Khamis, 26 Disember 2024

MENGENALI ALIRAN AKIDAH ASYA'IRAH DAN MATURIDIYYAH

 

Manusia dan aktiviti berfikir tidak dapat dipisahkan. Bahkan berfikir antara rutin wajib bagi kehidupan yang bergelar insan. Melalui berfikir, manusia dapat menentukan hala tujunya selain mampu membuat penilaian berdasarkan kemampuan akalnya yang ligat berfikir. Dalam membuat sesuatu penilaian, selain akal yang aktif berfikir, turut mempengaruhi seseorang juga ialah gaya dan cara berfikir yang sekaligus membentuk corak pemikiran yang tersendiri. Gaya berfikir atau disebut sebagai metode/manhaj merupakan suatu jalan untuk mencari sesuatu yang tidak pasti. Manusia sejak berzaman lagi mempunyai cara fikir yang pelbagai dan berbeza bagi merungkai sesuatu yang bersifat kompleks seperti berfikir tentang zat Tuhan itu sendiri. Sehingga apabila falsafah dan ilmu kalam mulai menyerang akan konsep akidah Islam, maka lahirlah yang disebut sebagai aliran akidah al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah untuk mematahkan serangan jahat tersebut.

Aliran al-Asya'irah merupakan salah satu daripada manhaj akidah umat Islam yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy'ari. Nama penuh beliau Ali bin Ismail bin Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa al-Asy'ari. Beliau dilahirkan di Kota Basrah pada tahun 260 Hijrah dan beliau merupakan keturunan yang kesembilan daripada sahabat Nabi SAW iaitu Abu Musa al-Asy'ari. Pada sekitar tahun 285 masihi, ayahnya telah meninggal dunia dan beliau dijaga dan dipelihara oleh seorang tokoh ulama fiqh mazhab al-Syafie iaitu bernama Zakariyya bin Yahya al-Saji. Imam Abu Hasan al-Asy'ari merupakan tokoh di dalam ilmu kalam. Ketokohan beliau di dalam ilmu kalam banyak dipengaruhi oleh al-Jubba'i, ketua mazhab Muktazilah. Ketika usia beliau mencecah 10 tahun, menurut cerita yang tersebar luas, ibunya telah mengahwini al-Jubba'i dan beliau dibesarkan oleh al-Jubba'i sehingga beliau terus menjadi penganut aliran Muktazilah.




Menurut catatan Abu Zuhrah dalam kitab Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, al-Jubba'i memilih beliau bagi menggantikan Jubba'i dalam bab perbahasan ilmu kalam. Ini memandangkan al-Jubba'i melihat kefasihan Imam Abu Hasan dan umurnya yang masih muda dilihat sesuai menggantikan al-Jubba'i. Imam Abu Hasan menjadi anak murid terbaik al-Jubba'i dan diharap menjadi pewaris kepada aliran Muktazilah ini. Namun pada usia beliau 40 tahun, beliau telah sedar dan kembali kepada akidah mengikut manhaj ahlu sunnah wal jamaah. Catatan oleh al-Subki dalam kitabnya, al-Tabaqat al-Syafi'yyah al-Kubra, disebutkan bahawa beliau iaitu Imam Abu Hasan telah meninggalkan mazhab Muktazilah dan mengikuti Imam Ahmad bin Hanbal dan beliau terus mendokong akidah aliran mazhab al-Salaf sehingga hujung riwayat hidupnya.

Sepanjang hidupnya, beliau berguru dengan ramai para ulama yang di antaranya adalah Zakariyya ibn Yahya al-Saji, Abi Khalifah al-Jumhi, Sahl bin Nuh dan Muhammad ibn Ya'qub al-Ma'bari. Beliau turut menghasilkan pelbagai karya di sepanjang hayatnya antara lain karyanya ialah al-Ibanah 'an Usul al-Diyanah, al-Luma' fi Radd 'ala Ahl al-Zaigh wal Bida', Maqalat al-Islamiyyah wa Ikhtilaf al-Musallin, Risalah fi Istihsan al-Khawd fi Ilm Kalam dan lain-lain lagi karyanya. Pada sudut pemikirannya, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Subki, Imam Abu Hasan al-Asy'ari tidak menciptakan akidahnya yang tersendiri melainkan apa yang dipegangnya berdasarkan mazhab Salaf. Al-Asy'ari memang jelas menolak pendapat Muktazilah secara menyeluruh. Namun begitu, ketika al-Asy'ari sedang dalam proses mengukuhkan akidah dan pemikirannya, beliau seringkali disebut dengan pelbagai labelan seperti pendokong Jabariyyah, al-Murji'ah, al-Hasyawiyyah dan lain-lain.

Mazhab al-Asya'irah adalah mazhab ilmu kalam yang terdiri daripada pengikut Imam Abu Hasan al-Asy'ari. Secara umum, mereka yang mengikuti mazhab ini berpegang kepada fiqh mazhab al-Syafie. Mazhab ini banyak menggunakan akal logik bagi menolak hujah songsang oleh pemikiran falsafah termasuklah aliran Muktazilah. Antara sebahagian tokoh ulama mazhab ini ialah al-Baqillani, Ibnu Furak, al-Isfara'ini, al-Baghdadi, al-Samnani, al-Qusyairi, al-Juwaini, al-Ghazali, al-Razi, al-Jurjani dan al-Sanusi. Namun begitu, sebahagian mereka ini telah berbeza pandangan dengan al-Asy'ari dalam beberapa bab sehingga menjadi berpecah kepada dua golongan iaitu al-mutaqaddimin (yang terdahulu) yang berpegang kepada sumber wahyu dan golongan kedua al-Asy'airah, al-muta'akhirin (terkemudian) yang mulai bercampur aduk dengan pemikiran falsafah.




Sejarah aliran Maturudiyyah pula diasaskan oleh Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi, al-Ansari, al-Hanafi, al-Samarqandi. Beliau dilahirkan sekitar pertengahan abad ke 3 atau 9 di Maturid, sebuah kawasan yang berdekatan dengan Samarqand, salah sebuah kota terkenal di Uzbekistan. Pada tahun 333 hijrah bersamaan 944 masihi, beliau telah meninggal dunia selepas 10 tahun Imam Abu Hasan al-Asy’ari meninggal dunia. Beliau merupakan seorang pengikut Imam Abu Hanifah, pendiri mazhab Hanafi. Diantara guru beliau ialah Muhammad bin Muqatil al-Razi, Abu Bakr Ahmad bin Ishaq al-Juzjani, Abu Nasr Ahmad b. al-'Abbas al-'Iyadi dan Nusayr bin Yahya al-Balkhi. Kesemua gurunya ini adalah murid kepada Abu Hanifah. Sepanjang hayatnya, terdapat sekurang-kurangnya 13 karya telah beliau nukilkan. Antara lain ialah Ta’wilat al-Qur’an @ Ta’wilat Ahl al-Sunnah, Ma’khadh al-Syari‘ah, al-Jadal, Bayan Wahm al-Mu‘tazilah, al-Tawhid, al-Radd ‘ala al-Usul al-Qaramitah dan lain-lain.

