Jumaat, 8 Februari 2019

NILAI SESUATU MAHABBAH


Mahabbah bermaksud pengorbanan, perjuangan, takwa, keadilan, kejujuran, amanah dan bertanggungjawab. Mahabbah ada dalam jiwa setiap manusia, tidak kira orang itu Muslim, bukan Muslim, baik atau jahat sekali pun. Mahabbah meliputi manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk lain dan manusia terhadap Allah SWT Pencipta seluruh alam.
Mahabbah boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu ucapan, percakapan, hati, niat dan perbuatan. Mahabbah berpandukan niat yang baik, ucapan zikir kepada Allah SWT diikuti dengan perbuatan baik akan mendapat reda daripada Allah SWT. Kasih sayang sesama manusia akan membuahkan mahabbah yang boleh memandu dan membimbing mereka ke arah kebahagiaan dunia serta akhirat. Namun, mahabbah yang lahir daripada kasih sayang terhadap seseorang disanjung sebagai idola tidaklah memberi apa-apa erti untuk perjalanan ke akhirat kelak. 

Sebagai seorang Muslim, apa sahaja perbuatan, aktiviti atau amalan dalam kehidupan seharian haruslah mendapat keredaan di dunia dan akhirat. Adalah mustahil wujudnya akhirat tanpa kehidupan dunia terlebih dahulu dan tidak bererti kehidupan dunia sekiranya tidak mengambil kira kehidupan di akhirat nanti. Untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berusaha melaksana serta mematuhi perintah-Nya, di samping menyanjungi Rasulullah SAW.
Umpamanya seperti bagaimana seorang anak mendapat kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa, iaitu dengan cara menuruti perintah, mendengar nasihat, tidak melakukan perkara yang boleh membuatkan ibu bapa marah dan bersedih. Begitulah juga halnya dengan Allah SWT, lebih lagi kita perlu melakukan perkara yang diperintahkan dan menjauhi perkara dilarang. Untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, dianjurkan supaya kita melakukan amalan sunat.
Dalam hadis qudsi, "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepada-Ku, dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya." (Riwayat Bukhari)

Melakukan amalan sunat tetapi tidak melakukan perintah yang diwajibkan dan meninggalkan larangan Allah SWT terlebih dahulu, tidak mungkin akan mendapat mahabbah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Tidak ada satu amalan atau perbuatan yang afdhal melainkan melaksanakan perkara diwajibkan dulu.
Firman Allah SWT dalam hadis qudsi:
"Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya."  (Riwayat Bukhari)
Setelah amalan wajib dilakukan, barulah boleh diikuti dengan amalan sunat secara istiqamah. Seseorang yang sentiasa melakukan ibadah sunat akan dikasihi oleh Allah SWT. Dengan kasih sayang Allah, apa sahaja perkara yang didengar, dilihat atau dilakukan adalah kerana Allah SWT.
Apabila kita mendapat mahabbah daripada Allah SWT, maka Allah SWT akan memberitahu kepada malaikat Jibril untuk mengasihi kita seperti mana dijelaskan dalam hadis,
"Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah SWT menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah engkau mengasihinya. Jibril pun mengasihinya, kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya. Dengan itu penduduk langit pun mengasihinya, setelah itu orang yang itu dikasihi dan diberi sambutan di bumi."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, untuk mendapat mahabbah daripada Allah SWT, perlu dipastikan terlebih dahulu siapakah golongan yang mengasihi kita. Sekiranya mereka adalah terdiri daripada orang fasik dan melalaikan, sudah pasti tidak akan membawa kita kepada mahabbah Allah SWT. Sekiranya kita dikasihi oleh golongan yang bertakwa, ulama, mereka yang sentiasa membuat kebaikan, dan mendekatkan diri dengan Allah SWT, maka kita juga akan mendapat mahabbah daripada Allah SWT. Mahabbah sebagai permata yang sangat berharga, dan sudah pasti kita tidak sekali-kali akan meletakkan permata dimiliki pada tempat tidak sepatutnya atau mengorbankannya pada perkara yang sia-sia. Contohnya, meletakkan mahabbah kepada benda yang disayangi seperti kereta, perhiasan, rumah dan sebagainya yang dibimbangi boleh menghalang kita daripada melakukan kewajipan, malah membawa pula kita kepada kemungkaran.

