Jumaat, 14 Jun 2019

PUISI : BIAR TAKDIR BERBICARA


Setia aku mencoret rasa,
Lembaran ditatap penuh setia,
Pena terus menari keasyikkan,
Menelusuri bait-bait kisah suka dan duka


Garis masa sempurna sudah,
Walaupun dinoktah rasa gundah,
Meskipun hati terjerat langkah
Hanya berserah pada yang Maha Indah 




Lembaran baru akan dibuka,
Menanti pena mengukir makna,
Juga erti setiap perkara.
Pena digenggam,  menjadi statik,
Jiwa bungkam, dijentik-jentik


Biar takdir berbicara,
Biar masa bersuara,
Andai esok itu bahagia,
Atau masih bermuram durja.


Lembaran akan tetap ditutup,
Namun harapan tiada redup,
Selagi aku masih hidup.
Selagi itu aku terus berharap


Sabtu, 23 Mac 2019

PUISI : PENJARA DERITA


Atas penderitaan ini 

Aku terpenjara
Terbius kaku terhembus sayu
Meronta ronta menangis syahdu
Seakan akan esok telah pun tiada
Untuk aku berdiri melihat semula dunia
Membawa diri ke segenap pelusuk hati
Untuk aku sembunyikan rasa duka di jiwa


Entah mengapa kerasnya hatiku ini

Untuk melepaskan ikatan yang tiada gantinya
Sesak di dada bergoncak jiwa
Bibir terpahat hati yang setia
Betapa sukar lafaz untukku kata
Betapa susah hati ini untukku cerita
Betapa perit jiwa untuk aku menerimanya 




Oh Tuhan 

Tuhan yang tidak pernah pekak 
Yang sentiasa mendengar doa hamba Nya
Atas kelemahan ini
Aku bersandar pada takdirMu
Aku berserah pada perancangan Mu
Melepaskan resah meleraikan gelisah
Agar hati ku kembali di pandu
Agar jiwa ku terus berseteru


Entah bila akanku keluar dari penjara derita ini

Mungkin esok ataupun lusa
Belum tentu langkah ini bisa di atur
Belum pasti kembali terlakar senyuman gembira
Selagi yang terdaya, sebagai insan biasa
Akan ku akur pada takdir Mu
Akan ku pasrah dengan ketentuan Mu 
Ya Rabb…


Rabu, 27 Februari 2019

KELUHURAN KEMANISAN IMAN


Sesungguhnya mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek penting yang wujud dalam diri manusia sama ada yang bertamadun atau tidak, beragama atau tidak beragama. Ketiga-tiga aspek itu diisi oleh Islam berdasarkan panduan wahyu dengan nama iman, Islam dan ihsan. Iman adalah kepercayaan atau akidah. Islam adalah pengamalan atau syariat, manakala ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman, Islam dan ihsan itu paksi kepada agama Islam seperti mana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.
Ketiga-tiga paksi agama Islam itu mestilah diambil berat oleh setiap Muslim secara seiringan tanpa boleh dipisahkan. Apabila lengkap ketiga-tiga paksi itu maka lengkaplah penghayatan Islam seseorang. Sesungguhnya, kemanisan iman bermaksud perasaan gembira melakukan ibadah dan sanggup menanggung kesukaran demi mendapatkan keredaan Allah SWT serta rasul-Nya. Taatilah segala suruhan, larangan serta mengutamakan Allah SWT dan rasul-Nya lebih daripada segala-galanya. 

Rasulullah SAW menjelaskan, kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan penghayatan Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad SAW itu sebagai rasulnya. Kemanisan iman penting bagi setiap Muslim kerana apabila kemanisan iman telah bertapak di jiwa seseorang Muslim maka dia tidak lagi malas, bosan, penat dan cuai sebaliknya sentiasa semangat, rajin serta cergas dalam melaksanakan segala tuntutan Islam.
Muslim yang mengecapi kemanisan iman pastinya sentiasa positif dalam kehidupannya. Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, apabila dia mendapat musibah dia bersabar. Jiwanya sentiasa reda, syukur dan bahagia. Hatinya sentiasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Dirinya sentiasa merasakan keberadaan dan pengawasan Allah SWT dengan kehidupan yang bertunjangkan kepada penghayatan ihsan.
Rasulullah SAW telah memberi panduan dengan kaedah yang jelas untuk merasa kemanisan iman. Riwayat Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
"Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan merasai kemanisan iman iaitu dia menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada yang lain daripada keduanya; dia mencintai saudaranya tiada lain cintanya itu melainkan kerana Allah SWT semata-mata; dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka."

Melalui panduan hadis itu, kemanisan iman boleh diusahakan dengan mencintai Allah SWT lebih daripada segala-galanya. Cinta kepada Allah SWT menghasilkan kemanisan iman pada tahap tertinggi. Melaluinya jiwa sentiasa tenang dan hati sentiasa dipandu oleh petunjuk-Nya.

Kedua, mencintai Rasulullah SAW selepas cintanya kepada Allah SWT kerana cinta kepada Allah SWT tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada kekasih-Nya, Muhammad bin Abdullah. Sesungguhnya Baginda utusan Allah SWT yang menyampaikan segala perkara dikehendaki oleh Allah SWT.

Melalui Baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah SWT dan mengetahui segala perintah serta larangan-Nya. Kedudukan Baginda tiada taranya, Baginda insan teragung dan rasul terulung. Sesungguhnya, untuk mendapat cinta Allah SWT maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah SAW.

Ketiga, mencintai saudaranya kerana Allah SWT semata-mata. Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling kenal mengenali. Justeru, kemanisan iman ialah dengan mencintai saudaranya hanya kerana Allah SWT. 

Hubungan persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan, harta atau pangkat tetapi hubungan yang wujud hanya kerana Allah SWT semata-mata. Persaudaraan menjamin keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi sesebuah masyarakat bukan sahaja di dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat.

Keempat, membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran. Mukmin yang mencapai kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah SWT apabila beroleh kebaikan dan apabila ditimpa kesusahan dia kufur.

Antara cara meningkatkan keimanan ialah memahami serta menghayati zat, perbuatan dan sifat Allah SWT. Memahami dan menghayati ayat al-Quran sebagai panduan dalam mencapai kebahagiaan, memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan, masa serta tempat.


Mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW serta mencontohi akhlak Baginda. Sentiasa bersama dengan ilmuwan, ahli ibadah, teman soleh solehah yang sentiasa mengingatkan kealpaan kita terhadap Allah SWT serta berdoa memohon petunjuk daripada Allah SWT supaya menetapkan hati kita dalam ketaatan.

Sabtu, 23 Februari 2019

AGAMA PENENTU KEBAHAGIAAN HIDUP


Pernahkah kita bertanya tujuan hidup di dunia ini atau hanya sekadar menjalani hidup tanpa pernah memikirkan makna daripada penciptaan diri kita? Mengetahui makna kehidupan membantu kita menjalani hidup lebih baik, mengenal pasti tujuan hidup supaya lebih terarah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna."
(Surah al-Anfal , ayat 24)
Jika diteliti makna di sebalik penurunan ayat ini, ia memberikan suatu konsep mengenai erti hayat atau hidup yang sebenar dalam Islam. Rasulullah SAW selaku utusan Allah SWT menyeru orang beriman supaya menyambut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya. Seruan yang mengajak mereka menjalani erti hidup yang sebenar. Hidup manusia sangat bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan makrifat Allah (mengenal Allah SWT). Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah SWT.

Agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia. Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Malah, agama juga dapat membentuk pandangan semesta seseorang, sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan mereka dari segi pertuturan, perilaku atau gaya hidup. Tidak dinafikan, agama Islam mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk urusan jodoh seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:
"Dikahwinkan seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya, kedudukan atau keturunannya dan agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang beragama, nescaya menguntungkan kamu."
Agama dan keimanan yang kuat hendaklah diutamakan sebagai dasar pemilihan pasangan hidup. Sebenarnya agama bukan bersandarkan kepada kelulusan semata-mata. Ia sebenarnya menjurus sejauh mana penghayatan dan amalan seseorang terhadap Allah SWT. Dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan suami isteri dengan restu Allah SWT. 

Suami perlu membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Jika isteri lebih bijak, tidak salah berkongsi sesuatu yang baik dengan suami supaya rumah tangga sentiasa mendapat keberkatan. Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam pembentukan rumah tangga yang harmoni. Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu supaya tidak tersesat. Suami isteri ibarat pakaian bagi pasangannya, yang saling menutupi, melindungi dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, hiasilah pasangan dengan amalan yang baik.
Demi menggapai reda Allah SWT, elak berada dalam situasi keluh kesah kerana bimbang keluh kesah adalah tanda kelemahan iman. Luaskan pelaksanaan dan penghayatan agama kepada seluruh amalan dalam kehidupan. Moga dengan kebaikan yang kita lakukan walaupun kecil tetapi berterusan, mudah-mudahan dapat memberikan kebaikan dan membantu kita untuk terus memahami serta mendalami agama Islam.

Jumaat, 22 Februari 2019

MUSIBAH : PELUANG UNTUK BERMUHASABAH



Dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada orang yang sedia mendengar serta menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran. Justeru, apa-apa musibah dan bencana yang menimpa, sewajarnya dijadikan renungan dan muhasabah diri. Setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukan hingga mengundang bala bencana daripada Allah SWT. Dalam satu sudut lain pula, dugaan Allah SWT bagi menguji sejauh mana keimanan kepada-Nya.
Muslim yang berjaya ialah yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah SWT. Apa sahaja yang berlaku pada diri seseorang atau sesebuah bangsa adalah bertitik tolak daripada perilaku manusia sendiri. Ini bermakna musibah yang melanda seseorang atau sesuatu bangsa sebenarnya satu peringatan keras daripada Allah SWT terhadap tingkah laku manusia sebelum ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Masing-masing Kami seksa kerana dosanya; di antara mereka ada yang Kami kirim kepadanya angin taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara mereka ada diseksa oleh teriakan yang keras (terus mati) dan antara mereka ada yang Kami benamkankan ke dalam bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri."
(Surah al-Ankabut, ayat 40)

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman supaya bersabar mendepani segala musibah dan malapetaka yang melanda. Janganlah pula merasa lemah semangat, berduka cita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku. Bukankah Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya melalui sabdanya:
"Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan kamu merasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan: kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini. Sebaliknya katakanlah: itu adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti akan terjadi. Sebenarnya perkataan 'kalau' itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan."
(Riwayat Bukhari)
Begitulah sifat Muslim yang sebenarnya apabila berhadapan dengan sebarang musibah dan bencana. Tambahan pula, manusia adalah makhluk yang serba lemah, daif, manakala segala musibah dan bencana pula semua telah ditetapkan Allah SWT sejak azali lagi di Luh Mahfuz. Dengan keyakinan seumpama ini, setiap Muslim akan bertambah keimanan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah yang Maha Agung. Ini bukan bermakna kita hanya pasrah dan menyerah bulat-bulat semasa berhadapan dengan musibah itu.

Berhadapan dengan keadaan yang sukar, amat wajar setiap Muslim memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, lebih bersimpati terhadap nasib mangsa yang ditimpa musibah dengan meringankan segala kesulitan dihadapinya di samping menyelami hikmah di sebalik musibah yang menimpa. Kita perlu saling mendoakan agar dilindungi dari bala bencana. Bukankah doa senjata ampuh seorang Mukmin apabila berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah yang berlaku di luar jangkaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan secara bersembunyi (dengan berkata): Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami daripada orang yang bersyukur."
(Surah al-An'am, ayat 63)
Begitulah wajah kehidupan manusia yang sewajarnya direnungi supaya dapat dijadikan teladan dan sempadan kepada umat Islam. Ringkasnya, kesemua malapetaka yang menimpa itu sepatutnya dijadikan bahan pengajaran dan iktibar untuk insaf serta kembali pada landasan yang lurus. Di samping itu, Muslim juga disaran bertaubat kepada Allah SWT daripada sebarang kesilapan dan kecuaian sama ada tidak menunaikan sesuatu perintah Ilahi atau melanggar sesuatu larangan-Nya pada suatu ketika dahulu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
(Surah al-Rum, ayat 41)

Jumaat, 15 Februari 2019

DUNIA TEMPAT BERCUCUK TANAM


Dunia ibarat ladang kepada manusia untuk bercucuk tanam dengan amalan kebajikan dan ketaatan, tetapi ia bergerak dengan pantas seperti air hujan yang turun. Dunia ini umpama jambatan menuju ke akhirat yang kekal abadi. Ulama juga mengumpamakan dunia sebagai ladang untuk bertanam, manakala akhirat pula diibaratkan tempat menuai hasil.
Justeru, dalam kesempatan yang ada, setiap mukmin hendaklah berbuat sebanyak mungkin kebaikan dan ketaatan terhadap perintah Allah agar di akhirat nanti segala pahala dan kebajikan akan dibalas dengan syurga indah yang kekal abadi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, Maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
(Al-Kahfi: 45)

Ayat ini bermaksud Allah menjelaskan dunia ini tidak mempunyai nilai melainkan untuk digunakan mengingati-Nya melalui zikrullah dan amalan yang menumbuhkan ketaatan kepada-Nya. Apabila mengetahui hakikat hidup ini, seseorang mukmin akan mempersembahkan kealimannya kepada Allah SWT. Begitu setiap waktu dalam kehidupan ini, dimanfaatkan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Allah SWT dalam ayat di atas juga menjelaskan betapa singkatnya hidup umpama air hujan yang mengalir ke atas tumbuh-tumbuhan dan menyimbah pada batang serta daun.
Apabila tiba saat dan ketikanya, pohon yang hidup subur akan kering kontang lalu mati dan berlalu pergi. Ia jelas mengisyaratkan tidak ada yang kekal dalam hidup ini kerana semua dicipta untuk sekian waktu tertentu dan isi dunia pula sekadar pinjaman. Sekiranya dunia tidak digunakan untuk melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan atau menanam sebanyak mungkin pahala, maka kontang pahala untuk dipetik pada akhirat kelak.
Justeru, bagi mukmin yang alim dan berpengetahuan, dunia dimanfaatkan untuk menghasilkan kebun pahala kerana di akhirat kelak adalah waktu dan saat untuk memetik segala hasil kebaikan yang dilakukan di dunia ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Jadilah kamu semasa di dunia ini sebagai orang yang dagang atau asing."

Baginda mengingatkan umatnya supaya tidak terlalu cintakan dunia, bahkan menjadikannya sebagai persinggahan yang tidak kekal. Lebih penting, perbuatan dan ketaatan akan menatijahkan ketakwaan serta kealiman. Rasulullah SAW mengungkapkan kelebihan orang beriman adalah apabila Allah menganugerahkan keimanan dan kesihatan yang baik, berasa aman serta tenang dengan ahli keluarga dan sumber makanan mencukupi.
Bagi seseorang mukmin yang memperolehnya, keperluan mereka sudah pun mencukupi dan bersyukur akan nikmat Allah SWT. Tidak ada yang kekal di dunia kerana janji Allah setiap yang hidup pasti akan menemui kematiannya. Selama waktu masih ada, gunakan untuk membuat sebanyak mungkin kebajikan dan pahala kerana seperti kata pepatah, hidup hanya sekali, mereka yang pergi pasti tidak akan kembali. Oleh itu, jangan sesekali mensia-siakan waktu kerana akibatnya menanggung kerugian sampai bila-bila.
Penuhi kehidupan dengan mencari ilmu kerana orang yang tinggi ilmu lebih dekat mengenal dan memahami hakikat hidup, iaitu untuk menghambakan diri terhadap segala perintah Allah SWT. Seseorang mukmin yang taat suruhan Allah akan memperoleh ganjaran pahala syurga yang kekal abadi.

Isnin, 11 Februari 2019

MENCINTAI KEKASIH ALLAH


Cinta adalah ungkapan yang sering diucapkan. Kalimah cinta menggambarkan perasaan sangat sayang terhadap sesuatu atau seseorang sama ada antara suami dan isteri; ibu dan anak; sesama kaum keluarga serta kaum kerabat. Cinta itu bukan sekadar tumbuh subur di dalam jiwa bahkan suatu tindak tanduk yang dapat diukur melalui tingkah laku seseorang. Sebagai Muslim, kita tidak dapat lari daripada membicarakan perasaan kasih dan sayang kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya Nabi Muhammad SAW.
Baginda diutuskan kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar melalui tunjuk ajar dan tindak tanduknya. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 
(Surah Ali-Imran, ayat 31)



Mari kita renungkan sifat cinta Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda dikurniakan Allah SWT sebagai seorang insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Tanda cinta Nabi SAW dapat dilihat dari sikap prihatinnya terhadap umatnya di padang Mahsyar kelak. Tatkala manusia gementar berhadapan penghakiman Allah SWT terhadap setiap amalan, Baginda SAW merayu kepada Allah SWT supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan daripada seksa api neraka.
Baginda bukan risaukan isteri, keluarga, kaum kerabat, sahabat, tetapi amat risaukan umatnya. Persoalannya, apakah bentuk cinta yang perlu kita buktikan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian? Antara syarat yang perlu ada untuk menjadi umat Muhammad SAW yang sempurna ialah tanamkan perasaan cinta dan kasih yang begitu ikhlas dan tinggi kepada Nabi SAW.
Perasaan ini perlu dipupuk dan disuburkan dalam jiwa kita serta ahli keluarga sepanjang masa melebihi segala-galanya. Jika rasa cinta pada Nabi SAW tidak subur dalam jiwa, maka ini menyebabkan kita tiada usaha dan semangat menghayati dan mencontohi cara hidup baginda dalam kehidupan seharian.
Ini yang ditegaskan oleh Nabi SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas bin Malik:
"Tidak (sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintai dari bapanya, anaknya dan semua manusia lainnya."
Sanggup mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW daripada difitnah sama ada secara fizikal atau kata-kata. Umat yang cintakan Nabi SAW akan sanggup mempertahankan kemuliaan Nabinya daripada difitnah. Contohilah Zaid bin Harithah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan Nabi SAW daripada dicederakan oleh penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah terhadap masyarakat di bandar itu. 



Hayatilah cintanya sahabat seperti Talhah bin Ubaidillah dan Abu Dujanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi SAW daripada terkena anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Sanggupkah kita mempertahankan kemuliaan Nabi SAW dan ajarannya dengan fizikal dan lidah seperti mana dilakukan oleh sahabat Baginda. Mempertahankan sunah Nabi Muhammad SAW. Umat yang cintakan Nabi SAW sanggup mempertahankan sunah nabinya. Mereka menjadikan cara kehidupan seharian Baginda sebagai ikutan dan cara hidup.
Mereka sanggup memperjuangkan semua bentuk ajaran rasulnya bahkan berusaha keras membanteras segala larangan rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Apa juga yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)." 
(Surah al-Hasyr, ayat 7)
Sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad SAW antara bukti kecintaan kita kepada Nabi SAW. Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah:
"Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali."
Sayangnya, jika diperhatikan kehidupan setengah golongan masyarakat Islam hari ini, mereka lebih seronok dan bangga menjadikan artis, selebriti, ahli sukan serta tokoh tertentu sebagai contoh ikutan yang digilai. Mereka sanggup membelanjakan wang ringgit, mengorbankan tenaga dan masa untuk menghayati gaya hidup idola mereka. Mereka lahirkan rasa cinta dengan mencari maklumat berkaitan ikutan mereka seolah-olah itulah gaya kehidupan mereka yang sebenar. Pada waktu yang sama, terdapat pula setengah golongan masyarakat Islam mempertikaikan kemuliaan dan perjuangan Nabi SAW.
Mereka mempertikai kedudukan hadis malah ada yang menolaknya. Kini tibalah masanya kita sebagai umat Islam menukar arah dan pandangan hidup ke arah mencontohi cara hidup Nabi Muhammad SAW. Marilah kita jadikan Nabi SAW sebagai ikutan dalam kehidupan, tanamkan sifat cinta kepada Baginda kerana umat yang kasih pada nabinya akan taat arahan Allah dan rasul-Nya serta sentiasa menjauhi larangan-Nya. Kesempurnaan iman seseorang itu bergantung kepada sejauh mana cintanya kepada Rasulullah SAW dan mengamalkan segala sunahnya. Umat yang cintakan nabinya bukan sekadar melalui ungkapan kata-kata, bahkan sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangannya.