Rabu, 7 Oktober 2020

MUHASABAH BUAT YANG MEMIMPIN & YANG DIPIMPIN

 

Seringkali kita yang memimpin, menunggang kalimah-kalimah mulia seperti "demi rakyat", "untuk rakyat", dan "dari rakyat kepada rakyat", akhirnya hanya mencerminkan sebuah slogan yang tidak bermaya. Slogan-slogan ini seringkali berkumandang untuk menutup kesalahan, membela yang salah dan menghalalkan bagi apa yang haram bagi rakyat.

Namun rakyat bukan lah pekak untuk mendengar, rakyat bukanlah buta untuk melihat dan rakyat bukanlah bisu untuk bercakap. Semuanya kelihatan seperti tidak adil dan berat sebelah. Bermula daripada episod YB Menteri tidak kuarantin, kemudian episod PRK Sabah, maka leburlah rekod Malaysia yang hampir semua negeri berada di zon hijau dan terkawal.



Pemimpin seronok bergasak merebut kerusi, perkataan "majoriti" menjadi impian, sedangkan rakyat setiap hari berhempas pulas membanting tulang mencari rezeki, bimbang dan gusar melihat gelombang terkini. Mengamuk Covid 19 menghukum leka. Tetapi rakyat juga yang dipersalah. Barangkali kita asyik bergaduh bercakaran sesama, sehingga lupa Tuhan sedang menghukum kita.

Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya di dalam surah As Shura ayat 30 yang bermaksud :

"Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu".

Demikian firman Allah untuk kita jadikan muhasabah dan bertadabbur dengan peringatan ini supaya kita kekal tenang, rasional dan waras ketika negara berada di medan perang Covid 19. Apa yang menimpa kita pada hari ini adalah kerana tindakan perbuatan kita juga yang masih leka dan alpa, masih suka bercakaran sesama walau ujian datang membawa ruang untuk muhasabah.



Sorotan daripada kes Covid 19 yang membimbangkan, gencatan senjata ahli politik harus dilaksanakan, tumpuan pada rakyat harus diutamakan dan rakyat juga harus membantu negara dengan sentiasa patuhi SOP walau kita tidak selesa dan suka. Hayatilah firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah Al Baqarah ayat 216 yang bermaksud :

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak ketahui".

Bersabar lah dengan ujian ini dan teruskan berdoa pada Tuhan yang tidak pernah tidur dan lena. Kepada yang memimpin, berhentilah daripada terus bernafsu serakah merebut kuasa, tunaikan hak kepada yang berhak, kelak Tuhan akan persoalkan. Kuasa boleh jadi kemuliaan diatas amanah menjalankan tugas. Namun, kuasa juga boleh menjadi penghinaan diatas kecuaian, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan. Semoga Allah berikan kita semua petunjuk serta taufik Nya untuk mengharungi hidup yang fana ini.

Isnin, 5 Oktober 2020

MENJUAL ARAK : ANTARA "IZIN" & "REDHA"

Menjadi perbualan hangat dikalangan muslim hari ini apabila ada yang mendakwa bahawa kerajaan sejak dahulu lagi telah melakukan kemungkaran dan kemaksiatan dengan membenarkan arak di jual dan di dapati dengan begitu mudah. Malah ada juga yang mencadangkan agar arak di haramkan penjualan, disekat dan di hapuskan penjualannya.

Pertamanya, adalah terlebih dahulu menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan orang Islam tidak meminum arak. Maka untuk memastikan hal itu, dilaksanakan undang-undang larangan meminum arak kepada muslim. Keduanya, sebelum kita menghukum sesuatu perkara dengan lebih jauh, adalah menjadi kepentingan bagi kita untuk memahami dan menghayati benar-benar dua perkataan ini iaitulah perkataan izin dan redha. Izin dan redha merupakan dua perkataan yang membawa kepada dua maksud yang berbeza. Izin tidak semestinya diredhai. Sebaliknya, redha tidak semestinya di ikat dengan izin.


Misalnya, apabila penganut agama selain Islam, memohon kebenaran kepada pihak pemerintah (ulil amri) untuk membina rumah ibadat bagi agama mereka, maka kerajaan atas rasa tanggungjawab, setelah dinilai dan dibincang, maka diberikan kelulusan untuk membina rumah ibadat bagi mereka. Persoalannya, adakah kerajaan yang ditadbir dan di urus oleh kaum muslim, telah meredhai akan penyembahan berhala ? Apakah kerajaan telah redha akan perbuatan syirik tersebut ?

