Isnin, 27 April 2015

BELIA & CABARAN MASA KINI

Belia merupakan antara aset terpenting negara bagi menyambung warisan kepimpinan negara dimasa akan datang . Pemimpin datang dan pergi dengan meninggalkan warisannya untuk disambung oleh bakal pemimpin yang akan mengambil alihnya bagi meneruskan segala tanggungjawabnya untuk negara. Persoalannya , seramai mana belia yang mengambil tahu tentang hal ini ? Golongan belia bukanlah satu golongan yang dipinggirkan atau golongan yang kurang penting dalam pembangunan negara. Mereka bukanlah disisihkan. Malah mereka adalah satu kumpulan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang tersendiri. Ini memandangkan kepada tahap perkembangan dan kemampuan mereka dalam mengharungi kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu 


Susah untuk kita mencari dan mengesan belia-belia yang benar-benar mengambil tahu apa sahaja tentang negara termasuklah politik , ekonomi , sosial dan seumpamanya . Ini adalah kerana sikap mereka yang tidak ingin mengambil tahu atau menganggap ianya adalah sekadar hal yang remeh dan tidak mendatangkan hasil untuk mereka.Hal politik dan ekonomi adalah perkara yang paling merumitkan bagi mereka . Tidak semua minat berparti dan menyertai mana-mana parti politik . Pada hari ini juga hanya segelintir sahaja aktivis politik dan aktivis mahasiswa yang benar-benar aktif dan memperjuangkan yang ingin diperjuangkan . Segalanya bermula dari sejarah . Seharusnya siapa yang harus memainkan peranan ini ? 




Oleh kerana itu kita sudah dididik dengan matapelajaran Sejarah sejak dibangku sekolah lagi . Ditanam perasaan patriotik dan cinta kita akan negara dan menerangkan bagaimana pemimpin terdahulu berusaha untuk memerdekakan negara dan melindungi negara daripada ancaman musuh .Maka ,  generasi pada hari ini perlu menurunkan ilmunya kepada generasi yang akan datang agar sejarah kita tidak terkubur . Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini . Cabaran-cabaran inilah yang perlu dihadapi oleh belia secara realiti pada hari ini dan masa akan datang seiring dengan persekitaran sosial dan peredaran zaman yang berubah saban hari .


Pertamanya adalah cabaran teknologi maklumat . Setiap orang kini boleh mengakses segala maklumat tanpa sempadan hanya dengan menggunakan jari atau dalam erti kata lain adalah mendapatkan maklumat dengan mudah . Kebaikannya sememangnya sangat banyak seperti menambahkan pengetahuan , mendapatkan maklumat isu-isu semasa dan maklumat awam . Semua ini berlaku kerana dengan kecanggihan sistem yang dunia ada .Malah boleh dikatakan setiap orang memiliki alat-alat canggih seperti komputer , telefon pintar dan seumpanya yang mudah diakses dengan pelbagai pakej internet ataupun internet tanpa wayar . Ianya memberi kesan yang amat ketara dalam hubungan antara individu , kenegaraan , sosial , kewangan dan industri serta sebagainya . Begitu juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui sistem internet dan keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama. 




Seterusnya , pemikiran dan budaya juga antara cabaran yang dihadapi oleh pada masa kini. Pemikiran  beberapa individu terutamanya negara maju yang lebih bersifat mempengaruh dan menakluk menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi dan isu hak asasi manusia . Sifatnya adalah subjektif dan sehingga menimbulkan pergaduhan .  Namun, masalah penerimaan dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta ketenteraan yang akan timbul kelak . Sebagai contoh seperti apa yang berlaku di negara-negara seperti Russia-Ukraine , Syria , Libya , Mesir dan negara-negara bergolak . Sementara pengaruh budaya lebih bersifat mempengaruh ekoran kebebasan dan pengaruh media dan teknologi maklumat .



