Allah dari dahulu hingga kini dan selamanya. Setiap kali amanah yang diberikan kepada umat terdahulu dikhianati, maka ianya bertukar nama lalu Allah gantikan mereka. Allah pindahkan amanah itu kepada umat yang baharu. Begitulah seterusnya sehingga Rasulullah SAW juga berwasiat untuk menjaga amanah itu kepada umat baginda selepas baginda tiada. Apa yang ditegakkan baginda itu juga akan berakhir apabila semuanya dirosakkan semula oleh manusia.
Itulah zaman di mana...
"Islam akan hanya tinggal nama, alQuran hanya tinggal tulisannya sahaja, Masjid indah tapi tiada petunjuk yang mengalir, ulamaknya tergolong dari kalangan manusia hina yang duduk di bawah kolong langit (di bawah kuasa pemerintah), dari mereka timbul fitnah dan kepada mereka fitnah itu dikembalikan."
Hari ini semua itu sudah berlaku. Islam kita hanya berdasarkan IC, serta bin dan binti. Bukan sahaja seluruh isi alquran tidak difahami, malah yang dibaca dalam solat juga tidak diketahui maknanya. Lalu 'bercakap-cakaplah' kita kepada Tuhan kita seperti burung kakak tua yang tidak tahu apa apa.


Sedar tak sedar, banyak sudah kalimah suci yang kita ubah. Sedangkan telah Allah tegaskan pengubahan mana mana dari kalimah suci itu amat ditegah. Contoh paling nyata dalam doa IFTITAH yang mesti dibaca oleh setiap dari kita setiap kali solat (QS: AL-AN'AM 162-163).
Ramai yang berbangga dengan masjid yang besar dan indah. Namun tidak nyata usaha dakwah di masjid yang besar. Ilmu tidak berterusan mengalir di situ ibarat sungai di taman syurga. Jemaah juga kurang berminat untuk berjemaah di dalamnya. Pemerintah (umarak) yang baik ialah yang berusaha mendekati ulamak untuk mengutip nasihat mereka. Ulamak yang buruk pula ialah yang terhegeh hegeh mendekati umarak.
Apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Ulamak yang seharusnya tidak partisan sudah menjadi bahan lawak. Dalil dan fatwa dicari-cari dan dibacakan apabila ia 'menyokong' partinya setidak-tidaknya kepada pengikut setia (followernya). Ulamak itu kata jamak, iaitu sekumpulan orang alim yang berada dalam satu majlis syuro untuk memutuskan sesuatu. Apa yang difahami kini lain jadinya. Setiap penceramah digelar ulamak. Padahal ia hanya sekadar individu 'berilmu' yang perlu disucikan ilmunya melalui satu majlis syuro bersama alimin yang lain.
Apabila setiap individu itu digelar ulamak, maka sewenang wenang lah ia mengeluarkan fatwa yang berbeza-beza. Di situlah bermulanya fitnah di mana umat mula berpecah belah.
Allah suruh ikut tabia'at (langkah-langkah) Nabi yang berpedomankan wahyu, tetapi kila kini pula banyak mengikut tabiat syaitan yang bertuankan nafsu. Kita kini berbuat dan bercakap ikut suka kita sahaja. Alasannya ini adalah hak asasi manusia dalam dunia yang bebas. Apabila ada yang menegur atau menyingkap khilaf itu, maka sepantas kilat akan ada yang melenting..."jangan jadi judgemental, jangan menghakimi, jangan buka aib dan sebagainya."
Akhirnya kejahilan semakin berleluasa. Yang jahil bertambah degil, yang salah semakin parah, yang rosak semakin punah.
QS: 2. Al Baqarah 208. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam KESELURUHAN, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Syaitan itu dikatakan berasal dari kelompok malaikat yang patuh. Hanya kerana SATU sahaja perintah Allah yang dilanggar, iaitu agar patuh kepada Adam, maka segala amal baiknya terhapus dan kekal dia sebagai penderhaka kepada Tuhannya. Bagaimana dengan kita pula? berapa banyak perlanggaran yang sudah kita lakukan? Allah suruh kita ikut Islam seluruhnya, namun syaitan hasut agar kita ikut sebahagian sahaja. Syaitan memang telah berazam untuk meracuni orang yang beriman. Jika tidak mampu menghasut terhadap perkara besar, maka ia akan usahakan melalui perkara kecil. Hari ini daripada perlanggaran perkara kecil sehingga perkara besar semuanya sudah diborong oleh kita.