Selasa, 23 Februari 2021

DAKWAH : URUSAN YANG TIADA PENAMAT HINGGA KIAMAT


Dakwah adalah pekerjaan warisan para Nabi dan Rasul, membawa risalah menjunjung titah firman Nya, menyeru manusia tunduk dan patuh akan arahan Nya. Kini, setelah hampir 1400 tahun lamanya baginda Nabi meninggalkan kita, kita adalah penyambung warisan ini dan bukannya sebagai pemula dakwah.

Dakwah bukanlah semudah bicara di pentas forum agama, tidaklah seperti mudah bercakap dalam kuliah, namun lebih luas dari itu ialah perjuangan dalam menegakkan kebenaran yang datangnya dari Tuhan.



Dakwah tidak akan menjadikan kita mendabik dada bertahun lamanya kita berdakwah. Dakwah bukanlah bertujuan menghitung ramai pengikut lelaki dan wanita, tidaklah pula untuk mengira jumlah masjid dan surau yang telah kita hadiri, tetapi dakwah bertujuan untuk mengajak manusia mengenali Tuhan dan Rasul, membezakan yang benar dan yang batil, yang baik juga yang buruk, membawa mesej seruan tauhid menuju jalan Nya yang lurus.

Sekiranya angka tahun yang menjadi perhitungan kita untuk mengatakan penat dan letih berdakwah, insaflah dengan kisah Nabi Allah Nuh AS yang berdakwah hampir 900 tahun lamanya.

Sekiranya kita diuji dengan sekatan, halangan untuk berdakwah dan menganggap ianya berat hingga membuatkan kita mahu berhenti berdakwah, malu lah kita pada Rasulullah yang bukan sahaja di halau dan dihalang bahkan ditawar wanita, harta dan pangkat asalkan mahu berhenti berdakwah hingga ke tahap dirancang membunuh baginda Nabi.

Jadi, bertenanglah wahai para pendakwah. Di tutup satu jalan, akan terbuka luas 1001 macam jalan lagi. Ditusuk dari kanan, geraklah ke kiri. Digasak dari kiri, beralihlah ke kanan. Jangan pernah berputus asa dalam dakwah. Kerana dakwah bukanlah kerja on off seperti pekerjaan lain, sebaliknya ia urusan yang berterusan hingga kita dijemput menemui sang pencipta kita.

 


Sekiranya kita ditanya, apakah pekerjaan yang tiada pemula dan tiada akhirnya ? Maka jawapannya adalah dakwah. Tiada istilah "pencen" dalam kamus hidup seorang pendakwah. Biar berbeza cara dan platform berdakwah, tiada alasan untuk tidak berdakwah. Hanya kematian yang dapat memisahkan kita dengan pekerjaan dakwah. Pangkat kedudukan bukan syarat untuk berdakwah. Sekalipun terpaksa melepaskan jawatan, hattakan kehilangan kuasa dan kedudukan, dakwah tidak pernah ada tamatnya.

Ketahuilah, dakwah bukanlah jalan untuk sekadar sedap berceramah sambil dihulurkan sampul, bukanlah sekadar berlawak jenaka di meja kuliah, dakwah tidak sekadar itu. Bahkan lebih besar lagi ialah ketelusan kita dalam menyampaikan risalah Nya. Moga Allah pimpin hidup kita semua menuju jalan Nya yang lurus.


Sabtu, 20 Februari 2021

ISLAM MEMERANGI ORANG BUKAN ISLAM ?

 

Agama Islam seringkali dimomokkan dengan peperangan, pembunuhan dan penentangan keras terhadap orang bukan Islam. Malah bertambah parah lagi apabila terdapat sikap segelintir umat Islam yang telah salah memahami istilah jihad hingga bertindak ganas membunuh orang bukan Islam atas nama agama.

