Katakan sahaja siapa yang tidak mahu hidupnya dilimpahi harta dan
kemewahan. Kekayaan harta benda itu hampir sahaja membuatkan manusia buta akan
segalanya. Kerana harta kekayaan, ada yang sanggup menggadaikan maruah di
jalanan. Ada juga yang sanggup membunuh nilai persaudaraan dan tidak hairan lah
jika ada yang sehingga sanggup memutuskan tali ikatan kekeluargaan. Permusuhan
sesama manusia jika dihitung sebabnya, tidak kurang puncanya adalah akibat
perebutan harta. Walhal, harta benda tidak akan kemana bahkan boleh menjadi
fitnah di alam sana. Namun begitu, bukanlah bermakna menjadi kaya itu jahat
belaka. Ada juga yang kaya tetapi pemurah hatinya. Pun begitu, satu kisah
menarik tentang orang kaya yang telah dirakamkan dalam al-Quran iaitulah kisah
Qarun yang tertipu dengan hartanya.
Perkataan "Qarun" merujuk kepada nama
seseorang yang hidup pada zaman Nabi Musa AS. Kisah Qarun dengan kekayaan dan
kemewehannnya antara salah satu peristiwa yang Allah rakamkan kisahnya untuk
iktibar dan pengajaran bagi yang mahu mempedulikannya. Qarun merupakan manusia
yang datang dari kaum Nabi Musa AS. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah
SWT di dalam surah al-Qasas ayat 76, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud
:
“Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa.”
Berdasarkan ayat al-Quran juga, Qarun antara manusia yang hidup
sezaman dengan Firaun dan Haman. Pada waktu ketika itu, Allah SWT telah
mengutuskan Nabi Musa AS sebagai pemberi ingatan dengan membawa khabar gembira
kepada yang beriman serta memberi ancaman kepada manusia yang ingkar. Nabi Musa
AS telah dengan sendirinya telah berhadapan dengan Firaun, Haman dan Qarun. Kesemua
mereka menolak ajaran Allah dengan penuh kesombongan. Sesungguhya Allah SWT
merakamkan kesombongan mereka ini. Dalam surah Ghafir ayat 23-24, firman Allah
SWT yang bermaksud :
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa
ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata. Kepada Firaun dan Haman
serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Ia seorang ahli sihir,
lagi pendusta!”
Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya, al-Jami' li Ahkam al-Quran,
ketika beliau menafsirkan ayat tersebut, beliau menyebutkan bahawa Qarun adalah
kaum Nabi Musa AS. Namun begitu, Allah SWT tidak menjelaskan tentang bilakah
peristiwa dibenamkan Qarun ke dalam bumi. Hanya sahaja sebahagian ahli tafsir
menyebut bahawa Qarun merupakan pegawai Firaun yang ditugaskan untuk memegang
urusan Bani Israel dan diberikan harta yang banyak dan kemudian menjadi orang
yang sombong. Selain itu, Ibnu Ashur menyatakan dalam kitab tafsirnya, al-Tahrir
wa al-Tanwir, para ahli tafsir menyebut bahawa Qarun telah dilantik oleh
Firaun sebagai ketua bagi Bani Israel di Mesir. Melalui jawatan itulah Qarun
mengumpul kekayaan yang melimpah-ruah. Selain itu, Qarun yang ketika itu
memiliki kuasa, dia juga berlaku zalim terhadap kaumnya disebabkan oleh
kekayaannya. Kezaliman yang Qarun lakukan antara lain sewaktu berada di puncak
kekayaan, orang miskin dipandang rendah dan hina, sehinggakan upah yang
diberikan kepada pekerja adalah nilai yang tersangat kecil.
Qarun yang dipenuhi kekayaan tersebut dengan sombong dan angkuhnya
akan memarahi orang ramai yang datang untuk meminta bantuannya. Semua ini
termasuk daripada perangai orang yang telah mabuk dengan kekayaannya. Perbuatan
Qarun terhadap kaumnya sendiri ini, merupakan satu perkara yang tidak boleh
diterima, ketimbang kezaliman Firaun terhadap orang yang bukan kaumnya sendiri.
Episod kebencian Qarun terhadap Nabi Musa AS dan Bani Israel bermula apabila
pengaruhnya terhadap Bani Israel mulai hilang dengan hadirnya Nabi Musa AS
membawa risalah kenabian, seterusnya keluarnya mereka secara beramai-ramai dari
bumi Mesir. Demikian nukilan oleh Ibnu Ashur dalam menjelaskan mengenai Qarun.
Selain itu, Imam al-Qurtubi turut menyebut tentang hubungan
kekerabatan antara Qarun dan Nabi Musa AS. Dalam kitab tafsirnya, Imam
al-Qurtubi menyebut al-Nakha'i, Qatadah dan ulama lain berkata bahawa Qarun
adalah sepupu Nabi Musa AS. Ini berdasarkan nama penuh Qarun iaitu Qarun bin
Yushar bin Qahith bin Lawi bin Ya'qub dan Musa bin 'Imran bin Qahith.
