Isnin, 9 November 2020

DAKWAH BERTUJUAN MENGAJAK DAN BUKAN UNTUK BERLAGAK

 

Dakwah membawa makna mengajak, memanggil, menjemput juga boleh dikatakan menyeru. Dakwah merupakan tanggungjawab setiap yang bergelar muslim, tidak kira apa pun latar belakangnya, dakwah satu tanggungjawab yang mesti digalas dan ianya bukan lah satu pilihan ya atau tidak. Setiap muslim menggalas tanggungjawab ini.  Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar, mereka lah orang-orang yang beruntung"

Tidak ada ajakan, jemputan dan seruan yang lebih mulia dan lebih tinggi melainkan mengajak dan menyeru manusia mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Perkara ini disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Al Fussilat ayat 33 yang bermaksud :

"Dan tidak ada yang lebih baik perkatannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata : "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)."

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Demi Allah apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (sejenis unta yang paling baik)."



Demikian beberapa dalil hujah yang menunjukkan bahawa betapa tinggi dan besarnya kedudukan serta ganjaran bagi mereka yang berdakwah khususnya kepada golongan bukan muslim, mengajak manusia mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Barangkali ada dikalangan muslim yang berusaha keras untuk menyampaikan dakwah kepada bukan muslim, tetapi pada sama jangan sesekali kita terlari daripada niat asal kita berdakwah.

Berkemampuan berdakwah adalah salah satu anugerah nikmat yang tidak ternilai bagi kita. Diatas sedikit kelebihan, kelapangan masa juga kekuatan diri sendiri, telah membuatkan seseorang itu mampu berdiri sebagai seorang pendakwah hebat. Apatah lagi berjaya mengislamkan orang bukan muslim, bertambah nikmat serta rahmat dari sisi Nya. Namun disebalik semua ini, jangan pula kita memakai pakaian sombong, berlagak, mudah merendahkan orang lain yang tidak mampu berdakwah seperti kita.

Ingat lah bahawa iblis yang juga dahulu penghuni syurga, dihalau keluar dan di laknat angkara sifat sombong, takabbur dan bangga diri. Semua sifat ini boleh kita simpulkan sebagai "berlagak". Adalah tidak adil untuk menghukum orang lain tidak bersemangat dakwah hanya kerana tidak mampu bergerak melakukan kerja seperti kita. Kerana setiap diri manusia itu telah dijadikan kelebihan dan kekurangan sebagai tanda hamba itu lemah.

Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam surah An Nisa' ayat 2 yang bermaksud :

"Dan manusia diciptakan dalam keadaan lemah"

Kata Imam Ibn Qayyim dalam kitab karangannya, Thariqul Hijratain, yang paling tepat makna kelemahan di sini meliputi semua aspek secara umum. Kelemahannya lebih dari itu. Bukan sekadar lelaki tidak tahan dengan godaan wanita, bahkan manusia itu juga lemah dari segala sudut kehidupan. Ini bermakna, kelebihan dan kekurangan setiap manusia adalah bukti manusia itu lemah dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, seharusnya kita meluruskan dan memperbetulkan niat berdakwah adalah untuk mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah, dan bukannya untuk mendabik dada akan kejayaan kerja dakwah kita semata-mata. Ukuran iman, ketaqwaan serta keikhlasan yang paling tepat adalah daripada Allah. Manusia sekadar bersangka-sangka atas apa yang manusia nampak zahirnya. Hakikatnya Allah jualah yang lebih mengetahui. Semoga Allah merahmati dan meredhai kita semua.

Jumaat, 6 November 2020

PAHIT ITU BERMAKNA, MANIS ITU BERBAHAYA

 

Kalau kita diberi pilihan, antara yang manis atau yang pahit, kebanyakan dari kalangan kita sudah tentu akan cenderung untuk memilih yang manis. Kerana manis itu menyedapkan rasa, menyenangkan hati dan memikat jiwa. Sebaliknya, yang pahit itu memotong rasa, menyakitkan hati dan menimbulkan kecewa.

Andai hidup boleh diatur dengan kehendak kita, sudah tentu kita akan memilih perkara yang manis-manis sahaja. Tidak mahu yang pahit bahkan meminta tidak ada yang pahit berlaku. Ini semua kerana mata kita yang menghukum bahawa manis itu bahagia, pahit itu derita. Angkara mata yang menilai, hati boleh tertipu dengannya.

