Tahukah
anda bahawa dalam tempoh tiga tahun antara 2018 hingga 2020, sebanyak 6,897 kes
jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan remaja dilaporkan oleh pihak
PDRM. Menurut satu laporan akhbar Harian Metro yang disiarkan pada 28 Julai
2021, mengikut data yang dikumpulkan oleh pihak polis, jenayah seksual yang
telah dilaporkan mendapati pelbagai aplikasi media sosial yang digunakan untuk
tujuan tersebut seperti Instagram, TikTok, Facebook, MiChat, Telegram, BeeTalk,
Whatsapp dan WeChat. Penggunaan pelbagai aplikasi media sosial yang kini
semakin canggih dan pantas, seakan-akan tiada batasannya ini telah mengundang
kepada peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan
remaja.
Berdasarkan
laporan akhbar tersebut juga, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah
Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D1), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,
Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima 2,010 kes
jenayah seksual membabitkan kedua-dua golongan itu pada 2018, manakala 2,297
kes direkodkan pada 2019 dan 2,590 kes pada tahun lalu. Menurutnya, angka itu
menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual kepada remaja dan kanak-kanak terus
meningkat walaupun ketika negara dilanda pandemik covid-19 bermula awal tahun
lalu.
Kenyataan
dan statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM menerusi laporan akhbar tersebut
sudah tentu tidak mengembirakan malah turut mengundang keresahan dan
kegelisahan para ibubapa dalam usaha mendidik anak-anak mendepani cabaran yang
penuh hebat ini. Apa yang dilaporkan tersebut hanyalah berkaitan dengan
golongan kanak-kanak dan golongan remaja sahaja. Belum lagi kita lihat
statistik dan realiti jenayah seksual ini berlaku terhadap wanita dan pekerja.
Hal ini sangat membimbangkan dan ianya perlu ditangani secara segera dan penuh
bijaksana. Mengambil kira keadaan suasana hari ini yang diselubungi dengan
pelbagai aplikasi media sosial yang dilihat semakin hari semakin menjadi barah bagi
mereka yang menyalahgunakan kemudahan sedia ad aini.
Bagi
membendung isu yang kian membarah dalam masyarakat kita pada hari ini, isu
pokoknya ialah apakah peranan kita yang
perlu dimainkan dan diterjemahkan bermula dari institusi kekeluargaan, sebagai
bapa, ibu, abang dan kakak, juga sebagai masyarakat komuniti dan lebih jauh
daripada itu peranan kita sebagai rakyat yang menyayangi masa depan negara yang
tercinta ini. Rata-rata perbincangan berlegar dikalangan warganet ialah tentang
mencari salah siapa dan tugas siapa untuk menanganinya. Tanpa benar-benar
serius, kita tidak boleh lagi sekadar membincang ini salah siapa dan itu tugas
siapa. Saya percaya, masing-masing ada peranan dan fungsi yang perlu dimainkan
secara bersama, bukan sahaja untuk ahli keluarga kita bahkan juga untuk jiran
tetangga kita dan amnya untuk seluruh rakyat Malaysia.
Oleh
itu, menyedari akan kepentingan peranan yang perlu dimainkan secara bersama,
beberapa tindakan dan langkah yang perlu kita terjemahkan selari dengan
semangat “Keluarga Malaysia” yang dijadikan sebagai aspirasi negara. Antara
langkah dan peranan terpenting yang harus kita terjemahkan adalah dengan
membina keluarga yang bahagia dan sejahtera. Keluarga yang bahagia bukanlah
seperti yang sering dihidangkan melalui tontonan drama dan filem yang mempunyai
harta dan kekayaan yang mewah, namun keluarga yang bahagia sebenarnya perlu dan
mesti mengandungi 3 elemen terpenting iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kecintaan)
dan rahmah (kasih sayang).
Sepertimana
firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud :
“Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri
dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan
dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”
Pembinaan
keluarga yang bahagia dan sejahtera turut akan memberikan implikasi dan kesan
yang baik kepada komuniti masyarakat sekaligus dapat melahirkan jati diri
rakyat yang penuh hebat. Konflik kekeluargaan yang kadang-kala dilihat seperti
normal adalah tidak sihat untuk pembinaan masyarakat yang harmoni. Akibat
konflik inilah, ianya sedikit sebanyak akan mengheret anak-anak untuk mencari
kebahagiaan dan keseronokan diluar rumah yang akhirnya akan mengundang masalah
sosial yang lebih besar dan dasyat.
