Ahad, 13 September 2020

SISI PANDANG KEBAIKAN ALIRAN LIBERAL

 

Kebelakangan hari ini kita dapat menyaksikan definisi fahaman Liberal yang diterbitkan menerusi laman media rasmi JAKIM dengan menyatakan bahawa fahaman liberal adalah suatu bentuk pemikiran yang bebas dan terbuka dan dipandu oleh hawa nafsu dalam pelbagai bidang.

Definisi ini perlu disemak semula untuk memaknainya dengan lebih tepat. Jika kita lihat dalam sejarah dunia, fahaman liberal adalah suatu tindak balas terhadap golongan agamawan Kristian ketika itu yang menunggang agama demi menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan mereka. Tanah warisan rakyat ketika itu dirampas dan dibina gereja tujuan kononnya untuk agama. Pelbagai kezaliman dan penindasan telah dihalalkan atas nama agama.



Kesan kezaliman yang menunggang atas nama agama ini, maka lahirlah gerakan reformis yang disebut sebagai Liberal yang dahulunya dipelopori oleh beberapa tokoh seperti Martin Luther. Gerakan reformis liberal ini muncul dan menjadi wadah perjuangan bagi mereka yang memusuhi orang agama yang dilihat sebagai keterlaluan hingga menunggang agama.

Krisis orang agama ini muncul apabila wujudnya kelompok agamawan yang jumud. Maka semua manusia yang mempunyai pemikiran luas akan menjadi mangsa atas nama agama. Perkara sebegini telah tercatat dalam sejarah zaman gelap Eropah. Berapa ramai para saintis dibunuh, dihukum sesat dan murtad hanya kerana memberikan pandangan berkaitan sains yang tida dapat difahami oleh para paderi ketika itu.

Kemunculan gerakan liberal ini telah membawa keluar manusia daripada kebodohan menuju arah kebebasan berfikir. Daripada bertaklid buta mengikut semberono agama berdasarkan kalam orang agama, menuju kearah mentaliti berfikir dan menganalisis ilmu sebelum diterima pakai. Kewujudan fahaman liberal ada baiknya juga. Mereka telah menyelamatkan akal manusia daripada ditunggang demi kepentingan orang agama. Mereka menyelamatkan nilai dan khazanah ilmu daripada di sembunyikan oleh orang jumud dalam beragama.



Perkataan liberal sendiri membawa makna kebebasan untuk berfikir, kebebasan untuk menilai dan kebebasan untuk bersuara demi menegakkan sebuah kebenaran. Kebebasan menjadi gagasan penting bagi mereka untuk menentang golongan jumud dalam beragama. Kita harus mengakui akan jasa golongan liberal ini yang telah memerdekakan akal manusia dari dicandu dan diperbodohkan. Itulah hakikatnya.

Dalam konteks Malaysia hari ini, kita harus iktiraf jasa golongan liberal ini yang mengkritik sistem kehakiman Mahkamah Syariah yang dilihat sebagai lambat dalam proses tuntutan fasakh, cerai dan hak hadhanah. Mereka bangun membela golongan wanita yang dizalimi oleh sang suami. Ini bagus. Namun pada satu sudut yang lain, kita harus menentang keterlampauan mereka dalam isu yang melanggar prinsip syariah seperti menuntut hak kebebasan golongan LGBT, mempertikaikan syariat menutup aurat dan sebagainya.

Islam sangat mengiktiraf hak kebebasan manusia dalam berfikir, menganalisis serta mengkaji sesuatu perkara. Tetapi, tidak ada kebebasan yang bersifat mutlak untuk manusia. Ini kerana syariat Islam telah meletakan batasan dengan tujuan kebaikan dan kemaslahatan ummat. Tidak ada yang mutlak di dalam Islam. Apa yang baik, kita boleh jadikan sebagai teladan. Yang buruk kita boleh jadikan ianya sebagai pengajaran. Semoga Allah membimbing hidup kita menuju jalan Nya yang lurus.