Persoalan adakah Islam memerangi orang bukan Islam ini bukan sahaja bermain di fikiran mereka yang bukan Islam, namun saya percaya timbul kemusykilan juga dikalangan orang Islam. Ini kerana ketidakjelasan konsep interaksi orang Islam dengan orang bukan Islam hingga menimbulkan persepsi dan tanggapan yang salah terhadap Islam.




Untuk mencari jawapan kepada persoalan ini, terlebih dahulu kita mesti memahami tentang beberapa prinsip interaksi orang Islam dan orang bukan Islam seperti asas hubungan antara orang Islam dan bukan Islam, perdamaian atau permusuhan ? Sekiranya permusuhan maka apakah sebabnya permusuhan ? Sebaliknya jika asas hubungan ini adalah perdamaian, maka apakah pula sebabnya perlu perdamaian ?

Para ulama ketika membahaskan hukum memerangi orang bukan Islam (kafir), terdapat perbezaan dalam mencari illah (punca hukum) memerangi orang kafir. Sebahagian besar para ulama dari mazhab al Syafi'i dan al Zahari berpendapat sebab Islam menentang orang bukan Islam (kafir) adalah kerana kekufuran mereka dengan Allah. Namun pendapat ini dianggap lemah dan tidak boleh dipegang secara kefahaman dan praktikalnya.

Manakala di sisi jumhur (majoriti) ulama berpendapat sebab sebenar Islam memerangi orang bukan Islam bukanlah kerana perbezaan agama tetapi kerana mereka yang menzahirkan permusuhan terhadap harta dan nyawa orang muslim disebabkan Islam yang dianutinya. Dalam erti kata yang lain, Islam tidak pernah menghalalkan darah orang bukan Islam kecuali bagi mereka yang menzahirkan permusuhan mereka terhadap Islam.

 


Oleh itu, bagi golongan orang bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan dan tidak mengisytiharkan perang dengan Islam, mereka tidak boleh diperangi oleh orang Islam. Sekiranya hanya kerana kekufuran mereka diperangi, nescaya semua orang bukan Islam harus diperangi. Maka tiada lah istilah kafir zimmi, kafir mua'had dan harbi jika benar mereka diperangi kerana kekufuran mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al Taubah ayat 36 yang bermaksud :

"Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya sepertimana mereka memerangi kamu keseluruhan".

Ayat ini jelas menunjukkan Islam memerangi orang bukan Islam adalah kerana tindakan dan sikap mereka yang memulakan peperangan terhadap Islam. Bukannya kerana sebab kekufuran atau perbezaan akidah mereka. Bahkan, dalam perintah yang lain, Allah SWT tidak pernah melarang orang Islam melakukan kebaikan kepada golongan bukan Islam. Ini sepertimana yang dinyatakan dalam surah al Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil"

Imam al Tabari ketika membahaskan ayat ini beliau berkata :

"Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama."

Islam adalah agama yang penuh dengan prinsip perdamaian merentasi agama dan kaum. Bahkan Allah juga telah memerintahkan supaya orang Islam menunaikan hak mereka yang bukan Islam dan berlaku adil terhadap mereka. Peperangan menentang orang bukan Islam bukanlah kerana berbeza agama, tetapi sebaliknya kerana mereka menzahirkan permusuhan terhadap Islam dan melancarkan permusuhan terhadap orang Islam atas nama agama. Semoga Allah memberikan kita petunjuk serta taufik Nya.

Selasa, 9 Februari 2021

ALIRAN NEW AGE : GERAKAN PLURALISME BERTOPENGKAN BATINIYYAH MODEN

 

Aliran batiniyyah merupakan suatu aliran yang mengajar para pengikutnya melakukan amalan kerohanian melampau yang tidak diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Antara ciri-ciri terpenting yang dapat kita rumuskan tentang aliran batiniyyah ini adalah mereka mendakwa setiap nas yang zahir itu terdapat tafsiran batinnya. Selain itu, golongan batiniyyah juga gemar meremehkan orang lain yang tidak berpegang dengan aliran batiniyyah dan menggangap diri mereka dari golongan atasan hieraki kerohanian.

