Sabtu, 2 Jun 2018

PERISTIWA NUZUL AL QURAN


Dalam bulan Ramadan, terdapat satu peristiwa agung yang berlaku dan ianya dirakamkan di dalam alquran. Peristiwa agung ini disebutkan sebagai “Nuzul Al Quran” atau dalam bahasa melayunya ialah penurunan al quran. Di bulan Ramadan, selain kita disyariatkan untuk berpuasa disamping melipat kali gandakan beberapa amalan sunat tertentu, kita juga seringkali diperingatkan tentang peristiwa agung ini. Penurunan al quran ini melalui dua peringkat. Peringkat pertamanya, diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia). Peringkat keduanya, dari Baitul Izzah terus kepada junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul sehinggalah baginda wafat selama tempoh 23 tahun. Sejarah penurunan al quran ini menjadi satu keistimewaan bagi umat islam kerana isi kandungannya dijamin oleh Allah Azza Wa Jalla, tiada sesiapa pun yang akan dapat mengubahnya dan al quran ini akan kekal terpelihara hingga tiba hari kiamat.

Dalam sejarah peristiwa agung ini, para ulama bersepakat menyakini bahawa al quran telah diturunkan pada bulan Ramadan. Hal ini para ulama tidak bercanggah pendapat. Malah dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla melalui firman Nya yang bermaksud :

"Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia”

(Surah al-Baqarah, 185)



Namun begitu para ulama telah berselisih pendapat dalam menyatakan berapa haribulan kah al quran diturunkan. Ada pendapat yang menyatakan pada 21 Ramadan. Ada pula pendapat yang menyatakan pada 24 Ramadan. Di tempat kita seringkali kita dengar pada 17 Ramadan. Ianya juga sebahagian pendapat yang dikemukakan oleh para ulama. Apa-apa pun semua umat islam akur bahawa al quran ini telah diturunkan dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh kesucian. Malah apa yang lebih penting dari perselisihan tarikh ini, kita seharusnya lebih memahami isi kandungan yang telah difirmankan oleh tuhan dan menghayati tujuan sebenar penurunan al quran.

Al Quran diturunkan kepada sekalian manusia untuk dijadikan sebagai petunjuk, pedoman dan pegangan sepanjang hayat. Ianya merupakan kalam tuhan yang lengkap untuk dijadikan sebagai manual kehidupan. Padanya merupakan penawar bagi hati yang duka, penenang di jiwa dan menyuntik motivasi di minda. Al Quran yang kita sering baca pada hari ini, bukan sahaja dihayati dan difahami oleh orang islam, malah ianya turut dikaji oleh golongan sarjana Barat untuk menilai sejauh mana kehebatan dan kebenaran yang ada padanya. Dalam beberapa siri kajian yang telah mereka lakukan, mereka akui bahawasanya Al Quran telah banyak membicarakan sesuatu perkara merentasi masa yang akan kita lalui. Beberapa penemuan baru sians telah lama dibicarakan di dalam Al Quran.

Diturunkan Al Quran, bukan sahaja untuk dibaca dengan lenggokkan lagunya yang syahdu. Al Quran bukan sahaja untuk dihiasi di laman rumah, bukan sahaja untuk dijadikan program tadarus di bulan Ramadan, tetapi jauh lebih penting, ianya perlu difahami dan di praktikkan dalam kehidupan seharian. Hari ini, ayat-ayat al quran seringkali dijadikan barang dagangan oleh ahli politik untuk mengangkat kepartian mereka. Tidak kurang juga, sesetangah agamawan menjadikan ayat-ayat al quran sebagai barang jualan untuk melariskan produk mereka. Fenomena mengeksploitasikan al quran ini harus dibanteras dan di kekang oleh pihak yang bertanggungjawab. Sedarlah kita, al quran merupakan kitab suci dari kalam tuhan yang Maha Suci. Padanya tiada keraguan, semuanya tentang kebenaran yang harus diyakini. Marilah sama-sama kita berazam untuk terus mendalami isi kandungan al quran dan menjadikan kefahaman ini untuk di praktikkan dalam kehidupan seharian.

