Jumaat, 22 Mei 2020

PERTIKAIAN SYARIAT MENUTUP AURAT

Ideologi Islam Liberal telah berkembang pesat di bumi nusantara adalah hasil usaha pemikiran baharu yang dibawa dan dipromosikan oleh seorang tokoh Liberal Indonesia yang bernama Nurcholis Majid atau nama pena nya Cak Nur. Kesan pemikiran liberal ini telah membuka suatu medan pendebatan antara syariat dan hak asasi manusia. Beliau pernah melontarkan pandangannya dalam satu seminar yang diadakan di Indonesia bertemakan “Tajdid” atau pembaharuan pemikiran Islam.

Dalam pembentangan tersebut, beliau telah banyak menekankan tentang soal pentingnya para ulama memahami Islam dalam suatu rangka metodologi baru. Beliau berpandangan bahawa banyak perkara yang dikatakan qatie (muktamad) pada suatu ketika dahulu amat perlu di nilai dan di semak semula sesuai dengan perkembangan akal manusia.



Antara yang di utarakan oleh beliau ialah tentang persoalan syariat menutup aurat bagi kaum wanita. Beliau mempersoalkan tentang kebenaran hukum menutup aurat datangnya dari Al Quran atau ianya datang dari ijtihad oleh para ulama. Dalam beberapa penulisan tokoh liberal Indonesia ini, beliau telah berpandangan bahawa aurat wanita dari seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan adalah ketika di dalam solat semata-mata. Apabila mereka (wanita) keuar daripada solat, maka rambut itu tidak lagi dianggap aurat.

Lebih mengejutkan lagi, beliau mendakwa perkataan jilbab yang terkandung di dalam Al quran itu tidaklah merujuk kepada makna tudung sebaliknya merujuk kepada makna baju panjang (jubah) dan jilbab itu hanyalah sebagai simbol yang tidak ada kaitannya dengan syariat. Lontaran pandangan beliau ini seolah-olah memberi suatu gambaran kepentingan para ulama menilai semula syariat memakai tudung sebagai maksud kepada menutup aurat bagi wanita. Pandangan berbentuk fatwa beliau ini amatlah songsang lagi menyesatkan.

Apabila kita membincangkan berkaitan jilbab, ini bermakna kita sedang membincangkan sesuatu yang mempunyai nilai fundamental dalam Islam. Hal ini kerana ia berkaitan dengan aurat wanita yang ketentuannya telah disebut oleh Al quran dan hadis Nabi SAW. Ia suatu ketetapan yang bersifat qatie (muktamad). Kedudukan perintah menutup aurat  dalam Islam sama wajibnya seperti perintah melaksanakan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan sebagainya. Mengingkarinya akan menatijahkan seseorang itu tergelincir daripada akidah Islam dan membawa kepada kekufuran.



Ketentuan hukum Allah berkenaan pakaian wanita telah dijelaskan oleh Al quran secara khusus dalam surah An Nur dan surah Al Ahzab. Selain itu, terdapat juga keterangan serta perincian dalam hadis yang cukup jelas sehingga tidak memungkinkan orang untuk berbeza pendapat lagi. Untuk memahami isu menutup aurat bagi wanita ini, terlebih dahulu kita harus ketahui bahawa seluruh ulama telah sepakat seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Menjadi perselisihan dikalangan ulama adalah berkenaan bahagian muka dan tapak tangan. Dalam mazhab Hanbali, seluruh tubuh wanita adalah aurat tanpa terkecuali. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpandangan muka dan tapak tangan wanita tidak termasuk aurat.

Dalam firman Nya, dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

“Wahai Nabi, perintahkanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”

Berdasarkan ayat tersebut dapatlah kita fahami bahawa kewajipan memakai tudung bukan hanya kepada isteri-isteri Nabi dan anak-anak perempuannya, bahkan ditujukan khas kepada seluruh wanita muslimah seperti yang dinyatakan secara tegas dalam Al quran. Perkataan jilbab adalah dari bahasa arab. Untuk mengetahui dan memahami makna tersebut, kita perlu lah merujuk kepada bahasa asal perkataan tersebut iaitu bahasa arab. Dalam kamu Arab, jilbab membawa maksud pakaian yang menutupi seluruh tubuh. Kamus Lisanul Arab menyatakan bahawa jilbab ialah pakaian yang lebih luas dari khumur (tudung untuk menutup kepada dan dadanya wanita).