Oleh kerana Imam Maturidi merupakan seorang pengikut Imam Abu Hanifah, maka banyak persamaan teologinya dengan Imam Abu Hanifah. Mazhab akidah aliran Maturidiyyah ini dikenali juga sebagai mazhab ilmu kalam al-Maturidi. Sepertimana mazhab al-Asy'ariah, mazhab ini juga banyak memfokuskankan untuk menentang fahaman yang menggugat akidah Islam terutamanya kumpulan Muktazilah. Berdasarkan pemikiran mazhab al-Maturidiyyah, mempercayai akan kewujudan Allah tidak boleh diketahui dengan akal. Bagi maksud sifat Allah, disisi al-Maturidi, mereka menetapkan sifat tetapi tidak membezakannya daripada zat (Allah) itu sendiri. Selain itu, berhubung soal perbuatan manusia sama ada dipaksa oleh Allah atau tidak, beliau berpandangan Allah pencipta segala-galanya termasuk perbuatan manusia. Balasan baik diperolehi dengan ikhtiar manusia, begitu juga yang buruk. Berkaitan ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Quran seperti menggambarkan Allah mempunyai muka dan tangan, al-Maturidi mentakwilkannya berdasarkan ayat-ayat muhkamah. Terdapat banyak lagi beberapa pandangan umum dalam mazhab ini yang menjadi pegangan mereka.

Hakikatnya, kedua-dua mazhab ini mempunyai perbezaan bahkan pernah berlaku peristiwa hitam perbalahan antara kedua mazhab tersebut. Antara perbezaan yang dapat dilihat ialah soal kehendak Allah. Pada sisi al-Asy'airah, Allah SWT tidak terikat dengan apa pun. Manakala pada sisi al-Maturidiyyah, manusia mempunyai kebebasan kehendak. Selain itu, al-Asy'airah berpandangan bahagia atau celakanya pada kematian seseorang sudah ditentukan sejak azali. Namun pada sisi al-Maturidiyyah pula menyatakan bahawa bahagia atau celakanya seseorang adalah ditentukan oleh keadaan sekarang. Dalam soal taubat, al-Asya’irah mengatakan taubat tidak akan diterima pada waktu ghargharah (saat nyawa dicabut) dan pintu taubat akan ditutup apabila matahari terbit pada arah Barat. Tetapi al-Maturidiyah pula menyatakan taubat orang kafir yang tidak diterima secara khusus, tetapi taubat orang yang beriman yang melakukan maksiat masih dapat diterima. Demikian secara ringkas yang dapat dinukilkan bagi memahami sedikit sebanyak latar kepada dua aliran mazhab akidah ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 23 Disember 2024

HUTANG MENURUT SYARIAT : ANTARA PENGHUTANG DAN PEMIUTANG

 

Pelbagai ragam kehidupan umat manusia dapat dilihat yang tujuannya adalah untuk mewarnai kehidupan masing-masing. Ada yang sanggup mengeluarkan duit untuk membeli kasut bagi tujuan untuk dijadikan koleksi, ada pula yang suka menghiasi kenderaan walau memakan modal yang besar Tidak kurang pula ada yang tidak kisah menghabiskan wang ringgit untuk mengembara mengelilingi dunia. Begitulah sebahagian ragam yang dapat dilihat pada sisi kehidupan manusia. Ada ketikanya umat manusia akan tersepit di persimpangan dilema hidup untuk membuat keputusan melakukan pertimbangan yang sewajarnya antara keperluan dan kehendak pada kehidupan. Tanpa perlu dinafikan, tidak kurang ramai manusia hari ini sanggup membuat pinjaman atau berhutang demi memenuhi hasratnya. Begitu pula sebaliknya, ada yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan asasnya.

Hutang atau dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Qard. Pada sudut bahasa, al-Qard bermaksud potong. Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam Kamus al-Misbah al-Munir, perkataan Qard pada sudut kata nama membawa makna satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Ini bermakna orang yang memberi hutang bermaksud orang tersebut telah memotong hak pemilikan hartanya untuk diberi pinjam kepada orang yang berhutang. Perkataan al-Qard pada sudut istilah pula merujuk kepada maksud penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan. Selain itu, perkataan al-Qard ini juga disebutkan di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 245, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?”




Dalam Islam, pada asalnya hukum berhutang adalah harus dan hukum memberi hutang adalah sunat. Ini sebagaimana yang telah dibahaskan dalam kitab Fiqh al-Manhaji. Hukum ini terletak kepada keadaan biasa secara umum. Namun begitu, hukum asal memberi hutang boleh berubah berdasarkan kepada niat orang yang berhutang tersebut. Dalam hal ini, sekurang-kurangnya terdapat tiga hukum berbeza bergantung kepada niat si penghutang tersebut. Pertama, hukumnya adalah haram memberi hutang sekiranya diketahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya. Kedua, hukum memberi hutang adalah makruh sekiranya diketahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah dan memberi manfaat. Ini termasuk juga keadaan dimana hutang tersebut bertujuan untuk menunjuk-nunjuk selain diketahui orang yang mahu berhutang tersebut tidak mampu membayar semula. Ketiga, hukum memberi hutang adalah wajib jika si penghutang tersebut sangat memerlukannya untuk tujuan menampung keperluan hidupnya.

Selain soal hukum memberi hutang dan berhutang, Islam melalui pensyariatannya juga turut menggariskan beberapa panduan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh mereka yang berhutang. Antara lain ialah Islam menyuruh mereka yang terlibat dalam urusan hutang ini untuk mencatat segala butiran hutang piutang termasuklah mencatat tempoh yang diberi untuk dibayar semula hutang tersebut. Hal ini dijelaskan lagi oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)".




Selain manusia dituntut untuk menulis butiran hutang, Islam juga turut menegaskan tentang kepentingan untuk membayar hutang berdasarkan perjanjian yang telah dilakukan. Ketegasan Islam dalam hal ini dapat dilihat di dalam firman Alah SWT di dalam al-Quran, surah al-Maidah 1 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian".

Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa urusan hutang piutang ini bukan sahaja sekadar jumlah kecil atau besarnya sesuatu hutang tersebut namun lebih mustahak lagi ialah hutang adalah suatu amanah yang wajib dilunaskan. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 283, firman Nya yang bermaksud :

"Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya."

Oleh itu, Islam sangat menekankan tentang amanah membayar dan melunaskan hutang. Begitu juga di dalam hadith baginda Nabi SAW, terdapat banyak hadith Nabi yang mengingatkan umatnya untuk melangsaikan hutang. Antara lain hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sekalipun aku memilki emas sebesar gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih daripada tiga hari, kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang".

