Isnin, 26 Oktober 2015

HENTIKAN BALAH BANYAKKAN MUZAKARAH

Semakin banyak kenyataan terbuka dari ahli agama yang berpaksikan politik seperti ini. Sewenang-wenang mengatakan pihak lain syirik, sesat, kafir, bodoh dan sebagainya. Berpeluh masyarakat nak menilai mana betul mana salah. Akhirnya masing-masing sekadar memihak kepada ustaz mana atau parti mana yang mereka sokong. Bukan mengikut fakta fiqh atau dalil yang berasas. Orang Islam tidak habis-habis sibuk bergaduh tentang perkara ranting atau ritual. Sibuk mempertikai bab ritual siapa yang lebih bagus. Dengan budaya keterlaluan menyokong dan menyembah susuk peribadi tokoh yang menjadi idola, maka para penyokong semakin bersemangat untuk saling bermusuhan. 

Fraksi fahaman agama ini sudah sampai ke tahap sanggup bukan sahaja memaki secara berdepan, malah sanggup berbunuhan. Musuh Islam pula sibuk mengkaji strategi dari alQuran dan terus 'attack' soal aktual untuk memusnahkannya melalui gerak saraf dari dalam. Sampaikan hari ini seluruh umat Islam masih tidak perasan akan kepentingan dan strategi pokok itu lalu mengabaikan aktual Islam itu sendiri. Lebih malang lagi apabila kita tidak perasan pun yang kita ini hanya satu watak yang 'extra cikai' dalam plot drama yang diarahkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa bekerja keras menghancurkan Islam. Masing-masing saling membangga diri, merasa lebih Islam dari yang lain disebabkan ilmu ritual mereka lebih hebat berbanding yang lain. 



Masalah akan selesai dengan muzakarah dan pertemuan yang baik. Cubalah manfaatkan segala kuasa pendengaran untuk capai solusi yang baik. Jika harus membenci, jangan membenci dengan ketara, sisipkan ia sedikit sabar itu. Benci itu berpada pada, bukan untuk dirinya. Menghukum mereka bagai kita pula yang tak berdosa. Itu bukan kuasa hamba. Tangisilah diri apabila kita kurang kuasa untuk memaafkan mereka. Hanya terlampau asyik pada marah akan buat kita terus leka. Ego akan melenyap bila benci ditutup perlahan-lahan. Pendam rasamu, rendam katamu. Dunia teori sudah tamat bila masalah terjumpa di hadapan. Kesabaran perlu diiringi dengan kebijaksanaan. 

Hidup bukan mudah meng'kafir'kan dan me'nerakakan' orang. Satu perbuatan melampau bila ambil tugas sebagai tuhan! Beralah pada yang boleh. Bertegas pada yang tuntas. Akhlak muslim bukan seharian hidupnya menyumpah seranah. Oh dakwah. Akhlak dan doa di mana pula? Terdapat perbezaan yang ketara antara tahu dan sedar. Tahu dari akal dan sedar dari hati. Misal yang mudah - kebanyakan manusia tahu dia hamba Allah, tetapi tak sedar dia hamba Allah. Tahu tidak memadai, kena ada kesedaran baru menjadi. Hidupkan Islam dengan amali bukan sekadar teori.

Ahad, 18 Oktober 2015

PEDOMAN BUAT ISTERI SOLEHAH

Perkahwinan itu adalah satu perkongsian, segala yang haram antara lelaki dan wanita menjadi halal dengannya. Antaranya adalah persetubuhan yang menjadi salah satu penzahiran kemuncak rasa kasih sayang dan rindu suami terhadap isteri dan begitu juga sebaliknya. Kerana itu dalam bahasa inggeris, kerjabuat itu dipanggil 'make love'. Suami yang beriman sentiasa memikirkan beban tanggungjawab dalam memikul amanah kepimpinan hidup keluarganya. 9 bahagian waktu digembeling dengan akal buat menyediakan ilmu, mencari nafkah, keselamatan, perlindungan dan pelbagai tanggungjawab terhadap keluarga. Hanya 1 bahagian sahaja berbaki untuk melayani nafsunya, terutama apabila sudah lanjut usianya.

