Ahad, 16 Julai 2017

PANTANG BERUNDUR SEBELUM BERENTAP

“Pantang berundur sebelum berentap”. Demikianlah klausa kata yang tepat untuk mengambarkan pada dunia kekuatan kumpulan nasyid Soutul Syakirin dari Sekolah Kebangsaan Kampong Serdang yang julung kalinya melangkah ke Karnival Dakwah peringkat Negeri Perlis 2017.  Mereka bukanlah kumpulan pilihan malah tidak pernah muncul di pentas peringkat negeri Perlis. Namun semangat mereka yang jitu, mereka tetap melangkah dengan penuh bergaya. Kumpulan ini dari zero kini menjadi hero mewakili kawasan Tambun Tulang, menyusun langkah mengatur gerak menjanjikan saingan hebat kepada kumpulan yang lain. Kemenangan bukan yang dicari namun kenangan serta pengalaman yang di burui. Hakikatnya, mereka ini meskipun baru dalam industri nasyid sekolah-sekolah di Perlis, namun setiap dikalangan mereka tidak pernah terkeluar lafaz “give up” di bibir mereka. Ini melambangkan jati diri mereka utuh dan tiada istilah kalah sebelum berjuang habis-habisan.


Soutul Syakirin, satu nama baru dalam karnival dakwah dan banyak perkara yang harus mereka terokai selepas ini. Jauh dari satu sudut, kemaraan mereka ini ke pentas akhir festival nasyid adalah suatu perkara yang harus dibanggakan kerana mereka bermula dari tiada apa-apa “zero” tetapi itu semua bukanlah penghalang kepada mereka untuk mencabar dan memberi saingan sengit pada kumpulan yang lain. Apa yang boleh kita katakan, jika sesuatu perkara tersebut kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh, mengorbankan keringat fikiran dan tenaga, tiadalah yang mustahil bagi kita. Acapkali selepas latihan, seringkali ditanamkan nasihat-nasihat berguna agar selepas ini, mereka akan menjadi insan yang redha, insan yang akur akan ketentuan takdirNya dan moga mereka menjadi insan yang tidak lupa diri bila dijulang, tak lemah longlai bila dibuang. 




Kadang-kala, kita boleh belajar dari telatah anak-anak Soutul Syakirin ini. Hidup ini terkadang kita terlupa erti kesabaran, maka merekalah yang banyak menguji kita dan mengajarkan pada kita makna sabar yang sebenar. Sabar dalam mendidik displin mereka dalam membuat persembahan, sabar akan karenah mereka yang kadang kala terlewat turun latihan, sabar akan sikap kenakalan mereka yang akhirnya mendidik kita erti indahnya hidup jika kita benar-benar bersabar. Antaranya lagi, satu perkara yang kita boleh pelajari dari karenah mereka ini juga ialah sikap pantang berundur sebelum berentap. Jauh dari sudut benak hati mereka, mereka harus akui bahwa mereka bukanlah kumpulan pilihan. Namun, perkara remeh seperti ini tidak sedikit pun  dapat mematahkan semangat darah  kewiraan mereka. Berbekalkan semangat serta azam yang kukuh, mereka tetap melangkah senyum mengukir kenangan di pentas akhir Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri Perlis. Inilah semangat dan kekentalan yang harus kita pelajari dari mereka yang tidak berdosa ini.



Kemenangan bukanlah yang di cari namun pengalaman yang di burui. Kekalahan mereka pada hari ini bukanlah penamat kepada segala usaha mereka. Namun kekalahan mereka pada hari ini pasti akan membangkitkan semula roh-roh perwira untuk terus berjuang menjulang nama industri nasyid khususnya buat sekolah tercinta mereka, Sekolah Kebangsaan Kampong Serdang, Simpang Empat Perlis. Kita doakan agar semangat juang tinggi mereka ini akan terus berkobar-kobar dalam diri mereka dan juga semoga kita semua dapat mempelajari sesuatu daripada mereka yang masih mentah tidak berdosa ini. Pastinya, tahun 2017 akan menjadikan tahun memori terindah mereka atas kemaraan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kumpulan-kumpulan nasyid yang lain. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia juga di akhirat.


