Rabu, 19 Julai 2023

ISLAM DAN KEDATANGAN TAHUN BAHARU HIJRAH

 

Masa atau waktu adalah suatu sistem bagi makhluk Allah SWT yang padanya mengikat kehidupan setiap hamba Nya. Pada yang namanya makhluk, pastinya tidak dapat lari daripada putaran masa yang menjadi sunnatullah. Suka atau tidak, setiap detik akan berlalu pergi sehinggalah hari berganti bulan, bulan berganti tahun dan demikianlah dunia ini bergerak. Begitulah sistem peraturan masa yang mengikat para makhluk Nya. Tidak ada sesiapa pun dikalangan makhluk Nya yang terkecuali dari sistem peraturan masa ini. Adapun kita sebagai hamba Nya yang berjalan diatas putaran masa ini, akan merasai dan melalui setiap detik-detik kehidupan ini dengan penuh ketakjuban kita pada Nya. Manakan tidak, dahulu rupa paras kita yang cantik dan tegang, tenaga kita yang dahulu kuat, kini kian berubah riak wajah selari dengan peredaran masa yang berlalu pergi.

Allah telah berulang-kali bersumpah dengan masa, mengkhabarkan kepada kita bahawa setiap yang namanya insan itu pastinya akan berada dalam kerugian. Rugi masa, rugi tenaga, rugi harta, kecuali bagi mereka yang beriman kepada Allah, melakukan amal soleh, berpesan kepada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Maka untuk mengeluarkan kita daripada kerugiam, hanyalah melalui jalan bertaqwa kepada Allah SWT. Sebab itu, bagi orang yang bertaqwa, kedatangan tahun baharu tidak mendatangkan apa-apa kesan yang mendalam melainkan melangkah ke hari baru dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Oleh sebab itu, kita dapat melihat di sana tidak terdapat sebarang petunjuk yang sahih dari baginda Nabi SAW untuk menyambut tahun baharu hijrah.




Ini kerana, umum telah mengetahui bahawa kalendar hijrah tidak wujud lagi di zaman Nabi. Kalendar hijrah telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab dengan mengambil kira bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kiraan tahun hijrah. Dan bulan Muharram juga, bukanlah bulan yang terkait dengan peristiwa hijrah baginda Nabi SAW. Ini kerana, dalam catatan sirah Nabi SAW, baginda bersama umat Islam Mekah, telah memulakan perjalanan berhijrah pada hujung bulan Safar dan sampai ke Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. Pun begitu, bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama bagi perkiraan kalendar tahun hijrah adalah setelah mengambil kira faktor selesainya umat Islam menjalani ibadah haji, yang padanya merupakan kemuncakan peribadatan kepada Allah.

Oleh itu, tidak ada sebarang petunjuk yang sahih berkenaan anjuran membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Namun begitu, telah menjadi amalan para sahabat Nabi SAW berdoa sebelum memasuki bulan atau tahun baharu. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, beliau menukilkan kata-kata Abdullah bin Hisyam RA yang bermaksud :

Para sahabat Rasulullah SAW mempelajari doa (berikut) sebagaimana mereka mempelajari al-Quran apabila masuknya bulan baharu atau tahun baharu : "Ya Allah, masukkanlah ia (bulan atau tahun baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada Al-Rahman".

Menjadi kelaziman umat manusia, azam dan tahun baharu berpisah tiada. Biasanya, keazaman diri akan terkait dengan kedatangan tahun baharu. Dalam Islam, untuk berazam atau bertekad untuk berubah, tidak perlu menunggu kedatangan tahun baharu. Kerana setiap detik dan waktu yang berlalu adalah harapan bagi kita umat manusia. Untuk memperbaharui niat dan azam, bukanlah syarat perlu tunggu datangnya tahun baharu. Malah setiap detik dan ketika, adalah peluang bagi kita untuk berazam dan perbaharui niat. Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku lalu berkata :

"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu".




Oleh yang demikian, Islam mengajar kita supaya tidak perlu menunggu saat dan ketika datangnya tahun baharu untuk perbaharui azam dan niat. Mulai saat ini, detik dan ketika ini, kita disuruh untuk segera perbaharui niat dan azam, melakukan perubahan diri pada setiap masa. Tanp berlengah, kita mesti berusaha memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Ada pula sebahagian kita beranggapan, membaca doa akhir tahun dan awal tahun sebagai memberkati amalan kita dengan harapan diangkat dan diterima oleh Allah SWT. Dakwaan ini seperti tepat dengan datangnya tahun baharu. Ibarat pepatah melayu berkata "tutup buku lama dan buka buku baru". Pun begitu, dakwaan ini tidak berasas dan tiada sandaran dalil yang sahih. Ini kerana, berdasarkan petunjuk Nabi SAW, amalan manusia akan dibentangkan atau diangkat kepada Allah pada setiap hari (pagi dan petang), setiap dua kali seminggu (setiap isnin dan khamis) dan pada setiap tahun iaitu pada bulan Sya'ban.

Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba Ku itu?' Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat."

Dalam hadith lain, riwayat Muslim, amalan kita aka diangkat pada setiap dua kali seminggu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."




Demikianlah pula amalan kita akan diangkat setiap tahun pada bulan Sya'ban. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Imam an-Nasa'i, yang bermaksud :

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"

Kedatangan tahun baharu hijrah mengingatkan kita supaya mencari keberkatan dalam nikmat usia yang dikurniakan. Keberkatan hidup pastinya diperolehi oleh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Untuk itu, kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui azam dan niat dan sentiasa berusaha berubah menjadi lebih baik pada setiap detik dan ketika agar kita diberikan keberkatan masa dan kehidupan ini. Tahun baharu adalah sekadar perubahan angka sahaja. Namun hakikatnya, perubahan manusia itu terletak kepada diri kita sendiri. Oleh itu, agama ini mengajarkan kita akan menginsafi kepentingan masa. Bukan sekadar dihayati setiap kali beralih tahun baharu, tetapi pada setiap detik yang berlalu pergi. Bagi setiap muslim, waktu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Dengan nikmat keberkatan ini, tiada tolak tanding harganya dengan segala isi dunia ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 15 Julai 2023

BENARKAH ISLAM ANTI-MUZIK ?