Dalam kitab Tafsir Jalalain, dinyatakan bahawa jilbab ialah pakaian yang menyelimuti seluruh tubuh badan wanita. Secara khususnya sememangnya Al quran memerintahkan wanita muslimah untuk menutup kepala, dada dan leher selari dengan firman Nya dalam surah An Nur ayat 31 yang bermaksud :

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (terpaksa) nampak. Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka…”

 


Berdasarkan ayat Al quran dan hadis serta penjelasan oleh para ulama, dapat difahami bahawa persoalan berkenaan aurat wanita tidak perlu dipersoalkan lagi. Dalil dan penjelasannya sudah selesai dan tidak ada yang kekaburan. Semuanya sudah terang lagi nyata akan perintah menutup aurat bagi kaum wanita. Mempertikaikan kembali persoalan ini hanyalah sebuah usaha yang sia-sia sahaja. Inilah kaedah metodologi golongan liberal yang mencuba menggugat syariat dan berlagak seperti hero perwira hak asasi manusia.

Selasa, 5 Mei 2020

MAKNA DISEBALIK SYAITAN DIBELENGGU


Memasuki bulan Ramadan, terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah kepada setiap hamba Nya yang beriman. Antara kelebihan dan keistimewaan yang seringkali kita ungkapkan ialah para syaitan akan dirantai atau dibelenggu. Pada realiti yang berlaku hari ini, kita menyaksikan masih terdapat sebahagian umat Islam yang berpuasa melakukan maksiat di dalam bulan Ramadan, malah berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadan, bahkan yang dirasuk itu terdiri daripada umat Islam yang berpuasa. Jika realiti ini berlaku, persoalan yang timbul ialah apakah maksud hadis Nabi SAW yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadan ? Nabi SAW bersabda :

“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini, untuk memahami makna perkataan “dirantai” dan “dibelenggu” ini, para ulama berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.



Syeikh ‘Atiyyah Soqr menyebut bahawa  beberapa ulama yang mensyarahkan hadis ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu itu ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.”
(HR al-Bukhari)

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu. Inilah yang dinyatakan di dalam hadis :

“Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil/melampau.”

Ada pula sebahagian para ulama yang berpendapat ianya membawa tanda para malaikat masuk ke dalam bulan Ramadan sebagai membesarkan dan memuliakannya bagi menghalang para syaitan menggoda orang-orang mukmin. Ia boleh juga membawa isyarat kepada banyaknya pengampunan dan balasan pahala yang diberikan di dalam bulan Ramadan menyebabkan syaitan menjadi seolah-olah dibelenggu.



Al-Imam al-Qurtubi pula menyebutkan dengan panjang lebarnya : 

“Maka jika dikatakan bagaimana kita boleh melihat beberapa kejahatan dan maksiat berlaku dalam bulan Ramadan secara banyak, jika dibelenggu para syaitan sepatutnya perkara itu tidak berlaku. Maka jawapannya ialah : “Sesungguhnya semua itu kurang berlaku pada orang-orang yang berpuasa dengan puasa yang memelihara syarat-syaratnya dan meraikan adab-adabnya, atau (yang dimaksudkan) dibelenggu sebahagian syaitan, iaitulah syaitan yang degil/melampau, (sebaliknya) bukan semua syaitan seperti yang terdapat di dalam sebahagian riwayat (hadith), atau maksudnya mengurangkan kejahatan dalam bulan Ramadan, dan ternyata berlakunya kejahatan dalam bulan Ramadan itu lebih kurang berbanding bulan yang lain, demikian juga tidak semestinya dibelenggu kesemua syaitan tidak berlakunya kejahatan dan maksiat, kerana ada juga sebab lain selain syaitan (yang membawa kepada kejahatan) seperti jiwa yang sememangnya jahat, dan kebiasaan yang jelek dan syaitan manusia.”