Jumaat, 14 Julai 2017

USAHA MEMPERKASAKAN KUALITI REMAJA

Setelah lebih 59 tahun kita menghela nafas kemerdekaan, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap,”Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah, remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang ampuh. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” 



Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang,menjaga kebersihan, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan asset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Rakyat sihat, negara maju. Remaja yang sihat dan kuat baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.


Selain itu, remaja yang berkualiti juga harus memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantarannya ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja sebagai insan yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumahkebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang kedangkalan keimanan akan mencetuskan kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah dan berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinat dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti dan mempunyai jati diri perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinanatau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.


Intihanya, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.” Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya berada awang-awangan dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya menjurus ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Selasa, 27 Jun 2017

AIDIL FITRI LAMBANG KEMENANGAN UMAT ISLAM

Sepanjang bulan Ramadan kita memohon keampunan, meneruskan tradisi tarawih, tadarus, tahajud, Qiyamullai, sedekah dan infak. Kita juga perlu bersederhana dalam makanan dan perbuatan. Apabila timbul keinsafan mendalam bahawa kita patut bersyukur kepada Allah dan tanda kesyukuran itu ialah bersifat ihsan kepada yang lain, ia bakal menjadikan kita golongan yang bertaqwa dan kembali kepada fitrah. Ibadat puasa yang mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri dan hadapan Allah Azza Wa Jalla. Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Kita tidak melakukannya demi mematuhi perintah Allah.


Pengajaran atau mesej di sebaliknya ialah kalau perkara yang asalnya adalah harus pun kita meninggalkannya kepada patuh kepada perintah Allah, maka tentulah perkara yang haram lebih mampu kita meninggalkannya kerana ia adalah arahan dan perintah daripada Allah. Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran, sekali lagi kita menyambut Aidil-Fitri pada tahun ini. Aidil Fitri adalah hari kemenangan dan kejayaan bagi seluruh umat Islam yang bertaqwa kepada Allah. Selama sebulan kita umat Islam melaksanakan ibadat puasa, berjuang melawan nafsu, supaya sentiasa mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Di siang hari kita berpuasa menegah kehendak nafsu. Di malam hari kita mengerjakan pelbagai ibadat fardhu dan sunat seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, zikrullah, qiamullail dan lain-lain lagi. Kesemuanya itu merupakan proses tarbiyah atau pendidikan langsung daripada Allah SWT melalui ibadat puasa bagi melahirkan insan yang bertakwa. Ibadat puasa ramadhan yang telah kita sempurnakan itu, mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri terhadap Allah SWT dan juga terhadap sesama makhluk.




Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Hari raya yang mulia ini, selain menyambut hari kemenangan dalam perjuangan menundukkan hawa nafsu, juga merupakan hari melahirkan kesyukuran dan kegembiraan. Kita bersyukur dan bergembira kerana dapat menyambut aidil-fitri - yakni hari kembali kepada fitrah. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".



Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah SWT maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Menginsafi keadaan ini, maka tentulah kita akan menjaga kesucian dan kemurniaan hari aidil-fitri ini, supaya tidak menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah dengan semangat dan hakikat aidil-fitri itu sendiri. Aidil Fitri yang kita rayakan adalah lambang pencapaian diri sepanjang Ramadan dengan tarbiah rohaniah yang dilalui. Ia juga menjadikan kita insan berubah, ada peningkatan dalam amal dan timbul keazaman untuk melakukan kebaikan selepas ini. Inilah lambang kemenangan yang kita rayakan dalam semangat mahabah, ukhuwah dan silaturahim. Kita lakukan ziarah ke rumah saudara mara, jiran, orang miskin, anak yatim, orang tua dan uzur. Kita mohon kemaafan, bertanya khabar, memberi buah tangan serta sama-sama bertakbir dan bertahmid menyebut dan merasakan kebesaran Allah.