Kemuncak rasa kasih dan rindu seorang suami yang menyebabkan ia ingin bersama dengan isteri tercinta itu boleh datang 'tidak semena-mena'. Suami beriman tidak akan melampias nafsunya kepada wanita lain atau secara mungkar. Sesungguhnya keinginan itu adalah satu bentuk penghargaan dan merupakan 'hadiah besar' yang didambakan oleh para isteri juga. Oleh itu, amatlah tidak wajar ia dibiarkan membazir begitu sahaja. Isteri yang menolak ajakan suami adalah munafik, menipu diri sendiri sebenarnya. Munafik itu adalah bahan bakar, atau kerak api neraka. Kerana itu, isteri harus sensitif dengan keinginan suami itu dan sentiasa mempersiapkan diri untuk ‘memikat’ selera sang suami biar apapun rupa dan usianya. Gunakanlah anugerah 1 akal pada wanita untuk mengatur 9 nafsu yang ada padanya bagi memikat dan sentiasa menyediakan diri untuk suaminya. 




Usaha itu akan menampakkan keredhaan isteri terhadap suami dan tanda keinginannya untuk bersama suaminya. Senyuman redha dari wajah isteri adalah keindahan yang sebenarnya. Keredhaan itu juga yang akan membuatkan wajah isteri jadi indah berseri dan ceria menawan, biarpun usia sudah tua, biarpun tubuh sudah kerepot. Itulah sebahagian dari rahsia ciri isteri solehah, perhiasan terindah bagi seorang suami dari awal perkahwinan membawa ke jannah. Ramai artis dan ratu cantik yang ayu jelita bercerai tidak berapa ketika selepas bernikah. Padahal umur masih muda dan wajah masih bergetah. Buruknya wajah mereka ialah kerana tidak mendapat redha suami, apabila sentiasa dalam keadaan marah berkerut dan memberontak. Ini kerana tiada manusia yang kelihatan cantik dan indah ketika 'marah'.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Hadis Riwayat Ahmad).

Syurga isteri adalah di bawah tapak kaki suami, syurga anak pula di bawah tapak kaki ibunya. Tapak kaki itu merujuk kepada 'langkah' suami dan ibu yang beriman. Langkah itu yang perlu diikuti untuk menggiring isteri dan anak ke syurga. Biar apapun alasannya HARAM seorang isteri berkata 'AH' dan bermasam muka dengan suaminya. Demikian juga seorang anak terhadap ibubapanya.

Rabu, 7 Oktober 2015

HIJRAH MENUJU ALAF BARU

Awal Muharram sekali lagi menyingkap tirai dan mengimbau perjuangan agung Rasulullah s.a.w. menghadapi kebejatan jahiliah dan kemelut permasalahan yang tidak berkesudahan. Ia sekaligus membuka satu lembaran baru dalam sejarah kemerdekaan sejati bagi umat Islam daripada belenggu jahiliah dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini juga bermakna bahawa strategi dakwah yang teliti, penuh hikmah dan berhati-hati serta berasaskan perancangan yang rapi yang diterajui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika itu, telah berjaya memastikan Islam terus berkembang ke seluruh pelosok dunia sehingga hari Kiamat. Sesungguhnya persiapan rapi yang disempurnakan sebelum melancarkan slogan hijrah agung itu merupakan tindakan perdana yang penuh berwawasan, efisien dan berpandangan jauh. 