Isnin, 7 September 2020

ISLAM & PRINSIP DEMOKRASI

 

Islam adalah suatu agama yang lengkap dan sempurna. Tidak ada cacat celanya lagi. Islam juga bukan sekadar mengajar amalan kerohanian jiwa, mengajar umatnya untuk solat, puasa dan selainnya, bahkan mengajar umatnya untuk berpolitik dan bersosial sesuai dengan peredaran zaman yang dilaluinya. Islam juga merupakan suatu gaya kehidupan yang sempurna bermula dari ditiupkan roh ke dalam rahim ibu hingga lah kita kembali kepada Nya.

Hubungan agama tidak terhenti di satu sudut sahaja. Bahkan meraikan perubahan keadaan dan zaman. Begitu juga dalam soal hukum hakam di dalam agama. Ada hukum yang bersifat thawabit (tetap) dan ada yang bersifat mutaghayyirat (berubah-ubah). Misalnya, hukum bersifat thawabit ini seperti bilangan rakaat solat fardhu, ibadah haji di baitullah, dan kewajipan membayar zakat fitrah. Ia tidak boleh diubah sekalipun sama ada untuk mengurangkan atau untuk menambahkan. Hukum bersifat berubah -ubah pula misalnya seperti hukum baca bismillah ketika solat, hukum tahalluf dan sebagainya. Hukum pelaksanaan demokrasi termasuk dalam soal ijtihad demi maslahah ummah.

Secara prinsipnya, Islam dan demokrasi mempunyai maksud dan tujuan yang sama. Walau pun demokrasi dilihat sebagai suatu falsafah yang mengikut acuan barat, namun ianya terbuka dan fleksibel dari sudut makna dan pelaksanaannya. Sehingga kini, pelbagai takrifan dan definisi demokrasi cuba dilontarkan bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang demokrasi. Namun, biar apa pun definis dan takrifan yang cuba untuk diberi, selagi mana ianya tidak melanggar prinsip Islam maka tidak timbul masalah untuk kita amalkan.

 

 



Segelintir golongan umat Islam menolak sistem demokrasi pada hari ini adalah barangkali kerana kegagalan mereka untuk melihat dan menyingkap falsafah demokrasi yang sebenarnya selari dengan tuntutan agama pada hari ini. Dalam sistem demokrasi, pemilihan pemimpin adalah berdasarkan suara majoriti. Perkara ini tidak bertentangan dengan Islam. Perkara ini kita boleh melihat bagaimana pemilihan khalifah dibuat diatas kesepakatan ahli syura yang dibuka ruang seluasnya untuk bersuara dan membuat pilihan memilih ketua.

Dalam sistem demokrasi, kebebasan bersuara juga merupakan suatu tuntutan dalam agama Islam. Bezanya dalam Islam ialah tidak ada kebebasan yang bersifat mutlak. Kebebasan tersebut dibenarkan selagi perkara itu tidak terkeluar atau melampau daripada pandangan syarak. Kebebasan bersuara juga telah memberikan ruang untuk para imam berbeza ijtihad sehingga membentuk suatu madrasah mazhabnya yang tersendiri.

Almarhum Syeikh Muhammad Imarah berpandangan, Islam tidak menolak sepenuhnya demokrasi dan pada masa sama Islam juga tidak menerima demokrasi secara mutlak. Beliau berpandangan Allah adalah pemegang hukum secara mutlak. Dia lah yang berkuasa menetapkan hukum secara mutlak. Oleh itu, sistem demokrasi memberi tanggungjawab kepada manusia yang dipilih dalam sistem demokrasi untuk merumuskan hukum sesuai dengan garis panduan syarak yang telah ditetapkan secara mutlak oleh Allah.

Peri penting nya untuk kita fahami adalah soal sistem berkaitan politik ini adalah soal ijtihad yang dibenarkan oleh syarak. Diberikan ruang untuk diamalkan asalkan tidak lari daripada maqasid syariah yang sebenar. Maka kurang tepatlah jika kita katakan bahawa demokrasi adalah hukum haram kerana tidak mengikut perlembagaan Al quran dan sunnah. Meski pun ianya berasal daripada sistem barat, namun banyak persamaannya yang juga menjadi tuntutan dalam agama Islam. Semoga Allah memberikan kita kefahaman Islam yang jelas dan benar.

Khamis, 3 September 2020

TAWASSUL ANTARA SYARIAT & LARANGAN

Perkataan tawassul adalah berasal daripada bahasa arab. Dari sudut bahasa, tawassul membawa makna mendekatkan diri. Dari sudut istilah pula, tawassul membawa makna menjadikan sesuatu amalan itu sebagai perantara atau asbab (penyebab) untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Azza Wa Jalla. 

Terdapat pandangan lain mengatakan bahawa tawassul adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat Allah yang Maha Suci dan juga amal soleh yang dilakukan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah dibenarkan oleh syarak tanpa khilaf.



Dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang panjang, diceritakan tentang perihal Uwais al Qarani, Rasulullah SAW berkata kepada Saidina Umar yang bermaksud :

"Sekiranya kamu mampu untuk meminta dia (Uwais al Qarani) beristighfar (mendoakan keampunan) buat diri kamu maka lakukanlah".

Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW telah menyifatkan Uwais al Qarani sebagai seorang yang soleh dek kerana ketaatan nya kepada ibunya yang telah uzur. Oleh itu, hadis ini menjadi sandaran dalil bahawa boleh bertawassul dengan bentuk memohon doa daripada orang soleh yang masih hidup. Dan cara bertawassul dengan orang soleh yang masih hidup adalah dengan berdoa, bukannya mengagungkan jasadnya.

Adapun bertawassul yang dilarang ada banyak bentuknya. Antaranya meminta pada berhala, patung, memuja makhluk sehingga lupa hakikatnya Allah yang lebih berkuasa atas segala sesuatu. Namun, dalam banyak bentuk tawassul yang dilarang ini, berlaku perbincangan yang sangat luas oleh ahli ilmu berkenaan bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia.



Dalam Kitab Al Tawassul Baina Masyru'i wal Mamnu' yang dikarang oleh Syaikh Abdul Aziz Bin Abdullah Al Juhani, beliau membahaskan secara mendalam penghujahan dan bantahan terhadap mereka yang berhujah boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara seruan. Misalnya, lafaz "Ya Syeikh..doakan untuk kami...". Golongan yang membenarkan tawassul dengan orang mati ini juga, mereka mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang soleh atau menyeru di dalam majlis mereka.

Bentuk tawassul seperti menyeru di tanah perkuburan, menyeru di dalam majlis-majlis khusus sama sekali tidak diajar oleh Nabi apatah lagi diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW. Kita juga boleh melihat bagaimana perbuatan Umar al Khattab yang bertawassul kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya, daripada Anas RA berkata :

"Bahawa Umar al Khattab apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas bin Abdul Mutalib dengan doanya : " Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami  Sekarang kami bertawassul pula dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami".

Tawassul adalah suatu ibadah yang harus. Pada masa sama, ianya boleh berubah menjadi haram sekiranya kita telah melanggar prinsip akidah dengan cara batil, menyembah kubur, menyeru nama tok wali, tok syeikh dan sebagainya. Demikian gambaran ringkas dan umum tentang tawassul antara yang disyariatkan dan yang diharamkan oleh islam. Dalam soal akidah, kita haruslah menjaga dan peliharanya daripada terpesong sehingga membelakangkan kekuasaan dan keagungan Allah Azza Wa Jalla. Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua daripada melakukan kesyirikan kepada Allah.

Rabu, 2 September 2020

HUKUM FARAID : SUATU BENTUK PENINDASAN GENDER TERHADAP WANITA

 

Menurut Nong Darol Mahmada, seorang ahli Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia pernah melontarkan pandangan beliau berkenaan ayat-ayat Al Quran yang membahaskan isu faraid perlu disemak dan ditafsirkan semula. Ini kerana beliau berpandangan pada zaman sekarang hukum boleh berubah kerana kaum wanita lebih pandai atau bijak berbanding kaum lelaki.

