Khamis, 3 September 2020

TAWASSUL ANTARA SYARIAT & LARANGAN

Perkataan tawassul adalah berasal daripada bahasa arab. Dari sudut bahasa, tawassul membawa makna mendekatkan diri. Dari sudut istilah pula, tawassul membawa makna menjadikan sesuatu amalan itu sebagai perantara atau asbab (penyebab) untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Azza Wa Jalla. 

Terdapat pandangan lain mengatakan bahawa tawassul adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat Allah yang Maha Suci dan juga amal soleh yang dilakukan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah dibenarkan oleh syarak tanpa khilaf.



Dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang panjang, diceritakan tentang perihal Uwais al Qarani, Rasulullah SAW berkata kepada Saidina Umar yang bermaksud :

"Sekiranya kamu mampu untuk meminta dia (Uwais al Qarani) beristighfar (mendoakan keampunan) buat diri kamu maka lakukanlah".

Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW telah menyifatkan Uwais al Qarani sebagai seorang yang soleh dek kerana ketaatan nya kepada ibunya yang telah uzur. Oleh itu, hadis ini menjadi sandaran dalil bahawa boleh bertawassul dengan bentuk memohon doa daripada orang soleh yang masih hidup. Dan cara bertawassul dengan orang soleh yang masih hidup adalah dengan berdoa, bukannya mengagungkan jasadnya.

Adapun bertawassul yang dilarang ada banyak bentuknya. Antaranya meminta pada berhala, patung, memuja makhluk sehingga lupa hakikatnya Allah yang lebih berkuasa atas segala sesuatu. Namun, dalam banyak bentuk tawassul yang dilarang ini, berlaku perbincangan yang sangat luas oleh ahli ilmu berkenaan bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia.



Dalam Kitab Al Tawassul Baina Masyru'i wal Mamnu' yang dikarang oleh Syaikh Abdul Aziz Bin Abdullah Al Juhani, beliau membahaskan secara mendalam penghujahan dan bantahan terhadap mereka yang berhujah boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara seruan. Misalnya, lafaz "Ya Syeikh..doakan untuk kami...". Golongan yang membenarkan tawassul dengan orang mati ini juga, mereka mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang soleh atau menyeru di dalam majlis mereka.

Bentuk tawassul seperti menyeru di tanah perkuburan, menyeru di dalam majlis-majlis khusus sama sekali tidak diajar oleh Nabi apatah lagi diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW. Kita juga boleh melihat bagaimana perbuatan Umar al Khattab yang bertawassul kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya, daripada Anas RA berkata :

"Bahawa Umar al Khattab apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas bin Abdul Mutalib dengan doanya : " Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami  Sekarang kami bertawassul pula dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami".

Tawassul adalah suatu ibadah yang harus. Pada masa sama, ianya boleh berubah menjadi haram sekiranya kita telah melanggar prinsip akidah dengan cara batil, menyembah kubur, menyeru nama tok wali, tok syeikh dan sebagainya. Demikian gambaran ringkas dan umum tentang tawassul antara yang disyariatkan dan yang diharamkan oleh islam. Dalam soal akidah, kita haruslah menjaga dan peliharanya daripada terpesong sehingga membelakangkan kekuasaan dan keagungan Allah Azza Wa Jalla. Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua daripada melakukan kesyirikan kepada Allah.

Rabu, 2 September 2020

HUKUM FARAID : SUATU BENTUK PENINDASAN GENDER TERHADAP WANITA

 

Menurut Nong Darol Mahmada, seorang ahli Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia pernah melontarkan pandangan beliau berkenaan ayat-ayat Al Quran yang membahaskan isu faraid perlu disemak dan ditafsirkan semula. Ini kerana beliau berpandangan pada zaman sekarang hukum boleh berubah kerana kaum wanita lebih pandai atau bijak berbanding kaum lelaki.

Azra Azyumardi, juga seorang tokoh JIL juga berpandangan hukum faraid berkaitan harta pewarisan adalah persoalan kebudayaan. Menurut beliau, Al Quran diturunkan dalam keadaan masyarakat tertentu. Maka hukum faraid yang tercatat di dalam kalam suci itu terpakai mengikut kesesuaian bangsa Arab tersebut.




Beberapa pandangan terpesong ini semakin menjadi pegangan dan fahaman dikalangan masyarakat kita. Apatah lagi sejak akhir ini timbul perbalahan berkenaan pertikaian hak pewaris yang menjadi isu hangat juga diperbincangkan di laman medsos. Kefahaman yang salah dan menyimpang ini harus dibetulkan dengan baik agar syariat hukum faraid ini tidak terfitnah dengan fahaman salah ini.

Pertamanya, setiap sesuatu pensyariatan itu, sama ada kita suka atau pun tidak, menyebelahi kita atau pun menyanggah dengan diri kita, ianya suatu yang baik dan sempurna. Tidak ada cacat celanya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :

" Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku sempurnakan nikmat Ku, dan telah Ku redha Islam agama bagimu"

Berdasarkan firman Allah, jelas bagi kita bahwa syariat Islam telah disempurnakan oleh Allah dengan selayaknya. Maka bukanlah tugas kita untuk mempertikaikan sesuatu hukum mengikut kebebasan akal berfikir. Meskipun akal itu fungsinya untuk berfikir, namun sedarlah kita akal itu mempunyai keterbatasan yang dicipta oleh Nya.

 

 



Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily dalam isu pembahagian faraid antara lelaki dan wanita, beliau berpandangan bahawa ayat 11 daripada surah An Nisa adalah peruntukkan agama bagi membenarkan wanita juga berhak menerimanya. Jadi, tidak timbul lah isu penindasan atau diskriminasi terhadap gender wanita kerana kedua-duanya layak mendapatkannya.

Cumanya, apabila timbulnya soal pembahagian, maka menurut Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily selayaknya pembahagian tersebut diagihkan diatas kebijaksanaan Allah yang merentasi akal manusia. Selayaknya Allah membahagi-bahagikan faraid tersebut mengikut sifat Nya yang Maha Mengetahui. Mustahil bagi Allah yang memiliki segala sifat dan zat kesempurnaan berkehendak untuk menindas hamba Nya dikalangan wanita.

Sememangnya layak golongan lelaki menerima dua bahagian berbanding wanita mendapat satu bahagian kerana menjadi tanggungjawab bagi yang bergelar lelaki menanggung nafkah terhadap isteri dan anak-anaknya. Bahkan sekalipun si lelaki telah berkahwin dan mempunyai anak, tidak sama sekali menggugurkan kewajipan beliau terhadap ibubapanya. Firman Allah dalam surah An Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita. Kerana itu Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka."

Demikian Allah diatas kebijaksanaan dan pengetahuan Nya, telah mengatur sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Segala peraturan yang disyariatkan tersebut telah pun memiliki kesempurnaan dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari hikmah dan bukannya mencetuskan keraguan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas.


Ahad, 30 Ogos 2020

MERDEKA : SUATU LANGKAH PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Bergema gegak gempita di seluruh pelusuk negara dengan laungan keramat kalimah "Merdeka" menjadi zikir di bibit mulut kita apabila menjelang tarikh 31 Ogos. Seluruh masyarakat dari pelbagai lapisan umur, kaum dan bangsa, semuanya senada satu hati dan satu jiwa melaungkan kalimat merdeka. Tidak kurang juga, pelbagai poster grafik pelbagai corak di hiasi dengan ucapan baik, doa munajat serta harapan untuk negara bangsa. Alhamdulillah kita semua masih mempunyai nada yang sama iaitu cinta dan kasih nya kita pada negara bumi bertuah ini. Perkembangan ini sangat baik untuk kita hargai dan raikan bersama.



Dalam kerancakkan kita melaungkan kalimat merdeka, sebenarnya jauh dari sudut itu, terdapat misi perjuangan yang perlu kita warisi, yang perlu kita teruskan bahkan wajib kita laksanakan perjuangan ini. Iaitu perjuangan membebaskan diri kita daripada menjadi hamba keduniaan. Dalam surah Ad Zariyat, ayat 56, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku"

Dalam Kitab Tafsir Al Qurtubi, Ibnu Abbas berkata : semua penyebutan ibadah di dalam Al quran adalah maknanya tauhid. Bermakna, tujuan sebenar kita diciptakan oleh Allah adalah untuk mentauhidkan Nya. Membesarkan Nya dengan segala kelayakan kekuasaan Nya. Memuji dan memuja dengan kelayakan kesucian Nya.

Ibadah adalah bermakna perhambaan kepada Nya dengan mentauhidkan Allah. Betapa besarnya perjuangan kita pada hari ini untuk mendidik hati dan jiwa kita untuk keluar dari kepungan duniawi. Bukan sekadar bebas dari fizikal bahkan jiwa kita juga perlu bebas daripada sebarang perkara yang boleh mensyirikan Allah. Malangnya umat hari ini, ada yang masih bertuhankan wang ringgit, sanggup menghabiskan wang demi kecantikan, sanggup membelanjakan sebesar jumlah wang untuk mendapatkan keseronokkan yang fana, tetapi liat dan malas untuk membelanjakan harta ke jalan Allah.


Dalam Kitab Tafsir Al Qurtubi, Ibnu Abbas berkata : semua penyebutan ibadah di dalam Al quran adalah maknanya tauhid. Bermakna, tujuan sebenar kita diciptakan oleh Allah adalah untuk mentauhidkan Nya. Membesarkan Nya dengan segala kelayakan kekuasaan Nya. Memuji dan memuja dengan kelayakan kesucian Nya. 

Ke mana pergi jiwa yang penuh kehambaan ? Ke mana hilang air mata kerana mengenang dosa dan kelalaian ? Di mana perginya getaran jiwa disaat membawa ayat-ayat ancaman dari Tuhan ? Ya. Barangkali hati kita sudah lama tidak disentuh oleh firman Nya. Mungkin juga kita mengenali Tuhan kerana bersempena. Demikian lah manusia yang seringkali tertipu dengan perhiasan dunia. Sehingga tidak dapat bezakan antara syariat dan adat.

Marilah kita bangkit dan terus melangkah sebagai pejuang membebaskan minda dan jiwa kita daripada di belenggu oleh rantaian nafsu dan syahwat. Perjuangan merdeka tidak terhenti sekadar laungan namun dibuktikan dengan amalan dan diniatkan hanya untuk Tuhan yakni Allah. Usaha untuk lakukan perubahan insha Allah natijahnya kita berserah kepada Tuhan. Moga kita bukan sekadar merdeka dengan laungan tetapi terus berjuang dengan penuh ketaqwaan dan keimanan.


Jumaat, 21 Ogos 2020

TAHUN BARU & PERISTIWA HIJRAH : KEKELIRUAN YANG PERLU DIPERBETULKAN

Pertamanya, diatas rasa kasih dan sayang pada khazanah lembaran sejarah Islam dan juga diatas sebab rasa bertanggungjawab menegakkan kebenaran berdasarkan fakta yang sahih maka seluruh umat Islam khususnya wajib memahami beberapa perkara berkaitan kalendar hijrah dan peristiwa hijrah baginda Nabi SAW. Diatas ilmu dan pengetahuan yang ada, umat harus memperbetulkan pandangan berkenaan dua perkara penting ini. Catatan sejarah telah menulis dengan fakta yang sahih. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk bercakap atas fakta ini dan kita juga seharusnya bertanggungjawab memelihara fakta yang telah tercatat ini dengan penuh rasa yakin.

Seringkali disalah fahami berkenaan sejarah penciptaan kalendar hijrah. Kalendar hijrah adalah hasil ijtihad khalifah Amirul Mukminin, Saidina Umar Al Khattab RA. Pada zaman beliau menjadi khalifah, beliau telah menerima cadangan oleh umat Islam agar diwujudkan suatu takwim atau kalendar rasmi bagi umat Islam. Kerana pada zaman dahulu, tidak terdapat satu kalendar rasmi. Orang Arab ketika itu hanya ada perkiraan bilangan bulan sebanyak 12 bulan dan tidak ada kiraan tahun Islam. Orang Arab hanya mengenal pergiliran bulan tanpa ada perkiraan tahun demi tahun. Melihat kepada negara dan wilayah lain, maka lahirlah beberapa cadangan dan idea dari para sahabat untuk dikemukakan dan dibincangkan bersama. 



Maka Saidina Umar bersetuju untuk mencipta kalendar umat Islam dan membuka cadangan untuk memilih perkiraan tahun pertama untuk kalendar umat Islam. Ada yang mencadangkan tahun kelahiran baginda Nabi SAW tetapi ditolak oleh Umar. Akhirnya, Umar al Khattab bersetuju untuk memilih tahun baginda berhijrah dijadikan sebagai tahun pertama kalendar Islam. Kemudian berlaku pula perbincangan memilih bulan pertama untuk dijadikan bulan awal tahun. Setelah berbincang, Umar al Khattab bersetuju untuk memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kiraan kalendar Hijrah. Maka bermula lah penciptaan kalendar Hijrah yang mana bulan pertama nya adalah Muharram.

Adapun peristiwa hijrah, tidaklah berlaku pada bulan Muharram. Sama ada hijrah pertama umat Islam ke Habsyah mahupun hijrah baginda Nabi SAW ke Madinah. Kedua-dua hijrah ini tidak berlaku pada bulan Muharram. Dalam kitab Sirah masyhur, Ar Raheeq al Makhtum, dikarang oleh Safiyyurahman al Mubarakfury, menyatakan bahawa peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah telah berlaku pada bulan Rejab tahun kelima dari kenabian. Manakala peristiwa hijrah baginda Nabi ke Madinah telah berlaku pada awal bulan Rabi'ul Awwal. Baginda Nabi SAW meninggalkan rumah pada malam 27 Safar. Kemudian baginda Nabi menuju ke rumah Abu Bakar lantas mereka berdua bergerak ke Makkah secara tergesa-gesa sebelum fajar menyingsing. Daripada Makkah, pada hari Isnin 1 Rabiul Awwal. maka baginda Nabi bersama Abu Bakar bergerak menuju ke Madinah.

Imam Ibnu Kathir dalam penulisan kitabnya Bidayah wal Nihayah menyebutkan bahawa pemilihan bulan Muharram sebagai kiraan bulan pertama kalendar hijrah adalah kerana Muharram adalah bulan yang sesuai memandangkan umat Islam telah selesai mengerjakan haji. Bahkan Muharram juga termasuk sebagai bulan-bulan haram. Jelas bagi kita, pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama kalendar Hijrah bukan lah kerana berlakunya peristiwa hijrah Nabi SAW sebaliknya diatas perbincangan dan ijtihad pemimpin Islam ketika itu, Umar al Khattab. Kita seharusnya mengetahui bahawa pemilihan bulan Muharram adalah kerana aspek lain dan tidak ada kaitannya dengan peristiwa Hijrah Nabi seperti yang selalu kita dengarkan sebelum ini.


Jelas disini bahawa kalendar Hijrah tidak ada lagi pada zaman Nabi SAW. Ia bukanlah suatu syariat tetapi suatu ijtihad khalifah Islam dalam soal memperkemaskan lagi sistem tadbir urus Islam. Kita juga harus fahami bahawa bulan Muharram bukan lah bulan baginda Nabi berhijrah sebaliknya Muharram dipilih atas keputusan bersama ketika itu dan tidak ada kaitan dengan peristiwa hijrah. Kalendar Hijrah dibuatkan oleh Umar al Khattab bukanlah untuk diadakan upacara atau sambutan tertentu. Sebaliknya, kalendar Hijrah dicipta bagi memperkemaskan lagi tadbir urus kehidupan orang Islam khususnya. Maka yang demikian, tidak ada sebarang anjuran doa awal dan akhir tahun. Tidak pernah dilakukan oleh baginda Nabi SAW serta para sahabat. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 4 Ogos 2020

ULAMA', TOK GURU & KRITIKAN TERHADAP MEREKA

Ulama merupakan kata jamak (plural) yang berasal daripada perkataan alim yang membawa maksud mengetahui sesuatu secara mendalam. Alim merujuk kepada makna tahu. Berbeza dengan lafaz ulama yang membawa maksud mengetahui sesuatu secara mendalam. 

Maka dari maksud keseluruhan ini, dapat kita simpulkan bahawa ulama adalah merujuk kepada golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan mendalam serta menguasai sesuatu bidang yang dipeloporinya. Misalnya, ada yang digelar sebagai ulama hiraki yakni membawa makna orang yang sangat berilmu tinggi dan sangat mahir tentang hiraki atau gerakan, kepartian dan seerti dengannya.

Namun bukan itu yang hendak diperkatakan. Apa yang menjadi tanggapan orang awam yang tidak memiliki kelebihan dari segi keilmuan seperti mereka ini, ada yang beranggapan bahwa ulama adalah suatu badan agama yang mempunyai kuasa autoriti yang bersifat qat'ie (putus @ muktamad) tanpa perlu ditanya atau di bantah. Kerana pada anggapan sesetengah masyarakat hari ini melihat ulama tidak akan pernah tersilap dari sebarang kesalahan dan kekhilafan. Tanggapan ini adalah tidak benar dan bercanggah dengan hadis Nabi SAW. Daripada khadam Nabi, Anas Bin Malik RA, bahawa baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Semua anak adam itu melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat"

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW dengan jelas memberitahu bahawa setiap insan yang berada di atas muka bumi Allah pasti tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Sesiapa pun dia, apa pun pekerjaan nya, walau apa pun pangkat, darjat dan kedudukannya pasti dan mesti akan melakukan kesilapan. Umumnya kita boleh simpulkan bahawa golongan ulama juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Dalam satu sudut yang lain, slogan "anak muda sayang ulama" , "kami bersama kepimpinan ulama" adalah suatu slogan yang baik jika tidak di ikuti dengan sikap ketaksuban melampau. Perkara ini bahaya kerana sehingga ada yang menganggap tok guru mereka atau ulama mereka tidak boleh dipertikai sama sekali. Manusia telah dinafikan hak untuk bertanya dan dituntut supaya mengiyakan sahaja asalkan ianya datang dari mulut ulama dan tok guru mereka. Konsep halamuma wa haramukum diguna pakai bagi menghalalkan apa sahaja yang diperkatakan oleh tok guru tanpa di bahas, di bincang dan dilumatkan.



Kita harus ingat bahawa mengkritik seseorang ulama atau tok guru diatas penilaian ilmiah dan bukan kerana sentimen peribadi bukanlah bermakna kita tidak menghormatinya sebagai guru kita. Tetapi dalam dunia ilmiah, ianya terbuka luas untuk di bincang dan di bahas sesuatu perkara sesuai dengan kelayakan dan akal fikirannya sehingga mencapai titik penjelasan yang sejelasnya dan bukannya bermatlamatkan mencari titik kemenangan.

Islam itu sendiri tidak terbina diatas kuasa mutlak ulama atau tok guru untuk memutuskan apa sahaja dia suka. Sebaliknya agama ini terbina diatas hujah dan dalil. Selagi berlandaskan pada neraca ilmiah maka sesiapa sahaja layak untuk dikritik sekalipun ianya adalah orang alim. Budaya taksub, taklid buta, sikap fanatik semberono akan memakan diri dan merugikan manusia. Sedangkan Allah juga menganjurkan kita untuk bertanya pada ahli sepertimana firman Nya dalam surah al Nahl ayat 43 yang bermaksud :

"Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui".

Bertanya boleh datang dalam bentuk kritikan. Maka kita dituntut untuk terus berfikir diatas neraca ilmiah dan memperbetulkan perkara yang tidak benar sekalipun perkara tersebut dibuat atau disebut oleh tok guru kita. Untuk itu, barangkali apa yang perlu ditambah lagi dalam soal mengkritik ini adalah tentang soal peradaban, bahasa yang terpilih supaya tidak timbul salah faham dan sangkaan penghinaan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Khamis, 30 Julai 2020

IBADAH KORBAN : SEMBELIHAN YANG MENYEKSAKAN ?

Dalam catatan sejarah dunia, ibadah korban bukan lah sesuatu ritual yang asing dan pelik bagi warga dunia. Ini kerana terdapat beberapa agama lain selain agama Islam yang menyatakan kewujudan perintah untuk melakukan penyembelihan yang disifatkan sebagai ibadah korban untuk ditunjukan dan dipersembahkan di hadapan Tuhan. Dalam sejarah tamadun Greek misalnya, bangsa Greek mempunyai ritual Holocaust iaitu suatu ritual beragama mengorbankan haiwan dengan membakarnya dengan api . Selain itu dalam agama Yahudi dan Kristian juga, di dalam kitab perjanjian lama terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang ibadah korban yang perlu dipersembahkan kepada Tuhan. Agama Hindu juga mempunyai ritual ibadah korban yang disebutkan sebagai festival Gadhimai.



Demikianlah beberapa pensyariatan agama selain Islam yang juga menekankan tentang ritual ibadah korban. Namun apa yang membimbangkan kita dalam konteks Malaysia pada hari ini ialah barangkali timbul kekeliruan dibenak hati & pemikiran mereka berkenaan pelaksanaan ibadah korban orang Islam ini yang dilihat sebagai suatu kekejaman. Ada juga mungkin menganggap ibadah korban ini sebagai pesta pembunuhan binatang korban.

Beberapa persepsi dan anggapan salah ini mestilah diperbetulkan agar masyarakat diluar sana khususnya bagi mereka yang bukan islam dapat memahami hakikat sebenar pensyariatan ibadah korban ini. Oleh itu, beberapa perkara harus diberi penekanan bertujuan untuk menghakis salah faham yang berlaku ini.

Pertamanya, ibadah korban ini adalah suatu bentuk pensyariatan yang diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla dan bukannya rekaan manusia. Menerusi firman Nya dalam surah Al Kauthar ayat 2 yang bermaksud :

"Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan"

Walau bagaimana pun, perintah ini adalah suatu tuntutan sunat (digalakan) dan bukannya wajib. Ada pun sebahagian ulama menyatakan hukumnya wajib seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tetapi kewajiban itu tertakluk kepada mereka yang berkemampuan sahaja. Bagi yang tidak mampu maka gugurlah kewajiban tersebut. Ibadah korban ini adalah tuntutan bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Tidaklah dibebankan bagi sesiapa yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya.



Berkenaan penyembelihan yang disifatkan sebagai suatu kekejaman, Allah Azza Wa Jalla melalui lisan Rasul Nya Muhammad SAW telah menggariskan beberapa adab penyembelihan supaya ianya tidak menyakitkan binatang yang disembelih. Bahkan adab-adab tersebut merangkumi sebelum, semasa dan selepas penyembelihan dilaksanakan.

Dalam hadis riwayat Muslim, baginda Nabi bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menulis (mewajibkan) ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh (dengan alasan yang sah) maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia merehatkan (menyenangkan) haiwan sembelihannya itu."

Demikianlah penegasan baginda Nabi SAW dalam pelaksanaan ibadah korban supaya berlaku ihsan kepada binatang sembelihan. Islam melarang bahkan menegah daripada bersikap kasar dan tidak ihsan kepada sesuatu termasuklah kepada binatang sembelihan. Maka syariat ibadah korban ini bukanlah suatu bentuk penindasan dan kekejaman.

Sebaliknya melambangkan pengorbanan harta dan tenaga dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan dalam masa juga lambang penghayatan sejarah Nabi Allah Ibrahim setelah bermimpi mendapat wahyu untuk diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Allah Ismail.



Ada pun soal kaedah penyembelihan, pelbagai pembuktian melalui kajian sains menyatakan kaedah penyembelihan cara Islam adalah selamat dan tidak menyakitkan. Dalam satu dapatan kajian yang dilakukan oleh Profesor Schulze dan Dr Hazim dari Jabatan Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman itu bertajuk, “Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing”, mereka mendapati bahawa kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan lebih berperikemanusiaan. Ini kerana, hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah penyembelihan Islam telah menunjukkan rekod  electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) mencatatkan haiwan yang disembelih tersebut tidak mengalami sebarang kesakitan. Hasil ujian tersebut dapatkan dirumuskan seperti berikut :


1. Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

2. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.

3. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

4. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Berdasarkan hasil kajian berikut, kita dapat memahami bahawa kaedah penyembelihan yang telah digarsikan oleh Islam merupakan suatu kaedah penyembelihan yang terbaik dan selamat untuk dimakan dagingnya. Berbanding dengan kaedah selain Islam, ianya mampu mendatangkan kesan kesakitan terhadap haiwan sembelihan dan tidak dijamin akan keselamatan daging untuk dimakan. Walau apa pun, kita perlu fahami sesungguhnya sesuatu pensyariatan yang datang nya daripada Allah, tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai lambang ketaatan kepada Nya dan bukan lah beban dan kekejaman bagi kita. Semoga kita semua beroleh kefahaman yang jelas.


Khamis, 9 Julai 2020

KETERBATASAN AKAL MEMERLUKAN WAHYU

Sememangnya kita sedia maklum bahawa agama Islam yang diturunkan oleh Allah Azza Wa Jalla ini adalah suatu ajaran bersifat rahmah (kasih sayang) dan penuh kesenian dalam menyentuh soal hukum-hakam. Di sana terkandung ilmu maqasid yang menjadi tunjang bagi manusia memahami objektif sesuatu syariat atau polisi dari Allah.

Oleh itu, segala yang diperintahkan oleh Allah tidak ada cacat celanya. Sesuatu syariat itu berdiri diatas maqasidnya yang perlu dirungkaikan serta diperhalusi dengan mendalam supaya diri manusia itu sendiri tidak berkonfrontasi dengan firman Nya dan sabda rasul Nya. Dalam Al Quran, surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :

"...pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu.."

Ayat ini menjelaskan bahawa Islam yang diturunkan oleh Allah melalui para rasul Nya sudah mencapai kesempurnaan bagi Islam itu sendiri dan tidak ada keraguan yang datang melainkan hanya dari akal manusia yang cetek serta jahil. Kebanyakan persoalan agama yang timbul dan hebat dicanangkan oleh sebahagian golongan yang dianggap liberal ini adalah berpunca dari kecanduan falsafah barat serta gagal memahami tafsiran agama sebenar.

Add caption

Mengajak manusia berfikir dan memahami semula syariat tiada salahnya bahkan Allah seringkali menggunakan ungkapan "apakah kamu tidak berfikir" di dalam Al quran.  Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Baqarah ayat 219 :

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya“. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “Yang lebih dari keperluan“. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir,”

Firman Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 65 :

“Hai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah membantah tentang hal Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berfikir ?”

Namun sebagai manusia yang di cipta, sudah tentu akal fikiran kita mempunyai batasan berfikir yang memerlukan bimbingan wahyu. Keterbatasan ini membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah mengatasi segala di langit dan di bumi.

Bergantung pada akal sahaja akan membuatkan kita terjerat. Misalnya, syariat menutup aurat bagi kaum wanita. Pada firasat hati kita, barangkali kita beranggapan menutup aurat ini suatu bentuk diskriminasi gender oleh agama. Meskipun perbincangan soal aurat wanita ini sangat hebat dibincangkan dikalangan para ilmuwan, tetapi kita mesti faham bahawa pensyariatan tersebut sebenarnya untuk meninggikan kedudukan maruah serta nilai bagi seorang wanita. 

Sebagai contoh lain, syariat poligami di sisi kita mungkin kita beranggapan ianya suatu ketidak adilan sosial dengan membenarkan kaum lelaki mengahwini lebih daripadfa seorang. Sedangkan makna keadilan yang difahami oleh agama berbeza dengan sudut pandang dan faham kita dikalangan manusia. Oleh itu, besar maknanya untuk kita meneliti dan memahami sesuatu syariat itu diatas landasan dan neraca syariat dan bukannya bersumberkan falsafah dan nafsu. Dalam sebuah hadis, Aisyah RA bertanyakan kepada Rasulullah SAW :

"Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia. Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat. Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya."  (Riwayat Tirmidzi)

Melalui hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa keterbatasan akal ini adalah bukti manusia memerlukan bimbingan wahyu daripada Allah Azza Wa Jalla. Sekiranya akal kita tidak dapat mencapai  sesuatu tujuan atau maqasid syariat, maka wahyu lah yang akan menjadi rujukan kita dan bukannya tafsiran mengikut telunjuk nafsu semata-mata. Al quran merupakan kalam Tuhan dan hadis sebagai memperjelaskan lagi firman Nya. Kedua sumber ini merupakan rujukan tertinggi walau akal tidak dapat menerima logiknya.

Berfikirlah diatas neraca syariat dan fahamilah setiap firman Nya dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Kita boleh berbahas tanpa wahyu sejauh mungkin tetapi kita akan temui jalan kesesatan. Oleh itu, keseimbangan akal dan bimbingan wahyu sangat penting dalam usaha hendak memahami tuntutan dalam beragama. Teruskan usaha menjadi pemikir tetapi biarlah dalam radar bimbingan wahyu agar diri tidak jauh menyimpang. Semoga Allah mengampuni kita semua.