Khamis, 27 Ogos 2015

KEPENTINGAN ULAMA DAN UMARA

Kedua-duanya, ulama dan umara merupakan dua institusi penting yang bertanggungjawab menentukan perjalanan kehidupan ummah keseluruhannya berada di atas landasan kebenaran atau dengan kata lain mengguruskan kehidupan dunia berlandaskan syariah. Ternyatalah bahawa ulama mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah meletakkan mereka sebagai pewaris para nabi. Dengan pengertian lain, ia menjadi pengganti nabi dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya. Persoalan al-Imarah atau kepimpinan sebagai suatu yang amat penting dan utama. Para sahabat Rasulullah amat memahami perkara ini sehinggakan mereka menangguhkan urusan pengkebumian jenazah Baginda semata-mata menyelesaikan urusan perlantikan pemimpin baru umat Islam. Perkara ini berakhir dengan pemilihan Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama. Institusi umara’ bertanggungjawab mewarnakan sistem politik yang benar dan tepat menurut kehendak Islam.


Agenda pembangunan ummah hanya dapat berjalan dengan lancar menurut syariah Allah sekiranya institusi ini diuruskan dengan baik. Demikian pula sebaliknya, sekiranya kepimpinan itu berpindah tangan kepada manusia yang tidak bertanggungjawab, maka semangat ‘baldatun toyyibah warabbun ghafur’ tidak akan terlaksana. Justeru, tanggungjawab kepimpinan Islam adalah untuk menjaga dua perkara. Pertama; menjaga agama dan mendaulatkan Islam dan kedua adalah menguruskan dan mentadbir negara mengikut landasan Islam. Kepimpinan negara tidak boleh mengadakan sebarang aktiviti atau menguatkuasakan peraturan dan undang-undang mengikut selera  atau pandangan mereka semata-mata, sebaliknya mereka mestilah merujuk kepada ketetapan Islam dari segi halal dan haram. Ini kerana kepimpinan Islam mempunyai keyakinan bahawa pengurusan negara tidak mengambil kisah soal halal dan haram tidak akan membawa kepada kejayaan dan keberkatan. 




Sebaliknya mereka mereka yakin bahawa limpahan nikmat Allah memayungi kemajuan yang mereka capai yang diasaskan kepada prinsip taqwa itu tadi. Kerjasama dua institusi penting ini tidak menjadi isu kerana sejarah Islam membuktikan seorang pemimpin adalah  seorang yang bertaraf ulama.  Diskusi mengenai perkara ini tidak terjadi kerana pemimpin masa itu mempunyai keupayaan membuat rujukan secara persendirian tanpa melupakan prinsip syura. Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman dan Ali adalah khulafa yang mengambil alih tempat nabi dalam urusan kepimpinan dan keagamaan. Justeru itu, para cerdik pandai Islam yang menulis buku di bidang siasah dan pentadbiran negara menyatakan bahawa jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti khalifah, perdana menteri dan para hakim hendaklah disandang oleh para ulama mujtahidin daripada kalangan ulama Islam.
                                                                                                  

Tetapi apabila kepimpinan beralih tangan kepada kalangan yang bukan bertaraf ulama, persoalan ini timbul. Terdapat cendiakawan Islam mengatakan bahawa mengetahui syariat Islam sampai peringkat ijtihad adalah salah satu daripada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi ketua negara dan perdana menteri di dalam negara Islam. Perkara ini tidak dapat dipraktiskan dengan baik disebabkan kemuflisan amir daripada sudut keilmuan. Perbahasan mengenai kedudukan ulama dan keterlibatan mereka dalam pemerintahan menjadi semakin kritis apabila negara-negara umat Islam disekularkan oleh penjajah. Mereka merancang pemisahan gereja daripada sistem pemerintahan negara. Mereka medualismakan cara hidup umat Islam. Satu cara hidup perseorangan dan kekeluargaan dan satu lagi cara hidup bernegara. 



Hal ini menjadikan sistem politik, pentadbiran, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan dan perekonomian negara umat Islam dipisahkan daripada sistem Islam. Kesan dari itu, kebanyakan negara umat Islam menganuti dua fahaman penasihat kepada pemerintah; penasihat agama yang dinamakan mufti dan satu lagi penasihat undang-undang. Namun demikian para mufti tidak diberikan kuasa atau peranan yang sewajarnya di dalam sebuah negara. Sekalipun demokrasi menjadi amalan, namun mereka seolah-olah tidak dianggap orang yang begitu penting. Pandangan mereka tidak wajib ditaati oleh kerajaan berbeza dengan pandangan penasihat undang-undang atau peguam negara. Ekoran daripada itu, institusi ulama tidak diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya. Dalam keadaan begini, ulama mula berpecah kepada beberapa golongan dan jalinan kerjasama antara mereka yang mulai rapuh.



Paling tidak terdapat dua golongan ulama; ulama yang baik dan ulama yang jahat. Ulama yang baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah. Mereka tidak mengasingkan diri daripada dunia, malah berikhtiar bertaqarrub kepada Allah melalui program nasihat menasihati. Ulama jahat ialah mereka yang mencari makan dengan menggunakan agama dan memperniagakan syariat. Mereka menghampiri semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim. Mereka terus menyokong golongan tersebut. Apabila ulama mula berpecah, maka rentetan perpecahan itu menjalar ke akar umbi masyarakat sebagaimana setiap kumpulan mempunyai penyokong dan pengikut yang tersendiri. Ulama dan umara mewakili dua institusi penting yang menjadi tonggak kesejahteraan masyarakat. Sekiranya kedua-dua institusi ini dipandu syariat, maka masyarakat akan berada dalam rukun dan damai. Sekiranya mereka menyimpang dari kebenaran, maka masyarakat tidak akan bertemu dengan jalan keberkatan. 

SUDAH MERDEKAKAH KITA ?

Selamat menyambut hari kemerdekaan.Semoga pemberian nikmat ini akan berkekalan hendak-Nya. Negara kita telah 58 tahun merdeka namun bagaimana dengan kita sendiri? Sedar atau tidak masih banyak perkara yang kita masih belum merdeka atau lebih tepat sebenar-benar merdeka.Apakah ertinya kemerdekaan? Secara ringkas, kemerdekaan bermaksud kebebasan ataupun berdikari. Adakah kita benar-benar mencapai nikmat kemerdekaan yang sebenar? Kita masih belum merdeka dari segi minda. Majoriti dari kita masih belum merdeka dari segi minda. Kebanyakkan masyarakat kita masih belum percaya dengan kemampuan diri sendiri. Baik dari segi kerjaya atau keusahawan, kita boleh saksikan berapa kerat saja yang benar-benar berjaya, dan pastinya mereka yang berjaya bukan kerana nasib ‘baik’ menyebelahi mereka, namun kerana mereka yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri!


Kita masih belum merdeka dari segi kehidupan. Cuba kita buat ’spot-check’ terhadap kehidupan seharian kita. Adakah kita sudah merdeka? Sebenarnya kita masih belum merdeka. Ramai masyarakat kita hari ini hidup di atas buah fikiran orang lain. Sebagai contoh, majoriti masyarakat kita berpendapat kejayaan sesuatu perniagaan diukur melalui jenis kereta yang dinaiki. Kononnya. Maka kita pun berusaha sekuat hati untuk membeli kereta besar walaupun perniagaan masih belum kemana kerana nak buktikan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling bahawa kita telah berjaya. Sedarlah kita bahwa kita hidup di atas dasar pemikiran orang lain! Bebanan bulanan kamu yang perlu tanggung dan bukannya ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling. Beli kereta besar setelah benar-benar kita mampu dan bukannya kerana nak buktikan bahawa kita berjaya kepada orang lain, barulah merdeka. Kadang-kadang kita sendiri masih belum merdeka di dalam membuat keputusan untuk kehidupan kita. 




Kita masih merdeka belum dari segi hati dan jiwa. Kehidupan di dunia adalah sementara dan kehidupan di sana adalah yang kekal abadi. Peringatan untuk diri saya sendiri juga yang masih berusaha untuk membebaskan hati dari dunia. Sentiasa panjatkan doa kepada Allah agar jangan kerana mengejar dunia maka kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Suka untuk saya memetik satu hadis nabi buat renungan kita bersama. Dari Anas R.A meriwayatkan sabda Rasulullah SAW :

“Barangsiapa yang perhatiannya hanya tertuju pada dunia, dan tujuan hidupnya hanya untuk mencari dunia, ia berpergian untuk keperluan dunia dan senantiasa memikirkan dunia maka Allah SWT akan membentangkan dihadapan matanya perasaan takut kepada kemisikinan dan kelaparan. Dan ia akan menghabiskan waktunya untuk memikirkan dan mengkhawatirkan dunia, sedangkan ia hanya akan mendapatkan sekadar yang telah ditakdirkan untuknya.