Rabu, 16 Mei 2018

TERIMA KASIH CIKGU !


Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita dan inilah waktu yang terbaik untuk meluahkan setinggi tinggi rasa terima kasih,penghargaan,dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada agama,bangsa,dan negara. Pepatah Melayu ada berkata, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”,menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Sememangnya tugas sebagai seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai penjana transformasi pendidikan perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Selain itu, guru juga mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak-anak muridnya.

Antaranya, ada saja dalam kalangan pelajar yang menimbulkan masalah disiplin malah guru guru juga terpaksa berhadapan dengan segelintir ibu bapa yang menuding jari ke arah guru apabila timbul sebarang masalah. Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru- guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda. Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengenang dan menghargai jasa guru. Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Guru merupakan insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat mencapai kejayaan haruslah kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya. 



Seharusnya jasa itu dikenang sepanjang hayat. Guru tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat membaca, menulis dan mengira. Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat dan bimbingan mereka. Hakikatnya, guru ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar sehingga kita berjaya. Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita. Wahai para guru yang kami sayangi, jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar. Jasamu sungguh bererti kepada kami semua. Disebalik pembangunan negara yang maju dan jaya, tanpa kita sedari ianya bermula dari penat lelah seorang guru.

Ahad, 13 Mei 2018

KERANA APA MANUSIA MULIA ?


Manusia tidak dapat lari daripada sikap bangga dalam dirinya. Sama ada bangga itu kerana negaranya, bangsanya mahupun kerana keturunannya, sesiapa sahaja tidak boleh menafikan kewujudan sifat kebanggaan itu dalam diri setiap manusia. Untuk merasai bangganya akan sesuatu bangsa kaumnya. tidaklah menjadi satu kesalahan. Namun untuk berbangga dengan bangsa dan kaum sendiri sehingga menghina kaum yang lain, bukanlah sikap yang terpuji malah dilarang oleh islam. Malangnya bagi kita hari ini, sikap kebanggaan itu telah mencetuskan beberapa fenomena yang tidak sihat untuk perpaduan nasional seperti mengutuk, menghina dan mengherdik bangsa dan kaum. Diatas pelbagai isu dan sentimen yang dimainkan, semuanya umpama halal untuk mengherdik dan menghina sesuatu bangsa dan kaum. Fenomena ini dilihat tidak sihat untuk agenda perpaduan nasional.

Sikap menghina, mengherdik dan memaki hamun ini tercetus akibat dari perasaan bangga yang akhirnya menimbulkan rasa lebih mulia dari orang lain. Dalam hal ini. Jika dfikirkan, semua orang berhak untuk merasa mulia kerana setiap dikalangan kita ini sudah tentu mempunyai sikap bangga dengan sesuatu perkara. Namun persoalannya ialah, kerana apakah kita dianggap mulia ? Kerana pangkat ? Kedudukkan, atau kerana harta ?. Dalam soal ini, islam telah datang dan menjawab segala kekeliruan yang ditimbulkan. Kita dimuliakan bukan kerana kaum, kedudukkan dan sebagainya. Kita mulia kerana akhlak peribadi kita dan nilai-nilai murni yang ada pada diri kita. Dalam al Quran, kemuliaan manusia disebutkan dalam dua asas utama iaitu keinsanan dan ketakwaan.