 

Kehidupan normal sebagai seorang manusia tidak dapat menafikan tentang keperluan untuk diri berhibur sebagai salah satu langkah juga untuk mengurangkan tekanan disamping naluri itu sendiri memerlukan hiburan yang menyeronokkan. Pada asasnya, berhibur adalah hukumnya harus. Keharusan berhibur ini pula bergantung kepada bagaimana hiburan itu berlaku. Berhibur dengan cara meminum arak, menari lenggok di khalayak ramai dan seumpamanya lagi akan membawa hukum haram berhibur seperti itu. Pun begitu, jika hiburan itu sekadar menyanyi, bergurau senda, pertunjukkan permainan dengan tidak melampaui batas, maka agama membenarkannya.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh Nabi SAW melalui hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Bahawa pada hari raya Fitri dan Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah Aisyah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu'ath (peperangan Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata : "Suara syaitan" (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda : "Biarkan mereka wahai Abu Bakr ! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita"

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, ketika Nabi SAW menghadiri suatu majlis perkahwinan orang Ansar, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda : "Wahai Aisyah ! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan ? Orang Ansar sukakan hiburan".




Berdasarkan hadith ini, baginda Nabi SAW sangat bertoleransi dengan kecenderungan orang Ansar yang sukakan kepada hiburan. Maka secara umumnya, berhibur dalam Islam adalah sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Namun begitu, umat manusia yang cenderung kepada hiburan mempunyai pelbagai cara untuk berhibur termasuklah dengan cara mendengar dan bermain alat muzik. Persoalannya, adakah Islam melarang mendengar dan bermain alat muzik ? Ini kerana sebahagian masyarakat berpandangan muzik adalah sesuatu yang melalaikan. Bahkan, muzik juga dilihat sebagai suatu permulaan kepada perkara maksiat dan sia-sia.

Perkataan muzik menurut Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab Ighathah al-Lahfan, membawa maksud seluruh alat muzik atau permainan. Imam al-Zahabi pula dalam kitab al-Tazkirah, beliau menyatakan bahawa muzik mencakupi seluruh alat muzik atau permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi sesebuah lagu atau syair. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, muzik berasal dari bahasa inggeris yang sinonim dengan bunyi-bunyian, irama, lagu, nada, senandung dan tanji. Berdasarkan maksud yang telah disebutkan ini, jelas kepada kita bahawa muzik merupakan alat dan bunyian yang mengiringi sesuatu nyanyian atau syair. Ini juga boleh disebutkan dengan kata lain, muzik adalah suatu instrumen yang menjadi penambahan kelunakan sesebuah nyanyian atau syair di dendangkan.

Dari segi hukum berkenaan muzik, para ulama telah berbeza pandangan. Perbezaan ini termasuk dalam bab khilaf yang muktabar, iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara umumnya, jumhur atau majoriti ulama dan fuqaha' mengharamkan alat muzik. Tetapi sebahagian mereka mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Mereka yang berpandangan haram antaranya adalah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Dalam kitabnya, Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahwa mendengar nyanyian (atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang. Tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya.




Selain itu, turut berpandangan haram ialah Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Kaff al-Ri'aa. Beliau menyatakan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran). Menurut Imam Ibn Qudamah pula dalam kitabnya, al-Mughni, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan, atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan, kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan kefasikan.

Mereka yang menyatakan pandangan haram muzik ini diatas beberapa hujah berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith. Antanya firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud :

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan".

Menurut Ibn ‘Abbas dalam kitab tafsirnya, sewaktu mentafsirkan ayat ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Imam Mujahid pula berpandangan ia merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Demikian juga Imam Hasan al-Basri menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. Dalil yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Imam al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah”

Demikian beberapa hujah dalil berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW. Pun begitu, sebahagian para ulama yang lain pula berpandangan hukum berkaitan muzik adalah harus. Antaranya ialah Abu Bakar Ibnu al-Arabi dalam kitab Ahkam al-Quran. Beliau menyatakan bahawa hadith-hadith yang digunakan untuk mengharamkan nyanyian mengatakan tidak ada satu pun dalil yang sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak tsiqah. Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. Begitu juga pandangan Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla bil Athar, beliau membahaskan hukum nyanyian dengan mengatakan bahawa semua riwayat hadith tentang haramnya nyanyian adalah batil.




Beliau turut menjelaskan bahawa pada ayat 6 surah Luqman yang menjadi pengharaman nyanyian pula, ayat tersebut menyebutkan satu sifat yang barangsiapa mengerjakannya akan menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu apabila dia menjadikan agama Allah SWT sebagai bahan mainan. Oleh kerana itu, jika seseorang membeli senaskhah al-Quran untuk menyesatkan orang ramai dan menjadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Selain itu, Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nail al-Autor meriwayatkan banyak athar daripada sahabat dan tabi'in yang menunjukkan keharusan mendengr nyanyian dan muzik antaranya Ibnu Umar, Muawiyah, Amru bin al-'Aas dan Abdullah bin Jaafar.

Dalam konteks fatwa semasa, al-Marhum Syeikh al-Qaradhawi menyatakan dalam kitabnya Halal dan Haram dalam Islam, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama. Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.

