Jumaat, 16 November 2018

APABILA SUDAH TIADA MALU


Secara umumnya, sumbang mahram adalah satu istilah bagi menggambarkan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan salah laku seksual dan dilihat oleh masyarakat sebagai sesuatu yang jijik dan terkutuk. Jijiknya dan kotornya ia kerana perbuatan terkutuk ini melibatkan jenayah secara seksual, seperti rogol ataupun pencabulan dan kelucahan yang dilakukan dalam kalangan sesama ahli keluarga yang ada pertalian kekeluargaan dan persaudaraan secara dekat. Namun bagi sesetengah pelaku dan pemangsa, mereka mempunyai pandangan dan perspektif yang berbeza tentang apa yang mereka lakukan.

Tidak kiralah apa yang mereka fikirkan, dan sama ada perbuatan itu satu jenayah dan kesalahan, ataupun satu perbuatan yang wajar bagi mereka, telah banyak dikupas dan diselidiki oleh para ilmuwan dan pengkaji. Kupasan yang dibuat adalah dari pelbagai sudut seperti undang-undang dan jenayah, kesihatan, psikologi dan pendidikan serta lain-lain. Hakikatnya, perbuatan ini terus berlaku dalam anggota masyarakat saban hari, seolah-olah tiada penghujung, dan dipercayai akan terus berlaku dalam zaman yang serba canggih dan moden ini.



Kebanyakan kes ini melibatkan ahli keluarga sendiri terutamanya di antara bapa kandung dengan anak, bapa tiri atau bapa angkat, bapa saudara, bapa mertua dan menantu, dan di antara abang dan adik, adik dan kakak, atau pun ibu dan anak, datuk dengan cucu dan sebagainya. Secara wajarnya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Semua anggota masyarakat telah maklum bahawa ia adalah satu perbuatan yang haram dan amat dilarang oleh ajaran Islam. Namun, apa yang lebih mengerikan ialah, ia banyak berlaku dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Tiada niat untuk menghukum atau memperlekeh sesiapa.

Namun inilah kekeliruan yang wujud sekarang ini. Lebih-lebih lagi, apabila masyarakat kita ini terkenal dengan sifat sopan santun dan pemalunya yang amat tinggi. Namun perkara ini perlu dirungkai dan diselesaikan bagi menyelamatkan generasi muda dan masyarakat sekarang agar tidak terus hanyut dalam trauma dan kekeliruan yang ada ini. Masyarakat perlu tahu bahawa sumbang mahram adalah satu kegiatan yang berkaitan dengan naluri seksualiti. Naluri seksualiti ini terhasil daripada dorongan naluri dan desakan nafsu yang sebenarnya adalah asas kepada kejadian dan kesinambungan fitrah manusia serta segala makhluk bernyawa yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi ini.

Namun, naluri ini telah tersimpang secara jauh daripada norma-norma yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Ia menyimpang jauh daripada landasan yang sewajarnya menurut agama, kerana ia tidak terdidik dan terbentuk seperti yang telah diatur dan diajarkan oleh agama Islam. Pendidikan seksual yang teratur sememangnya perlu dalam menangani kegiatan ini, kerana ia akan meningkatkan lagi kesedaran berkaitan fenomena dan tragedi serta trauma akibat daripada sumbang mahram. Namun pendidikan dan pendedahannya tidak perlu terasing daripada ajaran keagamaan dan keimanan. Ia perlu didedahkan secara seiring agar dapat mewujudkan kestabilan dan keharmonian di antara pelbagai pendekatan yang diajukan. 



Bangsa Melayu itu sendiri juga terkenal dengan cara ia menyelesaikan sesuatu masalah itu secara sopan dan santun yang tinggi, tanpa mengabaikan pendekatan dan ajaran agama. Ini terbukti apabila diperhalusi, kita meletakkan nama bagi alat kelamin sebagai kemaluan. Asalnya malu. Alat tersebut memiliki status maruah dan rasa malu yang amat tinggi. Maksudnya, ia adalah sebagai sesuatu yang perlu dijaga secara baik dan sempurna sehingga akan terasa malu yang teramat sangat jika didedahkan kepada khalayak ramai. Amat memalukan jika ia terpampang. Malah, malu itu juga terhasil daripada ajaran agama Islam.

Rasa malu yang tinggi adalah gambaran kepada keimanan yang tinggi juga. Ini merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa malu itu adalah sebahagian daripada iman. Bahkan, diri kita sebagai sebuah bangsa yang pemalu, adalah bangsa yang kuat keimanan. Seterusnya, pendidikan dan kesedaran ini tidaklah perlu bermusim, diperkenalkan atau ditawarkan hanya pada waktu-waktu tertentu. Prinsipnya mudah. Ini kerana desakan dan naluri seksual individu manusia juga bukannya bermusim, atau muncul dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja, terutamanya dalam kalangan kaum lelaki.

Pendidikan berterusan ini membantu manusia agar tidak lalai dan alpa dalam perkara ini. Manusia amat memerlukan bantuan dalam mendidik dan mendorongnya ke arah perlakuan seksualiti yang sihat dan produktif, bukannya yang membinasakan generasi sendiri. Itulah matlamat utama biologi seksualiti manusia. Oleh yang demikian, tidak akan wujud fahaman bahawa perlu wujud kes sumbang mahram dahulu, barulah kesedaran seksual manusia berkaitan sumbang mahram akan muncul, terbentuk dan terpupuk serta bercambah. Ia seumpama sudah terhantuk baru terngadah, dan sebagai manusia, kita pun semakin terus keliru. Inilah yang perlu dielakkan dan diselesaikan dahulu.

Ahad, 11 November 2018

MELAWAN GODAAN NAFSU


Dunia ini medan bagi segala amalan sama ada kebaikan atau keburukan di mana akan berlaku pertembungan mereka yang bersama Allah dan mereka yang cenderung kepada hawa nafsu. Setiap manusia diciptakan oleh Allah mempunyai nafsu. Nafsu yang ada pada manusia adalah ujian Allah. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia berjalan mengatasi sebahagian besar daripada ujian Allah yang cukup berat. Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka nafsu akan menjadi jahat dan liar. Maka, akan lahirlah mereka yang mempunyai kepandaian, tetapi digunakan ke jalan yang salah. Ini amat bahaya kepada kehidupan manusia kerana masyarakat akan terdedah kepada kehancuran.
Justeru, nafsu perlu dikenali tahapnya agar mudah diperangi kerana nafsu secara fitrahnya akan membayangi kejahatan melainkan mereka yang mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah SWT." (Surah Yusuf, ayat 53). 

Nafsu amarah tidak dapat dikawal dengan sempurna oleh hati, jika sekiranya hati tidak dapat dibantu oleh ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal. Jika gagal, maka hati akan binasa. Akibatnya, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperikemanusiaan, bertindak sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.
Oleh itu, perjuangan menentang hawa nafsu dianggap suatu pengorbanan yang amat dihormati dan menjurus kepada jalan yang sebenar. Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya :
"Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69).
Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, akan ditingkatkan darjatnya kepada kedudukan yang lebih baik dan Allah akan memberi petunjuk kepada segala perkara kebaikan. Maka, nafsu perlu dididik dan diasuh mengikut telunjuk iman kerana nafsu adalah musuh utama kepada manusia sebelum datangnya musuh kedua iaitu syaitan. Nafsu adalah musuh dalaman sedangkan syaitan musuh luaran. Apabila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat kepada perintah Allah maka baharu syaitan akan dapat dikalahkan.