Asas yang pertama ialah keinsanan. Insan merujuk kepada sifat seseorang manusia. Ini bermakna, mana-mana manusia adalah mulia martabatnya. Tidak ada manusia yang diciptakan oleh Allah Azza Wa Jalla untuk dijadikan sebagai penghinaan di muka bumi ini. Semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama adalah mulia dan hendaklah dimuliakan. Dalam erti kata yang lain, kita sebagai manusia wajib memuliakan manusia yang lain dengan cara menghormatinya, memelihara haknya sebagai seorang manusia dan lain-lain.  Dalam al Quran, diceritakan kepada kita bahawa manusia itu asalnya daripada insan yang bernama Adam. Maka manusia disebut sebagai anak cucu Nabi Allah Adam AS. Kemuliaan manusia sabit dalam al Quran, surah al Isra’ ayat 70 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam, dan Kami bawa mereka di darat dan di laut. Kami memberi rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang banyak atas makhluk yang Kami ciptakan”.

Asas yang kedua ialah ketakwaan. Selain dimuliakan kerana sifat jatinya manusia, Allah Azza Wa Jalla juga memuliakan manusia yang bertakwa dikalagan para hamba Nya. Disebutkan dalam al Quran, surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam Pengetahuan Nya”

Dalam sebuah hadis riwayat Ath Thabarani, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Laksanakan segala apa yang diwajibkan Allah, nescaya kamu menjadi orang yang paling bertakwa”

Menurut Ibnu Abbas, takwa ialah perasaan takut berbuat syirik kepada Allah dan selalu mengerjakan ketaatan kepada Nya. Berdasarkan hadis dan definisi takwa dari Ibnu Abbas. Maka dapatlah kita simpulkan bahawa orang yang bertakwa ialah orang yang mematuhi perintah Allah dengan melaksanakan segala titah perintah Nya dan meninggalkan segala larangan Nya. Ketakwaan menjadi nilai tinggi kemuliaan dan menjadi pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Kemuliaan bukanlah berdasarkan bangsa dan kaum. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Ahmad yang bermaksud :

“Tidak ada kelebihan bagi orang Arab keatas orang bukan Arab”

Kesimpulannya, kita tidak seharusnya mendakwa diri kita lebih mulia daripada kaum lain hanya semata-mata perbezaan bangsa dan kaum. Islam menilai semua manusia itu sama sahaja tanpa berbeza kelebihan kerana bangsa, harta ataupun kedudukkan. Semoga kita semua terpelihara daripada sifat yang tercela.

Selasa, 8 Mei 2018

MEMILIH ADALAH SATU TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Tarikh pilihanraya akan menjadi satu tarikh penting dan paling bermakna buat kita semua sebagai rakyat Malaysia yang berpegang teguh pada sistem demokrasi berparlimen. Di saat dan ketika itu, kita sebagai rakyat marhaen ini diberikan mandat dan kepercayaan untuk memilih siapa yang kita mahu melantik sebagai wakil suara kita. Pada saat ini, sudah tentu kita semua mempunyai pilihan dan keyakinan yang tersendiri. Bercakap soal memilih pemimpin, rata-rata dikalangan kita mempunyai ciri-ciri tertentu yang kita mahukan untuk meletakkan kepercayaan memilih pemimpin. Barangkali ada yang mengatakan, seseorang haruslah berpegang teguh pada agama. Ada juga yang mahu seseorang pemimpin itu bijaksana dan berpengalaman luas dalam mengurus dan sebagainya.


Dalam hal ini, Syaikhul Islam Al Imam Ibnu Taimiyyah menyebutkan dalam kitab nya al-Siyasah-al-syariyah fi Islah al Ra’i wa al Ra’iyah, beliau meletakkan dua ciri pemimpin yang mesti dimiliki iaitulah al amin (amanah) dan al qawiy (kuat). Al Amin adalah bermaksud amanah, jujur dan telus dalam kerjanya. Tidak pecah amanah dan senantiasa dipercayai dalam melaksanakan tugasnya. Al Qawiy pula adalah bermaksud kuat, bijaksana serta berkemampuan menguruskan sesuatu. Kuat itu merujuk kepada kemahiran beliau untuk menguruskan sesuatu tugasan. Dua ciri yang diletakkan oleh Syaikhul Islam ini dilihat sangat efektif dan mudah untuk kita jadikan panduan sebagai memilih pemimpin. Dua ciri yang disebutkan ini dilihat menjadi keseimbangan kepada sesuatu kepimpinan. Kepimpinan politik tidak semestinya yang kuat imannya. Sekiranya kita bergantung kepada orang yang kuat imannya, barangkali imannya kuat tetapi dari segi kepimpinan atau pengurusan mungkin mempunyai beberapa kelemahan tertentu.