Dalam satu jawapan yang lain, menurut Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini beliau menjawab :

“Di dalam sebahagian riwayat hadis (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”

Demikian nukilan pandangan oleh para ulama dalam usaha konteks memahami makna perkataan dirantai dan dibelenggu sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan pandangan para ulama ini, maka dapatlah kita memahami bahawa kejahatan dan kemaksiatan boleh sahaja terjadi meskipun pada bulan Ramadan. Namun sebesar-besar maksiat yang dilakukan, besar lagi luas pintu rahmat Nya lebih-lebih di bulan Ramadan.

Ahad, 3 Mei 2020

RAMALAN SUATU KESYIRIKAN


Ramalan adalah suatu perkara yang terkandung persoalan yang ghaib, di mana ianya sangat terbatas untuk dicapai oleh akal fikiran yang waras. Meskipun begitu, ramalan boleh dijadikan sebagai panduan atau persediaan semata-mata. Misalnya seperti ramalan kaji cuaca dengan menggunakan akses teknologi canggih, kita sebagai manusia dapat membuat ramalan cuaca berdasarkan keterbatasan akal dan ilmu kita. Selebihnya ia terletak dan berbalik kepada kehendak Nya yakni Allah Azza Wa Jalla.

Dalam banyak ruang agama membenarkan kita membuat ramalan tanpa bercanggah dengan syariat, terdapat beberapa pengamalan ramalan berdasarkan angka tertentu, rahsia tarikh lahir dan seumpamanya. Ilmu ini sebahagiannya dikenali sebagai ilmu metafizik. Ilmu metafizik merupakan salah satu cabang dalam ilmu falsafah yang mengkaji tentang sifat, tabiat dan realiti kewujudan sesuatu benda.



Dalam sejarah ilmuan Islam, Al Kindi antara ilmuan yang membahaskan persoalan falsafah ini melalui beberapa penulisan kitabnya seperti Kitab fi Falsafat al-Ula dan Risalah fi al-Ibanah ‘an Sujud al-Jirm al-Aqsa wa Ta’atihi Lillah. Demikian juga Ibnu Rush antara yang turut membahaskan persoalan ini menerusi kitab Tafsir Ma’ Ba’d Tabi’at. Secara khususnya ilmu metafizik tidaklah hanya membahaskan tentang nombor dan huruf bagi tujuan ramalan sebagaimana kefahaman segelintir masyarakat kita hari ini. Ia satu ilmu yang sangat luas mencakupi perbahasan ghaibiyyat dan alam tabi’e dan bukan semata-mata berkaitan ramalan masa depan. Ilmu penggunaan nombor dan huruf bagi tujuan ramalan lebih dikenali sebagai numerologi.

Dalam hal ini, meramal dengan beriktikad kepada keajaiban angka, warna atau apa-apa bentuk tertentu adalah dibimbangi termasuk dalam amaran baginda Nabi SAW dalam soal hukum menilik yang dilarang. Dalam sebuah hadis yang sahih, riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”

Dalam hadis yang lain, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang kepada bomoh, lalu bertanya kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”

Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang ia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.”.


Meramal masa depan dengan kepercayaan perkara tertentu adalah termasuk dalam soal perkara ghaibiyyat (tidak diketahui) yakni perkara yang tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahuinya selain Allah Azza Wa Jalla. Hal ini disebutkan oleh Allah melalui firman Nya dalam Surah Al A’raf ayat 188 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Berdasarkan dalil yang disebutkan tadi, maka dapatlah kita fahami bahawa perbuatan meramal atau menilik dengan kepercayaan angka, warna, tarikh lahir atau apa pun unsurnya adalah dilarang dan berdosa sekiranya melakukannya apatah lagi mempercayai dan menyakini perkara tersebut. Dalam islam, tidak ada nombor-nombor tertentu yang memberi aura berbeza atau rahsia disebalik tarikh tertentu sebagaimana yang dinyatakan oleh segelintir masyarakat kita dalam program-program motivasi diri. Hindarilah kita dari melakukan perkara yang boleh mengggugat akidah kita.

Sabtu, 2 Mei 2020

RUH PULANG KE RUMAH ?


Apabila tibanya Ramadan, maka bertebaranlah mesej dan dakwaan bahawa ruh orang mati akan pulang menziarahi ahli keluarga di rumah. Tidak kurang juga ada yang mendakwa ruh orang mati akan menziarahi ahli keluarga secara jauh dari atas langit. Persoalannya, benarkah ruh orang mati akan kembali ke dunia semata-mata untuk menziarahi keluarganya dan bagaimana sudut pandang Islam dalam hal ini.