Selain itu, Fatwa Dar al-Iftaa' Misriyyah menyatakan bahawa nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya menjadi buruk. Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata. Secara mudahnya, berhibur dengan mendengar atau bermain muzik adalah diharuskan selagimana perkara tersebut tidak melanggar batasan syarak. Inilah juga asas pendirian Islam dalam banyak urusan kehidupan. Setiap perkara ada batasan. Maka jelaslah Islam bukanlah anti-muzik selagi tidak bercanggah dengan peraturan Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 27 Jun 2023

MUSUH POLITIK TIDAK SEMESTINYA MUSUH ALLAH

Politik dan Islam merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan oleh kehidupan. Kerana politik, manusia akan memperolehi kuasa. Dengan kuasa yang ada melalui berpolitik, ianya merupakan alat atau instrumen bagi menegakkan prinsip Islam. Bukan sebaliknya menjadikan Islam sebagai alat atau instrumen untuk memenuhi citarasa berpolitik. Oleh itu, kita harus lebih bijak untuk membezakan antara berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani dan berpegang dengan Islam sebagai alat meraih keuntungan tertentu. Golongan memperdagangkan agama bukanlah sesuatu yang baharu. Bahkan sejak sekian lama ianya menjadi cabaran utama untuk menentang golongan pelampau ini.

Sejarah berdarah umat Islam pernah mencatatkan kewujudan kelompok "Khawarij" yang telah lahir dari benih permusuhan dan kebencian dengan pihak pemerintah yang sewaktu itu umat Islam dipimpin khalifah Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Talib. Permusuhan dan kebencian ini membengkak dan membarah ke dalam diri mereka sehingga menjadikan mereka ekstrimis dengan bermudah-mudah mengeluarkan seseorang daripada agama Islam. Di bibit mulut mereka, ayat al-quran dan hadith menjadi mainan tunggangan. Sehingga kalam mereka yang terkenal "tiada hukum selain hukum Allah", telah menjadi fatwa halal darah sesama Islam untuk dibunuh. Fatwa ekstrimis ini secara tidak langsung menyuntik doktrin sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah pada sisi faham Khawarij, maka telah kafirlah dan menjadi musuh Allah.




Hanya dengan semudah itu sifir mereka bagi mengeluarkan umat manusia dari agama Islam sekaligus menjadikan mereka yang dikeluarkan ini sebagai musuh Allah. Walhal, berbeza sudut pandang politik tidak bermakna telah berbeza pegangan akidah dan tauhid. Inilah barah yang bahaya, bukan sahaja mengancam nyawa sesama Islam malah boleh lebih ganas daripada itu membunuh sesiapa sahaja yang tidak mentauhidkan Allah. Demikian sejarah berdarah yang semestinya tidak mahu kita ulangi. Meskipun kelompok Khawarij ini sudah tidak kelihatan lagi, namun pada sudut pemahaman dan doktrin ekstrimis mereka ini masih wujud dalam kalangan umat manusia yang mendakwa mereka berjuang atas nama Islam.

Dalam berpolitik, tidak ada satu pun jenama parti atau institusi khusus yang disyariatkan oleh Allah untuk membawa perjuangan Islam. Apabila bercakap soal perjuangan agama Islam, ianya adalah milik semua orang. Perjuangan menegakkan agama Allah milik semua yang menjunjung dan meninggikan titah perintah Allah. Jenama kepartian boleh jadi sekadar hiasan tetapi yang lebih mustahak adalah pada tindakan dan perbuatan. Sekiranya berjuang diatas nama agama sekalipun, namun dengan tindakan dan perbuatan yang ekstrimis, mulut celupar dan suka bercakap tidak senonoh, menabur fitnah dan menyemai api perkauman, langsung tidak mewakili intipati prinsip dalam perjuangan Islam sebenar. Demikian itu bukanlah yang dikehendaki oleh Islam.

Oleh itu, persempadanan berpolitik harus jelas agar kita tidak melebihi batas mengambil tugas Tuhan sehingga menghukum syurga dan neraka kerana kepartian dan melabel mereka yang tidak sama dengan kita dengan labelan berbaur permusuhan agama pada seseorang hanya kerana ijtihad politiknya berbeza. Meski politik itu sebahagian daripada Islam, namun menunggang agama sebagai alat memenuhi matlamat politik adalah sesuatu yang dangkal lagi hina. Sejak sekian lama kita dihidangkan tentang kelompok Syiah yang sememangnya bermotifkan politik pada mulanya, tetapi akhirnya telah berubah wajah menjadi wadah agama pula demi memuaskan nafsu serakah membolot kuasa dan harta. Kejelikan berpolitik seperti sedemikian telah membuatkan Badiuzzaman Said al-Nursi berkata "aku memohon perlindungan daripada syaitan dan siyasah (politik)”.




Musuh politik adalah dalam kerangka ketidaksetujuan kita terhadap sesuatu dasar atau polisi pentadbiran dan tata kelola yang dibawa oleh sesebuah kepartian. Selain kita disuruh untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam berpolitik, kita juga dituntut untuk berlaku adil terhadap musuh sekalipun musuh politik kita itu adalah orang bukan Islam. Ini sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran menerusi surah al-Maidah ayat 8, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak (kebenaran) kerana ALLAH (dan) saksi-saksi (yang bertindak) dengan adil. Janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil kerana (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan".

Namun begitu, persoalan yang lebih mendalam untuk direnungi bersama ialah bagaimana untuk bersikap adil sedangkan dalam diri kita tertanam sikap benci dan melabel pihak yang berbeza dengan labelan yang tidak sepatutnya. Harus diingatkan bahwa terkadang kita beranggapan musuh kita adalah pihak luar yang berbeza parti. Tetapi musuh yang terbesar adalah berada di dalam diri kita sendiri. Kita perlu bertarung dengan diri sendiri untuk melawan sikap ketaksuban tidak berasas, menentang kelancaran lidah sendiri yang kerjanya memfitnah sana -sini, harus lawan diri sendiri menolak budaya ekstrimis dan sebagainya. Jika diri sendiri pun tewas kepada semua anasir ini, maka bagaimana pula untuk bersikap adil terhadap orang lain terutamanya pada musuh politik kita. Musuh Allah adalah mereka yang ingkar kepada syariat Allah. Janganlah pula kerana kebencian, kita mengheret musuh politik pula menjadi musuh Allah seolah-olah mereka itu tidak mahu mengikuti perintah Allah.

