Isnin, 26 Mac 2018

PUISI : AIRMATA DAKWAH


Hidupku ini milik ummah

Siang dan malam pagi dan petang
Ke hulu ke hilir ke sana ke mari
Letih dan penat usah di bilang
Kerana ini sumpah pejuang
Tidakkan berhenti hingga di jemput ilahi

Terkadang hati tidak dapat menipu

Terkadang perasaan tersentuh jua

Melihat panahan fitnah bermaharajalela
Memanah diri membungkam rasa kecewa
Atas medan dakwah ini..tertumpah jua airmataku


Atas jalan Nabi ku yakini

Walau malaun datang menyergah
Sekalipun macai datang menjentik
Adapun manusia bertopengkan syaitan
Takkan ku menyerah walau seurat
Takkan ku berundur walau seinci
Takkan ku tunduk walau tertewas


Dakwah bukanlah jalan kesenangan

Di luarnya tenang di dalamnya siapa tahu

Dakwah bukanlah jalan kemasyuran
Di luarnya tersenyum di dalamnya menangis
Dakwah bukanlah jalan yang singkat
Tiada jaminan untuk kekal berdakwah
Kecuali engkau berpegang firman empunya alam


Hidup ini adalah untuk hidup akhirat

Dunia di diami hanya tempat bersinggah
Di akhirat jualah tempat beristirehah
Moga Tuhan menilai setiap jerit perih dakwah
Dengan airmata ini diriku gagah
Menyusun langkah memacu ummah
Biar sekalipun airmata menjadi harga
Asalkan tidak ku menyesal di akhirat kelak

Ahad, 25 Februari 2018

KEHARMONIAN HIDUP DARI SUDUT PANDANG ISLAM


Keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk perpaduan. Perpaduan yang kukuh, akan terlahir daripada manifestasi keharmonian ini. Perkataan harmoni itu sendiri membawa maksud yang pelbagai seperti aman, tenteram, bahagia dan tenang. Hakikatnya, setiap dikalangan kita pasti mempunyai definisi keharmonian yang tersendiri. Beragama adalah fenomena sejagat. Hampir semua masyarakat bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau pernah melalui proses orientasi agama atau kepercayaan dalam sejarah pembentukan dan perkembangan peradaban mereka.Evolusi sosial mengubah orientasi dan pegangan kepada agama, yang mengakibatkan pemisahan agama daripada pemerintahan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat dan Islam pada satu masa dulu. Namun, ia sama sekali tidak terus menidakkan kewujudan dan peranan agama dalam membentuk nilai keharmonian dalam sebuah masyarakat hingga kini.


Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap, tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara. Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepada kepercayaan Tuhan yang Maha Esa (Tunggal) yakni Allah SWT. Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang adalah berpandukan kepada ajaran dan bimbingan Al-Quran dan Sunnah. Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka tentulah, nilai agama Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat Malaysia hingga hari ini. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin dalam Perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat kita. Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam, sebagai agama yang mensejahterakan atau agama keamanan, sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam.



Hal ini terbukti dalam catatan sejarah di zaman pemerintahan islam dahulu, sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW menjadi ketua negara islam yang ketika itu berpusat di Madinah, maka Piagam Madinah telah diperkenalkan sebagai perlembagaan negara. Dalam piagam tersebut, penduduk tetap Madinah yang bukan beragama islam telah diberikan jaminan oleh Nabi Muhammad berhubung soal keselamatan dan ketenteraman mereka sama seperti orang islam yang lain. Meskipun berbeza dari sudut agama dan kepercayaan, Nabi Muhammad yang merupakan utusan Allah ini telah mendidik dan mengajar umatnya supaya tidak meminggirkan soal keharmonian dikalangan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Sebarang bentuk kezaliman dan penindasan adalah ditentang dan dilarang dalam islam. Ini adalah contoh dan sudut pandang islam yang sangat menitikberatkan soal keharmonian dalam kehidupan masyarakat.