Setelah 1437 tahun lamanya peristiwa hijrah hakiki berlalu, kini umat islam hidup di dalam pelbagai cubaan dan dugaan yang amat mencabar. Lebih-lebih lagi di saat dunia sedang menghadapi ledakan kemajuan yang tidak berhenti-henti. Paling mencabar, dakwah Islamiah hari ini memasuki era siber serta memerlukan kepakaran di dalam bidang sains komputer dan multimedia yang tinggi. Dunia tanpa sempadan, konsep langit terbuka, kerajaan elektronik, perdagangan elektronik, munculnya penyakit-penyakit yang kronik, budaya-budaya Barat yang semakin banyak didedahkan kepada masyarakat dunia, penerokaan pelbagai jenis disiplin ilmu dan sebagainya, merupakan sebahagian daripada cabaran yang mesti disahut oleh umat Islam hari ini. Umat Islam yang mengambil sikap tunggu dan lihat akan tertinggal jauh di belakang. 



Akhirnya mereka akan menjadi pengkagum kehebatan yang dicapai oleh orang lain. Dalam masa yang sama jika umat Islam ingin turut sama mengejar kehebatan tersebut, maka mereka perlulah mempersiapkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mestilah sanggup mengorbankan masa, tenaga dan belanja yang banyak demi kemajuan hidup mereka sendiri. Namun begitu, persoalannya berapa keratkah di kalangan kita yang sanggup berusaha bermati-matian untuk tujuan tersebut? Sebaliknya masih ramai lagi yang hanya duduk menghabiskan masa tanpa berusaha menuntut ilmu pada tahap yang sewajarnya. Jika direnung betapa hebatnya persiapan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. bersedia sebelum menjayakan hijrah dari Mekah ke Madinah suatu masa dahulu, maka sudah tentu kita akan menitiskan air mata mengenangkan hebatnya pengorbanan yang telah dilakukan. 

Kita bersyukur kerana hasil titik peluh, darah dan air mata merekalah, maka kita berpeluang untuk menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini. Barangkali tidak pernah terdetik di lubuk hati para sahabat r.a. ketika itu bahawa seruan dakwah yang mereka usahakan di celah-celah kezaliman kuffar Quraisy di tengah padang pasir dahulu kala, kini menjadi bahan perbincangan hebat antara ulama’ dengan penduduk dunia melalui internet. Bersama kecanggihan ini juga ayat-ayat al-Quran yang mereka hafaz di dalam dada dan menjadi amalan hidup dahulu, kini banyak yang hanya menjadi hiasan di dinding rumah-rumah umat Islam. Masjid yang menjadi tempat penyebaran ilmu dan bersyura dahulu, kini hanya menjadi bahan kebanggaan dan kemegahan binaan dan ukiran indah tetapi sepi daripada jemaah yang keluar masuk untuk beribadat dan beri’tikaf di dalamnya. 



Sesungguhnya persiapan utama yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat r.a. sebelum bermulanya misi hijrah ialah memberi kekuatan rohani dan jasmani. Perkara asas yang ditekankan oleh baginda ialah persoalan akidah. Sesungguhnya peristiwa hijrah yang dicatatkan sebagai proses terpenting dalam pembentukan sesebuah negara Islam pertama di Madinah, tidak dicapai dengan cakap-cakap mulut sahaja. Ia bukan hanya slogan retorik semata-mata. Ia juga bukan hasil daripada pemerasan kuasa ke atas kaum yang lemah, penipuan, taktik kotor, menindas sesuatu kumpulan atau kekerasan yang tidak berhati perut. Malah ia sebenarnya bertitik tolak berkat daripada kesabaran yang tinggi, keikhlasan yang lahir dari hati yang murni dan pengorbanan para pencinta keadilan yang terdiri daripada para sahabat r.a. 

Umat Islam hari ini wajib mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju ke alaf baru. Dunia tidak akan menunggu sesuatu umat untuk sama-sama mencapai kecemerlangan. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak disuruh duduk menunggu sehingga dijemput kematian lalu kita keluar daripada alam ini tanpa melakukan apa-apa perubahan. Sebaliknya kita disuruh dan diwajibkan berusaha sedaya upaya mencapai kejayaan di dunia sehingga ajal tiba. Cuma satu, kita dilarang daripada mengejar dunia sampai melupakan akhirat. 




