Ahad, 4 Ogos 2024

AMALAN PERBOMOHAN & PANDUAN ISLAM

 

Berusaha atau berikhtiar adalah merupakan perkara yang sangat dituntut oleh Islam. Di dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah sehingga mereka sendiri yang berusaha untuk berubah. Ini bermakna pertolongan Allah akan datang kepada para hamba Nya yang benar-benar berusaha dan setelah itu berserah pada Nya. Jika sekadar duduk dan tidak berbuat apa, hanya menghitung nasib tanpa melakukan apa-apa usaha, mana mungkin bantuan dan pertolongan Allah datang menyapa. Pun begitu, jika Allah berkehendak untuk membantunya, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya. Secara sunnatullah, menjadi ketetapan dalam hidup ini, kita akan beroleh diatas apa yang kita usahakan. Jika hidup sering bermalasan, bagaimana boleh untuk mengubah nasib hidup. Begitulah sebaliknya.

Perbomohan yang dikenali juga sebagai dukun atau pawang, sangat sinonim dalam kehidupan masyarakat khususnya di alam nusantara ini. Perkataan "Bomoh" menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, membawa maksud merujuk kepada seseorang yang mengubati pesakit dengan menggunakan ubat tradisional atau menggunakan jampi untuk mengubati penyakit tersebut. Berdasarkan definisi tersebut, maksud bomoh, dukun atau pawang ini boleh dilihat dalam dua perspektif. Pertama, perbomohan yang menggunakan ubat tradisional seperti bomoh patah yang mahir dalam mengurut, bomoh ubat herba yang pakar dalam bab khasiat herba dan seumpamanya. Manakala yang kedua, bomoh juga difahami sebagai mereka yang menggunakan kaedah jampi atau disebut sebagai ruqyah. Maka pemahaman maksud bomoh ini adalah bergantung kepada pengamalannya dan bukan sekadar nama semata-mata. Ini kerana ada bomoh yang benar-benar mahir merawat menggunakan kaedah tradisional dan ada pula bomoh yang menggunakan khidmat dan bantuan jin dan syaitan.




Secara umum, golongan bomoh yang mempunyai kepakaran menggunakan kaedah rawatan tradisional seperti melakukan teknik mengurut, mengguna pakai ramuan herba dan seumpamanya adalah harus hukumnya. Perkara itu tidak berdosa selagimana tidak mendatangkan kezaliman atau kemudaratan kepada mereka yang dirawat. Begitu juga bagi mereka yang melakukan rawatan yang disebut sebagai perawat Islam, yang menggunakan jampi berlandaskan ayat-ayat al-Quran dan sunnah Nabi. Merawat atau mengubati pesakit dengan cara ruqyah atau jampi yang syar'ie (ayat-ayat al-Quran dan sunnah), adalah harus hukumnya. Bahkan perbuatan menjampi dengan tujuan merawat pernah diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Uthman bin Abi al-Ash yang pernah mengadu kepada Rasulullah SAW perihal sakit yang ada pada jasadnya semenjak dia memeluk Islam. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: "letakkan tanganmu di tempat sakit kemudian baca: “Dengan nama Allah”. (3x). Dan baca: “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan/keburukan yang aku dapati dan aku takuti”. (7x)"

Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, diceritakan bahawa sekumpulan para sahabat bermusafir. Lalu mereka singgah di satu kawasan kabilah Arab. Mereka memohon untuk diterima sebagai tetamu. Malangnya, mereka ditolak. Tiba-tiba ketua kabilah tersebut disengat binatang berbisa. Kabilah tersebut cuba mengubatinya, tetapi gagal. Lalu mereka mencadang supaya pergi mendapatkan bantuan para sahabat yang mereka tolak sebagai tetamu tadi. Salah seorang dari kalangan sahabat Nabi SAW tersebut telah sudi menjampi dengan mensyaratkan upah. Mereka bersetuju. Beliau membaca surah al-Fatihah. Lalu ketua kabilah itu sembuh. Para sahabat ragu-ragu dengan upah yang mereka dapat. Lantas mereka menemui Rasulullah dan bertanya baginda. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tahukah kamu bahawa ia (surah al-Fatihah) merupakan jampi”. Kemudian baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya (perbuatan jampi) kamu betul. Bahagikanlah (upah tersebut). Jadikan satu bahagian untukku”. Lalu, Rasulullah SAW ketawa".

Berdasarkan daripada kisah ini, jelas perbuatan menjampi yang dilakukan oleh para sahabat tidak dibantah oleh Nabi bahkan dibenarkan. Malah melalui hadith ini juga, ianya menjadi bukti bahawa tidaklah salah untuk meminta upah hasil menjampi tersebut. Demikianlah sebahagian bukti keharusan merawat dengan kaedah jampi yang dibenarkan oleh syarak. Namun sebaliknya, Islam sangat melarang umatnya daripada bertemu dan mendapatkan khidmat bomoh yang menggunakan khidmat jin dan syaitan bagi menyelesaikan masalah. Hukumnya adalah haram. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Safiah isteri baginda Nabi, sabda baginda SAW yang bermaksud :

”Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam"

Melihat kepada hadith tersebut, jelas kepada kita bahawa sekiranya berjumpa dengan tukang tilik, bomoh, pawang atau seangkatan dengannya, Allah SWT membenci dan murka akan perkara tersebut. Disebabkan kemurkaan Allah tersebut, Allah tidak akan menerima amalan solatnya selama 40 malam. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarh al-Nawawi 'ala Muslim, beliu menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Allah tidak menerima solatnya selama 40 malam adalah solat yang dilakukannya tidak mendapat ganjaran pahala. Demikian menunjukkan betapa Allah sangat benci akan perbuatan bertemu bomoh tersebut. Selain itu, dalam hadith lain, menyatakan bahawa sekiranya bertemu dengan bomoh atau seangkatannya, lalu mempercayainya pula dengan apa yang dikatakan oleh bomoh tersebut, maka sesungguhnya orang tersebut telah mengingkari dengan apa yang dibawakan oleh baginda Rasul.




Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

”Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.”

Ketika mensyarahkan hadith tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari, menyatakan bahawa lafaz-lafaz ini jelas menunjukkan ancaman bagi yang datang berjumpa dengan dukun dan sebagainya. Demikian komentarnya menunjukkan ketegasan ancaman bertemu dan percaya kepada bomoh, dukun, pawang dan seangkatan dengannya. Lebih berbahaya lagi, apabila realiti hari ini memperlihatkan kelicikan para bomoh ini yang mengaburi mata masyarakat dengan perwatakan agama seperti memakain cincin, memakai serban, kopiah, berjubah dan selainnya. Walhal, perwatakan luaran bukanlah penentu kepada benar atau salah. Tetapi yang menentukan benar atau salah tersebut ialah kaedah yang digunakan. Sekalipun berjubah atau berserban, namun menjampi dengan ayat-ayat mantera, memuja, menyeru jin dan syaitan, menggunakan khidmat syaitan, ianya tetap haram hukumnya.

Oleh yang demikian, kita seharusnya menjadi lebih bijak dalam menggunakan perkhidmatan perubatan yang disebut sebagai perbomohan ini. Masyarakat perlu sentiasa diingatkan agar berwaspada selalu bagi mengelak daripada ditipu, dibohongi dan diperdaya oleh mereka yang menjalankan aktiviti perbomohan dengan menunggang nama agama. Betapa banyaknya hari ini seperti tumbuhnya cendawan, para bomoh yang karut ini sudah tidak lagi secara bersembunyi mempromosikan khidmat mereka malah semakin berani menampilkan diri di khalayak awam. Mempromosikan rawatan dengan mengaburi mata orang awam melalui perwatakan beragama. Keharusan mengubati dengan jampian adalah dengan syarat jampian tersebut bersumberkan wahyu Allah dan tidak menggunakan khidmat syaitan dan jin. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Jumaat, 2 Ogos 2024

SISTEM PERCUKAIAN DALAM ISLAM

 

Sesebuah ketamadunan yang dibina oleh umat manusia tidak dapat boleh menafikan tentang kepentingan pembangunan ekonomi yang menjadi antara tulang belakang kejayaan sesebuah negara. Umat manusia dari zaman ke zaman lagi, sentiasa mengorak langkah menyusun gerak berusaha mencari peluang menjana ekonomi yang tentunya untuk mendapat manfaat dan pulangan yang baik. Turut berfungsi memainkan peranannya ialah institusi pemerintahan yang mempunyai kuasa merangka dan melaksanakan pelbagai dasar demi mengaut pendapatan untuk negara. Antara dasar yang hampir seluruh dunia melaksanakannya adalah dasar percukaian. Melalui percukaian yang dipungut, secara tidak langsung membantu sesebuah negara merancang pembangunan.

Perkataan cukai menurut kamus Dewan Bahasa membawa maksud bayaran yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan, perbadanan, syarikat dan barang-barang untuk perbelanjaan negara. Istilah cukai juga sebagaimana yang dijelaskan maksudnya oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OCED) sebagai suatu pajakan yang bersifat diskriminasi terhadap barang atau jasa yang mempunyai kesan luaran tertentu dan mempunyai sifat mewah. Dalam catatan sejarah dunia Islam, sistem percukaian telah bermula pada zaman Rasulullah SAW menerusi pembentukan Piagam Madinah. Dalam piagam tersebut, ditetapkan bayaran yang disebut sebagai "Jizyah" untuk orang bukan Islam dan zakat untuk orang Islam.




Setelah Islam berkembang luas, pada zaman khalifah Umar al-Khattab, beliau telah memperkemaskan lagi sistem percukaian ini dengan melaksanakan beberapa cukai lain seperti cukai al-Kharaj (cukai tanah), cukai al-'Usyur (cukai perdagangan) dan selainnya. Begitulah jika dilihat dalam kerangka sejarah dunia Islam berkaitan pengenalan sistem percukaian. Namun begitu, selari dengan kebijaksanaan umat manusia yang sentiasa mahu berfikir, sistem percukaian ini telah menjadi isu polimik dikalangan segelintir umat Islam yang melihat bahawa sistem cukai tersebut tidak seharusnya dikenakan terhadap mereka yang beragama Islam. Ini kerana pada zaman Rasulullah SAW, tiada seorang pun orang Islam yang dikenakan cukai melainkan dikutip daripadanya ialah zakat. Apakah benar dakwaan bahawa Islam melarang umatnya dari dikenakan sebarang percukaian ? Jika benar, apakah adil untuk orang Islam dan orang bukan Islam ?

Sebenarnya isu percukaian ini merupakan perkara yang letak duduknya di dalam ruang lingkup pentadbiran hal ehwal negara umat Islam. Bila dilihat dalam ruang lingkup itu, tentunya pihak pemerintah yang mentadbir hal ehwal negara tersebut mestilah menilainya dengan teliti menggapai aspek kebaikan (maslahah) dan menolak kemudaratan selagi hal tersebut tidak bercanggah dengab tuntutan syarak. Ini bermakna, bagi menentukan dasar percukaian bukan sahaja melihat pada aspek keagamaan Islam dan bukan Islam, tetapi perlu juga diteliti aspek kebaikan bersama sebagai rakyat dan berusaha untuk mengelakkan dari sebarang mudarat pada kesejahteraan hidup bernegara. Dalam nilai hukum Islam, para sarjana Islam berbeza dalam menyatakan pandangan hukum mengenakan atau melaksanakan kutipan cukai terhadap rakyat. Perbezaan pandangan ini memperlihatkan kepada kita sekurang-kurangnya terdapat dua golongan yang berbeza pandangan .




Bagi golongan pertama, mereka menyatakan bahawa hukum haram mengenakan cukai atau melaksanakan kutipan cukai terhadap rakyat. Pandangan ini sebagaimana yang telah diungkapkan oleh para sarjana terdahulu seperti Ibnu Muflih, al-Buhuti, al-Hijawi dan Ibnu al-Azraq. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami turut menjelaskan bahawa pengutip cukai, penulisnya, saksinya, penjaganya, wakil-wakilnya, dan selain yang berkaitan dengan kutipan cukai merupakan dosa besar pembantu kezaliman, bahkan memungut cukai itu sendiri merupakan suatu kezaliman. Para pengutip cukai mengambil harta manusia secara haram dan mengagihkannya kepada orang yang tidak berhak. Oleh sebab itu, pengutip cukai tidak masuk syurga kerana dagingnya tumbuh daripada sumber-sumber haram. Selain itu, dikalangan para sarjana terkemudian seperti Mulla `Ali bin Sultan al-Harawi al-Qari turut menyatakan bahawa kutipan cukai sebagai suatu bentuk kezaliman.

Bagi golongan pertama yang menyatakan hukum haram, mereka berhujah berdasarkan al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Berdasarkan ayat tersebut, mereka berpandangan bahawa mengutip cukai adalah sebahagian daripada bab mengambil harta yang bukan menjadi hak untuk diambil. Selain itu, mereka juga berhujah berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Ahmad, daripada Ruwaifi' bin Thabit berkata, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya pemimpin yang mengenakan al-Maks (sebahagian ulama menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka.”




Bagi golongan kedua, mereka menyatakan hukum harus mengenakan cukai atau mengutip cukai kepada rakyat. Bagi mereka, adalah harus untuk mengenakan cukai kepada rakyat dengan kadar untuk memenuhi kebaikan umum pentadbiran negara. Pandangan ini telah dinyatakan oleh Ibn Hazm, Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi dan Ibn Khaldun. Turut menyatakan pandangan yang sama ialah Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Imam al-Mawdudi, al-Qaradhawi dan Syeikh Dr. Ahmad al-Raysuni. Seperti kata al-Syatibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menjelaskan bahawa :

“Jika seseorang pemimpin yang ditaati oleh rakyatnya berhajat untuk menambah bilangan tentera untuk menjaga perbatasan negara serta memelihara kestabilan kuasa yang semakin luas kepada tanah jajahan yang lain, sedangkan sumber perbendaharaan negara dalam Baitulmal sudah habis, serta keperluan tentera semakin meningkat dan perbelanjaan tidak mencukupi, maka pemimpin - dengan syarat beliau seorang yang adil - boleh mengenakan cukai kepada rakyat yang kaya bagi memenuhi keperluan tersebut. Sehinggalah perbendaharaan negara dalam Baitulmal sudah kembali mencukupi..."

Golongan kedua yang menyatakan hukum harus mengenakan cukai, mereka berhujah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 41 yang bermaksud :

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Menurut al-Qaradhawi, Ibn Hazm dan Ibn Taimiyyah, berdasarkan ayat tersebut, kewajipan berjihad dengan mengeluarkan harta tidak termasuk kewajipan membayar zakat. Ini membuktikan bahawa selain daripada wajib membayar zakat, umat Islam juga wajib mengeluarkan hartanya untuk berjihad. Dan antara urusan jihad ialah kerajaan memerlukan perbelanjaan ketenteraan bagi menjamin keselamatan negara. Oleh itu, kerajaan boleh mengenakan cukai sebagai salah satu cara memenuhi maslahah tersebut. Selain itu, mereka turut berhujah berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat al-Tirmizi, daripada Fatimah binti Qais, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya dalam harta itu ada hak yang wajib dikeluarkan selain zakat.”

Demikianlah pandangan kedua-dua golongan dalam permasalahan percukaian. Berdasarkan kepada perbezaan tersebut, pandangan kedua yang menyatakan hukumnya harus dilihat lebih kuat selain pandangan kedua ini menjadi pendapat majoriti para ulama termasuk para imam pendiri mazhab iaitu Imam Malik, Imam al-Syafie'i dan Imam Hanbali. Selain itu, pandangan harus ini juga menepati sebagaimana yang dibuat oleh Umar al-Khattab yang mengembangkan sistem percukaian dengan cukai-cukai baharu. Ini secara tidak langsung, menggambarkan kepada kita bahawa pihak pemerintah atau kerajaan berhak untuk mengenakan cukai demi kemaslahatan (kebaikan) bersama. Oleh itu, turutilah arahan pemerintah dengan membayar cukai agar kesejahteraan negara terjamin selain diberkati warganya oleh Allah SWT kerana mentaati pemerintah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 29 Julai 2024

TRAGEDI KARBALA : EPISOD HITAM KRISIS POLITIK

 

Dalam kamus kehidupan umat manusia, soal kekuasaan politik merupakan antara isu yang tidak akan habis diperkatakan sejak zaman berzaman lagi. Selari dengan perubahan dunia yang semakin kompleks, soal kuasa politik saban hari menghantui umat manusia sehingga sanggup berbunuhan antara satu sama lain. Ini kerana kelangsungan kuasa politik yang dimiliki bukan sahaja akan memenuhi cita-cita peribadi bahkan mampu mencetuskan pengaruh besar untuk menguasai apa sahaja yang mahu dilakukannya. Politik pada dasarnya mampu menawarkan keamanan hidup kepada manusia secara langsung. Pun begitu, apabila dasar tersebut telah dicemari dengan kehendak nafsu serakah, maka apalagi yang tinggal melainkan kelam mata membuat durjana demi mencapai kehendak peribadinya.

Nama "Karbala" sentiasa diingati sebagai sejarah hitam berdarah yang telah melukakan jantung hati umat Islam sedunia. Karbala telah membawa kita untuk mengimbau kembali suatu tragedi berdarah dan peristiwa tersebut menjadi kontroversi sepanjang zaman antara Sunni-Syiah. Perkataan Karbala merujuk kepada nama sebuah bandar di Iraq. Jaraknya hampir kurang lebih 100 kilometer dari arah sebelah barat daya kota Baghdad, yang merupakan ibu negara Iraq. Maksud bagi ungkapan Karbala, sebahagiannya ilmuan mendakwa nama tersebut berasal dari bahasa Asyyria Kuno yang membawa makna "Karb" sebagai dekat dan "ala" sebagai Tuhan. Dalam bahasa Parsi, "Kaar" bermaksud kerja dan "Bala" bermaksud lebih tinggi. Berkaitan nama Karbala juga, dalam sebuah riwayat, Saidina Hussain pernah berkata mengenai nama Karbala dengan ungkapan Karbun (susah) dan Bala (bencana).




Dalam kita berbicara soal tragedi berdarah ini, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, Minhajus Sunnah, beliau menyatakan bahawa :

“Orang-orang yang meriwayatkan pertikaian Hussain RA telah memberikan tambahan dusta yang sangat banyak, sebagaimana juga mereka telah membubuhkan dusta pada peristiwa pembunuhan terhadap Utsman RA, sebagaimana mereka juga memberikan tambahan cerita (dusta) pada peristiwa-peristiwa yang ingin mereka besar-besarkan, seperti dalam riwayat mengenai peperangan, kemenangan dan lain sebagainya. Para penulis tentang berita pembunuhan Hussain RA, ada diantara mereka yang merupakan ahli ilmu seperti al-Baghawi dan Ibnu Abi Dunya dan sebagainya. Namun demikian, diantara riwayat yang mereka bawakan ada yang terputus sanadnya. Sedangkan yang membawakan cerita tentang peristiwa ini dengan tanpa sanad, kedustaannya sangat banyak”

Berdasarkan apa yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam, maka menjadi kewajipan untuk kita semua memastikan penceritaan atau kronologi peristiwa ini mestilah bersumberkan riwayat yang sahih tanpa tokok tambah. Dalam hal ini, terdapat riwayat-riwayat sahih seperti yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, juga seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wal-Nihayah dan lain-lain riwayat lagi yang sahih. Episod dukacita di Karbala ini bermula setelah Yazid bin Muawiyah menaiki takhta pemerintahan selepas kemangkatan bapanya, Muawiyah bin Abu Sufyan. Sebelum daripada Muawiyah, Hasan bin Ali bin Abu Talib, anak kepada Saidina Ali dan cucunda baginda Nabi SAW telah diangkat sebagai khalifah. Hasan bin Ali bin Abu Talib diangkat menjadi khalifah setelah perginya menuju ilahi ayahandanya, Saidina Ali bin Abu Talib. Demikian rentetan ringkas perjalanan kepimpinan Islam yang silih berganti sehinggalah digantikan oleh Yazid bin Muawiyah.

Semasa hujung hayat Muawiyah RA, beliau yang menjadi khalifah yang berpusat di Syam, setelah mengambil kira pandangan banyak pihak dan ditimbang tara akan semua hal, maka beliau telah mewasiatkan agar penggantinya ialah anaknya Yazid bin Muawiyah. Setelah Muawiyah RA meninggal dunia, maka diangkat pula Yazid bin Muawiyah sebagai khalifah dengan mengekalkan pusat pentadbirannya di Syam. Sejurus menjadi khalifah, Yazid bin Muawiyah telah mengutus surat kepada Gabenor Madinah, al-Walid bin Uqbah dengan mengkhabarkan akan kematian bapanya dan beliau telah diangkat menjadi khalifah. Beliau telah menuntut agar penduduk Madinah berbai'ah kepadanya. Khabar berita mengenai Yazid bin Muawiyah diangkat sebagai khalifah telah sampai ke pengetahuan al-Hussain dan beberapa sahabat Nabi lain seperti Abdullah bin Umar, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan lain-lain. Pada masa sama, penduduk di Kufah yang terletak di Iraq, yang juga merupakan kawasan paling berpengaruh dengan pemerintahan Saidina Ali bin Abu Talib, telah mengutus surat kepada Saidina Hussain dan memintanya datang ke Kufah kerana penduduk disana telah bersedia berbai'ah melantiknya sebgaai khalifah.




Dalam banyak riwayat, disebutkan sejumlah 500 surat yang telah dihantar dan diterima oleh al-Hussain memujuknya untuk beliau datang ke Kufah bagi dilantik sebagai khalifah. Bagi memastikan kesahihan isi surat tersebut, al-Hussain telah meminta sepupunya, Muslim bin Aqil untuk pergi ke Kufah bagi meninjau dan menyelidiki akan kesahihan surat tersebut. Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Muslim bin Aqil, kira-kira sejumlah 12 ribu orang Kufah telah sedia berbai'ah melantik al-Hussain sebagai khalifah. Maka dengan itu, al-Hussain telah menyatakan hasratnya untuk ke Kufah kepada para sahabat. Namun begitu, para sahabat tidak bersetuju dengan hasrat tersebut kerana sebelum daripada itu, penduduk Kufah telah banyak melakukan masalah kepada pemerintahan ayahandanya, Ali bin Abu Talib. Antara yang membantah hasrat al-Hussain ialah Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair dan Abu Sa'id al-Khudri.

Sementara itu di Kufah, dibawah pemerintahan khalifah Yazid bin Muawiyah, gabenor di Kufah ialah Nu'man bin Basyir, yang merupakan seorang sahabat Nabi SAW. Nu'man telah mendengar berita mengenai Hussain yang mahu diangkat oleh penduduk Kufah sebagai khalifah di sana. Namun begitu, Nu'man tidak sangat mempedulikan hal itu. Sehinggalah khabar berita tersebut telah disampaikan oleh beberapa pengampu kepada Yazid dengan menyatakan Nu'man tidak berbuat apa-apa untuk pertahankan pemerintahannya. Sejurus itu, Yazid telah mengambil keputusan untuk memecat Nu'man bin Basyir dan melantik Ubaidillah bin Ziyad sebagai gabenor baharu menggantikan Nu'man bin Basyir. Ubaidillah sebelum itu merupakan gabenor di Basrah. Ini bermakna, Ubaidillah diberi amanah untuk berkuasa di Kufah dan Basrah. Setelah beliau diberi mandat, maka Ubaidillah telah menyelidiki akan berita konspirasi melantik Hussain sebagai khalifah. Beliau telah menghantar Ma'qil sebagai matanya di Kufah untuk menyiasat hal tersebut.

Hasil siasatan yang dilakukan oleh Ma'qil, beliau telah mendapati Hani' bin Urwah merupakan ketua kepada gerakan tersebut. Maka Ubaidillah bin Ziyad telah menangkap Hani' bin Urwah. Akibat tindakan menangkap ketua tersebut, semua penduduk Kufah telah berpaling tadah dengan tidak lagi mahu berbai'ah kepada al-Hussain kerana takut diapa-apakah oleh tentera Syam. Utusan al-Hussain ke Kufah, Muslim bin Aqil telah dibunuh. Setelah itu, Ubaidillah bin Ziyad telah mengutuskan al-Hurr bin Yazid al-Tamimi untuk menahan rombongan al-Hussain ke Kufah. Al-Hurr telah menahan al-Hussain dan rombongannya di Qadisiyyah dan meminta Hussain untuk pulang dan jangan pergi ke Kufah. Pada ketika itu juga, Hussain telah menerima berita kematian Muslim bin Aqil. Sejurus itu, Hussain seperti ada hasrat untuk berpatah balik. Pun begitu, anak-anak keluarga Muslim bin Aqil yang juga antara ahli rombongan Hussain, menegaskan bahawa mereka tidak perlu berpatah balik dan perlu menuntut bela kematian bapa mereka iaitu Muslim bin Aqil.




Maka Saidina Hussain bersama rombongan meneruskan perjalanan ke Kufah. Setibanya Hussain dan rombongan di Karbala, Umar bin Saad bin Abi Waqas menunggu di sana dengan sejumlah empat ribu angkatan tentera Syam. Beliau merupakan wakil gabenor Ubaidillah bin Ziyad. Umar bin Saad telah meminta Hussain untuk berpatah balik. Maka al-Hussain telah memberi 3 pilihan kepada Umar bin Saad. Pertama, Hussain dan rombongan berpatah balik. Kedua, Hussain akan pergi ke mana-mana wilayah lain dan ketiga, Hussain bertemu Yazid dan berbai'ah padanya. Maka Umar bin Saad bersetuju dengan pilihan ketiga dan membawa mesej tersebut kepada gabenor. Setelah itu, gabenor dinasihati oleh seorang pengampunya, Syamrun bin Dzil Jausyan, untuk meminta al-Hussain menyerah diri di Kufah. Maka Ubaidillah telah menghantar Syamrun untuk selesaikan dengan al-Hussain. Maka Syamrun telah berdepan dengan al-Hussain dan meminta al-Hussain menyerah diri kepada gabenor Kufah.

Al-Hussain telah meminta ruang untuk beliau menunaikan solat malam dahulu sebelum berfikir memberikan jawapan. Namun begitu, pada masa yang sama, rombongan al-Hussain yang terdiri daripada ahlul bait antaranya anak-anak Saidina Ali yang lain yang bernama Umar, Abu Bakar, Utsman, anak-anak kepada Muslim bin Aqil dan termasuk juga anak kepada al-Hussain, Ali Akhbar, telah menyerang tentera Syam dan kesemuanya gugur di medan perang. Ekoran itu, tentera Syam telah mengepung Hussain dan telah membunuh Hussain. Kepala al-Hussain telah dipancung yang sebahagiannya mengatakan dipancung oleh Sinan bin Anas dan sebahagian lain mengatakan Syamrun yang memancungnya. Kepala al-Hussain telah dibawa kepada Ubaidillah bin Ziyad, gabenor Kufah dan Basrah. Ubaidillah bin Ziyad telah menjolok mulut Hussain. Lalu Anas bin Malik berkata kepada Ubaidillah kecelakaan untuk kau. Anas bin Malik dengan tegas berkata beliau pernah Rasulullah cium pipi al-Hussain.

Sesungguhnya pembunuhan al-Hussain bukanlah arahan oleh Yazid bin Muawiyah. Sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, pembunuhan al-Hussain bukanlah datang dari arahan Yazid. Ini kerana Yazid bin Muawiyah sendiri menyesali dan merasa sedih dengan apa yang telah berlaku. Adapun cerita yang mendakwa Yazid lah yang memberi arahan untuk membunuh adalah datang daripada riwayat yang batil. Dalam isu ini, umat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan. Pertama, kumpulan yang disebut sebagai Nawasib, yang menyokong usaha membunuh al-Hussain kerana mereka mendakwa al-Hussain ingin menentang khalifah. Kedua, kumpulan Syiah yang mengagumi al-Hussain. Ketiga, kumpulan Ahlus Sunnah yang menyatakan sedih akan peristiwa tersebut tetapi tidaklah sehingga mencerca para sahabat. Demikianlah sejarah panjang yang mendukacitakan kita. Tidak ada sesiapa yang suka akan episod hitam ini namun itulah realitinya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Khamis, 18 Julai 2024

HAK PENJAGAAN ANAK : ANTARA ISLAM DAN BUKAN ISLAM

 

Anak-anak adalah anugerah Allah SWT yang dikurniakan untuk umat manusia. Anugerah yang tidak ternilai ini bukan sahaja dianggap sebagai penyeri kehidupan berumahtangga, malah padanya juga disertakan amanah besar oleh Allah bagi mencorakkan diri anak-anak ini menjadi manusia yang berguna kelak. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah at-Taghabun ayat 15, Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya anak-anak yang dikurniakan itu merupakan salah satu ujian bagi umat manusia, untuk menguji sama ada anak-anak ini akan menjadi nilai tambah keimanan dan ketaqwaan kepada Nya atau sebaliknya menjadi fitnah, menambah dosa dan kemurkaan Nya.

Dalam soal menjaga dan membesarkan anak-anak, antara isu yang seringkali menjadi perhatian masyarakat ialah apabila terjadinya perebutan hak penjagaan anak oleh kedua ibubapa yang berlainan agama. Hal ini acapkali menjadi dilema bagi mereka yang baharu memeluk agama Islam. Apabila salah seorang pasangan, baik si suami ataupun si isteri, mengambil keputusan untuk kembali ke fitrah dengan memeluk agama Islam, namun pasangannya enggan turut bersama memeluk Islam, maka jalan penyelesaiannya ialah dengan membubarkan perkahwinan. Setelah perkahwinan dibubarkan, menjadi dilema bagi mereka ialah soal tuntutan hak penjagaan anak. Persoalan ini pasti menjadi dilema kepada mereka yang memeluk Islam dan mempunyai anak melalui perkahwinan terdahulu, lebih-lebih lagi jika anak-anak itu masih kecil dan memerlukan perhatian ibubapa.




Hak penjagaan anak dari sudut istilah syarak, disebut sebagai hadanah. Berdasarkan nukilan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj karangan Syeikh Khatib al-Syarbini, hadanah pada sudut syarak difahami sebagai sebagai menjaga individu yang tidak dapat berdikari daripada menguruskan diri sendiri, memeliharanya daripada setiap sesuatu yang menyakitinya lantaran ketidakmampuan jagaan itu untuk melakukan tamyiz (membezakan baik dan buruk), seperti kanak-kanak dan orang gila yang dewasa; serta mendidik atau mengasuhnya yakni membesarkan anak jagaan dengan apa yang sesuai dan munasabah, pada pelaksanaannya, dengan memberikan makan, minum dan seumpamanya. Perbelanjaan untuk penjagaan itu datang dari harta anak jagaan, jika tiada baginya harta, maka tanggungjawab itu adalah ke atas individu yang menanggung nafkahnya.

Melihat kepada persoalan khusus ini, tuntutan hak penjagaan anak melibatkan kedua-dua pihak yang telah berlainan agama, pastinya disana peranan untuk memahami panduan Islam selain melihat kepada peruntukkan undang-undang yang ada sangat penting dan mustahak sekali. Ini kerana bukan sahaja soal sentimen agama namun terkait juga dengan hukum dan pandangan Islam dalam memelihara kesucian agama ini. Dalam konteks panduan agama, para ulama berbeza pandangan dalam menilai kerangka isu tersebut. Perbezaan pandangan ini berlaku berdasarkan kepada sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Rafi‘ bin Sinan R.A yang bermaksud :

"Bahawa dia telah memeluk Islam manakala isterinya pula enggan memeluk Islam. Lalu Isterinya pergi menemui Rasulullah SAW seraya berkata : “Ini anakku!”, yakni merujuk kepada anak perempuannya yang telah putus susu atau dalam tempoh tersebut. Rafi‘ juga berkata : “Ini anakku!” Lalu Baginda SAW bersabda kepada Rafi‘ : “Duduklah kamu di satu sudut. Dan Baginda SAW berkata kepada si ibu pula : ‘Duduklah kamu di satu sudut yang lain.’ Lalu Baginda SAW meminta keduanya untuk memanggil anak mereka. Setelah itu, anak tersebut cenderung kepada ibunya. Maka Nabi SAW pun berdoa : ‘Ya Allah berikannya (anak kecil tersebut) petunjuk.’ Kemudian anak tersebut cenderung kepada bapanya dan dengan itu dia (si bapa) mengambilnya (mengambil hak penjagaan anak tersebut).”




Bagi memahami dengan lebih terperinci berkaitan perbezaan pandangan yang wujud, Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menjelaskannya dalam kitab beliau, Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, beliau menjelaskan di sisi fuqaha’ al-Hanafiyyah, mereka berpandangan seorang ibu yang zimmiyyah (bukan muslim yang hidup di bawah perlindungan negara Islam) berhak menjaga anaknya yang beragama Islam, selagi dia tidak menunjukkan kesalahan dalam agama. Mereka berjustifikasi dengan mengatakan bahawa pemeliharaan anak didasarkan pada rasa simpati, dan ibu, sama ada seorang Muslim atau seorang zimmiyyah, memiliki simpati yang lebih mendalam terhadap anaknya daripada orang lain. Dan perbezaan agama antara ibu dan anak tidak mengubah rasa simpati ini. Akan tetapi, sekiranya anak itu akan dicampur adukkan agamanya, maka hak penjagaan ini gugur dari ibu tersebut kerana berkemungkinan berlakunya mudharat.

Turut senada dengan pandangan tersebut ialah para fuqaha’ al-Malikiyyah. Mereka juga berpandangan persamaan agama antara penjaga dan anak bukanlah syarat dalam hak penjagaan. Maka tidak boleh ditarik hak penjagaan ibu yang zimmiyyah. Jika dikhuatiri si ibu akan memberi makan anaknya dari babi, atau memberinya minum arak, maka hak penjagaannya disertai oleh orang Islam lain yang boleh memantau penjagaannya terhadap anak itu. Ini supaya terealisasinya 2 maslahah ; hak penjagaan anak bagi ibu kandung, dan memelihara agama anak tersebut. Kedua-dua pandangan oleh mereka ini berhujahkan pada hadith Rafi‘ bin Sinan RA. Berbeza pula dengan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, al-Hanabilah dan satu pandangan yang kuat dari Imam Malik. Mereka berpandangan bahawa perbezaan agama merupakan penghalang kepada hak penjagaan anak. Maka orang bukan Islam tidak berhak menjaga anak yang beragama Islam.

Pandangan ini ditegaskan berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Nisa' ayat 141 yang bermaksud :

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.”

Adapun tentang hadith riwayat oleh Rafi‘ bin Sinan RA, mereka turut menyatakan hujah dengan kefahaman hadith tersebut yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW berharap dengan doa itu agar Allah SWT berikan petunjuk kepada anak tersebut. Maka anak itu pun pergi kepada ayahnya yang beragama Islam. Ini bermakna jika anak tersebut berada dengan ibunya yang bukan Islam, maka dia tidak mendapat petunjuk Allah SWT. Justifikasi mereka, kerana tujuan asal hak penjagaan anak adalah untuk tarbiah si anak dan mengelakkan sebarang kemudharatan menimpanya. Dan tarbiah yang paling penting adalah menjaga agama, dan cara mempertahankan agamanya adalah dengan menjauhkannya dari orang bukan Islam.




Maka melihat kepada perbezaan pandangan ini, dapat kita rumuskan kepada dua pandangan. Pandangan pertama dengan menyatakan bahawa tidak boleh diberikan hak penjagaan anak kepada selain orang Islam. Ini bermakna, hak penjagaan anak adalah tertakluk kepada mereka yang beragama Islam. Dalam pada itu, pandangan kedua pula menyatakan bahawa perbezaan agama tidak menjadi faktor penghalang untuk mendapatkan hak penjagaan. Ini kerana perkara yang lebih mustaka yang perlu diberi pertimbangan ialah berkenaan soal kemampuan dalam menguruskan anak jagaan tersebut. Ini bermaksud mereka yang berhak menjaga anak adalah mereka yang dapat membuktikan kemampuan dari sudut memenuhi keperluan seorang anak. Demikian secara mudah untuk kita fahami perbezaan pandangan yang wujud berkaitan isu hak penjagaan anak bagi mereka yang berlainan agama.

Dalam isu ini, di peringkat kebangsaan, melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-87 yang bersidang pada 25 Jun 2009, telah memutuskan bahawa di dalam Islam, majoriti ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam. Keputusan muzakarah ini telah diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Pahang. Berbeza pula dengan negeri Perlis, melalui mesyuarat Jawatankuasa Fatwa kali ke-18 tahun 2015 yang telah bersidang pada 22-23 April 2015, telah memutuskan bahawa pasangan bukan Islam yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka hak hadanah tidak dinilai berdasarkan kepada agama ibu atau bapa. Sebaliknya diserahkan kepada sesiapa yang lebih dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya (syafaqah). Dalam masa yang sama, ibu atau bapa yang muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak. Demikianlah perbezaan yang wujud. Walau apapun dalam hal ini, sewajarnya merujuk pihak berkuasa agama negeri masing-masing selari dengan keputusan yang dibuat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 15 Julai 2024

DERMA ORGAN MENURUT PANDUAN ISLAM

 

Sesungguhnya kesempurnaan hidup ini adalah berdiri diatas apa yang telah dikurniakan oleh ilahi. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada yang paling besar dalam hidup ini, tiada sesiapa yang boleh menyanggah akan nikmat pemberian Tuhan ini yang begitu ternilai dan tiada tolak bandingnya. Dengan pemberian nikmat tersebut, manusia dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Nikmat mata yang dapat melihat, telinga yang dapat mendengar, mulut yang dapat merasai makanan dan pelbagai lagi nikmat yang jika dihitung oleh manusia pastinya tidak akan tamat mengiranya. Tanpa nikmat asas ini, manusia mampu hilang semangat, hilang darjat kebiasaan hidup.

Isu pendermaan organ merupakan isu baharu yang diperbincangakan oleh para ilmuan Islam. Ini kerana kita tidak akan dapat menemui perbincangan mengenainya di dalam kitab-kitab klasik melainkan dibincangkan oleh para sarjana kontemporari menerusi kitab-kitab zaman sekarang. Perkataan "derma organ" secara dasarnya merupakan gabungan dua perkataan asal iaitu derma dan organ. Menurut portal MyHealth, pendermaan organ ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi (pemindahan) organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik.




Dalam istilah perubatan, pendermaan organ disebut sebagai transplantasi atau transplan. Berdasarkan definisi yang digagaskan oleh World Health Organization (WHO), transplantasi atau transplan ialah pemindahan sel, tisu atau organ manusia daripada penderma kepada penerima dengan tujuan mengembalikan fungsi-fungsi penting badan. Secara mudahnya, kita boleh fahami bahwa pendermaan organ ini merupaka suatu proses pemindahan organ penderma yang baik dan boleh digunapakai untuk penerima yang memerlukannya dengan tujuan demi kelangsungan kehidupannya. Pendermaan organ ini boleh dilakukan sama ada dalam keadaan masih hidup atau setelah penderma meninggal dunia.Semasa hayat, penderma organ hanya boleh mendermakan organ satu buah pinggang, sebahagian hati dan sum-sum tulang sahaja.

Berbeza dengan penderma organ setelah meninggal dunia, para penderma organ boleh mendermakan organ jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang. Selain turut boleh mendermakan tisu seperti injap jantung, mata (kornea), tulang dan kulit. Namun begitu, semua jenis pendermaan ini pastinya perlu melalui proses penilaian dan pendokumentasian yang sah dari sudut undang-undang negara. Ini kerana terdapat juga sebahagian mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan penjualan organ secara haram merentasi sempadan antarabangsa dan hal tersebut merupakan jenayah merentas sempadan. Dalam konteks Malaysia, melalui perolehan data oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga 31 Januari 2015, sejumlah 19,353 orang rakyat Malaysia yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ dan majoriti daripadanya adalah pesakit buah pinggang.

Dalam soal menderma organ ini, terdapat beberapa panduan dalam Islam yang menggariskan tentang hukum menderma organ. Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Imam al-Syatibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menjelaskan bahawa :

“Sesungguhnya kebaikan dan keburukan berbeza. Tidak dapat dikatakan bahawa padanya kebaikan sahaja, kerana kebaikan itu tetap ada bercampur dengan suruhan atau kerumitan, samada sedikit atau banyak. Apa yang kita fahami adalah sesuatu itu mempunyai kebaikan atau keburukan. Penentunya adalah bergantung kepada apa yang terlebih padanya. Jika yang melebihi adalah jenis kebaikan, maka keadaan biasa menghukumkan sebagai kebaikan. Tetapi jika keburukan yang lebih berat, maka mengikut keadaan, ia adalah keburukan. Oleh itu, hendaklah melihat yang mana lebih berat daripada dua keadaan itu. Jika jenis kebaikan lebih berat, maka perkara itu adalah diambil dan jika jenis keburukan yang lebih berat, maka haruslah ditinggalkan.”




Maka yang demikian, kita akan mendapati para sarjana Islam berbeza pandangan mengenai hukum menderma organ berkait kepada pertimbangan-pertimbangan tertentu berdasarkan wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan pertama, sebahagian para sarjana Islam menyatakan tidak harus menderma organ. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud :

"Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan".

Berdasarkan pemahaman ayat ini, Dr. al-Sukkari menyatakan dalam kitabnya, Naqlu wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami, beliau menjelaskan bahawa Allah SWT melarang kita mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Seseorang yang berhias dengan sebahagian anggota jasadnya boleh membawa kepada kebinasaan dan ini bukanlah dituntut. Perkataan "kebinasaan" dalam ayat ini merupakan lafaz umum yang mengandungi semua perkara yang membawa kearah itu. Justeru, memotong anggota diri sendiri menuju ke arah hilangnya manfaat dan membawa kebinasaan. Menyokong ayat ini dengan kaedah pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus mengikut takrifan ulama usul. Demikian apa yang dijelaskan. Selain itu, turut menjadi hujah hukum tidak harus mendermakan organ ialah berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn Majah, daripada Ummul Mukminin Aisyah RA katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Memecahkan tulang si mati sama seperti memecahkan tulang orang hidup pada hukum berdosanya.”

Berdasarkan hadith ini, apa yang difahami seolah-olah mengambil organ orang yang telah meninggal dunia sama hukumnya seperti orang itu masih hidup. Maka menyakiti si mayat dengan membedah mengambil organnya sama seperti menyakiti orang tersebut ketika masih hidup. Ini bermakna hadith tersebut menunjukkan bahawa orang yang hidup diharamkan memecah dan merosakkan tulangnya. Begitu juga memotong sebahagian anggotanya. Keadaan tersebut juga merupakan hal yang sama berlaku kepada si mati. Demikian pula berdasarkan kaedah fiqh iaitu “kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan" dan “kemudaratan tidak dilhilangkan dengan seumpamanya”, menjelaskan kepada kita berkenaan tegahan daripada menghilangkan kemudaratan dengan seumpamanya. Hal ini bertepatan dengan apa yang berlaku dalam proses pemindahan organ dimana kemudaratan boleh menimpa si penderma organ.




Adapun pandangan kedua, sebahagian para sarjana menyatakan hukum harus untuk menderma organ berdasarkan hujah dan bukti dari wahyu Allah dan kaedah fiqh. Penetapan hukum harus menderma organ adalah berdasarkan beberapa kaedah tertentu. Antara lainnya disebutkan bahawa pemindahan organ manusia yang telah meninggal dunia kepada yang masih hidup diharuskan dengan empat syarat. Pertama, hendaklah orang yang diambil sebahagian anggotanya telah mengizinkannya sebelum matinya dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya. Kedua, hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya. Ketiga, hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain dan yang keempat, tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Syarat-syarat tersebut merupakan antara fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa badan berautoriti fatwa seperti al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami (The Islamic Fiqh Council) di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami (Muslim World League) pada tahun 1985, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali (International Islamic Fiqh Academy) di bawah OIC pada tahun 1988, dan badan-badan fatwa yang lain yang turut senada memutuskan hukum harus (dibolehkan) melakukan pemindahan organ atau anggota insan yang masih hidup untuk menyelamatkan insan yang lain. Keharusan ini juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud :

"Oleh sebab itu, kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana mebuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya".

Selain itu, turut menjadi beberapa asas dalam keharusan menderma organ ini berdasarkan kepada tiga kaedah fiqh yang dikemukakan. Berdasarkan al-Qawaid al-Fiqhiyyah, tiga kaedah tersebut ialah “kemudaratan hendaklah dihilangkan", “semua darurat mengharuskan yang haram" dan “apabila sesuatu perkara sempit hendaklah diperluaskan". Demikianlah panduan oleh Islam dalam soal hukum pendermaan organ dan tisu. Berdasarkan perkembangan semasa, pendermaan organ seharusnya digalakkan berdasarkan hukum keharusan tersebut. Hal ini bukan sahaja perbuatan yang berbentuk kebajikan tetapi juga dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Bukankah menyelamatkan nyawa orang lain juga termasuk sebahagian perkara yang memberi kebaikan ? Oleh itu, dengan panduan yang diberikan ini, marilah kita mulakan dengan keazaman untuk menjadi sebahagian daripada penderma organ demi kebaikan bersama. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sabtu, 13 Julai 2024

SIAPAKAH ULAMA DAN UMARA' ?

 

Keilmuan merupakan lambang kepada maju atau mundurnya sesebuah ketamadunan. Harus diakui tanpa ragu, khazanah keilmuan di dunia ini telah banyak melakarkan perubahan ketamadunan umat manusia yang asalnya bersifat tidak tahu dan jahil, kini dengan ilmu yang ada dunia berubah menjadi semakin pantas bergerak. Namun begitu, khazanah keilmuan sahaja tidak mencukupi jika tidak di angkat melalui dasar-dasar yang dibuat oleh pemerintah. Sejarah dunia Islam telah memperlihatkan bagaimana proaktifnya kerajaan dibawah era pemerintahan Khalifah al-Ma'mun di Baghdad sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah, sebuah institusi keilmuan teragung suatu ketika dahulu. Kejayaan ini telah membuktikan keberkesanan kombinasi terpenting antara ulama dan umara'.

Ungkapan "Ulama" berasal dari bahasa Arab yang berbentuk plural (kata banyak). Perkataan ulama terbina diatas kata dasarnya iaitu alim. Alim ialah kata tunggal yang merujuk kepada maksud orang yang mengetahui atau orang yang mempunyai pengetahuan. Ini bermakna, secara literalnya, ungkapan ulama membawa maksud para ilmuan yang menunjukkan kepada banyaknya orang yang berpengetahuan. Pada sudut istilah, perkataan ulama seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, I'lam al-Muwaqqi'in 'An Rab al-'Alamin, ulama adalah golongan fuqaha Islam dimana fatwa-fatwa seringkali dikeluarkan menerusi kata-kata dan pendapat mereka. Mereka berkeahlian dalam mengeluarkan hukum dan memelihara dengan tegas kaedah-kaedah halal dan haram.




Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa ulama ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang dilakukan. Menurut Ibn Abbas, ulama ialah yang mengetahui tentang Tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah serta memelihara peringatan Allah. Demikian pula menurut Imam Ibn Kathir, beliau menyebutkan bahawa tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma’rifat, iaitu mengenali Tuhan menilik hasil kekusaanNya dan kebesaranNya. Maha Besar, Maha Kuasa, yang Maha Berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna. Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah besar dan bertambah banyak.

Jika kita mengamati lagi makna perkataan ulama, kita akan dapati bahawa makna pada ungkapan ulama tidak dapat lari daripada dua sifat utama iaitu berilmu dan takutkan Allah. Ini juga sepertimana yang ditegaskan oleh Syed Qutb melalui penulisannya, beliau menjelaskan bahawa ulama ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesaranNya. Siapa yang bertambah ilmunya maka ia bertambah takut kepada Allah. Begitu juga yang dinyatakan oleh Imam al-Zamakhsyari, beliau menyebutkan bahawa ulama ialah mereka yang mengetahui mengenai sifat Allah, keadilan Nya,ketauhidan Nya, sifat yang harus dan yang tidak harus keatas Nya, maka mereka membesarkan Nya, membesarkan kekuasaan Nya. Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah SWT. Pemaknaan ini juga adalah selari dengan firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud :

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun".

Berdasarkan ayat ini, Syeikh Dr. Muhammad Sulaiman Al Asyqar dalam Zubdatut Tafsir Min Fathil Qadir, beliau menjelaskan bahawa orang yang takut kepada Allah dengan ghaib hanyalah orang-orang yang mengetahui Nya serta mengetahui sifat-sifat dan perbuatan Allah yang sesuai dengan keagungan Nya. Maka barangsiapa yang lebih mengetahui Allah maka ia akan semakin takut kepada Nya, dan barangsiapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukanlah orang yang mengetahui Nya. Demikian apa yang telah dinyatakan. Oleh itu, apa yang boleh kita fahami daripada ungkapan ulama ini ialah perkaitan antara dua sifat terpenting iaitu ilmu yang bermanfaat dan sifat takutnya kepada Allah. Selain itu, perkataan ulama juga membawa makna ilmu yang sangat luas, tidak terhad kepada ilmu agama semata-mata. Namun untuk dikatakan dirinya sebagai ulama mestilah ilmu tersebut menjadikan dirinya semakin taat dan patuh kepada Allah.




Ungkapan "Umara'" juga berasal dari bahasa Arab. Perkataan Umara' merupakan perkataan plural (kata banyak) yang terbina diatas kata dasar Amir dengan membawa maksud penguasa, pemerintah dan pemimpin. Juga sama maknanya dengan perkataan Ulil Amri. Kerana itu kita dapat lihat bagaimana khalifah Umar al-Khattab digelar sebagai Amirul Mukminin yang membawa maksud pemimpin atau ketua orang-orang beriman. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menggunakan ungkapan Ulil Amri bagi merujuk kepada makna pemimpin dan pemerintah. Istilah Umara' telah diguna pakai selepas era zaman pemerintahan khalifah ar-Rasyidin. Hal ini kerana pemerintahan pada zaman selepas era tersebut telah menjadi bentuk perwarisan takhta kerajaan dan tidak lagi dilihat tentang kelayakan keilmuan. Oleh itu, timbul lah dua golongan yang perlu digandingkan bersama bagi mewujudkan kesejahteraan hidup bernegara.

Golongan umara' seperti juga para ulama, mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan dimuliakan oleh Islam. Islam sangat menekankan tentang kepentingan mentaati golongan umara' meskipun ada yang kita tidak bersependapat dengannya. Pemimpin atau juga disebutkan sebagai umara' merupakan perisai bagi orang yang dipimpin. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakang nya dan berselindung di sebaliknya.”

Selain itu, Allah SWT turut memuliakan dan mengasihi golongan umara' yang bersikap adil dalam pemerintahannya. Beruntunglah golongan umara' yang menjalankan amanahnya memimpin urusan umat dengan penuh adil kerana Allah akan mengasihi mereka ini. Ini sepertimana yang dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Manusia yang paling dikasihi Allah dan diberi tempat yang terdekat sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci Allah dan diletakkan di tempat yang paling jauh sekali dengan-Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang zalim.”

Dalam ajaran Islam, kerjasama antara golongan ulama dan umara' merupakan suatu yang dituntut di dalam Islam bertujuan demi untuk kebaikan bersama. Bahkan melalui firman Allah di dalam al-Quran, Allah menyuruh para hamba Nya untuk saling tolong-menolong dalam kebaikan dan melarang tolong-menolong dalam urusan kemaksiatan. Hakikatnya, kombinasi dua golongan terpenting ini sangat diperlukan dalam membina ketamadunan hidup manusia. Ulama dan umara' perlu lah bergerak seiring dalam mewarnai kehidupan hidup bernegara ini. Gandingan mantap ini jika dibina diatas dasar keikhlasan kepada Allah, pastinya membawa berkat serta rahmat dalam kehidupan ini. Ulama sebagai penasihat kepada umara' dan umara' pula perlu mendengar dan mengambil penting saranan ulama selain bersikap terbuka menerima kritikan dan saling menasihati antara satu sama lain. Kerana Islam juga agama yang saling menasihati, mengingatkan kepada yang lupa dan alpa. Oleh kerana tiada golongan yang maksum, baik ulama mahupun umara', kedua-duanya saling penting untuk tolong-menolong antara satu sama lain. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Rabu, 10 Julai 2024

KALENDAR TAHUN HIJRAH : SUATU SOROTAN SEJARAH

 

Salah satu keajaiban alam yang direncanakan oleh Allah SWT ialah keberadaan makhluk Nya dalam sebuah sistem yang disebut sebagai masa. Masa atau waktu ialah merupakan suatu sistem yang telah mengikat para hamba Nya untuk berjalan diatas ketetapan yang dikehendaki Nya. Tidak ada satu pun makhluk Nya yang terlepas daripada hitungan masa dan waktu. Dengan kekuasaan Allah SWT, masa dan waktu telah membuktikan kewujudan setiap entiti di alam ini tentunya bersifat baharu iaitu bermakna ada permulaan dan akan ada pengakhirannya. Termasuklah alam yang kita diami ini. Apabila tiba saat dan detiknya, alan yang fana ini akan hancur lebur dan tiada lagi nilai pada umat manusia.

Manusia dan sistem masa tidak dapat dipisahkan. Oleh kerana itu, para manusia sentiasa berusaha mencipta sesuatu yang membolehkan kita menghitung dan mengira pergerakan hari dan bulan sehingga bertukar melangkah dari tahun ke tahun yang lain. Antara lain usaha tersebut telah menjadikan para manusia berupaya mencipta kalendar bagi menghitung hari-hari yang dihadapinya. Dalam sejarah Islam, kalendar Hijrah merupakan suatu inovasi yang telah diwujudkan oleh khalifah kedua Islam, Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab. Natijah daripada permuafakatan dalam bermesyuarat, akhirnya Umar al-Khattab telah bersetuju untuk menjadikan perisitwa hijrah Nabi SAW ke Madinah merupakan tahun pertama bagi kalendar Islam. Apa pun, kita perlu jelaskan bahawa kalendar tahun baharu hijrah bukanlah bermaksud hijrah Nabi berlaku pada awal Muharram. Namun begitu, peristiwa tersebut telah dipersetujui untuk dijadikan sebagai perkiraan tahun pertama bagi kalendar Hijrah.




Sebelum daripada penciptaan kalendar Hijrah, bangsa Arab pada zaman tersebut menamakan sesuatu tahun itu berdasarkan peristiwa besar atau kejadian luar biasa yang berlaku pada masa tersebut. Misalnya, pada tahun kelahiran baginda Nabi SAW, dikenali sebagai tahun Gajah. Ini kerana pada tahun tersebut, telah berlaku suatu gerakan usaha untuk merobohkan Ka'bah yang diketuai oleh Abrahah al-Arsyam. Selain itu, bangsa Arab juga pernah menamakan suatu tahun itu dengan bernama Tahun Fujjar. Dinamakan tahun Fujjar kerana pada waktu itu telah berlaku peperangan selama empat tahun bermula 586 Miladiah, yang diberi nama peperangan Fujjar. Peperangan tersebut menyaksikan para kabilah Arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram dimana pada bulan tersebut diharamkan berbuat demikian. Ada juga yang dinamakan sebagai Tahun Azan ketika berlakunya peristiwa hijrah. Ini kerana pada ketika itu diturunkan syariat azan.

Adapun tentang soal nama-nama bulan di dalam kalendar Hijrah, sebelum daripada penciptaan kalendar tersebut, telah wujud nama-nama bulan seperti Muharram, Safar dan lain-lain. Kewujudan nama-nama bulan tersebut telah diperakui oleh Allah SWT dan rasul Nya. Dalam al-Quran, surah al-Taubah ayat 36, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (yakni bulan yang dihormati iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab)."

Begitu juga sebagaimana yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Bakrah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya zaman telah berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun terdapat dua belas bulan yang mana antaranya adalah empat bulan mulia; yakni tiga bulan berturut-turut; Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram dan Rejab [Kabilah] Mudar adalah antara Jumada (yakni Jamadil Akhir) dan Syaaban."

Maka jelaslah kepada kita bahawa nama-nama bulan di dalam kalendar Hijrah telah terlebih dahulu wujud pada zaman Nabi SAW dan setelah itu barulah wujudnya pula yang dinamakan sebagai kalendar Hijrah pada zaman Umar al-Khattab. Mengimbau kembali sejarah penciptaan kalendar Hijrah ini, Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari, beliau menyatakan bahawa kalendar Hijrah diwujudkan oleh para Sahabat berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9 yang bermaksud :

“Masjid yang telah didirikan di atas dasar takwa semenjak hari pertama.”

Menurut Ibnu Hajar, perkataan "hari pertama" jelas bukan membawa maksud umum tetapi memberi makna khusus iaitu hari pertama kebangkitan Islam, Nabi SAW menyembah Allah dalam keadaan aman atau masjid berkenaan (Masjid Quba) dibina. Dalam riwayat yang lain, sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti dalam kitabnya, al-Shamarikh fi 'Ilm al-Tarikh, beliau menyebutkan bahawa timbulnya cetusan idea untuk mewujudkan kalendar bagi orang Islam adalah datangnya cadangan daripada Abu Musa al-Asy'ari, seorang Gabenor di Basrah. Pada suatu hari, Abu Musa telah mengadu kepada Khalifah Umar berkenaan surat-surat yang datang kepadanya tanpa tarikh lalu Khalifah Umar mengarahkan supaya satu perbincangan mengenainya diadakan.




Dalam riwayat lain, dinyatakan bahawa terdapat seorang lelaki Yaman yang bernama Saidina Ya'la ibni Umayyah, telah mengutus surat kepada Khalifah Umar yang mengandungi tarikh iaitu bulan dan tahun tertentu. Hal tersebut telah menarik perhatian Khalifah Umar untuk turut berbuat demikian. Selain itu, ada yang menyatakan pendapat bahawa terdapat peristiwa Khalifah Umar diberi catatan berkenaan kewangan yang tertulis bulan Syaaban, tetapi tidak diketahui sama ada ia Syaaban tahun lalu, tahun semasa atau tahun berikutnya. Ada juga riwayat lain turut menyatakan mengenai peristiwa seseorang lelaki memberitahu Khalifah Umar mengenai amalan orang Yaman dalam penetapan tarikh, maka beliau memandang perkara ini adalah baik dan beliau memerintahkan agar kalendar rasmi dibuat. Demikian beberapa asas yang mencetuskan idea bagi mewujudkan kalendar Hijrah.

Oleh yang demikian, setelah melihat kepada kepentingan mewujudkan kalendar rasmi orang Islam, maka Khalifah Umar telah bermesyuarat bersama para Sahabat bagi membincangkan perkara tersebut. Maka telah diberikan ketetapan oleh Khalifah Umar bagi memilih tahun pertama bermula kalendar tersebut mestilah berdasarkan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam. Hasilnya, terdapat empat peristiwa yang menjadi pertimbangan oleh Khalifah Umar bersama para Sahabat untuk dijadikan tahun pertama bagi kalendar tersebut. Empat peristiwa tersebut ialah peristiwa kelahiran baginda Nabi, peristiwa pengutusan baginda, peristiwa hijrah baginda dan peristiwa kewafatan baginda. Maka melalui persefahaman bersama, mereka telah sebulat suara menerima cadangan peristiwa hijrah Nabi dijadikan perkiraan tahun pertama bagi kalendar tersebut.




Dinyatakan bahawa Khalifah Umar al-Khattab telah bersetuju memilih tahun hijrah Nabi SAW sebagai tahun pertama diatas sebab keistimewaan peristiwa hijrah tersebut yang telah dapat memisahkan antara yang benar dan yang batil. Setelah itu, berlaku pula perbincangan untuk memilih bulan yang pertama dalam perkiraan kalendar tersebut. Untuk itu, Saidina ‘Uthman mencadangkan agar tahun dimulakan dengan bulan Muharram. Ini kerana bulan Muharram adalah bulan haram (bulan yang diharamkan perang dan bulan yang suci) yang juga bulan bagi jemaah haji selesai segala urusan haji. Selain itu, Imam al-Suyuti juga menyebut bahawa beliau pernah terbaca satu pandangan menarik tentang faktor menjadikan al-Muharram sebagai bulan pertama kalendar Hijrah. Pandangan tersebut ialah tafsiran oleh Ibn ‘Abbas terhadap ayat pertama dalam surah al-Fajr. Menurut Ibn ‘Abbas, al-Fajr ialah bulan al-Muharram kerana ia berada di permulaan tahun.

Berkaitan pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar Hijrah, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani juga turut menyebut alasan pemilihan bulan Muharram. Beliau menyatakan bahawa bulan Muharram adalah merupakan permulaan azam untuk berhijrah bersama Nabi SAW. Sebabnya peristiwa bai'ah telah berlaku pada bulan sebelumnya iaitu Zulhijjah. Anak bulan pertama yang datang selepas peristiwa bai'ah dan keazaman untuk hijrah itu ialah anak bulan Muharram, justeru sesuai sekali untuk Muharram menjadi bulan pertama. Demikianlah apa yang dijelaskan. Maka berdasarkan kepada fakta yang dinukilkan ini, jelas kepada kita bahawa sesungguhnya peristiwa hijrah baginda Nabi ke Madinah tidaklah berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya baginda Nabi telah bergerak keluar dari Mekah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawwal. Pun begitu, peristiwa hijrah telah dipilih oleh Khalifah Umar sebagai tahun pertama bagi kalendar Hijrah. Semoga Allah merahmati kita semua.