Islam adalah agama yang mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja termasuk kepada yang bukan beragama islam. Kerana islam itu sendiri adalah agama yang mengajar umatnya untuk menjaga keharmonian. Hal ini terbukti pada zaman Nabi Muhammad, baginda Nabi pernah menerima undangan dari seorang Yahudi untuk menjamah makanan bersamanya. Lalu, Nabi Muhammad SAW pun memenuhi undangan tersebut dari seorang Yahudi. Nabi Muhammad SAW tanpa ragu, telah hadir dan menjamah makanan bersama. Contoh teladan yang baik ini melambangkan islam adalah agama yang senantiasa menganjurkan keharmonian hidup. Tidaklah islam itu agama yang mengajak bermusuhan sebaliknya mengajak kepada keharmonian hidup sejagat. Akhir sekali, islam satu agama yang membawa mesej keamanan dan keharmonian hidup tanpa mengira soal agama, bangsa apatah lagi warna kulit yang berbeza. Sesiapa sahaja, walau apa pun pangkat dan darjatnya, islam senantiasa mengutamakan nilai kehidupan.

Rabu, 3 Januari 2018

KEPRIHATINAN TUANKU RAJA MUDA PERLIS TERHADAP GOLONGAN MUALAF

Negeri Perlis adalah negeri paling hujung di utara semenanjung Malaysia. Berkeluasan 795 km/persegi dan mempunyai kepadatan penduduk seramai 250, 000 orang. Negeri Perlis begitu sinonim dengan slogan permai lagi mempersona. Buminya yang damai dikelilingi oleh pemandangan sawah padi yang menenangkan. Nama Perlis juga sinonim dan terkenal dengan tanaman pokok “harumanis”. Selain itu juga, rakyat negeri Perlis amat bertuah dikurniakan seorang putera raja yang sedang memegang mandat sebagai Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis sejak 1 Ogos 2000 hingga kini. Baginda Raja Muda Perlis telah diputerakan pada 30 Disember 1967 di Hospital Besar, Alor Setar Kedah. Baginda telah berkahwin dengan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan dikurniakan 3 orang anak.

Baginda begitu sinonim dengan kerja-kerja amal terutamanya dalam menegakkan syiar agama islam di negeri terkecil ini. Sejak menerajui Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu  Perlis (MAIPs) selaku Yang Di Pertua bermula tahun 2002, pelbagai ilham baginda curahkan dalam usaha melaksanakan transformasi MAIPs. Pelbagai agenda transformasi dan inisiatif baru telah dilaksanakan dalam menegakkan syiar agama. Antara usaha transformasi yang dilakukan ialah menghulurkan bantuan dalam hal keperluan dan sokongan pendidikan kepada golongan saudara baru muslim atau disebut sebagai mualaf, bagi memberikan mereka nafas permulaan hidup baru sebagai seorang muslim. Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf sudah sinonim dengan negeri Perlis. Bukan setakat itu sahaja, turut terkena tempias sikap keprihatinan Baginda ini ialah beberapa saudara baru muslim dari luar Perlis, turut dijemput untuk menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) secara percuma dibiayai oleh MAIPs. 



Baginda dikenali sebagai seorang yang begitu komited dan menitikberatkan dalam soal bidang pendidikan. Baginda senantiasa mengingatkan rakyat negeri Perlis supaya bermentaliti kelas pertama dalam tindakan. Keprihatinan Baginda dalam bidang pendidikan terbukti dengan program-program yang telah melibatkan pelbagai institusi pendidikan sama ada di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, di peringkat sekolah rendah dan menengah, juga termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Tidak ketinggalan dalam soal ini ialah golongan mualaf. Baginda menerusi MAIPs telah memperkenalkan tawaran biasiswa kepada mualaf bagi melanjutkan pendidikan. Inisiatif yang julung kalinya diadakan ini juga telah menarik minat Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha. Dalam satu laporan akhbar bertarikh 13 Julai 2017, JAKIM menerusi Ketua Pengarahnya dalam satu majlis bersama mualaf di Perlis menyatakan hasrat beliau untuk melebarkan inisiatif yang menarik ini. Beliau sendiri amat kagum dan bangga dengan inisiatif yang sangat bermanfaat buat para mualaf. Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar negeri-negeri lain mencontohi negeri Perlis dengan memperkenalkan inisiatif hebat ini. Secara tidak langsung, inisiatif ini melambangkan sikap prihatinnya Baginda terhadap bidang pendidikan tanpa meminggirkan status sesiapun.

Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf tidak terhenti di situ sahaja. Baginda terkenal dengan sikap menitikberatkan soal perpaduan dan rasa kasih sayang kepada golongan mualaf. Hal ini terbukti dalam titah ucapan Baginda pada tarikh 13 Februari 2017,Baginda bertitah supaya saudara muslim yang berketerunan cina agar tidak merasa asing berada dalam masyarakat islam. Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina bagi saudara muslim cina di negeri Perlis. Baginda juga menyeru umat islam supaya belajar mengenali kepelbagaian budaya dan juga perlu tahu bagaimana untuk mengharmonikan adat dan budaya dengan ajaran islam yang membawa rahmat untuk sekalian alam. Baginda sering mengingatkan para pendakwah supaya menunjukkan contoh teladan yang baik dan murni selari dengan ajaran petunjuk wahyu dari Allah Azza Wa Jalla. Selain itu, Baginda juga  menyarankan agar orang islam mengajak saudara baru muslim untuk turut bersama menyambut hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang sesama umat islam.

Pada masa yang sama, Baginda seringkali meluahkan rasa bimbang dengan sikap segelintir umat islam yang langsung tidak mencerminkan imej islam yang sebenar. Baginda sangat bimbang dengan imej islam yang seringkali digambarkan dengan imej yang negatif. Hal ini secara tidak langsung, berpunca daripada kelemahan sikap umat islam itu sendiri yang suka bermusuhan dan tidak boleh menerima sudut pandangan yang berbeza. Fenomena ini sekiranya dibiarkan, ianya akan memberi kesan kepada saudara baru muslim yang berkemungkinan kembali cenderung untuk kembali kepada agama asal mereka. Atas sebab ini, Baginda sentiasa prihatin akan permasalahan ini dengan menyokong pelbagai program keagamaan dilaksanakan khusus kepada golongan mualaf sebagai salah satu inisiatif atau langkah membimbing mereka mengenal didikan dan ajaran islam yang sebenar. Baginda juga menerusi MAIPs, telah melantik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu One Centre Malaysia sebagai sebuah badan khas yang bertindak menggerakkan kerja-kerja dakwah dan pada masa yang sama juga memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada golongan mualaf. One Centre Malaysia juga berperanan untuk memperkenalkan islam yang sebenar kepada masyarakat bukan islam dan berfungsi sebagai jambatan perpaduan antara agama dan kaum tanpa mengetepikan prinsip islam. Maka kita boleh lihat bagaimana beberapa tokoh agama sama ada di dalam atau di luar negara, dijemput untuk memberikan ceramah, berkongsi rasa sesama mualaf sebagai suatu suntikan vitamin motivasi buat para saudara baru juga pada umat islam keseluruhannya. 




Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf telah menjadi simbolik yang hebat kepada negeri Perlis yang terpencil di utara semenanjung. Betapa kita boleh melihat dan merasainya, sebuah negeri yang kecil dipimpin oleh seorang putera raja muda yang berjiwa besar dan sentiasa berfikiran positif dalam mengembangkan lagi syiar agama Allah. Apa yang dituliskan dalam artikel ringkas ini ialah serba sedikit usaha Baginda memperjuangkan nasib golongan mualaf khususnya di negeri Perlis. Tidak kira lagi betapa banyak lagi di sana, usaha dan gerak kerja Baginda bersama MAIPs menjejaki dan menyantuni para asnaf di sekitar negeri Perlis dengan cara dan gayanya yang tersendiri. Keprihatinan Baginda dalam banyak soal kehidupan ini telah membawa rahmat kepada sekalian penduduk rakyat jelata di negeri Perlis khususnya. Kita doakan agar Allah Azza Wa Jalla terus memberi petunjuk diatas jalan redha Nya serta dikurniakan kekuatan kepada baginda untuk terus memimpin negeri ini menegakkan syiar agama Allah yang Maha Esa. Dirgahayu Tuanku !