Untuk menghukum pihak lawan sebagai musuh Allah adalah sesuatu yang luar biasa. Apatah lagi ungkapan seperti itu tidak layak diungkapkan oleh mereka yang menjadi saf pertama kepercayaan umat. Dukacita andai budaya label-melabel seperti ini masih mekar dalam diri manusia. Jelas sekali, kita bukan sahaja sudah merampas tugas Tuhan bahkan secara tidak langsung, kita telah mewarisi sifat kesombongan syaitan yang merasai dirinya mulia berbanding yang lain. Usahlah berasa perjuangan Islam ini milik eksklusif kita sahaja. Walhal, perjuangan menegakkan Islam ini adalah tanggungjawab umat Islam keseluruhannya, baik pun tidak berparti diatas jenama Islam. Oleh itu, muhasabah kepada semua para pendokong parti, agar kita benar-benar mengangkat syiar ini bukan semata-mata untuk meraih keuntungan kepartian. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Isnin, 26 Jun 2023

BOLEHKAH MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM ?

 

Ibadah korban merupakan suatu syariat Islam yang agung. Rentetan peristiwa besar yang berlaku, bermula sejak pada zaman Nabi Adam AS hinggalah kepada zaman penghulu sekalian Nabi, Muhammad SAW menunjukkan indikasi kedudukan ibadah korban bukanlah suatu ibadah baharu. Melalui ibadah korban, syiar Islam ditegakkan seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul Nya. Bermula dari peristiwa persembahan korban oleh kedua anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, sehingga syariat disempurnakan oleh Allah SWT melalui utusan terakhir baginda Rasulullah SAW.

Timbul persoalan, adakah dibenarkan oleh syarak untuk memberikan daging korban kepada mereka yang bukan beragama Islam. Secara dasarnya, permasalahan berkaitan memberikan daging korban kepada orang bukan beragama Islam tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran sama ada dilarang atau sebaliknya dibenarkan. Maka, disini kita akan dapati perbezaan pandangan berdasarkan kepada penafsiran para ulama yang dinamakan sebagai al-ijtihad. Sebelum daripada itu, Allah SWT telah meletakan asas berkenaan suruhan untuk berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam. Dengan syarat, mereka tidak memerangi dan memusuhi Islam. Ini dapat dilihat melalui firman Nya dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".




Menurut Imam al-Tobari, beliau menyatakan dalam kitabnya, Tafsir al-Tobari, bahawa yang dimaksudkan dengannya (tidak melarang berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu) ialah terhadap semua jenis ajaran dan juga agama supaya berbuat baik dengan mereka, berhubung baik dan berlaku adil kepada mereka. Dalam tafsiran lain, seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Asyur dalam kitabnya, At-Tahrir wa At-Tanwir, beliau menyatakan bahawa pada zaman Nabi, terdapat sebahagian orang kafir tidak menyokong penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh puak kafir Quraisy. Sebahagian mereka ini antaranya dari kabilah Khuza'ah. Mereka tidak bersama dengan kafir Quraisy. Maka, melalui ayat tersebut, Allah tidak melarang Nabi dan para sahabat untuk berbuat baik kepada kabilah ini.

Oleh itu, secara asasnya, Islam tidak melarang umatnya untuk berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam. Pun begitu, dalam soal memberikan daging korban kepada orang bukan Islam, para ulama bersepakat menyatakan haram memberi daging korban wajib (nazar) kepada orang bukan Islam. Walau bagaimana pun, berlaku perbezaan pendapat berkenaan agihan daging korban sunat. Sebahagian ulama termasuklah Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki berpandangan bahawa tidak boleh diberikan daging korban kepada orang bukan Islam. Hal ini kerana mereka berpandangan ibadah korban adalah perkara ta'abbudiy (hal ehwal ibadah) bagi agama Islam. Ianya juga suatu ibadah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Untuk itu, daging korban yang datangnya dari ibadah penuh ketaatan kepada Allah ini tidak seharusnya diberikan kepada golongan bukan Islam, yang tidak mentaati perintah dalam mentauhidkan Allah SWT.

Dalam pada itu, sebahagian lagi para ulama seperti ulama Mazhab Hanbali, Imam Abu Hanifah, Imam Hasan al-Basri dan Abu Thaur, mereka berpandangan harus (boleh) memberi daging korban kepada orang bukan Islam. Hal ini sepertimana yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah, ulama mazhab Hanbali dalam kitabnya, al-Mughni, beliau menyatakan bahawa dibolehkan memberi makan kepada orang kafir daripada daging korban. Mereka berpandangan bahawa makanan yang diharuskan makan, maka haruslah juga diberi makan kepada orang kafir zimmi sebagaimana makanan-makanan lainnya. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi, daripada Abdullah bin Amr al-'As, ketika beliau telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata :

"Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi ? (beliau bertanya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda : "Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris"




Hadith ini menunjukkan kepada kita bahwa memberikan daging korban kepada bukan Islam tidak sekadar memberi dan menerima sebaliknya mampu menyemai mesej kemanusiaan dan dakwah khususnya bagi memperlihatkan kecantikan dan keindahan Islam yang penuh kasih sayang. Juga sependapat dengan pandangan diharuskan beri daging korban kepada orang bukan Islam adalah Ibnu Hazmin. Dalam kitabnya, al-Muhalla, Ibn Hazmin menyatakan bahwa tuan empunya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya. Demikian yang dinukilkannya. Perbuatan memberi daging korban kepada orang bukan Islam merupakan suatu jalan kebaikan bagi menjinakkan mereka dengan Islam.