Azra Azyumardi, juga seorang tokoh JIL juga berpandangan hukum faraid berkaitan harta pewarisan adalah persoalan kebudayaan. Menurut beliau, Al Quran diturunkan dalam keadaan masyarakat tertentu. Maka hukum faraid yang tercatat di dalam kalam suci itu terpakai mengikut kesesuaian bangsa Arab tersebut.




Beberapa pandangan terpesong ini semakin menjadi pegangan dan fahaman dikalangan masyarakat kita. Apatah lagi sejak akhir ini timbul perbalahan berkenaan pertikaian hak pewaris yang menjadi isu hangat juga diperbincangkan di laman medsos. Kefahaman yang salah dan menyimpang ini harus dibetulkan dengan baik agar syariat hukum faraid ini tidak terfitnah dengan fahaman salah ini.

Pertamanya, setiap sesuatu pensyariatan itu, sama ada kita suka atau pun tidak, menyebelahi kita atau pun menyanggah dengan diri kita, ianya suatu yang baik dan sempurna. Tidak ada cacat celanya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :

" Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku sempurnakan nikmat Ku, dan telah Ku redha Islam agama bagimu"

Berdasarkan firman Allah, jelas bagi kita bahwa syariat Islam telah disempurnakan oleh Allah dengan selayaknya. Maka bukanlah tugas kita untuk mempertikaikan sesuatu hukum mengikut kebebasan akal berfikir. Meskipun akal itu fungsinya untuk berfikir, namun sedarlah kita akal itu mempunyai keterbatasan yang dicipta oleh Nya.

 

 



Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily dalam isu pembahagian faraid antara lelaki dan wanita, beliau berpandangan bahawa ayat 11 daripada surah An Nisa adalah peruntukkan agama bagi membenarkan wanita juga berhak menerimanya. Jadi, tidak timbul lah isu penindasan atau diskriminasi terhadap gender wanita kerana kedua-duanya layak mendapatkannya.

Cumanya, apabila timbulnya soal pembahagian, maka menurut Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily selayaknya pembahagian tersebut diagihkan diatas kebijaksanaan Allah yang merentasi akal manusia. Selayaknya Allah membahagi-bahagikan faraid tersebut mengikut sifat Nya yang Maha Mengetahui. Mustahil bagi Allah yang memiliki segala sifat dan zat kesempurnaan berkehendak untuk menindas hamba Nya dikalangan wanita.

Sememangnya layak golongan lelaki menerima dua bahagian berbanding wanita mendapat satu bahagian kerana menjadi tanggungjawab bagi yang bergelar lelaki menanggung nafkah terhadap isteri dan anak-anaknya. Bahkan sekalipun si lelaki telah berkahwin dan mempunyai anak, tidak sama sekali menggugurkan kewajipan beliau terhadap ibubapanya. Firman Allah dalam surah An Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita. Kerana itu Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka."

Demikian Allah diatas kebijaksanaan dan pengetahuan Nya, telah mengatur sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Segala peraturan yang disyariatkan tersebut telah pun memiliki kesempurnaan dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari hikmah dan bukannya mencetuskan keraguan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas.


Ahad, 30 Ogos 2020

MERDEKA : SUATU LANGKAH PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Bergema gegak gempita di seluruh pelusuk negara dengan laungan keramat kalimah "Merdeka" menjadi zikir di bibit mulut kita apabila menjelang tarikh 31 Ogos. Seluruh masyarakat dari pelbagai lapisan umur, kaum dan bangsa, semuanya senada satu hati dan satu jiwa melaungkan kalimat merdeka. Tidak kurang juga, pelbagai poster grafik pelbagai corak di hiasi dengan ucapan baik, doa munajat serta harapan untuk negara bangsa. Alhamdulillah kita semua masih mempunyai nada yang sama iaitu cinta dan kasih nya kita pada negara bumi bertuah ini. Perkembangan ini sangat baik untuk kita hargai dan raikan bersama.



Dalam kerancakkan kita melaungkan kalimat merdeka, sebenarnya jauh dari sudut itu, terdapat misi perjuangan yang perlu kita warisi, yang perlu kita teruskan bahkan wajib kita laksanakan perjuangan ini. Iaitu perjuangan membebaskan diri kita daripada menjadi hamba keduniaan. Dalam surah Ad Zariyat, ayat 56, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku"

Dalam Kitab Tafsir Al Qurtubi, Ibnu Abbas berkata : semua penyebutan ibadah di dalam Al quran adalah maknanya tauhid. Bermakna, tujuan sebenar kita diciptakan oleh Allah adalah untuk mentauhidkan Nya. Membesarkan Nya dengan segala kelayakan kekuasaan Nya. Memuji dan memuja dengan kelayakan kesucian Nya.

Ibadah adalah bermakna perhambaan kepada Nya dengan mentauhidkan Allah. Betapa besarnya perjuangan kita pada hari ini untuk mendidik hati dan jiwa kita untuk keluar dari kepungan duniawi. Bukan sekadar bebas dari fizikal bahkan jiwa kita juga perlu bebas daripada sebarang perkara yang boleh mensyirikan Allah. Malangnya umat hari ini, ada yang masih bertuhankan wang ringgit, sanggup menghabiskan wang demi kecantikan, sanggup membelanjakan sebesar jumlah wang untuk mendapatkan keseronokkan yang fana, tetapi liat dan malas untuk membelanjakan harta ke jalan Allah.


Dalam Kitab Tafsir Al Qurtubi, Ibnu Abbas berkata : semua penyebutan ibadah di dalam Al quran adalah maknanya tauhid. Bermakna, tujuan sebenar kita diciptakan oleh Allah adalah untuk mentauhidkan Nya. Membesarkan Nya dengan segala kelayakan kekuasaan Nya. Memuji dan memuja dengan kelayakan kesucian Nya. 

Ke mana pergi jiwa yang penuh kehambaan ? Ke mana hilang air mata kerana mengenang dosa dan kelalaian ? Di mana perginya getaran jiwa disaat membawa ayat-ayat ancaman dari Tuhan ? Ya. Barangkali hati kita sudah lama tidak disentuh oleh firman Nya. Mungkin juga kita mengenali Tuhan kerana bersempena. Demikian lah manusia yang seringkali tertipu dengan perhiasan dunia. Sehingga tidak dapat bezakan antara syariat dan adat.

Marilah kita bangkit dan terus melangkah sebagai pejuang membebaskan minda dan jiwa kita daripada di belenggu oleh rantaian nafsu dan syahwat. Perjuangan merdeka tidak terhenti sekadar laungan namun dibuktikan dengan amalan dan diniatkan hanya untuk Tuhan yakni Allah. Usaha untuk lakukan perubahan insha Allah natijahnya kita berserah kepada Tuhan. Moga kita bukan sekadar merdeka dengan laungan tetapi terus berjuang dengan penuh ketaqwaan dan keimanan.


Jumaat, 21 Ogos 2020

TAHUN BARU & PERISTIWA HIJRAH : KEKELIRUAN YANG PERLU DIPERBETULKAN

Pertamanya, diatas rasa kasih dan sayang pada khazanah lembaran sejarah Islam dan juga diatas sebab rasa bertanggungjawab menegakkan kebenaran berdasarkan fakta yang sahih maka seluruh umat Islam khususnya wajib memahami beberapa perkara berkaitan kalendar hijrah dan peristiwa hijrah baginda Nabi SAW. Diatas ilmu dan pengetahuan yang ada, umat harus memperbetulkan pandangan berkenaan dua perkara penting ini. Catatan sejarah telah menulis dengan fakta yang sahih. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk bercakap atas fakta ini dan kita juga seharusnya bertanggungjawab memelihara fakta yang telah tercatat ini dengan penuh rasa yakin.

Seringkali disalah fahami berkenaan sejarah penciptaan kalendar hijrah. Kalendar hijrah adalah hasil ijtihad khalifah Amirul Mukminin, Saidina Umar Al Khattab RA. Pada zaman beliau menjadi khalifah, beliau telah menerima cadangan oleh umat Islam agar diwujudkan suatu takwim atau kalendar rasmi bagi umat Islam. Kerana pada zaman dahulu, tidak terdapat satu kalendar rasmi. Orang Arab ketika itu hanya ada perkiraan bilangan bulan sebanyak 12 bulan dan tidak ada kiraan tahun Islam. Orang Arab hanya mengenal pergiliran bulan tanpa ada perkiraan tahun demi tahun. Melihat kepada negara dan wilayah lain, maka lahirlah beberapa cadangan dan idea dari para sahabat untuk dikemukakan dan dibincangkan bersama. 



Maka Saidina Umar bersetuju untuk mencipta kalendar umat Islam dan membuka cadangan untuk memilih perkiraan tahun pertama untuk kalendar umat Islam. Ada yang mencadangkan tahun kelahiran baginda Nabi SAW tetapi ditolak oleh Umar. Akhirnya, Umar al Khattab bersetuju untuk memilih tahun baginda berhijrah dijadikan sebagai tahun pertama kalendar Islam. Kemudian berlaku pula perbincangan memilih bulan pertama untuk dijadikan bulan awal tahun. Setelah berbincang, Umar al Khattab bersetuju untuk memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kiraan kalendar Hijrah. Maka bermula lah penciptaan kalendar Hijrah yang mana bulan pertama nya adalah Muharram.

Adapun peristiwa hijrah, tidaklah berlaku pada bulan Muharram. Sama ada hijrah pertama umat Islam ke Habsyah mahupun hijrah baginda Nabi SAW ke Madinah. Kedua-dua hijrah ini tidak berlaku pada bulan Muharram. Dalam kitab Sirah masyhur, Ar Raheeq al Makhtum, dikarang oleh Safiyyurahman al Mubarakfury, menyatakan bahawa peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah telah berlaku pada bulan Rejab tahun kelima dari kenabian. Manakala peristiwa hijrah baginda Nabi ke Madinah telah berlaku pada awal bulan Rabi'ul Awwal. Baginda Nabi SAW meninggalkan rumah pada malam 27 Safar. Kemudian baginda Nabi menuju ke rumah Abu Bakar lantas mereka berdua bergerak ke Makkah secara tergesa-gesa sebelum fajar menyingsing. Daripada Makkah, pada hari Isnin 1 Rabiul Awwal. maka baginda Nabi bersama Abu Bakar bergerak menuju ke Madinah.

Imam Ibnu Kathir dalam penulisan kitabnya Bidayah wal Nihayah menyebutkan bahawa pemilihan bulan Muharram sebagai kiraan bulan pertama kalendar hijrah adalah kerana Muharram adalah bulan yang sesuai memandangkan umat Islam telah selesai mengerjakan haji. Bahkan Muharram juga termasuk sebagai bulan-bulan haram. Jelas bagi kita, pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama kalendar Hijrah bukan lah kerana berlakunya peristiwa hijrah Nabi SAW sebaliknya diatas perbincangan dan ijtihad pemimpin Islam ketika itu, Umar al Khattab. Kita seharusnya mengetahui bahawa pemilihan bulan Muharram adalah kerana aspek lain dan tidak ada kaitannya dengan peristiwa Hijrah Nabi seperti yang selalu kita dengarkan sebelum ini.


Jelas disini bahawa kalendar Hijrah tidak ada lagi pada zaman Nabi SAW. Ia bukanlah suatu syariat tetapi suatu ijtihad khalifah Islam dalam soal memperkemaskan lagi sistem tadbir urus Islam. Kita juga harus fahami bahawa bulan Muharram bukan lah bulan baginda Nabi berhijrah sebaliknya Muharram dipilih atas keputusan bersama ketika itu dan tidak ada kaitan dengan peristiwa hijrah. Kalendar Hijrah dibuatkan oleh Umar al Khattab bukanlah untuk diadakan upacara atau sambutan tertentu. Sebaliknya, kalendar Hijrah dicipta bagi memperkemaskan lagi tadbir urus kehidupan orang Islam khususnya. Maka yang demikian, tidak ada sebarang anjuran doa awal dan akhir tahun. Tidak pernah dilakukan oleh baginda Nabi SAW serta para sahabat. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 4 Ogos 2020

ULAMA', TOK GURU & KRITIKAN TERHADAP MEREKA

Ulama merupakan kata jamak (plural) yang berasal daripada perkataan alim yang membawa maksud mengetahui sesuatu secara mendalam. Alim merujuk kepada makna tahu. Berbeza dengan lafaz ulama yang membawa maksud mengetahui sesuatu secara mendalam. 