Maka, tidak pelik dan ajaib sekiranya kita berjumpa dengan golongan ini yang juga suka memandang rendah dengan perbuatan berfikir dan mengkaji. Ini kerana perbuatan berfikir dan mengkaji akan membongkarkan kepalsuan dakwaan mereka seperti mampu berhubung terus dengan tuhan dan melondehkan rahsia-rahsia yang dijadikan modal mereka untuk merendahkan orang lain. Syeikh Abdul al Qaahir al Baghdadi dalam kitabnya al Farqu baina Firaq, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya aliran batiniyyah ini lebih dasyat ancaman dan kebencian terhadap Islam melebihi Yahudi, Nasrani dan Majusi.

Gerakan New Age terhasil daripada agenda pluralisme melalui pintu batiniyyah yang menggabungkan semua ajaran agama dan menghimpunkannya dalam satu idelogi kerohanian yang menyimpang jauh dari ajaran sebenar Islam. Antara asas ajaran New Age ini adalah seperti berakidah "Panteisme" yang bermaksud semua adalah tuhan. Mereka juga percaya kepada kepentingan melakukan amalan ritual kerohanian tanpa berpegang kepada satu-satu agama. Tujuan tertinggi New Age adalah untuk menyedarkan pengikutnya diri mereka adalah Tuhan.

Ajaran gerakan ini telah sekian lama menyusup masuk dalam program motivasi dan mengadaptasikan ritual kerohanian tertentu. Antara ritual kerohanian yang dijadikan amalan mereka adalah seperti Yoga, Chakra, Hypnotherapy, Meditasi dan konsep aura tenaga positif dan negatif. Ritual atau kaedah ini seringkali digunapakai oleh pakar motivasi untuk menguatkan potensi diri, kekal berpositif dan mewujudkan kuasa dalaman dalam diri.

 


Dalam ajaran New Age, mereka menyatakan semua manusia akan menghasilkan aura positif dan negatif. Oleh itu, bagi mereka, untuk meraih aura postif dalam kehidupan perlu melakukan beberapa syarat seperti sentiasa berkata yang positif dan tidak berkata dengan perkataan yang menunjukkan kita lemah. Kepercayaan ini terbina dengan satu kajian oleh Masuru Emoto berkenaan perubahan molekul air menjadi cantik apabila diucapkan perkataan positif. Sebaliknya, molekul air berubah menjadi buruk apabila diucapkan perkataan negatif.

Namun begitu, kajian tersebut tidak dapat dibuktikan sah. Beberapa ahli sains menafikan kajian tersebut seperti Stephen Kiesling, Tyler Volk dan ramai lagi. Mereka mengkritik dan menafikan kebuktian perubahan molekul tersebut dari sudut sainstifik. Walau pun begitu, gerakan New Age tetap berpegang kepada bukti tersebut dan mendakwa manusia perlu berfikir yang baik-baik dan tidak boleh mengatakan dengan perkataan yang kita ini lemah.

Secara tidak sedar, ideologi ini telah menafikan doa hauqalah yang pernah diajarkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Tabrani, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengucapkan La haw la wala quwwa ta illah billahi, (tidak ada upaya melainkan pertolongan Allah), maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan"

Kata Imam al Nawawi, perkataan hauqalah itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba itu tidak mempunyai daya upaya untuk menolak kemudaratan dan tidak ada kekuatan untuk mendatangkan kebaikan pada dirinya melainkan dengan kekuatan dan kehendak Allah SWT.

 

 


Terdapat banyak lagi unsur kepercayaan gerakan New Age yang menyimpang jauh dari ajaran Al Quran dan Sunnah Nabi SAW. Seperti konsep "Feeling Are Prayer" bermaksud doa dengan perasaan tidak takut. Juga konsep "Living In Abundance" bertujuan menafikan mukjizat Nabi SAW. Mereka telah mengaitkan mukjizat Nabi SAW dengan konsep Living In Abundance melalui peristiwa sirah Nabi ketika mana pernah Nabi dijemput oleh Jabir RA untuk menikmati makanan sebelum keluar berperang dalam peperangan Khandak. Maka Nabi ajak ramai para sahabat yang lain untuk turut sama makan di rumah Jabir. Asalnya makanannya sikit dan tiba-tiba menjadi banyak dan mencukupi untuk semua orang.

