Rabu, 4 Mac 2015

PERKAHWINAN DI USIA MUDA : RELEVENKAH ?

Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang, perkahwinan di usia yang muda bukanlah satu fenomena yang luar biasa, bahkan seharusnya menjadi kelaziman kepada generasi Y pada masa kini. Hakikatnya, perkahwinan adalah satu fitrah kejadian semulajadi manusia. Perkahwinan juga merupakan satu sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Persoalannya bagaimanakah kita mampu melaksanakan sunnah ini di saat kita masih lagi remaja dan sedang belajar?? Persoalan demi persoalan yang timbul di benak pemikiran kita. Lantas, kita  merasakan topik ini cukup relevan dan hangat untuk dikongsikan bersama berdasarkan kondisi kita sekarang.


Setiap hari dan detik kita dihidangkan dengan berita yang melibatkan generasi muda yang muflis dan tercabut dari akar tradisi ketimuran dan juga ketingggian akhlak Islamiyyah yang diwarisi zaman berzaman.Kini, segalanya telah dibenamkan oleh budaya hedonistik yang tidak berfaedah. Mereka  telah dibelenggu dengan rantai-rantai kejahilan dan kegelapan.Justeru itu, perkahwinan di usia muda tersangatlah signifikan bagi mereka yang ingin melayarkan bahtera perasaan cinta mereka ke pelabuhan yang halal, iaitu alam berumahtangga. Ini kerana mukmin atau mukminah yang sejati  tidak suka memandang dan juga tidak suka dipandang kerana apa yang lebih utama adalah memohon petunjuk dariNya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan selaras dengan kehendak hati dan kewarasan akal.  




 Sebagaimana yang kita ketahui, Iman kita ini laksana air di lautan, kadang pasang kadang surut. Ketika pasang, dengan mudah kita meniti jalan Allah. Ketika sedang surut, kita jauh dari jalan Allah.Justeru itu, perkahwinan dalam kalangan generasi muda bukan sahaja mampu membendung gejala-gejala negatif bahkan melahirkan masyarakat yang sakinah di mana tidak  akan wujud lagi kes-kes jenayah seksual seperti pembuangan bayi, rogol, culik dan sebagainya.  Hal ini disebabkan oleh perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Kesimpulannya,  berkahwin di usia muda bukanlah membawa kepada satu masalah yang besar bagi golongan remaja yang masih lagi belajar dan belum bekerja. Berkahwin merupakan fitrah manusia dan sememangnya fitrah itu tidak akan terjadi sekiranya berlawanan dengan kehendak manusia. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui tentang hal-hal hambaNya. 

BENIH-BENIH SYURGA

Kehidupan ini sama seperti asap yang kelihatan hanya sebentar sahaja, lalu lenyap. Sesungguhnya manusia seperti nafas dan semuanya sia-sia. Ramai yang berharap untuk kehidupan ini dan mereka menganggap inilah 'kampung halaman' yang sebenar. Setiap hari mereka sibuk dengan urusan dunia, mencari duit, bekerja dan bersuka ria. Mereka lupa diri, bahawa saatnya akan tiba apabila segalanya berakhir dan kita akan kembali ke 'kampung halaman' yang hakiki, iaitu syurga atau neraka. Kehidupan juga penuh dengan penderitaan dan air mata. Oleh itu, sapulah air matamu dan lihatlah disekililingmu. Masih ramai insan yang belum dikurniakan nasib yang baik seperti diri kita. Mungkin kita merasakan berat ujian yang digalas dipundak ini, sehingga tak terjangkau dek kemampuan diri.


Namun, ingatlah! Jika kita merasakan diri kita ini lemah tak bermaya.  Jangan dilupa akan saudara-saudara kita yang masih berat ujiannya. Bagaimana mereka masih lagi tabah tersenyum menghadapi risiko kehidupan yang diberikan olehNya. Sesungguhnya Allah itu langsung tidak menzalimi kita dengan membalas dendam atas kesilapan yang seringkali kita ulangi. TETAPI setiap musibah, ujian dan juga dugaan yang diberikan adalah salah satu tanda bagaimana Allah membuktikan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya. Lantas menyeru dibenak fikiran kita bukti kasih sayang Allah? Benarkah? Benar. Sememangnya fitrah manusia mencari nilai ketuhanan apabila diri diuji dengan rintangan.