Selain itu, dalam Fatawa Lajnah Daimah, Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi telah memfatwakan harus diberikan daging korban kepada orang bukan Islam kerana kemiskinan atau kerana berjiran dan juga untuk mendekatkan diri mereka kepada Islam. Tetapi tidak diberi kepada orang bukan Islam yang memerangi Islam. Begitu juga dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Dar Ifta Mesir. Mereka menyatakan bahawa tidak mengapa memberikan daripadaya (daging korban) kepada bukan Islam kerana kefakirannya, atau hubungan kerabat dengannya, atau untuk menjinakkan hatinya kepada Islam, berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Asma' binti Abi Bakar as-Siddiq yang disepakati riwayatnya ( Bukhari dan Muslim ) : “ hubungkanlah hubungan baik dengan Ibumu” ( diketahui bahawa ibu Asma' seorang bukan islam ).

Dalam konteks Malaysia, yang dikenali sebagai sebuah negara majmuk, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, menjadi satu keistimewaan dan rahmah diatas perbezaan pandangan ini. Ini kerana mungkin sebahagian komuniti Islam yang hidup berjiran dengan bukan Islam, hanya memahami satu pandangan bahawa tidak boleh diberi daging korban, tetapi dengan keluasan pandangan ini, kita boleh berkongsikan daging korban dengan hati yang tenang dan pastinya dengan harapan Allah membuka pintu hati mereka untuk dekat dengan agama Islam. Demikianlah Islam mengajar kita untuk saling menghormati antara satu sama lain dengan memahami perbezaan dan meraikan kesatuan. Agama ini datang dengan membawa mesej perdamaian, bukan seruan permusuhan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 20 Jun 2023

MEWARISI HARTA ANTARA ISLAM DAN BUKAN ISLAM

 

Harta adalah sesuatu yang bernilai dan berharga. Meskipun nilaian itu pada ukurannya banyak atau sikit, besar atau kecil, kesemuanya mesti dipunyai dan dimiliki oleh seseorang atau sepihak. Dalam hal pemilikan harta ini, Islam sangat meneliti dan menjaga daripada pemilikan harta yang batil. Islam bukan sahaja membicarakan soal halal dan haram, juga Islam menekankan tentang perwarisan harta yang mesti dipatuhi mengikut kehendak syarak. Oleh sebab itu, dalam Islam terdapat beberapa terma berkenaan pembahagian harta seperti wasiat, hibah, dan faraid. Ini supaya pemilikan sesuatu harta tersebut diluruskan berpandukan syariat Allah SWT.

Perkataan "wasiat" dari segi bahasa bermaksud menghubungkan atau menyampaikan. Maksud dari segi istilah pula bermaksud sumbangan sesuatu yang dilaksanakan selepas kematian. Pada asasnya, wasiat hanya diberikan kepada mereka yang bukan waris dengan tidak melebihi 1/3. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Perkataan "hibah" pula merujuk kepada maksud pemberian atau hadiah yang mengandungi suatu akad yang melibatkan pemberian hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan. Manakala perkataan "faraid" pula dari sudut bahasa bermaksud ketetapan. Dari sudut istilah pula membawa maksud pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum syarak. Pembahagian harta faraid ini hanya melibatkan para waris dan beragama Islam.




Bagi sesama orang Islam, tidaklah menjadi satu kesalahan untuk mewarisi harta keturunannya yang Islam. Namun begitu, bagi mereka yang bukan beragama Islam, untuk mewarisi harta ahli keluarga mereka yang telah memeluk Islam adalah dilarang sama sekali dan begitu juga sebaliknya, orang Islam tidak boleh mewarisi harta keturunannya yang tidak beragam Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

"Tidak mewarisi seseorang muslim itu daripada seorang yang bukan Islam, dan tidak mewarisi seseorang bukan Islam itu daripada seorang muslim"

Berdasarkan hadith ini, dalam mazhab Imam al-Syafie menyatakan bahawa perwarisan harta daripada orang bukan Islam kepada waris yang Islam adalah tidak dibenarkan. Namun begitu, sebahagian para ulama menyatakan bahawa diharuskan untuk memberikan harta kepada mereka yang bukan beragama Islam dengan cara wasiat dan hibah. Dua kaedah ini merupakan jalan keluar untuk isu berkaitan perwarisan harta antara orang Islam dan orang bukan Islam. Melalui wasiat, pemilik harta ketika masih hidup, perlu mewasiatkan kepada selain para waris dengan had sebanyak 1/3 daripada hartanya. Sekiranya hendak mewasiatkan melebihi 1/3, maka terlebih dahulu perlu mendapatkan persetujuan daripada para waris. Ini sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Saad bin Abu Waqqas berkata :

“Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka”




Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa wasiat boleh dilakuka dengan kadar 1/3 sahaja. Ini kerana sebahagian lebihan lagi adalah untuk diberikan kepada para waris melalui hukum faraid. Oleh itu, sesungguhnya wasiat adalah suatu pemberian terutamanya kepada mereka yang bukan ahli waris, ini termasuklah waris yang bukan beragama Islam. Ini kerana untuk mewarisi harta pusaka, syaratnya selain waris yang sah, juga syaratnya mestilah beragama Islam. Para waris yang sah di sudut syarak juga sebenarnya berhak mewarisi harta pusaka melalui jalan wasiat tetapi dengan syarat mestilah mendapatkan persetujuan waris-waris yang lain. Ini juga berdasarkan hadith riwayat Daruqutni daripada Ibn Abbas RA, bahwa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Tidak harus wasiat kepada waris kecuali di izinkan oleh waris yang lain"

Selain wasiat, perwarisan harta oleh orang bukan Islam juga boleh dilakukan dengan kaedah hibah. Hibah seperti yang telah dinyatakan, adalah merujuk kepada suatu pemberian diatas nilai kasih sayang dan kemanusiaan merentasi agama dan bangsa. Hibah suatu inisiatif berbentuk hadiah kepada mereka yang telah dinamakan oleh penghibah. Dalam soal ini, hibah tidak hanya terhad kepada orang bukan Islam, juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang diniatkan oleh penghibah. Islam tidak menetapkan kadar tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihadiahkan itu adalah milik pemberi sendiri dan terpulanglah kepada pemberi hibah untuk membuat pertimbangan terhadap harta yang hendak dihibahkan.

Melalui dua kaedah wasiat dan hibah ini, orang bukan Islam boleh menerima harta orang Islam tanpa menggangu urusan pembahagian harta secara faraid. Realitinya hari ini, mungkin terdapat saudara baru atau muallaf yang masih mempunyai ahli keluarganya yang belum Islam, pada dirinya masih punyai tanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Maka dengan cara wasiat dan hibah, mereka boleh memberikan hartanya setelah meninggalkan dunia. Sudah pastinya, keadaan dan suasana berbeza akan menyebabkan kita juga melihat dari pelbagai sudut berbeza. Ada mungkin ibubapanya yang belum Islam, dengan rasa tanggungjawab ini, Islam tidak melarang untuk memberikan harta kepada ibubapa yang belum Islam dengan dua kaedah tersebut. Berbuat baik kepada mereka yang bukan Islam juga suatu tuntutan agama. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Ayat itu diturunkan bagi menjelaskan kepada kita tentang satu peristiwa apabila Asma’ binti Abi Bakar RA diziarahi oleh ibunya bernama Qatilah binti ‘Abdil ‘Uzza yang bukan Islam. Beliau berkata: “Ibuku mendatangiku dan dia sangat ingin aku menyambung hubungan dengannya. Kemudian aku bertanyakan kepada Nabi SAW, bolehkah aku tetap menjalin hubungan dengannya? Baginda pun menjawab, “Ya boleh”. Nabi SAW menyuruh Asma’ untuk menerima hadiah pemberian ibunya dan mengizinkan ibunya memasuki rumahnya. Selain itu, Imam Ibnu Kathir menjelaskan dengan menyatakan bahawa Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah di antara mereka. Hendaklah berbuat baik dan adil kerana Allah menyukai orang yang berbuat adil. Demikianlah bagaimana Islam bertoleransi. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 19 Jun 2023

SEJARAH IBADAH KORBAN MENURUT PELBAGAI AGAMA & KEPERCAYAAN

 

Ibadah merupakan sesuatu perbuatan merangkumi bentuk zahir dan batin, yang dibuat bagi dipersembahkan kepada Tuhan atau ditujukan kepada sesuatu kekuasaan yang dipercayai dan diyakini. Apa jua yang dinamakan ibadah, pastinya dilakukan dengan sebab sebagai sebuah persembahan untuk ditunjukkan kepada sesebuah kekuasaan menurut kepercayaan masing-masing. Oleh itu, ibadah korban boleh kita fahami sebagai suatu ritual atau perbuatan yang dilakukan untuk dipersembahkan kepada kekuasaan tertentu dengan maksud dan tujuan yang tertentu. Hal ini dapat dibuktikan lagi dengan sejarah ketamadunan manusia yang merentasi zaman berzaman dalam usaha menjalankan ritual atau ibadah berkaitan korban atau penyembelihan ini.

Lembaran sejarah mencatatkan bahawa pada awal ketamadunan manusia, masyarakat dahulu kala yang ketika itu berpegang kepada kepercayaan paganism akan melakukan ritual korban manusia bagi tujuan memohon restu dari pelbagai jenis tuhan, roh atau nenek moyang mereka yang telah mati. Lazimnya, ritual korban manusia ini dilakukan sempena peristiwa besar yang terjadi kepada bumi seperti gerhana matahari atau bulan. Bahkan, ritual korban manusia ini juga dilakukan bertujuan untuk melepaskan diri dari masalah yang menimpa sesebuah masyarakat seperti musim kemarau yang berpanjangan atau tatkala diwaktu kemusnahan hasil pertanian akibat bencana dan penyakit yang pelbagai.




Pada zaman tamadun kuno, ritual korban yang dilakukan oleh mereka di Greek Kuno dikenali sebagai Holocaust. Holocaust atau ritual korban adalah ritual bersifat apotropaic (sihir pemujaan) yang dilakukan di zaman Greek Kuno ini. Ritual ini dilakukan dengan membakar haiwan dengan api. Ritual korban dengan cara membakar haiwan ini dibuat bagi tujuan menjamu Tuhan mereka dan menjamu sesama mereka yang meyembah Tuhan yang sama. ini diadakan untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Selain itu, ritual Holocaust ini juga dilakukan bertujuan untuk menenangkan roh dunia bawah termasuk wira Yunani yang merupakan roh orang mati. Catatan sejarah juga menyatakan bahawa pada zaman Mesir Purba dibawah pemerintahan Firaun, terdapat ritual korban dilakukan. Ritual korban ini adalah dengan mengorbankan manusia lain. Pada zaman tersebut, ritual ini dilakukan apabila terdapat golongan bangsawan yang meninggal dunia, lalu akan dikorbankan para pekerja istana dengan tujuan membantu majikan mereka di alam kematian. Hal tersebut juga disebut sebagai retainer killing.