Selain itu, baginda Nabi SAW juga menyebutkan mengenai niat di dalam berhutang. Sekiranya kita berhutang dengan niat baik untuk membayar kembali, tentu Allah akan permudahkannya. Namun sebaliknya jika kita berhutang dengan niat sengaja tidak mahu membayarnya, maka Allah akan membinasakannya. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya".




Semasa hayat hidup baginda Nabi SAW, baginda pernah menolak atau enggan bersolat jenazah keatas jenazah yang mempunyai hutang. Kisah ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith panjang riwayat Bukhari, daripada Salamah bin Akwa' RA bahawa dia berkata yang bermaksud :

“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.”

Demikianlah sebahagian daripada syariat Islam berhubung hutang yang melibatkan antara pihak penghutang dan pihak pemiutang. Kesimpulannya, adalah menjadi kewajiban setiap orang Islam untuk melunaskan hutangnya. Pun begitu, sekiranya pemiutang atau pemberi hutang tersebut dengan rela hati menghalalkan hutangnya, maka gugurlah serta hilanglah tanggungjawab orang yang berhutang tadi. Dalam hal ini juga, baginda Nabi telah ajarkan kepada kita satu doa untuk mengurus hutang, dibaca pada waktu pagi dan petang. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Maka marilah sama-sama kita beramal dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW dengan harapan dan tekad agar suatu masa nanti kita mesti bebaskan kehidupan ini daripada dibelenggu oleh hutang. Jika sekalipun terpaksa hutang, kita berharap jua Allah memberikan kita kekuatan untuk membayarnya sebagaimana yang telah dijanjikan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sabtu, 21 Disember 2024

KONSEP NEGARA ISLAM ANTARA TEORI DAN PRAKTIK

 

Kesejahteraan hidup selain keharmonian masyarakat yang terjalin antara resepi kejayaan sesebuah negara. Untuk mengiktiraf sesebuah kemajuan negara, bukan sahaja perlu melihat dalam kerangka pembangunan fizikal negara tetapi juga sangat penting diambil nilai kesejahteraan. Ini kerana sesebuah kemajuan yang dibina tidak akan dapat memberikan nilai tambah dalam kehidupan bernegara jika nilai-nilai asasi manusia yang melibatkan aspek kesejahteraan hidup tidak diberikan penekanan yang jitu. Dalam bahasa mudah, kemodenan sesebuah negara tidak ada makna andai rakyatnya hidup menderita dan sengsara. Oleh itu, sesebuah negara harus dipacu dengan acuan yang kukuh bagi menjamin kestabilan masa depan generasinya. Bagi merungkaikan hal ini, ada yang mencadangkan agar negara dibina dengan melihat konsep dan model negara Islam.

Persoalannya, apakah wujud istilah konsep negara Islam ini serta modelnya ? Bagaimana pula ciri-ciri yang terdapat dalam panduan Islam dan sejauh mana keberkesanannya. Secara asasnya, istilah negara Islam tidak pernah wujud di dalam al-Quran mahupun hadith. Malah pada zaman khalifah Islam yang empat, istilah yang diguna pakai adalah khilafah dan bukannya daulah Islam (negara Islam). Pada era pemerintahan baginda Nabi SAW, nama kerajaan Yasrib tidak ditukar ke nama negara Islam sebaliknya disebut sebagai Madinah al-Munawwarah. Setelah itu tampuk pemerintahan Islam bersilih ganti oleh khalifah yang empat, tetap tidak diguna pakai istilah negara Islam. Konsep negara Islam wujud dan mulai muncul apabila wujudnya blok negara kafir yang dikenali dengan nama negara komunis, negara kapitalis dan negara sosialis. Reaksi dan tindak balas daripada itu, maka bermulalah episod wacana mengenai istilah negara Islam.




Selain itu, sebahagian ada yang beranggapan dan mendakwa konsep negara Islam merujuk atau ditiru daripada model kerajaan Madinah al-Munawwarah yang ditubuhkan oleh baginda Nabi SAW. Walhal, tanggapan seperti itu tidak benar sama sekali. Ini kerana konteks semasa dan zaman pada ketika itu berbeza berbanding konteks semasa dan zaman kini. Misalnya, kerajaan Madinah yang diketuai oleh Nabi SAW tidak mewakili seluruh rakyat. Apa yang jelas, kerajaan Madinah pada ketika itu masih mengakui kewujudan kabilah Arab yang mana kabilah-kabilah tersebut tidak terikat dengan keputusan kerajaan Madinah. Ini berbeza dengan sistem hari ini. Pun begitu, para ilmuan Islam berterusan membincangkan terma yang disebut sebagai konsep negara Islam. Antara yang terkehadapan dalam menyebutkan hal ini ialah Syeikh Muhammad Abduh, seorang reformis di Mesir. Dalam kitabnya yang bertajuk al-'Amal al-Kamilah, beliau menyebutkan bahawa konsep negara Islam jauh lebih baik dari bentuk pemerintahan teokrasi Barat. Beliau turut tegas menolak konsep orang kuat beragama diangkat sebagai asas pemerintahan.

Berkaitan negara Islam juga, seorang tokoh pemikir Mesir pula, Mohammad Salim al-Awa berpandangan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, Imam Hasan al-Banna telah banyak dipengaruhi oleh pemikiran Jamaludin al-Afhani dan Muhammad Abduh sehingga beliau memperkenalkan pendekatan "Islah Timur". Gagasan Imam Hasan al-Banna untuk membina konsep sebuah negara Islam terus diterjemahkan olehnya dalam curahan ilhamnya dalam kitab Usul 20. Pada usul pertama lagi, beliau menegaskan bahawa Islam adalah sistem yang sempurna, merangkumi segenap kehidupan. Baginya segenap kehidupan itu terangkum di dalamnya daulah (negara) dan tanah air (watan) atau kerajaan dan umat. Perjuangan mengangkat slogan negara Islam ini tidak terhenti setakat itu malah terus diwacanakan dan dibawa oleh tokoh gerakan Islam lain seperti Abu 'Ala Maududi. Beliau pula mengetengahkan konsep hakimiyyah yang dilihat mirip seperti yang dibawa oleh kumpulan Khawarij, suatu kelompok pemikiran ekstrim. Jadi, setelah kita melihat sebahagian pandangan umum ini, apakah reaksi Islam melalui wahyu berinteraksi akan hal ini.