Khamis, 1 Oktober 2015

DUNIA REMAJA HARI INI

Dunia remaja memang dunia yang sukar difahami. Dibandingkan dengan tahap perkembangan lain, remaja memiliki karektor yang unik dan sensitif. Tentunya dalam batasan usia antara 10-24 tahun, remaja mengalami proses peralihan dari kanak-kanak menuju alam dewasa. Perubahan hormon yang terjadi  memberikan pengaruh yang besar terhadap perubahan fizikal, emosi serta sosial yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Salah satu karektor remaja yang selalu menjadi masalah adalah proses pencarian identiti diri. Remaja sentiasa dituntut oleh masyarakat untuk dapat menjelaskan siapakah diri mereka, apakah peranan dan makna dirinya pada masyarakat. Sedangkan dalam masa yang sama mereka memiliki keinginan untuk berbeza daripada orang lain, sehingga akibat daripada itu mereka berusaha menampilkan diri mereka agar menarik perhatian masyarakat. Kebingungan yang dialami oleh remaja dalam menentukan siapakah diri mereka inilah sebenarnya merupakan punca terjadinya penyimpangan dalam kehidupan remaja.


Sebenarnya terdapat banyak ciri yang mengidentitikan seseorang atau sekelompok remaja itu sebagai ‘gila-gila remaja’. Segolongan daripada mereka berseluar ketat, hidung dan telinga bertindik (termasuk lelaki), tato penuh dilengan, model rambut yang mohawk serta bergaya ala punk. Manakala sebahagian lain pula bergaya hip-hop, free style bahkan retro dengan potongan rambut pendek seperti lelaki. Mereka ini mahu supaya masyarakat melihat mereka sebagai remaja padahal hal itu belum tentu sesuai dengan jati diri mereka. Kesilapan dalam menentukan langkah memberi kesan yang pelbagai pada diri remaja hingga ada yang rela mengorbankan tubuhnya untuk diracuni oleh berbagai jenis dadah termasuk pil estacy dan sebagainya. Awalnya hanya sedikit-sedikit tetapi akhirnya terlebih dos. Namun itulah kata mereka bahawa “gaya hidup seperti itu adalah gaya hidup remaja masa kini. Jangan sampai ketinggalan zaman!” 




Dengan itu potongan baju dan ‘style’ rambut disesuaikan dengan mode terkini, bahkan gaya hidup selebriti ditiru. Free sex mewarnai kehidupan mereka, check in hotel, chalet atau mana-mana tempat yang dirasakan selesa melakukan projek. Demikianlah kenyataannya kehidupan anak-anak remaja zaman sekarang. Semuanya adalah refleksi kehidupan remaja yang mengaku mempunyai kehidupan moden. "It's my life". Realiti yang jelas pada hari ini, isu golongan remaja ternyata telah mendapat perhatian serius daripada masyarakat dunia dan secara keseluruhannya kita semua sudah maklum akan kecelaruan hidup mereka yang sebenarnya mahukan kebebasan. Tetapi kebebasan yang mereka pertontonkan kepada masyarakat bukanlah dalam ertikata kebebasan yang positif dan memberi manfaat untuk semua atau pun diri mereka sendiri malah kebebasan itu merosakkan maruah diri, bangsa, agama dan negara. Mereka sebenarnya terpenjara oleh hawa nafsu yang dikawal ketat oleh warder-warder penjara berupa syaitan yang sentiasa menjadi pujaan mereka. 