Rupa-rupanya, disebalik sifat pahit yang sukar di telan itu, terselit beribu macam falsafah, tersimpan beribu macam hikmah. Yang manis pula, terzahir seribu satu pendustaan dan tercipta seribu satu ancaman. Kalau dalam soal makanan, gula ibarat racun. Luarannya rasa manis tetapi dalamannya membawa racun. Pahit pula ibarat ubat, luarannya rasa kelat tetapi dalamannya menjadi pengubat.

Demikian kitaran hidup yang serba macam seribu satu cerita. Ada yang manis, ada yang pahit dan ada juga yang sudah hilang jiwa dan raganya. Kerana kecewa, pahit manis bukan lagi masalahnya. Tetapi perlu membina semula jiwa raganya agar dapat kembali merasai detik pahit manisnya hidup. Logik akal akan berkata, kenapa perlu yang pahit sedangkan yang manis lebih enak.

Tetapi falsafah hidup berbicara, yang pahit kadang lebih bermakna, lebih jujur, lebih realistik walau kelat rasanya. Berbanding yang manis, sangat berbahaya. Bicaranya manis, tetapi hati belum tentu mengiyakan. Senyumannya manis, tetapi jiwa belum tentu sempurna. Untuk mengenali erti hidup, kadang kala kita perlu belajar dari kejatuhan. Belajar untuk bangkit dan bukannya untuk mengungkit. Belajar untuk bangun dan bukan sekadar terpegun.

 

 


 

Benarlah kata orang dahulu, pahit itu ubat dan manis itu racun. Kepahitan akan mengajar kita erti pengorbanan perasaan, mengajar kita erti ketabahan diri dan mengukuhkan keyakinan jiwa. Jangan tertipu dengan kemanisan, kelak badan binasa dan hati kecewa. Jangan memandang hina pada yang pahit, kelak menjadi penawar luka dan pengubat jiwa. Semoga Allah menjauhi kita daripada helah tipu daya iblis dan syaitan dalam usaha kita mentaati perintah Nya

Khamis, 5 November 2020

JIKA ALLAH BERSIFAT DENGAN MAHA PENGASIH & PENYAYANG, MENGAPA ADANYA SYURGA & NERAKA ?

 

Persoalan ini seringkali ditanya oleh mereka yang bukan muslim. Malah kadang kala terdapat segelintir masyarakat orang muslim juga tertanya-tanya apakah relevan nya Allah ciptakan syurga dan neraka andai Allah itu bersifat dengan Maha Pengasih ? Sekiranya benar Allah itu Maha Pengasih, mengapa tidak mengampuni semua hamba Nya dengan sifat pengasih Nya dan memasukkan semua hamba Nya ke syurga.

Pertamanya, kehendak Allah itu tidak bergantung pada hasrat dan impian makhluk Nya. Dia berkehendak dengan menciptakan apa-apa sahaja meski pun tidak rasional di sisi makhluk Nya. Hatta, malaikat juga pernah mempersoalkan tujuan Allah menciptakan manusia dan menjadikan manusia sebagai khalifah di atas dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

" Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi". Mereka berkata, " Adakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami sentiasa bertasbih dan mensucikan Mu ?". Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".



Demikian dialog Allah bersama para malaikat Nya yang mempersoalkan tentang rasional menjadikan manusia sebagai khalifah walhal para malaikat mendakwa Allah lebih tahu bahawa manusia ini akan merosakkan dan bergaduh berperang sesama sendiri. Namun atas kehendak Nya, tidak ada yang lebih mengetahui melainkan hanya Dia lah sahaja.

Keduanya, tujuan penciptaan syurga dan neraka ini adalah ujian bagi para hamba Nya yang benar-benar mendambakan keredhaan Nya. Sekiranya tiada syurga dan neraka, nescaya manusia jahat juga akan di lihat sebagai baik kerana tiada apa yang perlu di bimbangkan sekiranya melakukan kezaliman. Boleh juga kita katakan bahwa penciptaan syurga dan neraka juga adalah suatu kayu ukur motivasi manusia untuk melakukan kebaikan dan amaran kepada manusia untuk menjauhi kezaliman.

Maka timbul lagi persoalan, apakah neraka diciptakan bertujuan menghukum hamba Nya semata-mata ? Jawapannya sudah tentu tidak. Allah Azza Wa Jalla tidak akan sesekali menghukum seseorang hamba Nya melainkan setelah datangnya peringatan dan ancaman padanya. Allah dengan sifat Nya yang Maha Pengasih, tidak akan menghukumkan seseorang melainkan setelah membawa utusan untuk membimbing umat.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah an Nahl ayat 36 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyeru), "Sembahlah Allah, dan jauhilah taghut", kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan....."