Imam Ibnu Kathir pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-'Azim,
menyatakan bahawa adalah pandangan jumhur (majoriti) ahli tafsir menyebutkan
bahawa Nabi Musa AS adalah sepupu Qarun. Berlawanan dengan pandangan tersebut,
sebahagian ulama seperti Ibn Ishaq menyatakan bahawa Qarun adalah bapa saudara
Nabi Musa AS. Selain itu, ada yang menyebut Qarun adalah anak lelaki daripada
ibu saudaranya. Demikian perbezaan pandangan mengenai nasab keturunan Qarun.
Kekayaan dan kemewahan harta Qarun dirakamkan oleh Allah SWT di
dalam al-Quran. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qasas
ayat 76, firman Allah yang bermaksud :
"Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia
berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari
berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh
berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong)
ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan
kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)".
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menjelaskan kepada kita bahawa
Qarun menjadi sombong dan angkuh adalah kerana harta kekayaan yang disangka
miliknya. Sikap bermegah-megah dan berlagak sombong merupakan sikap yang
dibenci oleh Allah SWT. Selain itu, ayat ini juga secara tidak langsung
menjelaskan tahap kekayaan yang dimiliki oleh Qarun sehingga digambarkan betapa
beratnya anak-anak kunci Qarun yang terpaksa dipikul oleh ramai orang. Dalam
hal ini, para ahli tafsir berbeza pandangan mengenai jumlah manusia yang
memikul anak kunci kekayaan Qarun. Ada yang menyebut 20 orang, ada pula yang
menyebut 40 orang, selain ada yang menyebut 70 orang. Berapa pun jumlah manusia
yang memikul anak kunci tersebut, hakikatnya betapa maha kayanya Qarun dengan
segala hartanya.
Selain itu, Allah SWT merakamkan ungkapan angkuh Qarun. Ini
sepertimana yang terdapat dalam surah al-Qasas ayat 78, firman Nya yang
bermaksud :
"Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta
kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.”
Berdasarkan ayat ini, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam
al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, sebahagian ada yang menyebut bahawa maksud
perkataan Qarun adalah harta yang dia peroleh kerana ilmu yang dia miliki.
Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa maksud perkataan ilmu adalah Allah
tahu bahawa Qarun berhak mendapat harta tersebut. Dalam surah dan ayat yang
sama, Allah SWT menjawab jawapan angkuh Qarun tersebut dengan berfirman yang
bermaksud :
"(Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan
pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat
yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak
mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila
mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah
sedia mengetahuinya)".
Kekayaan harta yang dimiliki oleh Qarun telah memakan dirinya
sendiri. Qarun telah ditipu oleh kekayaan dunia. Allah SWT menjelaskan di dalam
al-Quran bagaimana pengakhiran riwayat hidup Qarun yang dihina. Allah SWT
berfirman dalam surah al-Qasas ayat 81 yang bermaksud :
“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam
tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari
azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”
Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya menyebutkan
bahawa daripada Ibn Abbas dan al-Suddi, bahawasanya Qarun telah memberikan
harta yang banyak kepada seorang pelacur dengan syarat dia harus mengatakan
kepada Musa di hadapan orang ramai: “Kamu telah melakukan begini dan begini
kepadaku.” Diceritakan bahawa pelacur itu mengatakan hal itu kepadanya. Musa
meninggalkannya dalam keadaan gementar, lalu solat dua rakaat. Setelah itu, dia
menemui wanita tersebut dan memintanya untuk bersumpah atas perkataannya
tersebut dan menanyakan apa yang menyebabkannya melakukan hal itu. Wanita
tersebut menyebut bahawa Qarun lah yang menyuruhnya untuk melakukan hal
tersebut. Kemudian wanita itu beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ketika
itulah, Musa sujud kepada Allah dan berdoa kepada Allah untuk kebinasaan Qarun.
Allah SWT mewahyukan kepadanya: “Aku telah memerintahkan bumi untuk mentaati
perintahmu.” Kemudian Musa memerintahkan bumi untuk menenggelamkan Qarun. Dan
hal itu pun menjadi kenyataan.
Demikianlah kisah Qarun yang telah ditipu oleh kekayaan dan
kemewahan dunia. Harus diingatkan bahawa Islam bukanlah suatu ajaran agama yang
anti kepada kekayaan dan kemewahan. Namun Islam mempunyai garis panduan yang
merupakan persempadana antara nilai iman dan kufur. Oleh itu, marilah kita
mengambil pelajaran menginsafi akan hakikat dunia ini dengan menyedari bahawa
tiada satu pun hak mutlak milik kita kecuali Allah SWT. Semoga Allah merahmati
dan memberkati kita semua.