Jumaat, 16 Januari 2026

KEBANGKITAN MANUSIA DI HARI AKHIRAT

 

Dalam dunia yang nyata, kita meyakini bahawa tiada satu apa pun isi dunia yang kekal. Semuanya bakal menuju kepada episod kehancuran yang dijanjikan oleh Tuhan. Menurut kepercayaan dan ajaran kebanyakan agama di dunia ini, hampir pasti semua agama percaya bahawa adanya kehidupan lain setelah tamatnya episod kehidupan di dunia ini. Ini termasuklah agama yang paling benar sekali iaitu agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT untuk sekalian para umat manusia. Islam dalam mengajar umatnya, mendidik manusia supaya beramal di dunia untuk jaminan kesenangan hidup di akhirat. Islam sebagai agama wahyu Allah SWT, menjelaskan bahawa akan adanya suatu hari setelah berlakunya hari kiamat, dimana pada hari tersebut, seluruh umat manusia akan dibangkitkan dan di himpun semula oleh Allah. Hari yang demikian itu adalah hari kebangkitan.

Hari Kebangkitan atau dalam istilah arabnya disebutkan sebagai al-ba'th (البعث), merupakan suatu ketetapan yang pastinya akan berlaku pada seluruh umat manusia. Perkataan al-ba'th menurut para ahli bahasa, orang Arab memahaminya secara umum dengan beberapa maksud yang berbeza pada konteksnya. Maksud yang pertama, al-ba'th difahami dengan makna perutusan. Ini sebagaimana berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-A'raf ayat 103, Allah SWT menggunakan perkataan ba'athna (بعثنا) yang merujuk kepada maksud Kami utuskan. Selain itu, perkataan al-ba'th juga pada sudut bahasa difahami dengan makna membangkitkan orang yang sedang berbaring atau duduk. Adapun pada sudut istilahnya pula, ungkapan al-ba'th di takrifkan sebagai kebangkitan semula secara fizikal. Dalam hal ini, Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam kitab tafsirnya dengan menyebut bahawa hari kebangkitan adalah kebangkitan semula roh secara roh dan fizikal pada hari kiamat kelak.




Selain itu, telah berkata Syeikh 'Abd al-Razzaq 'Afifi dalam kitabnya Fatawa wa Rasa'il 'Abd al-Razzaq 'Afifi, beliau menyatakan bahawa perkataan al-ba'th itu apabila Allah Azza Wa Jalla menghidupkan semula orang-orang yang telah meninggal dunia dan mengeluarkan mereka dari kubur pada hari kiamat. Maka melalui beberapa definisi yang dikemukakan, jelaslah bahawa al-ba'th adalah merupakan hari dimana seluruh umat manusia dibangkitkan dari tidur yang panjang di kubur, dikembalikan roh dan jasad semula lalu dihimpunkan di suatu tempat yang dinamakan sebagai Padang Mahsyar. Allah SWT menyebut di dalam al-Quran akan tentang hakikat hari kebangkitan. Firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-Zumar ayat 68 yang bermaksud :

“Pada hari ditiup sangkakala yang pertama, lalu matilah semua makhluk di langit dan di bumi melainkan mereka yang dikehendaki oleh Allah. Selepas itu sangkakala ditiup sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangkit menunggu apakah yang akan berlaku kepada mereka.”

Berdasarkan kefahaman ayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan dalam kitab tafsirnya dengan menyebut malaikat Israfil akan diperintahkan untuk meniup sangkakala yang akan mematikan semua hidupan di langit dan di bumi kecuali mereka yang Allah SWT menghendaki untuk kekal bernyawa. Kemudian diperintahkan pula untuk ditiup sangkakala buat kali kedua yang disebutkan sebagai tiupan al-ba‘th, iaitu tiupan yang akan membangkitkan semula kesemua makhluk setelah mereka menjadi tulang belulang, mereka kembali hidup lalu melihat kengerian hari kiamat. Maka menurut penjelasan ini, terang lagi bersuluh bahawa akan adanya hari dimana manusia akan dibangkitkan semula setelah mati dan menetap di alam kubur. Keadaan manusia setelah dibangkitkan, telah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan :

"Rasulullah SAW pernah berucap dengan katanya "Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepada Allah di Mahsyar dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhitan". Kemudian baginda membaca ayat yang bermaksud "Sebagaimana kami telah memulakan penciptaan pertama, begitulah kami akan mengulanginya. Itu suatu janji yang pasti kami tepati".




Begitulah antara sisipan gambaran mengenai hari kebangkitan yang merupakan janji Allah SWT. Dalam pada itu, di saat dan ketika umat manusia dibangkitkan, Allah SWT merakamkan ungkapan penyesalan oleh manusia yang tidak mempercayai akan adanya hari kebangkitan. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Yasin ayat 51 hingga 53, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Lalu ditiupkan sangkakala yang kedua, maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing untuk menghadap Tuhan mereka. (51) Pada ketika itu, orang yang tidak percayakan hari kebangkitan berkata: ‘Alangkah celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?’ Lalu dikatakan kepada mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh para rasul.’ (52) Hanya dengan satu pekikan sahaja daripada tiupan sangkakala, maka dengan serta merta mereka semua dibawa hadir kepada Kami untuk dibicarakan. (53)”

Dalam catatan kitab Taisir al-Karim al-Rahman karangan oleh Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di, disebutkan bahawa mereka keluar dari kubur setelah ditiupkan sangkakala yang kedua dengan kadar segera untuk berkumpul di hadapan Allah, tidak boleh lagi untuk memperlahankan masa atau melewat-lewatkannya. Ketika itu, orang-orang yang mendustakan agama Allah SWT akan berasa sedih dengan menzahirkan rasa sakit hati dan penyesalan. Kebangkitan inilah yang dijanjikan oleh Allah SWT serta Rasul-Nya, maka jelaslah kebenaran mereka dengan di hadapan mata sendiri. Ayat ini sebenarnya bukan hanya ingin mengkhabarkan tentang janji ini sahaja, bahkan ia juga ingin menjelaskan bahawa pada hari tersebut seluruh makhluk akan melihat sifat kasih Allah SWT yang tidak disangka-sangka. Demikian oleh al-Sa'di dalam memperincikan maksud ayat tersebut. Ternyata bahawa pada hari manusia dibangkitkan semula kelak, akan ada golongan dikalangan manusia yang tidak percaya dan menolak akan hakikat kewujudan hari kebangkitan.

Antara golongan manusia yang tidak percaya dan menolak kebenaran akan adanya hari kebangkitan kelak adalah golongan Dahriyyah atau dikenali dengan nama Ateisme. Dalam hal ini, Allah SWT telah memperihalkan sikap mereka yang enggan percaya akan hari kebangkitan sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Jathiah ayat 24, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.”




Berdasarkan ayat ini, telah berkata Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya dengan menyebut :

“Allah SWT mengkhabarkan mengenai perkataan kaum Dahriyyah, daripada kaum kafir dan mereka yang mempunyai pemikiran yang sama dengan mereka daripada golongan Musyrikin Arab yang mengingkari hari kiamat. Sebahagian mereka adalah falsafah ketuhanan yang menolak penciptaan dan kehidupan lepas mati. Sebahagian mereka juga ialah golongan falsafah Dahriyyah yang mengingkari Tuhan yang menciptakan dengan kepercayaan bahawa setiap 36,000 tahun semua benda akan menjadi seperti asalnya. Mereka mendakwa hal ini sudah berulang banyak kali dan tidak akan berakhir. Maka ini mustahil bagi dalil aqal dan dinafikan oleh dalil naqli.”

Ketahuilah bahawa hari kebangkitan merupakan suatu yang benar-benar berlaku. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abdullah bin 'Amru RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Kemudian ditiupkan sangkakala, tetapi ia tidak didengari melainkan seseorang itu akan menyengetkan lehernya pada satu sisi dan menaikkannya dari sisi yang lain. Orang pertama yang akan mendengar tiupan ini adalah seorang lelaki yang sedang melumurkan bekas minuman untanya (dengan tanah liat). Kemudian lelaki tersebut mati, dan orang-orang lain juga mati selepasnya. Lalu Allah menghantarkan – atau menurunkan – hujan yang datang umpama air embun – atau bayang (syak dalam riwayat ini daripada perawi bernama Nu‘man). Maka tumbuh dari air hujan tersebut jasad-jasad manusia, kemudian ditiupkan pula sangkakala seterusnya dan mereka serta-merta bangkit menanti (keputusan masing-masing). Kemudian dikatakan kepada mereka: ‘Wahai sekalian manusia! Marilah kepada Tuhanmu’.”

Ungkapan hadith ini adalah selari dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-'Araf ayat 57, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Dan Dialah Allah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya iaitu hujan, hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang tandus, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati, supaya kamu mengambil pelajaran daripadanya.”

Apabila kita meneliti akan kedua-dua hujah ini, ternyata terang lagi bersuluh bahawa Allah SWT Maha Berkuasa membangkitkan semula umat manusia seumpama Allah menjadikan air hujan sebagai siraman untuk tanaman tumbuh-tumbuhan mulai hidup. Demikianlah bagaimana Islam mengajar kita untuk yakin dan percaya akan hakikat kemunculan hari kebangkitan dimana dikala dan ketika itu, tiada daya upaya melainkan hanya berserah kepada Allah SWT. Pada hari itu juga, segala keadilan akan ditegakkan, yang benar dan salah, hak dan batil akan diadili dengan penuh kebijaksanaan oleh Allah yang Maha Bijaksana. Untuk itu, marilah kita sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus memperbaiki diri, keluarga dan seterusnya dapat membina masyarakat yang unggul. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 10 Januari 2026

HAKIKAT TAUHID DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

 

Dunia yang indah terbentang luas ini mendorong kita yang waras akalnya berfikir dan terfikir akan siapakah entiti disebalik keindahan ini. Keluasan bumi yang terhidang, keteguhan langit yang tidak bertiang selain kejadian siang dan malam yang silih berpulang, membuahkan kekaguman yang tidak ternafi oleh kedalaman naluri kemanusiaan. Ketakjuban melihat akan semua ini, menjadikan kita akui bahawa tiada manusia yang dapat melakukan sedemikian kecuali kuasa agung yang datangnya dari Tuhan. Sejarah mencatatkan ribuan tahun dahulu, manusia menyangka mungkin matahari adalah Tuhan, apabila malam kunjung tiba, matahari hilang disangka pula bulan adalah Tuhan. Pun begitu, Islam sebagai agama tauhid datang menyuluh kehidupan manusia, mengeluarkan manusia dari lembah kegelapan jahiliyyah menuju cahaya kebenaran iman.

Perkataan "Tauhid" adalah berasal dari bahasa Arab. Pada sudut pemahaman ahli bahasa, ungkapan tauhid sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qamus al-Muhit bermaksud menjadikan sesuatu itu satu. Dalam catatan kitab Mu'jam Maqayis al-Lughah, tauhid membawa maksud menyatukan sesuatu dan perkataan tersebut menunjukkan sesuatu yang tunggal. Selain itu, dalam kitab Hasyiah al-Bajuri, sebuah tulisan yang mensyarahkan kitab Jauharah al-Tauhid menyebut bahawa tauhid bermakna mengetahui bahawa sesuatu itu adalah satu. Tauhid pada sudut istilahnya pula terdapat beberapa definisi antara lain sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab al-Syamil fi Usul al-Din, tauhid bermaksud meyakini keesaan Allah SWT, yang penjelasannya ditujukan untuk membuktikan secara argumentatif keesaan Allah SWT dan bahawa tidak ada Tuhan selain-Nya.




Menurut Syaikh Muhammad al-Utsaimin dalam kitabnya Majmu' Fatawaa wa Rasail, tauhid pada sudut istilah bermaksud mengesakan Allah SWT dengan sesuatu yang khusus bagi Nya, baik dalam Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma' wa Sifat. Selain itu, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pula menyatakan dalam kitabnya Majmu' al Fatawa, beliau menegaskan bahawa hakikat tauhid adalah tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun dalam hal-hal yang merupakan kekhususan bagi Nya. Manakala Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah menyatakan dalam kitab Dar'ut Ta'aarudi 'Aql wan Naql, hakikat tauhid adalah menetapkan sifat-sifat yang sempurna bagi Allah SWT dan membersihkan dari apa-apa yang berlawanan dengannya serta beribadah hanya kepada Allah SWT yang tidak ada sekutu bagi Nya.

Demikian beberapa definisi oleh para ilmuan Islam di dalam memberikan penjelasan berkaitan makna ungkapan tauhid. Secara mudah untuk kita fahami, tauhid adalah merupakan suatu manifestasi keimanan yang mengakui dan membenarkan akan segala kesempurnaan sifat dan zat hanya milik Allah SWT. Sesungguhnya agama Islam adalah agama tauhid yang mengajak seluruh umat manusia membersihkan diri dari segala bentuk kesyirikan dan mensucikan Allah Azza Wa Jalla dengan melakukan ketaatan dan menyerah diri pada Nya. Dalam satu ungkapan yang disebut oleh Sheikh Ibn Baz rahimahullah, ketika beliau menjelaskan mengenai hakikat tauhid dan syirik dalam kitabnya Haqiqah al-Tauhid wa al-Syirk, beliau menyatakan bahawa :

"Telah wujud kebanyakan pengajian adalah pada perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia. Adapun usaha tafaqquh dalam dalam hal ehwal agama Allah dan tadabbur terhadap syariat-Nya Yang Maha Suci serta tauhid-Nya, maka kebanyakan orang telah berpaling daripadanya, dan menjadi orang yang sibuk dengannya pada hari ini adalah segelintir yang paling sedikit. Maka wajib bagimu, wahai hamba Allah, untuk memberi perhatian terhadap perkara ini, dan memberi tumpuan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya dengan pengajian, tadabbur dan berfikir. Sehinggalah engkau mengetahui tauhid Allah dan beriman kepada-Nya, sehingga engkau mengetahui apakah syirik kepada Allah".




Apa yang hendak ditekankan oleh Sheikh Ibn Baz ialah tentang betapa sedikit umat manusia hari ini yang benar-benar memahami agama dengan mendalami hakikat tauhid. Maka menjadi kewajiban kepada umat Islam untuk turut menyibukkan diri dengan mempelajari ilmu tauhid. Secara asas, tauhid sebagai nadi terpenting orang yang beriman menjadi asas terhadap beberapa perkara utama dalam kehidupan ini. Antara lain, tauhid merupakan asas kepada pengiktirafan kepelbagaian agama sebagai rahmat Tuhan yang Esa. Hal ini dapat dilihat sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 62, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".

Berdasarkan ayat ini, kita harus fahami bahawa tauhid mengajar kita mengakui akan keesaan dan kekuasaan Allah dalam semua hal termasuklah mengakui kekuasaan Allah SWT dalam mewujudkan agama-agama yang pelbagai. Oleh itu, Islam mengiktiraf akan kewujudan agama-agama lain namun sama sekali tidak mengiktiraf agama-agama lain selain agama.Islam yang paling benar. Selain itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan kepelbagaian agama ini sebagai satu masalah kepada manusia sebaliknya membuka ruang toleransi dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak selain mewujudkan perasaan menghormati antara satu sama yang lain. Kepelbagaian agama yang ada bukan bermakna sehingga kita perlu gadaikan prinsip bertauhid. Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, Islam sememangnya mengiktiraf kewujudan agama lain namun tidak sama sekali mengiktiraf akan ajaran agama lain selain agama Islam sahaja.

Dalam hal yang lain, tauhid juga merupakan asas kesatuan wahyu Tuhan, kenabian dan kebenaran. Sejarah mencatatkan jutaan tahun dahulunya yang bermula sejak zaman Nabi Adam AS sehinggalah kepada penutup sekalian Nabi iaitu Nabi Muhammad SAW, wahyu yang dibawa adalah sama, seruan tauhid yang sama dengan membawa berita kebenaran yang sama. Dakwah para nabi terdahulu tidak pernah berubah dengan membawa mesej menyembah Allah SWT. Diatas ketauhidan yang sama inilah, mesej kebenaran terus diperjuangkan, disambung legasi kebenaran dengan membawa mesej tauhid hingga disambung pula oleh para ulama, para pendakwah dengan seruan yang sama iaitu seruan mentauhidkan Allah SWT. Oleh itu, hakikat tauhid telah menyatukan umat manusia kepada ketaatan yang sebenar biarpun merentasi zaman berzaman. Tuhan yang disembah oleh umat nabi terdahulu adalah juga Tuhan yang sama yang disembah oleh umat Islam sehingga hari ini dan kekal hingga ke hari yang dijanjikan oleh Nya. Konsistennya para nabi dalam menyampaikan dakwah adalah bukti bahawa Islam tetap benar sekalipun bersilih zaman.




Satu hal yang lebih mustahak lagi ialah mengenai hakikat bertauhid dalam ibadah atau juga boleh disebutkan dengan istilah tauhid Uluhiyyah. Menurut Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan dalam kitabnya at-Tauhid Lish-Shafil Awwal al-'Aaliy, beliau menyatakan bahawa tauhid Uluhiyyah adalah mengesakan Allah dengan perbuatan para hamba berdasarkan niat taqarrub yang disyaritkan seperti doa, nazar, korban, roja' (pengharapan), takut, tawakal dan inabah (taubat). Kata syeikh lagi tauhid Uluhiyyah ini adalah merupakan intipati dakwah para Rasul bermula dari Rasul pertama sehinggalah yang terakhir. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Nahl ayat 36, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya".

Maka dapat kita fahami bahawa tauhid ibadah atau disebut sebagai tauhid Uluhiyyah adalah tunjang kepada keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Ini juga bermaksud sesuatu ibadah yang dilakukan biarpun beribu rakaat, atau berjuta kali dilaksanakan ibadah, tanpa mengikhlaskan diri kerana Allah, semua ibadah yang dibuat tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Telah berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa, beliau menegaskan bahawa :

"Ketahuilah, keperluan seorang hamba untuk menyembah Allah tanpa menyekutukan Nya dengan sesuatu apa pun, tidak memiliki bandingan yang dapat diqiyaskan, tetapi dari sebahagian sudut mirip dengan keperluan jasad terhadap makanan dan minuman".

Demikian sebahagian hakikat tauhid dalam kehidupan manusia. Tauhid bukanlah sekadar ungkapan dibibir tetapi pembuktian ketaatan melalui peribadatan. Oleh kerana itu, adalah sangat penting bagi umat manusia memahami hakikat tauhid ini dengan sedar betapa pincang dan hancurnya hidup jika tidak bertauhidkan kepada Allah. Segala perbuatan baik manusia tidak akan diterima dan dinilai oleh Allah Azza Wa Jalla melainkan setelah dirinya benar-benar mentauhidkan Allah, dalam erti kata lain, tiada guna berbuat baik sesama manusia hatta kepada makhluk lain pun, kecuali setelah kita benar-benar beriman kepada Allah SWT. Maka tegakkanlah tauhid dalam hidup ini agar kelak hidup terjamin selamat dunia dan akhirat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Khamis, 8 Januari 2026

PERBUATAN ZIHAR PADA NERACA ISLAM

 

Seperti kata orang dahulu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Ketajaman lidah yang menikam, kepantasan bibir yang menyusun kata selain bercakap sebelum berfikir, hakikatnya akan lebih banyak membawa padah dan salah. Keterlanjuran kata yang tidak cermat, kadang kala boleh mengundang ke suatu episod duka dan lara dalam kehidupan. Suatu yang harus kita akui bersama, organ lidah yang lembut tetapi tidak bertulang ini lebih berbahaya daripada hayunan tangan berjari lima ini. Oleh kerana itu, dalam intipati ajaran Islam, ditekankan mengenai akan bahayanya lidah jika tidak dipelihara dengan baik. Melalui ketajaman lidah tidak bertulang ini, boleh membawa kepada pelbagai dosa besar lain seperti mengumpat, mencela, adu domba, fitnah dan lain-lain. Termasuk dalam perkara dosa melalui lidah juga ialah perbuatan zihar.

Perkataan "Zihar" adalah kosa kata yang berasal dari bahasa Arab. Ungkapan Zihar (ظهار) adalah merupakan kata terbitan yang berasal daripada kata kerja bahasa Arab iaitu Zahara (ظاهر) yang bermaksud tempat atau objek tunggangan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar dimaksudkan sebagai perbuatan suami melafazkan kata-kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami terhadap isterinya. Selain itu, terma zihar pada sudut syarak pula difahami sebagai penyamaan yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya dari aspek pengharaman dengan sesuatu yang diharamkan. Dikalangan para imam empat mazhab, definisi perbuatan zihar diperbahaskan bagi memahami maksud yang dikehendaki oleh syarak.




Maksud perbuatan zihar di sisi mazhab Hanafi sebagaimana yang tercatat dalam kitab al-Durr al-Mukhtar, zihar ialah apabila seseorang Islam menyamakan isterinya sekalipun perempuan kitabiah, kecil, gila, atau menyamakannya apa yang diibaratkan daripada anggotanya atau menyamakan sesuatu yang terkenal padanya dengan perempuan yang diharamkan ke atasnya selama-lama. Bagi mazhab Maliki pula sepertimana yang dinukilkan dalam kitab al-Syarh al-Kabir li al-Dardir, zihar merujuk kepada seseorang Islam menyamakan yang pada asalnya halal daripada isteri atau hamba perempuannya atau sejuzuk daripadanya dengan mahramnya. Selain di sisi mazhab Syafie pula sebagaimana yang tercatat dalam kitab Mughni al-Muhtaj. zihar ialah menyamakan isteri yang bukan Talak Ba’in dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin. Manakala pada sisi mazhab Hanbali pula, dalam catatan kitab al-Muqni' dijelaskan bahawa zihar ialah seseorang Islam menyamakan isterinya atau mana-mana anggota dengan belakang perempuan yang diharamkan ke atasnya berkahwin selama-lama atau dengan mana-mana anggotanya.

Berdasarkan beberapa definisi yang dijelaskan ini, dapat dirumuskan bahawa perkataan zihar sebenarnya merujuk kepada suatu bentuk perbuatan yang lahir daripada pertuturan, bercakap mengenai persamaan mana-mana anggota tubuh isterinya dengan ibunya atau dengan mana-mana mahram yang lainnya. Perbuatan zihar asalnya ialah merupakan amalan masyarakat Arab jahiliyyah. Perbuatan ini berlaku apabila mereka terlalu marah kepada isteri disebabkan sesuatu perkara, tetapi mereka enggan menceraikan isteri mereka kerana jika diceraikan, tentu isteri tersebut mengahwini lelaki lain. Maka mereka akan melakukan perbuatan zihar ini dan mengakibatkan seperti tergantung perkahwinan, tidak dicerai dan isteri tersebut juga tidak lagi isteri kepada suaminya kerana haram perbuatan zihar tersebut. Maka datanglah syariat Islam dengan menegaskan bahawa perbuatan zihar tidaklah dikira sebagai talak cerai. Pun begiru, haruslah melakukan kafarah untuk hidup berhubungan semula sebagai suami isteri.

Dalam sebuah kisah polimik antara Aus bin Somit dengan isterinya Khaulah binti Tha'labah, Aus telah melakukan perbuatan zihar terhadap isterinya kerana terpengaruh dengan amalan Arab jahiliyyah tersebut. Lalu isterinya, Khaulah pergi bertemu dengan baginda Nabi dan mengadu akan hal tersebut. Setelah itu, Nabi SAW berhukum pada ketika itu berdasarkan budaya jahiliyyah tersebut. Mendengar akan keputusan hukum itu, Khaulah kemudiannya mengadu kepada Allah SWT, lalu turunlah ayat zihar dalam surah al-Mujadilah ayat 1-4 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengadu kepada kamu tentang suaminya, dan seterusnya dia mengadukan halnya kepada Allah, dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui. Orang-orang yang menziharkan isterinya diantara kamu, tidaklah isteri mereka itu ibu mereka, ibu-ibu mereka tidak lain melainkan wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta, dan sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha pengampum. Orang-orang yang menziharkan isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib ketasnya) memerdekakan seorang hamba, sebelum kedua mereka bersama. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Barang siapa yang tidak mendapati seorang hamba, maka wajib ke atasnya berpuasa 2 bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama/bercampur. Maka siapa yang tidak mampu , (wajiblah keatasnya) member makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, demikianlah ketentuan Allah, dan bagi orang-orang yang kafir itu azab yang amat pedih.”




Berdasarkan ayat tersebut, telah bersepakat para ulama dengan menyebut bahawa perbuatan zihar adalah haram. Oleh itu, sesiapa yang melakukan kesalahan ini hendaklah dirinya bertaubat dengan memohon ampun kepada Allah serta melaksanakan kaffarah zihar sebagaimana yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Perbuatan zihar boleh terjadi dalam beberapa bentuk lafaz. Misalnya, suami mengatakan kepada isterinya "kamu kelihatan tidak ubah seperti belakang ibuku". Lafaz ini adalah batil lagi salah dan berdosa kerana menyamakan tubuh anggota isterinya dengan ibu kandungya sendiri. Selain itu, lafaz zihar juga tidak semestinya menyebut hanya di bahagian belakang tubuh malah dimana-mana sahaja bahagian anggota badan seperti perut, alat kelamin, dada, rambut, kaki dan lain-lainnya. Seperti umum mengetahui, suami dilarang menyamakan tubuh pasangan dengan mereka yang mahram.

Pada sudut syarak, apabila seorang suami telah melakukan perbuatan zihar (menyamakan anggota tubuh isteri dengan mahram) terhadap isterinya, maka terdapat beberapa kesan yang harus ditanggung. Pertama, suami diharamkan untuk melakukan hubungan persetubuhan dengan isterinya melainkan setelah melakukan kafarah zihar. Kedua, suami bertanggungjawab melaksanakan kafarah zihar apabila kembali bersetubuh dengan isterinya. Kafarah atau difahami dengan makna denda bagi kesalahan zihar mempunyai beberapa peringkat sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Mujadilah. Peringkat pertama, seorang suami hendaklah membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak ada, maka peringkat kedua pula ialah suami hendaklah berpuasa selama dua bulan secara berturutan. Seandainya tidak mampu, maka peringkat ketiga dan terakhir sekali, hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin.

Sesungguhnya perbuatan zihar tidak berlaku sekiranya si suami menyamakan isterinya dengan mana-mana mahramnya atau ibunya sebagai menyatakan kasih sayang, penghormatan atau keakraban. Begitu juga sama, perbuatan zihar tidak berlaku sekiranya suami menyamakan isterinya dengan mahram atau ibunya disebabkan sememangnya ada beberapa persamaan dari sudut fizikal atau sikap tertentu. Dalam hal ini, Ibn Qudamah menyebut dalam kitabnya al-Mughni dengan menyatakan bahawa sekiranya seseorang lelaki berkata kepada isterinya, “kamu di sisiku seperti ibuku” atau “seumpama ibuku” dan dia niatkan zihar, maka ia menjadi zihar berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Sekiranya dia niatkan sebagai satu penghormatan dan kemuliaan, maka ia bukan zihar. Demikianlah penjelasan mengenai perbuatan zihar. Secara ringkas untuk difahami, zihar adalah merujuk kepada perbuatan si suami menyamakan mana-mana anggota tubuh isteri dengan mahramnya. Hukum zihar adalah haram dan berdosa besar. Walau bagaimana pun, perbuatan zihar hanya terpakai apabila suami menyamakan isterinya. Adapun isteri menyamakan suaminya dengan mahram, hal itu tidak dianggap zihar. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 7 Januari 2026

GOLONGAN OKU KELAS KEDUA MASYARAKAT ?

 

Masyarakat terbina diatas pembentukan kelompok atau beberapa kumpulan umat manusia. Daripada perkumpulan yang dibentuk tersebut, maka wujudlah beberapa komuniti yang juga disebut sebagai jiran tetangga. Secara umum, setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu. Apabila hidup berada dalam lingkaran kelompok bermasyarakat, maka ianya dapat saling melengkapi antara satu sama yang lain. Namun begitu, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial, tidak dapat lari dari memiliki perasaan serong terhadap suatu kelompok manusia yang istimewa yang dikenali sebagai OKU. Malah tidak kurang ada yang beranggapan mereka yang dilabel sebagai warga OKU tidak memiliki taraf setara dengan manusia lain dek kerana kekurangan yang mereka hadapi. Persoalannya, adakah benar golongan OKU di lihat sebagai kumpulan kelas kedua dalam masyarakat ?

Menurut Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, orang kurang upaya ditakrifkan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan terma Orang Kurang Upaya sebagai individu yang memenuhi semua kriteria dalam takrif seperti mempunyai kecacatan fizikal atau mental secara jangka panjang atau berulang-ulang dan yang sebahagian besarnya mengehadkan prospek mereka masuk kedalam kemajuan dalam pekerjaan. Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan OKU sebagai seseorang yang tidak berupaya untuk menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu itu dan tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya. Ini disebabkan oleh sesuatu kekurangan atau keadaan lemah, sama ada dari segi fizikal atau mental atau dari segi emosi, sama ada ia berlaku semenjak dilahirkan atau kemudian dari itu.




Secara ringkas, Orang Kurang Upaya atau singkatannya OKU merujuk kepada golongan manusia yang memiliki kekurangan pada kemampuan diri berbanding dengan manusia normal yang lain. Dalam satu portal terbitan MyGoverment, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berperanan sebagai sebuah agensi yang menjaga kebajikan rakyat khususnya warga OKU membahagikan kepada tujuh jenis OKU yang diiktiraf. Tujuh jenis tersebut ialah Kurang Upaya Fizikal, Kurang Upaya Pembelajaran, Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Mental dan Kurang Upaya Pelbagai. Bagi yang beranggapan bahawa OKU adalah kelas kedua masyarakat, sesuatu yang tidak dapat diterima tanggapan tersebut. Ini kerana, golongan OKU walau memiliki kekurangan fizikal dan mental, namun mereka tetap mendapat layanan dan tawaran yang setaraf dengan manusia yang lain. Bahkan, beberapa polisi kerajaan sejak dahulu sangat menitikberatkan mengenai hal ehwal kebajikan warga OKU.

Golongan OKU sebagai manusia yang luar biasa sepatutnya tidak dipandang serong oleh masyarakat. Pada asasnya, agama Islam mengajar manusia untuk melihat semua umat manusia adalah sama sahaja. Biar manusia terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial, ekonomi dan politik yang berbeza, namun tiada apa yang dapat memisahkan kita. Namun, dalam ajaran utama Islam, yang membezakan manusia sesama manusia yang lain ialah nilaian taqwa kepada Allah SWT. Oleh itu, kita sebagai warga komuniti masyarakat sewajarnya memupuk perasaan menghormati dan menyayangi mereka walau apa pun status kedudukannya. Hakikatnya, warga OKU tidak pernah terasing dalam masyarakat. Hak kelangsungan hidup sebagai manusia seperti peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi tetap diberi keutamaan. Ini dapat dilihat menerusi suatu Pekeliling Perkhidmatan Bil 16 tahun 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melaksanakan Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan OKU dalam sektor awam dengan sekurang-kurangnya 1% jawatan diperuntukkan untuk OKU.

Selain itu, turut dilaksanakan program Job Coaching yang bertujuan untuk menyokong OKU dalam pasaran pekerjaan terbuka. Melalui program ini, semua kategori OKU layak mendapat perkhidmatan tersebut. Program Job Coaching ini berperanan sebagai menilai keadaan OKU, menilai persekitaran kerja, selain mengubah suai keadaan kerja mengikut keperluan OKU serta menyediakan sokongan kepada OKU dan majikan. Warga OKU juga turut berpeluang untuk mendapat pekerjaan dalam sektor swasta dengan diperkukuhkan dengan pelbagai dasar awam seperti program Dana Kerjaya yang mana kerajaan memperuntukkan insentif kewangan dengan jumlah tertentu kepada majikan swasta yang menggaji warga OKU. Dalam pada itu, warga OKU juga sentiasa terbuka kepada pengaksesan pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai kementerian yang memacu hala tuju pendidikan negara telah merangka serta melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-Reject Policy) dimana KPM akan memastikan semua murid berkeperluan khas tidak ditolak daripada institusi sekolah.




Selain sejak sekian lama, kerajaan melalui KPM telah melakukan dasar pendidikan bersifat inklusif dan pendidikan khas dengan menyediakan pilihan untuk OKU belajar bersama murid biasa atau di sekolah pendidikan khas. Di peringkat institusi pendidikan tinggi, melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) beberapa dasar telah dilaksanakan bagi membolehkan warga OKU berpeluang menyambung pengajian di peringkat universiti. Beberapa dasar tersebut seperti Bantuan Kewangan OKU yang meliputi yuran, penginapan dan elaun melalui sistem penajaan OKU. Selain itu, pihak institusi pengajian tinggi turut diwajibkan menyediakan kemudahan yang boleh diakses oleh warga OKU seperti tandas awam dan laluan khas OKU. Dalam bidang ekonomi pula, warga OKU tidak pernah disisihkan. Dibawah Jabtan Kebajikan Masyarakat, beberapa kemudahan dan keistimewaan disediakan seperti Elaun Pekerja Cacat, Geran Pelancaran bagi warga OKU yang berminat menceburi bidang perusahaan selain Bantuan OKU tidak bekerja dan lain-lain lagi.

Demikianlah antara sebahagian perkara bagi menjelaskan bahawa golongan OKU yang dilihat berada dalam keadaan serba kekurangan namun memiliki ruang dan peluang yang sama seperti manusia lain demi kelangsungan hidup. Maka jika kita beranggapan golongan ini adalah kelas kedua masyarakat, apakah wajar yang dikatatakan kelas kedua masyarakat mendapat pelbagai kemudahan dan keistimewaan sama seperti manusia yang lain ? Bahkan dalam beberapa keadaan tertentu, golongan OKU diberikan lebih keistimewaan walau memiliki kekurangan dan kelemahan. Dalam ajaran Islam, kisah OKU tercatat di dalam al-Quran menerusi surah 'Abasa ayat 1 hingga 10. Dalam ayat tersebut, Allah SWT menegur baginda Nabi Muhammad SAW yang bermasam muka kepada Abdullah bin Ummi Makhtum, seorang lelaki yang mengalami kecacatan mata. Dalam mengulas hal ini, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni menyebut dalam kitabnya Qabas min Nur al-Quran, beliau menyatakan bahawa kita pentingnya kita memahami psikologi OKU agar dakwah dapat disampaikan secara berkesan.




Oleh kerana itu, adalah tidak wajar kita meletakkan label golongan OKU sebagai kelas kedua dalam masyarakat. Adat budaya kita yang dipenuhi dengan nilai kasih sayang, menghormati antara satu sama lain selain tolong-menolong antara yang mesti kita amalkan lebih-lebih ketika kita sedang berinteraksi dengan golongan istimewa ini. Golongan OKU seperti kita semua, mempunyai misi dan visi hidup bersama. Mereka bukan makhluk terasing malah mereka diiktiraf sebagai salah satu anggota masyarakat yang wajar disantuni bersama. Dalam tidak sedar, golongan OKU yang dipandang serba kekurangan itu telah berjaya menempa nama di persada dunia. Misalnya, pencapaian atlet paralimpik Malaysia di Tokyo tahun 2020, Bonnie Bunyau berjaya meraih pingat emas dalam acara angkat berat selain Muhammad Ziyad Zolkefli menempa emas sekaligus telah memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru.

Dalam bidang akademik dan profesional, Dr. Fatimah Sabrina Mohammad yang merupakan seorang pelajar Phd berstatus OKU di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjadi wanita pertama Malaysia berkhidmat sebagai petugas haji di Mekah dan Madinah. Begitu juga seorang pelajar OKU, Muhammad Thaqif bersama pasukannya telah berjaya meraih dua pingat emas di Global IT Challenge for Youth Disabilities 2025 di Korea Selatan. Beberapa contoh pencapaian hebat dan membanggakan ini membuktikan bahawa golongan OKU bukanlah golongan biasa tetapi sangat luar biasa. Sesungguhnya Islam amat menekankan soal keadilan sosial. Oleh yang demikian, pandangan yang menyebut bahawa golongan OKU tidak lebih sekadar kelas kedua dalam masyarakat adalah dangkal sama sekali. Seperti kata pepatah melayu, "hanya jauhari mengenal manikam". Bagi mereka yang tidak waras sahaja yang beranggapan sedemikian. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Ahad, 4 Januari 2026

MEMAHAMI MAKNA SEBENAR REDA

 

Aturan kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah SWT membuktikan manusia tiada kuasa dan daya untuk melawan ketentuan Nya. Segala sesuatu perkara baik buruk yang berlaku dalam kehidupan ini pastinya ada hikmah yang tersembunyi. Dalam pada itu, manusia diberikan akal untuk berfikir dan mencari hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Liku-liku kehidupan yang berlalu, menuntut supaya tiap-tiap diri kita yang bergelar manusia ini perlu sabar dan reda dengan apa yang terjadi. Segala bentuk ujian hidup yang melanda, perkataan reda merupakan kata kunci akan segala ketenangan. Ini kerana apabila diri kita sudah reda, pasti segalanya akan berlalu dengan begitu mudahnya. Oleh kerana itu juga, Islam sebagai agama yang lengkap mengajar umatnya untuk sentiasa memiliki perasaan reda agar kita mampu melepaskan hal yang telah berlaku dengan jiwa yang tenang.

Perkataan "Reda" berasal dari kosa kata bahasa Arab. Reda merupakan kata terbitan dari perkataan (رضي- يرضي) yang merujuk kepada makna berlawanan dari kemarahan. Pada sudut pemahaman istilah, ungkapan reda membawa maksud kegembiraan hati atas ketetapan takdir (qadha'). Menurut Kamus Dewan Bahasa, perkataan reda bermaksud bersedia dengan ikhlas hati untuk membuat sesuatu dan rela. Selain itu, al-Munawi ketika mentakrifkan makna reda, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Nudhrah al-Na'im fi Makarim Akhlak Rasul al-Karim, beliau menjelaskan bahawa reda adalah ketenangan jiwa bagi manusia terhadap apa yang menimpanya atau apa yang hilang daripadanya tanpa mengalami perubahan. Para ahli feqah menyatakan bahwa reda itu adalah persetujuan (izin). Mereka menjadikan izin sebagai reda kerana itu menunjukkan persetujuan terhadapnya.




Menurut al-Wasiti pula sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Targhib Wa Tarhib, beliau menjelaskan bahawa reda adalah melihat segala sesuatu dengan pandangan yang redha, sehingga tidak ada yang kamu murkai kecuali apa yang dimurkai oleh Tuhanmu. Berdasarkan definisi berserta penjelasan yang dikemukakan, dapatlah kita simpulkan bahawa reda adalah merupakan salah satu sifat yang terpuji, yang membentuk jiwa manusia untuk menerima segala yang terjadi dengan keadaan yang tenang dan damai. Tidak memberontak, marah apatah lagi untuk membangkang dengan apa yang telah berlaku. Hakikatnya, intipati ajaran Islam amat menekankan tentang kepentingan memiliki sifat reda. Oleh yang demikian, sifat reda dilihat sebagai sifat yang lebih tinggi daripada sabar. Sifat sabar memerlukan kepada keadaan tertentu seperti susah hati, gelisah dan resah. Sebaliknya sifat reda, sentiasa memerlukan dirinya untuk menahan marah, mengeluh atau mengadu dengan hal yang terjadi.

Telah berkata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa, beliau menyebutkan bahawa :

“Sabar adalah wajib menurut kesepakatan ulama, dan yang lebih tinggi daripadanya ialah redha dengan hukum Allah. Redha ada yang mengatakan wajib, ada yang mengatakan sunat, dan yang sahih ialah ia sunat. Yang lebih tinggi lagi ialah seseorang itu bersyukur kepada Allah atas musibah, kerana dia melihat musibah itu sebagai nikmat Allah padanya, iaitu Allah menjadikan musibah itu sebagai sebab untuk menghapuskan dosa-dosanya, mengangkat darjatnya, mengembalikannya kepada-Nya, agar memohon dan merintih kepada-Nya, ikhlas bertawakal dan berharap hanya kepada-Nya, tidak kepada makhluk.”

Oleh itu, sifat reda adalah merupakan sifat tertinggi berbanding dengan sifat sabar. Untuk mendidik jiwa untuk sabar, ketenangan amat diperlukan dan untuk tujuan tersebut, jantung hatinya terlebih dahulu perlu reda dalam menerima segala sesuatu. Menurut Imam Ibn Taimiyyah ketika membicarakan mengenai sifat reda, beliau membahagikan sifat reda kepada dua jenis. Jenis pertama, reda terhadap apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang, serta mengambil apa yang Allah halalkan tanpa melampaui batas ke atas apa yang telah diharamkan. Ini merupakan reda yang wajib. Hal ini berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 59, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: “Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”


Selain itu, jenis reda kedua pula ialah reda kerana ditimpa musibah seperti kemiskinan dan kesakitan. Ini merupakan reda yang sunat bukanlah wajib. Dikatakan ia merupakan reda yang wajib dan yang sahihnya wajib itu adalah bersabar sepertimana kata al-Hasan : Reda itu adalah naluri, tetapi sabar itu adalah tunggak utama bagi seorang mukmin. Pernyataan ini adalah berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Abu Nuaim, daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Jika kamu mampu beramal kepada Allah dengan reda dan yakin, maka lakukanlah. Dan jika kamu tidak mampu, maka sesungguhnya dalam kesabaran terhadap apa yang kamu benci terdapat kebaikan yang banyak".

Demikianlah pembahagian reda oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah. Apa yang jelas ialah perasaan reda itu dituntut dalam kedua-dua jenis iaitu reda dengan segala pensyariatan berkait hukum-hakam dan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah SWT. Dalam kata lain, kita haruslah dengan jiwa yang tenang menerima segala tanggungjawab dan hukum-hakam yang terpundak di bahu kita sebagai seorang hamba Nya. Selain itu, jenis kedua, kita juga dituntut untuk reda menerima segala bentuk ujian yang mendatang. Dengan kata mudah, menerima segala macam ujian hidup seperti sakit, musibah, kematian dan sebagainya dengan jantung hati yang tenang dan tidak marah. Itulah dua jenis reda yang mesti dimiliki oleh orang yang beriman. Selain itu, untuk memiliki sifat reda, ada yang tertanya-tanya adakah kita dilarang untuk bersedih atau menangis ketika diuji oleh Allah dengan sesuatu musibah barulah dikatakan kita telah reda ? Jawapannya ialah Allah tidak larang sama sekali untuk kita berasa sedih atau menangis dengan ujian yang menimpa.




Sesungguhnya tidak bersedih atau tidak menangis bukanlah bererti dirinya sudah memiliki sifat reda. Sedih, pilu dan sayu dengan ujian yang melanda adalah merupakan sifat tabiat semula jadi manusia yang lemah dan tidak berdaya. Adalah normal dan tidaklah berdosa jika kita bersedih lalu menangis dengan ujian yang mendatang. Cuma Islam melarang kita dari bersikap melampau dalam bersedih seperti meratap, menampar-nampar muka sendiri dan selainnya yang bersifat melampaui batas. Syarat untuk menjadi hati yang reda ialah dengan tidak membantah dan tidak juga marah. Ini sebagaimana yang pernah disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Madarij al-Salikin, beliau menyebut :

“Bukanlah termasuk syarat ‘reda’ itu seseorang tidak merasa sakit dan tidak suka, tetapi syaratnya ialah tidak membantah hukum (ketetapan) dan tidak marah. Inilah yang mengelirukan sebahagian orang tentang reda terhadap perkara yang disukai, lalu mereka mencelanya (rasa tidak suka dengan perkara yang buruk). Mereka berkata: ini mustahil secara tabi‘i, yang ada hanyalah sabar. Kalau begitu bagaimana boleh berhimpun reda dan tidak suka, padahal keduanya bertentangan? Jawapan yang benar: tiada pertentangan antara keduanya. Adanya rasa sakit dan tidak suka dalam jiwa terhadapnya tidak menafikan reda, sebagaimana redanya orang sakit meminum ubat yang tidak disukainya, redanya orang berpuasa di hari yang sangat panas dengan rasa lapar dan dahaga, dan redanya seorang mujahid terhadap kesakitan luka dalam perjuangan di jalan Allah dan seumpamanya.”

Dalam hal ini, baginda Nabi SAW juga pernah menangis kerana kehilangan anaknya yang tercinta, Ibrahim. Baginda menangis mengalir airmata namun tetap reda dengan ujian yang datang. Demikianlah makna sebenar reda. Kita tidaklah dilarang atau ditegah untuk bersedih dan menangis apabil diuji dengan ujian yang berat. Tetapi bezanya adalah kita tidaklah perlu berlebihan dalam keadaan sedih dengan membuat perkara-perkara mungkar seperti meratap, mempersoalkan takdir dan sebagainya. Maka dengan itu, jelaslah kepada kita sesungguhnya sifat reda adalah sifat yang terpuji yang melatih jantung hati kita untuk tenang dalam ujian dan damai dalam cubaan. Setiap apa yang berlaku pasti adanya hikmah yang tersendiri. Tetaplah bergantung hidup kepada Allah dan jangan pernah sesekali berputus asa dari rahmat Nya. Semoga Allah meredai kita semua.

Jumaat, 26 Disember 2025

MAHRAM DAN MUHRIM : SAMA TAPI TAK SERUPA ?