Barangsiapa yang menumpahkan perhatiannya pada akhirat dan sentiasa memikirkan akhirat, maka Allah SWT akan menyelamatkannya dari kegelisahan dan kebimbangan mengenai dunia. Allah SWT akan mengurniakan kepadanya rasa puas dan tidak berhajat kepada benda dunia. Allah SWT akan mempermudah segala urusannya, dan dunia akan datang sendiri dalam keadaan hina.” 




Ayuh, sama-sama kita panjatkan doa kepada Ilahi agar kita menjadi seorang Hamba yang benar-benar Merdeka duniawi dan ukhrawi kerana itulah yang kita inginkan, kebahagiaan di dunia untuk dijadikan bekalan untuk mendapat kebahagiaan hakiki di akhirat nanti. Sempena sambutan hari kebangsaan ini, marilah sama-sama kita bersatu hati teguhkan perpaduan dan eratkan ikatan ukhwah sesama kita. Seiringkan langkah menuju wawasan 2020 dan lengkapkanlah diri kita dengan kefahaman agama nescaya Allah senantiasa bersama hamba Nya.

DUNIA HARI INI

Perkembangan dunia hari ini semakin menuju kerosakkan diatas sebab tangan-tangan manusia itu sendiri yang mencorakkannya. Yang kaya terus berharta lipat kali ganda,yang miskin terus terhimpit dek asakan hidup yang sempit,yang benar dikatakan salah dan yang salah diangkat sebagai sebuah kebenaran. Terkadang para belia khususnya melayu hari ini terlalu asyik dengan dunia lara mereka,yang dewasa terlalu leka dengan agenda politik masing-masing. Akhirnya tidak kemana dan di bawa hanyut arus keduniaan.Susah untuk kita mencari sebuah makna kebenaran kerana dunia hari ini dilingkari dengan garisan fitnah yang menebal luas di pemikiran kita. Perbalahan,pertelingkahan dan permusuhan sesama kita tidak akan pernah menguntungkan sesiapa malah merugikan masa depan kita semua. Tidak sedarkah kita bahwa penyatuan ummat menjadi tonggak kekuatan umat islam pada masa kini. Umat kian menderita dan kita terus leka dan alpa.


Ulang tahun kemerdekaan negara tinggal beberapa hari sahaja lagi. Kelihatan suasanya agak hambar,sepi dan suram berbanding tahun-tahun terdahulu. Rakyat hari ini lebih tertumpu kepada nilai matawang yang kian jatuh merudum.Kestabilan politik hari ini sudah diancam dengan penuh fenomena cabar-mencabar,fitnah menfitnah dan buruk memburukkan antara satu sama yang lain. Rakyat yang rata-rata hari ini lebih bimbang,gusar,resah dan gelisah dengan suasana ekonomi,politik dan sosial yang semakin hari semakin menuju kemunduran. Kebejatan masalah demi masalah ini telah memperlihatkan kepada kita bahwa negara sedang mengalamai suatu krisis yang kritikal dan memerlukan rawatan yang segera bagi memulihkan kestabilan negara kita. 




Mungkin bagi sesetengah orang, merdeka tahun ini tiada lagi membawa erti yang sebenar kerana di kepung,di cengkam dan di bebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Soal keselamatan negara juga semakin runcing jika kita fikirkan. Jenayah semakin berleluasa dan jenayah sentiasa ada di mana sahaja. Lebih membimbangkan kita ialah jenayah penculikan kanak-kanak dan orang dewasa khususnya dikalangan wanita untuk dijadikan sebagai pelacur dan sebagainya. Merdeka tahun ini agak suram dan sunyi dek kerana semua ini telah berlaku. Satu persatu kejadian yang membimbangkan kita telah pun menjelma mencengkam erti kebebasan kita bergerak walau secara zahirnya negara telah pun lama bebas dari penjajah.


Ayuhlah semua,kembalilah bermuhasabah diri dan marilah sama-sama kita mohon keampunan dari Allah, tuhan yang menguasai segalanya. Bukan masanya lagi untuk kita saling salah menyalahi antara satu sama lain. Di saat ini dan di ketika inilah kita haruslah bersatu padu ketepikan segala sentimen politik,perkauman dan sebagainya bagi mewujudkan suasana gembira,harmoni dan sejahtera kembali. Kita sudah banyak kali berbalah,bertelagah dan bergaduh sesama sendiri maka dengan itu lihatlah apa natijah kita saling bergaduh tersebut. Adakah negara bertambah maju ? Ada akal fikirlah,ada mata renunglah dan ada telinga dengarlah dan lakukanlah tindakan yang sewajarnya yang boleh mengembalikan keharmonian dan kesejahteraan negara bumi tercinta kita ini. Semoga merdeka tahun ini dapat kita merasai kebebasan dari terus dibelenggu perbalahan,pertelingkahan yang mengundang kehancuran pada kita. 

Rabu, 26 Ogos 2015

ISLAM MENGIKTIRAF WANITA

Pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir membawa rahmat kepada seluruh alam. Di antara rahmat yang didatangkan melalui syariat yang dibawa oleh baginda SAW ialah mengangkat darjat dan martabat wanita kepada satu kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Islam. Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna tanpa pengurangan sedikitpun. Al-Quran sendiri ada menjelaskan bahawa wanita merupakan salah satu unsur yang turut bergiat seiring kaum lelaki membangunkan masyarakat, menjaga keutuhan dan kesejahteraan ummah.Wanita dan lelaki adalah sama dari segi kemanusiaannya di mana kedua-duanya mempunyai hak dan kewajipan yang sama dalam melaksanakan tugas dan amanah Ad-Deen ini.
Islam juga memerintahkan kita supaya memuliakan wanita, sama ada sebagai anak, isteri apatah lagi sebagai ibu. Islam telah mengancam keras perbuatan menguburkan anak perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan oleh orang Arab di zaman jahiliyah dahulu. Kehadiran anak perempuan harus disambut dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur seperti menyambut anak lelaki. Malahan ibubapa bertanggungjawab mengasuh, menjaga dan mendidiknya dan menyempurnakan haknya sama seperti anak Islam juga memuliakan wanita sebagai isteri 

Melalui kalam Baginda SAW sendiri ada menyatakan bahawa kesenangan dunia yang paling baik ialah isteri yang solehah yang mana apabila si suami memandangnya, terbit rasa gembira, dan jika si suami berjauhan darinya dia akan menjaga nama baik suaminya itu.Apatah lagi Islam secara jelas telah mengangkat darjat dan kemuliaan kedudukan wanita sebagai seorang ibu melalui kalamullah ayat ke-15 surah Al-Ahqaf yang bermaksud: 
”Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya menghamilkan dia dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah”.
Islam juga menganjurkan supaya wanita diberi peluang untuk mendapatkan pelajaran sama seperti kaum lelaki sama ada ilmu yang berupa fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Wanita perlu mendapat pendidikan yang akan menjadikannya seorang muslimah yang sejati, berilmu pengetahuan dan terlatih dengan kemahiran-kemahiran sebagai seorang wanita. Pendidikan yang baik akan menjadikan wanita Islam berperanan sebagai tenaga pembantu yang penting di dalam membangunkan ummah bersama-sama kaum lelaki.
Begitu juga dari sudut institusi kekeluargaan, Islam telah menetapkan asas-asas institusi keluarga yang menjamin kepentingan wanita. Umpamanya wanita yang belum dewasa dilindungi di bawah penjagaan walinya. Malah terdapat undang-undang nikah kahwin yang memberikan kebebasan kepada wanita untuk memilih memilih bakal suaminya menurut ketetapan-ketetapan syarak. Wanita juga mempunyai hak menetapkan mahar, hak ke atas mahar yang telah diberikan oleh suaminya dan hak untuk mendapat nafkah dari suaminya setelah termetrinya aqad nikah. Selain itu Islam mengatur undang-undang rumahtangga di mana hak suami dan isteri telah ditetapkan secara jelas. Garis panduan dan hak ketika berlaku poligami, talaq atau penceraian untuk kaum wanita juga ada ditetapkan di dalam Islam.
Islam juga mengiktiraf hak wanita untuk mewarisi harta dalam apa jua bentuk sekalipun. Wamita boleh mewarisi harta dari bapa, suami, anak-anak dan kaum kerabat. Malahan wanita juga diizinkan syara’ untuk melaburkan hartanya menurut apa-apa cara yang difikirkan paling baik. Dalam hal ini wanita bebas dan tidak terikat dengan sesiapa dalam urusan pentadbitran hak miliknya. Justeru, wanita muslimah haruslah memahami dan menginsafi betapa tinggi dan mulianya darjat dan maruah wanita di sisi Islam. Seterusnya menzahirkan rasa syukur atas nikmat ini dengan melonjakkan diri untuk terus merasa izzah dan mencipta sesuatu yang hebat demi ummah dan Islam ini sendiri.