Akhir sekali ,  moral dan sosial yang merupakan antara aspek yang semakin pudar dengan bertambah majunya kehidupan mereka . Keselesaan, individualistik dan materialistik lebih menguasai kehidupan mereka . Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan keagamaan terus  longgar. Ini dapat dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras oleh ajaran agama. Maka , bersedialah kita wahai belia untuk terus mempersiapkan diri kita dengan ilmu yang merupakan perisai diri agar kita dapat berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut dengan bergaya . Sentiasa beringat akan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT di dunia ini dan tanggungjawab sebagai rakyat .InsyaAllah , semoga kita sentiasa dipelihara dan diampunkan oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dikeji olehnya serta Allah SWT melindungi negara kita daripada anasir-anasir jahat dan fitnah .

KRITIS DALAM BERFIKIR

Berfikir merupakan satu proses mental yang memerlukan interaksi antara pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi membolehkan individu memahami dan mencorakkan alam sekelilingnya. Seseorang yang berfikir secara kritis sentiasa menilai sesuatu idea dengan sistematik sebelum menerimanya. Perkataan kritis adalah berasal dari satu perkataan Inggeris iaitu ‘ critic. Kritis tidak membawa maksud yang negatif seperti mengkritik, menghentam, mengecam, dan membangkang. Sebaliknya, ia adalah sifat semulajadi manusia untuk mencari kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Apabila kita berfikir secara kritis ia dapat membantu mencari kesilapan, kesalahan dan kelemahan pada cara-cara berfikir seseorang atau pada idea atau cadangan yang dikemukakan. Pemikiran kritis merupakan sejenis pemikiran yang bersifat terbuka dalam menerima sesuatu idea atau pendapat dan berupaya untuk cuba mempertimbangkan idea itu semula dengan menganalisa semula ia secara kritis dan mengambil kira pelbagai sudut dan aspek.


Pemikiran kritis turut memungkinkan pencernaan beberapa idea dan konsep baru yang lebih sempurna daripada pandangan atau idea yang diterima sebelumnya. Kemahiran berfikir secara kritis adalah kemahiran berfikir untuk membuat penilaian tentang sesuatu data atau maklumat. Pemikiran kritis juga mampu membolehkan individu untuk menganalisa hujah yang diterimanya tidak kira sama ada hujah yang kuat atau hujah yang lemah dan teori yang berguna akan diguna pakai manakala teori yang lemah akan disangkal oleh pemikir yang berfikir secara kritis. Malahan, kita akan berupaya untuk berhujah dengan berkesan berdasarkan idea-idea yang bernas yang telah diperolehi. Hakikatnya pemikiran ini mampu membuatkan kita berhujah dengan baik serta menganalisa hujah dengan baik dan lengkap. 




Pemikiran kritis menjadikan kita lebih kritis dan peka serta cekap dalam mengkaji sesebuah hujah mahupun penyataan yang dikeluarkan secara pengucapan atau pun penulisan. Ia dapat menyedarkan kita bahawa sesebuah penyataan itu adalah betul ataupun salah. Selain itu pemikiran kritis juga mampu membuka minda kita agar lebih menerima berbanding terus menolaknya tanpa berfikir terlebih dahulu. Kita akan lebih berkeyakinan dalam menangani permasalahan serta jelas dalam melihat keadaan sesuatu fenomena yang berlaku disekeliling kita. Secara kesimpulannya, pemikiran kritis adalah sebuah kemahiran hidup yang amat penting. Ia pada dasarnya mampu membantu kita dalam berhujah secara berkesan, menganalisa hujah secara kritis dan lengkap dan memungkinkan kita untuk berfikir positif dan inovatif serta terbuka “ open mind.


Kesimpulannya kritis membawa maksud kebolehan seseorang untuk membantu dan membaiki idea-idea orang supaya ia boleh diterima atau ditolak sekiranya idea tidak benar atau tidak ada kepastian samaada hendak menerimanya atau tidak disebab kerana tidak cukup maklumat untuk menerima atau menolak. Kritis juga bererti keupayaan untuk menganalisa apa yang diperkatakan, menilainya dengan teliti, mencari bukti tentang kebenaran tentang sesuatu perkara, menyusun atur semua maklumat dengan tepat. Tujuannya untuk mengelakkan dari membuat kesilapan cara berfikir, meneliti dan menyoal perkara-perkara yang tidak munasabah serta membuat keputusan dan perancangan berdasarkan maklumat yang ada. Selain itu ia juga bertujuan untuk mencari kefahaman-kefahaman baru. Kritis dapat ditentukan samaada sesuatu kenyataan itu betul atau salah. Bagaimana pun, kritikan hanya boleh dibuat untuk membaiki idea-idea yang ada dengan mencari kelemahan yang terdapat pada idea tersebut.