Mereka telah mendakwa ianya adalah kuasa Living In Abundance dan menafikan mukjizat baginda Nabi SAW. Kita boleh lihat bagaimana kelicikan mereka ini membaluti Islam dengan ajaran New Age menggunakan logik akal. Untuk itu, sebagai muslim, yang mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla, perlu berhati-hati dan menilai semula setiap ritual dan kepercayaan yang ditanam dalam diri kita agar kelak kita tidak termasuk jerat agenda pluralisme - batiniyyah ini. Semoga Allah berikan kita hidayah serta taufik Nya.

Sabtu, 6 Februari 2021

INSTITUSI ZAKAT BUKAN SEKADAR MENGUTIP & MENGAGIH ZAKAT

 

Adalah tidak adil sekiranya kita menuduh sesuatu pihak tidak melakukan kerja hanya kerana tidak di paparkan atau di tunjukkan di dada akhbar dan media sosial. Apatah lagi kita menuduh institusi zakat yang menjadi pusat kepercayaan orang Islam untuk menagihkan zakat yang juga amanah terbesar umat Islam.

Kita yakin dan percaya, institusi zakat di seluruh Malaysia mempunyai cara kaedah dan strategi yang tersendiri bagi memastikan agihan zakat dapat dibuat dengan betul dan tepat. Ini kerana pemberian zakat bukanlah semudah memberi sedekah ke sana ke sini. Sebaliknya agihan zakat perlu diberikan kepada yang berhak iaitulah yang disebutkan di dalam Al quran, surah at Taubah ayat 60 yang bermaksud :

"Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat (amil), para muallaf yang dijinak hatinya, untuk memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah ; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"



Allah Azza Wa Jalla telah mewajibkan agihan zakat kepada 8 golongan yang disebutkan sebagai asnaf. Disebabkan ini adalah kewajipan dan ketetapan daripada Allah, maka agihan zakat perlulah diberi dengan teliti agar tidak menindas hak orang yang lain yang lebih layak mendapatkannya.

Namun begitu, kerana salah faham masyarakat terhadap institusi zakat dan juga barangkali kurang liputan media terhadap kerja-kerja institusi ini, maka masyarakat beranggapan pusat zakat tidak pernah tampil dan bantu bagi mereka yang layak menerimanya. Adalah tidak wajar dan tidak patut kita beranggapan sebegitu rupa dengan membuat andaian tanpa merujuk pada mereka yang sebetulnya.

Ada juga yang mencadangkan supaya institusi zakat lebih proaktif dan profesional. Walhal, institusi zakat pada hari ini dilihat telah pun bergerak proaktif dengan pelbagai bentuk program dan usaha sama dijalankan. Misalnya, di Perlis, dibawah pentadbiran Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bukan sekadar membuat kutipan dan mengagihkan zakat, bahkan MAIPs dibawah teraju DYTM Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang Di Pertua MAIPs telah bergerak aktif mengesan dan membantu para asnaf.

Bukan sekadar itu sahaja, agihan bantuan ini turut diberikan kepada mereka yang diluar sana yang memerlukan seperti misi bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara. Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh MAIPs bagi menyantuni para asnaf yang berhak menerima. Misalnya seperti Program Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai sendiri oleh Raja Muda dan Program Hijrah Minda, menjelajah setiap masjid dan surau di negeri Perlis.

Lebih agresif lagi, MAIPs terus memperkemaskan jentera pengurusan wakaf dan sumber am bergerak aktif dan profesional dengan mempertingkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan berwakaf dan bersedekah. Hasilnya, beberapa kejayaan menjadi mercu tanda wakaf seperti Bangunan Pusat Perkhidmatan Hemodialisis di Hospital Tuanku Fauziah, Pusat Pengurusan Jenazah Wakaf MAIPs di Kubang Gajah dan Centre Of Sunnah di Arau.

