Ahad, 3 Mei 2020

RAMALAN SUATU KESYIRIKAN


Ramalan adalah suatu perkara yang terkandung persoalan yang ghaib, di mana ianya sangat terbatas untuk dicapai oleh akal fikiran yang waras. Meskipun begitu, ramalan boleh dijadikan sebagai panduan atau persediaan semata-mata. Misalnya seperti ramalan kaji cuaca dengan menggunakan akses teknologi canggih, kita sebagai manusia dapat membuat ramalan cuaca berdasarkan keterbatasan akal dan ilmu kita. Selebihnya ia terletak dan berbalik kepada kehendak Nya yakni Allah Azza Wa Jalla.

Dalam banyak ruang agama membenarkan kita membuat ramalan tanpa bercanggah dengan syariat, terdapat beberapa pengamalan ramalan berdasarkan angka tertentu, rahsia tarikh lahir dan seumpamanya. Ilmu ini sebahagiannya dikenali sebagai ilmu metafizik. Ilmu metafizik merupakan salah satu cabang dalam ilmu falsafah yang mengkaji tentang sifat, tabiat dan realiti kewujudan sesuatu benda.



Dalam sejarah ilmuan Islam, Al Kindi antara ilmuan yang membahaskan persoalan falsafah ini melalui beberapa penulisan kitabnya seperti Kitab fi Falsafat al-Ula dan Risalah fi al-Ibanah ‘an Sujud al-Jirm al-Aqsa wa Ta’atihi Lillah. Demikian juga Ibnu Rush antara yang turut membahaskan persoalan ini menerusi kitab Tafsir Ma’ Ba’d Tabi’at. Secara khususnya ilmu metafizik tidaklah hanya membahaskan tentang nombor dan huruf bagi tujuan ramalan sebagaimana kefahaman segelintir masyarakat kita hari ini. Ia satu ilmu yang sangat luas mencakupi perbahasan ghaibiyyat dan alam tabi’e dan bukan semata-mata berkaitan ramalan masa depan. Ilmu penggunaan nombor dan huruf bagi tujuan ramalan lebih dikenali sebagai numerologi.

Dalam hal ini, meramal dengan beriktikad kepada keajaiban angka, warna atau apa-apa bentuk tertentu adalah dibimbangi termasuk dalam amaran baginda Nabi SAW dalam soal hukum menilik yang dilarang. Dalam sebuah hadis yang sahih, riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”

Dalam hadis yang lain, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang kepada bomoh, lalu bertanya kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”

Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang ia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.”.


Meramal masa depan dengan kepercayaan perkara tertentu adalah termasuk dalam soal perkara ghaibiyyat (tidak diketahui) yakni perkara yang tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahuinya selain Allah Azza Wa Jalla. Hal ini disebutkan oleh Allah melalui firman Nya dalam Surah Al A’raf ayat 188 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Berdasarkan dalil yang disebutkan tadi, maka dapatlah kita fahami bahawa perbuatan meramal atau menilik dengan kepercayaan angka, warna, tarikh lahir atau apa pun unsurnya adalah dilarang dan berdosa sekiranya melakukannya apatah lagi mempercayai dan menyakini perkara tersebut. Dalam islam, tidak ada nombor-nombor tertentu yang memberi aura berbeza atau rahsia disebalik tarikh tertentu sebagaimana yang dinyatakan oleh segelintir masyarakat kita dalam program-program motivasi diri. Hindarilah kita dari melakukan perkara yang boleh mengggugat akidah kita.

Sabtu, 2 Mei 2020

RUH PULANG KE RUMAH ?


Apabila tibanya Ramadan, maka bertebaranlah mesej dan dakwaan bahawa ruh orang mati akan pulang menziarahi ahli keluarga di rumah. Tidak kurang juga ada yang mendakwa ruh orang mati akan menziarahi ahli keluarga secara jauh dari atas langit. Persoalannya, benarkah ruh orang mati akan kembali ke dunia semata-mata untuk menziarahi keluarganya dan bagaimana sudut pandang Islam dalam hal ini.

Menurut pandangan Imam Al Ghazali, ruh merupakan suatu bentuk  jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.




Imam Ibnu al Qayyim dalam perbahasan kitab nya al Ruh, beliau membahagikan ruh itu kepada dua golongan iaitu ruh yang diazab dan ruh yang mendapat nikmat. Maka Imam Ibnu al Qayyim berpendapat ruh dikalangan mereka yang mendapat nikmat saling ziarah antara satu sama lain ketika di barzakh. Namun ruh yang diazab, tidak ada ruang dan peluang untuk mereka ziarah kerana sibuk diazab oleh Allah Azza Wa Jalla. Apa yang disebutkan oleh Imam Ibnu al Qayyim adalah ziarah dikalangan sesama ruh yang baik iaitu ruh yang mendapat nikmat dan bukannya ruh ziarah keluarga mereka di dunia.