Ahad, 3 Februari 2019

ISTIQAMAH DIATAS JALAN SUNNAH


Walaupun kita tidak hidup pada zaman Rasulullah SAW dan bertemu dengan Baginda, kita tetap beruntung kerana beriman kepadanya. Justeru, buktikan kecintaan kepada Baginda dengan mengamalkan sunah yang ditinggalkan. Rasulullah SAW bersabda:
"Beruntunglah sesiapa yang pernah melihat wajah Baginda dan kemudian beriman dengannya. Lalu Baginda mengulangi ucapannya sebanyak tiga kali bahawa beruntunglah orang yang tidak pernah melihat wajahnya, tetapi tetap beriman kepada Baginda."
Sesungguhnya orang yang dimaksudkan Rasulullah SAW ialah umat yang hidup di dunia selepas kewafatan Baginda, termasuk kita. Rasulullah SAW dirasakan sangat dekat dengan kita walaupun tidak pernah melihat wajahnya. Malah, Rabiulawal adalah bulan mulia kerana pada ketika itu seluruh manusia turut meraikan tarikh kelahiran Rasulullah SAW. Namun, ia adalah cabaran besar untuk terus mencintai dan mengingati Baginda disebabkan jarak masa terlalu lama. 

Selawat tidak hanya dizahirkan pada sambutan kelahiran Rasulullah SAW, tetapi seharusnya dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan seharian. Allah SWT dan malaikat turut berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah SWT memanggil nama nabi lain dengan nama mereka sendiri seperti Zakaria, Musa, Ibrahim, tetapi panggilan kepada Nabi Muhammad disertai dengan Rasulullah SAW yang membuktikan besarnya nilai Baginda di sisi Allah SWT.
Oleh itu, orang Mukmin hendaklah sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Realitinya masa kini, umat manusia lebih mengutamakan aktiviti lain dan melupakan amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Selain itu, untuk mendekat diri dengan Baginda, kita seharusnya belajar sirah hidup Rasulullah SAW supaya lebih mengenalinya. Mendalami sirah Baginda juga mengelakkan kejahilan dan pertikaian yang tidak seharusnya berlaku berkaitan peribadi Rasulullah SAW.
Sifat malas untuk belajar mengenali Baginda akan mendorong seorang individu berkelakuan kurang sopan, sombong dan tidak menghargai pandangan orang lain. Ada dalam kalangan sahabat yang mengenali Rasulullah SAW, sanggup datang dari tempat yang jauh untuk solat di belakang Baginda.
Orang Mukmin hidup bersama sunah Rasulullah SAW akan mewujudkan qudwah yang sempurna dan perselisihan yang berlaku dalam kalangan manusia hari ini adalah akibat tiada peribadi Rasulullah SAW dalam amalan kehidupan mereka.


Jumaat, 1 Februari 2019

MENCARI HIKMAH


Hikmah adalah kebijaksanaan yang tertinggi merujuk kepada kejernihan akal dan kebersihan hati seseorang Mukmin yang selalu meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam hidup. Bahkan hikmah itu sendiri akan diperoleh bukan sahaja melalui ilmu tetapi pengalaman serta pengajaran dalam kehidupan. Seseorang Mukmin mempunyai hikmah yang tinggi dalam diri akan menggunakan kecerdikan akal untuk menyusun atur kehidupan. Andai berdepan kegagalan dalam sesuatu usaha yang dilakukan, ia dapat menerima kegagalan itu sebagai pengajaran untuk mencari hikmah tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku.
Sesungguhnya nilai hikmah bagi seorang Mukmin akan dimatangkan oleh pengalaman hidup. Sebab itu orang yang lebih berusia atau lebih dahulu 'makan garam' dalam hidup akan lebih jelas hikmah pertimbangan terhadap sesuatu keadaan dalam hidup mereka. Berbanding orang muda yang kurang matang atau pengalaman, mereka kurang berhikmah dalam mendepani pelbagai situasi kehidupan. Justeru, dalam perjalanan hidup menuju kehidupan lebih bermakna, seorang Mukmin hendaklah mengisi dirinya dengan kematangan. 

Memiliki akal fikiran yang berhikmah, keluasan hati serta kekuatan jiwa yang kental supaya setiap suka duka atau pahit manis menyulami kehidupan ini sentiasa dipandu oleh perbuatan membawa kepada kebaikan. Manusia yang melihat kesulitan atau kekurangan dalam kehidupan dari sudut pandang penuh hikmah akan selalu terdidik di hatinya rasa ikhlas dan sabar. Begitu juga seorang Mukmin yang sabar dan reda menempuh ujian serta takdir yang menyakitkan, akan dapat melihat betapa hebatnya perancangan Allah SWT. Pada setiap perkara yang menyakitkan itu akan disulami kemanisan di hujungnya.
Seorang yang berhikmah mempunyai kejernihan hati suci murni. Ia diperoleh melalui hubungan pertalian dengan pemilik alam iaitu Allah SWT. Manusia yang hati dan bibirnya sentiasa dibasahi ungkapan zikrullah kepada Allah SWT mempunyai ketenangan luar biasa, bahkan jiwanya melihat seluruh kehidupan dari sudut pandangan yang baik. Kejernihan hati pastinya tidak akan diperoleh tanpa latihan berterusan membina pertalian hubungan dengan Allah SWT melalui amal ibadah kepada-Nya. Begitu juga hati yang jernih dan bersih hasil solat taubat nasuha kepada-Nya serta tidak sekali-kali mendekati perkara yang dilarang Allah SWT.
Nabi Muhamad SAW beristighfar sekurang-kurangnya sebanyak 70 kali sehari kepada Allah SWT kerana takut azab Allah SWT dan mahu meletakkan diri Baginda dalam keadaan sentiasa mengingati Allah SWT. Sebagai Mukmin yang tidak lari daripada melakukan kesilapan, mengingati Allah SWT dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW dapat membersihkan hati serta menyelamatkan diri supaya tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia.

Hikmah juga terdapat pada akal fikiran yang sihat dan cerdas. Seorang yang akalnya bijaksana, waras dan matang akan memberikan pandangan yang bermanfaat kepada orang di sekeliling. Akal yang tidak cerdik atau tidak matang tidak mampu mendorong seseorang bertindak secara hikmah. Selain itu, setiap Mukmin disarankan untuk mempertingkatkan kualiti diri melalui sudut pandangan yang positif. Kekuatan dalaman akan diterjemahkan melalui perbuatan dan kata-kata yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan sesama manusia akan membina kekuatan diri luaran serta dalaman.
Allah SWT mengingatkan supaya tidak bersangka buruk kerana perbuatan itu tidak memberi kebaikan kepada manusia. Firman-Nya yang bermaksud:
 "Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." 
(Surah al- Hujurat, ayat 12)
Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Berdoalah kepada Allah SWT tanpa rasa putus asa kerana Allah SWT sentiasa membuka pintu rahmat untuk setiap hamba-Nya.

Ahad, 20 Januari 2019

SUMAYYAH YANG DICEMBURUI


Sumayyah adalah watak terpenting yang boleh menjadikan inspirasi kepada kita semua. Kisahnya telah memberikan tamparan hebat kepada diri kita yang mempunyai kelebihan lebih hebat berbanding beliau yang menjadi seorang hamba pada satu manusia. Untuk mencari manusia sekental Sumayyah pada hari ini agak sukar dan susah. Kerana kita telah dikaburi oleh habuan harta dan pangkat. Di taburkan dengan pengaruh dan kuasa. Dek kerana itu, kita menjadi lemah dan longlai. Masih berkira-kira tenaga, masa dan harta untuk menyambung kerja warisan para nabi dan rasul.

Kisah Sumayyah telah mengajarkan kita erti keberanian dan berkorban yang sangat besar dan teramat bernilai harganya. Pengorbanan nyawa adalah suatu tingkatan yang paling tinggi kedudukkannya. Sewaktu itu, keluarga Yassir, yang terdiri daripada anaknya yang bernama Ammar dan isterinya bernama Sumayyah, diheret ke tengah padang pasir, diseksa dan dipukul hanya oleh kerana mereka mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW yakni agama Islam. Ketika itu, disaat awal penyebaran islam di Makkah, umat islam masih belum mempunyai kekuatan yang utuh. Hampir lebih kurang 100 orang sahaja memeluk agama islam. Islam sewaktu itu masih belum mempunyai bala tenteranya. Belum mempunyai kuasa pemerintahan yang kukuh. Apatah lagi mahu diberi pertolongan kerana islam ketika itu masih dalam keadaan minoriti. 



Jika dibandingkan dengan zaman kita sekarang, jauh lebih hebat dari zaman dahulu. Kini, kita sudah mempunyai umat yang ramai. Malah menjadi majoriti di dunia. Dalam majoriti tersebut, kita sudah pun memiliki negara yang mempunyai pemerintahan islamnya. Berbeza pada zaman tersebut, mereka menjadi kaum minoriti, diseksa dan dipukul dengan penuh kebencian dan kezaliman. Paling menyedihkan, seorang wanita hamil yang juga merupakan isteri kepada Yassir dan ibu kepada Ammar, ditusuk dengan perlahan, dengan menggunakan tombak yang amat tajam matanya. Dalam keadaan tersebut, Sumayyah tetap kental dan cekal, menahan segala seksaan keatas dirinya, lantas tetap berpegang teguh kepada islam, dengan keras hatinya beliau tetap pertahankan pendiriannya untuk kekal berterusan mentauhidkan Allah.

Pada masa yang sama, episod kekejaman tersebut tidak terhenti setakat itu, Yassir diikat di tengah padang pasir lalu diseksa dengan sekeras-kerasnya. Bertambah lagi duka derita, anak mereka iaitu Ammar, disalai diatas api yang sangat panas. Mereka sekeluarga diseksa dengan tidak diberi makan, mereka berlapar dan dahaga diatas padang pasir yang panas dan kering-kontang keadaannya. Akhirnya, kerana mempertahankan islam, Sumayyah dan Yassir menyahut seruan ilahi, mati syahid dengan disaksikan oleh anak mereka iaitu Ammar yang telah terselamat dengan izin Allah. Demikian hebatnya mereka yang dikatakan sahabat Nabi, diseksa dan diuji kerana mempertahakan islam.

Agama islam yang datang kepada kita hari ini, telah disebarkan dengan nilai mahar nyawa dan titisan darah mereka yang terdahulu. Kerana pengorbanan mereka, kita pada hari ini dapat menikmati islam dengan aman, sejahtera dan damai. Hasil dari titisan darah mereka, islam tersebar luas tanpa perlu kita mengorbankan nyawa dan segalanya. Ketahuilah bahawasanya, berdirinya kita sebagai muslim pada hari ini, adalah kerana susah payah mereka yang terdahulu, yang sanggup mengorbankan nyawa, keluarga, harta dan segalanya demi menegakkan agama islam yang tercinta. 



Berbeza jauh dengan kita pada hari ini. Disaat dan ketikanya, kita mempunyai segala kekuatan, kemudahan dan kesenangan hidup, kita masih teragak-agak untuk mengikuti kerja dakwah. Sebahagiannya ada yang masih berkira-kira dengan masa, tenaga dan harta, sedangkan Sumayyah, hanya seorang wanita biasa,yang kerjanya siang malam untuk memenuhi keperluan tuannya sahaja, namun iman di dadanya tetap utuh dan teguh. Meskipun di ancam dengan tombak yang tajam, diugut dengan menyiksa suami dan anak tercinta. Kerana agama, biar tercabut kasih pada dunia, asalkan tidak hilang cinta pada Nya. Inilah sikap yang semakin hari semakin hilang dalam dada umat islam. Masing-masing mengejar kepentingan duniawi sehingga terlupa kehidupannya di akhirat sana.

Dalam perjalanan kembara hidup ini, untuk mencari seseorang yang sekental Sumayyah, amatlah sukar dan susah. Namun tidak dinafikan, pada zaman milinea ini, ada sebilangan daripada kita, ada yang sanggup mengorbankan masa cutinya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Ada juga sebilangannya yang sanggup mengorbankan wang dan hartanya bagi menampung kos perjalanannya untuk berdakwah. Tidak kurang pula, ada yang sanggup meninggalkan anak isteri dan keluarga tercintanya, demi menyahut seruan pekerjaan warisan para Nabi ini. Barangkali kesemua pengorbanan ini kelihatan sangat kecil dan tidak bernilai dikaca mata manusia, namun percayalah, ia amat besar dan bermakna di sisi Allah. Dakwah, bukanlah urusan pak ustaz semata-mata. Tugas mempertahankan islam bukanlah kuasa jabatan agama sahaja, malah menjadi tanggungjawab setiap muslim yang mentauhidkan Allah.

Selasa, 8 Januari 2019

TIPU DAYA DUNIA


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya."
(Surah Ali-Imran, ayat 185)
Hidup adalah suatu hakikat yang ada dan akan berakhir pada suatu masa tidak diketahui dengan tepat dan tempatnya. Hidup di dunia ini sungguh mengelirukan pencintanya tetapi orang yang pintar tidak akan tertipu kerana mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada harta, pangkat dan kekayaan. Sebaliknya, mereka berpegang kepada iman dan keyakinan kebesaran Allah SWT serta menyerah diri kepada-Nya. Firman Allah SWT menyatakan hisab dan pembalasan juga berlaku sebelum hari kiamat tetapi tidak keseluruhannya. Ada kalanya manusia memperoleh balasan di alam barzakh tetapi ia hanyalah permulaan. Oleh itu, seseorang tidak akan dijauhkan daripada neraka jika dia tidak berusaha melepaskan dirinya daripada tarikan neraka sedikit demi sedikit.

Justeru, ketika di dunia perlu mengawasi diri supaya tidak terjebak dalam perkara yang boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam neraka kerana di akhirat nanti hanya amalan yang akan mengiringi. Mereka yang berjaya menjauhkan diri daripada neraka adalah golongan yang beruntung. Mereka yang dapat menjauhkan diri daripada neraka memiliki rohani yang bersih serta berjaya mengalahkan tuntutan nafsunya. Neraka mempunyai penarik yang banyak antaranya nafsu, kelazatan tidak terkawal, kekayaan, harta benda yang menyalahi hukum Allah SWT. Melihat dari jauh, dunia kelihatan cantik serta amat mempesonakan. Ibarat musafir kehausan melihat fata morgana yang disangka air tetapi apabila didekati ia hanyalah pantulan cahaya ke atas pasir, maka hampalah musafir.
Sesungguhnya dunia ini bukan matlamat tetapi jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat. Sesiapa mencari dunia sebagai matlamat sebenarnya dia rugi dan sesiapa menjadikannya sebagai jalan menuju akhirat yang abadi, maka dia akan selamat. Kenikmatan dunia menyebabkan kita terpedaya oleh kesenangan hingga sanggup bersusah payah mengejar sesuatu yang tidak kena pada tempatnya serta lupa melengkapkan diri dengan ilmu dan akhlak yang dapat meningkatkan rohani bagi mencapai kebahagiaan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Surah al-Ankabut, ayat 64) 

Memetik kata-kata Syeikh Muhammad al-Ghazali, penulis, pemikir dan pendakwah terulung Mesir, "Pada suatu hari, saya berjalan di salah satu jalan di Kaherah. Saya melihat sebuah pedati di mana keldai yang menariknya telah mati. Saya mendekati pemilik pedati itu yang kelihatan sangat sedih di atas kematian keldainya itu. Saya memerhatikan binatang yang telah mati itu. Di dalam hati saya berkata: Urusannya telah selesai. "Sesungguhnya tidak kurang pemimpin dan penguasa, kehidupannya tidak lebih daripada binatang ini. Mereka mengira urusannya akan selesai setelah mati seperti binatang ini."
Ayat ini memberi galakan kepada orang yang beriman untuk melakukan ketaatan dan memberi amaran kepada pelaku maksiat supaya segera berhenti. Sesungguhnya semua akan kembali kepada Allah SWT dan melihat sendiri kesan amalan yang mereka lakukan sewaktu berada di dunia dahulu. Al-Quran mendidik manusia untuk memperbaiki kehidupan dengan mengharapkan kehidupan yang lebih kekal dan bahagia. Oleh itu, setiap orang perlu berusaha menuntut ilmu bagi meningkatkan akalnya di samping memperbaiki jiwa dan membetulkan niatnya.

