Jumaat, 26 Jun 2020

MUKTAZILAH : PENUNGGANG AKAL BERTUHANKAN FALSAFAH

Muktazilah ialah sebuah mazhab akidah yang memberikan keutamaan kepada akal hingga menjadikan akal itu suatu pemutus hukum-hakam di dalam agama. Bagi golongan ini mereka mementingkan serta meninggikan kedudukan akal melebihi dalil syarak. Pendirian mereka ini juga berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud :

“Agama adalah akal, barangsiapa tidak punya agama maka ia tidak mempunyai akal”

Namun sebahagian ulama menyatakan bahawa hadis ini batil. Telah berkata Imam An Nasai ini adalah sebuah hadis yang batil lagi munkar. Dalam Kitab Al Manarul Munif, Imam Ibnu Qayyim rahimahullah berkata semua hadis yang berhubungan dengan akal adalah palsu. Hal ini menunjukkan bahawa hadis yang menjadi rujukan serta pegangan Muktazilah selama ini adalah palsu dan tidak boleh di imani akan makna hadis tersebut.


Berdasarkan konsep akal inilah golongan Muktazilah telah menafsirkan ayat Al Quran sesuai dengan pertimbangan akal mereka semata-mata.  Kewujudan konsep pegangan Muktazilah ini juga dipercayai menyelinap ke dalam akidah Islam adalah akibat daripada perbuatan orang-orang yang memeluk Islam tetapi dengan berniat buruk dan jahat. Hal ini kerana ia telah muncul selepas Khalifah Al Makmun mengizinkan kitab-kitab tamadun Yunani diterjemah ke dalam bahasa arab. Disebabkan itu, ada dikalangan mereka yang terpengaruh dengan falsafah Yunani sehingga fikiran mereka telah diracuni dan dibutakan pandangan dengan kekaguman terhadap ilmu falsafah.

Orang pertama yang dikaitkan dengan mazhab Muktazilah dikenali sebagai Wasil bin Atha. Beliau merupakan anak murid kepada seorang tokoh besar ulama di Baghdad iaitu Imam Hassan Al Basri. Beliau telah berbeza pandangan dengan gurunya Imam Hassan Al Basri, lalu beliau telah keluar meninggalkan majlis ilmu gurunya dan kemudian mengadakan kumpulan ilmunya sendiri. Tindakan beliau itu telah menyebabkan beliau dan kumpulannya dikenali sebagai Mukatzilah (terpisah) dari majlis ilmu gurunya.

Golongan Muktazilah ini adalah golongan yang terperangkap dengan pemikiran logik dan falsafah. Kesudahannya mereka telah mengadaptasikan Al quran dengan pemikiran falsafah. Dalam Kitab Tarikh al Mazahib al Islamiyyah, Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor mereka terpengaruh dengan falsafah antaranya ialah :

1. Menerusi ilmu falsafah, mereka merasakan keanjalan dalam penggunaan akal sehingga mampu untuk memperkukuhkan hujah-hujah mereka. 

2. Ketika golongan falsafah menggempur prinsip-prinsip pemikiran Islam, golongan Muktazilah menawarkan kepada mereka perdebatan. Akibatnya, Muktazilah terpaksa menggunakan sebahagian metodologi golongan falsafah dalam berdebat dan menyampaikan argumentasi.

 


Sejarah telah mencatatkan fahaman Muktazilah telah berjaya mempengaruhi orang Islam termasuk beberapa orang khalifah selama kira-kira 300 tahun sehingga diangkat menjadi mazhab rasmi negara ketika itu. Ramai ulama yang enggan berpihak dan menyokong pendaat mereka menjadi mangsa tahanan, penderaan dan hukuman yang zalim. Antaranya termasuk Imam Ahmad bin Hanbal yang bertegas mempertahankan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah berhubung isu Al quran adalah kalam Allah dan bukannya makhluk.

Oleh kerana akal dianggap lebih utama dan lebih tinggi berbanding nas Al quran dan hadis, maka ayat-ayat Al quran ditafsir menurut kesesuaian akal mereka. Bahkan hadis Nabi SAW ditolak jika kandungan hadis tersebut tidak selaras dengan logik akal mereka. Pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai peranan akal dalam urusan agama amat jelas. Para ulama tidak menafikan kedudukan penting akal tetapi tidak lah sehingga memberi tempat utama dan kedudukan tinggi melebihi wahyu Allah Azza Wa Jalla.