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa ruh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah. Firman Allah SWT dalam Surah al Isra’ ayat 85 yang bermaksud :

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Bagi merungkaikan persoalan berkenaan kepulangan roh ke dunia untuk menziarahi ahli keluarga mereka, marilah kita merenung seketika firman Allah Azza Wa Jalla dalam Surah Al Zumar ayat 42 yang bermaksud :

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."




Dalam Kitab Tafsir al Tabari, disebutkan bahawa ayat di atas menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Bahkan menurut Sa’id bin Jubair Rahimahullah yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.

Dalam kitab al Ruh, Imam Ibn al Qayyim mengatakan bahawa terdapat dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satu pendapat tersebut ialah bahawa ruh orang yang ditahan adalah ruh orang yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan ruh orang yang dilepaskan adalah ruh orang yang tidur.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

“Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya.”


Menurut Syeikh Bin Baz. Mantan Mufti Arab Saudi, beliau menyatakan bahawa tidak terdapat dalil bahawa ruh-ruh orang mati bertemu dengan yang hidup dalam keadaan bukan bermimpi. Ada pun dalil ruh orang mati bertemu dengan hidup adalah melalui mimpi semata-mata. Tidak secara jasadi.




Berdasarkan beberapa nukilan pandangan tersebut, jelaslah bagi kita menunjukkan bahawa ruh tidak akan kembali selepas kematian. Ruh orang yang telah mati akan berada di alam yang lain yang disebutkan sebagai alam barzakh. Perkataan barzakh itu sediri pun membawa makna dinding yakni yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati.  Firman Allah yang bermaksud :

" Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan"

( Surah Al-Mu'minuun ayat 99-100).

Kesimpulannya ialah tiada dalil tentang ruh si mati akan menziarahi orang-orang hidup di bulan Ramadan dan ketahuilah kita bahawa perkara-perkara ghaib yakni yang tidak boleh dicapai oleh akal fikiran kita hendaklah dengan berpandukan dalil yang sahih. Adapun kita terlihat ruh orang mati benar-benar pulang ke rumah, ketahuilah sama ada ianya permainan emosi kita ataupun tipu daya syaitan dan iblis untuk menakut-nakutkan kita.

Jumaat, 10 April 2020

ANCAMAN FAHAMAN AGNOSTISISME


Melihat kecenderungan anak muda pada hari ini dengan cenderung kepada fahaman agnostisisme adalah suatu fenomena yang sangat kritikal dan kian membarah dalam jiwa anak muda hari ini. Hal ini boleh terjadi kerana kepesatan teknologi maklumat yang berasaskan internet dibantu dengan kecanggihan alat telekomunikasi yang sedia ada ini serta pelbagai laman media sosial bebas dan terbuka seperti facebook, instagram, wechat dan whatsapp, telah mendedahkan golongan anak muda Islam hari ini kepada pelbagai bentuk aliran pemikiran dan ideologi semasa.

Dalam situasi masyarakat dunia hari ini bercakap, berbincang dan berbahas tentang hak asasi manusia, sebahagian anak muda merasakan mereka perlu diberikan hak dalam segala perkara. Slogan hak asasi manusia yang kian hebat dipromosi seperti kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, kebebasan beragama dan pelbagai lagi telah menjalar masuk ke dalam jati diri anak muda hari ini. Semua ini menjadi idealisme perjuangan bagi  anak muda masa kini yang terpengaruh.



Dalam soal agama, mereka yang menganuti fahaman songsang ini memperjuangkan keinginan mereka akan  ruang yang seluas-luasnya diberikan supaya golongan ini boleh berbahas, mengkritik, menerima atau menolak apa sahaja isi kandungan agama. Bagi mereka, sekiranya ahli agama boleh menyatakan pendapat, mengapa tidak mereka juga boleh menyuarakan pendapat biarpun tanpa menguasai disiplin ilmu berkaitan bidang agama itu sendiri.

Agnostik adalah seseorang yang menganut fahaman agnostisisme. Mereka mengatakan bahawa kebenaran yang pasti tidak akan dapat diketahui. Tiada perkara yang bersifat tetap bahkan semuanya sentiasa berubah-rubah ibarat sungai yang berubah-ubah arah aliran mengikut keadaan masa. Mereka berpandangan tiada yang tetap di alam ini, dan ketidaktetapan itulah ketetapan. Berasaskan fahaman sebegini, maka golongan ini membincangkan pelbagai isu tentang ketuhanan, kenabian, agama-agama lain dan sebagainya.

Hasilnya, tiada konklusi kukuh yang dicapai kecuali mengatakan semua pandangan bersifat relatif. Mungkin benar dan mungkin salah. Tiada kebenaran mutlak pada mana-mana pihak. Akhirnya mereka berkesimpulan, ilmu mengenai hakikat sesuatu perkara itu mustahil untuk dicapai kerana tiada sesuatu pun yang bersifat tetap di alam ini. Golongan ini akan terus menerus berada dalam keraguan yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.

Pada hakikatnya, fahaman agnostisisme adalah termasuk salah satu fahaman yang telah dijawab dalam perbahasan ilmu kalam Islami. Ia adalah sekte yang wujud dalam faham sufasta’iyyah atau sophisme. Bahkan Imam al-Nasafi di dalam Kitab Syarh al Aqa’id al Nasafiiyah memasukkannya ke dalam perbahasan akidah. Beliau menyatakan hakikat segala sesuatu itu adalah tetap, dan pengetahuan tentangnya boleh dicapai, bersalahan dengan golongan sufasta’iyya.



Menurut al-Attas, kelompok ini berasal daripada sebuah gerakan falsafah pada zaman Yunani kuno oleh saintis palsu yang digelar sophist pimpinan Protagoras (480-410SM), Georgias (483-375SM), Hippias (460-399SM) dan Prodicus (465-395SM). Mereka ini kelompok yang menyesatkan dengan menyebarkan fahaman etika dan epistemologi relativisme.

Bagi mereka, hakikat kewujudan itu tidaklah penting dan tidak akan pernah diketahui. Agama menurut mereka hanyalah penipuan belaka. Ibadat ritual itu tiada gunanya serta validiti hukum itu hanya sesuai untuk waktu dan tempat tertentu sahaja. Mereka juga memasukkan benih-benih keraguan dalam ilmu dan kemungkinan untuk mendapatkannya serta menerapkan faham skeptisisme.

Sekiranya kita teliti akan hal ini, ciri-ciri fahaman yang telah digariskan oleh para ulama ini jelas terlihat pada kelompok neo-sophist masa. Sebagai contoh, dalam hal ketuhanan, tiada sesiapa yang boleh mendakwa hakikat ketuhanan yang sebenar. Masing-masing berhak mengemukakan interpretasi tuhan mengikut daya pemikiran sendiri. Oleh itu, tiada sesiapa boleh dipersalahkan dalam memahami konsep ketuhanan termasuk mereka yang sampai ke peringkat menolak kewujudan tuhan. Ini kerana hakikat ketuhanan itu memang sesuatu yang tidak boleh dicapai disebabkan kesemua pendapat mengenainya boleh diragukan (al-la adriyyah).

Framework semisal inilah yang digunakan dalam falsafah ilmu Barat moden dan diterima sepenuhnya oleh mereka. Maka yang perlu kita diperbetulkan di sini adalah ilmu itu tidaklah neutral atau bebas nilai, akan tetapi sarat dengan nilai. Oleh itu, ilmu yang lahir dari rahim Barat, tidak dinafikan sarat dengan nilai-nilai Barat. Namun, menolaknya secara mentah-mentah juga adalah suatu kebodohan. Kerana itu, ia boleh diterima tetapi disaring terlebih dahulu.



Berdasarkan hakikat ini, amat penting bagi setiap muslim untuk memahami epistemologi ilmu menurut Islam. Setiap peradaban memiliki faham tersendiri tentang ilmu, demikian juga Islam. Bagi Islam, epistemologi bukan sekadar teori tetapi ia adalah sebahagian daripada akidah. Ini sudah dibahas oleh para ulama pada masa dahulu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl ayat 78 yang bermaksud :

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”

Berdasarkan ayat ini, penglihatan adalah lambang kepada pancaindera dan pendengaran adalah lambang kepada perkhabaran yang benar, manakala hati adalah lambang kepada akal yang sihat. Menerusi tiga sumber inilah ia menjadi wasilah (jalan) kepada manusia untuk memperoleh hakikat ilmu.

Firman Allah Azza Wa Jalla lagi dalam surah al-A’raf ayat 179 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Melalui ayat firman Allah ini, jelas menunjukkan kepada kita kepincangan golongan yang mengatakan manusia tidak mampu mencapai hakikat kebenaran mutlak. Inilah fahaman sophisme atau sufasta’iyyah yang sangat ditolak oleh Islam. Ini yang sering dipelajari dalam ilmu-ilmu falsafah Barat yang keliru lagi mengelirukan.

Rabu, 18 Mac 2020

POLIGAMI : SYARIAT YANG TERFITNAH


Tajuk ini barangkali menjadi sangat sensitif khususnya kepada kaum wanita. Malah tajuk ini seringkali menjadi kelaziman peperangan berzaman antara kaum lelaki dan wanita. Persoalan tentang isu poligami menjadi sebuah polimik dari zaman ke zaman hingga ke saat dan ketika ini. Rata-rata dikalangan para asatizah juga agak sedikit yang berani tampil memperjelaskan isu ini. Barangkali banyak hati pihak yang akan terluka bila kita berbicara isu dan topik hangat ini. Zaman ke zaman, isu ini terus dipolimikkan, diperdebatkan malah akan dipandang serong jika kita mengamalkan syariat poligami ini.

Namun disebalik perkataan poligami ini, ramai masyarakat bahkan majoriti umat islam masih terkeliru dan tidak jelas akan pensyariatan poligami ini sehingga menjadi polimik perdebatan yang hebat. Kekeliruan ini bukan sahaja berlegar di ruang minda orang islam, bahkan dikalangan bukan muslim juga sudah tentu mendatangkan pelbagai persepsi dan pandangan yang tidak benar akan syariat poligami ini. Sekiranya kita bertanya secara rawak kepada kaum wanita, adakah mereka setuju dengan pensyariatan poligami ini, lazimnya mereka tidak bersetuju. Malah lebih dasyat lagi, beberapa gerakan penentangan poligami dilakukan khususnya datang dari golongan liberal yang kononnya memperjuangkan hak keadilan dan kesamarataan. 



Pertamanya, sebelum kita mahu menentang atau menolak sesuatu perkara, terlebih dahulu kita perlu memahami asal usul sesuatu perkara tersebut. Dalam isu ini, poligami bukanlah sesuatu perkara yang dianggap sebagai adat kebiasaan, tetapi ianya datang dari syariat Allah Azza Wa Jalla. Hal ini sabit di dalam firman Nya dalam surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud : 

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Ayat ini menjadi dalil atau bukti pensyariatan poligami. Ianya jelas merupakan suatu titah perintah Allah dan menjadi haram dan berdosa besar sekiranya kita menentang hakikat pensyariatannya yang telah terkandung di dalam firman Nya. Syariat poligami ini bukanlah rekaan baginda Nabi Muhammad SAW untuk tujuan pemuasan nafsu semata-mata. Malah di dalam beberapa kitab utama agama lain juga terdapat penceritaan tentang pelaksanaan poligami ini. Untuk itu, tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, kita dilarang untuk menentang pensyariatan poligami meskipun kita terdapat perbezaan untuk pelaksanaannya. Umumnya kita harus faham dan sedar bahawa ianya suatu syariat dan bukannya adat atau rekaan manusia.

Setelah kita ketahui tentang pensyariatan tersebut, maka timbul persoalan berkenaan pelaksanaan. Adakah ianya suatu tuntutan sunnah atau sebaliknya. Ramai dikalangan para lelaki suka menjenamakan poligami ini suatu tuntutan sunnah kerana baginda Nabi juga mengamalkan syariat tersebut. Untuk memahami tuntutan yang disebutkan sebagai sunnah ini, mari kita melihat maksud sunnah yang ditakrifkan oleh para sarjana islam. Dalam Kitab Ulum Hadis Wa Nusus Min Athar, para sarjana islam mentakrifkan makna sunnah adalah :

“Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW dariapda jenis perkataan, perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama ada berbentuk akhlaq ataupun fizikal. “


Para sarjana juga meletakkan kaedah untuk sesuatu hukum pensyariatan itu mestilah melihat dari sudut aspek sebab dan illahnya. Ini bermakna sesuatu hukum itu tidak boleh ditetapkan berdasarkan zahir sunnah atau tidak semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada maslahah sesuatu perkara. Demikian juga tentang soal hukum poligami. Ianya terletak dan bergantung kepada si pelaku tersebut. Boleh jadi membawa kebahagiaan dan boleh jadi mengundang kezaliman dalam rumahtangga. Menerusi firman Nya, Allah Azza Wa Jalla menyebutkan dalam Surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud :

“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan kepada kita sekiranya ditakuti dan dibimbangi sekiranya kita melakukan poligami boleh membawa kepada kezaliman maka cukuplah berkahwin satu sahaja. Makna perkataan kezaliman ini juga perlu mengambil kira beberapa persoalan penting seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal. Jika tidak diraikan perkara ini, kebahagian yang diburu tidak ditemui.

Maka, harus dijelaskan kepada kita semua khususnya kepada masyarakat bukan muslim diluar sana bahawa hukum asal poligami adalah harus dan ia akan berubah mengikut situasi tertentu. Sebagai contoh, hukum poligami asalnya harus boleh berubah menjadi haram sekiranya boleh mengundang kezaliman, penindasan dan penderitaan dalam rumahtangga. Islam tidaklah mewajibkan umatnya untuk berpoligami. Ianya adalah suatu pilihan mengikut kemampuan diri masing-masing. Meskipun istilah “kemampuan” itu punyai banyak ruang untuk diperbahaskan, ianya tidak akan sama sekali merubah syariat itu bertukar hukum menjadi wajib.


Walaupun poligami itu suatu bentuk pensyariatan, namun pelaksanaannya diikat dengan kemampuan untuk berlaku adil atau sekurang-kurangnya tidak menzalimi pasangan kerana pelaksanaannya. Untuk itu, umat Islam diberi ruang seluas-luasnya untuk bersikap berbeza dalam soal pelaksanaannya. Kita boleh menolak pelaksanaannya kerana ditakuti berlaku zalim dan tidak adil. Pada masa sama, sekiranya kita merasakan mampu bersikap adil setelah dinilai maka Islam tidak menghalangnya. Meskipun begitu, hakikat poligami itu kita perlu akur bahawa ianya suatu syariat dari Allah yang penuh kemuliaan dan keagungan.

Sesungguhnya amalan poligami telah wujud sejak sekian lamanya sebelum kedatangan Islam lagi di seluruh dunia, bahkan dalam agama Kristian dan Yahudi itu sendiri tidak wujud larangan untuk berpoligami yang telah memungkinkan untuk seseorang itu berkahwin dengan seramai mana wanita yang diingininya tanpa sebarang panduan. Lalu datang Islam memandu manusia dengan menghadkan kadar berpoligami dalam satu-satu masa kepada 4 isteri sahaja dengan syarat-syarat yang tidak sewenangnya untuk dipenuhi. Maka di mana keburukkan Islam yang dirasakan berbanding agama-agama dan tradisi lain ? Realiti hari ini dilihat  seolah-olah Islam lah yang mencipta amalan poligami ini sedangkan Islam tidak menjadikan amalan berpoligami semberono mengikut hawa nafsu serta keinginan sang lelaki semata-mata bahkan syaratnya ketat dan ancamannya dahsyat bagi mereka yang mengabaikan hak para isteri dan tidak berlaku adil terhadap mereka.

Jumaat, 6 Mac 2020

BERDOA UNTUK ORANG BUKAN MUSLIM


Berdoa merupakan suatu amalan peribadi antara kita sebagai hamba Nya dan Allah sebagai pencipta kita. Tidaklah menjadi syarat wajib mengangkat tangan untuk berdoa. Malah segala yang terlintas di hati juga boleh dijadikan satu doa kepada kita. Amalan berdoa juga tidak terikat kepada waktu dan tempat. Tetapi beberapa tempat dan ketikanya, masa dan tempat tertentu mempunyai keistimewaan untuk kita berdoa.



Dalam persoalan kita berdoa kepada diri kita, kaum keluarga kita, sahabat handai kita, kita juga di haruskan berdoa kepada mereka yang bukan muslim. Berdoa kepada orang bukan muslim dengan mendoakan mereka agar diberi petunjuk dan hidayah adalah dibolehkan. Begitu juga kita sebagai muslim berdoa kepada mereka yang bukan muslim agar diberi kesejahteraan hidup, kebahagiaan dan kesihatan yang baik, juga diharuskan. Perkara ini disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Tufail bin Amir pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu mengenai penderhakaan yang dilakukan oleh kaumnya. Tufail berkata :

“Sesungguhya suku Daus telah bermaksiat dan enggan menerima Islam. Doakanlah keburukan untuk mereka.”

Maka baginda Nabi SAW sebaliknya kemudian berdoa :

“Ya Allah, berilah petunjuk kepada suku Daus dan datangkanlah mereka (ke Madinah).”

Kata Imam Nawawi :

“Jika seseorang memberi ucapan penghormatan kepada kafir zimmi dengan ucapan selain ucapan salam, maka al-Mutawalli dan al-Rafi’i membolehkan perkara ini. Misalnya, seseorang mengucapkan kepada non Muslim ‘semoga Allah memberi hidayah untukmu’ dan ‘semoga Allah memberi nikmat kepadamu di pagi ini’, maka itu tidak ada masalah.”


Dalam Al Quran, Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya dalam surah Al Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Dalam Kitab Tafsir al Quran al Azim, Imam Ibn Kathir berkata:

“Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu”



Berdasarkan dalil dari Al Quran & Sunnah ini, Islam tidak pernah melarang orang muslim untuk mendoakan kebaikan berbentuk umum kepada mereka yang bukan muslim. Tidaklah menjadi kesalahan mendoakan kebaikan buat mereka. Namun, alangkah lebih cantik dan indahnya, sekiranya kita turut mendoakan agar mereka ini diberikan hidayah

Walaupun begitu, mendoakan kepada mereka yang bukan muslim dengan mendoakan agar diberikan rahmat dan berkat daripada Allah Azza Wa Jalla adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana doa memohon kerahmatan dan keberkatan tersebut dikhususkan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Kenyataan ini berdasarkan kisah seorang sahabat Nabi bernama Uqbah bin Amir, beliau menceritakan :

“Dia pernah melalui seseorang yang kelihatan seperti Muslim, lalu orang tersebut memberi salam kepadanya, maka dia pun menjawabnya dengan ucapan: “وَعَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ”. Lantas pelayannya berkata kepadanya: “Dia itu seorang Nasrani.” Lalu Uqbah pun bangun dan mengikutinya sehingga mendapatkannya, lantas dia berkata: “Sesungguhnya rahmat dan berkat Allah itu untuk orang-orang beriman. Akan tetapi semoga Allah memanjangkan umurmu, dan memperbanyakkan harta dan anakmu.”

(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Demikianlah bagaimana kita sebagai muslim dibenarkan untuk berdoa kepada mereka yang bukan muslim dengan ruang lingkup yang dibenarkan oleh kacamata syarak. Selagi mereka yang kita doakan itu tidak menentang Islam, maka selagi itulah agama membenarkannya kita melakukan kebaikan kepada mereka termasuklah mendoakan kebaikan kepada mereka.

Sabtu, 29 Februari 2020

MEMOIR TERAKHIR DI OCMPs

 

Ketika tinta ini terus menari melakarkan kata, saya telah pun berada di hari terakhir saya berkhidmat di One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah & pembangunan mualaf di negeri Perlis. Agensi di bawah naungan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis ini telah ditubuhkan pada bulan Oktober 2017. Esok adalah merupakan program terakhir kendalian saya bersama OCMPs di Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar.

Penglibatan awal saya bermula sebagai seorang sukarelawan OCMPs pada Disember 2017, telah mengheret saya ke suatu episod baharu dalam kehidupan. Pada suatu ketika, di hujung bulan februari 2018, saya telah ditawar untuk berkhidmat sepenuhnya sebagai kakitangan OCMPs. Kerana keputusan ini tidak semudah ABC, saya telah memohon sedikit ruang masa bagi berfikir, mendapat nasihat serta memohon petunjuk dari Nya.





Dengan izin Nya, bermula tanggal 1 Mac 2018, saya telah menerima tawaran berkhidmat di OCMPs sebagai Pegawai Khas OCMPs. Seingat diri ini, tugasan pertama yang diberikan pada saya ketika itu ialah menguruskan kumpulan sukarelawan OCMPs. Selangkah demi selangkah, dengan izin Nya jua, saya telah diberikan rezeki menjawat beberapa jawatan terpenting selepas beberapa bulan berkhidmat.

Sepanjang 3 tahun berkhidmat, pelbagai lakaran memori suka duka telah tercipta. Ada yang sedih, ada yang gembira dan tidak kurang juga ada yang kecewa.Tidak banyak yang dapat saya sumbangkan untuk OCMPs. Namun, banyak perkara yang telah saya pelajari sepanjang berkhidmat di sana. Pengalaman dan pelajaran ini tidak akan dapat di kuliah-kuliah universiti, tidak ada di kelas-kelas pengajian, melainkan dengan turun ke lapangan, santuni masyarakat bukan muslim, dekati golongan saudara baru dan banyak lagi perkara yang tersimpan kemas di ingatan sebagai sebuah kenangan terindah.

Antara detik manis yang membuahkan kepuasan tidak ternilai bagi diri ini ialah kejayaan OCMPs suatu ketika dulu menganjurkan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Siam & Cina pada bulan April 2018. Masih segar di ingatan saya, dengan kekuatan kakitangan yang tidak ramai, dibantu oleh para sukarelawan yang sedia ada menjadi tulang belakang OCMPs. Dalam program tersebut, di isi dengan program dialog harmoni bersama SS Dato Mufti Perlis, ucapan wakil kaum dan pertubuhan seterusnya di tutup dengan titah ucapan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis.



Lebih manis dan bermakna, pada tahun yang sama, OCMPs sekali lagi mengegarkan bumi Perlis dengan penganjuran Dakwah Tour Dr. Zakir Naik @ Perlis 2018. Sebanyak 5 lokasi terpilih di sekitar negeri Perlis dijadikan lokasi ceramah Dr. Zakir Naik. Dalam program itu juga, saya berpeluang duduk bersama Dr. Zakir Naik, wakil pelbagai agama juga turut serta Mufti Perlis dan YB Gan Ay Ling, ADUN Indera Kayangan dalam sebuah majlis makan tengah hari. Pelbagai cerita suka dan duka dilakar bersama. Disebalik kejayaan pengajuran ini, saya secara peribadi tidak akan pernah lupa jasa bakti warga sukarelawan OCMPs sekalian yang juga telah bertungkus-lumus dan berhempas pulas bagi memastikan kelancaran program.

Begitu juga sejarah tercipta, apabila buat julung kalinya OCMPs dengan gabungan dan kerjasama erat antara staf dan sukarelawan serta dibantu oleh pelbagai jabatan & agensi kerajaan, OCMPs berjaya mengajurkan sebuah program diberi nama Malaysia Reverts Camp pada bulan Ogos 2019. Ianya juga telah di iktiraf oleh Malaysia Book Of Record sebagai sebuah himpunan raksasa saudara baru. MRC adalah kemuncak klimaks paling tinggi yang saya perolehi sepanjang tempoh berkhidmat. Siang malam berhempas pulas, memerah keringat hingga saat akhir, demi menjamin kelancaran program.

 

 


 

Sudah tentu disebalik semua coretan ini, yang selalu menjadi inspirasi dan motivasi untuk diri ini ialah Brother Zamri Vinoth, yang bukan sahaja sebagai seorang ketua, tetapi juga sebagai seorang sahabat, rakan dan juga keluarga bagi saya. Diri ini juga tidak akan kuat tanpa rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa menyokong dan membantu diri ini untuk membawa agenda dakwah di bumi tercinta Perlis ini. Sesungguhnya saya berikrar dan berazam, biarpun selepas ini berbeza lapangan dakwah, selagi kudrat dikandung badan, selagi itulah diri ini akan bersedia membantu agenda dakwah OCMPs dengan kadar kemampuan yang ada.




Tanggal 1 Mac 2020, secara rasminya saya akan meninggalkan OCMPs dengan seribu satu kisah suka dan duka. Arena dakwah tetap ku bawa walau bukan lagi sebagai seorang staf OCMPs. Di akhir catatan ini, ingin saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh warga OCMPs diatas memori yang tercipta. Mohon ampun & maaf diatas segala kekhilafan dan kelemhan diri ini, juga saya mengharap doa semua agar diri ini akan terus kuat berada di arena dakwah walau berbeza irama dan melodinya. Meski esok sinar akan terpancar, takkan sama seperti hari kelmarin. Meski langkah ini berat di atur, namun atas takdir ilahi, daku berserah dan berlalu pergi.

 

Salam Hormat,


MUHAMMAD FAIDHI BIN AZIS
28 Februari 2020 | 4 Rejab 1441
Bandar DiRaja Arau
11.30 pm

Jumaat, 7 Februari 2020

TASAWWUF : SUATU PENGERTIAN


Perkataan tasawwuf seringkali bermain di mulut mereka yang mengaji bidang agama. Bahkan perkataan tasawwuf ini juga dianggap seperti suatu ilmu yang bukan semua orang boleh pelajarinya. Hanya golongan tertentu sahaja yang mampu bercakap, mengaji dan mendalami ilmu tasawwuf itu sendiri. Penggunaan istilah atau sesuatu perkataan itu harus dilihat dari asal usulnya terlebih dahulu. Ini kerana, pada zaman salafus soleh, tidak terungkap atau tidak wujud sama sekali perkataan tasawwuf itu.

Dalam usaha kita hendak memahami makna dan maksud tasawwuf itu, pertamanya kita harus faham dan tahu bahawa tidak terdapat dan tidak ditemui dalam mana-mana sumber wahyu yang utama sama ada dalam Al Quran mahupun hadis. Bahkan lafaz tasawwuf itu sendiri tidak pernah digunakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan juga para tabi’in. Hal ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh seorang tokoh tasawwuf,  Abu Nasr al Sarraj dalam kitab tasawwuf nya iaitu Kitab al Luma’ :

“Kami tidak mendengar nama al-Sufiyyah pada era para Sahabat Nabi SAW, begitu juga selepasnya...gelaran sufi itu tidak diberikan kepada mana-mana Sahabat Nabi SAW.”



Disebabkan tidak wujud dan tidak ditemui di dalam sumber wahyu utama, maka perkara ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai pandangan dari sudut etimologi berkaitan makna perkataan tasawwuf. Dalam kajian yang dibuat oleh para ilmuan Islam, terdapat sembilan pandangan berkenaan asal-usul bagi kalimah tasawwuf. Ianya dikatakan berasal daripada kata akar al-safa’/al-safw, al-sifat, al-saff, al-sufanah, sufat al-qafa’, Sufah bin Murr, al-suf dan sufia.

Meskipun begitu, semua perkataan ini secara etimologi dan penggunaan bahasanya kurang tepat atau kurang sesuai untuk dipadankan dengan merujuk makna tasawwuf kecuali pada perkataan al-suf. Oleh sebab itulah kebanyakan ahli tasawwuf menyatakan bahawa asal kalimah tasawwuf adalah daripada kata akar al-suf.

Dari sudut istilahnya pula, para ilmuan Islam juga mempunyai pelbagai pandangan berkaitan makna tasawwuf. Antara yang memberikan pandangan adalah Syeikh Ahmad Zarruq. Beliau berkata istilah tasawwuf telah dihuraikan dengan dua ribu definisi. Ini kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah SWT dapat dicapai dengan pelbagai kaedah.  Walaupun begitu, semua definisi menjurus kepada pengertian yang sama iaitu ilmu penyucian jiwa. Beliau mendefinisikan tasawwuf itu sebagai :

“Ilmu yang bertujuan untuk membaiki hati dan memfokuskannya hanya untuk Allah semata-mata. Fiqh adalah ilmu yang bertujuan memperbaiki amal, memelihara aturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum. Sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu perubatan untuk memelihara adan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.”

Syeikh Ahmad Ibn ‘Ajibah. seorang sufi yang berasal dari Maghribi menyatakan:

“Ia adalah ilmu yang diketahui dengannya jalan untuk mencapai kesempurnaan batin ke hadrat Raja bagi segala Raja, menyucikan batin dari segala kekejian, mengisikannya dengan pelbagai kelebihan. Awalnya adalah ilmu, pertengahannya adalah amal, akhirnya adalah kurniaan Allah SWT”

Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mendefinisikan tasawuf adalah:

“Suatu yang dengannya diketahui hal ehwal kebaikan dan keburukan jiwa, cara membersihkannya daripada yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat terpuji, cara melaksanakan suluk dan perjalanan menuju keredhaan Allah dan meninggalkan larangannya.”


Ibn Khaldun dalam kitabnya al Muqaddimah telah berkata:

“Asal usul kepada ajaran tasawwuf ialah tekun melaksanakan ibadah, berhubungan secara langsung kepada Allah, menjauhkan diri dari kemewahan dan perhiasan duniawi (yang melalaikan), tidak suka kepada kelazatan dan kemegahan yang menjadi rebutan orang ramai dan suka bersunyi-sunyian melakukan ibadah kepada Tuhan. Semua ini telah di hayati dan dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Nabi dan ulama salaf. Namun pada abad kedua Hijrah, ketika mana masyarakat Islam menjadi begitu ghairah untuk mengejar kesenangan dan kelazatan duniawi, (lahirlah satu golongan yang tekun melakukan ibadah seperti yang telah diajarkan Nabi) dan akhirnya mereka ini telah digelar dengan gelaran ahli sufi atau ahli tasawwuf.”



Meskipun perkataan tasawwuf tidak terdapat dalam Al Quran mahupun hadith, tetapi intipati utama tasawwuf itu terdapat dalam sebahagian sabda Nabi Muhammad SAW. Hal ini sepertimana baginda Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih yang bermaksud :

“Engkau beribadah kepada Allah seaakan akan Engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihatmu.”

Mengenai hadith di atas, Imam Tajuddin al-Subki berkata ;

“… Tasawwuf diisyaratkan dengan ihsan. Selain ilmu-ilmu itu (Aqidah, fiqh dan tasawwuf), kalau ia tidak kembali kepada ilmu-ilmu tersebut (Islam, Iman dan Ihsan), ia adalah di luar syariah.”

Oleh itu, biar apa pun istilah atau perkataan yang diguna pakaikan, sama ada disebut sebagai tasawwuf, ihsan ataupun tazkiyatun nafs, ianya tetap merujuk kepada maksud dan makna yang sama iaitulah ilmu dan amal yang berkaitan penyucian diri bagi mencapai kedudukan yang lebih tinggi. Justeru itu ilmu tasawwuf memang merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang penting, selama mana ianya berjalan di atas landasan Al-Quran dan As-sunnah. Sebaliknya andaikata ia bercampur-baur dengan perkara-perkara khurafat, bid’ah dan amalan-amalan syirik, ia adalah sesat lagi batil, seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Junaid al-Baghdadi :

“Jalan-jalan tasawwuf adalah tertutup rapat melainkan jika ianya berpandukan ajaran Rasulullah.”