SEMANGAT PATRIOTIK HARUS DI PUPUK

Erti kemerdekaan telah lama terpahat dan bertapak dalam sanubari setiap rakyat Malaysia kerana lahirnya semangat patriotisme. Namun, tanpa kita sedari, negara kita telah menghampiri ambang kemerdekaan yang ke-58 dan kian mendekati satu pandangan jauh, Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Marcapada menyaksikan semangat dan erti kemerdekaan dalam diri anak muda pada zaman ini semakin luntur dan hanyut dibuai arus globalisasi yang begitu mencabar akal dan minda. Apakah kita sanggup melihat modal insan yng masih hingusan ini terus dihantui sikap hedonisme seperti ini? Apakah erti kemerdekaan ini hanya ilusi dan suatu imaginasi dalam diri mereka? Hakikatnya, merekalah permata, putera-puteri negara yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Justeru, langkah proaktif perlu disusun dalam usaha melahirkan umarak bangsa yang benar-benar menghayati dan menjiwai erti sebenar suatu kemerdekaan.

Dalam usaha melahirkan dan memupuk nilai patriotisme, penghayatan tentang erti kemerdekaaan dalam diri seseorang inidividu adalah amat penting. Individu yang dimaksudkan di sini ialah remaja itu sediri yang menggalas tanggungjawab besar dalam menyemai semangat kemerdekaan. Penghayatan tentang erti kemerdekaan boleh dipupuk sejak dari kecil lagi melalui didikan yang sempurna daripada ibu bapa. Ibu bapa juga penting dalam pembentukan jati diri anak-anak yang merdeka. Dalam sebuah institusi kekeluargaan, ibu bapa sebagai ketua keluarga wajar menjadi ‘role model’ kepada anak-anak dalam menyelami erti kemerdekaan yang telah lama dikecapi oleh negara kita. Ibu bapa berperanan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak khususnya memupuk semangat kemerdekaan melalui penghayatan tentang tokoh kemerdekaan tanah air yang berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir dalam perjuangkan nasib bangsa. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik, bagaimana acuan, begitulah kuihnya, bagaimana gubahan, begitulah coraknya. Jadi, izharlah di sini bahawa penghayatan kemerdekaan yang diwarisi dalam sesebuah institusi kekeluargaan bakal menyemarakkan semangat patriotik dalam diri anak-anak sekali gus menjana modal insan minda kelas pertama. 



Selain itu, penerapan erti kemerdekaan dalam diri anak bangsa boleh dipupuk melalui elemen media massa yang memainkan peranan yang penting. Media massa juga merupakan elemen yang tepat dalam usaha memupuk erti kerdekaan dalam diri anak remaja kini. Pelbagai cerita direncanakan, pelbagai rencana diberitakan, pelbagai berita disampaikan. Pernyataan ini jelas memaparkan betapa kukuhnya peranan media massa sebagai platform dalam membolosi gawang minda anak bangsa tentang penghayatan erti kemerdekaan. Acap kali, kita mendengar di corong-corong radio, di kaca televisyen dan di dada-dada akhbar terpapar isu yang menjadi topik hangat. Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa peranan media massa amat penting dalam menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam diri anak remaja kini. Media massa tidak seharusnya berpaksikan hiburan dan keseronokan semata-mata. Sebaliknya pihak media massa sewajarnya memaparkan drama-drama dan filem-filem seperti Embun, paloh, leftenan Adnan dan sebagainya haruslah dipelbagaikan cara penyampaiannya agar masyarakat tidak berasa bosan. Langkah proaktif ini akan bisa menggerakkan jiwa remaja untuk menyelami erti sebenar kemerdekaan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa merupakan antara elemen yang penting. Ingatlah bahawa Sejarah adalah untuk dihayati, bukannya untuk diulangi.