Seorang sahabat Nabi bernama Abu Zar, seorang sahabat yang Nabi sayang dan Nabi pernah menyebut bahwa orang di langit mengenalinya. Ini menunjukkan bukti bahwa betapa soleh dan baiknya Abu Zar ini. Tetapi apabila Abu Zar meminta jawatan daripada Nabi, Nabi bersabda sesungguhnya engkau itu lemah sedangkan jawatan itu adalah amanah. Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh dan disayangi Nabi, namun kerana Nabi tahu beliau lemah dalam hal politik, maka Nabi tidak melantik beliau untuk memegang jawatan. Hal ini menunjukkan, kadang ada dikalangan kita yang rutinnya rajin beribadah kepada Allah, soleh dan baik peribadinya namun dalam masa yang sama dia mempunyai kelemahan tertentu yang tidak boleh melayakkan dia untuk memimpin sesuatu amanah. Kerana itu, al amanah dan al qawiy adalah syarat penting untuk kita menilai sebelum membuat pilihan.


Kadang kala, umat islam terpaksa berhadapan dengan dua fenomena yang menjadi dilema untuk memilih pemimpin. Satu tokoh yang ada kemampuan tetapi kurang amanah. Satu tokoh lagi yang ada amanah tetapi kurang kemampuan. Kemampuan di sini bermaksud kurang kemahiran untuk mengurus tadbir sesuatu perkara. Siapa yang hendak kita pilih ? Kita hendaklah memilih orang yang paling memberi manfaat kepada kedudukkan jawatan tersebut. Sekiranya jawatan tersebut ialah bendahari, tugasnya menjaga harta, maka hendaklah kita memilih orang yang beramanah sekalipun dia kurang kemahiran dalam pengurusan. Kerana pengurusan harta berkehendakkan kepada orang yang berintegriti tinggi dan tidak pecah amanah. Sekiranya jawatan tersebut ialah jawatan tentera atau polis, maka hendaklah kita memilih mereka yang kuat tenaga nya sekalipun mereka itu kurang beramanah kerana ianya sangat bertepatan dengan skop kerjanya.


Pilihan ada di tangan kita semua. Setiap dikalangan kita mempunyai hak yang sama iaitu hak memilih orang yang kita percayai. Maka pilihlah dengan kepercayaan bukan dengan emosi dan sentimen ketaksuban. Taksub pada sesuatu ideologi politik boleh membawa kepada perpecahan ummah. Kita semua mesti diingatkan, politik adalah sebahagian daripada agama dan politik adalah ijtihad kepada sesuatu urusan, tidaklah sehingga menyebabkan kita terkeluar daripada islam sekiranya tidak menyokong ideologi tertentu.


Isnin, 26 Mac 2018

PUISI : AIRMATA DAKWAH


Hidupku ini milik ummah

Siang dan malam pagi dan petang
Ke hulu ke hilir ke sana ke mari
Letih dan penat usah di bilang
Kerana ini sumpah pejuang
Tidakkan berhenti hingga di jemput ilahi

Terkadang hati tidak dapat menipu

Terkadang perasaan tersentuh jua

Melihat panahan fitnah bermaharajalela
Memanah diri membungkam rasa kecewa
Atas medan dakwah ini..tertumpah jua airmataku


Atas jalan Nabi ku yakini

Walau malaun datang menyergah
Sekalipun macai datang menjentik
Adapun manusia bertopengkan syaitan
Takkan ku menyerah walau seurat
Takkan ku berundur walau seinci
Takkan ku tunduk walau tertewas


Dakwah bukanlah jalan kesenangan

Di luarnya tenang di dalamnya siapa tahu

Dakwah bukanlah jalan kemasyuran
Di luarnya tersenyum di dalamnya menangis
Dakwah bukanlah jalan yang singkat
Tiada jaminan untuk kekal berdakwah
Kecuali engkau berpegang firman empunya alam


Hidup ini adalah untuk hidup akhirat

Dunia di diami hanya tempat bersinggah
Di akhirat jualah tempat beristirehah
Moga Tuhan menilai setiap jerit perih dakwah
Dengan airmata ini diriku gagah
Menyusun langkah memacu ummah
Biar sekalipun airmata menjadi harga
Asalkan tidak ku menyesal di akhirat kelak

Ahad, 25 Februari 2018

KEHARMONIAN HIDUP DARI SUDUT PANDANG ISLAM


Keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk perpaduan. Perpaduan yang kukuh, akan terlahir daripada manifestasi keharmonian ini. Perkataan harmoni itu sendiri membawa maksud yang pelbagai seperti aman, tenteram, bahagia dan tenang. Hakikatnya, setiap dikalangan kita pasti mempunyai definisi keharmonian yang tersendiri. Beragama adalah fenomena sejagat. Hampir semua masyarakat bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau pernah melalui proses orientasi agama atau kepercayaan dalam sejarah pembentukan dan perkembangan peradaban mereka.Evolusi sosial mengubah orientasi dan pegangan kepada agama, yang mengakibatkan pemisahan agama daripada pemerintahan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat dan Islam pada satu masa dulu. Namun, ia sama sekali tidak terus menidakkan kewujudan dan peranan agama dalam membentuk nilai keharmonian dalam sebuah masyarakat hingga kini.


Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap, tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara. Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepada kepercayaan Tuhan yang Maha Esa (Tunggal) yakni Allah SWT. Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang adalah berpandukan kepada ajaran dan bimbingan Al-Quran dan Sunnah. Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka tentulah, nilai agama Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat Malaysia hingga hari ini. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin dalam Perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat kita. Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam, sebagai agama yang mensejahterakan atau agama keamanan, sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam.



Hal ini terbukti dalam catatan sejarah di zaman pemerintahan islam dahulu, sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW menjadi ketua negara islam yang ketika itu berpusat di Madinah, maka Piagam Madinah telah diperkenalkan sebagai perlembagaan negara. Dalam piagam tersebut, penduduk tetap Madinah yang bukan beragama islam telah diberikan jaminan oleh Nabi Muhammad berhubung soal keselamatan dan ketenteraman mereka sama seperti orang islam yang lain. Meskipun berbeza dari sudut agama dan kepercayaan, Nabi Muhammad yang merupakan utusan Allah ini telah mendidik dan mengajar umatnya supaya tidak meminggirkan soal keharmonian dikalangan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Sebarang bentuk kezaliman dan penindasan adalah ditentang dan dilarang dalam islam. Ini adalah contoh dan sudut pandang islam yang sangat menitikberatkan soal keharmonian dalam kehidupan masyarakat.

Islam adalah agama yang mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja termasuk kepada yang bukan beragama islam. Kerana islam itu sendiri adalah agama yang mengajar umatnya untuk menjaga keharmonian. Hal ini terbukti pada zaman Nabi Muhammad, baginda Nabi pernah menerima undangan dari seorang Yahudi untuk menjamah makanan bersamanya. Lalu, Nabi Muhammad SAW pun memenuhi undangan tersebut dari seorang Yahudi. Nabi Muhammad SAW tanpa ragu, telah hadir dan menjamah makanan bersama. Contoh teladan yang baik ini melambangkan islam adalah agama yang senantiasa menganjurkan keharmonian hidup. Tidaklah islam itu agama yang mengajak bermusuhan sebaliknya mengajak kepada keharmonian hidup sejagat. Akhir sekali, islam satu agama yang membawa mesej keamanan dan keharmonian hidup tanpa mengira soal agama, bangsa apatah lagi warna kulit yang berbeza. Sesiapa sahaja, walau apa pun pangkat dan darjatnya, islam senantiasa mengutamakan nilai kehidupan.