Sudah tentu tidak. Meskipun kerajaan membenarkan diatas rasa tanggungjawab pemerintah namun sama sekali tidak meredhai akan perbuatan kufur tersebut. Kerajaan memberikan kebenaran membina rumah ibadat agama lain adalah diatas sebab tadbir urus yang memegang amanah bagi memberikan hak bagi yang berhak. Menjadi kewajipan kerajaan menjaga kebajikan umat manusia supaya tidak ada yang di tindas dan sebagainya.

Begitu juga dengan isu penjualan arak. Kerajaan mengutip cukai arak dengan tujuan memberikan hak kepada masyarakat bukan muslim. Mereka yang tidak terikat dengan hukum syariah, dibenarkan untuk meminum. Larangan arak adalah tertakluk pada mereka yang bergelar muslim sahaja. Maka bukan lah menjadi suatu kesalahan sekiranya kerajaan membenarkan penjualan arak dengan syarat ianya di jual untuk orang bukan Islam.

Adakah kerajaan dianggap redha dengan kemungkaran menjual arak ? Tidak sama sekali. Keizinan telah berlaku tanpa keredhaan. Keizinan pula diberikan atas nama urus tadbir negara yang melibatkan pelbagai kaum, bangsa dan budaya. Oleh sebab itu, kita seharusnya bijak membezakan antara makna izin dan redha. Bukan semua benda yang di izinkan itu disertakan dengan redha.



Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, ketika baginda Nabi SAW membuat perjanjian Hudaibiyyah, Suhail Bin Amr mewakili Quraisy. Ketika Nabi membuat perjanjian, baginda Nabi tulis dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim. Maka kata kaum Quraisy, kami tidak tahu apa makna Ar Rahman dan Ar Rahim. Maka diperintahkan untuk tulis Bismikallahumma. Ketika itu Saidina Ali tidak mahu tulis. Tetapi Nabi perintahkan untuk tulis seperti yang diminta oleh kaum Quraisy. Melalui kisah ini, kita melihat bagaimana baginda Nabi mengikut kehendak kaum kafir Quraisy untuk menukar lafaz bismillah. Tetapi Nabi tidak sesekali redha dengan hal itu.

Demikian juga sikap golongan Khawarij yang ketika berdebat dengan Ibn Abbas, mereka mendakwa bahawa ketika Saidina Ali membuat perjanjian dengan Muawiyah, Saidina Ali telah menulis namanya Ali Bin Abu Talib tanpa menggunakan lafaz Amirul Mukminin. Khawarij menuduh Saidina Ali telah bersetuju menolak gelaran Amirul Mukminin ketika membuat perjanjian, maka Khawarij telah menyatakan Saidina Ali adalah Amirul Kaffirin kerana tidak menulis dalam perjanjian tersebut dengan gelaran Amirul Mukminin.

Begitulah pemikiran simplistik Khawarij dengan sewenang-wenangnya menuduh orang lain kafir hanya kerana berbeza ijtihad dengan mereka. Kita perlu berhati- hati dalam semangat mahu mencegah kemungkaran. Jangan lah sehingga kita menuduh dan memfitnah atas sangkaan kita sahaja. Walhal, sebaliknya, apa-apa kemungkaran yang berlaku seperti penjualan arak, pembinaan rumah ibadat agama selain Islam, sudah tentu ianya diizinkan atas nama urus tadbir negara tetapi sama sekali tidak meredhai akan sebarang kemungkaran tersebut. Semoga Allah pelihara kita semua dalam keimanan dan ketaqwaan pada Nya.


Sabtu, 3 Oktober 2020

GERAKAN ISLAM TIDAK BERSIFAT MAKSUM

 

Dalam kerangka politik bersifat demokrasi  yang terikat dengan suara majoriti, kebebasan menubuhkan apa-apa gerakan parti adalah manifestasi dan terjemahan kepada makna demokrasi. Diatas nama demokrasi, gerakan parti berhak di kritik atas nama apa sekalipun.

Ini termasuklah gerakan Islam yang boleh di kritik jika benar terdapat kesilapan atau kekhilafan. Gerakan yang menggunakan jenama Islam tidak bermaksud mereka mewarisi sifat maksum, yang mana maksum itu sendiri membawa maksud terlindung daripada melakukan kesilapan.