Betapa Aidil Fitri ditemukan hati insan yang berjiwa besar dan tulus merayakan hari kemenangan dan ingin kembali ke fitrah diri. Memohon maaf dan sifat memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia. Ia menundukkan rasa angkuh untuk merasakan seolah-olah kita tidak pernah bersalah dan tidak bersedia memaafkan kesalahan orang lain. Sifat memaaf dan dimaafi ini adalah suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita. Betapa kebesaran Allah itu dilambangkan dengan kekerdilan diri untuk bersifat ihsan sesama hamba. Betapa kebesaran Allah mengingatkan kita bahawa kita akan kembali seperti orang terdulu yang kita kasihi apabila menziarahi kubur mereka. Betapa apabila menziarahi orang tua yang uzur, kita menginsafi diri bahawa kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal di alam ini, melainkan Allah.




Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nasfu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula. Kita leburkan seluruh kekuatan yang kita bina, himpun dan kumpul sepanjang Ramadan dengan melakukan perbuatan maksiat. Kita terbabit dengan hal syubahat dan melanggar batas syarak dengan pergaulan yang melampaui batas, menonton filem yang merangsang semula nafsu syahwat dan nafsu haiwani. Hadir di majlis maksiat seolah-olah melepas geram selepas sebulan dikekang dengan amalan puasa. AidilFitri seharusnya dirayakan dengan membina ukhuwah tinggi, melakukan ziarah berterusan dan harus ada kemampuan untuk menapis sesuatu yang mengukuh jiwa fitrah dan sesuatu yang boleh merosakkannya. Jangan biarkan anak-anak menjadikan ganjaran "ang pau" atau wang ringgit sebagai umpan ziarah sehingga makna Aidilfitri kepada mereka ialah berapa banyak wang yang dikumpul untuk membeli mercun dan bersuka ria tanpa batasan.




Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain. Tradisi berziarah di Malaysia sepanjang Syawal adalah suatu amalan baik, khususnya bagi masyarakat kota. Sayangnya tradisi ziarah ini bagi sesetengah orang dilambangkan dengan tradisi rumah terbuka. Walaupun tradisi ini agak baik tetapi sesetengah sanak-saudara dan sahabat handai hanya menunggu kalau ada undangan rumah terbuka barulah ziarah akan bermula. Ia harus mendorongkan rasa ikhlas untuk berziarah bukan ziarah kerana diundang. Merayakan Aidilfitri adalah kemuncak dari suatu perjuangan besar iaitu perjuangan mengawal hawa nafsu, sekali gus mendidik hati. Hati orang yang bertaqwa ialah hati yang tunduk dan taat kepada Allah dan berada dalam fitrah-Nya. Hati yang fitrah ialah hati yang dilembutkan supaya tunduk dan taat kepada menghayati kebesaran Allah. Kebesaran Allah yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yangkita raikan.

Selasa, 13 Jun 2017

PENGHAYATAN PERISTIWA NUZUL AL QURAN

Dalam bulan Ramadan, terdapat satu peristiwa agung di dalamnya.  Apabila disebut Ramadan, di samping kita disyariatkan untuk berpuasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun. Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. 

Firman Allah: 

“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia”

(Surah al-Baqarah, 185)


                                     

Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan. Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka. Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia.

Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Tujuan penurunan al-Quran adalah untuk menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan).


Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat. Semoga kita semua menjadi insan yang benar-benar menghayati ajaran titah perintah Allah yang termaktub di dalamnya yakni al quran.

Isnin, 29 Mei 2017

RAMADAN : MEMBURU SEBUAH KETAQWAAN

Saban tahun Ramadan datang menyapa kita semua. Tetamu mulia ini datang dengan membawakan tawaran pahala yang hebat berlipat kali gandanya. Malah semua muslim pada bulan Ramadan ini, dilihat berpusu-pusu berlumba-lumba melakukan amal soleh seperti mengimarahkan masjid, bertadarus al quran, bersedekah dan lain-lain, memanfaatkan tawaran yang dibawa oleh Ramadan ini. Dalam keghairahan kita menyambut bulan Ramadan, misi utama kita adalah untuk memburu sebuah ketaqwaan.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Menurut Imam Ibnu Katsir ayat ini berisi perintah untuk menunaikan ibadah puasa pada Bulan Ramadhan. Secara istilah syarak, puasa bererti menahan diri dari makan, minum, dan hal-hal lain yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sampai terbenamnya matahari. Puasa mengandung aspek sosial yang sangat tinggi. Dengan puasa, seseorang berlatih kepekaan sosial. Di samping itu, puasa mampu membersihkan diri dari hal-hal buruk kerana ketika seseorang berpuasa, saluran dalam tubuh yang biasa dilewati oleh syaitan akan menyempit. Dengan begitu syaitan tidak akan berleluasa bergerak. Ada juga yang berpendapat puasa juga merupakan zakat jiwa, iaitu bermakna puasa adalah suatu jalan bagi mensucikan jiwa dari lara dunia. 



Tujuan utama kita menjalani madrasah Ramadan ini ialah untuk memburu sebuah nilai ketaqwaan,untuk menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa. Ini kerana, disisi Allah Azza Wa Jalla, tiada nilainya kita sebagai hamba Nya melainkan hanya di pandang ketaqwaan pada Nya. Sekian lama kita dilalaikan dengan hidangan hiburan yang lara, maka ramailah manusia menjadikan bulan Ramadan ini sebagai satu kesempatan memperbaiki diri, menjadi insan yang lebih bertaqwa. Oleh kerana itu, budaya sindir menyindir orang mula berpusu ke masjid, menyindir orang yang baru mahu membaca al quran, adalah satu budaya yang kurang elok. Sebetulnya, kita sama-sama memberikan mereka dorongan semangat disamping kita membimbing diri sendiri menjadi insan yang bertaqwa. Barangkali dengan keberkatan Ramadan yang datang ini, kita dan mereka semua akan menjadi insan yang lebih baik dari semalam.

Ketaqwaan yang dicari perlu di dasari dengan keimanan yang utuh. Seringkali kita semua terlupa, kadang kita telah menjadi hamba pada Ramadan, tidak hamba kepada Allah. Hal ini kerana, kita gagal untuk benar-benar memburu ketaqwaan yang sebenar. Kita gagal untuk memahami dan memaknai sebuah erti ketaqwaan. Oleh itu, Ramadan adalah sebuah sekolah latihan yang akan melatih kita berusaha gigih menjadi orang yang bertaqwa. Natijahnya, apabila kita keluar daripada sekolah latihan ini, kita kekal istiqamah melaksanakan amal soleh meskipun di luar bulan Ramadan. Kita harus lebih sedar bahwa, Ramadan yang sedang kita jalani ini bukanlah untuk kita jadikan pesta berjuadah. Ke sana dan ke sini, ke hulu dan ke hilir, mencari juadah berbuka puasa. Sepatutnya, Ramadan ini kita jadikan ianya bulan kita berpesta ibadah, berlumba-lumba melaksanakan amal soleh.

Kita juga seharusnya lebih menekankan tentang bagaimana untuk kita meningkatkan kualiti ibadah kita berbanding kita berbalah sesama sendiri dalam perkara yang menjadi perbincangan khilaf para ulama. Marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai titik permulaan penyatuan ummah dengan menanggalkan segala perbezaan ideologi mazhab, politik dan sosial. Ketaqwaan yang kita sedang buru ini, tidaklah datang dengan bergolek melainkan kita berusaha meningkatkan amal soleh selain berusaha meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan kita. Pada masa yang sama, Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk kita sama-sama mempelajari al quran, mendalami ilmu tafsir dan sebagainya. Peluang-peluang seperti ini amat jarang diadakan melainkan bersempena dengan kedatangan Ramadan ini. Dengan cara yang telah disebutkan tadi, demikianlah antara usaha yang boleh kita laksanakan bagi memburu sebuah ketaqwaan yang sudah tentu menjadi dambaan hamba Nya yang soleh solehah.