Menurut pandangan Imam Al Ghazali, ruh merupakan suatu bentuk  jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.




Imam Ibnu al Qayyim dalam perbahasan kitab nya al Ruh, beliau membahagikan ruh itu kepada dua golongan iaitu ruh yang diazab dan ruh yang mendapat nikmat. Maka Imam Ibnu al Qayyim berpendapat ruh dikalangan mereka yang mendapat nikmat saling ziarah antara satu sama lain ketika di barzakh. Namun ruh yang diazab, tidak ada ruang dan peluang untuk mereka ziarah kerana sibuk diazab oleh Allah Azza Wa Jalla. Apa yang disebutkan oleh Imam Ibnu al Qayyim adalah ziarah dikalangan sesama ruh yang baik iaitu ruh yang mendapat nikmat dan bukannya ruh ziarah keluarga mereka di dunia.

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa ruh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah. Firman Allah SWT dalam Surah al Isra’ ayat 85 yang bermaksud :

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Bagi merungkaikan persoalan berkenaan kepulangan roh ke dunia untuk menziarahi ahli keluarga mereka, marilah kita merenung seketika firman Allah Azza Wa Jalla dalam Surah Al Zumar ayat 42 yang bermaksud :

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."




Dalam Kitab Tafsir al Tabari, disebutkan bahawa ayat di atas menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Bahkan menurut Sa’id bin Jubair Rahimahullah yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.

Dalam kitab al Ruh, Imam Ibn al Qayyim mengatakan bahawa terdapat dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satu pendapat tersebut ialah bahawa ruh orang yang ditahan adalah ruh orang yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan ruh orang yang dilepaskan adalah ruh orang yang tidur.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

“Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya.”


Menurut Syeikh Bin Baz. Mantan Mufti Arab Saudi, beliau menyatakan bahawa tidak terdapat dalil bahawa ruh-ruh orang mati bertemu dengan yang hidup dalam keadaan bukan bermimpi. Ada pun dalil ruh orang mati bertemu dengan hidup adalah melalui mimpi semata-mata. Tidak secara jasadi.




Berdasarkan beberapa nukilan pandangan tersebut, jelaslah bagi kita menunjukkan bahawa ruh tidak akan kembali selepas kematian. Ruh orang yang telah mati akan berada di alam yang lain yang disebutkan sebagai alam barzakh. Perkataan barzakh itu sediri pun membawa makna dinding yakni yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati.  Firman Allah yang bermaksud :

" Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan"

( Surah Al-Mu'minuun ayat 99-100).

Kesimpulannya ialah tiada dalil tentang ruh si mati akan menziarahi orang-orang hidup di bulan Ramadan dan ketahuilah kita bahawa perkara-perkara ghaib yakni yang tidak boleh dicapai oleh akal fikiran kita hendaklah dengan berpandukan dalil yang sahih. Adapun kita terlihat ruh orang mati benar-benar pulang ke rumah, ketahuilah sama ada ianya permainan emosi kita ataupun tipu daya syaitan dan iblis untuk menakut-nakutkan kita.

Jumaat, 10 April 2020

ANCAMAN FAHAMAN AGNOSTISISME


Melihat kecenderungan anak muda pada hari ini dengan cenderung kepada fahaman agnostisisme adalah suatu fenomena yang sangat kritikal dan kian membarah dalam jiwa anak muda hari ini. Hal ini boleh terjadi kerana kepesatan teknologi maklumat yang berasaskan internet dibantu dengan kecanggihan alat telekomunikasi yang sedia ada ini serta pelbagai laman media sosial bebas dan terbuka seperti facebook, instagram, wechat dan whatsapp, telah mendedahkan golongan anak muda Islam hari ini kepada pelbagai bentuk aliran pemikiran dan ideologi semasa.

Dalam situasi masyarakat dunia hari ini bercakap, berbincang dan berbahas tentang hak asasi manusia, sebahagian anak muda merasakan mereka perlu diberikan hak dalam segala perkara. Slogan hak asasi manusia yang kian hebat dipromosi seperti kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, kebebasan beragama dan pelbagai lagi telah menjalar masuk ke dalam jati diri anak muda hari ini. Semua ini menjadi idealisme perjuangan bagi  anak muda masa kini yang terpengaruh.