Sesungguhnya konsep negara Islam yang banyak dicanangkan itu adalah secara tidak langsung kesan dari kerangka fikir dan pemahaman yang diasaskan oleh beberapa tokoh utama gerakan Islam pada ketika itu. Hasil daripada itu, lahirlah suatu sistem pemerintahan yang dinamakan sebagai sistem teokrasi. Teokrasi merupakan suatu sistem pemerintahan yang menjadikan hukum-hakam agama sebagai dasar pentadbiran. Ungkapan teologi adalah hasil cantuman dua perkataan bermakna iaitu "teo" (teologi) yang merujuk kepada maksud ilmu ketuhanan (akidah) manakala perkataan "krasi" pula bermaksud kuasa. Gabungan dua perkataan tersebut menjadikan teokrasi yang bermaksud pemerintahan yang mendaulatkan ketuhanan dan agama. Jika dilihat kepada kerangka pemahaman yang sebenar, konsep negara Islam bertitik tolakkan kepada syura (mesyuarat) yang berlandaskan kehendak agama. Tetapi apa yang dipraktikkan adalah negara yang diperintah atau dikuasai oleh orang agama.




Pada asasnya, konsep teokrasi yang dirujuk sebagai pemerintahan oleh orang agama ditolak dan ditentang oleh Islam. Ini dapat dilihat sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 31, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.”

Berdasarkan kefahaman ayat ini, Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya, menyebutkan bahawa 'Adi bin Hatim yang ketika itu beragama Nasrani telah datang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Lalu dia membaca ayat 31 surah al-Taubah. Setelah itu, dia menjelaskan kepada Nabi bahwa orang-orang Nasrani tidak menyembah orang-orang agama mereka. Lalu Nabi SAW bertanya bukankah orang-orang agama mereka mengharamkan perkara yang Allah halalkan dan begitulah sebaliknya. Lantas dia mengiyakan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW. Kisah ini pada hakikatnya mengajar kita bahawa Islam tidak menyeru dan menuntut penganutnya menjadikan orang-orang agama sebagai rujukan utama. Secara tidak langsung, dapat kita fahami bahwa tugas orang agama adalah menyampaikan apa yang terkandung di dalam wahyu dan bukan sebaliknya menjadikan pandangan orang agama setahap wahyu.

Selain itu, berdasarkan kisah 'Adi bin Hatim ini juga, mengajar kita tentang fitrah manusia yang tidak ada yang sempurna dan sunyi dari melakukan kesilapan. Ini bermakna orang-orang agama meskipun ungkapan mereka dianggap sebagai keramat dan azimat tetapi mereka juga ialah manusia yang fitrahnya tidak terlepas dari melakukn dosa. Oleh itu, Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa sesungguhnya manusia itu dijadikan dengan sifat lemah yang dianggap sebagai fitrah bagi sekalian manusia. Ini dapat dilihat dalam surah al-Nisa' ayat 28, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah".

Demikianlah bagaimana boleh kita fahami melalui terma negara Islam. Hakikatnya, teokrasi yang dianggap sebagai sebuah sistem negara beragama tidaklah dianjurkan oleh agama Islam. Apa yang penting ialah ciri-ciri seperti keadilan, kesaksaman, keharmonian dan lain-lain lebih mustahak dan dituntut oleh Islam berbanding hanya sibuk meletakkan label dan dipelopori oleh orang agama yang lemah dan bodoh dalam pentadbiran. Oleh yang demikian, konsep negara Islam masih sentiasa terbuka untuk diperbincangkan serta wajar diperhalusi dengan lebih baik agar jenama yang dibina kelak tidak akan mengundang fitnah, malapetaka salah faham serta ketakukan fobia orang bukan Islam terhadap agama Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 18 Disember 2024

HUKUM ISTIGHATHAH : SATU PENILAIAN

 

Menginsafi dan menyedari hakikat bahawa sesungguhnya kejadian manusia itu diciptakan dalam keadaan yang penuh kelemahan dan kekurangan. Kelemahan manusia merupakan suatu dalil dan bukti bahawa hidup memerlukan kepada suatu pergantungan harap.Oleh kerana itu, manusia tidak dapat lari daripada bergantung harap memohon pertolongan Tuhan yang Maha Kuasa. Kaum manusia yang penuh dengan kekurangan ini bukan sahaja memohon pada perkara yang dihajatkan semata bahkan memohon perlindungan daripada perkara buruk dan keji yang manusia itu sendiri tidak inginkannya. Sesungguhnya sikap dan perbuatan berdoa itu sendiri melambangkan hubungan kita dengan samg pencipta alam iaitu Allah SWT.

Dalam kita menadah tangan memohon doa, terdapat pelbagai bentuk doa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Ini termasuklah yang dikatakan sebagai Istighathah (إستغاثة). Ungkapan istighathah berasal dari bahasa Arab. Menurut Imam al-Syaukani dalam kitabnya, al-Durr al-Nadhid, beliau menyatakan bahawa istighathah merujuk kepada maksud meminta pertolongan. Ia juga bermaksud menghilangkan kesempitan. Ia sama seperti kalimah الإستنصار yang juga bermaksud meminta pertolongan dan kalimah الإستعانة bermaksud meminta bantuan. Selain itu, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dalam kitabnya, Syarah Ushul Tsalatsah, istighathah bermaksud memohon keselamatan iaitu keselamatan dari penderitaan dan kebinasaan. Secara rumusannya, istighathah dapat difahami sebagai suatu bentuk doa memohon bantuan pertolongan.




Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan ini, perbuatan istighathah boleh dianggap sebagai salah satu bentuk dan jenis permintaan doa. Walau pada dasarnya, doa lebih bersifat umum berbanding dengan makna istighathah. Ini kerana doa secara umumnya dimohon dalam apa jua keadaan tanpa terikat. Ini juga bermaksud doa boleh dipohon dalam keadaan senang mahupun susah. Berbeza dengan istighathah, ianya doa yang dipohon kepada Allah atau kepada individu yang dipohon bantuan pada waktu getir dan susah sahaja. Keadaan getir dan susah ini dapat kita fahami sebagaimana golongan Nabi Musa AS memohon pertolongan dalam bentuk istighathah kepada Nabi Musa AS. Hal Ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 15 yang bermaksud :

“Maka orang yang dari golongannya (Nabi Musa) meminta pertolongan kepadanya (Nabi Musa), untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya.”

Hukum berdoa dengan bentuk istighathah terbahagi kepada dua jenis. Pertama, istighathah yang dibenarkan oleh syarak dan kedua, istighathah yang dilarang oleh syarak. Bagi jenis pertama, istighathah yang dibenarkan oleh syarak terbahagi kepada dua. Pertama, istighathah dengan Allah. Ini bermakna kita beristighathah memohon pertolongan dan bantuan kepada Allah. Perbuatan memohon pertolongan kepada Allah ini merupakan ibadah yang diperintahkan kepada umat manusia. Hanya kepada Nya lah tempat kita memohon pertolongan dan beribadah. Selain itu, Allah SWT yang Maha Berkuasa merakamkan cerita permintaan pertolongan daripada orang-orang yang beriman pada malam peperangan Badar. Firman Nya dalam surah al-Anfal ayat 9 yang bermaksud :

"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut".

Bagi jenis yang kedua, istighathah yang dibenarkan oleh syarak ialah istighathah atau meminta tolong dengan Nabi dan manusia lainnya dalam ruang keupayaan, kemampuan dan bersesuaian dengan kedudukan mereka masing-masing. Dan individu yang diminta pertolongan tersebut mestilah masih hidup dan ada bersama dengan orang yang meminta pertolongan tersebut. Jenis yang kedua ini sebagaimana yang dijelaskan, tidak salah meminta pertolongan Nabi dan manusia lain dengan syarat orang yang diminta pertolongan tersebut masih hidup dan ada bersama. Ini sebagaimana yang telah berlaku kepada kaum Nabi Musa AS yang Allah rakamkan kisah di dalam al-Quran. Dalam hal ini, istighathah atau meminta pertolongan dengan manusia ini tidaklah sedikit pun mengurangkan kesempurnaan Allah SWT malah Allah membenarkan hal itu. Demikian istighathah yang dibenarkan oleh syarak.




Jenis kedua iaitu istighathah yang dilarang atau tidak dibenarkan oleh syarak dapat dibahagikan pula kepada tiga bentuk. Bentuk pertama ialah istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi atau dengan orang-orang soleh yang masih hidup dalam perkara yang diluar kemampuan mereka yang dipohon. Misalnya, memohon kepada orang soleh yang masih hidup agar diampunkan dosa atau meminta diberi hidayah. Soal keampunan dan pemberian hidayah bukanlah dibawah kemampuan manusia. Ianya adalah tertakluk kepada Allah sahaja. Maka meminta kepada orang soleh agar dosa diampunkan adalah dilarang sama sekali. Malah istighathah seperti ini boleh jatuh ke lembah kesyirikan yang besar. Kedua, istighathah yang dilarang ialah istighathah dengan orang yang telah meninggal dunia baik dikalangan Nabi mahupun orang lain yang dianggap soleh. Ternyata manusia yang telah mati sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun mudarat.

Istighathah ketiga yang dilarang oleh syarak ialah meminta pertolongan dengan Nabi SAW atau orang soleh yang masih hidup tetapi tidak bersama mereka yang meminta pertolongan tersebut. Ini kerana Nabi dan orang-orang soleh tidak mempunyai kemampuan untuk mendengar pertolongan tersebut selain tidak mengetahui akan perkara ghaib. Demikian secara ringkas berkenaan bentuk dan jenis istighathah yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan oleh syarak. Selain doa yang berbentuk Istighathah, terdapat juga bentuk doa yang lain seperti Tawassul, Tasyaffu' dan Tawajjuh. Dalam soal istighathah juga, para ulama berbeza pendapat berkenaan persaman dan perbezaan antara Istighathah dan Tawassul. Sebahagian ada yang menyatakan bahawa kedua-duanya adalah sama. Sebahagian lagi menyatakan tidak sama.

Hakikatnya, istighathah dan tawassul tidaklah sama sepertimana yang didakwa. Ini berdasarkan bentuk lafaz yang berbeza. Istighathah mempunyai lafaz secara terus tanpa ada perantaraan manakala tawassul pula mempunyai lafaz dengan menyatakan perantaraan seperti kemuliaan seseorang, perantaraan melalui amal soleh dan sebagainya. Demikian secara ringkas yang boleh difahami. Meski isu istighathah ini menjadi isu khilaf (perbezaan pendapat) dikalangan para ulama, maka sewajarnya kita menimbang tara antara mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan). Memohon pertolongan kepada Allah adalah lebih mulia dan baik serta diterima oleh Nya berbanding memohon selain kepada Nya. Dibimbangi terjunam ke dalam.lembah kesyirikan. Oleh itu, berwaspadalah dengan setiap ucapan kita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Jumaat, 13 Disember 2024

MENJAWAB DOGMA KEPERCAYAAN ATEIS

 

Saban hari kehidupan yang sedang kita nikmati ini akan berubah-rubah mengikut hukum alam. Sama ada perubahan tersebut secara langsung mahupun tidak langsung, kita akan hadapinya pada waktu dan ketikanya. Sekuat apa-pun manusia itu, tidak ada daya dan kekuatan yang dapat menahan daripada berlakunya sesuatu perubahan tersebut. Apa yang kita boleh lihat lima tahun dahulu, tentu sekali tidak sama dengan lima tahun yang akan datang. Usia yang muda dan tenaga yang banyak, pastinya akan berubah menjadi semakin tua dan lemah. Rambut yang hitam berikal mayang, pasti akan berubah warna dan bentuknya. Bumi berputar tanpa henti, mendesak perubahan waktu siang dan malam. Ini sebahagian hukum alam yang bukan ditentukan oleh mana-mana manusia kecuali ada yang berkuasa mengawalnya iaitulah Allah.

Ateis merupakan suatu fahaman yang menolak kepercayaan kewujudan Tuhan. Malah dalam pelbagai hujah penafian tersebut, andaian, kebarangkalian selain ilmu sains dijadikan kayu ukur dalam mencari sesuatu kebenaran. Amat dangkal sekali, apabila cubaan menafikan akan kewujudan Tuhan menggunakan teori sains walhal segala ilmu di langit dan di bumi adalah kepunyaan Tuhan yang berkuasa keatas segala sesuatu. Secara prinsipnya, kebatilan tidak akan dapat menenggelamkan kebenaran. Kebenaran tidak akan terhapus dengan adanya perkara kebatilan. Maka segala kekeliruan, persoalan dan kemusykilan yang dibangkitkan oleh para ateis telah banyak dijawab oleh para ilmuan Islam membungkam suara kebatilan yang telah sesat di celah-celah lorong kehidupan.




Persoalan utama yang seringkali dibangkitkan oleh golongan ateis ialah dimanakah Tuhan ? Jika benar Tuhan itu wujud bagaimana pula dengan keadaannya ? Bagi menjawab persoalan ini, pertama harus kita nyatakan bahawa kewujudan Tuhan dapat dibuktikan sekiranya manusia betul-betul menggunakan akal yang waras. Apabila akal berada di tahap kewarasan yang baik, barulah kita dapat mengamati alam ini dengan baik. Bukti kewujudan Tuhan boleh dijelaskan melalui pengamatan alam ini. Bagaimana langit tidak bertiang, bulan dan matahari bersilih ganti dan sebagainya. Begitu juga dapat kita lihat pada penciptaan manusia yang walau berjuta bahkan tak terbilang banyaknya manusia, namun jap cari setiap dikalangan manusia tidak ada yang sama. Keajaiban ini tentu bukan dari teori sains. Jika Tuhan tidak ada mana mungkin alam ini akan terjadi.

Pun begitu, mereka pula akan menjawab segala yang berlaku kepada diri manusia dan alam semesta ini terjadi dengan sendirinya. Alam yang berubah-rubah antara siang dan malam, silih ganti matahari dan bulan adalah kesan daripada sains. Jika begitu andaian yang diberikan, adakah logik alam ini tercipta tanpa ada penciptanya ? Daripada sekecil-kecil benda sehingga sebesar-besar perkara tentunya ada yang menciptakannya. Dalam perkiraan matematik, jika kita katakan 0+0 tentu jawapannya juga adalah 0. Kiraan 0+0 tidak akan menghasilkan apa-apa angka lain kerana ianya 0. Jadi, jika alam ini tiada yang menciptanya, bagaimana boleh alam ini terjadi dengan sendirinya. Sekiranya perkara yang diciptakan itu datang daripada sesuatu yang tidak wujud, maka apakah kondisi sebab-akibat yang membawa kepada penciptaannya. Jika tidak ada sebab-akibat, tentu ianya bercanggah dengan rasional akal manusia.

Selain itu, hujah yang selalu kita dengar dari golongan Ateis ialah alam ini terjadi dengan sendirinya. Ini bermakna alam menciptakan dirinya sendiri. Persoalannya, adakah benar alam ini tercipta dengan sendirinya ? Jika kita boleh memahami perkataan "cipta" itu sendiri menunjukkan bahawa ianya tidak ada sebelum diadakan. Maka secara mudahnya, bila kita mengatakan alam ini wujud, sudah pasti alam ini pernah tidak wujud sebelum wujud dirinya. Jadi bagaimana yang tidak pernah wujud menciptakan sesuatu yang wujud ? Tentu perkara ini memeningkan kita. Begitu juga jika kita katakan seekor harimau melahirkan dirinya sendiri. Untuk mengiyakan hal tersebut, tentu sekali kita perlu menyakini bahawa harimau itu wujud sebelum dirinya dilahirkan. Mana mungkin sesuatu yang asalnya tidak wujud menciptakan kewujudan dirinya sendiri. Maka pasti ada kuasa yang menciptakan alam ini dan kuasa tersebut ialah kekuasaan Allah SWT.



Malah dalam hal penciptaan alam ini, ternyata ramai para pengkaji Barat apabila mengkaji akan sifat alam ini mengakui alam ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ini sepertimana yang pernah dinukilkan oleh seorang saintis Barat, Andrei Linde dalam satu artikelnya bertajuk The Self-Reproducing Inflationary Universe (Scientific American ,vol 271, 1994), beliau menyebut teori Big Bang menetapkan kesemua bahagian alam semesta mengembang secara serentak (selepas ledakan). Namun, bagaimana bahagian-bahagian alam yang berbeza ini mengembang secara seimbang (synchronize) pada peringkat awal ini ? Siapakah yang memberikan arahan itu ? Demikian lontaran persoalan yang akan membuat kita akhirnya akur bahawa alam ini ada yang menciptakannya. Selain itu, Stephen Hawking juga menulis dalam bukunya berjudul A Brief History of Time, beliau menjelaskan bahawa sekiranya laju pengembangan satu detik selepas ‘dentuman besar’ itu lebih kecil, bahkan daripada satu bahagian per seratus ribu juta, alam semesta ini akan hancur sebelum ia mencapai ukuran sekarang. Ini bermakna jika alam ini terjadi dengan sendirinya sepertimana yang disebut, maka tentu alam ini hancur berkecai sebelum menjadi bentuk alam yang sebenar.

Maka setelah kita meneliti kesemua kebarangkalian tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa sesuatu yang wujud itu diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan. Ini bermakna sesuatu itu bersifat sentiasa wujud dan padanya juga tidak ada permulaan daripada tiada kepada ada. Sesuatu yang sentiasa wujud itu juga pastinya tiada pengakhiran kerana sifatnya yang sentiasa ada tersebut. Sesuatu yang wujud tersebut adalah Allah SWT. Kewujudan Allah adalah diluar kemampuan akal manusia untuk menanggapi hakikat akan zat-Nya yang Maha Tinggi lagi Halus. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 102-103, yang bermaksud :

"Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala galanya. Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya".




Dalam catatan sejarah, para ilmuan Islam seperti Imam Abu Hanifah pernah berhadapan dengan persoalan bukti kewujudan Tuhan. Beliau pernah ditanya oleh sekumpulan manusia tentang hal tersebut. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab dirinya sedang berfikir mengenai sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia berlayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya. Setelah mendengar ungkapan Imam Abu Hanifah tersebut, mereka menyatakan adakah hal itu sesuatu yang tidak masuk akal. Maka Imam Abu hanifah pun menyebut kamu menganggap orang yang mengatakan kapal dapat berlayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa pencipta dan pengurus?.

Begitu juga Imam Syafii apabila ditanya mengenai bukti kewujudan Tuhan, beliau menyebutkan bahawa lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?. Demikianlah jawapan yang boleh menjawab sebahagia dogma kekeliaruan golongan ateis. Sesungguhnya segala persoalan yang terkait dengan bukti kewujudan Tuhan akan dapat dihadam andai manusia benar-benar menggunakan akal di tahap yang waras. Hakikat yang tidak dapat kita nafikan. segala perjalanan hidup ini bermula dari kejadian alam, penciptaan manusia dan pelbagai lagi keajaiban yang berlaku tidak ada terjadi dengan sendirinya melainkan ada sesuatu yang menciptanya. Ketahuilah bahawa sesuatu tersebut ialah Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 11 Disember 2024

NAFKAH SEBAGAI SUATU TUNTUTAN SYARAK

 

Antara perkara yang tidak dapat dipisahkan oleh makhluk yang bernama manusia ialah tentang soal tanggungjawab. Insan yang disebut juga sebagai manusia merupakan makhluk Allah yang sangat istimewa. Selain kejadian manusia yang diiktiraf oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik ciptaan, manusia juga dimuliakan dengan menggalas tanggungjawab mengimarahkan bumi Allah SWT ini. Berbeza dengan makhluk yang lain, manusia disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai umat terbaik dengan tanggungjawab menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia dari berbuat kemungkaran. Semuanya kerana nilai tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT.

Dalam fasa kehidupan berumahtangga, tanggungjawab antara lain ialah kunci kepada keutuhan dan keharmonian hidup selain saling memberi penghormatan, saling bantu-membantu dan memahami antara satu sama lain. Tanggungjawab yang paling utama ialah peranan si suami memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Perkataan "Nafkah" adalah berasal dari bahasa Arab. Dalam kitab al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafie, nafkah pada sudut bahasa bermaksud mengeluarkan iaitu merujuk kepada pembiayaan belanja yang dikeluarkan oleh seseorang terhadap ahli keluarganya. Pada sudut istilah syarak pula, ungkapan nafkah bermaksud makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Nafkah pula dibahagikan kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Kesemua itu disebut sebagai nafkah kerana dikeluarkan atau dibelanjakan untuk tujuan keperluan tersebut.




Kemuliaan seorang suami adalah duduk letaknya kepada tanggungjawab memberikan nafkah kepada anak dan isteri. Secara umum, Allah SWT melalui al-Quran memberikan penghormatan besar kepada kaum lelaki yang memiliki tanggungjawab utama lebih-lebih mereka yang bergelar suami. Penghormatan tersebut dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34, yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka".

Berdasarkan ayat ini, kedudukan kaum lelaki adalah sangat istimewa bersesuaian dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul olehnya. Menurut Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya, Fi Zilal al-Quran, beliau menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan sebagai suami isteri mengikut peraturan semesta untuk membangunkan alam ini. Di antara tugas-tugas perempuan yang telah dijadikan Allah ialah mengandung, melahir, menyusu dan membela anak selaku hasil hubungan dengan lelaki. Tugas-tugas ini adalah tugas yang besar dan penting bukannya tugas yang senang dan kecil yang boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persediaan jasmani, persediaan kejiwaan dan persediaan amali yang mendalam dalam diri perempuan.

Tambah beliau lagi, oleh itu adalah adil bagi Allah meletakkan ke atas bahu lelaki tugas mengadakan keperluan-keperluan rumahtangga dan tugas memberi perlindungan kepada perempuan supaya ia dapat memberi tumpuan kepada tugas yang penting ini. Tentulah tidak sewajarnya ia dipaksa mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anak-anak sedangkan serentak dalam waktu yang sama ia terpaksa bekerja, berpenat dan berjaga untuk memelihara keselamatan dirinya dan keselamatan anaknya. Demikian penjelasan oleh Saayid Qutub. Amanah dan tanggungjawab terbesar bagi para suami ialah memberikan nafkah kepada ahli keluarga. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya".

Selain itu, tuntutan memberi nafkah juga turut ditekankan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu, telah bertanya kepada Nabi SAW yang bermaksud :

"Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya? ” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.




Oleh itu, berdasarkan hujah dan bukti yang jelas dari wahyu Allah, maka para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa hukum wajib bagi suami memberikan nafkah terhadap anak dan isterinya. Kewajiban memberi nafkah ini termasuklah menafkahi isteri yang bekerja atau memiliki pendapatan sendiri. Ini bermakna walaupun isteri seorang yang bekerja dan mempunyai pendapatan, tetap wajib suami menafkahi isterinya dan kewajiban tersebut tidak gugur. Namun begitu, Syeikh Wahbah al-Zuhayli menyebutkan dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, kewajiban menafkahi isteri oleh sang suami akan tergugur sekiranya isteri tersebut menghalalkannya. Dalam keadaan itu, maka gugurlah kewajiban suami menafkahi isterinya.

Selain persoalan hukum memberikan nafkah, turut menjadi perbualan masyarakat ialah tentang senarai perkara yang disebutkan sebagai nafkah. Sebahagian masyarakat beranggapan bahawa duit poket yang diberikan oleh suami kepada isterinya dianggap sebagai nafkah. Tidak kurang pula ada yang beranggapan bahawa duit kepunyaan suami adalah hwk milik isteri jua. Soalnya, apakah perkara yang dianggap sebagai nafkah itu hanya tertakluk kepada pemberian wang ringgit semata-mata ? Dalam hal ini jumhur (majoriti) para ulama meletakkan 7 perkara dibawah maksud nafkah. Sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj, tujuh hal tersebut merangkumi makanan, barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah dan pembantu isteri jika kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.

Berdasarkan penjelasan tersebut, difahami bahawa para suami bertanggungjawab memberi nafkah memenuhi tujuh keperluan tersebut. Pun begitu, tanggungjawab memberi nafkah oleh suami mestilah ditunaikan dalam kerangka kemampuan si suami. Ini bermakna para suami wajib menyediakan tempat tinggal, makanan dan sebagainya dengan kadar kemampuannya dan bukannya mengikut kehendak isteri. Ini selari dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud :

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan".

Oleh yang demikian, dalam perbahasan para ulama seperti yang dinukilkan dalam kitab Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, para ulama membahagikan kategori suami kepada tiga golongan berdasarkan kemampuan. Iaitulah golongan pertama, suami yang senang atau kaya. Kedua, golongan suami yang sederhana dan terakhir golongan ketiga ialah golongan suami yang susah. Para suami wajib memberi nafkah dalam kadar kemampuannya. Maka jelaslah kepada kita bahawa sesungguhnya kewajiban memberi nafkah adalah sesuatu yang dituntut oleh syarak. Untuk itu, pemberian nafkah hendaklah tertakluk dibawah ketetapan syariat dan bukannya mengikut kemahuan dan kehendak isteri. Sekalipun jika keperluan nafkah sudah dipenuhi, jika ada lagi pemberian oleh suami maka hal itu termasuk dalam bab ihsan si suami. Semoga Allah memberkati kita semua.

Selasa, 10 Disember 2024

MAKHLUK DI BUMI SEBELUM PENCIPTAAN ADAM AS

 

Sesungguhnya alam dunia yang dihuni oleh beberapa makhluk terpencil seperti manusia, haiwan dan tumbuhan adalah merupakan satu daripada banyak lagi cabang dan ranting kepada alam kehidupan yang lain. Segalanya bersifat infiniti dan tidak akan dapat dihitung oleh manusia untuk mengukur saiz alam ini yang luas tidak bertepian. Melihat kepada alam kehidupan umat manusia di dunia ini sahaja sudah memadai untuk kita berasa letih dan penat dengannya. Hal tersebut belum termasuk lagi mengambil kira dengan makhluk yang sedang berkongsi alam yang sama dengan manusia namun memiliki dimensi hidup yang berbeza iaitulah jin dan syaitan. Betapa unik dan luasnya alam ciptaan Allah ini dengan pelbagai kehidupan yang melata ini.

Apabila kita berbicara soal penciptaan kejadian manusia, ianya sudah tentu bermula daripada sejarah penciptaan Nabi Adam AS yang diiktiraf juga sebagai manusia pertama di dunia. Penciptaan Nabi Adam AS sebagaimana juga dijelaskan di dalam al-Quran, ialah berperanan sebagai khalifah di muka bumi Allah. Hal ini dapat difahami dengan melihat firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

“Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : ‘Sesungguhnya Aku akan menciptakan makhluk pengganti di atas muka bumi yang akan menggantikan kepimpinan bumi.’ Mereka berkata : ‘(Wahai Tuhan), adakah Engkau mahu menjadikan makhluk perosak dan yang akan saling menumpahkan darah di atas muka bumi sedangkan Kami ini memuji-Mu dan menyucikan-Mu.’ Allah berfirman : ‘Sesungguhnya Aku tahu apa yang kalian tidak tahu".




Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan pengiktirafan terhadap Nabi Adam AS sebagai khalifah yang mengurus bumi Allah yang luas tidak bertepian ini. Namun begitu, apa yang menarik perhatian kita ialah tentang pertanyaan balas oleh Malaikat kepada Allah SWT mengenai tujuan Allah menciptakan manusia. Ini kerana Malaikat menyatakan bahawa sebelum daripada itu, telah berlaku banyak kerosakan, kemusnahan dan kepincangan yang dilakukan oleh makhkuk lain. Maka barangkali tertanya pula kita siapakah makhluk tersebut yang menduduki dunia ini sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS. Bagi merungkaikan kekeliruan ini, para ulama terlebih dahulu meneliti apakah yang dimaksudkan dengan khalifah. Perkataan "Khalifah" berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud pengganti. Ini bermakna Nabi Adam AS diciptakan oleh Allah sebagai pengganti kepada makhluk yang telah membuat kerosakan.

Soalnya, siapakah makhluk tersebut ? Dalam hal ini para ulama membawakan pelbagai riwayat-riwayat yang menjelaskan makhluk tersebut adalah kelompok jin. Ini dapat dilihat sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Jami' al-Bayan li Ta'wil Ayatul Quran, beliau menyebutkan bahawa antara salah satu tafsiran ayat ini adalah makhluk yang menghuni bumi sebelum Adam adalah kelompok Jin. Hal ini berdasarkan athar ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, Ibn ‘Abbas menceritakan :

“Makhluk yang paling awal sekali menghuni bumi sebelum Adam adalah kelompok Jin. Namun mereka melakukan kerosakan di atasnya dan saling berbunuhan dan menumpahkan darah. Lantas, Allah mengutuskan tentera para Malaikat yang diketuai oleh Iblis ketika itu untuk memerangi mereka semua dan menghalau mereka ke pulau-pulau, laut dan pinggir bukit. Kemudian, Allah menciptakan Adam dan meletakkan Adam di bumi.”

Begitu juga perkataan oleh Imam Abu Muhammad al-Baghawi dalam kitabnya, Ma'alim al-Tanzil, beliau menyebut yang dimaksudkan dengan khalifah adalah pengganti. Hal ini kerana, Adam menggantikan para jin yang hidup di bumi sebelumnya. Selain itu, Imam Ibnu Kathir pula di dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa jin diciptakan sebelum Nabi Adam AS, dan sebelum jin pula ada makhluk yang mendiami bumi bernama al-Hinn dan al-Binn, kemudian datang bangsa jin dan membunuh dan menghapuskan mereka dari muka bumi. Demikian penjelasan yang diberikan. Menurut Imam Ibn Kathir, sebelum Allah menciptakan manusia, Allah telah menciptakan terlebih dahulu bangsa jin dan sebelum bangsa jin dicipta, Allah telah menciptakan suatu makhluk yang bernama al-Hinn dan al-Binn. Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wal Nihayah, beliau menceritakan bahawa Hinn berperang dengan jin dan menumpahkan darah di bumi sebelum manusia, menyebabkan malaikat mempersoalkan perintah Allah untuk meletakkan Adam sebagai khalifah.




Mengenali bangsa al-Hinn dan al-Binn ini, menurut Imam Ibn Kathir mereka adalah seperti jin yang mempunyai dunia mereka sendiri iaitu di langit ke-3. Mereka ini juga boleh turun ke bumi sama sepertimana bangsa jin dan mereka pula pada ketika itu hampir menguasai seluruh bumi. Kerosakan dan segala kemusnahan yang dialami diatas muka bumi ini benar-benar telah memungkinkan segalanya. Dengan ketentuan Nya, bangsa al-Hinn dan al-Binn telah dihapuskan dan bumi ini digantikan oleh Nabi Adam AS. Namun begitu, al-'Allamah Tahir bin 'Asyur dalam kitabnya, al-Tahrir wa al-Tanwir, menyebutkan bahawa segala teori berkaitan al-Hinn dan al-Binn juga termasuk beberapa nama lain seperti al-Tamm, dan al-Ramm adalah suatu sangkaan semata-mata dan ianya tidak berasas. Pada pandangan beliau, maksud khalifah yang difahami sebagai pengganti bukanlah bermakna menggantikan makhluk perosak tersebut. Maksud sebenar khalifah ialah mengambil alih tugas yang diamanahkan Allah untuk memelihara dan memimpin bumi selepas Allah menciptakannya.

Selain daripada itu, turut memainkan peranan memberi pengaruh dalam persoalan makhluk sebelum Nabi Adam ialah teori Evolusi yang sangat diangkat ideanya oleh sebahagian pihak agamawan Kristian dan pengkaji al-Kitab. Mereka percaya bahawa sebelum kewujudan Adam, telah wujud spesis manusia yang disebut sebagai Homo Sapiens sebelum Adam. Dakwaan mereka ini adalah berasaskan beberapa penemuan tulang-belulang dan fosil yang membuktikan kewujudan manusia telah berusia puluhan ribu bahkan ratusan ribu tahun lamanya. Antara kenyataan popular yang mengangkat teori Evolusi ini ialah seperti yang diungkapan oleh John R.W Stott, seorang agamawan Kristian, di dalam bukunya yang berjudul Understanding The Bible, beliau menyebut :

“Kepercayaan saya tentang Adam dan Hawa selaku peristiwa sejarah yang benar adalah sama sekali tidak bertentangan dengan kepercayaan saya bahawa ada hidupan mirip manusia yang telah hidup ribuan tahun sebelum Adam. Kita boleh terima bahawa Tuhan menciptakan Adam secara berasingan daripada mereka itu, hidupan mirip manusia itu kita gelarkan sekarang sebagai homo sapiens.”

Dalam tradisi keilmuan Islam pula tidak kurang ada dikalangan para ulama yang memahami bahawa wujudnya manusia lain sebelum diciptakan Nabi Adam. Pun begitu, sandaran hujah dan dalil diatas perkara tersebut adalah sangat lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Oleh itu, apakah pendirian Islam yang sebenar dalam hal ini ? Sebagaimana kita melihat tiada satu pun sumber yang sahih dan pasti untuk membuktikan kewujudan manusia sebelum Adam AS. Maka memadailah dengan kita berpegang kepada hujah dan dalil yang zahir dan jelas kefahamannya. Bahkan persoalan ini tidak sedikit pun menambah atau mengurangkan keimanan seseorang. Tidak pula mencacatkan agama jika kita tidak tahu akan hal tersebut. Semoga Allah Azza Wa Jalla merahmati dan mengampuni kita semua.