Sesuatu gerakan atau kepartian yang menyandarkan kepada kalimah Islam, tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, mereka boleh di kritik bahkan mesti di tegur kerana bimbang tindakan mereka ini akan membawa kepada salah faham terhadap Islam. Pada zaman salaf dahulu, terdapat dikalangan manusia yang mendakwa hanya mereka sahaja yang mengikuti Islam sebenar. Namun sebenarnya mereka ini telah melampaui batas dan mereka itulah yang disebutkan sebagai Khawarij.

Dalam hadis riwayat Bukhari, Abu Said al Khudri ada bercerita bahawa baginda Nabi SAW ada membahagikan harta rampasan perang. Ketika selesai membahagikan harta rampasan tersebut, ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan membantah baginda Nabi. Bantahan mereka itu telah membuatkan Khalid Al Walid bengang dan mohon izin untuk pancung kepala mereka.

Tetapi baginda Nabi tidak membenarkan dengan alasan mereka masih menunaikan solat. Khalid berkata " berapa ramai orang yang menunaikan solat yang berkata dengan lidahnya tidak sama dengan apa yang ada dalam hatinya". Baginda Nabi menjawab " Aku tidak pernah disuruh mengorek apa yang ada di dalam hati dan mengetahui isi perutnya".



Hadis ini menjelaskan pada kita bahawa walaupun baginda Nabi dikritik, di bantah sekalipun, Nabi tidak pernah melabel mereka yang membantah itu sebagai penentang Islam, anti Islam dan sebagainya. Ini membuktikan manusia diberi ruang untuk menegur dan mengkritik sesuatu selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat.

Oleh itu, mengkritik gerakan Islam bukan lah bermakna kita menentang Islam bahkan ianya tanda kasih dan sayang kita pada ketulenan beragama agar ia tidak dicemari dengan unsur buruk yang boleh mencalarkan Islam. Gerakan Islam juga mestilah bersifat terbuka menerima sebarang kritikan sekaligus dijadikan ruang bermuhasabah diri. Ingat, iblis itu licik. Di segenap ruang iblis akan menyesatkan anak cucu Adam. Semoga kita semua dirahmati oleh Nya.

Ahad, 13 September 2020

SISI PANDANG KEBAIKAN ALIRAN LIBERAL

 

Kebelakangan hari ini kita dapat menyaksikan definisi fahaman Liberal yang diterbitkan menerusi laman media rasmi JAKIM dengan menyatakan bahawa fahaman liberal adalah suatu bentuk pemikiran yang bebas dan terbuka dan dipandu oleh hawa nafsu dalam pelbagai bidang.

Definisi ini perlu disemak semula untuk memaknainya dengan lebih tepat. Jika kita lihat dalam sejarah dunia, fahaman liberal adalah suatu tindak balas terhadap golongan agamawan Kristian ketika itu yang menunggang agama demi menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan mereka. Tanah warisan rakyat ketika itu dirampas dan dibina gereja tujuan kononnya untuk agama. Pelbagai kezaliman dan penindasan telah dihalalkan atas nama agama.



Kesan kezaliman yang menunggang atas nama agama ini, maka lahirlah gerakan reformis yang disebut sebagai Liberal yang dahulunya dipelopori oleh beberapa tokoh seperti Martin Luther. Gerakan reformis liberal ini muncul dan menjadi wadah perjuangan bagi mereka yang memusuhi orang agama yang dilihat sebagai keterlaluan hingga menunggang agama.

Krisis orang agama ini muncul apabila wujudnya kelompok agamawan yang jumud. Maka semua manusia yang mempunyai pemikiran luas akan menjadi mangsa atas nama agama. Perkara sebegini telah tercatat dalam sejarah zaman gelap Eropah. Berapa ramai para saintis dibunuh, dihukum sesat dan murtad hanya kerana memberikan pandangan berkaitan sains yang tida dapat difahami oleh para paderi ketika itu.

Kemunculan gerakan liberal ini telah membawa keluar manusia daripada kebodohan menuju arah kebebasan berfikir. Daripada bertaklid buta mengikut semberono agama berdasarkan kalam orang agama, menuju kearah mentaliti berfikir dan menganalisis ilmu sebelum diterima pakai. Kewujudan fahaman liberal ada baiknya juga. Mereka telah menyelamatkan akal manusia daripada ditunggang demi kepentingan orang agama. Mereka menyelamatkan nilai dan khazanah ilmu daripada di sembunyikan oleh orang jumud dalam beragama.