Ahad, 26 April 2015

KENALI HAKIKAT DIRI

Setiap yang dilahirkan dimuka bumi ini akan melalui suatu tempuh masa yang dinamakan kehidupan.Setiap orang akan menafsirkan kehidupan ini berdasarkan maklumat dan pengalaman yang diterimanya sejak dia mula berfikir dan dapat menyimpan memorinya.Bagi seorang muslim dia melalui satu jalan pintas untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat kehidupan ini melalui maklumat yang diterangkan oleh al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.Itupun bergantung bagaimana cara dia dibesarkan dan sejauh mana pendedahan terhadap maklumat daripada sumber tadi  yang diperolehinya sama ada daripada ibu bapanya atau persekitaran yang  membesarkannya.Al Quran adalah kitab terakhir yang merupakan anugerah Allah kepada manusia di dunia ini, Ia ibarat peta bagi seorang musafir. Di dalamnya terkandung gambaran jalan yang lurus untuk menuju suatu matlamat yang telah digariskan.


Malah ianya menerangkan destinasi sebenar yang sepatutnya semua orang  menujunya. Alam Akhirat dan perkara ghaib digambarkan oleh al Quran sebagai suatu yang benar sebagai jalan pintas untuk akal fikiran manusia memahaminya. Sebab itulah al Quran hanya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang mengimani perkara ghaib termasuk Alam Akhirat.Walaupun dengan akal yang waras yang Allah kurniakan kepada manusia itu  boleh menyampaikan seseorang itu kepada hakikat ketuhanan, akan tetapi Allah dengan rahmatnya telah mengutuskan para Rasul dan Kitab sebagai jalan pintas dan jalan mudah untuk manusia sampai kepada hakikat tersebut. Begitu juga dengan hakikat kehidupan ini serta di mana kesudahan dan apa tujuan manusia dihidupkan di alam ini juga secara terperinci ditunjukkan oleh al Quran. 




Oleh itu sebenarnya al Quran adalah sebesar-besar nikmat yang  diturunkan  Allah untuk manusia di alam buana ini. Sebab itu bagi mukmin menatap ayat-ayatnya saban hari  itu adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmat tersebut.Manusia adalah makhluk yang paling unik yang diciptakan Allah di alam buana ini. Kemuliaannya boleh mengatasi ketinggian para malaikat akan tetapi  kehinaannya pula boleh sampai lebih hina daripada  binatang.Kemuliaan atau kehinaan adalah dua pilihan yang mesti dibuat oleh manusia kerana kedua-duanya adalah berbeza. Jalannya juga berbeza dan tidak boleh bercampur. Bagi yang memilih kemuliaan dan ketinggian maka jalan yang digambarkan oleh al Quran sebagai jalan yang lurus dan itulah jalan menuju Allah Yang Maha Tinggi.


Adapun jalan yang bercabang atau bengkok adalah jalan menuju kehinaan dan kerendahan.Manusia juga mesti mengenali hakikat dirinya sendiri serta mengetahui apa yang perlu disediakan untuk memudahkannya  sampai kepuncak  kemuliaan dan ketinggian.Seperti seorang yang bermusafir yang mengetahui selok belok kenderaan yang dinaikinya serta apa yang diperlukannya semasa perjalanan akan lebih mudah untuk sampai ke distinasi yang ditujunya, begitu juga di dalam perjalanan menuju Allah Yang Maha Tinggi.Hakikat kejadian manusia seperti digambarkan oleh al Quran dan al Sunnah terdiri daripada beberapa unsur yang setiap satunya diberi penekanan oleh Islam di dalam pembinaan,pemeliharaan dan penyelenggaraanya.

