Khamis, 21 Januari 2021

KEKUASAAN BUKANLAH TANDA KEMULIAAN

 

Manusia dan kuasa adalah dua perkara yang sangat berkait rapat dalam kehidupan. Tanpa kuasa, manusia tidak dapat melakukan apa-apa. Sebaliknya kuasa tanpa ada manusia yang menguruskannya, ianya tidak dapat memberikan apa-apa kesan implikasi dalam kehidupan. Dalam banyak hal, kuasa mutlak adalah hak milik Allah Azza Wa Jalla. Dia lah yang Maha Berkuasa mengurus atur kehidupan para makhluk Nya.

Manakala kekuasaan khalifah atau pengurus tadbir bumi ini, Allah SWT berkehendak untuk memberikan kepada sesiapa sahaja kekuasaan ini. Allah berkuasa untuk memberikan kuasa ini kepada sesiapa sahaja mengikut kehendak Nya. Perkara ini disebutkan di dalam Al quran menerusi firman Nya dalam surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."



Inilah juga peringatan Tuhan buat semua para hamba Nya yang sentiasa mengidamkan kekuasaan untuk dirinya. Kekuasaan itu boleh jadi satu kemuliaan kepada manusia juga sebaliknya boleh jadi satu penghinaan. Untuk berbakti melakukan kebaikan, kekuasaan bukan lah syarat utama untuk melaksanakan hal-hal tersebut. Malah jauh lebih daripada itu adalah kemahuan kita untuk berkhidmat meski tanpa penghormatan pangkat dan kedudukan.

Dengan kekuasaan yang dipegang oleh kita pada hari ini, maka sedarlah kita bahawa kekuasaan bukan sekadar amanah oleh Allah terhadap kita bahkan besar dari itu adalah ujian  berat dan dugaan hebat bagi kita yang memegang kuasa. Diatas nama kekuasaan, ramai manusia memuliakan kita, menghormati serta berbaik dengan kita. Namun setelah hilang kuasa, hilanglah rakan taulan.

Kekuasaan yang diberikan oleh Allah kepada hamba Nya tidak semestinya bermaksud Allah memuliakannya. Ada juga kerana kuasa, Allah menghinanya. Lihatlah bagaimana Firaun yang memiliki kuasa pemerintahan, diberikan istana, tentera yang gagah dan ahli sihir yang setia berkhidmat untuknya, namun namanya tercatat dalam Al Quran sebagai orang yang dihina oleh Allah. Dalam surah al Ghafir ayat 45-46, firman Allah yang bermaksud :

"Dan firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat) : "Masukkanlah firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya".



Kekuasaan juga boleh hadir dengan penuh kemuliaan daripada Allah SWT. Lihatlah bagaimana Allah Azza Wa Jalla memuliakan kerajaan Nabi Allah Sulaiman dengan keindahan istana sehingga dapat menjentik hati Ratu Saba'. Allah memuliakan baginda Nabi Sulaiman dengan kedudukan yang dekat dengan Nya. Walau Nabi Sulaiman diberikan kekuasaan, sedikit pun tidak melalaikan baginda Nabi malah lebih dekat dengan Allah.  Allah SWT berfirman dalam surah Sad ayat 40 yang bermksud : ni

"Baginda (Sulaiman) mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami dan tempat kembali yang baik".

Kegilaan mendapat kuasa akan membawa kepada kebinasaan dan keruntuhan manusia itu sendiri. Renungilah sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud :

"Sesungguhnya binasa umat terdahulu dari kamu atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpim mereka"

Betapa buruknya sikap mereka yang gilakan kuasa hingga sanggup bergaduh bertelagah yang akhirnya akan merugikan manusia itu sendiri. Pada masa sama, dalam tidak sedar, sikap gila kuasa ini akan menimbulkan perasaan hasad dan suka mencari keaiban orang lain. Telah berkata Fudail bin Iyyadh :

"Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain"

Marilah kita meletakkan diri kita sentiasa dalam keadaan bermuhasabah. Ingatlah bahawa kekuasaan tidak semestinya bermaksud Allah memuliakan seseorang. Tidak ada sesiapa pun yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Kekuasaan pada hari ini adalah ujian dan cubaan bagi kita yang menanggungnya. Oleh itu, pimpin lah dengan penuh amanah, moga kelak menjadi asbab kemuliaan bagi kita. Semoga Allah mengampuni dan merahmati diri kita semua.