Marilah sama-sama kita memburu ketaqwaan yang telah dijanjikan oleh Allah bagi para hamba Nya yang bersungguh-sungguh. Percayalah, perubahan manusia barangkali Ramadan ini merupakan titik tolak penghijrahan bagi mereka yang mencari redha Nya. Maka janganlah kita terus bermain sindir-menyindir pada mereka yang ingin berubah. Setiap sesuatu kebaikan yang hamba Nya laksanakan, tidak akan pernah ada yang sia-sia. Allah itu Maha Adil, bersifat rahmah dan maghfirah pada hamba Nya. Maka janganlah berputus asa dari terus mencari dan memburu sebuah ketaqwaan. Ketaqwaan itu bukanlah terletak pada pakaian, ianya akan terserlah melalui contoh teladan, keperibadian yang mulia dan hati yang suci. Sementara kita masih berkesempatan bertemu dengan Ramadan, maka ayuhlah semua kita menjadi pemburu ketaqwaan bukan pemburu bazar Ramadan.

Khamis, 18 Mei 2017

RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah diisytiharkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000. Sejak dari terbentuknya Kerajaan Perlis yang berdaulat, Perlis menyaksikan kehadiran pemerintahnya yang berjiwa rakyat. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dibesarkan dalam persekitaran Bandar DiRaja Arau, Istana Arau yang dikelilingi oleh teratak rakyat jelata, sawah padi yang menguning dan sungai-sungai kecil yang mengalir lesu, serta nada cengkerik yang mengiringi tabir malam. Suasana ini membina watak Raja dan anak-anak Raja Perlis serasi dengan jiwa rakyat jelata, Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan puteranya Syed Sirajuddin biasa berbasikal dari Arau ke Kangar, sifat Baginda yang merendah diri menjadikan DYMM Raja Perlis mudah didekati rakyat. Semasa menjadi DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin lebih selesa memandu sendiri kereta baginda ke mana sahaja berangkat sama ada untuk urusan, peribadi mahupun bersantai. Memandu kereta tanpa pemandu cukup membahagiakan baginda, walaupun dari segi protokol mungkin tidak sesuai namun baginda tidak pernah merasakan ianya sesuatu yang ganjil, kerana rakyat sentiasa menyanjungi baginda sebagai Raja pemerintah yang dekat di hati rakyat. Baginda boleh disifatkan sebagai seorang raja yang sangat ramah dan tidak kekok melayan rakyat.


Baginda juga tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya. Semasa menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis baginda berpegang kepada Perlembagaan Negeri, khususnya dalam menentukan umat Islam di Perlis berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga seorang Raja yang suka membaca buku dan ini membolehkan baginda mempunyai pengetahuan am yang agak luas. Ada pendapat yang menyebut Tuanku Raja Perlis ini gemar membaca semasa dalam perjalanan, ini termasuklah dalam kereta. Baginda juga seorang yang periang dan suka berjenaka. Hal ini kerap dinyatakan oleh mereka yang kerap menyertai DYMM Tuanku bermain golf. Jenaka Tuanku kerap menyebabkan gelak ketawa.  Baginda tidak mementingkan protokol namun soal adat istiadat amat beliau titik beratkan. Dalam soal ini ketepatan waktu menjadi perhatian DYMM Tuanku. Sifat baginda yang berterus terang membolehkan baginda disayangi mereka yang mendampingi baginda, malah rakyat jelata sentiasa bersedia menerima nasihat dan pandangan baginda. Hal ini ditambah pula dengan sifat baginda yang merendah diri yang menjadikan baginda disenangi rakyat jelata.