Menyedari hakikat bahawa pentingnya membantu para asnaf bangkit dan keluar daripada kemiskinan, pihak MAIPs tidak berhenti membantu sekadar mengagihkan wang zakat sahaja malah turut merangka beberapa program pendidikan dan sosial bertujuan meningkatkan ekonomi para asnaf selain membangunkan minda dan jiwa asnaf untuk terus mengorak langkah mencipta kejayaan tersendiri. Pelbagai program dan usaha sama dijalankan seperti dibawah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), pelbagai peluang pendidikan dan pekerjaan ditawarkan kepada para asnaf.

Demikian beberapa ceritera gerak kerja institusi zakat khususnya di Perlis yang mungkin ramai tidak tahu dan barangkali tidak peduli tentang hal ini. Banyak lagi jika mahu dituliskan, namun cukuplah sekadar ini untuk memberi petanda bahawa institusi zakat tidak tidur dan lena makan gaji buta. Segala tohmahan dan anggapan tidak benar terhadap mana-mana institusi zakat perlu diperbetulkan dengan melihat dan menilai semula semua gerak kerja dan strategi yang telah mereka lakukan.

 


Harus kita tahu bahawa institusi zakat bukan sekadar kerja kutip dan agih, bahkan lebih dari itu ialah menyusun serta melaksanakan strategi bagi memajukan ummat dengan sedaya upaya yang boleh. Oleh itu, agihan zakat perlu lah diagihkan dengan berhati-hati agar agenda memajukan ummat dapat direalisasikan bersama. Marilah sama-sama kita menghayati hadis Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik ataupun berdiam diri"

Marilah sama-sama kita mengambil sikap bertabayyun (minta penjelasan) sebelum melakukan sebarang tohmahan yang boleh mengundang fitnah terhadap Islam. Lebih besar daripada itu ialah, bantulah institusi zakat dengan tampil ke hadapan dan berikan maklumat, bukan sekadar bercakap di kedai kopi saja. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Rabu, 3 Februari 2021

MENANGANI LGBT ANTARA HUKUMAN DAN PENDIDIKAN

 

Isu LGBT bukanlah isu yang baharu diperbincangkan. Pelbagai medium wacana dan liputan media disediakan untuk para pakar dan ilmuan melontarkan luah rasa serta pandangan bagi menangani isu LGBT ini. Malah terdapat sebahagian besar rakan-rakan kita daripada pelbagai NGO melakukan program-program berbentuk pendidikan meningkatkan kesedaran dan wacana ilmu terhadap isu ini.

Baru-baru ini, YB Dato Haji Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) telah menyatakan komitmen kerajaan untuk memperkasakan Akta RUU 355 bertujuan meningkatkan kadar hukuman diatas kesalahan LGBT. Ini adalah suatu langkah baik yang perlu di perhalusi supaya ianya selari dengan maqasid syariah. Pemerkasaan undang-undang juga perlu bergerak diatas nilai keadilan. Sesuatu hukuman mestilah dijatuhkan kerana perbuatan tersebut, bukan kerana membenci individu terbabit, hukumlah dengan keadilan dan bukan dengan kebencian. Kerana dibimbangi sekiranya kita membenci golongan ini akan mendorong kita untuk tidak berlaku adil.

Firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui"

Cuma, apa yang boleh kita lihat juga selain memberika hukuman, soal pendidikan kesedaran juga amat diperlukan bagi mencegah wujudnya lagi golongan seperti ini. Hukuman semata-mata tidaklah dilihat efisyen sekiranya kita gagal memberikan pendidikan meningkatkan kesedaran dalam diri manusia. Di awal isu LGBT ini hangat di wacanakan, terdapat sebahagian tokoh ilmuan dan agamawan seperti Ustaz Ebit Liew, Dato Dr. Zulikifli Mohamad Al Bakri, mengambil pendekatan mendekati golongan ini dan memberikan mereka pendidikan.