Maka bagaimana dengan kesudahan remaja kita sekarang ini? Jika diperhatikan, hakikatnya remaja yang ada di sekitar kita, keadaannya masih jauh dari apa yang diharapkan. Hanya sebilangan kecil yang boleh diletakkan harapan sedangkan sebahagian besarnya pula amat membimbangkan. Kedapatannya mereka gagal berfikiran rasional sehingga terjebak dan ketagih dengan pelbagai trend yang langsung tidak bermanfaat. Para remaja kita lemas dengan kesenangan hidup dan tidak begitu gemar menghadapi cabaran. Hanya dengan sedikit cubaan hidup yang melanda, mereka terus hilang pedoman, jiwa rasa tertekan lantas terus memberontak. Tidak sedikit daripada para remaja seperti ini hilang arah, terus lari dari rumah, membunuh diri dan sebagainya. Mereka tidak biasa menghadapi situasi gawat seperti peperangan dan lain-lain. Oleh sebab itu kehidupan mereka sentiasa inginkan keseronokan dan dilimpahi kemewahan. Tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada mengikut arus peredaran dunia semasa terutama sekali yang datang dari benua barat kerana itulah yang dianggap paling sensasi dan bergaya. 





Memang tidak dinafikan bahawa golongan remaja juga sebenarnya berhak memilih cara hidup mereka sendiri terutama dalam mencari erti kebebasan. Namun dalam hal ini, setiap kegiatan remaja mestilah diawasi biar sesuai dengan situasi dan keadaan masyarakat setempat yang mempunyai adat dan budaya. Kesimpulannya para remaja sekarang telah lupa siapakah diri mereka? Mereka lupa bahawa mereka orang Islam! Mereka lupa bahawa mereka ada agama! Mereka lupa bahawa mereka adalah generasi pelapis pemimpin akan datang. Jika mereka rosak maka rosaklah generasi seterusnya. Remaja kita lupa bersyukur! Akibat lupa dan alpa inilah mereka memilih gaya hidup bebas seperti orang tidak beragama padahal setiap agama itu mengarahkan penganutnya ke arah kebaikan. Cubalah kita fikirkan adakah kita harus membiarkan rakan-rakan remaja kita seperti ini terus hanyut begitu sahaja. Atau dengan perkataan lain kita biarkan apa jua pilihan mereka dan apa pun yang dilakukan oleh mereka, kerana baik buruknya akan mereka tanggung sendiri. Sebenarnya dalam keadaan ini kita juga menanggung dosa sekalipun kita tidak terlibat melakukannya.

Rabu, 30 September 2015

ISLAM AGAMA SEJAHTERA SELAMAT

Ajaran Islam yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk kesejahteraan sekalian alam. Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan baginda SAW atau lebih dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan. Sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat didapati tidak berfungsi dengan baik. Golongan lemah sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa. Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana sini. Anak-anak dibunuh dengan kejam tanpa peri kemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan diperalatkan. Apabila tertegaknya Islam, kedamaian, kesejahteraan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan. Persaudaraan dapat dibina, wanita-wanita telah diberikan kedudukan dan golongan lemah juga telah terbela. Misi inilah yang telah disebarkan oleh junjungan Nabi SAW semasa menyampaikan misi dakwah kepada Herkules Maharaja Rom sepertimana yang terkandung di dalam suratnya yang bermaksud terimalah Islam nescaya kamu selamat dan sejahtera.


Islam adalah Agama berteraskan konsep penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.  Dasar utama yang diperjuangkan oleh Islam ialah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukanlah dari ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahteraan abadi untuk sekalian alam. Perkataan Islam berasal dari Bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai. Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah SWT, berbeza dengan agama-agama yang lain seperti Kristian, Yahudi dan Budha yang meruju’ kepada individu, kaum atau pengasas ajaran tersebut. Sedangkan Agama Islam adalah Agama yang meruju’ kepada nama yang diberikan oleh Allah SWT. Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa para rasul dan Islam yang diperjuangkan tidak pernah sunyi daripada tentangan dan serangan musuh-musuhnya. Kitab-kitab suci termasuk Al-Quran diingkari serta diperburukkan dengan pelbagai label. 




Demikian juga dengan para rasul-Nya yang di fitnah dengan pelbagai tuduhan seperti tukang sihir, tukang tilik, orang gila, pemecah masyarakat dan sebagainya. Fitnah dan pembohongan jahat sekarang ini telah dilakukan pula oleh seorang ahli Parlimen Belanda melalui filem ciptaannya “FITNA” yang memutarbelitkan beberapa ayat al-Quran yang didakwa Islam menganjur keganasan.   Filem tersebut yang telah diedarkan ke seluruh dunia tidak lama dahulu benar-benar fitnah dan propaganda jahat untuk memperburuk-burukkan Islam dan memporak-perandakan ummah. Kita menyokong penuh bantahan dan tindakan memulau barangan negara Belanda oleh negara-negara Islam di seluruh dunia. 


Maka dengan secara tegas seluruh pemimpin Islam sedunia menyatakan bantahan terhadap jenayah dan kebiadaban ahli Parlimen Belanda tersebut, dengan menyeru seluruh umat Islam memulau semua barangan dan perkhidmatan negara Belanda.   Menerusi saluran undang-undang, umat Islam di negara ini akan terus membantah dan bertindak terhadap mana-mana individu dan pertubuhan lain yang sengaja memfitnah dan memburukburukkan agama Islam yang amat mulia ini. Adalah satu hakikat bahawa perpecahan ummah akan diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan Islam dan ummah. Sesungguhnya munculnya beberapa fitnah dan serangan terhadap Islam mutakhir ini adalah kerana runtuhnya perpaduan ummah. Oleh kerana itulah Allah SWT melarang keras terhadap segala elemen perpecahan. Justeru itu, marilah kita semua pihak di negara kita tanpa mengira fahaman, agar bersatu padu atas satu matlamat perjuangan, iaitu untuk memelihara agama dan negara dari dicerobohi oleh musuh dari dalam dan luar negara. 

Ahad, 20 September 2015

FALSAFAH IBADAH HAJI

Haji bukan ibadah yang menjadikan seseorang itu merasa malu jika tidak menunaikannya. Ia juga bukan ibadah pelancongan untuk menunjukkan diri ke Baitullah, sebab dengan solatpun boleh mengarahkan diri mengadap ka'abah. Pada hakikatnya ibadah haji mempunyai hikmah dan falsafahnya yang tersendiri yang cukup dalam dan sangat bermakna dalam kehidupan umat Islam.Ibadah Haji merupakan ibadah yang mengarahkan umat Islam kepada sesuatu matlamat iaitu keredaan Allah; ibadah yang menuntut keikhlasan dan pengorbanan seuntuhnya, baik dari segi raga mahupun harta bendanya; ibadah yang menuntut kesatuan umat, bukan perpecahan, menyatukan diri dengan umat Islam di seluruh dunia;


Haji juga ibadah yang menuntut saling berinteraksi dalam usaha mendekatkan diri dalam kesatuan jama'ah muslimin yang teguh. Nikmat kesatuan tujuan, matlamat dan ukhuwah ini hanya boleh dirasai oleh mereka yang yakin dan ikhlas dalam mengerjakan ibadah haji, dan faham dengan jelas konsep peribadatan dalam Islam. Umat Islam tidak hanya semata-mata digalakkan untuk mengejar kebahagian di akhirat dengan bertawakal tanpa usaha, tetapi ia juga wajib berusaha untuk mencari kebahgiaan di dunia yang menjamin kebahgiaan di akhirat. Oleh sebab itu, ibadah haji diwajibkan ke atas mereka yang mampu. Ibadah haji memberi makna orang Islam wajib berusaha mencari kebahgiaan dunia dan akhirat.




Mereka yang ingin menyempurnakan agama dengan menunaikan haji maka ia wajib mencari harta bagi membiayai perjalanan ke tanah suci Mekah. Usaha yang paling minima ialah sehingga ia mempunyai lebihan wang setelah digunakan untuk keperluan diri, keluarga dan tanggungjawabnya dan juga setelah menunaikan zakat. Ini bermakna ibadah haji mendorong umat Islam berusaha lebih kuat bagi menjamin kebahgiaan hidup dan keselesaan beribadah dengan cara yang lebih sempurna. Iman bukan semata pengakuan lidah tetapi juga disertai dengan amal. Ibadah haji merupakan ujian, perngorbanan dan keikhlasan seorang muslim dalam mengukur keimanannya.