Rabu, 15 April 2015

SIAPALAH KITA UNTUK MENGHUKUM SESAMA MANUSIA

Allah SWT itu sifatnya Maha Sempurna. Berbanding hamba yang sifatnya serba kekurangan dari segenap sudut. Namun adakalanya manusia sering lupa bahawa dia hanyalah makhluk yang dicipta. Oleh itu pasti wujudnya pencipta baginya. Dalam kepesatan dunia masakini.,kesibukkan manusia mengejar teknologi, manusia sering lalai dan alpa akan kemampuan dan kehendak dirinya. Sehingga membuat kita terlupa adanya pencipta dikalangan diri yang hina ini. Kita seringkali terbiasa dengan situasi perbualan begini " Karim tu baru keluar pusat serenti kan?? Buat baik pulak rajin ke surau! Sekejap ja tu, tak lama lagi balik ke lorong gelap tu!. Layakkah manusia menghukum? Kadangkala perbualan di atas seperti biasa didengari bahkan mungkin kita sendiri yang mengucapkannya. Tanpa disedari, diri yang lemah telah menghukum sesama hamba. Sedangkan manusia itu sama tarafnya. Ada masanya melakukan kebaikan, ada masanya pasti ada dosa yang tercalit di hati. Kerana manusia itu bukan sifatnya ma'sum seperti para malaikat yang sentiasa bertasbih.


Bezanya tahap manusia itu ada peringkatnya. Jika hari ini kita tertawa akan dosa dan kesilapan orang lain. Tidak siapa tahu kita akan diuji lebih berat dari apa yang dilalui oleh mereka. Adakalanya ego manusia itu membuatkan diri angkuh hingga terlupa dirinya juga akan diuji. Ego itu berjalan seiring pula dengan nafsu. Jika nafsu tidak di kawal, musuhlah akan mengawalnya sehingga menyebabkan perpecahan dan persengketaan dalam hidup manusia. Selain al-Quran, hadith s.aw sebenarnya sudah memberikan jalan dan panduan buat kita dalam menjalani kehidupan seharian,kehidupan bermasyarakat dan sebagainya. Seperti halnya kali ini, Rasulullah s.a.w berpesan disebalik kata-katanya, agar berikan peluang buat manusia yang pernah melakukan dosa atau kesilapan. Hamba kepada Tuhannya sudah tentulah taubat yang selayaknya. Tetapi mengapa kadangkala wujud hamba yang menghukum sesama saudaranya sendiri? Muliakah kita dari Pencipta yang Maha Pengampun. 




Justeru, Rasulullah s.a.w memberikan panduan agar setiap kesilapan yang dilakukan manusia itu akan dapat dihapuskan dengan kebaikan. Berikan peluang manusia perbaiki diri. Kerana itulah ujian buat dirinya. Itulah dugaan buatnya, agar menuju setapak lagi hampir kepada Ilahi. Bantulah sesama hamba dan berikan peluang. semoga ia akan meringankan jalan kita melalui ujian Allah. Ujian dan dugaan pasti hadir. Allah dan para Rasul-Nya tidak pernah mengajar manusia bersikap bongkak dan lupa diri. Kerana itu bukanlah sifat yang selayaknya bagi hamba. Manusia itu sendiri saat lahirnya keluar dari tempat yang hina. Apabila bibir mengucapkan iman kepada Allah dan rasul-Nya, itulah tiket dan jalan yang dipilih untuk menjadi laluan ke akhirat. Oleh itu, semestinya jalan yang dipilih itu Allah janjikan dengan ujian dan dugaan.  Tiada jalan mudah untuk mendapat kemenangan. Kerana bukan mudah mendapatkan sesuatu yang berharga. Manusia diuji dengan kemampuannya. Allah juga tidak pernah menzalimi hambanya sedemikian.


Tatkala diuji, manusia hanya ada dua pilihan. Melaluinya dengan sabar hingga meningkat imannya, atau melaluinya dengan putus asa dan akhirnya kecewa dengan rahmat tuhan. Semestinya akan wujud dua jenis golongan dikalangan hamba Allah di dunia. Ia membezakan antara dua jalan, sukar atau mudah menggapai cinta Ilahi. Oleh itu, jika hari ini kita senang tanpa diuji, bersyukur dan bersiap sedialah. Jangan pula tertawakan hamba yang diuji dalam hidupnya. Ujian Allah buat kita belum tentu bagaimana, mungkin ringan dan tidak mustahil lebih berat dari apa yang dilalui orang lain. Semaikan sayang sesama makhluk cinta dan sayang Allah itu bersabit juga dengan apa-apa yang diciptakan di dunia. Segala penciptaan di bumi bukanlah sia-sia tanpa manfaat padanya.Sematkan rasa cinta dan sayang sesama manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan Allah. 




Anggaplah kesilapan dan dosanya sebagai peringatan buat diri kita yang mungkin terleka tanpa sedar. Mana mungkin kita membiarkan seorang sahabat jatuh ke dalam gaung, selagi ada rasa sayang dan cinta kepadanya kerana Allah ta'ala. Mudah-mudahan rasa sesama manusia itu menyampaikan kita kepada pencipta. Sifat bersangka baik sesama manusia akan membuatkan hati lebih lapang dan tenang. Kesempitan fikiran dan desakan nafsu akan terhindar dalam diri. Dengan itu, amal ibadah juga mudah untuk dilaksanakan. Jika amal ibadah sempurna tiadalah persengketaan dan perpecahan berlaku sesama manusia. Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sabar dan syukur di atas segala nikmat dan ujian dari-Nya. 

Rabu, 1 April 2015

KITA JARANG BERSYUKUR

Cuba kita luangkan waktu sejenak untuk bersyukur atas hal-hal baik dalam hidup kita. Renungkan tentang apa yang telah kita capai, orang-orang yang selama ini menyayangi dan memperhatikan kita, pengalaman yang telah kita dapatkan, keahlian dan minat yang kita miliki, apa yang kita yakini, dan hal-hal terindah yang telah terjadi dalam hidup kita. Seringkali kita menginginkan kehidupan yang sempurna tanpa memahami bahwa kita perlu untuk berubah diri sendiri, membuat apa yang kita miliki lebih bernilai dan berguna menjadi bekal untuk menjalani perantauan yang panjang dalam perjalanan menuju kampung abadi nanti. Jika kita berasa pekerjaan kita sangatlah berat, bagaimana dengan insan yang lain di bumi syam??


Bila kita berasa gaji kita sangat sedikit, bagaimana dengan anak-anak pelarian syiria ? Jika kita berasa belajar adalah sebuah bebanan, bagaimana dengan mereka yang kurang bernasib baik yang tidak dapat merasai nikmat belajar ? Jika kita sempat berasa putus asa, ingatlah insan-insan yang kurang bernasib baik seperti saudara-saudara di Gaza yang sentiasa ditindas. Fahamkah kita dengan potensi yang kita miliki? Apakah kita sudah membuka bungkusan potensi yang Allah hadiahkan khusus untuk kita dan menggunakannya untuk kehidupan yang lebih baik dan bermanfaat? ataukah mungkin sebaliknya untuk kehidupan yang lebih buruk dan mudharat? Terkadang kesedaran akan potensi diri sering terlambat muncul sementara usia serta keadaan  sudah tidak sesuai dan tidak memadai lagi. 





Untuk tunjuk kemampuan hingga diakui prestasinya hingga dihargai terkadang memerlukan waktu sebentar, tetapi ingatlah masa tidak pernah menunggu kita. Bagaimana mungkin kita mendapatkan hal-hal yang lebih besar bila kita tidak mensyukuri atas apa yang kita telah miliki sekarang? Semuanya hanya mampu dimulakan dengan apa yang kita telah miliki sekarang dan mensyukurinya.  Cuba tengok diri kita, lihat keluarga kita, lihat jiran tetangga kita, lihat teman-teman kita, lihat saudara-saudara kita apakah mereka menyayangi kita dan cuba kita lihat lebih jauh lagi bagaimana kebesaranNya dan kekuasaanNya.



Ekspresi syukur itu ada pada perbuatan kita sehari-hari. Banyak bentuk dari rasa syukur  yang boleh diucapkan melalui lisan yang bermanfaat seperti berkata hanya yang baik dan benar, zikir, doa dan dakwah dan ucapan hati seperti iman kepada Allah, malaikat, kitab, rasulnya dan qada dan qadar dilengkapi dengan perbuatan seperti solat, puasa, zakat dan haji bila mampu serta segala kebaikan yang dilakukan kerana . Sekarang adalah bagaimana kita memahami dan mengembangkan potensi yang kita miliki dan meyakini yang Allah telah anugerahkan pada kita, dengan mengamalkannya sehingga tidak hanya bermanfaat untuk kita tetapi juga buat orang lain. Jika segala kurnia Allah SWT yang terbentang luas dimanfaatkan dengan baik untuk kebaikan bersama dengan senantiasa mengacu kepada aturan Allah SWT, maka tidak mustahil, Allah SWT akan menurunkan rahmat dan kebaikanNya tidak hanya di hari akhir nanti tetapi juga langsung kita terima tunai di dunia ini. Ya Allah ampunilah kami mahluk yang jarang bersyukur.

Khamis, 5 Mac 2015

ISLAM & CABARAN MASA KINI

ISLAM agama samawi terakhir diturunkan Allah. Sebagai agama terakhir sudah tentu ia paling lengkap dan sempurna. Islam berada di kemuncak kecemerlangan pada zaman Rasulullah (s.a.w.). Ia berkembang pesat sehingga pernah menguasai satu pertiga dunia. Umat Islam dikurniakan Allah mendiami kawasan paling subur dan paling kaya di dunia. Mereka juga berada di tengah laluan antarabangsa yang menjadikan rantau Islam ini idaman semua pihak. Jatuhnya Khalifah Uthmaniah Turki yang menjadi induk umat Islam dan mansuhnya sistem khalifah, hasil perancangan jahat yang diketuai Mustafa Kamal Ataturk dan tewasnya kerajaan ini dan sekutunya dalam Perang Dunia Pertama menyebabkan wilayah umat Islam difaraidkan oleh penjajah sebagai rampasan perang. British, Perancis, Itali, Sepanyol, Belanda dan lain-lain mendapat habuan masing-masing.


Islam dan umatnya hasil daripada perancangan teratur musuhnya serta disokong dengan kelemahan dalaman yang sedia ada telah diasak dari dalam dan luar oleh penjajah dan tali barut mereka menyebabkan umat Islam berada di tahap paling lemah dalam sejarahnya. Namun begitu, umat Islam tidak perlu pasif kerana Allah menjanjikan Islam tetap unggul. Rasulullah menegaskan, akan tetap ada sekumpulan daripada umat Islam yang terus mempertahankan kebenaran daripada gugatan musuh. Belajar daripada kesilapan lampau dan dengan kepemimpinan ulama yang mukhlisin, umat Islam bangun semula dalam asakan dan serangan yang bertali arus itu. Umat Islam menapak semula untuk bangun dan mengambil semula tempatnya di persada dunia. 




Namun ia tidak semudah yang diungkapkan kerana terlalu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi. Penulis dan pemikir Islam sudah banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi umat Islam. Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup dan latar belakang mereka. Secara umumnya terbahagi kepada dua. Pertama, golongan kurang terpelajar atau tidak terpelajar. Golongan ini kadang-kadang tidak memahami langsung akan Islam kecuali maklumat asas mengenai aspek ibadat dalam agama. Keislaman mereka sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili bahagian terbesar daripada keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh dengan golongan yang pada pandangan mereka adalah terpelajar.


Kedua, golongan yang mendapat pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya. Rata-rata golongan ini dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat pendidikan daripada sistem pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat. Kelemahan golongan ini berpunca daripada kejahilan mereka mengenai Islam sebagai ad-Din. Berpunca daripada golongan inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam tiada hubungan dengan hukum-hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden, sesetengah ajaran Islam payah dan sukar hendak dilaksanakan dan sebagainya. Bagi golongan yang faham Islam pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna dan menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang berusaha melaksanakannya dalam kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada setiap zaman dan tempat kerana ia milik Allah Yang Maha Mengetahui. 




Umat Islam juga sentiasa menghadapi cabaran daripada musuh. Musuh umat Islam adalah daripada kalangan yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga daripada kalangan manusia. Bertitik tolak daripada sikap tidak senang dengan umat Islam inilah, mereka melakukan pelbagai usaha untuk merosak dan menghancurkan umat Islam. Sejarah menyaksikan pertentangan kedua-dua pihak ini mencetuskan peristiwa, tragedi dan kejadian pahit manis di kalangan umat Islam. Sasaran utama mereka adalah akidah umat Islam, al-Quran, hadis, Rasulullah dan hukum Islam. Oleh itu pelbagai pendekatan digunakan, bermula daripada pertentangan bersenjata yang tergambar melalui beberapa siri Perang Salib yang silih berganti, namun mereka tidak berjaya menghapuskan umat Islam.


Kaedah baru dicari selepas cara pertama kurang berhasil. Bermulalah era serangan pemikiran. Ternyata cara ini sedikit sebanyak berjaya memerangkap umat Islam. Mereka berselindung di sebalik pelbagai wadah, institusi penyelidikan dan badan yang mereka bentuk untuk menjadi boneka mereka. Musuh Islam juga mengeksport pelbagai pemikiran dan ideologi kepada umat Islam. Serangan ini berterusan walaupun negara umat Islam dapat membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan fizikal tetapi masih dijajah di segi pemikiran. Yahudi dan Nasrani menggunakan pelbagai saluran bagi mencapai hasrat mereka termasuk media, pakej bantuan dan kebajikan yang berselindung di sebalik pelbagai tabung dan dana, misi kemanusiaan dan seumpamanya. Tujuan utama mereka untuk menghancurkan Islam ke akar umbinya. Inilah cabaran yang terpaksa kita lalui. 

KEMBALIKAN SYAHSIAH ISLAM

Sesungguhnya manusia sebelum kedatangan Islam, ibarat mayat yang tidak bernyawa dan tiada mempunyai roh. Lalu Allah mengurniakan kepada kita kehidupan yang terbaik, aman dan tenteram. Menjadi umat teristimewa yang diutuskan kepada manusia, untuk menegah perkara yang mungkar dan menyeru kepada kebaikan. Justeru, sesiapa yang ingin meragut Agama dari umat ini ibarat ingin menanggalkan roh dari jasadnya agar ia terus mati tidak bernyawa. Tugas mengembalikan semula syahsiah Islamiyyah yang telah lenyap dari umat ini ialah dengan mengembalikan semula roh Islam agar ia kembali bersemadi ke dalam jasad umat ini.


Terdapat pelbagai macam doktrin dan idealogi yang semakin bercambah dari hari ke hari untuk menyesatkan umat ini sama ada dulu mahupun sekarang. Ini semua tidak mengejutkan kita kerana sememangnya musuh Islam itu banyak di setiap masa dan tempat. Jadi, kita perlu bersatu pada apa yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur terhadap sebarang perselisihan antara umat Islam, di samping sentiasa berwaspada terhadap semua perancangan dan tipu daya musuh Islam.Doktrin dan idealogi sesat tersebut seperti, zionisme, komunisme, gerakan kristianisasi, orientalisme, penjajahan dan bermacam aliran serta gerakan lagi yang ingin menggoncang akidah umat Islam, untuk mencapai matlamat mereka menghapuskan Agama ini di muka bumi. 





Dalam aneka macam kekalutan dan kebobrokan pemikiran ini, pelbagai salah faham terhadap agama Islam, terdapatnya manusia yang mengambil sejuzuk dari agama Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, memisahkan antara akidah dan syariah, para sufi yang terpesong dari pemikiran dan ajaran Islam yang sejahtera, dengan kehendak Allah muncul seorang tokoh agung yang mampu untuk merawat segala kepincangan ini dan membawa sinar menerangi kegelapan ini, iaitu Imam Hasan Al-Banna yang menyeru manusia agar kembali beriman kepada Allah dan kembali kepada manhaj Rasul dan para salaf umat ini. Semoga usaha Imam Hasan Al Banna ini masih tersemat di hati kita dan meneruskan seruannya ini dalam mencari redha Allah.