Setelah diutuskan Rasul, maka menjadi hak manusia memilih sama ada untuk menerima atau menolak dakwah dan seruan para Nabi dan Rasul. Oleh itu, setelah membuat pilihan, maka manusia itu sendiri akan bertanggungjawab dengan apa yang telah dipilihnya dahulu. Untuk itu, setimpal lah dengan apa yang diterima sama ada syurga atau neraka berdasarkan pilihan yang telah kita sendiri tentukan.

Penciptaan syurga dan neraka tidak lah menafikan sifat kasih sayang Allah pada para hamba Nya. Ianya ibarat ujian untuk melihat kesungguhan para hamba Nya melayakkan diri sebagai ahli syurga atau neraka. Begitu juga dengan sistem pendidikan hari ini. Mengapa perlu adanya ujian peperiksaan ? Adakah para guru tidak kasih pada anak muridnya ? Sudah tentu tidak. Ujian peperiksaan dijalankan adalah bertujuan menguji kemampuan para murid semata-mata.

Demikianlah mengapa adanya syurga dan neraka. Ianya sebuah ujian untuk melihat yang terbaik dalam kalangan hamba Nya. Meskipun Allah lebih mengetahui penghujung nasib hidup kita, namun atas kemahuan Nya juga, Allah boleh mengubah nasib kita dengan kekuasaan dan pengetahuan Nya. Semoga Allah berikan kita petunjuk serta taufik Nya.


Rabu, 28 Oktober 2020

PERLIS & SEJARAH GERAKAN ISLAH

 

Gerakan pengislahan umat Islam telah muncul bagi memurnikan semula fahaman umat Islam yang dilihat kian hari kian menyimpang jauh. Gerakan islah ini juga muncul hasil tindak balas para sarjana & cendiakawan Islam bangkit dan menentang pengaruh falsafah daripada meresap masuk ke dalam ibadah orang Islam.

Pengaruh pemikiran falsafah yang ketika itu mula berkembang luas di seluruh dunia telah bercampur aduk dengan pegangan dan ajaran Islam. Maka bermula dari episod penyebaran luas falsafah ini, muncul lah beberapa aliran-aliran dan amalan yang dicipta yang juga terkeluar dari landasan ajaran Islam sebenar. Aliran dan amalan yang bercampur dengan pengaruh falsafah ini bercanggah dan menyimpang jauh dari Al Quran & Sunnah.




Melihat kerancakan pengaruh falsafah ini, maka sebahagian besar para sarjana Islam mula bergerak untuk mengislahkan semula umat dari menyimpang jauh. Antara mereka ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al Jauzi, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Imam Abu Hassan al Asha'ari, Imam Abu Mansur al Maturidi dan lain-lainnya.

Kesemua mereka ini meskipun berbeza pandangan antara satu sama lain, tetapi mereka bersepakat akan kepentingan umat Islam kembali ke ajaran Al Quran dan Sunnah. Pelbagai penulisan risalah, artikel dan makalah dikarang dan dicetak, malah diterjemah dalam pelbagai bahasa untuk mengajak seluruh umat Islam kembali kepada Al Quran dan Sunnah seperti mana yang diamalkan oleh umat Islam di zaman baginda Nabi SAW, di zaman para sahabat dan di zaman tabi'in.

Perlis antara negeri yang menerima kesan langsung gerakan islah. Kesan dari gerakan ini telah menjadikan Perlis sebuah negeri yang terbuka dalam menerima pakai dan meraikan semua pandangan mazhab. Untuk itu, bagi memutuskan sesuatu isu khilaf, pemerintah bertanggungjawab memberi kata putus berdasarkan pandangan ahli syura jawatankuasa fatwa.

 


 

Gerakan islah di negeri Perlis telah dibawa oleh seorang tokoh ulama, Syeikh Hassan Bin Ahmad berasal dari Surabaya Indonesia. Namun keberadaan beliau tidak lah lama. Akibat fitnah dan tohmahan terhadapnya, maka beliau telah di usir keluar oleh Syed Alwi. Beliau dituduh membawa ajaran baru dalam agama Islam. Namun pada tahun 1928, beliau datang semula ke Perlis untuk menyebarkan sunnah.

Menurut Haji Abdullah Hussin, salah seorang anak murid Syeikh Hassan Bin Ahmad, gurunya telah membuat pembaharuan dan pengislahan dengan menentang segala perbuatan khurafat dan bida'ah dalam agama Islam. Namun atas kegigihan tokoh ulama kita sewaktu itu, maka akhirnya pengislahan telah berkembang pesat di bumi Perlis sehingga akhirnya, telah terbentuk sebuah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang mengkanunkan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah tanpa terikat dengan mana-mana mazhab tertentu.

Sejarah pengislahan Perlis akan terus mekar di hati dan rakyatnya. Sewajarnya bagi kita yang lahir dan hidup di Perlis, wajib dan mesti memahami sejarah pengislahan ini agar tidam terperangkap dengan provokasi labelan "kaum muda", "wahabi" dan selainnya. Bagi mereka yang bukan berasal dari Perlis, adalah lebih baik memahami dahulu sejarah Perlis sebelum menuduh yang bukan-bukan. Semoga Perlis terus menjadi pusat pengislahan umat dari segala perkara khurafat, syirik, bid'ah dan perkara yang memperbodohkan akal. Moga Allah merahmati kita semua.

Ahad, 25 Oktober 2020

ANTARA ISLAM & LIBERAL : MATLAMAT SAMA DENGAN JALAN BERBEZA

 

Tidaklah keterlaluan sekiranya kita mengatakan bahawa sebahagian prinsip pejuang liberal itu telah pun sekian lama terkandung dalam intipati ajaran agama Islam. Dalam erti kata mudah, sebenarnya Islam telah pun menjadi liberal sebelum perjuangan liberal itu sendiri muncul dan diperjuangkan.

Dalam perkembangan fahaman liberalisme yang menggunakan pendekatan sekular terhadap institusi pemerintahan dan agama, ianya telah membangkitkan umat manusia menuntut hak kebebasan hingga sanggup berdemonstrasi dan berperang. Keadaan ini dilihat sebagai suatu kebangkitan rakyat daripada di belenggu oleh kuasa dan pengaruh agama yang bersikap jumud.




Walhal, Islam sejak dahulu lagi telah memberikan pengiktirafan dan kemuliaan kepada manusia untuk bersikap bebas dalam menentukan kehidupan dengan dipandu oleh wahyu serta mengangkat martabat dan nilai diri manusia kearah yang lebih tinggi dan terhormat. Dalam surah al Isra' ayat 70, Allah SWT berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah memuliakan amak-anak Adam dan Kami telah beri mereka berbagai-bagai kenderaan di darat serta di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya melebihi makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan"

Berdasarkan firman ini, Allah Azza Wa Jalla menggunakan perkataan "Bani Adam" yang membawa makna yang luas merentasi batas perbezaan pangkat, warna kulit dan bangsa, juga merentasi perbezaan agama. Ini juga menjelaskan pada kita bahawa Allah sendiri telah mengiktiraf kemuliaan manusia dengan memberikan pelbagai perkara dalam kehidupan melebihi makhluk ciptaan Nya yang lain.

Perjuangan Liberal tidak dapat kita pisahkan dari terma "kebebasan". Inilah dasar ampuh golongan liberal yang bangkit dan memperjuangkan hak kebebasan manusia. Antara hak yang diperjuangkan oleh golongan liberal adalah hak kesamarataan, hak keadilan sosial tanpa prejudis gender dan hak kebebasan menentukan hidup.


Kesemua hak yang diperjuangkan ini telah pun di muktamadkan oleh syariat Islam berpandukan wahyu Al Quran dan As Sunnah. Misalnya, dalam isu kesamarataan, sebuah hadis Nabi SAW riwayat Bukhari & Muslim, ketika baginda Nabi SAW berkhutbah, baginda bersabda yang bermaksud :

"Demi Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad telah mencuri, nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya"

Jelas dan terang membuktikan kepada kita bahawa hak kesamarataan manusia ditegakkan oleh Islam secara berprinsip tanpa mengenal sesiapa pun. Dalam sebuah hadis yang lain, riwayat Imam Ahmad dalam al Musnad, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesunguhnya bapa kamu satu. Justeru ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang Arab nelebihi orang 'Ajam dan tidaklah orang 'Ajam melebihi orang Arab serta tidaklah orang berkulit hitam lebih istimewa berbanding kulit merah dan tidaklah yang berkulit merah lebih baik daripada berkulit hitam, melainkan dengan bertaqwa"

Dapatlah kita fahami akan beberapa dalil serta hujah yang membuktikan bahawa Islam terlebih dahulu mengiktiraf kesamarataan sebelum kemunculan Liberal dan menafikan kelebihan berdasarkan warna kulit, keturunan dan bangsa tertentu melainkan hanya dengan bertaqwa kepada Allah SWT. Dalam hak keadilan sosial tanpa prejudis gender, Islam telah melindungi wanita dengan mengiktiraf maruah serta harga diri kaum wanita melalui syariat menutup aurat dan pada masa sama memerintahkan kepada kaum lelaki supaya menjaga pandangan.




Secara prinsipnya, apa yang selama ini diperjuangkan oleh Liberal, telah sekian lama menjadi tuntutan serta intipati dalam ajaran agama Islam. Ianya telah termaktub dalam kitab perlembagaan Islam iaitu Al Quran & As Sunnah.  Islam sejak dahulu menekankan kepentingan hak manusia dan begitu juga acuan ideologi Liberal. Matlamat perjuangan yang sama. Namun, apa yang membezakan Islam dan Liberal adalah cara berjuang meraih hak bersifat mutlak.

Dalam Islam, tidak ada yang dimaksudkan dengan hak yang bersifat mutlak. Kerana yang mutlaknya adalah kembali kepada kebijaksanaan, keagungan serta kebesaran Allah SWT. Manusia itu bersifat lemah dan tidak boleh berdiri sendirinya tanpa bantuan kuasa mutlak daripada Nya. Maka, bagaimana mungkin seseorang manusia itu mempunyai hak mutlak sedangkan dirinya tidak mampu berdiri dengan sendiri. Semua aturan kehidupan telah berjalan dengan sistem yang diatur oleh Nya. Maka tiada yang mutlak selain Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 19 Oktober 2020

DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM SUATU ANCAMAN PERPADUAN ?

 

Persoalan ini seringkali timbul di dalam benak fikiran kita khususnya dikalangan muslim. Persoalan ini juga sering menjadi faktor untuk muslim tidak berani untuk berdakwah kepada mereka yang bukan muslim. Barangkali ada juga yang fikir lebih baik diam daripada berdakwah hingga boleh menguris hati mereka yang bukan islam.

Dakwah itu sendiri membawa makna mengajak, menyeru dan menjemput. Sudah tentu bila ada jemputan, ajakan mahupun seruan, ada pihak yang menerima dengan senang dan ada pula yang menolak dengan kebencian. Dakwah bukanlah kerja part time, bukan ruang untuk meraih populariti, bukan peluang untuk mencari kekayaan, tetapi untuk menyebarkan Islam dengan cara menyampaikan kebenaran.



Dalam catatan sirah baginda Nabi SAW, gerakan dakwah Nabi bermula di bumi Mekah dengan cara sembunyi-sembunyi. Tujuan nya adalah untuk menanamkan akidah, mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Kemudian, apabila umat semakin kuat akidah, maka berdakwah lah baginda Nabi secara terang-terangan. Ini bermakna, keutamaan berdakwah adalah dengan mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah SWT.

Dalam konteks Malaysia hari ini, agama persekutuan adalah agama Islam. Ini bermakna agama Islam yang berstatus agama persekutuan Malaysia boleh disebarkan diatas nama perlembagaan negara. Jika kita semak sekalipun, tiada sekatan ataupun sebarang peruntukkan undang-undang yang boleh menyekat dan menghalang orang Islam menyebarkan dakwah. Ini sekaligus membawa maksud kerja dakwah orang muslim di lindungi haknya  di bawah perlembagaan negara.

Dakwah adalah wasilah untuk menghubungkan antara orang Islam dan bukan Islam. Ianya peluang untuk orang Islam dan bukan Islam berkongsikan apa yang menjadi kekeliruan dikalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Misalnya seperti program Hari Terbuka Masjid, program Street Dakwah, program Dialog Harmoni, antara ruang terbaik bagi orang Islam berkomunikasi dengan mereka yang bukan Islam.




Melalui dakwah juga, masyarakat Islam berpeluang untuk lebih mengenali akan isi kandungan agama yang lain, disamping dapat mengetahui pantang larang dan sensitiviti sesuatu kaum dan agama. Ini secara tidak langsung, dapat membantu masyarakat untuk lebih saling mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai manusia sekalian, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali antara satu sama lain..."

Menerusi kalam Tuhan ini, kepelbagaian bangsa dan kaum adalah ruang untuk saling mengenali dan dakwah merupakan wasilah terbaik untuk mengimplementasikan maksud kalam Tuhan ini. Ada pun dakwaan yang menyifatkan dakwah sebagai suatu ancaman, ianya hanyalah sebuah teori kosong berbaur hasutan dan fitnah terhadap Islam. Sejak kita merdeka, gerakan dakwah silih berganti dan tidak pula kedengaran sebagai ancaman. Walhal, polimik politik lebih dasyat lagi hingga mencetuskan peristiwa 13 Mei. Bukan kerana dakwah tetapi angkara politik durjana.

Kita mesti ingat bahawa golongan pelampau tanpa kira apa pun agama dan bangsanya ini tidak akan berhenti meracuni pemikiran masyarakat untuk membakar sentimen perpaduan yang akhirnya akan menemplak kerja dakwah. Dakwah itu luas. Lain orang, lain pula pendekatannya, namun mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menegakkan agama Allah. Dakwah mesti dilihat dengan harmoni agar kita saling menghormati. Dakwah mesti berpaksikan kebenaran agar kita tidak saling bercakaran. Fahami dakwah, hidup akan lebih rahmah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Jumaat, 16 Oktober 2020

HAK KESAMARATAAN : ISLAM MENGUNGGULI PRINSIP KESAMARATAAN MERENTASI ZAMAN

 

Antara perkara yang tidak dapat kita nafikan dan ianya sudah menjadi nilai berprinsip di dalam agama Islam sejak sekian lama dahulu ialah hak kesamarataan yang dicanangkan oleh golongan Islam liberal. Sejak wahyu diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW, diturunkan juga beberapa ayat yang menekankan tentang hak kesamarataan.

Nilai kesamarataan ini telah terlaksana sejak zaman baginda Nabi SAW lagi. Malah setelah kewafatan baginda Nabi, pelaksanaan nilai kesamarataan ini diteruskan oleh para pemerintah khulafa', Ar Raasyidin. Sangat penting juga untuk kita faham bahawa hak kesamarataan ini terwujud bukan lah kerana hasil pertembungan ideologi mahupun revolusi seperti yang tercatat dalam sejarah sistem demokrasi yang dilihat tercetus dari dunia Barat.



Tetapi prinsip dan hukum kesamarataan dalam Islam ini telah terbina diatas pengajaran wahyu Allah tanpa melalui perbincangan, revolusi atau lain-lain. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki & perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain)....."

Prinsip kesamarataan di Islam diperkukuhkan lagi dengan sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya bapa kamu satu. Justeru ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang Arab melebihi orang 'Ajam dan tidaklah orang 'Ajam melebihi orang Arab serta tidaklah orang berkulit hitam lebih istimewa berbanding yang berkulit merah dan tidaklah yang berkulit merah lebih baik daripada yang berkulit hitam, melainkan dengan bertaqwa"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)



Prinsip kesamarataan ini adalah bersifat menyeluruh, tiada yang diberikan keistimewaaan, bangsa apa pun dia, berketerunan apa pun dia, hak kesamarataan ditegakkan dengan prinsip dan nilainya. Bukan sekadar menjadi slogan di mulut, tidak sekadar menghiasi ucapan yang indah, tetapi ianya ditegakkan dengan penuh keadilan.

Antara contoh yang jelas berkaitan hak kesamarataan ini, dalam hadis riwayat bukhari & muslim, diceritakan ketika Usamah Bin Zaid diminta oleh sebahagian sahabat untuk meminta pelepasan bagi seorang wanita yang mulia dalam kaumnya daripada disabitkan hukum hudud kerana mencuri, maka baginda Nabi bersabda :

"Adakah kamu meminta pelepasan daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah ? Kemudian baginda berkhutbah dihadapan orang ramai dengan bersabda : Demi Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad telah di dapati mencuri, nescaya aku sendiri yang akan potong tangannya."

Demikian prinsip dan hukum kesamarataan ditegakkan oleh Islam. Ianya datang daripada tuntutan wahyu yang suci bersih dari campur tangan manusiawi. Kononnya hari ini, dicanangkan segolongan manusia mencetuskan semangat menegakkan nilai kesamarataan, padahal Islam telah mendahului menegakkan prinsip dan hukum kesamarataan ini merentasi zaman dan kepentingan. Semoga Allah meredhai kita semua.