Sejarah nafsu bermula sejak zaman Nabi Adam di mana nafsu mempengaruhi anaknya, Qabil untuk membunuh saudaranya, Habil hasil daripada hawa nafsu dari dalam jiwa manusia. Demikian Allah SWT membuat sesuatu ketetapan dalam kehidupan manusia berdasarkan ilmu dan hikmah daripada-Nya agar dapat diklasifikasikan antara mereka yang terbaik antara hambanya. Pelajaran ini adalah gambaran kepada kehidupan manusia pada masa hadapan di mana perlakuan ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Lalu, Allah SWT mengembangkan pelajaran melalui seekor burung yang lemah sebagai jawapan kepada pengurusan sesuatu jasad yang sudah kembali.
Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat akhir zaman yang sentiasa ke hadapan dalam mencorakkan kehidupan berpaksikan ketaatan kepada Allah SWT. Hubungan sebenar antara mereka dan Pencipta adalah ketaatan yang tidak berbelah-bahagi di samping ganjaran baik yang dijanjikan Allah SWT. Firman Allah SWT: 
"Mereka hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada orang terdahulu (azab). Maka kamu tidak akan mendapati apa-apa perubahan selain dari ketentuan Allah SWT." (Surah Fatir, ayat 43).
Sebenarnya dunia sudah hampir sampai ke penghujungnya. Berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan yang berleluasa adalah tanda jelas akan kedudukan usia di dunia ini. Oleh itu, bersegeralah dalam melakukan kebaikan di samping berhati-hati dengan dosa dan kemaksiatan. Ingat bahawa hari yang kita lalui semakin sukar kerana hampirnya kita dengan kiamat.
Sabda Rasul SAW bermaksud: "Tiada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mereka menyeru umatnya ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya umat ini menerima kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah dan kerosakan di penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang yang beriman: "Inilah detik kemusnahan. Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan yang menuju kepada Allah dan hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim).

Maka, berbahagialah buat mereka yang mati di atas landasan tauhid yang sebenar. Dari sinilah kita melihat bahawa maksud fitnah ialah sesuatu perkara yang berlaku dan memudaratkan agama atau suatu nikmat dunia secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya. Segala kenikmatan dunia yang dikecapi manusia juga dikategorikan sebagai fitnah bagi melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat berkenaan. Firman Allah SWT:
"Kami akan menguji kamu dengan kebaikan dan keburukan sebagai cubaan. Kepadanya juga kamu dikembalikan." (Surah Al-Anbiya', ayat 35). 
Begitu juga ujian kepada harta dan anak pinak yang berkait rapat dengan godaan nafsu. Untuk menjamin keselamatan, kita hendaklah memastikan jalan yang kita pilih agar mendapat ganjaran yang dijanjikan itu. Fitnah dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu fitnah umum dan fitnah khusus. Fitnah umum ialah bencana yang menimpa semua masyarakat tanpa mengira kedudukan mereka dan fitnah khusus ialah bencana yang menimpa seseorang individu sama ada terhadap dirinya, agama, harta benda atau keluarganya. 
Kita juga akan melihat pertarungan yang sengit dalam menghadapi pelbagai ujian yang terkadang akan menguji kesabaran dan emosi sehingga kita berasakan bahawa kitalah orang yang paling malang di dunia ini sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Kita lupa bahawa Allah SWT menyediakan pelbagai bentuk bonus ganjaran kepada mereka yang diuji. Bagi mereka yang menghadapi ujian getir dan menghadapinya dengan ketabahan serta bersabar di samping terus berusaha, iman mereka akan bertambah dan mendapat ganjaran orang yang bersabar. Mereka yang bersyukur dengan nikmat dikurniakan, akan mendapat ganjaran orang yang bersyukur.

Sabda Rasul SAW: "Alangkah hebatnya seorang Muslim di mana apabila ditimpa musibah mereka sabar dan apabila dikurniakan nikmat mereka bersyukur. Itulah yang terbaik bagi mereka." (Riwayat Muslim).
Ketahui segala kelemahan kita dalam menghadapi ujian dari Allah SWT akan dapat ditampung jika sekiranya kita penuhi kehidupan kita dengan amalan solat dan terus melakukan kebajikan pada setiap masa.
Antara amalan penting dalam masyarakat ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana ia akan menyelamatkan umat daripada bencana umum yang akan diturunkan kepada semua seperti firman Allah SWT: 
"Takutlah kamu akan seksaan yang akan diturunkan kepada semua dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang lain." (Surah Anfal, ayat 25).
Dengan melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh dapat menjinakkan hawa nafsu yang sentiasa rakus dalam merencanakan kehidupan dunia. Ini antara tugas manusia yang dianugerahkan sebagai khalifah di muka bumi bagi mengimbangi hawa nafsu yang cenderung kepada kejahatan.