Setelah imannya teruji dengan baik dengan melakukan solat dan sawm, pengorbanan harta seperti berzakat dan bersedekah atau infaq fisabilillah maka datanglah ibadah haji yang mengandungi kedua-dua sifat pengorbanan, yang menuntut umat islam mengorbankan jiwa raga atau fizikal untuk berusaha mencari harta dan pengorbanan wang serta seluruh kepentingannya yang lain untuk menunaikan haji. Ujian meninggalkan segala yang berbentuk keduniaan merupakan sesuatu perkara yang menguji keikhlasan seseorang dalam mengerjakan ibadah haji. Hasil keikhlasannya itu akan dapat dinikmati di dunia dengan rasa puas apabila pemergiannya itu dapat merubah sikap dan amalannya ke suatu tahap yang lebih baik dan mantap dalam kehidupannya. Itulah yang disebut mendapat haji mabrur.

Sabtu, 19 September 2015

BILA AGAMA DIPOLITIKKAN

Dari sudut hati kecil, saya mengharapkan semua rakyat malaysia saling hormat menghormati waima berbeza fahaman, aliran, mazhab dan agama. Keretakan hubungan harmoni yang bakal berlaku, diharapkan ia dapat diselesaikan, bukan dibiarkan ia berlaku seterusnya membawa kepada keruntuhan. Lebih parah lagi, keretakan itu dihalalkan atas nama agama, sedangkan sifat agama itu adalah kedamaian, bukan perbalahan. Namun, keretakan itu kelihatan makin menjadi-jadi. Contohnya, apabila diberitakan tentang seorang lelaki yang beragama hindu yang agak tidak bersetuju dengan tindakan sebuah sekolah yang melakukan ibadat sembelihan korban yang disyariatkan dalam Islam secara terbuka. Agak sedih juga dengan komen dari lelaki yang beragama hindu itu, kerana keretakan budaya saling hormat menghormati antara satu sama lain semakin bertunas.

Mungkin hari ini beliau mempertikaikan orang Islam menyembelih korban di tempat terbuka, di masa akan datang, tidak hairan akan ada pula orang Islam yang mempertikaikan orang hindu menyambut Thaipusam di Batu Caves secara terbuka. Jika keadaan ini berlaku, wajah toleransi dan sikap hormat menghormati sesama rakyat Malaysia dalam mengamalkan agama akan retak. Namun begitu, apabila difikirkan secara mendalam, semata-mata  menganggap lelaki hindu itu sahaja salah dengan alasan beliau tidak hormati hak Muslim beragama juga satu kesilapan. Ini kerana, banyak perkara provokasi atas nama agama Islam yang dilakukan oleh sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam. 



Mereka bukan sekadar tidak menghormati, malahan sanggup melakukan provokasi, seperti demonstrasi sebilangan orang-orang Islam di Pulau Pinang ekoran ucapan Aidul Adha oleh seorang pemimpin politik yang tidak beragama Islam dengan tanggapan bahawa ahli politik itu hendak melakukan projek kristianisasi. Bukti yang mereka kemukakan adalah huruf “t” pada tulisan kain rentang ucapan tersebut yang dianggap sebagai salib. Tindakan mereka ini pada hakikatnya bukan mempamerkan imej yang baik kepada Islam, tetapi semakin lahir perasaan kebencian sebilangan non-muslim terhadap Islam. Kebencian mereka, bukan kerana mereka melihat hakikat ajaran Islam, tetapi kebodohan sebilangan Muslim yang menggunakan agama untuk provokasi dangkal. Masyarakat kita gemar mempolitikkan isu agama.

Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di Malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang sahih diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. 



Begitu juga, di Malaysia pernah dibisingkan  dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada Ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di Malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni.


Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbezaan yang amat ketara. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab.