Manusia dan aktiviti berfikir tidak dapat dipisahkan. Bahkan
berfikir antara rutin wajib bagi kehidupan yang bergelar insan. Melalui
berfikir, manusia dapat menentukan hala tujunya selain mampu membuat penilaian
berdasarkan kemampuan akalnya yang ligat berfikir. Dalam membuat sesuatu
penilaian, selain akal yang aktif berfikir, turut mempengaruhi seseorang juga
ialah gaya dan cara berfikir yang sekaligus membentuk corak pemikiran yang
tersendiri. Gaya berfikir atau disebut sebagai metode/manhaj merupakan suatu
jalan untuk mencari sesuatu yang tidak pasti. Manusia sejak berzaman lagi
mempunyai cara fikir yang pelbagai dan berbeza bagi merungkai sesuatu yang
bersifat kompleks seperti berfikir tentang zat Tuhan itu sendiri. Sehingga
apabila falsafah dan ilmu kalam mulai menyerang akan konsep akidah Islam, maka
lahirlah yang disebut sebagai aliran akidah al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah
untuk mematahkan serangan jahat tersebut.
Aliran al-Asya'irah merupakan salah satu daripada manhaj akidah
umat Islam yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy'ari. Nama penuh beliau Ali
bin Ismail bin Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin
Abi Burdah bin Abi Musa al-Asy'ari. Beliau dilahirkan di Kota Basrah pada tahun
260 Hijrah dan beliau merupakan keturunan yang kesembilan daripada sahabat Nabi
SAW iaitu Abu Musa al-Asy'ari. Pada sekitar tahun 285 masihi, ayahnya telah
meninggal dunia dan beliau dijaga dan dipelihara oleh seorang tokoh ulama fiqh
mazhab al-Syafie iaitu bernama Zakariyya bin Yahya al-Saji. Imam Abu Hasan
al-Asy'ari merupakan tokoh di dalam ilmu kalam. Ketokohan beliau di dalam ilmu
kalam banyak dipengaruhi oleh al-Jubba'i, ketua mazhab Muktazilah. Ketika usia
beliau mencecah 10 tahun, menurut cerita yang tersebar luas, ibunya telah
mengahwini al-Jubba'i dan beliau dibesarkan oleh al-Jubba'i sehingga beliau
terus menjadi penganut aliran Muktazilah.
Menurut catatan Abu Zuhrah dalam kitab Tarikh al-Madhahib
al-Islamiyyah, al-Jubba'i memilih beliau bagi menggantikan Jubba'i dalam
bab perbahasan ilmu kalam. Ini memandangkan al-Jubba'i melihat kefasihan Imam
Abu Hasan dan umurnya yang masih muda dilihat sesuai menggantikan al-Jubba'i.
Imam Abu Hasan menjadi anak murid terbaik al-Jubba'i dan diharap menjadi
pewaris kepada aliran Muktazilah ini. Namun pada usia beliau 40 tahun, beliau
telah sedar dan kembali kepada akidah mengikut manhaj ahlu sunnah wal jamaah.
Catatan oleh al-Subki dalam kitabnya, al-Tabaqat al-Syafi'yyah al-Kubra,
disebutkan bahawa beliau iaitu Imam Abu Hasan telah meninggalkan mazhab
Muktazilah dan mengikuti Imam Ahmad bin Hanbal dan beliau terus mendokong
akidah aliran mazhab al-Salaf sehingga hujung riwayat hidupnya.
Sepanjang hidupnya, beliau berguru dengan ramai para ulama yang di
antaranya adalah Zakariyya ibn Yahya al-Saji, Abi Khalifah al-Jumhi,
Sahl bin Nuh dan Muhammad ibn Ya'qub al-Ma'bari. Beliau turut
menghasilkan pelbagai karya di sepanjang hayatnya antara lain karyanya ialah al-Ibanah
'an Usul al-Diyanah, al-Luma' fi Radd 'ala Ahl al-Zaigh wal Bida', Maqalat
al-Islamiyyah wa Ikhtilaf al-Musallin, Risalah fi Istihsan al-Khawd fi
Ilm Kalam dan lain-lain lagi karyanya. Pada sudut pemikirannya, sepertimana
yang dinyatakan oleh al-Subki, Imam Abu Hasan al-Asy'ari tidak menciptakan
akidahnya yang tersendiri melainkan apa yang dipegangnya berdasarkan mazhab
Salaf. Al-Asy'ari memang jelas menolak pendapat Muktazilah secara menyeluruh.
Namun begitu, ketika al-Asy'ari sedang dalam proses mengukuhkan akidah dan
pemikirannya, beliau seringkali disebut dengan pelbagai labelan seperti
pendokong Jabariyyah, al-Murji'ah, al-Hasyawiyyah dan lain-lain.
Mazhab al-Asya'irah adalah mazhab ilmu kalam yang terdiri daripada
pengikut Imam Abu Hasan al-Asy'ari. Secara umum, mereka yang mengikuti mazhab
ini berpegang kepada fiqh mazhab al-Syafie. Mazhab ini banyak menggunakan akal
logik bagi menolak hujah songsang oleh pemikiran falsafah termasuklah aliran
Muktazilah. Antara sebahagian tokoh ulama mazhab ini ialah al-Baqillani,
Ibnu Furak, al-Isfara'ini, al-Baghdadi, al-Samnani,
al-Qusyairi, al-Juwaini, al-Ghazali, al-Razi, al-Jurjani
dan al-Sanusi. Namun begitu, sebahagian mereka ini telah berbeza
pandangan dengan al-Asy'ari dalam beberapa bab sehingga menjadi berpecah kepada
dua golongan iaitu al-mutaqaddimin (yang terdahulu) yang berpegang
kepada sumber wahyu dan golongan kedua al-Asy'airah, al-muta'akhirin
(terkemudian) yang mulai bercampur aduk dengan pemikiran falsafah.
Sejarah aliran Maturudiyyah pula diasaskan oleh Abu Mansur Muhammad
bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi, al-Ansari, al-Hanafi, al-Samarqandi.
Beliau dilahirkan sekitar pertengahan abad ke 3 atau 9 di Maturid, sebuah
kawasan yang berdekatan dengan Samarqand, salah sebuah kota terkenal di Uzbekistan.
Pada tahun 333 hijrah bersamaan 944 masihi, beliau telah meninggal dunia
selepas 10 tahun Imam Abu Hasan al-Asy’ari meninggal dunia. Beliau merupakan
seorang pengikut Imam Abu Hanifah, pendiri mazhab Hanafi. Diantara guru beliau
ialah Muhammad bin Muqatil al-Razi, Abu Bakr Ahmad bin Ishaq
al-Juzjani, Abu Nasr Ahmad b. al-'Abbas al-'Iyadi dan Nusayr bin
Yahya al-Balkhi. Kesemua gurunya ini adalah murid kepada Abu Hanifah.
Sepanjang hayatnya, terdapat sekurang-kurangnya 13 karya telah beliau nukilkan.
Antara lain ialah Ta’wilat al-Qur’an @ Ta’wilat Ahl al-Sunnah, Ma’khadh
al-Syari‘ah, al-Jadal, Bayan Wahm al-Mu‘tazilah, al-Tawhid,
al-Radd ‘ala al-Usul al-Qaramitah dan lain-lain.
Oleh kerana Imam Maturidi merupakan seorang pengikut Imam Abu
Hanifah, maka banyak persamaan teologinya dengan Imam Abu Hanifah. Mazhab
akidah aliran Maturidiyyah ini dikenali juga sebagai mazhab ilmu kalam
al-Maturidi. Sepertimana mazhab al-Asy'ariah, mazhab ini juga banyak
memfokuskankan untuk menentang fahaman yang menggugat akidah Islam terutamanya
kumpulan Muktazilah. Berdasarkan pemikiran mazhab al-Maturidiyyah, mempercayai
akan kewujudan Allah tidak boleh diketahui dengan akal. Bagi maksud sifat
Allah, disisi al-Maturidi, mereka menetapkan sifat tetapi tidak membezakannya daripada
zat (Allah) itu sendiri. Selain itu, berhubung soal perbuatan manusia sama ada
dipaksa oleh Allah atau tidak, beliau berpandangan Allah pencipta
segala-galanya termasuk perbuatan manusia. Balasan baik diperolehi dengan
ikhtiar manusia, begitu juga yang buruk. Berkaitan ayat-ayat mutasyabihat dalam
al-Quran seperti menggambarkan Allah mempunyai muka dan tangan, al-Maturidi
mentakwilkannya berdasarkan ayat-ayat muhkamah. Terdapat banyak lagi beberapa
pandangan umum dalam mazhab ini yang menjadi pegangan mereka.
Hakikatnya, kedua-dua mazhab ini mempunyai perbezaan bahkan pernah
berlaku peristiwa hitam perbalahan antara kedua mazhab tersebut. Antara
perbezaan yang dapat dilihat ialah soal kehendak Allah. Pada sisi al-Asy'airah,
Allah SWT tidak terikat dengan apa pun. Manakala pada sisi al-Maturidiyyah,
manusia mempunyai kebebasan kehendak. Selain itu, al-Asy'airah berpandangan
bahagia atau celakanya pada kematian seseorang sudah ditentukan sejak azali.
Namun pada sisi al-Maturidiyyah pula menyatakan bahawa bahagia atau celakanya
seseorang adalah ditentukan oleh keadaan sekarang. Dalam soal taubat,
al-Asya’irah mengatakan taubat tidak akan diterima pada waktu ghargharah (saat
nyawa dicabut) dan pintu taubat akan ditutup apabila matahari terbit pada arah
Barat. Tetapi al-Maturidiyah pula menyatakan taubat orang kafir yang tidak
diterima secara khusus, tetapi taubat orang yang beriman yang melakukan maksiat
masih dapat diterima. Demikian secara ringkas yang dapat dinukilkan bagi
memahami sedikit sebanyak latar kepada dua aliran mazhab akidah ini. Semoga
Allah merahmati kita semua.