Sabtu, 10 November 2018

HAPUSKAN SIKAP ANGKUH POLITIK


Setiap ahli politik sepatutnya memahami bahawa kemenangan dan kekalahan dalam politik adalah ditentukan oleh rakyat. Kedudukan mereka sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek adalah bergantung kepada sikap dan kecekapan mereka memerintah negara. Apabila mereka diberi mandat untuk menerajui negara maka kebolehan dan kecekapan mereka dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran akan dinilai rakyat. Janji-janji ditaburkan semasa pilihan raya dahulu perlu direalisasikan dengan pelbagai kegiatan yang boleh meyakinkan rakyat, walaupun ia sukar dilaksanakan ketika negara berhadapan krisis kewangan.

Sikap keangkuhan dan terlalu berbangga dengan kemenangan perlu dikikis dalam sanubari setiap ahli politik yang diberi jawatan sebagai pemimpin masyarakat dan kerajaan. Muhasabah diri amat perlu supaya sikap angkuh dan bongkak tidak wujud dalam pemikiran dan jiwa setiap pemimpin. Sikap menghormati orang lebih tua dan berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran dan kemasyarakatan perlu dijadikan sebagai tabiat atau tatasusila keperibadian para pemimpin politik Islam.



Keangkuhan para pemimpin politik Islam sama ada dalam kalangan parti memerintah atau pembangkang semakin hari kian dipertonjolkan kepada masyarakat. Sikap cabar mencabar sesama sendiri jelas menunjukkan kualiti dan kematangan pemimpin politik umat Islam adalah tidak menepati konsep kepimpinan dalam Islam. Intisari dan isu-isu dibangkitkan dalam pergeseran sesama mereka lebih menjurus kepada kemusnahan umat Islam dan penghakisan kewibawaan Islam.

Setiap ahli politik umat Islam usah mendabik dada mempertonjolkan diri bahawa kewibawaan dan kehebatan mereka seolah-olah mempunyai persamaan dengan jaguh pemimpin Islam masa silam. Kelemahan yang terdapat pada diri umat Islam masa kini dalam hal ehwal politik dan pentadbiran hanya dapat dipertingkatkan melalui kerjasama sesama umat Islam walaupun berbeza parti politik. Sebagai pemimpin muda yang mendapat amanah dari rakyat untuk menerajui negara maka sikap dan tingkah laku dalam arena berpolitik sepatutnya bertepatan dengan harapan rakyat.

Rakyat memilih parti politik tertentu untuk menerajui negara adalah untuk mengembalikan kekuatan umat Islam. Sikap terlalu takut kehilangan jawatan sehingga membelakangi kepentingan umat Islam dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara perlu dielakkan. Konsep kepimpinan Islam ialah melantik orang yang layak dan berpengalaman menerajui negara walaupun mereka itu bukan dari parti politik yang sama. Dalam keadaan kemelut politik umat Islam masa kini maka gabungan antara ahli politik berwibawa tanpa mengira parti politik amat diperlukan bagi menstabilkan hak dan kewibawaan umat Islam masa kini. Oleh itu bersatulah umat Islam tanpa mengira perbezaan parti politik.

Sabtu, 3 November 2018

UJIAN MENINGKATKAN DARJAT MANUSIA


Dalam Al Quran, Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2)
Antara tanda kekuasaan Allah SWT dan kehebatan pentadbiran-Nya jelas kelihatan pada mati dan hidup. Sunnah al-mawt wal hayat dipamerkan kepada manusia bersama matlamat yang diciptakan kerananya iaitu menguji siapakah manusia yang paling baik amalannya. Ayat itu menyatakan, hidup di dunia selalu berhadapan dengan kesusahan dan ujian. Manusia tidak seharusnya hilang pedoman dalam hidup bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain.
Orang baik diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan mati itu juga adalah ujian daripada Allah SWT. Hidup di dunia tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi. 

Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh. Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, mengharapkan Allah SWT melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal. Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah SWT. Segala keputusan Allah SWT adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah an-Nisa', ayat 19)
Mengingatkan hakikat inilah Nabi SAW mengajar satu doa, "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon berlindung pada-Mu daripada hilangnya nikmat pemberian-Mu, berpalingnya afiat daripada-Mu dan kejutan kemurkaan-Mu dan berhimpun kemarahan-Mu." (Riwayat Muslim)
Syeikh Al-Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba-Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunatullah yang tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan kekuasaan. Setiap Mukmin hendaklah optimis dengan bala dan ujian yang menimpa, jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk melihat reaksinya terhadap ujian. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali-Imran, ayat 26)

Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa sesuatu yang tidak disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya. Peringatan kepada manusia, segala yang dimiliki sama ada harta, kuasa atau cinta, ia hanyalah sementara. Allah SWT berhak mengekalkannya atau ditarik bila-bila masa. Oleh itu, sentiasa bersedia dengan hakikat kehidupan ketika mendapat nikmat atau sedang diuji oleh Allah SWT.
Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran dengan menetapkan dalam minda bahawa setiap ujian adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Di samping meyakini bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya hikmah. Apabila masa terlalu lama dan usaha menjadi sukar, kesabaran manusia menjadi lemah. Oleh itu, di dalam banyak ayat Allah SWT menggandingkan kesabaran dengan ibadat solat kerana solat adalah sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.
Ia sumber yang memulih tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati. Kerana itu ia dapat memanjangkan hayat kesabaran dan menjadikannya tidak putus, kemudian menambahkan kepada kesabaran itu keredaan, ketenangan dan keyakinan. Sudah menjadi ketentuan Allah SWT, setiap usaha besar tidak akan berhasil kecuali dengan keteguhan hati dan kesungguhan. Kunci semua itu adalah sifat sabar dan sesiapa yang bersabar, maka pasti telah mengikut ketentuan Allah SWT.

Ahad, 28 Oktober 2018

PENDOSA INGIN KE SYURGA


Manusia diberikan masa yang panjang untuk dengan bertaubat. Tiada yang paling manis bagi manusia dalam hidup ini selain mendapat rahmat Allah SWT. Setiap hari adalah waktu untuk bermuhasabah supaya dapat memperbaiki diri menjadi mukmin yang soleh, diredai Allah SWT. Andainya hari kita tidak ceria, barangkali kita banyak berbuat dosa. Andainya hari kita penuh kekurangan, mungkin kita kurang memberi. Andai hari kita penuh kemarahan, itu tanda kita kurang memberi kemaafan. Andainya hari kita tiada ketenangan, barangkali kerana kurang berzikir dan mengingati Allah SWT. Andai hari kita penuh kebimbangan, kerana kita kurang berdoa kepada-Nya.
Justeru, hendaklah banyak beramal, taat kepada Allah SWT, berbuat baik sesama manusia dan selalu menghisab kekurangan diri kerana dengan cara itu kita akan mendapat ketenangan, keceriaan serta kebahagiaan di dunia ini. Syurga Allah SWT ada pelbagai tingkat dan apabila seseorang masuk ke dalamnya, dia merasakan syurga tempat paling tinggi nikmatnya. Apabila ahli syurga pergi ke syurga paling tinggi maka saat itu lahirlah penyesalan kerana tidak memperbanyakkan amalan ketaatan kepada Allah SWT. 

Bagaimanapun, bagi orang yang berdosa, lalai, derhaka dan tidak taat perintah-Nya, Allah SWT yang penuh kasih sayang masih mengurniakan usia panjang buat hambanya supaya dimanfaatkan untuk bertaubat. Sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa memberi rahmat kepada setiap hamba. Malah, seorang mukmin yang masuk ke syurga bukan kerana amalan yang sempurna tetapi rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya. Sebagai hamba yang sangat fakir dan sentiasa berhutang dengan Allah SWT, jangan sesekali mengurangi amalan supaya kelak kita dapat menghuni syurga Allah SWT di tingkat paling tinggi.
Setiap hamba pasti mendambakan untuk menghuni syurga Allah SWT. Apa yang pasti, syurga Allah SWT bukan murah, nilainya cukup tinggi dan mahal. Seorang mukmin yang mahu menghuni syurga Allah SWT perlu memenuhi keperluan dari sudut amalan, keikhlasan, akhlak dan ketaatan terhadap perintah-Nya. Setiap perbuatan di dunia dirakam oleh malaikat, oleh itu, jangan sesekali memandang remeh dosa dan perbuatan yang boleh memberi pahala. Jangan sesekali memandang remeh kederhakaan dan memandang ringan ketaatan.
Setiap kebaikan dan kejahatan semuanya akan dicatat dan dihitung di hari akhirat kelak. Ada seorang lelaki dikurniakan syurga oleh Allah SWT hanya kerana membuang duri di tepi jalan. Sikap itu hanya kebaikan yang kecil tetapi dipandang tinggi Allah SWT. Amalan yang dicatat malaikat akan dipertontonkan dan dihisab oleh Allah SWT. Jangan nanti di akhirat kita menyesal terhadap sekecil-kecil dosa. Hendaklah sentiasa beringat dalam setiap tindakan kerana kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap semua yang dilakukan.

Isnin, 1 Oktober 2018

PATUHILAH PERATURAN


Pernahkah anda mengunjungi tempat awam yang sudah terpampang papan tanda larangan merokok tetapi, ada sahaja orang yang tanpa segan silu merokok di situ? Pernahkah anda melihat pemandu sambil lewa melanggar lampu isyarat atau memandu di lorong kecemasan? Biasakah kita melihat orang membuang sampah merata-rata termasuklah membuang sampah keluar daripada kenderaan mereka?. Semua ini adalah contoh pelanggaran peraturan yang biasa berlaku. Keadaan sebegini boleh dilihat di mana-mana. Mereka yang melakukannya pula bukan sahaja tidak menunjukkan rasa bersalah, tetapi turut tiada rasa malu terhadap perilaku tidak sopan tersebut. Ini menimbulkan persoalan sama ada melanggar peraturan itu satu perkara mudah atau adakah perbuatan itu menimbulkan rasa seronok?

Hakikatnya, kehidupan manusia penuh dengan peraturan. Keadaan ini telah membentuk sikap manusia yang berbeza-beza terhadap peraturan. Ada yang tekun mematuhi peraturan pada setiap masa. Orang sebegini kadangkala dipandang sinis dan dianggap sebagai "lurus bendul." Anggapan sebegini sebenarnya bukanlah anggapan positif tetapi lebih kepada anggapan berbentuk ejekan. Ada pula yang bersikap acuh tak acuh atau sambil lewa terhadap peraturan. Insan sebegini mematuhi peraturan "mengikut mood" atau dengan kata lain, mematuhi peraturan bila perlu sahaja. Misalnya, jika ada polis, barulah dia mengikut peraturan. Jika tidak, semua peraturan akan dilanggar. 



Tidak ketinggalan juga mereka yang "ketegar" terhadap peraturan. Bagi orang sebegini, peraturan tidak relevan atau tidak sesuai mengikut prinsip hidupnya. Oleh itu, asal sahaja ada peraturan, akan dilanggarnya. Bagi individu ini, melanggar peraturan adalah satu kemegahan. Secara umumnya, ada peraturan yang bertulis dan ada juga yang tidak bertulis. Peraturan bertulis merujuk kepada peraturan-peraturan yang disepakati ahli masyarakat dan jika tidak dipatuhi, hukuman tertentu akan dikenakan. Contoh peraturan bertulis adalah berkaitan lalu lintas, peraturan kerja di pejabat, undang-undang dalam negara, hukum-hukum agama dan sebagainya.

Peraturan tidak bertulis pula lebih umum sifatnya. Peraturan jenis ini berkait rapat dengan adat tradisi atau budaya masyarakat setempat. Bagi peraturan jenis ini, jika berlaku ketidakpatuhan, hukumannya lebih berbentuk hukuman sosial. Peraturan tidak bertulis ini amat berkaitan dengan hal-hal adab seperti adab dalam hubungan kemasyarakatan seperti hubungan kejiranan, suami-isteri, pelajar-guru ataupun adab tingkahlaku seperti adab makan, adab menimba ilmu dan sebagainya. Apakah pula tujuan peraturan? Matlamat peraturan ada kaitannya dengan konsep maslahah. Amnya, maslahah membawa maksud "mencari manfaat dan menolak kerosakan atau kebinasaan." Dalam pandangan hidup Islam, maslahah membawa makna yang lebih besar iaitu "mencari manfaat dan menolak kerosakan seperti yang ditentukan oleh Yang Maha Kuasa."



Ini bermakna kebaikan yang dicari dan keburukan yang cuba dielakkan hendaklah selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT. Konsep maslahah memberi keutamaan kepada masyarakat dengan kata lain, keutamaan diberikan kepada masyarakat dan bukannya individu. Oleh itu, mematuhi peraturan bertujuan membawa manfaat dan mengelakkan kebinasaan. Sebagai contoh, orang yang tidak merokok akan memberi manfaat kesihatan kepada dirinya dan dapat pula menghindarikan diri daripada keburukan iaitu penyakit. Bukan sahaja kepada diri sendiri, kesihatan orang lain (ahli masyarakat) dapat dipelihara. Malah, udara turut terjamin kebersihannya.

Ini bermakna peraturan mempunyai matlamat yang murni. Malah sebenarnya manusia amat memerlukan peraturan. Al-Quran sendiri menunjukkan pelbagai bentuk peraturan (hukum) yang perlu dipatuhi oleh manusia misalnya berkaitan minum arak, zina, berhutang, solat dan sebagainya. Peraturan atau hukum ini dibentuk oleh Allah SWT bukan dengan matlamat yang sia-sia. Paling utama adalah untuk menyusun masyarakat agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan hidup dalam keharmonian.

Dengan itu, ungkapan bahawa "pe­raturan dicipta untuk dilanggar" adalah tidak tepat sama sekali. Ungkapan ini amat sering disebut dan kadangkala dinyatakan dengan penuh bangga. Jika merujuk kepada segala peraturan yang dicipta Allah SWT itu, adakah ini bermakna Allah SWT mencipta segala peraturan tersebut semata-mata untuk manusia mengingkari atau melanggarnya? Segala peraturan itu dicipta Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui bahawa manusia memerlukan peraturan tersebut. Tanpa peraturan, kehidupan manusia samalah dengan kehidupan di alam haiwan. Jadi, adakah kita mahu merendahkan diri sehingga ke tahap itu? 



Oleh itu, peraturan sepatutnya dihormati dan tidak diingkari. Setiap seorang daripada kita mempunyai tanggungjawab terhadap peraturan itu. Malah, mematuhi peraturan memerlukan pengorbanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu berkorban untuk tidak melakukan sesuatu yang mungkin amat kita se­nangi, demi kebaikan diri mahupun orang lain. Sesuatu peraturan yang diwujudkan perlu dipantau dan dikuatkuasakan. Oleh itu, penguat kuasa amat diperlukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Walau bagaimanapun, tugas penguat kuasa boleh diminimumkan jika ahli masyarakat dengan sendirinya mempunyai kekuatan dalaman atau kekuatan diri untuk mematuhi peraturan. Kekuatan dalaman inilah yang nampaknya tidak melata dalam masyarakat sehinggakan segala peraturan yang ada dilanggar tanpa rasa gundah. Dalam hal ini, pendidikan, latihan diri, contoh teladan dan kata nasihat diperlukan untuk membentuk kekuatan dalaman atau kekuatan diri agar kita menjadi insan yang hormat dan patuh kepada peraturan.

Rabu, 5 September 2018

MENGINSAFI MODAL MASA YANG DIBERI


Pejam celik, pejam celik sudah hampir di hujung tahun 1439 hijrah, terasa masih baru sahaja kita menginjakkan kaki di tahun 1439 hijrah ini. Begitu pantas masa berlalu sehingga kita merasakan bahawa minggu berlalu itu bagaikan sehari lalu. Sebenarnya inilah antara tanda-tanda akhir zaman sepertimana mafhum hadith Baginda SAW:

“Tidak akan berlaku Kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seminggu, seminggu dirasakan bagai sehari dan sehari bagaikan sejam manakala sejam pula bagaikan kerlipan api yang bertiup” (HR Tirmidhi). 

Inilah hakikat perasaan yang rata-rata di kalangan kita dapat merasakannya. Bagi segelintir atau mungkin sebahagian besar daripada kita azam tahun 1438 hijrah pun masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi masa telah pun berlalu pantas dan memaksa kita memulakan dengan azam baru untuk tahun baru. Lalu kita menyalahkan masa kerana berlalu pantas sedangkan yang salah bukannya masa tetapi kelalaian dan kealpaan diri kita sendiri. Imam al-Shafi’e menukilkan dalam Diwannya: “Kita menyalahkan masa, walhal salahnya itu bukan pada masa, sedangkan kita yang bersalah, bukan yang selainnya”.



Masa dikatakan lebih berharga daripada emas. Pepatah ini kurang tepat kerana bagi seseorang yang kehilangan emas, dia mungkin boleh mendapatkannya kembali melalui usaha yang gigih, namun masa jika ia berlalu ia pasti tidak akan kembali lagi seperti mana tahun 1438 hijrah yang telah meninggalkan kita ia tidak akan kembali lagi buat selamanya. Sebab itulah juga Imam al-Ghazali dikatakan memberi teka teki kepada anak muridnya apakah perkara yang paling jauh sekali? Maka anak muridnya memberikan pelbagai jawapan namun beliau memberi jawapan yang betul ialah “masa lampau”. Masa silam itulah yang paling jauh sekali yang mustahil dapat dicapai sedangkan segala perkara, tempat yang jauh-jauh masih memungkin kita mencapainya. Namun manusia tidak begitu menghargai masa. Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang mafhumnya:

“Dua nikmat yang ramai di kalangan manusia yang tidak menghargainya iaitu kesihatan dan masa lapangnya”. (HR. Bukhari, Tirmidhi dan Ibn Majah).

Orang yang sihat hanya akan menghargai kesihatannya apabila beliau sakit atau terlantar di hospital lalu mula mengenangkan masa ketika beliau sihat. Begitu juga orang yang sibuk juga membayangkan alangkah indahnya jika dia mempunyai banyak masa lapang seperti anak-anak kecil. 

Dunia ini diibaratkan sebagai “ladang akhirat”.  Kita sebenarnya bercucuk tanam di atas mukabumi ini akan mengutip hasil tanaman kita di Hari Akhirat kelak. Kehidupan duniawi ini seolah seperti suatu perniagaan di mana laba atau keuntungannya akan kita peroleh di Hari Akhirat kelak. Namun, kita tidak begitu sensitif terhadap “modal masa” ini berbanding jika modal tersebut berupa “wang ringgit”. Pembaziran masa berlaku sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan kosong, masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain untuk “menghabiskan masa”. Masa sepatutnya bukan “dihabiskan” tetapi digunakan untuk perkara-perkara bermanfaat kerana masa itu sebenarnya usia kita dan menghabiskan masa itu bermakna kita membazirkan usia kita sendiri. Lantaran itulah Imam Hasan al-Basri RA mengingatkan kepada kita semua dengan kata-katanya yang mahsyur: “Wahai anak Adam! Kamu adalah himpunan hari-hari, dan apabila berlalunya hari, maka berlaku sebahagian daripada dirimu”.

Tepat sekali! Seorang yang hidup 70 tahun sebenarnya adalah masanya yang amat bernilai dan akan lebih nampak kebernilaiaannya apabila apabila dipecahkan kepada bulan, minggu dan hari. Jika dihitung dalam ukuran jam pula, ianya sekitar 7 juta jam menyamai 70 tahun umurnya. Itulah hitungan jam yang ada padanya diberikan Allah sebagai modal untuk beliau menyiapkan diri bagi kehidupannya yang kekal di akhirat kelak. Terlalu banyak anjuran dan gesaan al-Qur’an dan Hadith Baginda SAW yang menyeru menjaga masa termasuklah penurunan Surah al-‘Asr. Nabi SAW sendiri juga ada berpesan:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (HR al-Hakim dan al-Bayhaqi). 



Jika pun mungkin sebahagian kita sudah tidak lagi memiliki kesemua lima-lima perkara yang disebutkan oleh Baginda SAW itu, yang pasti setiap kita masih lagi memiliki satu perkara yang teramat penting dan berharga iaitu “masa hidup sebelum mati”.

Justeru itu, dalam kehidupan di dunia ini, marilah sama-sama kita menginsafi bahawa modal yang kita miliki dalam perniagaan kita di atas mukabumi ini ialah masa yang kita miliki. Setiap saat berlalu, maka berlalulah modal kita samada ianya telah memberikan keuntungan kepada kita untuk hari akhirat kelak atau tidak ianya terpulanglah bagaimana cara kita menghabiskannya. Semoga dengan kedatangan tahun baru 1440 hijrah ini akan membawa kebaikan yang lebih baik dari sebelum ini.