Perkataan liberal sendiri membawa makna kebebasan untuk berfikir, kebebasan untuk menilai dan kebebasan untuk bersuara demi menegakkan sebuah kebenaran. Kebebasan menjadi gagasan penting bagi mereka untuk menentang golongan jumud dalam beragama. Kita harus mengakui akan jasa golongan liberal ini yang telah memerdekakan akal manusia dari dicandu dan diperbodohkan. Itulah hakikatnya.

Dalam konteks Malaysia hari ini, kita harus iktiraf jasa golongan liberal ini yang mengkritik sistem kehakiman Mahkamah Syariah yang dilihat sebagai lambat dalam proses tuntutan fasakh, cerai dan hak hadhanah. Mereka bangun membela golongan wanita yang dizalimi oleh sang suami. Ini bagus. Namun pada satu sudut yang lain, kita harus menentang keterlampauan mereka dalam isu yang melanggar prinsip syariah seperti menuntut hak kebebasan golongan LGBT, mempertikaikan syariat menutup aurat dan sebagainya.

Islam sangat mengiktiraf hak kebebasan manusia dalam berfikir, menganalisis serta mengkaji sesuatu perkara. Tetapi, tidak ada kebebasan yang bersifat mutlak untuk manusia. Ini kerana syariat Islam telah meletakan batasan dengan tujuan kebaikan dan kemaslahatan ummat. Tidak ada yang mutlak di dalam Islam. Apa yang baik, kita boleh jadikan sebagai teladan. Yang buruk kita boleh jadikan ianya sebagai pengajaran. Semoga Allah membimbing hidup kita menuju jalan Nya yang lurus.

Isnin, 7 September 2020

ISLAM & PRINSIP DEMOKRASI

 

Islam adalah suatu agama yang lengkap dan sempurna. Tidak ada cacat celanya lagi. Islam juga bukan sekadar mengajar amalan kerohanian jiwa, mengajar umatnya untuk solat, puasa dan selainnya, bahkan mengajar umatnya untuk berpolitik dan bersosial sesuai dengan peredaran zaman yang dilaluinya. Islam juga merupakan suatu gaya kehidupan yang sempurna bermula dari ditiupkan roh ke dalam rahim ibu hingga lah kita kembali kepada Nya.

Hubungan agama tidak terhenti di satu sudut sahaja. Bahkan meraikan perubahan keadaan dan zaman. Begitu juga dalam soal hukum hakam di dalam agama. Ada hukum yang bersifat thawabit (tetap) dan ada yang bersifat mutaghayyirat (berubah-ubah). Misalnya, hukum bersifat thawabit ini seperti bilangan rakaat solat fardhu, ibadah haji di baitullah, dan kewajipan membayar zakat fitrah. Ia tidak boleh diubah sekalipun sama ada untuk mengurangkan atau untuk menambahkan. Hukum bersifat berubah -ubah pula misalnya seperti hukum baca bismillah ketika solat, hukum tahalluf dan sebagainya. Hukum pelaksanaan demokrasi termasuk dalam soal ijtihad demi maslahah ummah.

Secara prinsipnya, Islam dan demokrasi mempunyai maksud dan tujuan yang sama. Walau pun demokrasi dilihat sebagai suatu falsafah yang mengikut acuan barat, namun ianya terbuka dan fleksibel dari sudut makna dan pelaksanaannya. Sehingga kini, pelbagai takrifan dan definisi demokrasi cuba dilontarkan bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang demokrasi. Namun, biar apa pun definis dan takrifan yang cuba untuk diberi, selagi mana ianya tidak melanggar prinsip Islam maka tidak timbul masalah untuk kita amalkan.

 

 



Segelintir golongan umat Islam menolak sistem demokrasi pada hari ini adalah barangkali kerana kegagalan mereka untuk melihat dan menyingkap falsafah demokrasi yang sebenarnya selari dengan tuntutan agama pada hari ini. Dalam sistem demokrasi, pemilihan pemimpin adalah berdasarkan suara majoriti. Perkara ini tidak bertentangan dengan Islam. Perkara ini kita boleh melihat bagaimana pemilihan khalifah dibuat diatas kesepakatan ahli syura yang dibuka ruang seluasnya untuk bersuara dan membuat pilihan memilih ketua.