Bagi seluruh rakyat negeri Perlis, tanggal 17 Mei setiap tahun adalah satu tarikh yang sangat dinanti-nantikan. Hal ini kerana, kehangatan sambutan ulangtahun keputeraan Raja Perlis ini terasa bahangnya hingga ke rakyat bawahan. Manakan tidak, sambutan keputeraan raja Perlis ini sudah berkali-kali mengadakan program yang diberi nama “Malam Kilauan Cahaya” di Istana Arau. Apa yang istimewanya dalam program ini ialah, seluruh rakyat Perlis bahkan dialu-alukan dari segenap rakyat Malaysia untuk memasuki kawasan Istana Arau yang dihiasai dengan kilauan cahaya lampu yang mempesonakan. Malah diberi peluang buat semua yang hadir untuk melawat Galeri Diraja. Inilah salah satu diantara keunikan sambutan ulangtahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis. Selain itu, seluruh rakyat juga amat ternanti-nantikan Istana Terbuka yang saban tahun dilaksanakan pada hari raya pertama aidil fitri. Istana Terbuka ini merupakan satu perkara wajib hadir bagi rakyat Perlis kerana selain disediakan jamuan yang enak, tetamu yang hadir juga diberi kesempatan untuk bersalaman dan menerima duit raya dari pihak Istana Arau. Apa yang istimewanya Istana Terbuka ini ialah, bukan sahaja orang islam yang hadir, turut serta memeriahkannya juga ialah dari pelbagai latar belakang bangsa, agama dan negara. Ini adalah salah satu bukti yang jelas bahwa Raja dan rakyat berpisah tiada.


Rakyat sejati negeri Perlis, sudah tentu akan mengenali sifat DYMM Tuanku Raja Perlis yang bukan sahaja menjadi penaung pada rakyatnya, tetapi baginda juga boleh menjadi sebagai seorang rakan, kawan dan ayahanda kita semua. Sikap baginda yang tidak berapa gemar “berprotokol” dalam urusannya, menambat hati seluruh rakyat negeri bertuah ini.Pernah satu ketika, baginda menghadiri kenduri walimah tanpa di iringi oleh pegawainya. Bukan tidak bimbang akan keselamatannya, namun itulah baginda yang lebih suka untuk menjadi seperti insan yang lain. Kini, usia baginda mencecah 74 tahun. Baginda juga seringkali menghadiri majlis-majlis rasmi sama ada di dalam atau di luar negeri, kelihatan baginda sentiasa bertongkat. Raut wajah baginda mencecah usia 74 tahun, namun semangatnya untuk terus berbakti pada rakyatnya tetap kekal utuh. Dengan kesihatan baginda yang terhad, saya percaya dan yakin, seluruh rakyat negeri Perlis senantiasa mendoakan agar Allah memberkan kesihatan yang baik buat baginda berdua. Sempena ulangtahun baginda yang ke 74, marilah sama-sama kita berdoa menadah tangan memohon kepada Allah, supaya baginda berdua dianugerahkan kesihatan yang baik, kesabaran yang tinggi dan kekuatan yang utuh, demi melaksanakan tugasnya sebagai pemerintah yang menaungi seluruh rakyatnya.

Rabu, 17 Mei 2017

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Tema Hari Guru 2017 mengulangi tema Hari Guru 2016 dan 2009. Ini membuktikan bahawa tema, ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ sangat signifikan dengan peranan utama guru dalam melunaskan akauntabiliti mereka. Guru seperti lilin membakar diri adalah analogi klise yang relevan sepanjang masa. Dalam semua agenda pembangunan negara, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa. Peranan guru dalam membina negara bangsa merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri beridentiti Malaysia. Identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang boleh dimengertikan bahawa guru bertanggungjawab melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai ke­sejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.


Bagi menyempurnakan peranan dalam membina negara bangsa menerusi kelahiran warga yang berpengetahuan guru mesti menguasai disiplin ilmu yang diajar. Menyampaikan ilmu secara kreatif dan inovatif selari dengan perkembangan teknologi terkini. Menggunakan pendekatan, strategi dan teknik pengajaran yang pelbagai termasuk berani mencuba pembelajaran abad ke-21. Di samping itu, guru perlu meningkatkan profesionalisme sama ada tahap kelayakan ataupun mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan. Dalam konteks membangunkan warga berketrampilan dalam pembinaan negara bangsa, guru sendiri perlu kompeten. Mereka bukan sahaja mesti memiliki pengetahuan tetapi kemahiran dan berkemampuan mengurus hubungan manusia dengan efektif dan efisien. Dalam hal ini guru menjadi suri teladan kepada pelajar masing-masing. Sentiasa mematuhi etika pakaian profesion pendidikan dan memastikan pelajar tidak melanggar peraturan pakaian yang telah ditetapkan juga satu daripada amanah yang mesti disempurnakan oleh guru.


                                                                       

Melahirkan warga berakhlak mulia adalah tanggungjawab terpenting dalam pembinaan negara bangsa. Ini kerana sebijak dan secekap mana pun warga yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan di Malaysia, tidak akan memenuhi takrifan negara bangsa sekiranya tidak akur kepada hukum agama dan adat resam tidak terpelihara. Di samping itu, menjadi satu kemestian kepada guru untuk memastikan pelajarnya mempunyai rasa cinta mendalam kepada lambang-lambang kedaulatan negara seperti bendera dan jata negara. Strategi yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membentuk individu berakhlak mulia. Nilai bersyukur sekiranya kerap diterapkan akan membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar. Nilai mengutamakan kebersihan pula bakal melahirkan warga yang melestarikan kebersihan alam sekitar. Begitu juga dengan penerapan nilai menghormati orang lain akan melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan menyanjung tinggi antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Dalam membina negara bangsa, warganya mestilah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Dalam hal ini guru perlu istiqamah untuk membangun pelajar yang holistik dalam konteks jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta seimbang dalam menguasai ilmu dunia dan akhirat. Tanggungjawab setiap insan semestinya berusaha untuk memperoleh kehidupan yang bahagia, aman dan damai. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya. Selain kesejahteraan diri, warga Malaysia dalam konteks negara bangsa perlu menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, menjadi amanah kepada guru untuk melahirkan warga yang tidak mementingkan diri sendiri. Menjadi harapan kepada guru untuk mereka melahirkan insan yang boleh membantu orang lain untuk turut menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan diri.



Bagi memastikan guru berjaya melahirkan warga yang boleh menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negara. Pelajar yang mempunyai semangat nasionalisme, patriotisme, mengamalkan semangat perpaduan dan integrasi serta sehati sejiwa dalam mempertahankan nama baik dan kedaulatan Malaysia mesti diusahakan oleh semua guru. Hasrat tersebut tidak akan dicapai sekiranya hanya guru bidang sains sosial sahaja yang dipertanggungjawabkan. Guru-guru yang mengajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik juga perlu memainkan peranan secara kolektif. Negara bangsa memerlukan ejen perubahan demi pembangunan negara. Pada masa yang sama negara bangsa perlu mempertahankan tradisi dan identiti Malaysia. Oleh itu guru dalam membina negara bangsa, perlu dinamik melahirkan pelajar yang boleh mencipta kemajuan dan lestari mempertahankan tradisi agar mereka mempunyai jati diri. Guru mempunyai amanah untuk membangunkan insan yang berfikiran dan bertindak berpaksikan budaya tempatan dan berfikiran antarabangsa dalam meniti alam pekerjaan dan kehidupan demi sebuah negara bangsa bernama Malaysia.