Selasa, 19 Januari 2021

GOLONGAN PELAMPAU YANG SENTIASA MEMERANGI ORANG ISLAM

 

Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada berhadapan dengan golongan atau kumpulan pelampau. Golongan pelampau ini akan sentiasa wujud dari zaman berzaman sejak daripada zaman baginda Nabi SAW. Golongan pelampau yang dimaksudkan disini ialah golongan yang hidupnya beragama tetapi tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Perkara ini telah di ingatkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, daripada Ali RA, beliau berkata :

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Akan datang pada akhir zaman suatu kaum yang terdiri daripada golongan yang masih muda dan lemah fikiran, mereka berkata-kata dengan sebaik-baik perkataan (dengan hujah al Quran dan as Sunnah), mereka meninggalkan Islam dengan mudah seperti anak panah yang lalu menembusi sasaran, iman mereka tidak melebihi pangkal kerongkongnya. Bunuh lah mereka di mana saja kamu temui, kerana sesungguhnya membunuh mereka itu merupakan suatu ganjaran pada hari kiamat"



Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW memberitahu kita tentang kedatangan suatu kaum yang terdiri daripada golongan yang muda usianya, mereka ini sentiasa bercakap dengan hadis Nabi tetapi mereka tidak memahaminya dengan sebenar pemahaman. Malah mereka ini adalah golongan cetek akal fikirannya.

Prof. Dr. Sharaf Mahmud Al Qudhah berkata golongan pelampau ini tidak memiliki ilmu dan hikmah sebenar, golongan ini memahami dan mengamalkan slam dengan cara terlalu keras, ekstrem dalam sebahagian perkara dan pada sebahagian perkara lagi mereka terlalu bermudah-mudah.

Kata baginda Nabi SAW, golongan pelampau ini banyak melakukan ibadah seperti solat dan puasa bahkan amalan mereka lebih hebat daripada para sahabat Nabi SAW. Hal ini disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari yang bermaksud :

"Salah seorang daripada kamu berasa kecil solatnya dan puasanya jika dibandingkan dengan solat dan puasa mereka"

Ini menunjukkan bahawa golongan ini hebat beribadah tetapi malangnya ibadah mereka itu tidak menghasilkan iltizam yang sebenar dengan agama. Amalan hebat mereka juga tidak menggambarkan kefahaman sebenar terhadap Islam. Mereka sangat muda menuduh orang Islam yang tidak bersama mereka dengan tuduhan fasiq dan sesat. Bahkan lebih dasyat ada yang sehingga mengkafirkan dan membunuh orang Islam.

Sejak pada zaman Nabi lagi, golongan pelampau tersebut telah muncul. Hal ini sebagaimana yang telah berlaku dalam satu kejadian yang kita semua maklum, di ketika baginda Nabi SAW mengagihkan harta kepada sebahagian pemimpin Arab yang baru memeluk Islam, tiba-tiba datang seorang lelaki bermata cengkung, pipi nya cembung, janggut nya lebat, berdiri di hadapan Nabi lalu berkata " Wahai Rasulullah, bertakwalah kamu kepada Allah".

Lalu baginda pun menjawab :

"Berwaspadalah kamu, bukankah aku orang yang paling layak untuk bertakwa kepada Allah dalam kalangan ahli bumi ?", Setelah lelaki berkenaan berlalu pergi meninggalkan baginda Nabi, lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya akan keluar daripada keturunannya suatu kaum yang sentiasa membaca kitab Allah tetapi hanya sekadar di mulut mereka (tanpa penghayatan), mereka meninggalkan Islam dengan mudah seperti anak panah yang laju menembusi sasaran.' Seingatku baginda bersabda, Sekiranya aku sempat menemui mereka nescaya akan aku perangi mereka sebagaimana kaum Tsamud dibinasakan".