Dalam sistem demokrasi, kebebasan bersuara juga merupakan suatu tuntutan dalam agama Islam. Bezanya dalam Islam ialah tidak ada kebebasan yang bersifat mutlak. Kebebasan tersebut dibenarkan selagi perkara itu tidak terkeluar atau melampau daripada pandangan syarak. Kebebasan bersuara juga telah memberikan ruang untuk para imam berbeza ijtihad sehingga membentuk suatu madrasah mazhabnya yang tersendiri.

Almarhum Syeikh Muhammad Imarah berpandangan, Islam tidak menolak sepenuhnya demokrasi dan pada masa sama Islam juga tidak menerima demokrasi secara mutlak. Beliau berpandangan Allah adalah pemegang hukum secara mutlak. Dia lah yang berkuasa menetapkan hukum secara mutlak. Oleh itu, sistem demokrasi memberi tanggungjawab kepada manusia yang dipilih dalam sistem demokrasi untuk merumuskan hukum sesuai dengan garis panduan syarak yang telah ditetapkan secara mutlak oleh Allah.

Peri penting nya untuk kita fahami adalah soal sistem berkaitan politik ini adalah soal ijtihad yang dibenarkan oleh syarak. Diberikan ruang untuk diamalkan asalkan tidak lari daripada maqasid syariah yang sebenar. Maka kurang tepatlah jika kita katakan bahawa demokrasi adalah hukum haram kerana tidak mengikut perlembagaan Al quran dan sunnah. Meski pun ianya berasal daripada sistem barat, namun banyak persamaannya yang juga menjadi tuntutan dalam agama Islam. Semoga Allah memberikan kita kefahaman Islam yang jelas dan benar.

Khamis, 3 September 2020

TAWASSUL ANTARA SYARIAT & LARANGAN

Perkataan tawassul adalah berasal daripada bahasa arab. Dari sudut bahasa, tawassul membawa makna mendekatkan diri. Dari sudut istilah pula, tawassul membawa makna menjadikan sesuatu amalan itu sebagai perantara atau asbab (penyebab) untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Azza Wa Jalla. 

Terdapat pandangan lain mengatakan bahawa tawassul adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat Allah yang Maha Suci dan juga amal soleh yang dilakukan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah dibenarkan oleh syarak tanpa khilaf.



Dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang panjang, diceritakan tentang perihal Uwais al Qarani, Rasulullah SAW berkata kepada Saidina Umar yang bermaksud :

"Sekiranya kamu mampu untuk meminta dia (Uwais al Qarani) beristighfar (mendoakan keampunan) buat diri kamu maka lakukanlah".

Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW telah menyifatkan Uwais al Qarani sebagai seorang yang soleh dek kerana ketaatan nya kepada ibunya yang telah uzur. Oleh itu, hadis ini menjadi sandaran dalil bahawa boleh bertawassul dengan bentuk memohon doa daripada orang soleh yang masih hidup. Dan cara bertawassul dengan orang soleh yang masih hidup adalah dengan berdoa, bukannya mengagungkan jasadnya.

Adapun bertawassul yang dilarang ada banyak bentuknya. Antaranya meminta pada berhala, patung, memuja makhluk sehingga lupa hakikatnya Allah yang lebih berkuasa atas segala sesuatu. Namun, dalam banyak bentuk tawassul yang dilarang ini, berlaku perbincangan yang sangat luas oleh ahli ilmu berkenaan bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia.



Dalam Kitab Al Tawassul Baina Masyru'i wal Mamnu' yang dikarang oleh Syaikh Abdul Aziz Bin Abdullah Al Juhani, beliau membahaskan secara mendalam penghujahan dan bantahan terhadap mereka yang berhujah boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara seruan. Misalnya, lafaz "Ya Syeikh..doakan untuk kami...". Golongan yang membenarkan tawassul dengan orang mati ini juga, mereka mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang soleh atau menyeru di dalam majlis mereka.

Bentuk tawassul seperti menyeru di tanah perkuburan, menyeru di dalam majlis-majlis khusus sama sekali tidak diajar oleh Nabi apatah lagi diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW. Kita juga boleh melihat bagaimana perbuatan Umar al Khattab yang bertawassul kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya, daripada Anas RA berkata :

"Bahawa Umar al Khattab apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas bin Abdul Mutalib dengan doanya : " Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami  Sekarang kami bertawassul pula dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami".