Isnin, 7 Januari 2019

PELIHARALAH BAHASA

Bahasa adalah pertuturan melalui lidah dan mulut yang mengeluarkan kata-kata dan juga percakapan. Melalui bahasa yang baik dan indah ia menjadi ibadah dalam kehidupan kita. Setiap hari kita bercakap mengeluarkan kata-kata dan bahasa, sama ada bahasa yang baik atau sebaliknya. Melalui bahasa dengan memberi salam sahaja kita sudah mendapat pahala di sisi-Nya. Memberi nasihat dan juga menunjukkan jalan kepada seseorang juga melalui bahasa dan diberikan ganjaran pahala. Melalui telefon, penulisan di media sosial kita juga berbahasa. Oleh itu manfaatkan bahasa dengan baik. Begitulah luasnya peranan bahasa dalam kehidupan seharian kita.
Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang kita idamkan mestilah bermula dengan bahasa dan perlakuan yang baik. Natijahnya, jika semua dalam kalangan kita berbahasa dan berperi laku baik akan dapat mewujudkan masyarakat yang aman dan damai. Menggunakan bahasa yang baik dan betul akan dapat menyampaikan maksud dan tujuan masing-masing, seperti memberi teguran yang baik dan nasihat yang baik. Ia membabitkan, pola umum dalam pertuturan sesuatu komuniti sebagai kegiatan bercakap dan bertutur seseorang individu dalam suasana tertentu. Bahasa ialah alat yang digunakan dalam perhubungan, tetapi adalah aktiviti yang sebenar dalam perhubungan masyarakat. 


Berkaitan bahasa Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui. (ar-Rum: 22)
Melalui perbezaan bahasa kita dapat mempelajari bahasa-bahasa lain di dunia dan sebagai kefahaman dan menyedarkan kita tentang kebesaran Allah SWT. Oleh itu, melalui bahasa yang baik melalui percakapan, nasihat, tunjuk ajar, pendidikan semuanya menjurus kepada pahala. Melalui bahasa seseorang itu dapat mengubah kemungkaran kepada kebaikan, melalui nasihat dan teguran yang baik.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya apabila dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya, apabila dia tidak mampu, maka dia hendaklah menegur dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)
Jelaslah, Rasulullah SAW mengajar kita, agar setiap umatnya membenci perbuatan mungkar atau yang bertentangan dengan syariat Allah SWT. Islam menganjurkan agar kemungkaran itu diubah segera dengan menggunakan kuasa atau kemampuan yang ada.
Jika tidak mampu, maka tegurilah dia dengan lisan (lidah) melalui bahasa atau melalui (tulisan). Jika tidak mampu juga, maka hendaklah dibenci atau dijauhkan dan jangan pula disukai atau dirasai tiada apa-apa kesan maksiat itu. Begitulah pentingnya peranan bahasa melalui lidah atau percakapan. Melalui akal yang beriman dan lidah yang beribadah akan mengeluarkan kata-kata yang baik dan berkesan untuk disampaikan sebagai nasihat dan pengajaran dalam kehidupan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Orang Islam yang selamat itu ialah orang yang terselamat kepada orang Islam lain daripada gangguan lidah dan tangannya." (riwayat At-Tirmizi) 


Tidaklah dinamakan Muslim orang yang tidak selamat kepada orang Islam lain daripada gangguan lidah dan tangannya. Oleh itu, sebagai orang Islam elakkan perbuatan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti memfitnah, mengumpat, mengadu-domba, gosip, mengata hal orang lain, mencaci, mencela, menyindir yang semuanya memerlukan bahasa dan perkataan. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya agar menjaga percakapan dan bahasa. Orang yang suka bercakap yang baik, bertujuan yang baik akan mendapat pahala dan diibaratkan sebagai sedekah yang mengandungi pahala, Setiap ucapan manusia akan ditulis oleh Malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa bersedia menulis apa yang diucapkan oleh manusia itu.
Percakapan yang baik adalah membawa erti dan tujuan yang baik, nilai kebaikannya (seperti menyuruh melakukan kebaikan) dan baik pemilihan kata-katanya, tidak kasar, tidak menyakiti hati orang lain, sama ada semasa bergurau, indah bunyi bahasanya ada nilai sastera, meskipun membawa kritikan yang tajam serta baik pula cara penyampaiannya. Semuanya apabila diucapkan, akan menjadi sedekah dan memberi pahala kepada mereka yang mengucapkannya. Ini kerana agama Islam itu berbentuk nasihat bagi melaksanakan semua perkara yang baik dalam semua bidang kehidupan.
Lantaran itu, bahasa yang baik itu akan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala apabila diucapkan. Ia berkaitan dengan akhlak dan tingkah laku seseorang. Ada yang baik dan indah, ada pula yang buruk dan keji. Oleh itu, semasa bergaul dengan orang lain pamerkan akhlak yang baik melalui bahasa yang baik dan indah dan juga akhlak yang elok dan terpuji. Untuk menjadi baik bermulalah dengan berkata yang baik-baik dan sentiasa menjaga perlakuan dengan tingkah laku yang baik.

Selasa, 1 Januari 2019

HARAPAN & CITA - CITA TAHUN BARU


Pada setiap tahun baharu, setiap manusia khususnya golongan remaja terutama murid atau pelajar di sekolah rendah dan menengah akan mempunyai cita-cita, impian dan harapan. Tidak salah mempunyai cita-cita, impian dan harapan. Malah ia suatu kebaikan dalam kehidupan. Agama menggalakkan setiap penganutnya mempunyai harapan dan cita-cita ini. Justeru, enam ciri utama yang diperlukan setiap murid demi mengejar cita-cita selain berupaya bersaing di peringkat global sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ini telah digariskan dalam tujuan pendidikan antaranya pertama, mempunyai ilmu pengetahuan. Kedua, mempunyai kemahiran berfikir. Ketiga, mempunyai kemahiran memimpin.

Keempat, mempunyai kemahiran dwibahasa. Kelima, mempunyai kemahiran etika dan kerohanian dan keenam, mempunyai identiti nasional. Apa pun cita-cita yang disemai sejak kecil mestilah dipadukan dengan usaha belajar bersungguh-sungguh. Tanpa ilmu dan pelajaran seseorang itu sukar untuk mencapai cita-cita dalam era globalisasi yang penuh dengan persaingan. Beberapa tokoh Barat seperti George Bernard Shaw mengatakan, ada dua tragedi dalam hidup ini. Pertama, tidak mendapat apa yang diinginkan. Kedua, apabila mendapatnya. Thomas Fuller pula mengatakan, kalau bukan kerana harapan, hati pasti akan patah. 



Sementara menurut William Shakespeare, cita-cita harus diperbuat daripada ‘bahan’ yang keras. Bagi mengelakkan cita-cita, impian dan harapan ini tidak kesampaian menurut Mark Twain, jauhi orang yang cuba memperlekehkan cita-cita anda. Orang berfikiran sempit selalu bersikap begitu, tetapi mereka yang benar-benar hebat akan membuatkan anda terasa diri juga boleh menjadi hebat. Oleh sebab itu, pendidikan memainkan peranan utama ke arah merealisasikan cita-cita, impian dan harapan seseorang. Usaha mendalami ilmu pengetahuan melalui pendidikan akan memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat dan menyokong transformasi dalam perkhidmatan awam.

Kadang-kadang tidak semua cita-cita, impian dan harapan itu tercapai apabila dewasa atau di alam pekerjaan. Namun jika seseorang itu memasang cita-cita, harapan dan impian yang tinggi dikatakan 80 peratus daripadanya akan tercapai dalam hidup jika berusaha ke arah itu. Ibu bapa dan juga guru-guru di sekolah juga berperanan memupuk cita-cita, impian dan harapan anak-anak dan murid ke arah kejayaan melalui pendedahan kepada kerjaya diminati. Ganjaran gaji lumayan akan merangsang seseorang memasang cita-cita tinggi. Seperti kata tokoh Barat John Morley, anda tidak dapat memperlihatkan emosi, namun juga tidak dapat mematikan cita-cita. Bagi Imam Abu Hanifah, cita-cita perlu bagi manusia yang hidup.

Manusia tidak bercita-cita bukanlah sebenarnya dia hidup tetapi itu adalah kematian, kerana manusia yang tidak bercita-cita, sudah mati batinnya dan sama keadaan di dalam kubur. Kesimpulannya, cita-cita, impian dan harapan sangat besar maknanya pada setiap tahun baharu dalam kehidupan tiap insan. Seseorang insan terutamanya pelajar dan siswa yang mempunyai visi, mempunyai wawasan hidup tentulah mempunyai cita-cita, impian dan harapan tinggi dan murni dalam hati dan jiwanya. Oleh itu, bakarlah semangat gandakan usaha untuk mencapai kejayaan dicita-citakan.