 


Hukuman dan pendidikan dua perkara yang harus diberi penekanan. Hukuman bertujuan sebagai pengajaran kepada pelaku dan masyarakat keseluruhannya. Manakala pendidikan pula sebagai medium meningkatkan kesedaran berhubung ajaran Islam yang sebenar. Hanya dengan ilmu dan iman lah yang dapat membentengi diri kita daripada terjebak dengan maksiat. Oleh itu, soal pendidikan juga sangat penting bermula dari institusi kekeluargaan hingga ke peringkat global.

Malah, melalui pendidikan juga, para ilmuwan perlu mengambil kesempatan untuk mengkaji golongan LGBT ini dari sudut pandang dan fakta sains. Ini kerana sebahagian hujah golongan ini mempertahankan hak diri mereka dengan memainkan isu ketidak stabilan hormon dan perkara ini berkait rapat dengan kajian sains. Kita perlu sedar bahawa, untuk menentang golongan LGBT ini tidak cukup sekadar memberikan hukuman. Lebih daripada itu, para ilmuan dan juga agamawan perlu lebih proaktif melihat kajian-kajian sains dan perkaitannya dengan ajaran Islam.

Hakikatnya, kita bukan sahaja berhadapan dengan isu LGBT ini bahkan sebenarnya kita sedang berhadapan dengan agenda perjuangan golongan liberal yang menuntut hak kebebasan khususnya untuk golongan LGBT. Oleh itu, kita semua harus mempersiapkan diri bukan sahaja untuk menghukum mereka yang tergelincir tetapi mesti mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan berbekalkan takwa, kita boleh menghadapi ancaman pemikiran ini. Sekadar membaca ayat ancaman tidak mampu mengubat hati mereka yang terpesong. Perlu diberikan sentuhan ilmu dan kefahaman.

Ingatlah kita akan firman Allah SWT dalam surah al Nahl ayat 125 yang bermaksud :

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan tutur kata yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk"

Marilah sama-sama kita memberikan dorongan, semangat dan harapan kepada mereka yang tersasar agar dapat kembali ke jalan yang lurus, yang diredhai oleh Allah SWT. Hukuman tanda ketegasan. Pendidikan tanda kemuliaan. Semoga kita semua memperolehi hidayah serta taufik Nya.

Jumaat, 29 Januari 2021

DEMOKRASI HARAM : BENARKAH DAKWAAN TERSEBUT ?

 

Segelintir umat Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang menegakkan daulah khilafah menganggap bahawa sistem demokrasi yang dilaksanakan oleh kebanyakkan negara dunia hari ini adalah haram hukumnya berdasarkan beberapa penelitian dan tafsiran mereka.

Demokrasi adalah satu sistem politik yang membawa maksud dari rakyat kepada rakyat. Juga boleh kita sebutkan definisi oleh Abraham Lincoln, mantan Presiden Amerika yang membawa maksud kerajaan atau pemerintahan daripada rakyat. Walau apa pun pendefinisiannya, demokrasi adalah satu sistem yang berasal daripada acuan dan buah fikiran barat.

Persoalanya, apakah demokrasi itu haram hanya kerana lahirnya sistem tersebut dari dunia barat ? Apakah Islam melarang umatnya untuk mengambil kebaikan daripada acuan selain Islam ? Apakah kandungan Al quran dan hadis dalam melihat isu demokrasi ? Untuk memahaminya, kita perlu melihat pandangan ulama berkenaan isu ini. Golongan ulama, mereka adalah golongan yang mempunyai kekuatan dan kemahiran dalam mengistinbat (mengeluarkan) hukum.