Maka dari maksud keseluruhan ini, dapat kita simpulkan bahawa ulama adalah merujuk kepada golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan mendalam serta menguasai sesuatu bidang yang dipeloporinya. Misalnya, ada yang digelar sebagai ulama hiraki yakni membawa makna orang yang sangat berilmu tinggi dan sangat mahir tentang hiraki atau gerakan, kepartian dan seerti dengannya.

Namun bukan itu yang hendak diperkatakan. Apa yang menjadi tanggapan orang awam yang tidak memiliki kelebihan dari segi keilmuan seperti mereka ini, ada yang beranggapan bahwa ulama adalah suatu badan agama yang mempunyai kuasa autoriti yang bersifat qat'ie (putus @ muktamad) tanpa perlu ditanya atau di bantah. Kerana pada anggapan sesetengah masyarakat hari ini melihat ulama tidak akan pernah tersilap dari sebarang kesalahan dan kekhilafan. Tanggapan ini adalah tidak benar dan bercanggah dengan hadis Nabi SAW. Daripada khadam Nabi, Anas Bin Malik RA, bahawa baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Semua anak adam itu melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat"

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW dengan jelas memberitahu bahawa setiap insan yang berada di atas muka bumi Allah pasti tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Sesiapa pun dia, apa pun pekerjaan nya, walau apa pun pangkat, darjat dan kedudukannya pasti dan mesti akan melakukan kesilapan. Umumnya kita boleh simpulkan bahawa golongan ulama juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Dalam satu sudut yang lain, slogan "anak muda sayang ulama" , "kami bersama kepimpinan ulama" adalah suatu slogan yang baik jika tidak di ikuti dengan sikap ketaksuban melampau. Perkara ini bahaya kerana sehingga ada yang menganggap tok guru mereka atau ulama mereka tidak boleh dipertikai sama sekali. Manusia telah dinafikan hak untuk bertanya dan dituntut supaya mengiyakan sahaja asalkan ianya datang dari mulut ulama dan tok guru mereka. Konsep halamuma wa haramukum diguna pakai bagi menghalalkan apa sahaja yang diperkatakan oleh tok guru tanpa di bahas, di bincang dan dilumatkan.



Kita harus ingat bahawa mengkritik seseorang ulama atau tok guru diatas penilaian ilmiah dan bukan kerana sentimen peribadi bukanlah bermakna kita tidak menghormatinya sebagai guru kita. Tetapi dalam dunia ilmiah, ianya terbuka luas untuk di bincang dan di bahas sesuatu perkara sesuai dengan kelayakan dan akal fikirannya sehingga mencapai titik penjelasan yang sejelasnya dan bukannya bermatlamatkan mencari titik kemenangan.

Islam itu sendiri tidak terbina diatas kuasa mutlak ulama atau tok guru untuk memutuskan apa sahaja dia suka. Sebaliknya agama ini terbina diatas hujah dan dalil. Selagi berlandaskan pada neraca ilmiah maka sesiapa sahaja layak untuk dikritik sekalipun ianya adalah orang alim. Budaya taksub, taklid buta, sikap fanatik semberono akan memakan diri dan merugikan manusia. Sedangkan Allah juga menganjurkan kita untuk bertanya pada ahli sepertimana firman Nya dalam surah al Nahl ayat 43 yang bermaksud :

"Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui".

Bertanya boleh datang dalam bentuk kritikan. Maka kita dituntut untuk terus berfikir diatas neraca ilmiah dan memperbetulkan perkara yang tidak benar sekalipun perkara tersebut dibuat atau disebut oleh tok guru kita. Untuk itu, barangkali apa yang perlu ditambah lagi dalam soal mengkritik ini adalah tentang soal peradaban, bahasa yang terpilih supaya tidak timbul salah faham dan sangkaan penghinaan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.