 

Peraturan merupakan suatu instrumen terpenting di dalam menyemai nilai disiplin selain menanam sikap-sikap yang terpuji. Tidak dapat tidak, kita wajib akui bahawa di mana-mana sahaja kita berada, pastinya terdapat peraturan atau undang-undang yang mesti dipatuhi secara bersama. Ini termasuklah di tempat kediaman kita sendiri. Umpamanya di rumah, padanya wujud ruang yang bersifat peribadi seperti bilik tidur, ada juga ruang yang bersifat berkongsi seperti tandas dan dapur selain ada juga ruang awam seperti ruang tamu. Di setiap ruang ini, pasti ada peraturan yang tersendiri bagi memastikan ruang-ruang tersebut tidak dicemari atau dicerobohi. Begitu juga dengan perkataan "Mahram" dan "Muhrim". Kedua-duanya adalah merupakan peraturan oleh Allah. Pun begitu, kedua-dua memiliki konteks yang berbeza meski bunyinya hampir nak sama.

Pada sudut bahasa, perkataan Mahram dan Muhrim berasal dari bahasa Arab. Ungkapan Mahram itu sendiri membawa makna larangan. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab, mahram bermaksud individu-individu yang tidak boleh (haram) dinikahi. Mahram pada sudut pemahaman istilah pula, sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Kasyifah al-Saja karangan Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi, mahram bermaksud :

"Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah (harus) bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang".




Maksud perkataan al-Ta'bid yang bermaksud "selama-lamanya" pula ialah ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka). Selain itu, perkataan "bukan kerana kemuliaannya" merujuk kepada isteri-isteri baginda Rasulullah SAW. Ini kerana pengharaman bernikah dengan mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga. Manakala perkataan "bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang" merujuk kepada wanita seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Syariat Mahram adalah suatu peraturan dan undang-undang Islam yang terpundak diatas bahu seluruh umat Islam. Syariat ini bukan sahaja memberi kebaikan dengan menjaga batas pergaulan tertentu bahkan memelihara nasab keturunan daripada terjerumus ke dalam lembah sumbang mahram. Dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa' ayat 23, Allah SWT telah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai mahram. Firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".




Dalam mengupas maksud ayat ini, Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam kitab tafsirnya menyebut bahawa kaum lelaki berkewajiban untuk sentiasa menjaga mata mereka dari melihat perkara yang haram dan jika mereka melihatnya hendaklah segera mengalihkan kerana hikmah daripada pengharaman tersebut adalah untuk menutup perkara kejahatan dan menghalang dari melakukan maksiat dan dosa. Beliau menjelaskan lagi bahawa bagi wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. Selain itu, dalam kitab Raudhah al-Talibin, Imam al-Nawawi menyebutkan tentang makna siapakah "saudara-saudara perempuan kamu" dalam ayat tersebut dengan menyatakan mereka itu adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.

Dalam penjelasan yang lebih lanjut, Imam al-Mawardi menyatakan dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, Imam al-Syafie menyebut asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Maka dengan itu, Imam al-Mawardi telah membahagikan wanita mahram kepada dua kategori. Kategori pertama, wanita mahram yang haram dikahwini secara selama-lamanya. Kategori ini pula dibahagikan kepada dua jenis iaitu jenis nasab keturunan dan jenis asbab yang merangkumi perkahwinan dan susuan. Manakala kategori kedua pula, wanita mahram yang haram untuk dihimpunkan dalam satu masa yang sama. Dalam istilahnya disebut sebagai Mahram Muaqqat. Demikian penjelasan dan huraian oleh al-Mawardi. Melihat kepada keterangan berikut, jelaslah bahawa mahram yang bersabit dengan nasab dan asbab perkahwinan dan susuan, haram berkahwim dengannya, boleh bersalaman dengannya dan boleh bersendirian bersamanya. Manakala mahram yang bersabit dengan tempoh tertentu, tidak boleh disentuh dan tidak boleh bersendirian bersamanya.




Perkataan "Muhrim" pula merujuk kepada suatu peraturan ketika melakukan ibadah haji dan umrah. Ungkapan Muhrim berasal dari kata احرم ahrama - يحرم yuhrimu - إحراما ihraman yang bermaksud haram atau larangan. Haram atau larangan ini dalam konteks ibadah haji dan umrah bermakna apabila seseorang memulakan niat ihram maka ia hendaklah mengharamkan berapa pekara yang sebelum ihram itu adalah halal baginya. Sebagai contoh, di dalam melaksanakan ibadah solat. Sebelum daripada mendirikan solat, makan dan minum adalah halal. Namun apabila seseorang memulakan takbiratul ihram (untuk menunaikan solat) maka, ibadah solat itu mengharamkan makan dan minum ke atas dirinya yang mana sebelum dia takbiratul ihram, ia adalah halal baginya. Begitu juga dengan mereka yang berihram, apabila mereka berniat ihram maka pada diri mereka terdapat perkara yang dilarang untuk dibuat sepanjang mereka sedang berihram.

Secara mudah, muhrim merujuk kepada orang yang memakai pakaian ihram ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Dalam berpakaian ihram, terdapat etika pemakaian yang harus dipatuhi. Pakaian ihram bagi kaum lelaki ialah dua helai kain lepas, iaitu tidak dijahit dan tidak pula dijalin (tidak dicantum). Sehelai dipakai sebelah bawah untuk menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut manakala sehelai lagi dibuat selendang. Kain ini disunatkan berwarna putih. Selain itu, bagi kaum lelaki yang dalam berpakaian ihram, adalah dilarang menutup kepala. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, para sahabat pernah bertanya berkenaan aturan pemakaian ketika dalam ihram, lalu baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"(Orang yang dalam ihram) tidak boleh memakai baju, imamah (penutup kepala), seluar, burnus (baju yang ada penutup kepala), atau baju yang dicelup wars (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan kain menjadi kekuningan), atau yang dicelup za’faran (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan dan memberikan bau khas pada kain)".




Bagi kaum perempuan pula, pakaian ihram hendaklah menutup semua anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan yang hendaklah terbuka seperti dalam sembahyang. Bagi kaum perempuan juga, ketika sedang berpakaian ihram, dilarang daripada menutup mukanya. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab (penutup muka) dan jangan juga memakai sarung dua tangannya".

Demikian penjelasan yang boleh kita katakan mengenai makna ungkapan Mahram dan Muhrim. Pada sudut sebutan dan ejaan dilihat seperti sama tetapi membawa makna dan konteks yang berbeza. Ringkasnya, mahram merujuk kepada orang yang kita haram berkahwin manakala muhrim pula merujuk kepada orang yang sedang berihram dalam menjalani ibadah haji dan umrah. Kita seharusnya menyedarkan masyarakat terutamanya bagi umat Islam supaya tidak timbul lagi kekeliruan ini. Penjelasan ini penting kerana ianya terkait dengan peraturan Allah yang tidak boleh dipermainkan. Oleh itu, sangat penting sekali untuk kita bijak dalam memahami dua istilah ini. Semoga Allah merahmati kita semua.