Isnin, 16 September 2024

KEWAJIPAN MENCARI YANG HALAL LAGI BAIK

 

Bagi manusia yang berfikiran waras, tiada sesiapa pun yang mahu merosakan tubuh badannya termasuk akal fikiran dengan mengambil makanan atau minuman dari sumber yang tidak bagus. Ini juga termasuk dalam soal menggunakan barangan atau perkhidmatan yang boleh memberikan kecelakaan dan kemudaratan pada diri sendiri. Kesedaran umat manusia dalam hak kepenggunaan secara tidak langsung akan mendidik minda dan jiwa kita untuk lebih cerewet atau dengan maksud lain menjadi lebih teliti dalam soal memilih yang baik dan menolak yang buruk. Lebih-lebih lagi dalam memilih pemakanan yang sihat, keutamaan bagi kita memilih yang halal pada sudut syariat dan yang baik untuk kesihatan. Oleh kerana itu, Islam datang untuk menjaga kepentingan diri manusia melalui pensyariatan memilih yang halal lagi baik.

Ungkapan "Halalan Toyyiban" adalah kombinasi dua perkataan yang berbeza iaitu halal dan toyyiban. Gabungan perkataan tersebut membawa maksud sesuatu yang halal dan bersifat baik. Perkataan Halalan Toyyiban ini merupakan seruan dan perintah Allah kepada para manusia dalam memenuhi keperluan kehidupan. Perkataan "Halal" ialah berasal dari satu kata nama dalam bahasa Arab. Dalam kamus al-Mu'jam al-Wasith, halal membawa maksud dibenarkan. Dari sudut istilah syarak pula, halal adalah suatu kebenaran oleh syariat Islam. Dalam pada itu, al-Jurjani dalam kitab al-Ta'rifat, menyatakan bahawa pengertian halal bermaksud keharusan menggunakan benda-benda atau apa-apa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala ungkapan "Toyyiban" berasal dari bahasa Arab yang padanya membawa makna kebaikan, bagus dan elok.




Islam sememangnya mengajar umatnya untuk memilih yang halal dan baik. Seruan mencari yang halal lagi baik ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan pelbagai keadaan ayat. Dalam sebahagian keadaan, Allah SWT menyebutkan istilah halal pada sudut kewangan, ada keadaan lain pula Allah SWT menyebutnya dalam keadaan hal kekeluargaan juga sebahagian keadaan Allah menekankan soal halal dalam memilih makanan, rezeki dan selainnya. Walau pun begitu, penggunaan istilah halal lagi baik dalam soal mencari makanan, minuman dan mencari rezeki lebih meluas dan banyak digunakan. Oleh itu, Islam sememangnya mementingkan perkara yang halal lagi baik dalam semua sudut dan sisi kehidupan. Sebagai contoh, Allah SWT menekankan para hamba Nya untuk memperolehi kewangan dari sumber yang halal dengan melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh syariat.

Ini dapat dilihat menerusi surah al-Baqarah ayat 278 - 279, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan, (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian), kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai ketegasan Allah SWT dengan memerintahkan para hamba Nya meninggalkan segala aktiviti yang haram seperti riba. Kerana riba itu haram, namun Allah telah menghalalkan jual beli yang padanya tjdak ada riba. Selain itu, Allah SWT juga menekankan soal halal hubungan suami isteri dalam institusi kekeluargaan. Hubungan cinta yang melibatkan dua jiwa akan menjadi halal diatas akad pernikahan. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 12 yang bermaksud :

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik."




Melalui kefahaman ayat ini, kehendak dan dorongan oleh nafsu para manusia untuk memenuhi keperluan fitrah seksualnya telah dihalalkan oleh Allah SWT bagi mereka yang telah berkahwin. Namun begitu, adalah haram pula bagi mereka yang berhubungan tanpa diikat dengan sebarang akad pernikahan yang sah disisi syarak. Selain itu, seruan perintah Allah untuk mencari yang halalan toyyiban ini pula lebih meluas dalam soal memilih makanan dan minuman serta mencari rezeki. Dalam banyak keadaan dengan kepelbagaian ayat, Allah SWT sangat menitikberatkan para hamba Nya untuk memakan dari sumber yang halal dan bersifat baik. Hal ini bertepatan dengan firman Nya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 168, Allah Azza Aa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Melalui firman Nya ini, jelas menunjukkan bagaimana Islam melalui syariat Allah, memerintahkan umat manusia untuk mencari rezeki, makan dan minum dengan berasaskan kepada konsep Halalan Toyyiban. Konsep Halalan Toyyiban ini merujuk kepada maksud yang halal lagi bersih, suci dan diyakini. Ini bermakna, memilih sesuatu makanan dan minuman itu bukan sahaja perlu melihat kepada kebersihan yang bersifat luaran seperti gerai yang bersih, namun perlu juga menilai dan melihat kebersihan dari sudut kandungan, bahan termasuklah melibatkan proses penghasilan dan keselamatan penggunaannya. Syariat mencari yang halal lagi baik ini juga secara tidak langsung memenuhi tuntutan kehendak dan tujuan syariat (maqasid syariah) iaitu dibawah kategori menjaga akal dan nyawa.

Berlandaskan kepada tujuan tersebut juga, baginda Nabi SAW turut memberikan penegsan terhadap hal ini. Ketegasan Nabi SAW dalam perkara ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya yang halal itu telah jelas dan yang haram pun telah jelas pula. Sedangkan di antaranya ada perkara syubhat (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui (hukum)-Nya. Barangsiapa yang menghindari perkara syubhat (samar-samar), maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara yang samar-samar, maka ia telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Seperti penggembala yang berada di dekat pagar larangan (milik orang) dan dikhawatirkan ia akan masuk ke dalamnya. Ketahuilah, bahwa setiap raja memiliki larangan (undang­-undang). Ingatlah bahwa larangan Allah adalah apa yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, bahwa di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasadnya ; dan jika ia rosak, maka rusak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah, bahwa segumpal daging itu adalah hati".

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa sesuatu yang halal dan haram itu sudah diberikan panduan oleh Islam. Dan antara kedua-duanya itu disebutkan sebagai "Syubhah" atau samar-samar. Meninggalkan perkara yang samar-samar itu lebih baik dan elok berbanding daripada melakukannya. Demikianlah ketegasan Allah dan Rasul Nya yang sangat menitikberatkan soal pemilihan makanan dan minuman serta memperolehi rezeki daripada sumber yang halal lagi bersifat baik, bersih dan elok. Dengan kata lain, Islam sangat melarang umatnya daripada memakan harta dengan cara yang batil, Islam juga turut menegah umatnya dari memakan makanan dari sumber yang tidak halal, tidak bersih, jijik lagi kotor pula serta Islam menegah umatnya memperolehi sumber kewangan melakukan aktiviti perniagaan dengan cara yang haram seperti riba. Inilah Islam yang sentiasa menekankan konsep kehidupan yang sejahtera dengan memilih yang halal pada setiap urusan kehidupan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 14 September 2024

GELARAN AL-MASIH : ANTARA NABI ISA AS DAN DAJJAL

 

Sesungguhnya sesuatu gelaran itu sama ada gelaran tersebut memberi maksud yang baik atau sebaliknya maksud yang buruk, mampu mempengaruhi kita dalam membina tanggapan pertama terhadapnya. Misalnya, menggelarkan seseorang sebagai mat moto, barangkali yang terlintas di jantung hati kita adalah tentang peribadi jahat, budak liar, tiada masa depan dan sebagainya. Maka persepsi atau tanggapan pertama yang dibina ini akan menentukan pula cara kita berkomunikasi termasuklah cara kita melayaninya. Begitu juga seperti gelaran ustaz, berapa ramai manusia hari ini sangat mempercayai apa yang disampaikan oleh mereka yang dipanggil sebagai ustaz meskipun kadang apa yang disebutkan oleh ustaz itu jelas bertentangan dengan kehendak agama. Ini kerana gelaran ustaz tersebut telah menghilangkan kewarasan kita untuk berfikir kerana terlalu taksub dan melampau dalam menghormatinya. Inilah kesan kepada sesebuah gelaran yang diberikan.

Perkataan al-Masih adalah merupakan suatu gelaran yang membawa makna terpenting dalam intipati ajaran agama Islam. Hal ini kerana, gelaran ini telah Allah rakamkan di dalam al-Quran sebagai memuliakan kedudukan Nabi Isa AS dengan menyebutkan bahawa Nabi Isa AS itu sebagai al-Masih. Ini dapat dilihat di dalam surah Ali Imran ayat 45, firman Allah SWT yang bermaksud :

"(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah)".



Dalam pada masa yang sama, gelaran al-Masih juga disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW melalui hadith-haditnya bagi menggambarkan keadaan makhluk yang dilaknat, iaitulah Dajjal. Terdapat beberapa hadith baginda Nabi SAW yang menceritakan tentang perihal Dajjal dan baginda menyebutkannya dengan gelaran al-Masih. Ini sebagaimana yang terakam dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang daripada kamu bertasyahhud, hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada empat perkara dengan membaca : Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa neraka Jahannam, daripada seksa kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Berdasarkan al-Quran dan hadith, gelaran al-Masih ini sangat sinonim dan diketahui umum bagi merujuk kepada dua nama besar ini iaitu Nabi Isa AS dan Dajjal. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan al-Masih ? Mengapa diberikan gelaran tersebut kepada Nabi Isa dan Dajjal sedangkan kedua-dua nama ini masing-masing jauh beza kedudukan mereka di sisi Allah. Bagi memahamai gelaran ini, kita terlebih dahulu perlu fahami latar belakang pada perkataan al-Masih ini. Pada sudut sejarah, perkataan al-Masih ini telah wujud dalam upacara tradisi kaum Bani Israel. Ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Tahtawi dalam kitabnya, al-Nasraniyyah wa al-Islam 'Alamiah al-Islam wa al-Duwamuh ila Qiamah, beliau menjelaskan bahawa perkataan al-Masih telah wujud lama dan mempunyai pengertian yang tersendiri dan dikaitkan dengan upacara tradisi yang diwarisi turun temurun oleh Bani Isarel. Tambah beliau, perkataan asalnya dipercayai dari bahasa Hebrew iaitu Mashih yang bermaksud terpilih dan diberkati oleh Tuhan.

Ungkapan al-Masih jika dilihat pada sudut bahasa pula, Syeikh Reda dalam kitabnya, Mu'jam Matan al-Lughah, menjelaskan bahawa al-Masih bermaksud benar dan jujur. Menurut Ibnu Manzur pula dalam kitabnya, Lisan al-Arab, al-Masih bermaksud mengembara. Beliau menyatakan bahawa Nabi Isa AS diberikan gelaran tersebut kerana baginda banyak mengembara diatas muka bumi serta tidak menetap pada satu tempat. Begitu juga menurut Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, beliau menjelaskan bahawa sebahagian ulama salaf berpandangan dinamakan sebagai al-Masih kerana Nabi Isa AS banyak melakukan perjalanan. Begitu juga terdapat pendapat lain bahawa kerana disebabkan baginda Nabi Isa mempunyai tapak kaki yang rata tidak berlekuk. Selain itu, Ibnu Manzur turut menukilkan pendapat lain dengan menyebutkan bahawa baginda diberikan gelaran al-Masih kerana baginda mengusap dengan tangannya pada orang yang sakit, orang yang buta sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta, kemudian mereka sembuh dengan izin Allah. Menurut al-Azhari ketika membahaskan perkataan al-Masih, sebagaimana yang dipetk dalam Matan al-Lughah, beliau menyatakan bahawa al-Masih dalam kitab Taurat disebut sebagai Mashih. kemudian disesuaikan menjadi bahasa Arab dengan sebutan Masih, sama seperti perkataan Musa yang asalnya disebut Musha.




Berdasarkan pemaknaan al-Masih yang disebutkan ini, ianya pemaknaan yang dikaitkan dengan kedudukan mulia Nabi Isa AS. Ini bermakna, gelaran al-Masih yang digelar kepada Nabi Isa AS merupakan suatu gambaran kedudukan tinggi dan mulia yang diiktiraf sendiri oleh Allah Azza Wa Jalla. Sebaliknya, hal ini berbeza pula makna al-Masih yang digelarkan kepada Dajjal. Gelaran al-Masih Dajjal memberi suatu makna gambaran yang buruk, jahat dan keji lagi hina. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibn al-Athir RH dalam kitabnya, Jami' al-Usul fi Ahadtih al-Rasul, beliau menyatakan bahawa Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus dan al-Masih ialah orang yang salah satu sisi wajahnya terhapus, tidak ada matanya dan tidak ada kening. Selain itu, menurut Abu Ubaidah sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Lisan al-Arab, perkataan al-Masih yang digelarkan kepada Dajjal membawa maksud sifat buruk dan buta mata. Pada ungkapan Dajjal itu sendiri telah membawa maksud yang buruk iaitu pendusta, pembohong, pemalsu atau seorang yang buta mata. Apabila perkataan Dajjal digabungkan dengan gelaran al-Masih, tentu sekali ia menambahkan keburukan dan kejahatan kepada Dajjal.

Oleh yang demikian, berdasarkan penelitian makna al-Masih ini, dapat kita fahami bahawa gelaran al-Masih pada pemaknaannya adalah bergantung kepada yang digelar tersebut. Sebagai analogi mudah, gelaran ustaz pada umumnya merujuk maksud yang bagus, orang yang dipercayai dan menjadi rujukan masyarakat. Namun ada segelintir manusia yang menggunakan gelaran ustaz tetapi kerjanya asyik membohong, menipu dan mengajak kepada maksiat. Tidakkah gelaran ustaz tersebut telah tercemar dengan perbuatan tidak bermoral seperti itu. Demikian juga dengan gelaran al-Masih. Ungkapan al-Masih yang digelarkan kepada Nabi Isa membawa kepada makna kebaikan dan keberkatan. Sebaliknya, al-Masih yang digelarkan kepada Dajjal membawa makna kepada keburukan dan kejahatan. Untuk itu, tidak salah untuk kita katakan bahawa al-Masih Nabi Isa adalah berlawanan dan bertentangan dengan makna al-Masih Dajjal. Meskipun begitu, kedua-dua mereka ini akan datang dengan mendakwa sebagai al-Masih. Dalam kesamaran dakwaan tersebut, ketahuilah padanya ada al-Masih yang benar-benar jujur dengan membawa kebenaran iaitulah Nabi Isa AS dan pada masa sama padanya juga ada al-Masih yang berdusta, berbohong dengan membawa kebatilan dan kerosakan iaitu Dajjal. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Khamis, 12 September 2024

KESESATAN AJARAN MILLAH IBRAHIM @ ABRAHAM

 

Hidup beragama adalah antara bukti yang jelas menunjukan bahawa fitrah manusia itu suka bergantung kepada sebuah entiti yang dibina diatas kepercayaan yang tersendiri. Hal ini telah memperlihatkan kepada kita kemunculan pelbagai siri kepercayaan yang dibina dengan keyakinan lalu menterjemahkannya ke dalam bentuk ritual yang pelbagai. Apabila zaman telah berkembang dari zaman primitif berubah ke zaman yang dinamik, terkedepan dan pesat. Namun begitu, kepesatan dunia yang membangun telah melahirkan pelbagai lagi sisi kepercayaan manusia berorientasikan nilai keagamaan. Dalam agama Islam, pada teras agama yang luhur ini, kadang kala tercetus golongan pelampau dalam beragama sehingga tertubuhnya kumpulan dengan kepercayaan yang berbeza dari intipati ajaran asal agama.

Millah Ibrahim @ Abraham mulai dikenali di Malaysia seawal tahun 2013. Millah Ibrahim @ Abraham atau dikenali dengan nama al-Qiyadah al-Islamiyah merupakan suatu ideologi atau ajaran yang menyimpang dan tersesat jauh dari landasan Islam sebenar. Dalam rekod yang ditemukan, ajaran ini dikaitkan dengan rangkaian Gerakan Pemuda Kahfi yang berpusat di Bogor, Indonesia. Gerakan tersebut telah diterajui oleh Ahmad Musodiq. Ajaran Millah Ibrahim @ Abraham pada asasnya suatu ajaran yang sinkretis atau yang melihat kepada persamaan doktrin agama Islam, Kristian dan Yahudi. Pada mereka, ketiga-tiga agama utama ini menyeru kepada suatu persamaan dengan menafsirkan semula al-Quran dengan penafsiran baharu.




Pengasas kepada ajaran ini ialah Ahmad Musodiq. Beliau dilahirkan pada 21 April 1944. Seorang warga asal Indonesia yang sangat aktif mendalami ilmu agama semenjak berbai'ah menjadi anggota kepada Negara Islam Indonesia (NII) pada tahun 1987. Gerakan NII adalah sebuah gerakan yang kontroversi di Indonesia. Gerakan ini dikenali sebagai pusat pengajian al-Quran terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. NII melalui kelas pengajiannya telah membawa suatu kaedah penafsiran al-Quran yang tersendiri yang tidak mengikuti displin penafsiran para ulama muktabar. Disebabkan itu, pada tahun 2000, Ahmad Musodiq telah mengambil keputusan untuk keluar dari NII lalu beliau menubuhkan gerakan sendiri yang dikenali dengan nama al-Qiyadah. Sejak pada itu, beliau telah aktif menyebarkan fahamannya.

Kekarutan Ahmad Musodiq bermula pada episod penyembunyian beliau selama 40 hari diatas sebuah gunung yang dikenali sebagai Gunung Bunder yang terletak di Bogor, Jawa Barat. Pada tarikh 23 Julai 2007, satu sidang media telah dibuat dan beliau telah mendakwa dirinya dibimbing oleh Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad bertujuan untuk dirinya membawa ajaran Islam yang sebenar. Atas dakwaan karut tersebut, beliau telah menyebarkan ajarannya dengan menggunakan kitab Bible dan al-Quran terjemahan Indonesia serta digabungkan dengan penafsiran yang dibuat sendiri olehnya. Selain itu, beliau juga turut mendakwa dirinya sebagai Rasul utusan Allah. Kerana ramai yang mempercayainya, dianggarkan kira-kira pertambahan sebanyak seribu orang setiap bulan yang mengikuti ajarannya. Pertambahan pengikut yang ramai menjadikan ajarannya berkembang luas di Indonesia antaranya di Sumatera Barat, Jawa Timur, Yogyakarta, Riau dan Sulawesi.

Antara dakwaan aneh lagi yang dibuat ialah beliau mendakwa dirinya mendapat wahyu untuk membawa kaedah penafsiran yang sebenar dan dengan pemahaman yang tepat. Pun begitu, kaedah penafsiran yang dibawa olehnya adalah mirip dengan apa yang pernah dibawa oleh gerakan NII. Selain itu, pengikut ajaran Millah Ibrahim @ Abraham ini juga percaya bahawa agama Islam yang dianuti sekarang ini telah jauh menyimpang dan terpesong. Bagi mereka, ajaran Islam sebenar berada pada pembawakan penafsiran oleh Ahmad Musodiq. Pengikur ajaran ini sangat memuliakan Ahmad Musodiq dengan mendakwa pengasas ajaran ini, Ahmad Musodiq adalah seorang Rasul akhir zaman dan al-Masih. Dalam kerangka keyakinan mereka, agama Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW telah diselewengkan sejak peristiwa kejatuhan kerajaan Bani Abbasiah kesan dari serangan puak Monggol keatas kota Baghdad.




Dalam catatan sejarah Islam, peristiwa yang menyaksikan serangan yang dilakukan oleh puak Monggol telah menyebabkan banyak kemusnahan kitab-kitab khazanah Islam. Melalui peristiwa benar ini, mereka membuat dakwaan palsu dengan beranggapan kesan dari kemusnahan tersebut, maka berlakulah penyelewengan agama sehinggalah Islam yang dianuti oleh majoriti penduduk dunia hari ini ialah ajaran Islam yang palsu lagi tidak benar. Oleh kerana itu, pada kepercayaan mereka, Ahmad Musodiq sebagai Rasul yang baharu akan membawa ajaran Islam sebenar. Selain itu, sepertimana gerakan Islam yang lain, mereka yang menjadi ahli kepada ajaran ini diwajibkan berbai'ah dengan cara bersumpah dihadapan pemimpin mereka. Kesesatan ajaran ini bukan sahaja bersendikan kepada kaedah baharu penafsiran al-Quran malah beberapa pensyariatan Islam dihapuskan. Misalnya, ajaran ini telah menghapuskan kewajiban berpuasa di bulan Ramadan dan menolak atau menafikan kefardhuan solat lima waktu.

Namun begitu, kewajiban beramal pada pegangan mereka ialah ibadah qiamullail (solat malam), solat ketika waktu terbit dan solat ketika terbenamnya matahari. Dalam pada itu, terdapat satu ritual yang dinamakan sebagai cara menebus dosa. Dalam ritual tersebut, para pengikut boleh menghapuskan dosa dengan cara membayar sejumlah wang tunai berdasarkan jumlah peratusan tertentu, dibayar kepada Ahmad Musodiq yang dianggap sebagai Rasul. Terdapat banyak lagi kefahaman mereka yang bercanggah dengan ajaran Islam antara lain ialah mereka menolak hadith Nabi, mereka tidak memakan daging sembelihan orang Islam, membuat tuduhan jahat terhadap para ulama muktabar dengan menghukum sesat, mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak berpegang kepada ajaran tersebut selain mereka menggabungkan kitab-kitab suci tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Demikian beberapa sisi gelap kesesatan yang nyata lagi terang mengenai gerakan Millah Ibrahim @ Abraham ini.

Ajaran ini telah difatwakan sesat lagi menyesatkan oleh Majlis Ulama Indonesia pada tahun 2007. Di peringkat Malaysia, Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-109 yang telah bersidang pada 15 Februari 2017 telah memutuskan bahawa ajaran Millah Ibrahim @ Abraham ini sesat dan terpesong jauh. Selain itu, beberapa negeri juga seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Sabah turut mengambil tindakan yang sama dengan memfatwakan ajaran tersebut sebagai sesat dan haram untuk disebarkan. Oleh itu, adalah sangat penting dan mustahak bagi kita semua sebagai muslim yang sejati, berwaspada selalu dan sentiasalah merujuk kepada pihak berautoriti agama seperti Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti Negeri. Pemeliharaan akidah adalah tanggungjawab bersama. Untuk itu, kita perlu menjadi warga yang berilmu dengan mencari sumber yang sahih agar tidak mudah terpedaya dari mereka yang sesat lagi menyesatkan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Selasa, 10 September 2024

TABARRUK : ANTARA YANG BENAR DAN BATIL

 

Sesungguhnya nilai sesebuah kemuliaan dan kesucian itu merupakan suatu anugerah yang dikurniakan serta diberikan pengiktirafan oleh Allah SWT terhadap sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Nya. Oleh kerana yang demikian, kita sebagai hamba Nya tidak mempunyai hak untuk mengangkat diri sendiri sebagai orang yang mulia lagi suci melainkan setelah apa yang disyariatkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Telahan satu orang manusia untuk memuliakan seseorang individu kerana pada sangkaannya beliau menganggap bahawa individu tersebut sebagai orang yang mulia, telahannya itu boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Namun begitu, pengiktirafan kemuliaan yang disyariatkan oleh Allah adalah sesuatu yang benar lagi tepat. Ini kerana hanya Allah Maha Mengetahui akan hakikat segala sesuatu.

Ungkapan "Tabarruk" ialah berasal dari bahasa Arab. Kata dasarnya ialah barakah atau disebut juga sebagai berkat. Dalam kitab al-Qaul al Mufid, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin menjelaskan bahawa perkataan barakah membawa maksud kebaikan yang banyak dan tetap. Perkataan barakah ini pula diambil dari kata al-birkah (البركة) yang bermaksud tempat terkumpulnya air (kolam). Manakala makna bagi perkataan tabarruk pula bermaksud mencari berkat. Selain itu, Syeikh Yusuf dalam kitabnya al-Mausuaah al-Yusufiyyah, beliau menyatakan bahawa barakah dari sudut bahasa bermaksud tetapnya kebaikan daripada Allah SWT pada sesuatu. Mengambil berkat atau disebut sebagai tabarruk pula bermaksud mengharapkan berkat daripada Allah SWT dengan perantara sesuatu.




Secara mudahnya, ungkapan tabarruk boleh kita fahami sebagai sesuatu tindakan atau perbuatan bertujuan untuk mencari keberkatan Allah melalui pengaruh orang-orang yang dianggap mulia lagi suci seperti para Nabi, para wali, para ulama dan sebagainya. Melalui pengaruh golongan yang disebutkan tadi, ianya dijadikan sebagai perantaraan yang mampu membawa kebaikan. Perbuatan mencari berkat dengan jalan bertabarruk pada asasnya merupakan suatu pensyariatan Islam. Padanya itu terdapat beberapa bentuk atau jenis tabarruk yang disyariatkan oleh Allah SWT. Pensyariatan ini dapat dilihat melalui petunjuk wahyu Allah iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Antara bentuk tabarruk yang disyariatkan ialah mengambil berkat atau bertabarruk dengan ucapan dan perbuatan. Misalnya, dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya adalah suatu berkat dan meninggalkannya adalah kerugian dan dengannya tidak akan terkena sihir”

Melalui pemahaman hadith ini, baginda Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa membaca surah al-Baqarah boleh mengundang keberkatan padanya. Namun begitu, meninggalkannya dengan maksud tidak membaca surah al-Baqarah merupakan suatu kerugian besar. Ini kerana sebagaimana yang terdapat di dalam hadith tersebut, bagi mereka yang beramal dengan membaca surah al-Baqarah, ianya dapat menghalang diri manusia dari terkena sihir. Ini juga boleh difahami bahawa surah al-Baqarah merupakan pendinding dan pelindung manusia dari ancaman halus syaitan dan iblis. Maka dengan itu, mengambil berkat melalui perbuatan amal soleh yang kita lakukan berdasarkan dalil dan hujah dari al-Quran dan al-Sunnah ialah sesuatu yang diharuskan dalam Islam.

Selain itu, mengambil berkat dengan sesuatu tempat juga adalah diharuskan. Ini berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW yang menunjukkan adanya keberkatan pada sesuatu tempat tersebut. Misalnya, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Solat di masjidku ini lebih baik seribu kali daripada solat di masjid yang lain kecuali masjidil haram”.

Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa Masjid Nabawi merupakan tempat yang padanya terdapat suatu keberkatan yang memberikan kebaikan yang lebih banyak berbanding tempat-tempat yang lain. Selain tempat yang diharuskan untuk mencari berkat, Islam melalui pensyariatannya juga membolehkan umatnya mencari berkat atau bertabarruk dengan waktu dan masa tertentu. Sebagai contoh, mengambil berkat dengan bulan Ramadan, malam al-Qadr dan seumpamanya. Inilah sebahagian daripada keharusan umat Islam dalam usaha mencari keberkataan melalui perantaraan yang berbentuk perbuatan, ucapan, tempat dan masa. Dalam isu tabarruk ini juga, seringkali menjadi polimik dikalangan umat Islam berkaitan hukum bertabarruk atau mengambil berkat dengan peninggalan baginda Nabi SAW. Ini kerana ketika pada hayat baginda, terdapat banyak kisah yang menjelaskan bahawa para sahabat Nabi bertabarruk dengan peninggalan Nabi.




Dalam hal ini, Anas bin Malik RA, yang juga merupakan seorang pembantu Nabi, telah menceritakan mengenai perbuatan para sahabat yang bertabarruk dengan Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Ahmad dan Bihaqi, Anas bin Malik menyatakan pada suatu ketika, beliau telah melihat tukang cukur sedang mencukur rambut Rasulullah SAW dan pada masa yang sama para sahabat mengelilingi baginda Nabi. Tindakan tersebut kerana para sahabat tidak mahu satu helai pun dari rambut Rasulullah SAW terjatuh kecuali telah berada di tangan seseorang. Penceritaan ini menjadi sebahagian bukti dan hujah bahawa hukum harus bertabarruk atau mengambil berkat dengan peninggalan Nabi SAW dengan syarat yakin bahawasanya keberkatan itu semuanya dari Allah SWT dan bukannya daripada barang peninggalan tersebut. Namun begitu, kesemua perbuatan bertabarruk yang dilakukan oleh para sahabat hanyalah dengan baginda Nabi sahaja.

Setelah kewafatan baginda Nabi, maka tidak ada lagi para sahabat yang mengambil berkat atau bertabarruk dengan manusia yang lain selain dari baginda Nabi SAW. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya, al-I’tisham, beliau menjelaskan bahawa para sahabat RA, setelah kewafatan Nabi SAW, tidak ada seorang pun di antara mereka yang melakukan perbuatan itu (bertabarruk) kepada sesiapa pun selepas Nabi SAW. Bahkan, setelah beliau wafat, tidak ada orang yang lebih mulia dari Abu Bakar as-Siddiq, kerana beliau adalah pewaris Rasulullah SAW. Namun, para sahabat tidak pernah sujud kepada Abu Bakar. Beliau tidak pernah sujud kepada Umar Bin Khattab, walaupun Umar bin Khattab adalah manusia yang paling mulia selepas Abu Bakar. Dia tidak pernah sujud kepada Uthman Bin Affan, dia tidak pernah sujud kepada Ali, dia tidak pernah sujud kepada mana-mana sahabat Nabi. Sebenarnya mereka adalah orang yang paling mulia dari seluruh umat.

Dalam pada itu, terdapat sebahagian para ulama kontemporari yang telah melakukan kajian dan berkecenderungan dengan menyatakan bahawa tiada lagi sebarang peninggalan dari jasad atau barang kegunaan Nabi SAW yang boleh disabitkan kewujudannya dengan bukti yang sahih. Oleh yang demikian, ada yang berpandangan bahawa perbuatan mengadakan logo, replika, lambang seperti logo capal, replika tapak kaki Nabi dan seumpamanya, lalu didakwa menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi lantas itu mengambil pula keberkatan daripadanya adalah perkara yang diadakan dalam agama (bid'ah) yang dilarang sama sekali. Akibat daripada perbuatan seperti ini, secara tidak langsung ianya telah membuka kepada pintu ghuluw (melampau) dalam sesuatu perkara. Bersikap ghuluw atau melampau dalam beragama adalah sesuatu yang dilarang dan ditegah oleh Islam.




Selain bertabarruk dengan peninggalan Nabi, turut menjadi polimik dikalangan umat Islam ialah berkaitan keharusan mengambil berkat dengan orang-orang soleh. Dalam hal ini, terdapat dua pandangan yang berbeza. Sebahagiannya berpandangan diharuskan untuk bertabarruk dengan orang soleh. Ini berdasarkan hukum qiyas (menyamakan) orang soleh dengan baginda Nabi SAW. Misalnya perbuatan Nabi bertahnik (membelah mulut) bayi dengan memberi manisan. Menurut Imam al-Nawawi ketika menjelaskan perbuatan tahnik tersebut, beliau menyatakan bahawa adalah disunatkan orang soleh mentahnik bayi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Begitu juga dengan hadith riwayat Bukhari, yang menunjukkan perbuatan Nabi mengubati dirinya sendiri ketika sakit dengan membaca muawwizat (surah al-ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Dalam hal ini, Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan hadith tersebut, beliau menyatakan bahawa maksud hadith menunjukkan keharusan bertabarruk dengan orang soleh.

Namun begitu, sebahagian yang lain berpandangan tidak harus atau tidak dibolehkan untuk bertabarruk atau mengambil berkat dengan orang soleh. Pada mereka, hukum qiyas (menyamakan) orang soleh dengan Nabi SAW adalah tidak tepat berdasarkan beberapa hujah antara lain mereka menyatakan bahwa kesepakatan para sahabat untuk tidak bertabarruk dengan selain peninggalan baginda Nabi membuktikan perbuatan tersebut hanyalah khusus kepada Nabi SAW sahaja. Demikianlah sebahagian daripada perbincangan berkenaan hukum bertabarruk atau mengambil berkat. Pada asasnya, perbuatan tabarruk merupakan sesuatu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti yang telah dijelaskan berkenaan beberapa bentuk tabarruk. Namun dalam hal lain, terdapat khilaf atau perbezaan pendapat berkenaan mengambil berkat dengan orang soleh. Walau apapun yang kita pegang, menutup pintu kemudaratan adalah lebih utama berbanding terlalu terbuka bertabarruk tanpa sempadan. Jika tidak dibendung, perbuatan tabarruk kepada orang soleh dan replika peninggalan Nabi akan mengundang bahaya syirik kepada Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Jumaat, 6 September 2024

PERNIAGAAN PADA ASAS NERACA ISLAM

 

Salah satu kekuatan yang perlu dikuasai oleh umat manusia ialah kestabilan ekonomi. Ekonomi merupakan antara salah satu cabang ilmu sains sosial yang membicarakan soal pembahagian sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia. Selain itu, perbahasan mengenainya juga tidak terlepas dari membicarakan soal "demand and supply" atau permintaan dan pengeluaran. Pada banyak sudut pemerhatian melalui teori dan kajian, dunia Barat yang mahu dilihat sebagai pelopor dunia, telah diperkenalkan oleh Adam Smith, suatu konsep yang disebut sebagai ekonomi kapitalis menerusi bukunya yang terkenal, The Wealth of Nations. Melalui idealisme kapitalis ini, tidak lebih sekadar memenuhi poket pengusaha dan menzalimi para buruh dibawah sana. Berbeza dengan Islam yang melihat perniagaan itu suatu ibadah kepada Allah.

Perniagaan adalah instrumen kepada gerak daya sesebuah perekonomian. Ini bermakna, pertumbuhan ekonomi yang mampan secara tidak langsung didorong oleh pemain-pemain industri perniagaan. Perniagaan yang sihat antara paksi yang menentukan kestabilan sesebuah perekonomian. Dalam wacana Islam, berniaga adalah salah satu sunnah baginda Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Matlamat utama perniagaan sebagaimana ibadah yang lain ialah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Oleh itu, prinsip utama perniagaan yang dilakukan haruslah berdiri diatas paksi ketaqwaan dan keimanan. Bukannya mengikut hawa nafsu ketamakan. Maka dengan tujuan tersebut, Islam telah memberikan garis panduan yang jelas mengenai etika perniagaan pada neraca yang diredhai Allah. Dalam asas perniagaan, Allah telah menegaskan di dalam al-Quran mengenai halal dan haram dalam jual beli. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud :

“Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barangsiapa mendapat peringatan dari Tuhannya (mengenai pengharaman riba), lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barangsiapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”




Berdasarkan kefahaman ayat tersebut, jelas bahawa Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan Nya telah menghalalkan jual beli dan pada masa yang sama Allah jua telah mengharamkan perbutan riba. Riba dalam perniagaan adalah sesuatu yang bersifat menindas, menzalimi dan memakan harta secara batil (jahat). Ini ditentang keras oleh Islam. Maka perniagaan yang dilakukan sebagai ibadah juga untuk meraih keredhaan Tuhan, tentunya tidak boleh mengambil lebih dari hak yang dibenarkan. Ini bermaksud apabila Allah SWT telah menghalalkan jual beli, maka lakukanlah pada kadar yang diredhai Allah dan bukannya mengikut kehendak nafsu semata-mata sehingga sanggup menindas dan menzalimi pihak pengguna. Adalah menjadi prinsip dalam perniagaan selain untuk meraih redha Tuhan, kita ditegah dan dilarang untuk memakan harta orang lain secara batil seperti riba dalam perniagaan. Juga Islam menuntut kita agar melakukan perniagaan berdasarkan nilai redha-meredhai antara dua pihak iaitu peniaga dan pengguna.

Ini dapat kita lihat penegasan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, melalui surah an-Nisa' ayat 29, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar redha meredhai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu.”

Selain nilai ketaqwaan yang menjadi asas kepada sesebuah perniagaan, Islam sebagai suatu agama yang bersifat kasih sayang juga turut menekankan prinsip kejujuran dan amanah dalam perniagaan. Sikap jujur dan amanah dalam berniaga akan mencerminkan nilai ketaqwaannya kepada Allah. Penegasan Islam dalam menekankan nilai jujur dan amanah ini dapat kita lihat bagaimana reaksi baginda Nabi SAW ketika berhadapan dengan situasi peniaga yang tidak jujur. Hal ini sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan yang bermaksud :

"Rasulullah SAW pernah berjalan melalui selonggok barang makanan, lalu baginda Nabi memasukkan tangannya ke dalam makanan itu sehingga jari-jemarinya terkena yang basah. Lalu baginda bertanya: "Apa ini, wahai pemilik makanan?" Penjual itu menjawab : "Ia terkena air hujan, wahai Rasulullah." Baginda pun bersabda : "Mengapa tidak engkau letakkannya di atas barang makanan ini sehingga orang dapat melihatnya? Barangsiapa yang menipu kami maka dia bukanlah daripada kalangan kami (kaum Muslimin)."

Melalui pemahaman hadith tersebut, jelas ketegasan baginda Rasulullah SAW agar tidak ada unsur penipuan dan kecurangan dalam melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Apabila kita menyebut perkataan perniagaan, maka ianya terangkum dalam maksud semua jenis perniagaan yang melibatkan semua bentuk industri. Sikap jujur dan amanah dalam berniaga ini merupakan teras yang mendasari ketaqwaan seseorang muslim. Oleh yang demikian, kejujuran dan amanah sangat penting bagi mencerminkan nilai taqwa kepada Allah SWT. Sekiranya berlaku kecurangan atau ketidakjujuran dalam perniagaan, maka ketahuiah ancaman dari Allah SWT. Dalam hal ini, baginda Nabi SAW memberi amaran serta menyatakan ancaman bagi mereka yang tidak jujur dalam berniaga. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, dinilai hasan sahih, Rifa'ah RA menceritakan bahawa dia pernah keluar bersama Rasulullah SAW menuju ke tempat solat, lalu baginda melihat orang sedang melakukan jual beli, lantas baginda pun bersabda :

"Wahai peniaga sekalian." Maka mereka pun menyambut seruan Rasulullah SAW seraya mengalihkan leher dan pandangan mereka ke arah baginda. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak sebagai orang yang fasik kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat baik serta bersifat jujur."




Demikian ancaman keras oleh Islam bagi mereka yang melakukan kecurangan atau tidak jujur dalam perniagaan. Perbuatan tidak jujur ini bukan sahaja dilihat sebagai suatu yang tidak bermaruah bahkan telah melakukan dosa besar serta diancam hebat oleh Allah SWT. Namun begitu, sebaliknya bagi para peniaga yang jujur dan amanah, balasan nikmat serta ganjaran hebat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Seorang peniaga yang bersifat benar, jujur lagi dipercayai akan bersama sekalian nabi, siddiqin dan syuhada (pada hari kiamat kelak)."

Demikian bagaimana ganjaran hebat buat para peniaga yang jujur dan amanah. Bersikap jujur dan amanah dalam perniagaan sama sekali tidak akan merugikan kita. Malah, dengan bersikap sedemikian, akan mendapat keberkatan dalam kehidupan. Itulah sebaik-baik nikmat yang di idamkan. Oleh yang demikian, dapat kita simpulkan bahawa Islam sememangnya menggalakan umatnya untuk melakukan aktiviti perniagaan. Berdasarkan apa yang telah disebutkan tadi, jelas kepada kita bahawa teras dan prinsip utama perniagaan pada neraca Islam ialah nilai ketaqwaan mengharapkan redha Tuhan. Apabila nilai ketaqwaan ditegakkan, maka prinsip lain seperti tidak menzalimi pengguna, tidak melakukan perniagaan berunsurkan riba, jujur dan amanah, akan dapat dipatuhi dengan penuh keimanan. Jelas bahawa Islam tidak mendorong umatnya untuk tamak dalam berniaga tetapi berpada dengan hak yang dibenarkan oleh syarak. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 4 September 2024

ISLAM MENGIKTIRAF PETUGAS KESELAMATAN NEGARA

 

Keamanan dan kedamaian adalah sesuatu yang menjadi harapan dan cita bagi semua insan. Tidak ada sesiapa pun yang waras akalnya mendambakan suasana kekacauan, huru-hara dan ketidak tenteramnya keadaan. Fitrah manusia itu berkehendakkan kepada nilai-nilai kesejahteraan yang menjanjikan kestabilan. Oleh itu, sesuatu yang tidak normal atau sangat luar biasa andai ada manusia yang suka akan keadaan yang tidak membawa ketenangan dan kebahagiaan. Sifat keamanan yang dicitakan ini bukan sahaja menawarkan nilai kebebasan bergerak dalam hidup bahkan menambahkan mutu dan kualiti kehidupan yang lebih baik. Sebaliknya, keadaan huru-hara dan ketidak tenteraman ini pastinya mengundang suasana yang menakutkan sekaligus meragut hak kebebasan hidup sebagai manusia yang punyai maruah.

Bagi tujuan menjamin keamanan dan kedamaian sesebuah negara, pasukan keselamatan dengan penglibatan pelbagai nama dan agensi yang terbabit, ditubuhkan dan diletakkkan suatu amanah besar yang diiktiraf oleh Islam iaitulah amanah menjaga keselamatan dimana sahaja mereka berada termasuklah di perbatasan negara. Tugas menjaga keselamatan negara demi memelihara keamanan dan kedamaian ini merupakan tugas yang dapat menghalang atau mencegah perkara yang boleh mengundang kepada kemungkaran dan kemaksiatan. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam) dan menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji (mungkar). Dan mereka itulah orang yang berjaya".




Tugas menjaga keamanan dan kedamaian seperti yang dilaksanakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan selainnya, secara tidak langsung telah memikul amanah besar ini mencegah dan menghalang sebarang kemungkaran dengan usaha memastikan tiada pelanggaran undang-undang negara yang boleh mengundang kepada ancaman bahaya bagi keselamatan negara. Mereka yang berada di barisan hadapan, yang berperanan menjaga keselamatan negara, telah mendahulukan jiwa dan raga mereka, mengorbankan masa tidur lena di tempat yang enak meninggalkan anak dan isteri seketika namun tiada jaminan boleh pulang segera, kesemua pengorbanan ini diiktiraf dan dinilai oleh Allah sebagai amalan soleh.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya."

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa Islam sangat mengiktiraf sifat seorang muslim yang antaranya ialah mereka yang berusaha menyelamatkan saudaranya yang lain daripada ditimpa kejahatan melalui percakapan atau perbuatannya yang lain. Ini bermakna bagi mereka yang berkhidmat sebagai petugas keselamatan, yang mengorbankan dirinya untuk mengawal negara tanah air tercinta, mereka tergolong sebagai ciri muslim yang baik. Begitu juga dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan, mengawal perbatasan negara, meronda dan membuat seliaan di tempat-tempat awam, memeriksa dan memerhati dimana saja, dikala waktu semua manusia sedang sedap tidur dibuai mimpi dan seumpamanya, mereka ini telah menyelamatkan nyawa orang lain dengan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk berdepan dengan musuh yang tidak diduga.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka ini yang berjaga malam demi menjaga dan menyelamatkan banyak lagi nyawa manusia yang lain. Sepertimana yang dinyatakan oleh Allah melalui surah al-Maidah ayat 32, firman Allah SWT yang bermaksud :

"...Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya."




Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, ketka menjelaskan maksud ayat tersebut, beliau menyebutkan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat ini. Beliau turut menukilkan kata al-Imam Mujahid yang menyebutkan yang dimaksudkan ayat ini termasuklah mereka yang menyelamatkan manusia dari tenggelam lemas atau dibakar atau apa-apa kebinasaan. Ini secara tidak langsung, pasukan keselamatan yang lain seperti anggota Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, para petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat, kesemua pengorbanan mereka ini terangkum dalam maksud ayat tersebut. Jelas bahawa sesungguhnya setiap keringat jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan demi negara, tidak ada yang sia-sia bahkan diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Selain itu, bagi mereka yang berjaga malam menjaga keselamatan negara, turut dipuji dan di iktiraf oleh baginda Nabi SAW. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi, baginda Nabi bersabda yang bermaksud :

“Mahukah kamu aku tunjukkan satu malam yang lebih baik dari Lailatul Qadar? Iaitu malam seorang lelaki yang berkawal pada malam yang menakutkan dan berkemungkinan dia tidak mampu pulang kepada keluarganya”

Lihatlah betapa besar makna bagi mereka yang berada di barisan hadapan menjaga keselamatan negara. Tatkala ramai umat manusia yang beragama Islam, berusaha mengimarahkan bulan Ramadan dengan mendambakan malam al-Qadr, yang pada malam itu disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai malam yang paling baik daripada seribu bulan, namun terdapat satu lagi malam yang lebih baik darinya iaitulah malam bagi mereka yang berjaga, sentiasa bersiap sedia bagi mengawal keselamatan negara. Sudah tentu hadith ini merupakan suatu pujian dan pengiktirafan besar buat mereka yang sedang berjuang menjaga keselamatan negara. Selain itu, antara ganjaran besar lain yang dikurniakan oleh Allah buat mereka ini ialah diharamkan api neraka kepada mereka yang berjaga semalam menjaga keselamatan negara.




Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka : Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan dijalan Allah.”

Menjaga keselamatan negara adalah sebahagian perjuangan di jalan Allah. Maka untuk itu, bagi mereka yang berjaga malam menjaga negara, pada dua mata mereka yang berjaga tersebut diharamkan dari disentuh oleh api neraka. Demikianlah betapa besar makna bagi mereka yang berkorban menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh kerana keamanan itu sesuatu yang sangat bermakna pada kehidupan, Islam sangat menghargai jasa dan pengorbanan para perwira negara. Menjaga keamanan merupakan salah satu diantara maqasid syariah atau difahami sebagai tujuan syariah. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin, beliau berkata keamanan adalah salah satu daripada lima maqasid al-syariah (tujuan syariah) yang utama, bersama dengan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Menurut beliau, tanpa keamanan, tujuan ini tidak dapat dicapai dan kehidupan manusia akan menjadi kacau-bilau.

Selain itu, Ibnu Khaldun menerusi kitabnya, Muqaddimah, menjelaskan bahawa keamanan adalah syarat asas kemajuan tamadun. Beliau menyatakan keamanan membolehkan kerajaan menjalankan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan awam, memastikan keadilan dan mempromosikan kesejahteraan ekonomi. Menurutnya, tanpa keamanan tidak akan ada kestabilan dan pembangunan, maka masyarakat akan terjerumus ke dalam kekacauan dan kemunduran. Demikianlah bagaimana Islam sangat menghargai sekaligus mengiktiraf mereka yang berada di barisan hadapan menjaga dan memelihara keselamatan negara. Meskipun pada kacamata manusia, barangkali tidak didendang atau dijulang, namun hakikatnya Islam telah mengiktiraf segala curahan keringat tenaga dan jasa yang dimainkan oleh mereka. Oleh kerana itu, sentiasalah menghormati para perwira kita dengan menghargai mereka yang berjaga siang dan malam, demi keamanan negara. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Isnin, 2 September 2024

MEMBELA HAIWAN JANGAN SAMPAI MENYEKSA

 

Sifat berkasih sayang antara elemen terpenting dalam sesebuah kehidupan. Dunia ini tidak akan ada makna keamanan dan kesejahteraan andai tidak ada perasaan kasih yang wujud. Tanpa kita sedari, berkasih sayang sebenarnya mampu mengubah daripada hitam menjadi putih, daripada gelap bertukar cerah dan daripada sendu menjadi padu. Sikap berkasih sayang ini bukanlah sahaja semata-mata dengan penzahiran perbuatan tetapi dapat memenuhi keperluan kebatinan insani. Betapa ramai insan yang kurang bernasib baik di luar sana yang hanya memiliki kekayaan harta-benda namun amat miskin dengan kasih sayang sehingga diri menjadi kejam dan zalim.

Antara intipati utama ajaran Islam ialah bersifat kasih sayang pada semua makhluk. Tuntutan berkasih sayang ini tidak sahaja disuruh sesama manusia bahkan merentasi makhluk ciptaan Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi. Kasih sayang kepada seluruh alam juga menjadi tujuan diutuskan baginda Nabi SAW ke dunia ini. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran melalui surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud :

"Tidaklah Kami mengutuskan kamu Wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam".




Membela atau memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, burung dan sebagainya adalah salah satu contoh manifestasi kasih sayang merentasi makhluk. Hukum memelihara dan membela sebarang haiwan peliharaan asalnya adalah harus. Keharusan ini berdasarkan beberapa dalil atau hujah berdasarkan hadith baginda Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, katanya yang bermaksud :

“Sesungguhnya Nabi SAW beramah mesra dengan kami sehinggakan Baginda pernah berkata (dalam bentuk gurauan) kepada saudaraku yang masih kecil: ‘Wahai Abu ‘Umair, apakah yang burung pipit kamu lakukan itu?’.”

Dalam kitab Fath al-Bari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa hadith ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi SAW tidak mengingkari perbuatan Abu Umair. Demikian dalil atau hujah yang menunjukkan keharusan membela dan memelihara haiwan peliharaan. Walau pun hadith ini memperjelaskan mengenai burung yang dikurung dalam sangkar, namun hadith ini menjadi dalil bersifat umum dan terpakai kepada semua jenis haiwan peliharaan dan tidak terhad kepada jenis burung sahaja. Oleh itu, hukum memelihara haiwan peliharaan adalah harus dan perkara ini sekaligus mendidik umat manusia untuk berkasih sayang sesama makhluk dengan menunaikan hak haiwan tersebut seperti makan dan minum serta penjagaan yang bagus.

Perbuatan membela dan memelihara haiwan peliharaan bukanlah suatu yang baharu. Di zaman baginda Nabi, terdapat seorang sahabat yang digelar sebagai Abu Hurairah yang bermaksud bapa kucing. Gelaran ini diberikan sendiri oleh baginda Nabi kerana baginda melihat beliau gemar membela dan bermain dengan anak kucing. Dalam sebuah kitab karangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang bertajuk al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah, beliau menjelaskan terdapat satu riwayat oleh Ubaidillah bin Abi Rafi', di mana beliau berkata yang bermaksud :

"Aku bertanya kepada Abi Hurairah, mengapakah engkau digelar Abu Hurairah (bapa kucing). Lalu beliau menjawab: aku dahulu ketika mengembala kambing milik keluargaku aku memiliki seekor anak kucing, pada waktu malam aku letakkan dia pada sepohon pokok, apabila tiba waktu siang, aku bawa ia bersamaku, aku bermain dengannya, maka kemudian aku digelar bapa kucing. "




Demikian bagaimana Islam tidak melarang umatnya daripada membela dan memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, burung dan sebagainya. Dalam pada itu, Syeikh Bin Baz, Mantan Mufti Arab Saudi pernah ditanya berkenaan hukum menghimpunkan burung-burung di dalam sangkar dengan tujuan menggembirakan anak-anaknya, maka beliau menjelaskan bahawa tidak mengapa perbuatan tersebut selagimana disediakan kepada burung-burung tersebut keperluannya seperti makanan dan minuman. Hal ini tercatat dalam kitab Fatawa Ulama' al-Bilad al-Haram. Berdasarkan pemahaman fatwa tersebut, jelas keharusan membela dan memelihara haiwan peliharaan terikat selagimana tuan empunya haiwan tersebut memenuhi keperluan seperti makan dan minum. Sebaliknya, jika kita yang membela haiwan tersebut tetapi tidak memberinya keperluan asas hidup, hukum boleh berubah menjadi haram kerana tindakan menzalimi haiwan peliharaan tersebut.

Akibat kecuaian dan keculasan kita dalam memelihara dan membela haiwan tersebut dengan baik, maka hukumnya haram dan berdosa besar. Perbuatan tidak memberikan makan dan minum atau tidak memenuhi keperluan asas kepada haiwan yang dipelihara tersebut adalah jelas suatu kezaliman dan jauh dari sifat kasih sayang. Bahkan, tindakan mengurung haiwan dan tidak memberikan makan telah dikecam hebat oleh baginda Nabi SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Maka dia masuk neraka disebabkannya. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum ketika dia mengurungnya, dan dia tidak pula membiarkannya memakan haiwan-haiwan kecil yang berada di tanah.”




Demikian bagaimana lisan baginda Nabi SAW telah memperkatakan sesuatu yang sebenarnya tidak remeh dan tidak boleh dipandang enteng oleh sesiapa pun. Tidaklah baginda akan mengungkapkannya andai hal seperti itu dianggap remeh oleh Islam. Sebaliknya, penegasan oleh Allah SWT melalui lisan utusan Nya, Rasulullah SAW mengecam dan memberi peringatan penting terutamanya kepada mereka yang suka membela dan memelihara haiwan. Berdasarkan hadith ini juga, Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam menjelaskan dalam kitabnya, Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, bahawa dalil tersebut menunjukkan kewajiban menunaikan keperluan binatang peliharaan kerana sebab wanita di dalam hadith itu dimasukkan ke dalam neraka kerana dia meninggalkan kucingnya tanpa menunaikan keperluannya, dan menahannya dari mencari makanan sendiri. Maka, jika menunaikan keperluan ini dituntut pada kucing yang bukan peliharaannya, maka terlebih utama jika kucing tersebut merupakan peliharaannya. Inilah pandangan yang dipilih oleh majoriti fuqaha’.

Tuntasnya, kita perlu fahami bahawa berdasarkan apa yang telah dinyatakan ini, berbuat baik dengan haiwan peliharaan dalam erti kata berkasih sayang dengan menunaikan hak mereka adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh Islam. Keharusan membela haiwan peliharaan seperti kucing dan burung boleh berubah menjadi haram sekiranya kita tidak menunaikan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara. Tentunya hal ini mengingatkan kepada kita akan kebertanggungjawaban terhadap setiap tindakan yang kita lakukan. Oleh itu perlu ditekankan bahawa sesuatu hobi yang mulia seperti membela haiwan akan menjadi ladang dan kebun berpahala bagi mereka yang benar-benar bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaannya. Sebaliknya, mereka yang culas dan cuai dalam tindakan tersebut pasti mendapat seburuk-buruk balasan kerana perbuatan zalimnya itu. Semoga Allah merahmati kita semua.