Rabu, 3 Januari 2018

KEPRIHATINAN TUANKU RAJA MUDA PERLIS TERHADAP GOLONGAN MUALAF

Negeri Perlis adalah negeri paling hujung di utara semenanjung Malaysia. Berkeluasan 795 km/persegi dan mempunyai kepadatan penduduk seramai 250, 000 orang. Negeri Perlis begitu sinonim dengan slogan permai lagi mempersona. Buminya yang damai dikelilingi oleh pemandangan sawah padi yang menenangkan. Nama Perlis juga sinonim dan terkenal dengan tanaman pokok “harumanis”. Selain itu juga, rakyat negeri Perlis amat bertuah dikurniakan seorang putera raja yang sedang memegang mandat sebagai Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis sejak 1 Ogos 2000 hingga kini. Baginda Raja Muda Perlis telah diputerakan pada 30 Disember 1967 di Hospital Besar, Alor Setar Kedah. Baginda telah berkahwin dengan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan dikurniakan 3 orang anak.

Baginda begitu sinonim dengan kerja-kerja amal terutamanya dalam menegakkan syiar agama islam di negeri terkecil ini. Sejak menerajui Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu  Perlis (MAIPs) selaku Yang Di Pertua bermula tahun 2002, pelbagai ilham baginda curahkan dalam usaha melaksanakan transformasi MAIPs. Pelbagai agenda transformasi dan inisiatif baru telah dilaksanakan dalam menegakkan syiar agama. Antara usaha transformasi yang dilakukan ialah menghulurkan bantuan dalam hal keperluan dan sokongan pendidikan kepada golongan saudara baru muslim atau disebut sebagai mualaf, bagi memberikan mereka nafas permulaan hidup baru sebagai seorang muslim. Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf sudah sinonim dengan negeri Perlis. Bukan setakat itu sahaja, turut terkena tempias sikap keprihatinan Baginda ini ialah beberapa saudara baru muslim dari luar Perlis, turut dijemput untuk menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) secara percuma dibiayai oleh MAIPs. 



Baginda dikenali sebagai seorang yang begitu komited dan menitikberatkan dalam soal bidang pendidikan. Baginda senantiasa mengingatkan rakyat negeri Perlis supaya bermentaliti kelas pertama dalam tindakan. Keprihatinan Baginda dalam bidang pendidikan terbukti dengan program-program yang telah melibatkan pelbagai institusi pendidikan sama ada di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, di peringkat sekolah rendah dan menengah, juga termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Tidak ketinggalan dalam soal ini ialah golongan mualaf. Baginda menerusi MAIPs telah memperkenalkan tawaran biasiswa kepada mualaf bagi melanjutkan pendidikan. Inisiatif yang julung kalinya diadakan ini juga telah menarik minat Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha. Dalam satu laporan akhbar bertarikh 13 Julai 2017, JAKIM menerusi Ketua Pengarahnya dalam satu majlis bersama mualaf di Perlis menyatakan hasrat beliau untuk melebarkan inisiatif yang menarik ini. Beliau sendiri amat kagum dan bangga dengan inisiatif yang sangat bermanfaat buat para mualaf. Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar negeri-negeri lain mencontohi negeri Perlis dengan memperkenalkan inisiatif hebat ini. Secara tidak langsung, inisiatif ini melambangkan sikap prihatinnya Baginda terhadap bidang pendidikan tanpa meminggirkan status sesiapun.

Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf tidak terhenti di situ sahaja. Baginda terkenal dengan sikap menitikberatkan soal perpaduan dan rasa kasih sayang kepada golongan mualaf. Hal ini terbukti dalam titah ucapan Baginda pada tarikh 13 Februari 2017,Baginda bertitah supaya saudara muslim yang berketerunan cina agar tidak merasa asing berada dalam masyarakat islam. Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina bagi saudara muslim cina di negeri Perlis. Baginda juga menyeru umat islam supaya belajar mengenali kepelbagaian budaya dan juga perlu tahu bagaimana untuk mengharmonikan adat dan budaya dengan ajaran islam yang membawa rahmat untuk sekalian alam. Baginda sering mengingatkan para pendakwah supaya menunjukkan contoh teladan yang baik dan murni selari dengan ajaran petunjuk wahyu dari Allah Azza Wa Jalla. Selain itu, Baginda juga  menyarankan agar orang islam mengajak saudara baru muslim untuk turut bersama menyambut hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang sesama umat islam.

Pada masa yang sama, Baginda seringkali meluahkan rasa bimbang dengan sikap segelintir umat islam yang langsung tidak mencerminkan imej islam yang sebenar. Baginda sangat bimbang dengan imej islam yang seringkali digambarkan dengan imej yang negatif. Hal ini secara tidak langsung, berpunca daripada kelemahan sikap umat islam itu sendiri yang suka bermusuhan dan tidak boleh menerima sudut pandangan yang berbeza. Fenomena ini sekiranya dibiarkan, ianya akan memberi kesan kepada saudara baru muslim yang berkemungkinan kembali cenderung untuk kembali kepada agama asal mereka. Atas sebab ini, Baginda sentiasa prihatin akan permasalahan ini dengan menyokong pelbagai program keagamaan dilaksanakan khusus kepada golongan mualaf sebagai salah satu inisiatif atau langkah membimbing mereka mengenal didikan dan ajaran islam yang sebenar. Baginda juga menerusi MAIPs, telah melantik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu One Centre Malaysia sebagai sebuah badan khas yang bertindak menggerakkan kerja-kerja dakwah dan pada masa yang sama juga memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada golongan mualaf. One Centre Malaysia juga berperanan untuk memperkenalkan islam yang sebenar kepada masyarakat bukan islam dan berfungsi sebagai jambatan perpaduan antara agama dan kaum tanpa mengetepikan prinsip islam. Maka kita boleh lihat bagaimana beberapa tokoh agama sama ada di dalam atau di luar negara, dijemput untuk memberikan ceramah, berkongsi rasa sesama mualaf sebagai suatu suntikan vitamin motivasi buat para saudara baru juga pada umat islam keseluruhannya. 




Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf telah menjadi simbolik yang hebat kepada negeri Perlis yang terpencil di utara semenanjung. Betapa kita boleh melihat dan merasainya, sebuah negeri yang kecil dipimpin oleh seorang putera raja muda yang berjiwa besar dan sentiasa berfikiran positif dalam mengembangkan lagi syiar agama Allah. Apa yang dituliskan dalam artikel ringkas ini ialah serba sedikit usaha Baginda memperjuangkan nasib golongan mualaf khususnya di negeri Perlis. Tidak kira lagi betapa banyak lagi di sana, usaha dan gerak kerja Baginda bersama MAIPs menjejaki dan menyantuni para asnaf di sekitar negeri Perlis dengan cara dan gayanya yang tersendiri. Keprihatinan Baginda dalam banyak soal kehidupan ini telah membawa rahmat kepada sekalian penduduk rakyat jelata di negeri Perlis khususnya. Kita doakan agar Allah Azza Wa Jalla terus memberi petunjuk diatas jalan redha Nya serta dikurniakan kekuatan kepada baginda untuk terus memimpin negeri ini menegakkan syiar agama Allah yang Maha Esa. Dirgahayu Tuanku !