Sabtu, 30 Disember 2017

PAK YUS : IKON HEBAT ANAK MUDA PERLIS

Tanggal 30 November 2015, industri seni negara dikejutkan dengan berita sedih apabila pada tarikh tersebut, telah perginya seorang pelawak, pelakon dan penghibur terkenal berasal dari Perlis iaitu Pak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo. Kehilangan Pak Yus memberi kesan yang mendalam terhadap industri seni negara dan pemergiannya ini suatu yang tidak pernah di jangkakan. Rakan-rakan artis yang lain seperti Dato Afdlin Shauki, Dato AC Mizal dan yang lainnya menyifatkan pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Lebih terkesan lagi dengan pemergian beliau ialah sahabat akrabnya yang sentiasa mendokong kumpulan Jambu iaitu Taukeh. Bak kata pepatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Pemergian beliau amat memberi kesan buat sahabat seperjuangannya, Taukeh. Siapakah Pak Yus yang sebenarnya ? Apakah yang membuatkan seluruh negara merasakan kehilangan besar atas pemergiannya ?. Semuanya akan terjawab dalam artikel ringkas ini.


Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo telah dilahirkan pada tarikh 15 Mac 1976 dan dibesarkan di Kampung Nesam, Sungai Batu Pahat Kangar, Perlis. Pak Yus merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Namun semuanya itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi penghibur negara. Beliau telah menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar Perlis. Setelah tamatnya pengajian, Pak Yus terus mengasah bakatnya dalam bidang seni dengan menceburi bidang teater dan tarian di Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Perlis. Pada tahun 2004, Pak Yus telah dinobatkan sebagai Pelakon Teater Terbaik Kebangsaan. Sebenarnya, sejak tahun 2001 lagi Pak Yus telah mengorak langkah mencipta nama dalam Sinaran Pasport Kegemilangan, sebuah program anjuran TV3 dahulu. Namun nasib tidak menyebelahinya.



Kegagalan beliau mengharumkan namanya di persada seni pada tahun 2001, tidaklah menjadi penamat kepada beliau untuk terus mengorak langkah. Kecekalan dan ketabahan anak jati Perlis ini, sekali lagi beliau mencuba nasibnya dalam program Raja Lawak Astro yang julung kalinya diadakan pada waktu tersebut. Alhamdulillah, langkahnya kali ini berjaya. Pada tarikh 11 Mac 2007, beliau telah dinobatkan sebagai Juara Raja Lawak Musim Pertama Astro. Kejayaan besar beliau ini sekaligus telah membanggakan seluruh rakyat negeri Perlis. Kejayaan besar ini juga telah menjadi inspirasi dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak Perlis yang lain supaya anak-anak Perlis tidak takut untuk mencipta langkah menempa nama di persada seni. Langkah Pak Yus tidak terhenti setakat itu sahaja. Tahun 2011, kumpulan Jambu yang diasaskan oleh beliau dan taukeh telah mendapat tempat keempat dalam Maharaja Lawak. Tahun seterusnya, tahun 2012, kumpulan Jambu telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Juara Maharaja Lawak Mega. Bukan setakat itu, langkah Pak Yus sebagai anak seni terus mencipta namanya apabila beliau mendapat tempat keempat dalam Super Spontan 2013, tempat kelima Super Spontan 2014 dan tempat keempat Super Spontan All Starz 2015.


Perwatakkannya yang bersahaja dan melucukan menjadi antara kenangan yang tidak dapat kita lupakan. Dalam persembahannya, kerapkali beliau menyebut beberapa nama dan perkara yang sinonim dengan masyarakat utara seperti pekan Kodiang, tuyu (kicap) dan lain-lain. Sifat kerendahan hatinya tidak ada siapapun yang dapat nafikannya. Dalam lucunya, beliau banyak menyimpan kesedihan hidupnya sebagai anak seni. Dalam diam-diam, sebenarnya Pak Yus telah banyak membantu orang sama ada beliau kenal atau tidak, beliau rapat atau sebaliknya, beliau suka memberi daripada meminta. Sikap beliau yang pemurah ini terbongkar selepas pemergian beliau. Pak Yus yang kita kenali ini, beliau merupakan seorang dermawan meskipun beliau bukanlah dikalangan para jutawan. Tahukah kita semua, Pak Yus adalah insan yang sangat baik pada semua orang. Beliau seorang peramah dan tidak pernah lupa akan asal usulnya. Meskipun namanya  terpahat sebagai anak seni yang hebat, namun tidak pernah sedikit pun beliau bersikap sombong dengan apa yang beliau telah miliki. Saya percaya, sikap yang baik seperti inilah yang membuatkan ramai orang tersentuh hati dengan pemergian beliau.



Saya katakan, Pak Yus adalah ikon anak jati Perlis. Beliau merupakan lagenda hebat orang Perlis. Beliau telah membuktikan bahwa orang yang lahir dari sebuah negeri terpencil di utara pun mampu mencipta nama seperti orang lain juga. Tidak apa pun status kehidupan kita, asalkan kita mempunyai iltizam kukuh, disusuli dengan kesungguhan yang utuh, kita akan berjaya melangkah ke persada dunia. Pemergian Pak Yus adalah pemergian yang abadi. Meskipun airmata darah kita titiskan, namun takkan pernah menghidupkan Pak Yus kembali, Tetapi lihatlah dunia, meskipun Al Marhum Pak Yus telah pergi meninggalkan kita buat selamanya, tidak bermakna semangatnya juga pergi bersama. Pak Yus hanya pergi meninggalkan jasad dan rohnya, namun semangatnya kami pegang, kejayaannya kami kenang dan telatahnya kami pahatkan. Ayuhlah anak-anak Perlis, kita ambil semangat ini untuk terus melangkah mencipta nama dan menempa kejayaan.

Selasa, 21 November 2017

PERANAN UTAMA MEDIA ADALAH MENDIDIK

Peranan media dalam masyarakat adalah sangat penting dan besar dalam kehidupan kita hari ini. Pada tafsiran barat ianya seolah-olah menjadi perantara kepada segala peristiwa yang berlaku disekeliling kita dengan diri kita atau boleh kita sebut sebagai penyampai berita. Media bagi mereka ialah sekadar memberi maklumat akan persitiwa yang berlaku kepada masyarakat supaya semakin bertambah pengetahuan mereka tanpa dibezakan samada pengetahuan itu baik atau buruk. Islam juga sebagai satu sistem cara hidup yang menyeluruh dan sempurna juga mengiktiraf akan peranan media ini. Namun Islam melihat media ini dalam perspektif berbeza dan lebih luas, ianya bukan sekadar memberi maklumat tetapi ianya turut menjadi satu wasilah dakwah. Media berperanan untuk menyampaikan kebenaran wahyu dalam masa yang sama mendidik masyarakat supaya menjadi lebih baik (soleh). Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”

(Surah an-Nahl:125)

Media ini hakikatnya adalah mengajak manusia supaya semakin hampir dengan kebaikan dengan cara yang berseni, berhikmah dan penuh bijaksana. Kata ulama kontemporari  pada hari ini ada menyebutkan bahawa media disisi Islam secara mudah boleh disimpulkan sebagai “daripada Allah kepada Allah” . Iaitu media itu menceritakan akan kebenaran (al-Haq) dan juga hakikat kemanusiaan (persitiwa) supaya dengan segala penceritaan ini akan membawa manusia kepada semakin hampir kepada Allah swt. Apabila kita memahami media dalam kerangka sebegitu maka cara penyampaian media itu juga terikat dengan apa yang Islam benarkan dan apa yang Islam haramkan.  Apa yang Islam tidak benarkan tetap tidak dibenarkan di dalam kandungan media itu sendiri serta begitulah sebaliknya kerana matlamat media itu selari dengan matlamat syarak itu sendiri. 



Apabila kita menghayati perkara ini kemudian dinilaikan pada kebanyakkan media yang ada pada hari ini adalah satu perkara yang amat menyedihkan. Kita selalu menyalahkan masyarakat yang semakin rosak dengan budaya pengaulan jantina yang tidak terkawal, seks bebas, pembuangan bayi, gangster, keretakan rumah tangga, tidak menghormati ibubapa dan pelbagai perkara lagi. Sedangkan kita lupa bahawa yang membentuk masyarakat tersebut sebenarnya adalah media itu sendiri. Media sebenarnya yang telah mendidik masyarakat sehingga apa yang kita lihat pada hari ini. Media yang suka memaparkan kisah-kisah gossip artis, gambar-gambar dengan pakaian yang tidak sopan bahkan isu keretakan rumah tangga mereka pun dilaporkan secara meluas dalam kadar yang berlebihan. Sehingga dibuka aib-aib pergaduhan suami isteri, kisah-kisah yang sepatutnya menjadi satu rahsia antara pasangan juga dibentangkan secara meluas kepada masyarakat kononnya dengan alasan menyampaikan kebenaran.


Hal ini mengambarkan betapa jauhnya media hari ini daripada peranannya yang sebenar. Media hari ini bukan sekadar tidak membawa masyarakat semakin hampir kepada kebaikan, bahkan media hari ini sebenarnya sedang memandu masyarakat ke arah kemaksiatan serta keruntuhan moral.  Sedarlah bahawa Islam itu hadir dengan membawa manusia kepada nilai moral (akhlak) yang tinggi bukan sekadar untuk melahirkan peribadi yang berakhlak tetapi ianya juga bertujuan membentuk sebuah masyarakat yang harmoni. Budaya bergossip bukanlah daripada Islam serta budaya membuka aib manusia lain sangatlah tidak disukai oleh Allah. Ingatlah pengamal media sekelian bahawa Allah itu Maha Adil, saat kita suka membuka aib orang lain maka kelak Allah sendiri yang akan membuka aib kita dihadapan manusia lainnya. Tetapi apabila kita mula menutup aib saudara kita maka Allah pasti akan menutup aib kita bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat juga.

Ahad, 19 November 2017

KETERBUKAAN ISLAM TIDAK SEHINGGA MENGGADAIKAN PRINSIP

Pernyataan bahawa berpegang teguh kepada ajaran Islam telah menyekat kebebasan adalah penyataan salah yang lahir kerana ketidakfahaman terhadap tabiat ajaran Islam yang telah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada hanya menyembah Allah SWT. Islam telah membebaskan manusia daripada memperhambakan diri terhadap runtunan hawa nafsu kepada mengatur hawa nafsu sesuai dengan peranan sebenarnya. Islam membebaskan manusia daripada persepsi kehidupan hanya terhad kepada dunia kepada meyakini kehidupan manusia juga melangkau hari akhirat. Mengajak dan membebaskan manusia bertuhankan selain Allah SWT dengan fahaman tiada satu pun agama yang benar-benar betul serta menafsirkan Islam sebagai secara literal sebenarnya telah mengajak mereka kembali kepada perhambaan.

Mempromosi kebebasan untuk murtad daripada agama Islam bukanlah seruan kepada pembebasan, bahkan menyalahi konsep kebebasan dalam Islam. Mempromosi seks bebas, mewajarkan maksiat dan kemungkaran, membebaskan manusia daripada ikatan agama adalah perbuatan merelakan diri dibelenggu hawa nafsu. Sedangkan manusia diberi kehormatan untuk mengendalikan hawa nafsu, bukannya nafsu bertindak sebagai tuan kepadanya. Maka, apa juga cara termasuk ucapan mahupun tulisan mengajak orang Islam di negara ini murtad atau melakukan maksiat secara terang-terangan hendaklah disekat. Islam tidak menentang kebebasan bersuara atau meluahkan perasaan. Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. 



Kita hanya boleh menerima prinsip kebebasan tidak melampaui batas dan tidak boleh sesekali meraikan kebebasan yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah besar kepada masyarakat. Sebarang gesaan supaya umat Islam diberi kebebasan untuk murtad, mengamalkan perkahwinan beza agama, penyuburan ideologi liberalisme mesti dikawal dan diambil tindakan tegas supaya tindakan yang melampau itu terkawal serta tidak merosakkan lebih ramai orang. Hal ini bertepatan prinsip sadd al-zara’i’ dalam hukum Islam bertujuan menutup pintu-pintu yang boleh membawa kerosakan besar kepada masyarakat. Menjadi tanggungjawab pemerintah menjaga agama rakyatnya daripada dirosakkan dengan alasan kebebasan yang palsu.