Dalam kepercayaan agama Hindu, pelbagai upcara korban yang melibatkan persembahan kepada dewi-dewi mereka. Namun dengan sebab peredaran zaman, tradisi ini hilang disebabkan gerakan-gerakan pembaharuan oleh para pertapa zaman Upanishad, Jainisme dan Buddhisme. Sebaliknya, suatu bentuk upacara korban haiwan yang baru mula menular ke dalam masyarakat Hindu yang dikenali sebagai perayaan Gadhimai. Perayaan Gadhimai merupakan perayaan bagi mereka yang beragama Hindu, dilakukan di kuil Gadhimai, Nepal. Gadhimai juga umpama sebuah acara pesta terbesar membunuh haiwan di dunia yang melibatkan pembunuhan haiwan seperti kerbau, babi, kambing, ayam dan burung merpati. Ritual ini dilakukan bertujuan untuk memuaskan dewi Gadhimai. Selain itu, dalam Hindu juga terdapat beberapa lagi perayaan yang dilakukan dengan cara mengorbankan haiwan. Antara lain disebut sebagai Durga Puja. Dalam perayaan ini, ritual korban akan dilakukan dengan memancung kambing dan haiwan lain bagi tujuan dipersembahkan kepada dewi Puja. Begitu juga, perayaan Kali Puja. Mereka akan memancung kepala haiwan untuk dipersembahkan kepada dewi Kali.

Dalam tradisi kepercayaan agama Yahudi, berdasarkan kepada kitab Perjanjian Lama, ritual korban dilakukan untuk dipersembahkan kepada Yehwah. Mereka akan mengorbankan haiwan seperti kambing, kerbau dan lembu. Kemudiannya, hasil korban tersebut akan diletakkan di altar, sebuah nama tempat penyembelihan. Tempat Altar itu sendiri merupakan simbol kepercayaan umat Yahudi dimana Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya. Begitu bagi agama Kristian, terdapat kewajiban bagi mereka untuk melakukan ritual korban. Menurut mereka, penyaliban Jesus merupakan salah satu korban teragung. Khususnya dalam kepercayaan umat Katolik, Gereja Katolik Roma sangat menekankan ritual korban ini diadakan bagi maksud jamuan makan yang suci sebagai sarana keselamatan umat. Bagi gereja Protestan pula, umumnya ritual korban dilakukan oleh mereka bertujuan untuk menekankan soal memberi makan sebagai peringatan akan kematian dan pengorbanan Jesus bagi umat manusia.




Dalam Islam, syariat korban telah bermula sejak zaman Nabi Adam AS. Ini berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir, bahawa beliau meriwayatkan dari Ibn Abbas RA tentang bagaimana kedua putera Nabi Adam, yakni Habil dan Qabil diperintahkan agar melakukan ibadah korban bagi menyelesaikan pertelingkahan antara keduanya kerana Qabil enggan menuruti perintah ayahnya, Nabi Adam AS untuk mengahwini kembar Habil. Kisah ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud :

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;"

Menurut Imam Ibn Kathir, dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azhim, daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash R.anhuma beliau berkata :

"Sesungguhnya dua anak Adam yang melaksanakan korban lalu diterima korban salah seorang dari mereka dan tidak diterima korban dari yang satu lagi. Salah seorangnya (Qabil) adalah merupakan pemilik kebun dan yang satu lagi merupakan pemilik kambing. Keduanya diperintahkan untuk melakukan korban. Pemilik kambing mempersembahkan kambing paling bernilai, paling gemuk, dan yang terbaik yang dimilikinya. Manakala pemilik kebun mmempersembahkan hasil tanamannya yang paling buruk dan tidak elok. Lalu Allah S.W.T menerima korban pemilik kambing dan tidak menerima korban pemilik kebun tersebut".

Demikianlah sejarah ibadah korban pertama di dunia yang dilakukan oleh Habil dan Qabil. Tujuan utama ibadah korban dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam melakukan ibadah korban, Allah SWT tidak melihat jumlah haiwan yang dikorbankan. Sebaliknya, Allah menghitung dan menerima ibadah korban bagi hamba Nya yang ikhlas lagi bertaqwa. Oleh kerana itu, menyembelih haiwan ternakan bagi tujuan melakukan ibadah korban akan diterima oleh Allah bagi hamba Nya yang benar-benar ikhlas dan bertaqwa. Pada hari raya korban, umat Islam diharamkan berpuasa mulai 10 Zulhijjah hingga akhir hari Tasyrik, iaitu pada 13 Zulhijjah. Menjadi tuntutan dalam Islam, memasuki 1 Zulhijjah, digalakkan untuk kita membesarkan Allah dengan memuji dan memuja dengan ungkapan takbir, tahmid dan juga tahlil. Kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amal soleh pada 10 hari pertama di bulan Zulhijjah. Begitulah syiar Islam ditegakkan melalui petunjuk Nya, al-Quran dan melalui lidah rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah merahmati kita semua.

Khamis, 15 Jun 2023

ADA APA DENGAN KAABAH ?

 

Lazimnya, masyarakat terutamanya di kalangan orang bukan Islam seringkali tertanya apakah orang Islam menyembah Kaabah. Ini kerana berasaskan apa yang mereka lihat tentang perilaku orang Islam itu sendiri mendirikan solat dalam keadaan mengadap ke arah Kaabah. Dari perspektif kemusykilan tersebut juga, telah timbul pula kemusykilan yang lain berkenaan bangunan Kaabah itu sendiri. Barangkali ramai juga yang berfikir apa yang ada pada Kaabah itu sendiri. Apakah kemuliaan yang ada padanya sehingga dijadikan sebagai kiblat utama orang Islam. Lebih mustahak lagi, apa yang ada dalam bangunan Kaabah itu sendiri sehingga dikelilingi oleh jutaan manusia yang beragama Islam.

Perkataan "Kaabah" itu sendiri berasal dari bahasa Arab yang bermaksud rumah berbentuk kotak. Perkataan Kaabah berasal dari kata ka'aba (كعب) yang bermaksud menjadikan kotak atau mengotakkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan Kaabah merujuk kepada sebuah bangunan suci berbentuk kiub yang terletak di tengah-tengah kota Mekah yang juga menjadi kiblat solat dan tempat bertawaf umat Islam pada waktu menunaikan ibadah haji dan umrah. Dalam istilah lain, Kaabah juga disebutkan di dalam al-Quran dan hadith dengan beberapa perkataan lain seperti Bait (rumah), Baitul haram (rumah suci), Baitullah (rumah Allah), Baitul Ateeq (Rumah Tua) dan Awal ul Bait (rumah pertama).




Nama dan sejarah Kaabah telah disebutkan oleh Allah SWT melalui firman Nya di dalam al-Quran. Kaabah telah diiktiraf sebagai bangunan pertama di bumi yang dibangunkan oleh manusia. Selain itu, Kaabah juga telah disebut sebagai rumah ibadah pertama yang dibina di muka bumi. Seperti yang dinyatakan oleh Allah, dalam surah Ali Imran ayat 96 yang bermaksud :

"Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibangun untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam"

Namun begitu, para ulama berbeza pandangan tentang siapa yang pertama memulakan pembinaan membina Kaabah. Perbezaan pandangan tersebut seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Allamah Badr al-Din al-'Ayni dalam kitab Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, terdapat tiga pandangan berkenaan golongan pertama yang membina Kaabah. Pandangan pertama, disebutkan bahawa malaikatlah yang terawal membinanya untuk mereka tawaf kerana takut kepada Allah. Dalam riwayat Al-Azraqi, beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”

Setelah itu para malaikat berasa bersalah dan takut dimurkai oleh Allah SWT, lalu mereka bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepada-Nya. Kemudian Allah menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah iaitu Bait al-Ma’mur lalu berfirman kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy. Kemudian Dia mengutuskan para malaikat supaya membina baitullah di bumi supaya makhluk di bumi dapat melakukan tawaf sebagaimana makhluk di langit bertawaf di Bait al-Ma’mur.




Pandangan kedua, dikatakan Nabi Adam AS. Ini juga pandangan yang disebut oleh tokoh sejarawan Islam, Ibn Ishaq. Al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata :

“Semasa Adam AS diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?” Allah SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.”

Kemudian Allah SWT memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Adam berjalan menuju ke tapak pembinaan Kaabah. Bumi telah dikecilkan oleh Allah dan tempoh perjalanannya menjadi pendek. Setiap tempat dipijak oleh Adam akan dijadikan oleh Allah SWT sebagai kawasan yang subur dan berpenghuni. Apabila sampai di Makkah, malaikat Jibril AS memukul dengan sayapnya di tapak pembinaan Kaabah dan malaikat membawa batu kepadanya untuk dibina Kaabah. Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil daripada lima gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Sementara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam. Kata Ibn Abbas:

“Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah). Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”

Pandangan ketiga, dinyatakan bahawa Nabi Shi'th AS yang mula membinanya. Walaubagaimanapun, tidak terdapat sebarang dalil yang sahih tentang binaan ini. Menurut Syeikh Husain Ba Salamah , telah datang beberapa riwayat daripada sahabat dan tabiin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam dan Shith. Semuanya menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakan sumber riwayat tersebut sama ada ia daripada Nabi SAW atau Bani Israil (ahli kitab). Oleh itu, ramai ulama tafsir berpegang dengannya serta mencatatkan dalam kitab tafsir mereka kecuali al-Hafiz Ibn Kathir. Beliau telah mengkritiknya dan menyatakan bahawa riwayat tersebut sumbernya daripada Bani Israil (al-Israiliyyat).




Walau apapun perbezaan pandangan ini, pastinya pembinaan Kaabah itu sendiri telah melalui pelbagai fasa revolusi sehinggalah Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim As dan anaknya Nabi Ismail untuk membina semula Kaabah. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 127 yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;"

Firman Nya lagi dalam surah al-Haj ayat 26 yang bermaksud :

"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang)".

Berdasarkan sejarah pembinaan Kaabah ini, jelas kepada kita bahawa bangunan Kaabah dibina diatsas perintah Allah SWT, Tuhan empunya segala apa yang ada di langit dan di bumi. Bangunan Kaabah tanpa sebarang kemuliaan dan keagungan oleh Allah, maka tiada apa yang lebih istimewa. Kaabah atau dengan nama lainnya, menjadi sebuah simbolik kesatuan dan kesepaduan umat Islam. Secara tidak langsung, Kaabah merupakan pusat dunia umat manusia untuk mentauhidkan Allah. Kemuliaan Kaabah sebagai kiblat umat Islam kedua selepas Masjid al-Aqsa adalah juga hasil rintihan oleh baginda Nabi SAW yang sering berdoa kepada Allah agar dialihkan arah kiblat ke arah Kaabah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke Kiblat yang kamu sukai (ingini) sebab itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana sahaja kamu berada palingkanlah mukamu ke arahnya...”

Oleh itu, umat manusia yang datang dan hadir dari seluruh pelusuk dunia menuju ke Mekah bukanlah bertujuan untuk menyembah bangunan berbentuk kiub tersebut. Tidak juga untuk membesarkan dan mengangungkan sesebuah bangunan Kaabah tersebut melainkan diatas arahan dan titah perintah Allah untuk bertawaf mengelilinginya. Tidak ada sebarang ritual penyembahan Kaabah. Kaabah menjadi tempat mulia dan suci bukanlah kerana apa yang ada pada binaan Kaabah itu sendiri tetapi Kaabah menjadi tempat yang mulia lagi suci kerana diatas suruhan dan kehendak Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui. Begitu juga lah pada kehidupan manusia. Tiada ada kemuliaan yang lebih bernilai selain daripada menjadi hamba Nya yang bertaqwa. Keturunan, pangkat dan jawatan sama sekali tidak akan dapat memuliakan kita kecuali beriman dan bertaqwa pada Nya. Semoga Allah merahmati kita semua.