Beberapa asas prinsip pemikiran yang terpenting bagi Muktazilah adalah mengenai konsep keadilan. Mereka percaya dengan keadilan-Nya, Allah SWT membiarkan manusia menciptakan amal perbuatan mereka sendiri, sama ada baik atau buruk. Dengan keyakinan tersebut, mereka menolak keberadaan takdir. Kewujudan takdir dikatakan akan mencampuri perbuatan seseorang hamba, maka ini sudah tentu akan bercanggah dengan keadilan Allah SWT. Diatas asas prinsip keadilan ini, maka yang menentukan baik buruk sesuatu perkara itu adalah akal bukannya wahyu.

Begitu juga dalam soal perbahasan mengenai kedudukan pelaku dosa besar. Pada iktikad mereka, pelaku dosa besar tidak boleh dihukum beriman sebagaimana mereka juga tidak boleh dihukumkan kafir. Sebaliknya mereka itu digelar fasik dan akan kelak akan kekal di dalam neraka walaupun mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Namun begitu, Muktazilah berpendapat azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa besar di akhirat lebih ringan berbanding seksaan terhadap orang-orang kafir.



Selain itu beberapa iktikad mereka bercanggah dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antaranya termasuklah menolak peristiwa Mikraj, beranggapan Al quran adalah makhluk dan bukannya kalam Allah, menolak segala sesuatu atas izin Allah dan berpendirian semuanya diatas daya usaha manusia, Mereka juga menolak kewujudan Arasy dan Kursi Allah. Bagi mereka Arasy dan Kursi itu adalah lambang kekuasaan semata-mata. Mereka juga menolak kewujudan azab kubur, menolak kewujudan proses perhitungan yang disebut hisab, menolak kewujudan syafaat baginda Nabi dan lain-lainnya.

Dalam era modenisasi ini, golongan Muktazilah boleh kita simpulkan sebagai gerakan Liberal yang suka mengajak manusia kembali berfikir akan hakikat syariat Islam yang sebahagiannya dianggap sebagai diskriminasi gender, penindasan dan ketidak adilan sosial. Sebahagiannya juga wujud fahaman anti hadis dengan mempersoalkan ketulenan hadis yang diwarisi dari zaman ke zaman. Kita semua harus berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman ini yang bukan sahaja menyimpang bahkan sesat lagi menyesatkan.

 


Sabtu, 20 Jun 2020

ISU TUDUNG : TUNTUTAN SYARIAT ATAU BUDAYA ARAB ?

Isu pemakaian tudung ini adalah berpokok pangkalkan kepada pensyariatan menutup aurat bagi kaum wanita. Perkataan aurat berasal daripada bahasa arab. Dalam Lisan al Arab, Imam Ibnu Manzur menyatakan bahawa perkataan aurat itu membawa maksud setiap perkara yang mendatangkan malu apabila sesuatu itu terpamer atau terlihat. 

Maka setiap perkataan, perbuatan dan perkara yang boleh menimbulkan perasaan malu dan mendatangkan aib, dikira sebagai aurat. Melalui pemahaman maksud ini, dapat kita fahami bahawa aurat itu bertunjangkan perkara yang mengaibkan, memalukan dan perkara yang hilang kehormatan.

Perbahasan aurat dikalangan para ilmuan boleh kita bahagikan kepada dua kerangka besar perbincangan iaitu aurat ketika solat dan ketika di luar solat. Aurat ketika solat adalah merupakan suatu tuntutan agama. Tetapi para ilmuan berbeza pendapat dalam perbincangan berkenaan aurat ketika di luar solat. Adakah ianya tuntutan agama ataupun kehendak budaya semata-mata.