Mantan pensyarah di Universiti Umm al- Qurra, Saudi, Syeikh Mohammad Al Ghazali mengakui bahawa demokrasi bukanlah datang daripada agama Islam. Namun, beliau melihat demokrasi menjadi pendinding bagi setia individu daripada dikuasai oleh mereka yang menyalahgunakan kuasa. Demokrasi akan melahirkan rakyat yang berani menyatakan pandangan mereka tanpa merasakan takut pada pemerintah. Hal ini kerana, baginda Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat al Nasaie yang bermaksud :

"Daripada Tariq bin Shihab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW yang ketika itu dia meletakkan kakinya di satu kayu di tanah :"Apakah jihad paling afdhal ?" Jawab Nabi : "(Jihad yang paling afdhal adalah) perkataan yang benar di sisi pemimpin yang jahat".

Dr. Yusuf al Qaradhawi pula dalam kitab beliau yang bertajuk Fi Fiqh al Daulah, beliau menyatakan demokrasi mampu meruntuhkan perasaan pemerintah yang gemar mempertuhankan diri mereka sendiri dan memaksa rakyat menjadi hamba kepadanya. Untuk mengukuhkan lagi hujahnya, beliau merujuk firman Allah SWT dalam surah al Qasas ayat 4 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan"

Beliau juga menyatakan bahawa demokrasi ialah satu sistem yang boleh merealisasikan maqasid syariah (matlamat syariah) dengan berkesan. Dr. Yusuf al Qaradhawi juga menyebut tidak terdapat sebarang dalil syarak yang mencegah umat Islam untuk mengambil pemikiran, kaedah atau sistem asing yang bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan syarak.



Dr. Hassan al Turabi, seorang ulama dan pemikir Islam terulung negara Sudan menyifatkan Islam lah yang memulakan idea demokrasi. Kerosakan yang berlaku terhadap demokrasi barat adalah kerana rentetan terhadap mereka yang mencorak pembentukan kerajaan di luar landasan dan fahaman agama. Bagi beliau, demokrasi yang terpisah daripada agama ialah manifestasi riddah dan syirik. Demokrasi dalam skala Islam tidak bererti kuasa milik mutlak rakyat, sebaliknya kuasa rakyat hendaklah teguh berpandukan syariah.

Ini adalah sebahagian besar pandangan ulama Islam tentang sistem demokrasi yang menjadi amalan politik kebanyakkan negara dunia hari ini. Apa yang perlu kita fahami ialah, peri pentingnya kita memahami sesuatu perkara itu dengan melihat dalam kerangka yang luas, tidak jumud dalam menilai dan tidak keras dalam menghukum. Semoga Allah memberikan kita semua petunjuk serta taufik Nya.

Ahad, 24 Januari 2021

SCAM POLIGAMI : BERHATI-HATI KETIKA MELABEL PERKARA SYARIAT

 

Poligami seringkali dijadikan isu yang disalah fahami oleh kebanyakan orang. Bukan sahaja dikalangan orang bukan muslim, bahkan sebahagian besar orang muslim juga beranggapan tidak benar terhadap poligami. Poligami juga sering dijadikan modal peluru oleh golongan liberal yang kononnya membela nasib golongan wanita yang di tindas.

Scam poligami merujuk kepada suatu makna sindiket penipuan yang melibatkan urusan poligami. Akibat sindiket penipuan ini berlaku, maka syariat poligami terheret dengan labelan yang tidak wajar di perkatakan. Malah sebelum ini, Mufti Perlis menerusi pelbagai medium media massa telah menjelaskan tentang polimik scam poligami ini. Beberapa perkara perlu kita teliti sebelum kita meletakkan labelan "scam poligami".



Pada umumnya, poligami merupakan satu syariat Allah SWT untuk para hamba Nya. Ianya adalah syariat dan bukannya adat. Perkara ini disebutkan oleh Allah menerusi firman Nya dalam surah an Nisa' ayat 3 yang bermaksud :,

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) : dua, tiga atau empat"

Ayat ini menjelaskan bahawa Islam telah mengehadkan perkahwinan tidak melebihi empat dalam satu-satu masa. Hal ini membuktikan Islam telah meletakkan batu asas pembatasan untuk melindungi serta menjaga maruah wanita daripada terus dijadikan sebagai alat pakai buang nafsu semata-mata. Islam tidak mencipta kahwin lebih tetapi sebaliknya Islam datang dengan meletakkan had batasan untuk kaum lelaki tidak berfoya-foya, juga mengangkat martabat wanita daripada di perkotak-katikkan oleh kaum lelaki.

Hukum asal berpoligami adalah harus. Ia bukanlah satu tuntutan tetapi satu pilihan yang diikat dengan syarat kemampuan dan keadilan yang mesti ditegakkan antara pasangan. Ianya boleh berubah menjadi haram sekiranya berpoligami tersebut mendatangkan kezaliman dalam berumah tangga. Oleh itu, sekiranya kita bimbang tidak mampu berlaku adil, sama ada dari sudut nafkah zahir atau batin, maka Allah berfirman dalam ayat yang sama yang bermaksud :

"Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kau miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman"

Poligami adalah suatu syariat yang lengkap dengan kebaikan. Tetapi akibat pelaku poligami yang tidak beramal seperti apa yang diperintahkan oleh Allah, istilah poligami mula disalah fahami dan di lihat sebagai suatu syariat yang menindas dan mengancam maruah wanita. Tidak cukup dengan itu, polimik ini terus dimainkan dan disensasikan lagi dengan tayangan filem/drama yang menampilkan sisi buruk berpoligami. Walhal ini adalah suatu suntikan minda untuk menonjolkan keburukan berpoligami.

Kita semua faham. Scam poligami bukanlah merujuk kepada syariat poligami itu sendiri, tetapi menurut Sister In Islam, scam ini merujuk kepada penyalah gunaan peruntukkan undang-undang berpoligami dibawah Enakmen Pentadbiran Agama negeri masing-masing. Walau apa pun alasan mereka untuk menentang, penggunaan istilah scam untuk poligami adalah suatu yang tidak wajar, biadap dan boleh mengundang lebih banyak salah faham terhadap kesucian syariat poligami.



Kajian yang dibuat oleh Sister In Islam juga telah banyak menampilkan sisi buruk poligami. Keabsahan kajian tersebut perlu disahkan oleh pihak berautoriti dan bukan main kaji semata-mata. Hal ini kerana ianya melibatkan pensyaritan yang diturunkan oleh Allah yang Maha Sempurna. Dalam Al quran, surah al Ankabut ayat 45, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar"

Sebahagian besar kita memahami bahawa ibadah solat dapat mencegah daripada melakukan kejahatan. Tetapi kita lihat ada manusia yang menunaikan solat tetapi tetap melakukan maksiat. Mengumpat, berzina, memfitnah dan sebagainya. Adakah wajar kita katakan ibadah solat ini suatu bentuk penipuan (scam) ? Adakah layak untuk kita labelkan ibadah solat itu suatu penipuan juga kerana yang solat pun melakukan maksiat ? 

Undang-undang adalah suatu ijtihad yang dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia. Ijtihad tersebut mungkin benar dan mungkin juga salah. Ijtihad manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan dan kesalahan. Namun adalah tidak wajar menyandarkan kesalahan tersebut dengan menunggang nama syariat Tuhan yang Maha Sempurna dengan menggelar "scam poligami".

Islam sangat melarang seorang suami melakukan kezaliman terhadap isterinya. Bukan sahaja dalam hal poligami, bahkan dalam hal monogami (kahwin satu) pun Islam melarang daripada bersikap kasar dengan pasangan. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari & Muslim, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :,

"Bergaul lah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-bengkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskanlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu, pergauli lah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut"

Berhati-hatilah ketika melabel sesuatu perkara lebih-lebih lagi apabila ianya menyentuh soal pensyariatan dalam agama. Jangan kerana sikap kita yang mahu membela hak manusia sehingga mendatangkan anggapan buruk terhadap syariat Tuhan. Semoga Allah memberikan kita hidayah serta taufik Nya untuk meneruskan hidup dibawah redha Nya.