Kemerdekaan tidak dapat dipertahankan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan, pegangan yang teguh dan jati diri yang kukuh. Dalam hal ini, institusi pendidikan memainkan peranan yang penting untuk melahirkan modal insan yang berbekalkan nilai patriotisme yang tinggi serta disaluti dengan semangat kemerdekaan yang membara. Dalam dunia tanpa sempadan ini, maju mundurnya sesebuah bangsa dan negara ditentukan oleh insan yang berjiwa merdeka. Jadi, terbuktilah di sini bahawa institusi pendidikan khususnya di peringkat sekolah sewajarnya menjadi tunjang utama dalam melahirkan remaja yang cemerlang-gemilang dan terbilang. Contohnya, pihak sekolah boleh menerapkan nilai patriotisme dan erti kemerdekaan dalan diri remaja melalui sesi pembelajaran.Remaja merupakan aset negara sewajarnya benar-benar mendalami erti kemerdekaan yang penuh maknya ini. Justeru, remaja seharusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha menggapai hasrat murni negara dalam melahirkan insan yang berakhlak terpuji dan cinta akan negara yang berdaulat. Jadi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa institusi pendidikan khususnya sekolah adalah amat penting dalam membentuk remaja yang bakal menerajui dan memartabatkan nama negara di lensa dunia. 

Intihanya, semua pihak sewajarnya, bersinergi untuk bersatu hati, sebulat suara dengan semangat satu Malaysia untuk berusaha mengekalkan semangat patriotisme dalam diri anak remaja kita. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sesunguhnya, tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya. Dengan berbekalkan semangat tokoh kemerdekaan, kita mampu melahirkan umarak bangsa yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi. Kita sebagai pewaris bangsa perlu bersama-sama berganding bahu dan melaksanakan tanggungjawab kita demi menjamin kemerdekaa negara yang kita cintai sampai bila-bila. Kemerdekaan tanah air haruslah dipertahan ke akhir hayat kita. Berjuanglah hingga ke ttitsan darah yang terakhir demi keamanan negara. Jika bukan kita, siapa? Jika bukan sekarang, bila? Bersamalah kita mengorak langkah sederap agar kemerdekaan negara terus terpelihara dan terus dinikmati oleh generasi akan datang yang mampu melakukan anjakan paradigma untuk negara tercinta. Selamat menyambut kemerdekaan ke-58. 


Selasa, 21 Julai 2015

SYAWAL : MAKNA SEBUAH KEMENANGAN

Begitu pantas masa berlalu, Ramadhan sudahpun meninggalkan kita, bak kata pepatah yang datang pasti akan pergi. Bulan yang menjanjikan seribu macam keistimewaan itu sudah berlalu pergi dan seiring dengan itu pula kita menyambut kedatangan Syawal. Kita raikan kemuculan Syawal dengan takbir, tasbih dan tahmid, iaitu bulan yang sering kita kaitkan dengan bulan kemenangan. Namun sepanjang menyambut kehadiran Syawal yang syahdu itu sepanjang hayat kita, pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang kita raikan?  Apakah hakikat sebenar di sebalik sambutan tersebut.  Sesungguhnya, yang kita raikan pada hakikatnya ialah diri kita sendiri sebagai seorang Muslim yang hidup di atas panji Islam. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah iaitu Islam, iaitu agama yang telah memuliakan kita, memberi harga diri kepada kita, dan yang telah memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita, dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Maka pada saat kita menyambut dan meraikan kehadiran Syawal/Aidilfitri, kesedaran inilah yang kita raikan dan wajar bagi kita untuk memperbanyakkan pujian ke atas Allah di atas nikmat ini.


Menerusi Islamlah kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia, nafsu dan harta benda. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Islam jugalah yang menjadikan kita berdiri mulia, walaupun di saat umat Islam dihina, ditindas dan dipijak hampir di setiap pelusuk dunia ini.Bahkan Islam itu juga menjadikan kita gigih dan cekal untuk terus bertahan walaupun  diasak dari segenap sudut.  Ditindas hak asasi kita sebagai manusia yang bertunjangkan Islam, ditindas pemikiran kita, ditindas semangat perjuangan kita, ditindas ekonomi kita, ditindas hak kemasyarakatan kita, diputar-belitkan siasah serta dikelirukan jatidiri kita,  dan kita ditindas pada setiap sudut kehidupan yang ada. Tetapi pernahkan kita merasakan Islam yang kita genggam erat ini semakin longgar atau terkulai layu?  Tentu tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang menjadikan kita semakin yakin bahawa ianya adalah ujian untuk orang beriman dan juga sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya menempuhnya.  Kerana kita yang dianugerahkan kemanisan iman tidak akan bertolak-ansur dengan prinsip Islam, malah perintah Allah kita junjung dan julang dengan lebih tinggi dan bersemangat, dan menjadi lebih tegas dan berani memuliakan Islam.  