Al-Juwaini apabila berbicara soal pemerintahan Islam menggambarkan tanggungjawabnya adalah lebih luas daripada sekadar menjaga perut dan kehendak rakyat. Beliau menggambarkan pemerintah bertanggungjawab memelihara agama rakyat iaitu syariat Islam. Oleh itu, boleh kita katakan tindakan kerajaan mengharamkan buku Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy dihasilkan oleh kelompok liberal G25 adalah menepati semangat menjaga agama rakyat. Buku itu secara jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati dalam syarak seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lagi. Menjemput pemikir aliran liberal perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ia boleh menjadikan pemikiran umat Islam bercelaru.

Sabtu, 18 November 2017

KEBERKATAN MASA YANG HILANG

Allah Azza Wa Jalla melalui wahyu Al-Quran menekankan satu nilai yang besar dalam kehidupan kita iaitu setiap sesuatu perbuatan mesti dibuat dalam masa dan tempohnya. Kewajiban solat fardhu 5 kali sehari ditentukan masa-masa yang terperinci bagi setiap solat tersebut. Bila berlalunya masa yang diperuntukan maka solat yang dilaksanakan setelah habis waktunya dikira qadha dengan syarat dan sebab yang munasabah daripada segi syarak. Jika seseorang sengaja meninggalkan solat dia perlu segera bertaubat dan kembali kepada saf bersama orang-orang di masjid. Al-Quran juga ‘memperdengarkan’ kepada kita jeritan penyesalan dan teriakan nestapa orang yang telah meninggal dunia kerana tidak melakukan kebaikan di dunia; ada sebahagiannya bila ditanya kenapa kamu berada dalam neraka Saqar? Kerana kami dulu tak solat.

Kisah Firaun yang mengisytiharkan taubatnya ketika tenggelam dalam Laut Merah juga ditolak oleh Allah SWT kerana masanya telah tamat. Kisah golongan yang menangguhkan sedekah yang meminta untuk dihidupkan semula dari kubur. Antara dialog mereka yang Allah SWT kongsikan kepada kita dalam ayat 100 surah Al-Mu’minun; “Moga aku dapat buat kebaikan yang dulu aku tinggalkan (tak sempat buat sebelum mati)”. Tambahan, masa di akhir zaman menjadi cepat kerana barakahnya hilang. Masa berlalu pantas tapi kosong tak diisi dengan pahala. Seorang ayah akan menyesal bila melihat anaknya yang mula meniti usia remaja tapi masih cuai dan culas dalam solat fardhu. Dia terlepas masa ketika anak itu berusia 7 tahun untuk menekankan solat dan dia juga terlepas usia 10 tahun untuk memberi amaran keras jika anaknya tak solat. Masa itu tidak akan kembali. Apatah lagi jika anaknya masih merangkak dalam membaca Al-Quran. 



Seorang anak yang terlalu sibuk dengan kerjayanya hingga mengabaikan khidmat bakti kepada ibu bapanya yang masih hidup juga akan menyesal pada hari dia menerima panggilan berita kematian mereka. Dia terlepas melakukan kebaikan yang disamakan pahalanya dengan jihad di jalan Allah. Dia akan menyesal akan panggilan telefon yang tak dibuat kepada mereka berdua. Dia akan menyesal akan cuti hujung minggu yang tak dimanfaatkan untuk menziarahi mereka. Dia akan menyesal kerana terlalu berkira untuk mengambil cuti daripada majikan untuk pulang ke kampung meluangkan masa bersama mereka. Dia akan menyesal atas setiap permintaan ibubapanya yang tak dipenuhi. Meskipun dia menangis air mata darah kerana menyesal, tapi masa itu tidak akan berulang. Sekali-kali tidak!


Ini yang kita hilang sekarang iaitu keberkatan. Kita ada waktu tapi Allah Azza Wa Jalla tidak berikan hidayah untuk kita lakukan kebaikan dalamnya. Kita diberikan keluasan rezeki tetapi tiada sedekah dan derma. Kita diberikan anugerah anak dan cahayamata tetapi kita tidak berikan kepada mereka didikan Islam yang sempurna. Kita dinaikkan pangkat dan jawatante tapi makin sibuk hingga tiada kesempatan untuk beribadah maupun berkhidmat kepada ibubapa dan masyarakat.