Golongan yang disifatkan oleh Nabi ini di dapati wujud selepas zaman Nabi di mana para sahabat Nabi melihat ciri-ciri tersebut ada pada golongan Khawarij. Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa golongan ini akan muncul dari generasi demi generasi, dari zaman berzaman hinggalah berlaku hari kiamat dan kemuncaknya adalah ketika munculnya dajjal.

 


Kita harus sedar dan bangkit daripada terjerumus ke dalam kumpulan pelampau ini. Mereka ini akan sentiasa muncul dan memerangi orang Islam. Mulut mereka lantang berhujah dengan al Quran dan Sunnah tetapi gagal memahami dengan ilmu dan hikmah sebenar. Teruskan menghiasi diri dengan ilmu dan kefahaman sebenar. Di bimbangi, kita termasuk dalam golongan pelampau ini. Semoga Allah berikan kita petunjuk serta taufik Nya dalam menelusuri titian kehidupan yang sementara ini.

Rabu, 13 Januari 2021

PERMUDAHKAN PERKAHWINAN SUATU TUNTUTAN SYARIAT

 

Perkahwinan merupakan syariat Allah Azza Wa Jalla sebagai suatu cara meramaikan umat manusia dengan jalan yang bersih dan suci terpelihara keturunannya. Perkahwinan juga merupakan suatu tuntutan sunnah yang digalakkan oleh Islam.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al Nisa' ayat 1 yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya -hawa'), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat ; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu".

Berdasarkan firman Allah, kita memahami bahawa tujuan perkahwinan itu adalah untuk menjadikan diri kita, pasangan hidup kita serta keluarga kita beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tujuan sesuatu perkahwinan itu juga adalah untuk menambahkan ramai umat manusia dengan cara yang suci lagi terpelihara.



Maka, apa yang dikejar dalam perkahwinan adalah usaha menuju ketaqwaan dan bukannya kemegahan majlis walimatul urus sehingga membazir hanya untuk sehari kehidupan. Walhal, ada perkara lebih mustahak daripada itu ialah bagaimana pengisian rumahtangga itu dengan pengisian yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menjadi dilema dikalangan orang bujang pada zaman ini adalah kesukaran untuk memenuhi kehendak adat yang menyusahkan sehingga membuatkan diri mereka buntu. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah wujud pemikiran banding membanding nilai mahar kahwin sehingga membebankan bakal suami untuk memenuhinya. Sedangkan sebaik-baik perkahwinan adalah yang mudah maharnya. Ini sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban yang bermaksud :

"Sebaik-baik pernikahan adalah yang dipermudahkan maharnya"

 


Dalam kitab Majmu' Fatawa, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah telah berkata :

"Barangsiapa yang nafsunya mengajak kepada meninggikan mahar anak perempuan mereka melebihi mahar anak-anak perempuan Nabi SAW yang mana mereka itu sebaik-baik ciptaan Allah dari segenap kebaikan dan  mereka itu adalah sebaik-baik wanita sekalian alam pada setiap sifat jahil."

Ini bermakna sebaik-baik wanita yang terdiri daripada anak-anak baginda Nabi SAW pun tidaklah tinggi mahar mereka sehingga membebankan para suami mereka. Oleh itu, mempermudahkan urusan perkahwinan juga merupakan suatu tuntutan syariat. Ada pun wang hantaran, wang belanja dan sebagainya bukanlah suatu syariat sebaliknya ianya hanyalah tuntutan adat kebiasaannya.

Prinsip memudahkan urusan dan bukannya menyukarkan sesuatu urusan termasuk dalam perkara kebaikan. Permudahkan urusan bukan lah bermakna sambil lewa tetapi sebaliknya mendahulukan tuntutan syarak melebihi tuntutan adat kebiasaan. Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu beroleh kesukaran".

Daripada semua peringkat, para ibubapa, pihak berkuasa, jurunikah dan semua pihak yang terlibat perlulah melihat semula tujuan perkahwinan itu agar kita sama-sama mempermudahkan perkara yang membawa kebaikan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Semoga kita semua beroleh keampunan daripada Allah SWT.

Khamis, 7 Januari 2021

SIKAP KAPITALIS : KEHENDAK VS KEPERLUAN

 

Kapitalisme atau disebut sebagai kapitalis merujuk kepada suatu falsafah barat yang mengagungkan nilai materialistik dan kebendaan. Daripada pelbagai sudut, ekonomi, politik mahupun sosial, apa yang di perjuangkan adalah kebebasan memiliki tanpa mengira nilai moral kehidupan.

Dalam soal ekonomi, blok kapitalis hanya mementingkan nilai keuntungan tanpa mempeduli soal kezaliman, penindasan mahupun penipuan, segalanya adalah tentang untung rugi. Bagi mereka, kebajikan pekerja bukanlah suatu persoalan yang penting dan utama. Selagi ada tenaga dan sumber yang boleh mendatangkan keuntungan, maka semuanya dilanggar tanpa berfikir kesan buruknya.



Dalam soal politik, kebebasan bersuara adalah isu utama bagi mereka yang mahukan suara diiktiraf. Meskipun hal tersebut melanggar norma kehidupan manusia. Kebebasan menubuhkan kepartian tanpa mengambil kira kesan daripada perpecahan nasional akibat banyaknya kepartian. Tanpa kawalan, sesiapa sahaja mampu menubuhkan parti membawa ideloginya sendiri dengan tidak mengambil kira moralnya.

Dalam soal sosial, keuntungan adalah matlamat besar mereka. Bertuhankan kapitalis, apa jua akan dijadikan perdagangan. Institusi pendidikan ditubuhkan untuk mengaut keuntungan tanpa melihat keberkesanan. Bukan melawan silibus siapa terbaik tetapi mengira untung siapa yang tinggi hasil ketamakan. Golongan kaya sentiasa dijamin mendapatkan perkhidmatan terbaik, sebaliknya bagi yang kurang kemampuan, hanya mampu belajar di tepi jalanan disebabkan tidak mampu dari sudut kewangan.

Nampaknya kita seakan-akan dirasuki fahaman kapitakis yang memikirkan kehendak sendiri tanpa melihat keutamaan yang lebih besar. Disaat rakyat mendambakan kestabilan negara, politikus kian rancak bermain percaturan. Di waktu bencana alam seperti banjir membadai negara, ada yang cuba menyalahkan ketentuan Tuhan. Di ketika barisan hadapan pertaruhkan nyawa berperang dengan Covid 19, ada yang mahu PRU disegerakan.



Kebodohan apakah ini ? Tidakkah kita fikir antara kehendak dan keperluan ? Apakah perlu disaat negara diuji, sibuk kita mencatur kuasa, mengagihkan kekayaan dan rakus kuasa ? Tergamakkah kita melihat rakyat di bawah terkapai - kapai mencari rezeki, sedangkan kita bergelut dengan krisis politik untuk pertahankan kepentingan diri ? Ketika hutan dicabul dengan begitu hebat, masihkah mahu dipersalahkan ketentuan Tuhan ? Kebinatangan apakah ini ?

Mari kita renungkan firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah ar Rum ayat 41 yang bermaksud :

"Telah timbul kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Agama bukan sekadar mengajar kita bab ini halal dan itu haram, agama tidak sekadar membincangkan tentang sah atau tidak sesuatu ibadah, lebih besar daripada itu, agama mengajar kita etika dalam mentadbir, mengurus dan menjaga amanah kehidupan. Amanah pemimpin terhadap rakyatnya, amanah manusia terhadap menjaga khazanah alam Nya, amanah manusia berpolitik mencari keredhaan Nya, bukan mempertahankan kepentingan diri semata. Semoga Allah mengampuni kita.

Jumaat, 1 Januari 2021

PUISI : AKU & TAHUN BAHARU

 

Begitu pantas masa berlalu

Terasa seperti angin yang datang mendayu

Hadirnya ia seperti dibuai syahdu

Perginya pula bisa menusuk kalbu

Begitu pantas masa berlalu

Berarak hari seiring bulan

Bergerak bulan melangkah tahun

Dan aku masih di sini

Diatas rahmat Tuhan, aku melata

 

 

Sungguh...pantas masa berlalu

Tatkala aku masih bermimpi

Matahari sudah beralih pergi

Tatkala aku sedang berkhayal

Bulan sudah pun pergi berlayar

Meninggalkan sisa umur yang fana

 

 

 


 

 

 

 

 

Benar..pantas masa berlalu

Yang pergi hanyalah angka

Yang kekal hanyalah jasa

Yang pantas demikianlah masa

Yang lambat itulah kita

Yang hilang adalah hari

Yang kekal adalah budi

 

 

Aku dan tahun baharu

Masih segarkah iman di dada

Bagaimana hidup tanpa taqwa

Sedangkan itulah pimpinan kita

Biarpun tahun silih berganti angka

Namun iman dan taqwa harus dijaga

Semoga ia kekal sentiasa

Subur menjadi peneman jiwa

MANUSIA & KEDATANGAN TAHUN BAHARU

 

Saban tahun kita tidak pernah gagal untuk menyambut kedatangan tahun baharu. Pelbagai cara manusia mengekspresikan perasaan meluhurkan kesedihan meninggalkan tahun lama dan menzahirkan rasa kesyukuran melangkah di tahun baharu. Sama ada tahun tersebut dalam kalendar tahun masihi atau tahun hijrah, kita acapkali menzahirkan perasaan atas nikmat yang Allah berikan pada kita sebagai hamba Nya.

Dalam tidak sedar, apa yang berubah adalah angka semata. Zahirnya, pertambahan angka kepada satu angka membawa makna memasuki alam baharu. Walhal, pertambahan angka adalah peringatan jelas kepada kita bahawa dunia semakin tua, usia semakin menginjak senja dan diri semakin hampir ajalnya.



Manusia dan waktu keduanya sama. Manusia juga bersifat tidak kekal selamanya. Ada yang pergi meninggalkan dunia, ada juga yang baru lahir mengenal dunia. Begitu juga waktu. Yang lepas adalah sejarah. Yang ada ketika ini adalah peluang dan yang akan datang nanti adalah harapan. Manusia diciptakan dengan sifat kelemahan dan kedhaifan. Oleh kerana itu, Allah mengingatkan hamba Nya tentang masa dengan bersumpah di pelbagai waktu. Allah telah bersumpah dengan waktu malam seperti firman Nya dalam surah al Lail, Allah juga bersumpah dengan waktu pagi seperti firman Nya dalam surah al Fajr.

Allah juga turut bersumpah dengan masa. Seperti firman Nya dalam surah al Asr ayat 1-3 yang bermaksud :

"Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. (2) Melainkan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran (3) "

Allah SWT menerusi firman Nya ini telah memberikan tentang 4 ciri kesempurnaan hidup. 4 ciri tersebut adalah beriman kepada Allah, beramal soleh, berpesan dengan perkara yang benar dan berpesan dalam keadaan penuh kesabaran. Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Miftah Dar al-Sa'dah menerangkan bahawa kalau lah keempat martabat tersebut telah tercapai oleh manusia, maka berhasil lah tujuannya menuju kesempurnaan hidup.



Maka apa yang dicari oleh manusia itu adalah kesempurnaan kehidupan. Biarpun tahun bersilih ganti, namun tujuan kita tetap sama iaitu berazam untuk menjadi lebih baik atau lebih sempurna pada setiap tahun bahkan setiap hari yang berlalu. Inilah tujuan sebenar manusia. Sebab kesempurnaan itu ialah sempurna pada diri sendiri dan menyempurnakan pula bagi orang lain.

Oleh itu, kedatangan tahun baharu hanyalah suatu perubahan angka yang tidak akan membawa apa-apa makna bagi kita andai kita tidak belajar untuk menyempurnakan diri kita malah lebih malang lagi, kita pula yang sibuk dan asyik menghitung dosa dan mencari keaiban orang lain. Sedangkan diri kita terdedah kepada dosa dan aib diri sendiri. Kata Imam As Syafi'i :

"Kalau manusia seanteronya sudi merenungkan surah ini (surah al Asr), sudah cukuplah baginya".

Marilah kita melangkah hari demi hari dengan semangat memperbetulkan diri, mengislah keluarga dan memperkasakan masyarakat, disamping berdakwah menyebarkan ajaran Islam sebenar khususnya kepada rakan-rakan kita yang bukan muslim. Semoga segala kebaikan dan amal soleh kita diterima oleh Allah SWT.

Jumaat, 25 Disember 2020

UCAPAN SEMPENA PERAYAAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM

 

Hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang agama dan budaya adalah satu keunikan kepada kita untuk saling mengenali antara satu sama yang lain.  Walau pun berbeza agama, Islam sama sekali melarang kita untuk melakukan kezaliman, penindasan mahupun apa jua perkara yang boleh menggugat hak mereka untuk beragama. Bahkan, Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk melakukan kebaikan kepada mereka meskipun berlainan agama. . Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahah ayat 8-9 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Juga Allah SWT mengajar kita supaya mengucapkan ucapan yang baik kepada mereka yang memberikan ucapan kebaikan kepada kita. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ ayat 86 yang bermaksud :

 “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.



Pada masa sama, dalam ruang keluasan Islam menganjurkan kita bertoleransi merentasi perbezaan agama, Islam juga turut melarang kita daripada melakukan sebarang  perbuatan yang boleh menjadikan kita kufur dalam apa jua bentuknya. Sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau gerakan hati yang boleh menyebabkan kita menjadi kufur. Firman Allah SWT dalam surah al Nahl ayat 106 yang bermaksud :

 

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”

Oleh itu, terdapat beberapa perbahasan dikalangan para sarjana Islam di dalam menetapkan hukum mengucapkan selamat bagi perayaan agama selain Islam dan hukum merayakannya. Berlaku perbezaan pandangan dikalangan para sarjana Islam. Bagi sebahagian sarjana Islam, mereka melihat terdapat unsur mengiktiraf kekufuran apabila kita mengucapkannya. Maka bagi mereka hukumnya haram memberi ucapan perayaan agama lain kerana dibimbangi ucapan tersebut membawa kepada mengiktiraf kekufuran.

Manakala sebahagian sarajana pula melihat pemberian ucapan tersebut tidaklah berunsur mengiktiraf kekufuran tetapi sebaliknya sekadar menunjukkan kebaikan kepada penganut agama lain yang secara terang tidaklah memusuhi Islam. Maka bagi mereka yang berpandangan sebegini menyatakan hukum harus memberi ucapan tersebut dengan di ikat syarat-syarat tertentu.

Sebahagian para sarjana yang mengharamkannya seperti Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, juga al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah dengan tegas mengharamkannya dengan mendatangkan hujah dan alasan yang tersendiri. Fokus utama mereka mengharamkannya adalah mereka melihat kepada perbuatan itu seolah-olah meredhai dan mengiktiraf kebenaran agama mereka. Sebaliknya, beberapa para sarjana kontemporari seperti Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi menyatakan keharusan mengucapkannya beserta syarat tertentu. Demikian juga Prof. Dr. Abd al Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan Ulum Quran di Universiti Al Azhar. Beliau berpandangan mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 


 

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa’ juga mengharuskan ucapan tersebut dan beliau menyifatkan perbuatan memberikan ucapan tersebut termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dalam pergaulan. Namun sesiapa yang beranggapan perayaan agama bukan Islam adalah sama seperti perayaan umat Islam maka ianya haram kerana hal tersebut termasuk dalam hal akidah dan seolah-olah ingin menyamakan semua agama (pluralism). Antara hujah Syeikh Mustafa al Zarqa mengharuskan ucapan perayaan agama lain adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam kitab Fatawa Mustafa al Zarqa, beliau berkata: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa,). Maksudnya ialah beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena perayaan agama lain kepada penganutnya, bukan bermaksud mengiktiraf akidah mereka sebaliknya sekadar menzahirkan kesopanan.

Oleh itu, melalui perbahasan ini, dapatlah difahami bahawa terdapat khilaf atau perbezaan pendapat berkenaan hukum mengucapkan tahniah sempena perayaan agama orang bukan Islam. Semuanya tergantung pada kita untuk melihat dan menilai sekaligus mempertimbangkan kewajaran kita menzahirkan ucapan. Sekiranya tidak ada kepentingan untuk menzahirkan ucapan bagi perayaan agama lain, maka lebih baik kita tidak memberikan ucapan. Sebaliknya jika kita mempunyai kedudukan atau kepentingan seperti seorang pemimpin, seorang majikan atau selainnya maka diharuskan memberi ucapan dengan syarat ucapan tersebut tidak membawa kepada makna kekufuran.