Semuanya ini adalah kerana kita sedar bahawa di saat meraikan Syawal Aidilfitri, ianya juga adalah saat yang sesuai untuk diisi dengan kefahaman yang mantap dan semangat juang yang tinggi.  Iaitu semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain.Kekuatan ini sebenarnya dijana menerusi ibadah puasa yang telah ditempoh dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh selama sebulan.  Seiring dengan menyambut hari kemenangan di bulan Syawal ini, kita juga tidak seharusnya lupa untuk menilai sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan yang telah berlalu pergi dengan ibadah yang cukup bagi memungkinkan kita dianugerahkan keampunan Allah?  Juga adakah kita berhasil  untuk mendapat nilai taqwa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam al Quran? Persoalan-persoalan ini hanya mampu dijawab oleh kita sendiri yang terlebih mengetahui usaha dan nilai puasa yang kita lakukan.   Beruntung dan bergembiralah mereka yang telah bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah, serta berdukacita dan rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan.  Jika Ramadhan yang berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri kita, maka pada bulan dan ketika manakah lagi yang boleh menjadi pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?




Pun begitu, perlu diingat bahawa jika ibadah itu hanya di bulan Ramadhan, dengan anggapan ibadah itu seperti bermusim, maka rugilah juga kesudahannya.  Sebenarnya tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebajikan kita sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak.  Jika selepas Ramadhan, taat dan patuh kita kepada Allah berkekalan, malah mampu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik dan berkualiti, maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaan Allah.  Tetapi jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka hati-hatilah, kerana dikhuatiri kita termasuk dalam golongan yang rugi dan kelak akan dihumbankan ke dalam api neraka.Jika di bulan Ramadhan kita mampu hadir ke masjid setiap hari untuk solat fardhu dan solat sunat Tarawih, tetapi selepas Ramadhan kita hilang kemampuan untuk ke masjid walaupun untuk bersolat fardhu. Jika di bulan Ramadan kita mengekang lidah dari berkata-kata yang dusta dan sia-sia tetapi membasahi lidah dengan membaca al-Quran dan berzikir, sebaliknya selepas Ramadhan lidah itulah juga yang memaki-hamun, mengadu domba, mengupat dan menyebar fitnah, dan mata serta telinga kita diisi sepenuhnya dengan hal-hal yang membawa kemurkaan Allah.  




Apakah hasil dan kesan yang sebegini  memungkinkan ibadah kita sepanjang Ramadhan diterima Allah.  Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari termasuk dalam golongan yang sedemikian.Sesungguhnya Ramadhan yang kita lalui itu umpama satu madrasah pendidikan yang memupuk dan  menghasilkan benih taqwa. Dari benih ini akan tumbuh pula pohon taqwa yang sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan ini.  Dan dari pohon taqwa inilah lahirnya ibadah dan akhlak mulia yang menjadi penghias diri seorang Muslim.  Juga dari rimbunan taqwa yang subur inilah juga lahirnya kekuatan untuk menangkis segala hasutan dan pujuk-rayu yang boleh membinasakan seorang Muslim. 

Khamis, 25 Jun 2015

PENGHARAMAN SIS BUKAN TINDAKAN BIJAK

Secara jujur,kita tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Sister In Islam dan ada beberapa perkara yang kita rasa mereka melakukan kerja yang baik khususnya isu membela kezaliman keatas wanita.Antara isu yang menjadi pertikaian oleh SIS ialah isu poligami.SIS mendakwa poligami ini hanya satu bentuk penindasan dan kezaliaman ke atas kaum wanita. Malah SIS berpandangan berpoligami ini lebih membawa mudharat dan kehancuran rumahtangga. Secara prinsipnya,poligami itu tidak salah tetapi yang menjadi masalahnya pada hari ini ialah bagaimana kita melaksanakan dan menguruskan perihal berpoligami ini. Sekiranya kita mempersoalkan mengenai ketidakadilan dalam berpoligami,maka monogami juga terkadang mempunyai keganasan dalam rumahtangga. Maka sebetulnya ialah bukan poligami itu yang salah tetapi bagaimana kita melaksanakannya.Antara isu lain lagi ialah harta faraid yang menyatakan bahawa lelaki lebih banyak dapat bahagian daripada kaum wanita.Dari segi logik akalnya,lelaki semestinya mendapat lebih kerana lelaki lebih banyak tanggungan daripada wanita.


Menjadi tanggungjawab bagi para suami untuk membelanjakan hartanya sebagai nafkah pada keluarga.Tanggungjawab membelanjakan harta pada keluarga ini tidak dibebani pada kaum wanita.Jadi kerana itulah syariat menyatakan lelaki akan mendapat bahagiannya lebih banyak berbanding kaum wanita.Maka secara tuntasnya,tidak timbul langsung isu ketidakadilan dalam pembahagian harta faraid.Namun,kita juga tidak dapat menafikan pertubuhan SIS mempunyai usaha-usaha membela nasib wanita yang tidak bernasib baik.Antaranya ialah penderaan isteri yang tidak mendapat tempat dan perhatian oleh mahkamah syariah.Nasib golongan isteri yang seringkali dijadikan bahan untuk melepaskan geram,marah dan sebagainya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.Berdasarkan pengalaman beberapa individu,golongan isteri yang ditindas,di zalimi dan di kasari ini bukannya tidak membuat aduan pada pihak yang berkenaan tetapi mereka ini seringkali diminta bersabar dan tabah menghadapinya.Nasihat-nasihat yang sebeginilah yang membuatkan para suami lebih bertindak ganas dan keterlaluan dalam rumahtangga. 




Inilah yang seringkali dibangkitkan oleh pertubuhan SIS dalam hendak membela nasib para isteri yang ditindas oleh suami.Dalam islam sekalipun,jika terang-terang para suami melakukan kekasaran pada isteri maka pisahkanlah mereka untuk mengelakkan kezaliman terus berleluasa.Keganasan dalam rumahtangga adalah bercanggah sama sekali dengan matlamat asal perkahwinan iaitu untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan. Pertubuhan SIS menimbulkan isu ini adalah sebagai tindak balas daripada kegagalan golongan agamawan menyelesaikan isu seperti ini.Sepatutnya bukan tugas SIS untuk membela golongan wanita kerana islam itu sendiri menjadi pelindung untuk kaum wanita.Usaha-usaha yang dilakukan oleh pertubuhan SIS ini secara tidak langsung akan membuka pintu hati kita khususnya golongan agamawan untuk melihat dan menilai semula sejauh mana tahap pengurusan mahkamah syariah pada hari ini.Kita tidak dapat nafikan pertubuhan SIS ada juga perkara yang positifnya. Apabila perkara-perkara seperti ini dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan sekularisma, maka secara tidak langsung ia telah memberikan gambaran yang salah tentang islam itu sendiri.Sewajarnya golongan agamawan,para pemikir islam dan para alim ulama lebih layak membawa dan menyelesaikan isu-isu ini bukan dengan berbalah, bersengketa pada perkara yang khilaf.


Oleh itu,jika sekiranya kita ingin menghukum pertubuhan SIS ini sebagai sebuah pertubuhan haram,ini perlu dilihat dengan lebih teliti sebelum kita mengharamkannya. Jika kita hendak menghukum sesuatu pertubuhan dengan hukum haram,maka perlu bagi mereka hak untuk membela diri dahulu kerana ini adalah islam.Islam sendiri mendidik kita untuk memberikan hak yang seluasnya pada tertuduh untuk membela diri. Maka sekiranya mereka ini benar-benar didapati bersalah berdasarkan fakta yang jelas,bukan sekadar persepsi atau anggapan semata-mata,maka wajarlah untuk diharamkan.Tetapi sekiranya kita tidak membuka ruang perbincangan yang seluasnya pada mereka,lalu kita terus mengharamkannya tanpa soal selidik,maka perkara ini tidak betul dalam islam.Malah sekiranya golongan agamawan yang mengharamkannya tanpa mengajak kembali kepada islam yang sebenar,tanpa memberitahu tentang islam sejelasnya,maka secara tidak langsung,sedar ataupun tidak,kita telah melakukan satu kerugian besar.Rugi dalam membiarkan mereka terus sesat meredahi jalan kegelapan. Jadi sebelum beritndak mengharamkan sesuatu,berfikirlah sejenak dan renungkan kembali kesannya selepas itu.