Tanggal 30 November 2015, industri seni
negara dikejutkan dengan berita sedih apabila pada tarikh tersebut, telah
perginya seorang pelawak, pelakon dan penghibur terkenal berasal dari Perlis
iaitu Pak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo. Kehilangan Pak Yus
memberi kesan yang mendalam terhadap industri seni negara dan pemergiannya ini
suatu yang tidak pernah di jangkakan. Rakan-rakan artis yang lain seperti Dato
Afdlin Shauki, Dato AC Mizal dan yang lainnya menyifatkan pemergian beliau
adalah suatu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Lebih terkesan lagi
dengan pemergian beliau ialah sahabat akrabnya yang sentiasa mendokong kumpulan
Jambu iaitu Taukeh. Bak kata pepatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul”. Pemergian beliau amat memberi kesan buat sahabat
seperjuangannya, Taukeh. Siapakah Pak Yus yang sebenarnya ? Apakah yang
membuatkan seluruh negara merasakan kehilangan besar atas pemergiannya ?.
Semuanya akan terjawab dalam artikel ringkas ini.
Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Bin
Edoo telah dilahirkan pada tarikh 15 Mac 1976 dan dibesarkan di Kampung Nesam,
Sungai Batu Pahat Kangar, Perlis. Pak Yus merupakan anak bongsu daripada tiga
beradik. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Namun semuanya
itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mengejar cita-citanya untuk
menjadi penghibur negara. Beliau telah menamatkan pengajian di Sekolah Menengah
Kebangsaan Syed Alwi, Kangar Perlis. Setelah tamatnya pengajian, Pak Yus terus
mengasah bakatnya dalam bidang seni dengan menceburi bidang teater dan tarian
di Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Perlis. Pada tahun 2004, Pak Yus
telah dinobatkan sebagai Pelakon Teater Terbaik Kebangsaan. Sebenarnya, sejak
tahun 2001 lagi Pak Yus telah mengorak langkah mencipta nama dalam Sinaran
Pasport Kegemilangan, sebuah program anjuran TV3 dahulu. Namun nasib tidak
menyebelahinya.
Kegagalan beliau mengharumkan namanya di
persada seni pada tahun 2001, tidaklah menjadi penamat kepada beliau untuk
terus mengorak langkah. Kecekalan dan ketabahan anak jati Perlis ini, sekali
lagi beliau mencuba nasibnya dalam program Raja Lawak Astro yang julung kalinya
diadakan pada waktu tersebut. Alhamdulillah, langkahnya kali ini berjaya. Pada
tarikh 11 Mac 2007, beliau telah dinobatkan sebagai Juara Raja Lawak Musim
Pertama Astro. Kejayaan besar beliau ini sekaligus telah membanggakan seluruh
rakyat negeri Perlis. Kejayaan besar ini juga telah menjadi inspirasi dan
contoh teladan yang baik kepada anak-anak Perlis yang lain supaya anak-anak
Perlis tidak takut untuk mencipta langkah menempa nama di persada seni. Langkah
Pak Yus tidak terhenti setakat itu sahaja. Tahun 2011, kumpulan Jambu yang
diasaskan oleh beliau dan taukeh telah mendapat tempat keempat dalam Maharaja
Lawak. Tahun seterusnya, tahun 2012, kumpulan Jambu telah berjaya dinobatkan
sebagai Naib Juara Maharaja Lawak Mega. Bukan setakat itu, langkah Pak Yus
sebagai anak seni terus mencipta namanya apabila beliau mendapat tempat keempat
dalam Super Spontan 2013, tempat kelima Super Spontan 2014 dan tempat keempat
Super Spontan All Starz 2015.
Perwatakkannya yang bersahaja dan
melucukan menjadi antara kenangan yang tidak dapat kita lupakan. Dalam
persembahannya, kerapkali beliau menyebut beberapa nama dan perkara yang
sinonim dengan masyarakat utara seperti pekan Kodiang, tuyu (kicap) dan
lain-lain. Sifat kerendahan hatinya tidak ada siapapun yang dapat nafikannya.
Dalam lucunya, beliau banyak menyimpan kesedihan hidupnya sebagai anak seni.
Dalam diam-diam, sebenarnya Pak Yus telah banyak membantu orang sama ada beliau
kenal atau tidak, beliau rapat atau sebaliknya, beliau suka memberi daripada
meminta. Sikap beliau yang pemurah ini terbongkar selepas pemergian beliau. Pak
Yus yang kita kenali ini, beliau merupakan seorang dermawan meskipun beliau
bukanlah dikalangan para jutawan. Tahukah kita semua, Pak Yus adalah insan yang
sangat baik pada semua orang. Beliau seorang peramah dan tidak pernah lupa akan
asal usulnya. Meskipun namanya terpahat
sebagai anak seni yang hebat, namun tidak pernah sedikit pun beliau bersikap
sombong dengan apa yang beliau telah miliki. Saya percaya, sikap yang baik
seperti inilah yang membuatkan ramai orang tersentuh hati dengan pemergian beliau.
Saya katakan, Pak Yus adalah ikon anak
jati Perlis. Beliau merupakan lagenda hebat orang Perlis. Beliau telah
membuktikan bahwa orang yang lahir dari sebuah negeri terpencil di utara pun
mampu mencipta nama seperti orang lain juga. Tidak apa pun status kehidupan
kita, asalkan kita mempunyai iltizam kukuh, disusuli dengan kesungguhan yang
utuh, kita akan berjaya melangkah ke persada dunia. Pemergian Pak Yus adalah
pemergian yang abadi. Meskipun airmata darah kita titiskan, namun takkan pernah
menghidupkan Pak Yus kembali, Tetapi lihatlah dunia, meskipun Al Marhum Pak Yus
telah pergi meninggalkan kita buat selamanya, tidak bermakna semangatnya juga
pergi bersama. Pak Yus hanya pergi meninggalkan jasad dan rohnya, namun
semangatnya kami pegang, kejayaannya kami kenang dan telatahnya kami pahatkan.
Ayuhlah anak-anak Perlis, kita ambil semangat ini untuk terus melangkah
mencipta nama dan menempa kejayaan.