Pembinaan
institusi kekeluargaan yang baik juga sangat penting bagi menangani jenayah
sumbang mahram yang semakin berleluasa ini. Keadaan ini juga bertambah parah
dengan adanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan,
membuka ruang dan peluang juga untuk terjadinya tragedi yang tidak bermoral
ini. Hal ini berdasarkan kenyataan pihak PDRM berhubung kes sumbang mahram. Untuk
rekod, tahun 2020 telah mencatatkan sebanyak 1,105 kes membabitkan jenayah
rogol kanak-kanak dan diikuti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak
sebanyak 1,100 kes. Manakala kes sumbang mahram yang direkodkan pada tahun 2020
adalah sebanyak 223 kes. Inilah fakta angka-angka yang telah direkodkan.
Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan ? Sehubungan itu, hubungan
kekeluargaan yang erat perlu diterjemahkan bagi membentengi keluarga kita
daripada terjemurus dalam kancah aktiviti tidak bermoral ini. Dalam hal ini
juga, Islam telah ajarkan kepada kita supaya memisahkan tempat tidur anak-anak
seawal usia mereka 10 tahun. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat
Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Perintahkan
anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan
pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur
di antara mereka.”
Selain
itu, antara langkah dan peranan terpenting yang boleh kita mainkan secara
bersama adalah dengan memilih rakan yang baik dan rasional. Pemilihan rakan
juga sangat penting bagi membentuk diri kita di masa hadapan. Tambahan
pula,pada hari ini dengan kecanggihan teknologi yang hebat dan pantas, ada
segelintir para ibubapa tidak endah dan mengambil ringan tentang soal dengan
siapa anak-anak mereka berkawan. Ibubapa juga seharusnya mengenali dan
mengambil peduli tentang soal pemilihan rakan yang baik untuk anak-anak mereka.
Ruang persahabatan yang berada di dalam lingkungan rakan yang baik juga akan
sedikit sebanyak menyumbang kepada pembinaan akhlak dan moral anak-anak. Dalam
sebuah hadith riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Seseorang
itu bergantung kepada agama sahabatnya.
Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa
dia bersahabat."
Demikian
juga firman Allah SWT dalam surah al Zukruf ayat 67 yang bermaksud :
"Pada
hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada
setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman
dan amal soleh)."
Oleh
itu, pemilihan rakan yang baik akan turut menyumbang kepada pengurangan kes
jenayah gangguan seksual memandangkan suasana dan keadaan sekeliling yang baik
dan harmoni. Disebalik angka dan statistik yang dilaporkan, saya percaya bahawa
sesetengahnya adalah berpunca daripada ajakan dan pelawaan kawan yang
mempengaruhi ruang lingkup pemikiran mereka yang akhirnya menjerat diri mereka
sendiri terjerumus dalam kancah yang tidak bermoral ini. Adalah amat wajar
sekali untuk para ibubapa mengenalpasti dengan siapa anak-anak mereka bergaul
dan sudah tentu, ibubapa itu sendiri perlulah terlebih dahulu menjadi seorang
sahabat yang baik kepada anak-anak. Dengan keadaan dan perkembangan semasa pada
hari ini, kebanyakan ibubapa telah menghabiskan banyak masa di luar rumah bagi
mencari rezeki dan kesibukan ini sudah tentu memberikan ruang masa yang
terluang untuk anak-anak bergaul dengan rakan mereka. Untuk itu, sangatlah
penting dan mustahak, ibubapa harus peduli tentang soal pergaulan anak-anak
mereka diluar sana.
Bagi
menangani isu jenayah gangguan seksual ini, adalah penting juga bagi kita untuk
menolak budaya menormalisasikan sebarang lawak, sindiran atau gurauan yang
berbaur lucah dan tidak senonoh. Perkara ini sememangnya sudah mempunyai gerak
usaha untuk membudayakan dikalangan masyarakat segala lawak bahan jenaka,
sindiran mahupun gurauan yang berbentuk lucah dan tidak senonoh ini. Untuk
menangani isu ini, seharusnya para ibubapa perlu lebih prihatin terhadap bahan
internet yang dilayari oleh anak-anak. Ibubapa perlu lebih bijak dan bergerak
aktif selari dengan perkembangan semasa, memantau dan meneliti setiap
gerak-geri anak-anak ketika melayari internet. Dalam arena arus perdana ini,
kita tidak menafikan akan kepentingan belajar melalui wadah internet seperti
keadaan sekarang. Penggunaan internet kini semakin luas dan dilihat sudah
menjadi suatu keperluan dalam usaha meneruskan proses pembelajaran. Namun
perkara itu tidak seharusnya menjadi lessen untuk para ibubapa tidak mengendahkan
apa yang dibuat oleh anak-anak.
Juga
selain itu, kandungan bahan tontonan di kaca televisyen juga perlu diambil kira
agar kita tidak tersalah memilih segmen atau drama yang menghidangkan adegan
dan babak yang tidak senonoh. Hal ini lebih mencabar apabila tumbuh bagai
cendawan drama dan filem yang mempromosikan budaya hidup barat seperti hidup
berpasangan tanpa berkahwin, dengan ditontonkan adegan romantik biarpun belum
berkahiwn, menjadikan budaya tersebut dilihat seperti biasa dan inilah bentuk penjajahan
sebenar yang sedang dan telah menyerang pola pemikiran kita. Hal ini akan
mengundang perasaan ingin bercinta, ingin berkongsi kasih sayang dan akhirnya
ke jalan haram penzinaan. Oleh itu, pemilihan stesyen televisyen juga amat
perlu dititikberatkan oleh ibubapa atau penjaga.
Sebagai
mengimbangi peranan ibubapa, pihak kerajaan harus lebih serius dengan pihak
syarikat penyiaran swasta bagi memastikan isi kandungan dan bahan tontonan di
layar kaca televisyen bersesuaian dengan tahap umur. Sebuah badan khas yang
membantu pihak kerajaan dalam industri kreatif, Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional (FINAS) perlu memainkan peranan aktif untuk menapis dan menyaring
setiap filem yang diterbitkan agar sesuai dan menepati sosiobudaya masyarakat
Malaysia. Kita faham, setiap filem mempunyai nilai dan mesejnya yang tersendiri
namun bukanlah semua yang menonton filem-filem tersebut mampu menghadam dan
mencapai maksud mesej yang hendak disampaikan. Malah, sebahagian adegan yang
tidak senonoh itu lebih diingati berbanding mesej utama yang hendak
disampaikan.
Saya
kira apa salahnya jika pihak FINAS memberi galakkan kepada para pemain industri
kreatif untuk lebih banyak mencipta sesebuah filem dan drama yang membina
ideologi dan menguatkan jati diri manusia. Jika dahulu, tidak kurang sepinya
kita mempunyai filem-filem hebat seperti Darah Satria tahun 1983, Wira Angkasa
1987 dan sebagainya. Kita perlu menghidangkan budaya yang sihat dalam dunia
perfileman kerana ianya bukan sekadar untuk berhibur bahkan jauh daripada itu
adalah untuk membina jati diri para penonton. Kita perlu menyemak dan menilai
semula kualiti filem dan drama yang kian berlambak ditayangkan di pelbagai
stesyen televisyen. Lambakan drama dan filem inilah yang menjadi hidangan minda
anak-anak kita.
Firman
Allah SWT dalam surah an Nur ayat 30-31 yang bermaksud :
“Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat
Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Demikian
beberapa tindakan dan langkah yang boleh kita ambil peduli bersama dan
memainkan peranan secara bertanggungjawab bagi menangani isu jenayah gangguan
seksual ini dalam radar lapangan masing-masing. Seorang guru, sudah tentu
lapangannya di dalam pendidikan. Seorang polis lapangannya di dalam soal
penguatkuasaan. Tetapi sekurang-kurangnya, biar apapun lapangan kita, peranan
kita mestilah bermula dari rumah terlebih dahulu. Didikan dari rumah akan
mencerminkan watak kita pada masyarakat. Keluarga yang utuh akan menjanjikan
masyarakat yang kukuh. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menangani
isu tidak bermoral ini.