Dalam soal agama, mereka yang menganuti fahaman songsang ini memperjuangkan keinginan mereka akan  ruang yang seluas-luasnya diberikan supaya golongan ini boleh berbahas, mengkritik, menerima atau menolak apa sahaja isi kandungan agama. Bagi mereka, sekiranya ahli agama boleh menyatakan pendapat, mengapa tidak mereka juga boleh menyuarakan pendapat biarpun tanpa menguasai disiplin ilmu berkaitan bidang agama itu sendiri.

Agnostik adalah seseorang yang menganut fahaman agnostisisme. Mereka mengatakan bahawa kebenaran yang pasti tidak akan dapat diketahui. Tiada perkara yang bersifat tetap bahkan semuanya sentiasa berubah-rubah ibarat sungai yang berubah-ubah arah aliran mengikut keadaan masa. Mereka berpandangan tiada yang tetap di alam ini, dan ketidaktetapan itulah ketetapan. Berasaskan fahaman sebegini, maka golongan ini membincangkan pelbagai isu tentang ketuhanan, kenabian, agama-agama lain dan sebagainya.

Hasilnya, tiada konklusi kukuh yang dicapai kecuali mengatakan semua pandangan bersifat relatif. Mungkin benar dan mungkin salah. Tiada kebenaran mutlak pada mana-mana pihak. Akhirnya mereka berkesimpulan, ilmu mengenai hakikat sesuatu perkara itu mustahil untuk dicapai kerana tiada sesuatu pun yang bersifat tetap di alam ini. Golongan ini akan terus menerus berada dalam keraguan yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.

Pada hakikatnya, fahaman agnostisisme adalah termasuk salah satu fahaman yang telah dijawab dalam perbahasan ilmu kalam Islami. Ia adalah sekte yang wujud dalam faham sufasta’iyyah atau sophisme. Bahkan Imam al-Nasafi di dalam Kitab Syarh al Aqa’id al Nasafiiyah memasukkannya ke dalam perbahasan akidah. Beliau menyatakan hakikat segala sesuatu itu adalah tetap, dan pengetahuan tentangnya boleh dicapai, bersalahan dengan golongan sufasta’iyya.



Menurut al-Attas, kelompok ini berasal daripada sebuah gerakan falsafah pada zaman Yunani kuno oleh saintis palsu yang digelar sophist pimpinan Protagoras (480-410SM), Georgias (483-375SM), Hippias (460-399SM) dan Prodicus (465-395SM). Mereka ini kelompok yang menyesatkan dengan menyebarkan fahaman etika dan epistemologi relativisme.

Bagi mereka, hakikat kewujudan itu tidaklah penting dan tidak akan pernah diketahui. Agama menurut mereka hanyalah penipuan belaka. Ibadat ritual itu tiada gunanya serta validiti hukum itu hanya sesuai untuk waktu dan tempat tertentu sahaja. Mereka juga memasukkan benih-benih keraguan dalam ilmu dan kemungkinan untuk mendapatkannya serta menerapkan faham skeptisisme.

Sekiranya kita teliti akan hal ini, ciri-ciri fahaman yang telah digariskan oleh para ulama ini jelas terlihat pada kelompok neo-sophist masa. Sebagai contoh, dalam hal ketuhanan, tiada sesiapa yang boleh mendakwa hakikat ketuhanan yang sebenar. Masing-masing berhak mengemukakan interpretasi tuhan mengikut daya pemikiran sendiri. Oleh itu, tiada sesiapa boleh dipersalahkan dalam memahami konsep ketuhanan termasuk mereka yang sampai ke peringkat menolak kewujudan tuhan. Ini kerana hakikat ketuhanan itu memang sesuatu yang tidak boleh dicapai disebabkan kesemua pendapat mengenainya boleh diragukan (al-la adriyyah).

Framework semisal inilah yang digunakan dalam falsafah ilmu Barat moden dan diterima sepenuhnya oleh mereka. Maka yang perlu kita diperbetulkan di sini adalah ilmu itu tidaklah neutral atau bebas nilai, akan tetapi sarat dengan nilai. Oleh itu, ilmu yang lahir dari rahim Barat, tidak dinafikan sarat dengan nilai-nilai Barat. Namun, menolaknya secara mentah-mentah juga adalah suatu kebodohan. Kerana itu, ia boleh diterima tetapi disaring terlebih dahulu.



Berdasarkan hakikat ini, amat penting bagi setiap muslim untuk memahami epistemologi ilmu menurut Islam. Setiap peradaban memiliki faham tersendiri tentang ilmu, demikian juga Islam. Bagi Islam, epistemologi bukan sekadar teori tetapi ia adalah sebahagian daripada akidah. Ini sudah dibahas oleh para ulama pada masa dahulu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl ayat 78 yang bermaksud :

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”

Berdasarkan ayat ini, penglihatan adalah lambang kepada pancaindera dan pendengaran adalah lambang kepada perkhabaran yang benar, manakala hati adalah lambang kepada akal yang sihat. Menerusi tiga sumber inilah ia menjadi wasilah (jalan) kepada manusia untuk memperoleh hakikat ilmu.

Firman Allah Azza Wa Jalla lagi dalam surah al-A’raf ayat 179 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Melalui ayat firman Allah ini, jelas menunjukkan kepada kita kepincangan golongan yang mengatakan manusia tidak mampu mencapai hakikat kebenaran mutlak. Inilah fahaman sophisme atau sufasta’iyyah yang sangat ditolak oleh Islam. Ini yang sering dipelajari dalam ilmu-ilmu falsafah Barat yang keliru lagi mengelirukan.

Rabu, 18 Mac 2020

POLIGAMI : SYARIAT YANG TERFITNAH


Tajuk ini barangkali menjadi sangat sensitif khususnya kepada kaum wanita. Malah tajuk ini seringkali menjadi kelaziman peperangan berzaman antara kaum lelaki dan wanita. Persoalan tentang isu poligami menjadi sebuah polimik dari zaman ke zaman hingga ke saat dan ketika ini. Rata-rata dikalangan para asatizah juga agak sedikit yang berani tampil memperjelaskan isu ini. Barangkali banyak hati pihak yang akan terluka bila kita berbicara isu dan topik hangat ini. Zaman ke zaman, isu ini terus dipolimikkan, diperdebatkan malah akan dipandang serong jika kita mengamalkan syariat poligami ini.

Namun disebalik perkataan poligami ini, ramai masyarakat bahkan majoriti umat islam masih terkeliru dan tidak jelas akan pensyariatan poligami ini sehingga menjadi polimik perdebatan yang hebat. Kekeliruan ini bukan sahaja berlegar di ruang minda orang islam, bahkan dikalangan bukan muslim juga sudah tentu mendatangkan pelbagai persepsi dan pandangan yang tidak benar akan syariat poligami ini. Sekiranya kita bertanya secara rawak kepada kaum wanita, adakah mereka setuju dengan pensyariatan poligami ini, lazimnya mereka tidak bersetuju. Malah lebih dasyat lagi, beberapa gerakan penentangan poligami dilakukan khususnya datang dari golongan liberal yang kononnya memperjuangkan hak keadilan dan kesamarataan. 



Pertamanya, sebelum kita mahu menentang atau menolak sesuatu perkara, terlebih dahulu kita perlu memahami asal usul sesuatu perkara tersebut. Dalam isu ini, poligami bukanlah sesuatu perkara yang dianggap sebagai adat kebiasaan, tetapi ianya datang dari syariat Allah Azza Wa Jalla. Hal ini sabit di dalam firman Nya dalam surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud : 

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Ayat ini menjadi dalil atau bukti pensyariatan poligami. Ianya jelas merupakan suatu titah perintah Allah dan menjadi haram dan berdosa besar sekiranya kita menentang hakikat pensyariatannya yang telah terkandung di dalam firman Nya. Syariat poligami ini bukanlah rekaan baginda Nabi Muhammad SAW untuk tujuan pemuasan nafsu semata-mata. Malah di dalam beberapa kitab utama agama lain juga terdapat penceritaan tentang pelaksanaan poligami ini. Untuk itu, tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, kita dilarang untuk menentang pensyariatan poligami meskipun kita terdapat perbezaan untuk pelaksanaannya. Umumnya kita harus faham dan sedar bahawa ianya suatu syariat dan bukannya adat atau rekaan manusia.

Setelah kita ketahui tentang pensyariatan tersebut, maka timbul persoalan berkenaan pelaksanaan. Adakah ianya suatu tuntutan sunnah atau sebaliknya. Ramai dikalangan para lelaki suka menjenamakan poligami ini suatu tuntutan sunnah kerana baginda Nabi juga mengamalkan syariat tersebut. Untuk memahami tuntutan yang disebutkan sebagai sunnah ini, mari kita melihat maksud sunnah yang ditakrifkan oleh para sarjana islam. Dalam Kitab Ulum Hadis Wa Nusus Min Athar, para sarjana islam mentakrifkan makna sunnah adalah :

“Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW dariapda jenis perkataan, perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama ada berbentuk akhlaq ataupun fizikal. “


Para sarjana juga meletakkan kaedah untuk sesuatu hukum pensyariatan itu mestilah melihat dari sudut aspek sebab dan illahnya. Ini bermakna sesuatu hukum itu tidak boleh ditetapkan berdasarkan zahir sunnah atau tidak semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada maslahah sesuatu perkara. Demikian juga tentang soal hukum poligami. Ianya terletak dan bergantung kepada si pelaku tersebut. Boleh jadi membawa kebahagiaan dan boleh jadi mengundang kezaliman dalam rumahtangga. Menerusi firman Nya, Allah Azza Wa Jalla menyebutkan dalam Surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud :

“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan kepada kita sekiranya ditakuti dan dibimbangi sekiranya kita melakukan poligami boleh membawa kepada kezaliman maka cukuplah berkahwin satu sahaja. Makna perkataan kezaliman ini juga perlu mengambil kira beberapa persoalan penting seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal. Jika tidak diraikan perkara ini, kebahagian yang diburu tidak ditemui.

Maka, harus dijelaskan kepada kita semua khususnya kepada masyarakat bukan muslim diluar sana bahawa hukum asal poligami adalah harus dan ia akan berubah mengikut situasi tertentu. Sebagai contoh, hukum poligami asalnya harus boleh berubah menjadi haram sekiranya boleh mengundang kezaliman, penindasan dan penderitaan dalam rumahtangga. Islam tidaklah mewajibkan umatnya untuk berpoligami. Ianya adalah suatu pilihan mengikut kemampuan diri masing-masing. Meskipun istilah “kemampuan” itu punyai banyak ruang untuk diperbahaskan, ianya tidak akan sama sekali merubah syariat itu bertukar hukum menjadi wajib.


Walaupun poligami itu suatu bentuk pensyariatan, namun pelaksanaannya diikat dengan kemampuan untuk berlaku adil atau sekurang-kurangnya tidak menzalimi pasangan kerana pelaksanaannya. Untuk itu, umat Islam diberi ruang seluas-luasnya untuk bersikap berbeza dalam soal pelaksanaannya. Kita boleh menolak pelaksanaannya kerana ditakuti berlaku zalim dan tidak adil. Pada masa sama, sekiranya kita merasakan mampu bersikap adil setelah dinilai maka Islam tidak menghalangnya. Meskipun begitu, hakikat poligami itu kita perlu akur bahawa ianya suatu syariat dari Allah yang penuh kemuliaan dan keagungan.

Sesungguhnya amalan poligami telah wujud sejak sekian lamanya sebelum kedatangan Islam lagi di seluruh dunia, bahkan dalam agama Kristian dan Yahudi itu sendiri tidak wujud larangan untuk berpoligami yang telah memungkinkan untuk seseorang itu berkahwin dengan seramai mana wanita yang diingininya tanpa sebarang panduan. Lalu datang Islam memandu manusia dengan menghadkan kadar berpoligami dalam satu-satu masa kepada 4 isteri sahaja dengan syarat-syarat yang tidak sewenangnya untuk dipenuhi. Maka di mana keburukkan Islam yang dirasakan berbanding agama-agama dan tradisi lain ? Realiti hari ini dilihat  seolah-olah Islam lah yang mencipta amalan poligami ini sedangkan Islam tidak menjadikan amalan berpoligami semberono mengikut hawa nafsu serta keinginan sang lelaki semata-mata bahkan syaratnya ketat dan ancamannya dahsyat bagi mereka yang mengabaikan hak para isteri dan tidak berlaku adil terhadap mereka.

Jumaat, 6 Mac 2020

BERDOA UNTUK ORANG BUKAN MUSLIM


Berdoa merupakan suatu amalan peribadi antara kita sebagai hamba Nya dan Allah sebagai pencipta kita. Tidaklah menjadi syarat wajib mengangkat tangan untuk berdoa. Malah segala yang terlintas di hati juga boleh dijadikan satu doa kepada kita. Amalan berdoa juga tidak terikat kepada waktu dan tempat. Tetapi beberapa tempat dan ketikanya, masa dan tempat tertentu mempunyai keistimewaan untuk kita berdoa.



Dalam persoalan kita berdoa kepada diri kita, kaum keluarga kita, sahabat handai kita, kita juga di haruskan berdoa kepada mereka yang bukan muslim. Berdoa kepada orang bukan muslim dengan mendoakan mereka agar diberi petunjuk dan hidayah adalah dibolehkan. Begitu juga kita sebagai muslim berdoa kepada mereka yang bukan muslim agar diberi kesejahteraan hidup, kebahagiaan dan kesihatan yang baik, juga diharuskan. Perkara ini disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Tufail bin Amir pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu mengenai penderhakaan yang dilakukan oleh kaumnya. Tufail berkata :

“Sesungguhya suku Daus telah bermaksiat dan enggan menerima Islam. Doakanlah keburukan untuk mereka.”

Maka baginda Nabi SAW sebaliknya kemudian berdoa :

“Ya Allah, berilah petunjuk kepada suku Daus dan datangkanlah mereka (ke Madinah).”

Kata Imam Nawawi :

“Jika seseorang memberi ucapan penghormatan kepada kafir zimmi dengan ucapan selain ucapan salam, maka al-Mutawalli dan al-Rafi’i membolehkan perkara ini. Misalnya, seseorang mengucapkan kepada non Muslim ‘semoga Allah memberi hidayah untukmu’ dan ‘semoga Allah memberi nikmat kepadamu di pagi ini’, maka itu tidak ada masalah.”


Dalam Al Quran, Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya dalam surah Al Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Dalam Kitab Tafsir al Quran al Azim, Imam Ibn Kathir berkata:

“Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu”



Berdasarkan dalil dari Al Quran & Sunnah ini, Islam tidak pernah melarang orang muslim untuk mendoakan kebaikan berbentuk umum kepada mereka yang bukan muslim. Tidaklah menjadi kesalahan mendoakan kebaikan buat mereka. Namun, alangkah lebih cantik dan indahnya, sekiranya kita turut mendoakan agar mereka ini diberikan hidayah

Walaupun begitu, mendoakan kepada mereka yang bukan muslim dengan mendoakan agar diberikan rahmat dan berkat daripada Allah Azza Wa Jalla adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana doa memohon kerahmatan dan keberkatan tersebut dikhususkan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Kenyataan ini berdasarkan kisah seorang sahabat Nabi bernama Uqbah bin Amir, beliau menceritakan :

“Dia pernah melalui seseorang yang kelihatan seperti Muslim, lalu orang tersebut memberi salam kepadanya, maka dia pun menjawabnya dengan ucapan: “وَعَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ”. Lantas pelayannya berkata kepadanya: “Dia itu seorang Nasrani.” Lalu Uqbah pun bangun dan mengikutinya sehingga mendapatkannya, lantas dia berkata: “Sesungguhnya rahmat dan berkat Allah itu untuk orang-orang beriman. Akan tetapi semoga Allah memanjangkan umurmu, dan memperbanyakkan harta dan anakmu.”

(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Demikianlah bagaimana kita sebagai muslim dibenarkan untuk berdoa kepada mereka yang bukan muslim dengan ruang lingkup yang dibenarkan oleh kacamata syarak. Selagi mereka yang kita doakan itu tidak menentang Islam, maka selagi itulah agama membenarkannya kita melakukan kebaikan kepada mereka termasuklah mendoakan kebaikan kepada mereka.