Dikalangan ilmuan, mereka melihat kandungan Al quran dan hadis itu kepada dua bentuk. Pendapat pertama, semua ayat Al quran dan hadis itu adalah tuntutan agama. Pendapat kedua pula berpandangan bukan semua ayat Al quran dan hadis itu tuntutan agama. Ini kerana terdapat sebahagian ayat Al quran dan hadis berkaitan tuntutan dalam konteks tertentu. Bagi golongan kedua ini, mereka berpendapat hukum boleh berubah mengikut konteks semasa, masyarakat dan keadaan tertentu.

Dalam soal pemakaian tudung misalnya, Allah Azza Wa Jall berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi, perintahkanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka."

Firman Allah lagi dalam surah An Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali terpaksa nampak. Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka..."

Berdasarkan dua ayat ini, sebahagian ilmuan menyatakan bahawa arahan ini ditujukan khusus kepada isteri Nabi, anak perempuan Nabi. Dalam masa sama, perintah ini juga ditujukan juga kepada seluruh kaum wanita muslim. Allah juga telah memerintahkan kaum wanita menjaga perhiasan (rambut, leher, dada) dari dilihat oleh orang lain selain suami dan mereka yang mahram. Jika digabungkan dua ayat ini, menjelaskan bahawa perkara ini adalah tuntutan bersifat agama.



Bagi sebahagian ilmuan lain pula, mereka berpandangan bahawa kedua-dua ayat tersebut adalah merujuk kepada konteks budaya arab semata-mata. Dalam konteks kebudayaan arab, yang mana cara tersebut (menunjukan rambut, leher, dada) dapat menaikkan keinginan sehingga boleh membawa kepada penzinaan.

Dalam ayat yang lain, dalam surah Al Ahzab ayat 60 dan surah An Nur ayat 30-31, mereka berpendapat suruhan memakai tudung itu adalah bertujuan melindungi wanita daripada diganggu dan daripada berlaku zina. Maka sekiranya fahaman sesuatu budaya itu menganggap wanita tidak berasa diganggu walau tidak memakai tudung, maka ayat itu tidak terpakai dalam konteks masyarakat tersebut.

Oleh itu, mereka menyimpulkan suruhan memakai tudung itu adalah berbentuk budaya arab. Bagi orang arab, tidak memakai tudung adalah suatu keaiban. Tetapi budaya lain tidak menganggap ianya suatu keaiban. Maka tidak boleh memaksakan orang lain mengikuti budaya arab yang beranggapan seperti mereka. Demikian pandangan mereka yang berhaluan kiri dalam soal membincangkan isu pemakaian tudung.

Walau bagaimana pun, Syaikh al Albani menyenaraikan lapan kriteria pakaian wanita Muslimah berdasarkan ayat Al quran dan hadis Nabi SAW antara lain beliau menyebutkan wanita itu mestilah memakai pakaian yang menutup seluruh anggota tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan, pakaian tersebut mestilah tebal dan luas (tidak ikut bentuk badan), tidak memakai pewangi dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa kriteria ini adalah penekanan penting bagi wanita dan menjadi tuntutan dan suruhan agama bagi melindungi wanita dan memelihara maruah harga diri seseorang insan yang bergelar wanita

Selasa, 2 Jun 2020

GERAKAN FEMINISME : ANTARA SOSIALIS - LIBERALIS


Perkataan "feminisme" adalah merujuk kepada sebuah gerakan perjuangan oleh wanita dalam usaha membela serta menuntut hak kesamarataan tanpa bias gender. Gerakan feminisme secara ringkasnya adalah suatu gerakan politik dan komitmen intelektual yang menuntut keadilan untuk wanita serta menamatkan seksisme di dalam semua bentuk serta merangkumi perspektif yang luas termasuk soal sosial, budaya, ekonomi dan politik. Gerakan ini merupakan gabungan pemikiran dan ideologi sosialis – liberalis yang mencantumkan makna kebebasan dan keterbukaan dalam menentukan pilihan kehidupan.


Pada awal gerakan perjuangan feminisme ini adalah berfokus melindungi hak-hak wanita terhadap pengalaman yang dialami oleh golongan wanita. Perkara ini menjadi fokus mereka kerana dilihat kelemahan wanita boleh dikesan secara merata sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Pelbagai tuntutan dibuat terhadap sejarah asal dan perjuangan awal gerakan ini yang membawa kepada terbentuknya gerakan dan falsafahnya yang tersendiri. Namun setelah diberi ruang seluasnya kepada mereka maka apa sahaja yang ditafsirkan sebagai sekatan terhadap wanita akan dibela.


Objektif feminisme ini walaupun pada asasnya adalah bertujuan membela hak-hak kaum wanita namun dilihat pendekatan gerakan ini digunakan berpotensi untuk memberi kesan dan impak kepada hak-hak golongan lain yang turut dinafikan selama ini. Gerakan ini telah mengarus perdanakan agenda mereka yang juga turut menyumbang kepada keluasan maksud hak asasi manusia khususnya dalam menggabungkan makna terhadap hak-hak wanita. Kunci kepada agenda gerakan Feminisme ini adalah melibatkan penyertaan wanita di dalam ruang arus perdana tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.


Sejarah mencatatkan pada tahun 1995, telah berlaku suatu persidangan Wanita Sedunia berlangsung di Beijing China. Persidangan ini merupakan suatu sidang kemuncak yang memperkukuhkan tuntutan hak-hak wanita sebagai bahagian utama di dalam Hak Asasi Manusia. Dalam persidangan tersebut, dianggarkan seramai 17,000 peserta dan 30,000 aktivis yang terdiri dari pelbagai latar belakang telah menghadiri persidangan tersebut.Rentetan dari persidangan tersebut, maka lahirlah Deklarasi Beijing dan Platform Tindakan yang memberi perjhatian kepada sector kritikal yang melibatkan golongan wanita.


Pada asasnya, gerakan feminisme ini ada baiknya perjuangan mereka ini. Dalam sejarah perjuangan mereka, gerakan ini secara lantang bersuara berkenaan beberapa pengamalan budaya dan adat yang dilihat merendahkan kedudukan serta martabat kaum wanita. Antara budaya yang dikritik oleh gerakan ini adalah seperti amalan sati. Amalan sati adalah merujuk kepada kepercayaan agama Hindu. Dalam amalan sati ini, balu yang kematian suaminya turut dibakar bersama-sama mayat suaminya. Turut menjadi penentangan mereka adalah amalan pembunuhan anak perempuan kerana mengutamakan anak lelaki, perkahwinan kanak-kanak dan lain-lain. Namun  beberapa agenda perjuangan mereka dilihat menyimpang dari sudut agama dan moral. Antaranya mempertikaikan serta mengkritik syariat poligami, mempertikaikan tentang pembahagian harta warisan dan sebagainya.


Misalnya, isu aturan pemakaian skarf di Iran selepas Revolusi Iran 1979, pernah menjadi kontroversi sehingga ada pihak yang berani mencabar keputusan aturan tersebut di mahkamah. Muhammad Said Ashmawi, seorang pemikir liberal pernah berhujah dengan mengatakan bahawa makna sebenar bagi hijab terletak kepada menggagalkan seseorang daripada menyimpang kepada keinginan nafsu seksual yang tidak sah tanpa perlu menggabungkan makna sebenar ini dengan bentuk pakaian tertentu.


Leila Ahmed, seorang pendokong agenda feminism di dalam “Women and Gender in Islam” membawakan sebuah tesis yang ditulis oleh Qasim Amin telah mencetuskan provokasi apabila beliau menyatakan perlunya suatu tindakan transformasi sosial budaya melibatkan wanita dengan menyeru kepada penghapusan peraturan pemakaian tudung. Lord Cromer di dalam penulisannya menyifafkan bahawa pemakaian hijab adalah salah satu faktor kemunduran dan penderitaan kaum wanita di timur. Demikian beberapa lagi kenyataan, penulisan dan pendirian ahli sosialis yang menyifatkan nilai agama tidak lah jauh makna kecuali untuk mengongkong dan menyekat semata-mata.


Di Malaysia, pelbagai gerakan feminisme wujud berlindung dibawah nama Hak Asasi Manusia secara agresif mula mempertikai isu syariat termasuklah soal hijab, poligami, Marital Rape (rogol dalam perkahwinan) dan pewarisan harta. Walau bagaimana pun, umat Islam hari ini perlu lebih prihatin dan memandang serius terhadap isu-isu ini supaya diri kita tidak terjerat dan terperangkap masuk dalam permainan falsafah golongan ini. Perjuangan mereka adalah bertuhankan iedologi sosialis-liberalis berpandukan kitab agung mereka iaitu Hak Asasi Manusia yang digubal dan di olah oleh akal fikiran manusia yang cetek.


Hakikatnya, Allah Azza Wa Jalla jualah selayaknya memberi dan mengiktiraf sesuatu hak kerana Dia lah yang menjadikan kita manusia. Dia juga lah yang lebih mengetahui akan hak sebenar hamba Nya. Berjuang tidak salah tapi biarlah di atas landasan dan neraca agama yang benar dan selamat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Jumaat, 22 Mei 2020

PERTIKAIAN SYARIAT MENUTUP AURAT

Ideologi Islam Liberal telah berkembang pesat di bumi nusantara adalah hasil usaha pemikiran baharu yang dibawa dan dipromosikan oleh seorang tokoh Liberal Indonesia yang bernama Nurcholis Majid atau nama pena nya Cak Nur. Kesan pemikiran liberal ini telah membuka suatu medan pendebatan antara syariat dan hak asasi manusia. Beliau pernah melontarkan pandangannya dalam satu seminar yang diadakan di Indonesia bertemakan “Tajdid” atau pembaharuan pemikiran Islam.

Dalam pembentangan tersebut, beliau telah banyak menekankan tentang soal pentingnya para ulama memahami Islam dalam suatu rangka metodologi baru. Beliau berpandangan bahawa banyak perkara yang dikatakan qatie (muktamad) pada suatu ketika dahulu amat perlu di nilai dan di semak semula sesuai dengan perkembangan akal manusia.



Antara yang di utarakan oleh beliau ialah tentang persoalan syariat menutup aurat bagi kaum wanita. Beliau mempersoalkan tentang kebenaran hukum menutup aurat datangnya dari Al Quran atau ianya datang dari ijtihad oleh para ulama. Dalam beberapa penulisan tokoh liberal Indonesia ini, beliau telah berpandangan bahawa aurat wanita dari seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan adalah ketika di dalam solat semata-mata. Apabila mereka (wanita) keuar daripada solat, maka rambut itu tidak lagi dianggap aurat.

Lebih mengejutkan lagi, beliau mendakwa perkataan jilbab yang terkandung di dalam Al quran itu tidaklah merujuk kepada makna tudung sebaliknya merujuk kepada makna baju panjang (jubah) dan jilbab itu hanyalah sebagai simbol yang tidak ada kaitannya dengan syariat. Lontaran pandangan beliau ini seolah-olah memberi suatu gambaran kepentingan para ulama menilai semula syariat memakai tudung sebagai maksud kepada menutup aurat bagi wanita. Pandangan berbentuk fatwa beliau ini amatlah songsang lagi menyesatkan.

Apabila kita membincangkan berkaitan jilbab, ini bermakna kita sedang membincangkan sesuatu yang mempunyai nilai fundamental dalam Islam. Hal ini kerana ia berkaitan dengan aurat wanita yang ketentuannya telah disebut oleh Al quran dan hadis Nabi SAW. Ia suatu ketetapan yang bersifat qatie (muktamad). Kedudukan perintah menutup aurat  dalam Islam sama wajibnya seperti perintah melaksanakan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan sebagainya. Mengingkarinya akan menatijahkan seseorang itu tergelincir daripada akidah Islam dan membawa kepada kekufuran.



Ketentuan hukum Allah berkenaan pakaian wanita telah dijelaskan oleh Al quran secara khusus dalam surah An Nur dan surah Al Ahzab. Selain itu, terdapat juga keterangan serta perincian dalam hadis yang cukup jelas sehingga tidak memungkinkan orang untuk berbeza pendapat lagi. Untuk memahami isu menutup aurat bagi wanita ini, terlebih dahulu kita harus ketahui bahawa seluruh ulama telah sepakat seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Menjadi perselisihan dikalangan ulama adalah berkenaan bahagian muka dan tapak tangan. Dalam mazhab Hanbali, seluruh tubuh wanita adalah aurat tanpa terkecuali. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpandangan muka dan tapak tangan wanita tidak termasuk aurat.

Dalam firman Nya, dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

“Wahai Nabi, perintahkanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”

Berdasarkan ayat tersebut dapatlah kita fahami bahawa kewajipan memakai tudung bukan hanya kepada isteri-isteri Nabi dan anak-anak perempuannya, bahkan ditujukan khas kepada seluruh wanita muslimah seperti yang dinyatakan secara tegas dalam Al quran. Perkataan jilbab adalah dari bahasa arab. Untuk mengetahui dan memahami makna tersebut, kita perlu lah merujuk kepada bahasa asal perkataan tersebut iaitu bahasa arab. Dalam kamu Arab, jilbab membawa maksud pakaian yang menutupi seluruh tubuh. Kamus Lisanul Arab menyatakan bahawa jilbab ialah pakaian yang lebih luas dari khumur (tudung untuk menutup kepada dan dadanya wanita).

Dalam kitab Tafsir Jalalain, dinyatakan bahawa jilbab ialah pakaian yang menyelimuti seluruh tubuh badan wanita. Secara khususnya sememangnya Al quran memerintahkan wanita muslimah untuk menutup kepala, dada dan leher selari dengan firman Nya dalam surah An Nur ayat 31 yang bermaksud :

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (terpaksa) nampak. Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka…”

 


Berdasarkan ayat Al quran dan hadis serta penjelasan oleh para ulama, dapat difahami bahawa persoalan berkenaan aurat wanita tidak perlu dipersoalkan lagi. Dalil dan penjelasannya sudah selesai dan tidak ada yang kekaburan. Semuanya sudah terang lagi nyata akan perintah menutup aurat bagi kaum wanita. Mempertikaikan kembali persoalan ini hanyalah sebuah usaha yang sia-sia sahaja. Inilah kaedah metodologi golongan liberal yang mencuba menggugat syariat dan berlagak seperti hero perwira hak asasi manusia.

Selasa, 5 Mei 2020

MAKNA DISEBALIK SYAITAN DIBELENGGU


Memasuki bulan Ramadan, terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah kepada setiap hamba Nya yang beriman. Antara kelebihan dan keistimewaan yang seringkali kita ungkapkan ialah para syaitan akan dirantai atau dibelenggu. Pada realiti yang berlaku hari ini, kita menyaksikan masih terdapat sebahagian umat Islam yang berpuasa melakukan maksiat di dalam bulan Ramadan, malah berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadan, bahkan yang dirasuk itu terdiri daripada umat Islam yang berpuasa. Jika realiti ini berlaku, persoalan yang timbul ialah apakah maksud hadis Nabi SAW yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadan ? Nabi SAW bersabda :

“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini, untuk memahami makna perkataan “dirantai” dan “dibelenggu” ini, para ulama berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.



Syeikh ‘Atiyyah Soqr menyebut bahawa  beberapa ulama yang mensyarahkan hadis ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu itu ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.”
(HR al-Bukhari)

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu. Inilah yang dinyatakan di dalam hadis :

“Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil/melampau.”

Ada pula sebahagian para ulama yang berpendapat ianya membawa tanda para malaikat masuk ke dalam bulan Ramadan sebagai membesarkan dan memuliakannya bagi menghalang para syaitan menggoda orang-orang mukmin. Ia boleh juga membawa isyarat kepada banyaknya pengampunan dan balasan pahala yang diberikan di dalam bulan Ramadan menyebabkan syaitan menjadi seolah-olah dibelenggu.



Al-Imam al-Qurtubi pula menyebutkan dengan panjang lebarnya : 

“Maka jika dikatakan bagaimana kita boleh melihat beberapa kejahatan dan maksiat berlaku dalam bulan Ramadan secara banyak, jika dibelenggu para syaitan sepatutnya perkara itu tidak berlaku. Maka jawapannya ialah : “Sesungguhnya semua itu kurang berlaku pada orang-orang yang berpuasa dengan puasa yang memelihara syarat-syaratnya dan meraikan adab-adabnya, atau (yang dimaksudkan) dibelenggu sebahagian syaitan, iaitulah syaitan yang degil/melampau, (sebaliknya) bukan semua syaitan seperti yang terdapat di dalam sebahagian riwayat (hadith), atau maksudnya mengurangkan kejahatan dalam bulan Ramadan, dan ternyata berlakunya kejahatan dalam bulan Ramadan itu lebih kurang berbanding bulan yang lain, demikian juga tidak semestinya dibelenggu kesemua syaitan tidak berlakunya kejahatan dan maksiat, kerana ada juga sebab lain selain syaitan (yang membawa kepada kejahatan) seperti jiwa yang sememangnya jahat, dan kebiasaan yang jelek dan syaitan manusia.”

Dalam satu jawapan yang lain, menurut Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini beliau menjawab :

“Di dalam sebahagian riwayat hadis (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”

Demikian nukilan pandangan oleh para ulama dalam usaha konteks memahami makna perkataan dirantai dan dibelenggu sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan pandangan para ulama ini, maka dapatlah kita memahami bahawa kejahatan dan kemaksiatan boleh sahaja terjadi meskipun pada bulan Ramadan. Namun sebesar-besar maksiat yang dilakukan, besar lagi luas pintu rahmat Nya lebih-lebih di bulan Ramadan.

Ahad, 3 Mei 2020

RAMALAN SUATU KESYIRIKAN


Ramalan adalah suatu perkara yang terkandung persoalan yang ghaib, di mana ianya sangat terbatas untuk dicapai oleh akal fikiran yang waras. Meskipun begitu, ramalan boleh dijadikan sebagai panduan atau persediaan semata-mata. Misalnya seperti ramalan kaji cuaca dengan menggunakan akses teknologi canggih, kita sebagai manusia dapat membuat ramalan cuaca berdasarkan keterbatasan akal dan ilmu kita. Selebihnya ia terletak dan berbalik kepada kehendak Nya yakni Allah Azza Wa Jalla.

Dalam banyak ruang agama membenarkan kita membuat ramalan tanpa bercanggah dengan syariat, terdapat beberapa pengamalan ramalan berdasarkan angka tertentu, rahsia tarikh lahir dan seumpamanya. Ilmu ini sebahagiannya dikenali sebagai ilmu metafizik. Ilmu metafizik merupakan salah satu cabang dalam ilmu falsafah yang mengkaji tentang sifat, tabiat dan realiti kewujudan sesuatu benda.



Dalam sejarah ilmuan Islam, Al Kindi antara ilmuan yang membahaskan persoalan falsafah ini melalui beberapa penulisan kitabnya seperti Kitab fi Falsafat al-Ula dan Risalah fi al-Ibanah ‘an Sujud al-Jirm al-Aqsa wa Ta’atihi Lillah. Demikian juga Ibnu Rush antara yang turut membahaskan persoalan ini menerusi kitab Tafsir Ma’ Ba’d Tabi’at. Secara khususnya ilmu metafizik tidaklah hanya membahaskan tentang nombor dan huruf bagi tujuan ramalan sebagaimana kefahaman segelintir masyarakat kita hari ini. Ia satu ilmu yang sangat luas mencakupi perbahasan ghaibiyyat dan alam tabi’e dan bukan semata-mata berkaitan ramalan masa depan. Ilmu penggunaan nombor dan huruf bagi tujuan ramalan lebih dikenali sebagai numerologi.

Dalam hal ini, meramal dengan beriktikad kepada keajaiban angka, warna atau apa-apa bentuk tertentu adalah dibimbangi termasuk dalam amaran baginda Nabi SAW dalam soal hukum menilik yang dilarang. Dalam sebuah hadis yang sahih, riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”

Dalam hadis yang lain, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang kepada bomoh, lalu bertanya kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”

Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang ia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.”.


Meramal masa depan dengan kepercayaan perkara tertentu adalah termasuk dalam soal perkara ghaibiyyat (tidak diketahui) yakni perkara yang tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahuinya selain Allah Azza Wa Jalla. Hal ini disebutkan oleh Allah melalui firman Nya dalam Surah Al A’raf ayat 188 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Berdasarkan dalil yang disebutkan tadi, maka dapatlah kita fahami bahawa perbuatan meramal atau menilik dengan kepercayaan angka, warna, tarikh lahir atau apa pun unsurnya adalah dilarang dan berdosa sekiranya melakukannya apatah lagi mempercayai dan menyakini perkara tersebut. Dalam islam, tidak ada nombor-nombor tertentu yang memberi aura berbeza atau rahsia disebalik tarikh tertentu sebagaimana yang dinyatakan oleh segelintir masyarakat kita dalam program-program motivasi diri. Hindarilah kita dari melakukan perkara yang boleh mengggugat akidah kita.

Sabtu, 2 Mei 2020

RUH PULANG KE RUMAH ?


Apabila tibanya Ramadan, maka bertebaranlah mesej dan dakwaan bahawa ruh orang mati akan pulang menziarahi ahli keluarga di rumah. Tidak kurang juga ada yang mendakwa ruh orang mati akan menziarahi ahli keluarga secara jauh dari atas langit. Persoalannya, benarkah ruh orang mati akan kembali ke dunia semata-mata untuk menziarahi keluarganya dan bagaimana sudut pandang Islam dalam hal ini.

Menurut pandangan Imam Al Ghazali, ruh merupakan suatu bentuk  jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.




Imam Ibnu al Qayyim dalam perbahasan kitab nya al Ruh, beliau membahagikan ruh itu kepada dua golongan iaitu ruh yang diazab dan ruh yang mendapat nikmat. Maka Imam Ibnu al Qayyim berpendapat ruh dikalangan mereka yang mendapat nikmat saling ziarah antara satu sama lain ketika di barzakh. Namun ruh yang diazab, tidak ada ruang dan peluang untuk mereka ziarah kerana sibuk diazab oleh Allah Azza Wa Jalla. Apa yang disebutkan oleh Imam Ibnu al Qayyim adalah ziarah dikalangan sesama ruh yang baik iaitu ruh yang mendapat nikmat dan bukannya ruh ziarah keluarga mereka di dunia.

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa ruh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah. Firman Allah SWT dalam Surah al Isra’ ayat 85 yang bermaksud :

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Bagi merungkaikan persoalan berkenaan kepulangan roh ke dunia untuk menziarahi ahli keluarga mereka, marilah kita merenung seketika firman Allah Azza Wa Jalla dalam Surah Al Zumar ayat 42 yang bermaksud :

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."




Dalam Kitab Tafsir al Tabari, disebutkan bahawa ayat di atas menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Bahkan menurut Sa’id bin Jubair Rahimahullah yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.

Dalam kitab al Ruh, Imam Ibn al Qayyim mengatakan bahawa terdapat dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satu pendapat tersebut ialah bahawa ruh orang yang ditahan adalah ruh orang yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan ruh orang yang dilepaskan adalah ruh orang yang tidur.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

“Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya.”


Menurut Syeikh Bin Baz. Mantan Mufti Arab Saudi, beliau menyatakan bahawa tidak terdapat dalil bahawa ruh-ruh orang mati bertemu dengan yang hidup dalam keadaan bukan bermimpi. Ada pun dalil ruh orang mati bertemu dengan hidup adalah melalui mimpi semata-mata. Tidak secara jasadi.




Berdasarkan beberapa nukilan pandangan tersebut, jelaslah bagi kita menunjukkan bahawa ruh tidak akan kembali selepas kematian. Ruh orang yang telah mati akan berada di alam yang lain yang disebutkan sebagai alam barzakh. Perkataan barzakh itu sediri pun membawa makna dinding yakni yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati.  Firman Allah yang bermaksud :

" Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan"

( Surah Al-Mu'minuun ayat 99-100).

Kesimpulannya ialah tiada dalil tentang ruh si mati akan menziarahi orang-orang hidup di bulan Ramadan dan ketahuilah kita bahawa perkara-perkara ghaib yakni yang tidak boleh dicapai oleh akal fikiran kita hendaklah dengan berpandukan dalil yang sahih. Adapun kita terlihat ruh orang mati benar-benar pulang ke rumah, ketahuilah sama ada ianya permainan emosi kita ataupun tipu daya syaitan dan iblis untuk menakut-nakutkan kita.