Bagaimana kita lihat para solafussoleh yang terdahulu mereka rata-ratannya dari golongan yang paling banyak diuji. Ini kerana, apabila hati kita sering diuji, maka kebergantungan kita kepada Allah semakin kuat berbanding dengan hati yang sering dibajai dengan kemewahan. Lihatlah perbandingan kehidupan antara kehidupan kita dengan saudara kita di Gaza, Syiria. Bagaimana mereka begitu yakin dengan pertolongan Allah berbanding kita yang hidup dalam keadaan aman dan damai. Oleh itu, jadikanlah segala ujian dan musibah yang menimpa kita inisebagai biji-biji benih yang tunasnya menghala pucuknya ke jalan syurga. Jadilah insan yang redha dalam menerima segala dugaan yang menimpa diri. Mungkin, diri ini masih belum lagi teruji dengan kata-kata sendiri. Namun, percayalah  bahawasnya ‘hanya insan istimewa’ sahaja akan menerima pentarbiyyahan secara terus dari Allah. Bersyukurkalah diatas kurniaan benih-benih syurga kerana itulah buktinya Allah bersama dan Dia tidak meninggalkan kita bersendirian.

Selasa, 3 Mac 2015

KE MANAKAH HALA TUJU REMAJA KITA ?

Ke mana hendak kita pimpin remaja kita pada hari ini? Fikiran, jiwa, rasa, tingkahlaku sudah tiada gambaran ketimuran, melayu apatah lagi Muslim. Keadaan mereka semakin meruncing dan perubahan ini harus menjadi hidangan perbincangan meja bulat tentang siapa mereka 10 tahun dari sekarang. Pendedahan cerita, kisah mereka ini di dada akhbar, tayangan filem, drama bukan memberikan kesedaran, tetapi itulah realiti yang digambarkan 1 dari 10 kisah benar yang telah berlaku mungkin. Jika kerosakan ini dahulunya disorok-sorokkan, dan hari ini ia sudah timbul ke permukaan kerana tak dapat disorokkan lagi.


Remaja hari ini perlukan contoh dan tauladan dari orang dewasa di sekeliling mereka. Tolonglah buat ibu dan ayah, sediakan contoh yang baik buat mereka. Jadilah manusia yang bertanggungjawab membina kehidupan mereka. Sekiranya sampai ajal ibu dan ayah, anak sudah bersedia berdikari dan dapat memudahkan urusan kita selepas kematian. Anak adalah amanah Allah bukan bebanan, bukan tempat untuk dibanggakan, bukan untuk sekadar membuktikan kita ibu dan ayah, mereka adalah bekalan kita bila menghadap Allah s.w.t.. 




Kerosakan yang berlaku juga adalah akibat dari salah ajar kita kepada generasi muda. Kurang prihatin, kurang kasih sayang kerana kesibukan kita semua mencari harta dunia yang sementara. Sibuk mengikut kemajuan dan teknologi, sehingga lupa anak atau adik yang membesar dan berdikari di dalam rumah sendiri. Akhirnya hidup mereka lebih tertumpu kepada dunia yang mereka diami hari ini. Jom kita bantu generasi masa depan kita dengan membangunkan mereka semula. Kembali kepada asas kehidupan yang sebenar iaitu hidup untuk memberi kehidupan kepada orang lain juga.



Jika terlihat anak-anak muda ini, jangan terus memarahi mereka sebaliknya senyumlah sebagai sedekah yang paling mudah untuk kita buat. Berikan salam dan berjenakalah dengan mereka, kerana hari ini, kita terlalu serius dengan mereka. Jika berpeluang tegurlah, dengan cara yang tidak memalukan. Bawa berbincang jika ada masalah dan bantu mereka jika perlu. Hidup bukan perkara yang mudah kerana ada banyak amanahnya. Tetapi dengan hidup mudah untuk kita berbakti dan membuat kebaikan kepada orang lain. Maka hiduplah dalam bekerja, berjiran, berkawan, bermain dan apa sahaja. Kerana hidup insan itu dengan ihsan. 

Rabu, 21 Januari 2015

PERJALANAN MENUJU MU

Ku berjalan kesepian meniti lorong-lorong kehidupan
Bertemankan bayu kasihNya yang menghembus perlahan
Ku mencari sinar suria agama dalam meraih teduh rahmatNya
Ku mencari sang pelangi iman untuk menerangi langkahku
Sebagai petunjuk dalam melalui simpang bahagia mahupun derita
Aku hanya insan biasa yang perlukan pergantungan dari Nya
Dia lah yang menakluk hati ku dan membolak-balikkanhati ini


Merentasi daerah fikiran mencari kematangan diri
Menerokai medan ilmu dalam menggapai kecemerlangan hakiki
Menyaksikan panorama dunia yang berbagai ciri keunikan
Sungguh indah alam ciptaanMu wahai Tuhan Yang Maha Indah
AlamMu dihiasi bunga-bunga yang sentiasa galak menguntum senyuman
Dihiasi gunung-ganang yang sentiasa gah memaksi hamparan bumi
Serta dihiasi lautan yang beralun lembut berdendang zikir syahdu padaMu 




Subhanallah, tiada yang lebih indah melainkan keindahanMu Ya Allah
Tetapi sayang hamparanMu itu telah dinodai oleh sejenis makhluk
Yang bernama manusia serta diiktiraf olehMu sebagai ‘Khalifah’
Terlalu banyak daripada mereka yang menjadi egois dan parasit
Berbanding yang berbudi mulia yang sentiasa redha denganMu
Mereka terpalit dengan hasutan liar fana yang menyesatkan


Ku terasa lelah mengekori arus pergolakan duniawi
Berhenti seketika di anjung sukma mencari nafas ketenangan
Cuba menjengah di balik sekeping jendela nurani
Aku terlalu asyik menghitung pada yang lain
Tanpaku sedar dimana letaknya tunjang diriku sendiri
Adakah dalam kebaikan ataupun sebaliknya
Masihkah ada ruang untuk ku singkap kembali
Tirai dosa yang telah usang menghiasi tembok qalbu 




Ya Allah ampunkanlah daku serta kami semua
Hembuskanlah bayu ketenangan mahabbahMu
Tetapkanlah hatiku agar terus istiqamah dalam kebaikan
Berikanlah petunjukMu pada yang lalai serta zalim
Lindungilah mereka yang lemah teranaiya
Aku mahukan kedamaian bertakhta di segenap jiwa


Sungguh hebat kanvas kembara hidup ini
Setiap apa yang berlaku terselit sejuta hikmah
Tamatnya sudah destinasi perjalananku kepadaMu
Perjalanan mencari identiti realiti menuju hakiki
Tiba saatnya ku mengadap mempersembah segala amalku
Sambutlah dingin rohku dengan hangat pelukan rahmatMu
Aku datang dengan sepenuh pengharapan kepadaMu Tuhan
Daripada Allah aku datang dan kepada Allah jua aku kembali 

Selasa, 20 Januari 2015

AKU MASIH YANG DULU


Aku masih seperti kelmarin
Kesedihan, kegagalan dan penderitaan
Semua ini atas kekuasaanNya
Aku hanya insan kerdil yang hanya mampu berusaha
Bertawakal dan berdoa agar hidup ini
Diberi hidayah dan pedoman



Aku masih seperti semalam

Aku bersyukur kehadrat Ilahi kerana
Diberi peluang untuk bernafas di bumi ciptaanNya
Dan diberi petunjuk dikala kebuntuan
Aku bersyukur padaNya
Sesungguhnya ujian yang datang itu
Mengukuhkan lagi iman
Dan menguatkan pendirianku 





Aku masih seperti hari ini

Hanya mampu ku tampilkan
Peribadi insan yang berilmiah
Dan menghambakan diri kepadaNya
Aku redha dengan apa yang telah tersurat
Di dalam perjalanan hidup ini
Jika ini jalan terbaik bagi ku
Akan ku terangi dengan cahaya ketabahan
Walauapa pun rintangan, aku tetap berdiri teguh
Semua ini adalah satu permulaan dalam kehidupan 



Insya-Allah….

Aku adalah insan yang sama pada hari mendatang
Akan ku cekalkan semangat
Agar ianya tidak patah dipertengahan jalan
Hanya doa mengiringi ketabahan bagi menguatkan semangat
Sesungguhnya aku memihak kepada kebenaran..
Temanku keceriaan, sahabatku senyuman
Kesabaran, rakan dikala kesunyian
Walauapa pun terjadi
Anggaplah semua ini satu ujian dariNya
Dan terimalah aku dengan seadanya

HIDUP HANYA SEBUAH PINJAMAN

Malam ini..
Aku masih bersama keluarga tercinta
Menghirup udara segar
Melihat bulan dan bintang bertaburan
Melihat keindahan alam maya
Adakah hari esok
Masih ku rasai semua ini??
Kematian..
Kau pasti datang.. menjemputku
Tiada yang terhindar darimu
Kehadiran mu tak dapat dihalang
Atau ditunda waktunya 



Ya Allah
Aku hamba Mu yang hina
Telalu banyak dosa lalu ku lakukan
Ku mohon keampunan Mu Ya Allah
Tiada tempat bagiku
Hanya kaulah tempat aku mengadu
Dan jangan Kau
Jauhkan aku dari Mu walau sedetik
Sinarilah hidupku dengan hidayah Mu
Berilah pertunjuk dikalaku kebuntuan
Selagi nafas bersisa di bumi Mu ini 




Ya Allah
Keindahan ini hanya pinjaman
Kehidupanku jua sebuah pinjaman
Pabila Sakaratul Maut tiba
Semua pinjaman ini dikembalikan pada Mu
Tiada lagi yang menjadi milik ku
Keluarga… kawan-kawan.. isteri tercinta
Akan ku pulangkan pada Mu
Hanyalah yang ku bawa amalanku
Ibadahku… doa anak yang soleh
Menjadi peneman di alam kubur
Matikanlah aku dalam Husnul Khatimah
Agar menjadi malam pertama
Bagi malam-malam syurga berikutnya
Dan jauhkanlah Aku
Dari malam-malam neraka berikutnya

Selasa, 11 Februari 2014

PUISI : BUMI KINANAH KEMBALI BERDARAH

Aduhai bumi kinanah kembali berdarah
Dari jauh kedengaran suara merintih
Ayah-ayah dibunuh disembelih
Ibu-ibu dinoda diperkosa
Anak-anak kecil terbunuh tanpa dosa
Kampung halaman hancur musnah tersungkur

Tanda kemanusiaan insan yang kian terkubur




Aduhai bumi gedung ilmu...
Saban hari kami menatap penderitaanmu
Parut luka lama masih belum sembuh
Kini ia kembali berdarah
Menjadi semakin parah
Air mata tangisanmu tak mampu kami kesat
Parah lukamu tak terdaya kami rawat
Musuh durjanamu tidak bersungguh kami sekat
Apa hujah kami nanti di akhirat
Jika ditanya apa yang kami telah buat?Masih tergamakkah kita berdiam kaku
Tanpa menghulur tangan sedia membantu
Sedangkan kita masih mampu mengadu

Kepada Tuhan Yang Maha Satu...




Ya Allah...dengarlah suara rintihan ini
Buat saudara kami yang dikasihi
Hentikan segala kesedihan dan penderitaan
Kami merayu dengan penuh harapan
Hancurkan kezaliman musnahkan penindasan
Hantarkan pertolongan pasakkan keyakinan

Semoga ia berakhir dengan kemenangan

Selamatkanlah ardhul kinanah dari kemusnahan...