Tawassul adalah suatu ibadah yang harus. Pada masa sama, ianya boleh berubah menjadi haram sekiranya kita telah melanggar prinsip akidah dengan cara batil, menyembah kubur, menyeru nama tok wali, tok syeikh dan sebagainya. Demikian gambaran ringkas dan umum tentang tawassul antara yang disyariatkan dan yang diharamkan oleh islam. Dalam soal akidah, kita haruslah menjaga dan peliharanya daripada terpesong sehingga membelakangkan kekuasaan dan keagungan Allah Azza Wa Jalla. Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua daripada melakukan kesyirikan kepada Allah.

Rabu, 2 September 2020

HUKUM FARAID : SUATU BENTUK PENINDASAN GENDER TERHADAP WANITA

 

Menurut Nong Darol Mahmada, seorang ahli Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia pernah melontarkan pandangan beliau berkenaan ayat-ayat Al Quran yang membahaskan isu faraid perlu disemak dan ditafsirkan semula. Ini kerana beliau berpandangan pada zaman sekarang hukum boleh berubah kerana kaum wanita lebih pandai atau bijak berbanding kaum lelaki.

Azra Azyumardi, juga seorang tokoh JIL juga berpandangan hukum faraid berkaitan harta pewarisan adalah persoalan kebudayaan. Menurut beliau, Al Quran diturunkan dalam keadaan masyarakat tertentu. Maka hukum faraid yang tercatat di dalam kalam suci itu terpakai mengikut kesesuaian bangsa Arab tersebut.




Beberapa pandangan terpesong ini semakin menjadi pegangan dan fahaman dikalangan masyarakat kita. Apatah lagi sejak akhir ini timbul perbalahan berkenaan pertikaian hak pewaris yang menjadi isu hangat juga diperbincangkan di laman medsos. Kefahaman yang salah dan menyimpang ini harus dibetulkan dengan baik agar syariat hukum faraid ini tidak terfitnah dengan fahaman salah ini.

Pertamanya, setiap sesuatu pensyariatan itu, sama ada kita suka atau pun tidak, menyebelahi kita atau pun menyanggah dengan diri kita, ianya suatu yang baik dan sempurna. Tidak ada cacat celanya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :

" Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku sempurnakan nikmat Ku, dan telah Ku redha Islam agama bagimu"

Berdasarkan firman Allah, jelas bagi kita bahwa syariat Islam telah disempurnakan oleh Allah dengan selayaknya. Maka bukanlah tugas kita untuk mempertikaikan sesuatu hukum mengikut kebebasan akal berfikir. Meskipun akal itu fungsinya untuk berfikir, namun sedarlah kita akal itu mempunyai keterbatasan yang dicipta oleh Nya.

 

 



Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily dalam isu pembahagian faraid antara lelaki dan wanita, beliau berpandangan bahawa ayat 11 daripada surah An Nisa adalah peruntukkan agama bagi membenarkan wanita juga berhak menerimanya. Jadi, tidak timbul lah isu penindasan atau diskriminasi terhadap gender wanita kerana kedua-duanya layak mendapatkannya.

Cumanya, apabila timbulnya soal pembahagian, maka menurut Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily selayaknya pembahagian tersebut diagihkan diatas kebijaksanaan Allah yang merentasi akal manusia. Selayaknya Allah membahagi-bahagikan faraid tersebut mengikut sifat Nya yang Maha Mengetahui. Mustahil bagi Allah yang memiliki segala sifat dan zat kesempurnaan berkehendak untuk menindas hamba Nya dikalangan wanita.

Sememangnya layak golongan lelaki menerima dua bahagian berbanding wanita mendapat satu bahagian kerana menjadi tanggungjawab bagi yang bergelar lelaki menanggung nafkah terhadap isteri dan anak-anaknya. Bahkan sekalipun si lelaki telah berkahwin dan mempunyai anak, tidak sama sekali menggugurkan kewajipan beliau terhadap ibubapanya. Firman Allah dalam surah An Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita. Kerana itu Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka."

Demikian Allah diatas kebijaksanaan dan pengetahuan Nya, telah mengatur sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Segala peraturan yang disyariatkan tersebut telah pun memiliki kesempurnaan dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari hikmah dan bukannya mencetuskan keraguan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas.