Rabu, 14 Februari 2024

HUKUM MENGGANTUNG GAMBAR DI RUMAH

 

Kenangan manis dan pahit dalam riwayat kehidupan ini antara episod memori yang sangat dihargai dan diingati oleh para manusia. Peristiwa yang mencatatkan perasaan suka dan bahagia serta perasaan sedih dan derita tentunya akan tersemat pada catitan memori peribadi. Oleh kerana itu, tiap-tiap bilah episod kehidupan ini akan sentiasa terakam baik dalam memori akal ataupun pada catitan diari, atau lebih moden kini manusia merakamkannya melalui foto dan video. Zaman yang berubah telah memperlihatkan ragam manusia yang pelbagai dalam usaha menghargai momen-momen sejarah kehidupan. Antaranya, mengambil foto atau gambar, kemudian diletakkan di dalam bingkai gambar dan digantung di dinding rumah.

Perbuatan menggantung gambar di dinding rumah antara perkara yang boleh menimbulkan persoalan hukum sama ada boleh ataupun tidak. Ini adalah kerana terdapat sebuah hadith riwayat Bukhari, bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar".

Berdasarkan hadith ini, malaikat yang dimaksudkan itu adalah malaikat yang membawa rahmat Allah. Ini bermaksud, para malaikat yang sentiasa taat dan menjunjung perintah Allah akan memasuki rumah-rumah dengan membawa rahmat. Selain itu, maksud perkataan gambar pada hadith ini pula adalah merujuk kepada gambar makhluk yang bernyawa seperti manusia dan haiwan. Adapun gambar makhluk yang tidak bernyawa seperti tumbuhan, alam semesta dan sebagainya, tidak termasuk dalam larangan tersebut. Hadith ini juga adalah terkait rapat dengan hadith ancaman oleh Nabi SAW kepada mereka yang melakar atau melukis gambar makhluk hidup. Hadith tersebut adalah riwayat Bukhari dan Muslim. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari Kiamat ialah orang yang membuat ukiran atau memahat patung".




Berdasarkan hadith-hadith tersebut, para sarjana Islam berbeza pandangan berkenaan hukum menggantung gambar di dinding rumah. Ini kerana diatas beberapa sebab. Antaranya ialah tentang definisi gambar atau dalam bahasa Arab disebut sebagai "Taswir". Ungkapan Taswir berasal dari kata terbitan al-surah. Dari sudut bahasa, taswir bermaksud gambar atau rupa. Ini juga berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 24 yang bermaksud :

"Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana."

Pada sudut istilah pula, merujuk kepada kitab Mu'jam Lughah al-Fuqaha', taswir membawa maksud perbuatan melukis bentuk, membuat ukiran sama ada objek yang mempunyai bayang-bayang (apabila terkena cahaya seperti patung-patung) atau tidak mempunyai bayang-bayang. Berdasarkan definisi tersebut, para fuqaha' mengambil makna umum taswir untuk semua jenis dan bentuk imej yang dihasilkan sama ada imej yang tetap, sementara, berdimensi, rata, bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. Dalam konteks ini, para ulama kontemporari telah berbeza pandangan dalam usaha menilai adakah hukum gambar sama seperti hukum melukis atau mengukir yang jelas padanya dilarang oleh Nabi SAW.

Pandangan pertama, sebahagian para ulama cenderung untuk menyatakan hukumnya adalah haram sama ada gambar tersebut diambil melalui kamera, atau diukirnya ataupun dilukisnya. Hukumnya adalah haram tanpa mengira apa jua kaedah atau cara yang digunakan. Ini kerana berdasarkan makna umum pada hadith Nabi SAW. Antaranya hadith tersebut yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada A'ishah RAnha yang bermaksud :

"Sesungguhnya seberat-berat azab siksaan pada manusia di hari kiamat adalah mereka yang melukis gambar."

Begitu juga dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar akan disiksa pada hari kiamat. Akan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kalian ciptakan."

Berdasarkan kepada hadith-hadith tersebut, mereka yang menyatakan hukum haram berpandangan kerana hadith-hadith yang menjelaskan hukum melukis dan mengukir gambar adalah bersifat makna yang umum. Ini bermaksud, pengharaman tersebut tidak dilihat kepada cara atau kaedah mendapatkannya tetapi dilihat kepada hasil gambar yang diperolehi. Maka bagi mereka, berasaskan kepada keumuman makna hadith tersebut, hukumnya adalah haram menggantung gambar berupa makhluk yang bernyawa seperti manusia dan haiwan. Pun begitu, tidaklah haram sekiranya digantung gambar yang tidak sempurna sifatnya, seperti gambar manusia yang menampakkan separuh sahaja, menampilkan sebahagian anggota sahaja dan sebahagian anggota lain seperti kepala tidak ada, dan hal itu dikira sebagai makhluk tidak bernyawa kerana tidak sempurna kejadiannya.




Pandangan kedua, sebahagian para ulama lain berpandangan harus menggantung gambar atau mengambil gambar dengan kamera. Ini kerana mereka berpandangan sebab (illah) pengharaman gambar yang terdapat pada zaman Rasulullah SAW adalah kerana menyaingi ciptaan Allah SWT. Bahkan sebahagiannya pada zaman tersebut menyembah pula gambar tersebut . Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa tujuan gambar atau imej yang dihasilkan bukan bertujuan untuk menyaingi ciptaan Allah. Apatah lagi untuk disembah, dijadikan bahan sembahan berhala dan seumpamanya. Menurut Syeikh Ali al-Sayis dalam kitabnya, Tafsir Ayat Ahkam, beliau menyatakan bahawa penggambaran fotografi tidak sama seperti lukisan gambar, tetapi ia bagaikan penangkapan bayang yang mana ia seperti hasil objek yang terpapar melalui cermin.

Malah menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, beliau menyatakan bahawa gambar fotografi terhasil daripada proses tangkap bayang dengan cara yang tertentu dengan menggunakan alat iaitu kamera. Oleh disebabkan itu, terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan perbuatan bergambar fotografi dan tiada larangan daripada menggantungkan gambar tersebut di rumah dan selain daripadanya. Perbuatan ini dibenarkan sekiranya gambar tersebut tidak menyebabkan berlaku fitnah seperti gambar perempuan yang memperlihatkan bahagian anggota badan selain daripada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya.

Jelas bahawa pengharaman menggantung gambar adalah berasaskan kepada perbuatan zaman dahulu yang melakukan perbuatan syirik dengan menggantung gambar dan memuliakannya dengan cara memuja, membesarkan dan mengagungkan gambar tersebut. Ini juga sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam as-Shan'ani dalam kitabnya, Subul al-Salam, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya illahnya (tujuan pengharamannya) adalah bertujuan menutup pintu kerosakan dan menjauhi daripada menyerupai perbuatan penyembah berhala yang memuliakan benda-benda yang tidak hidup yang mana tidak boleh mendengar, memberi manfaat dan mudarat.

Berdasarkan perbincangan yang dinyatakan ini, jelas kepada kita bahawa menggantung gambar di dinding-dinding rumah sebagai perhiasan adalah harus dan tidak berdosa. Ini kerana gambar-gambar tersebut tidaklah diletakkan bertujuan untuk menyembah, memuja dan membesarkannya. Sebaliknya, sebagai perhiasan mempotretkan kenangan kehidupan. Namun begitu, keharusan menggantung gambar-gambar di dinding rumah boleh berubah menjadi haram sekiranya tujuannya bertentangan dengan syarak. Apapun kefahaman kita, Islam telah memberikan satu indikator utama iaitu tiada yang lebih hebat, lebih besar dan lebih agung dariNya, Allah Azza Wa Jalla. Manusia diingatkan supaya tidak terlalu melampau dalam memuliakan mana-mana insan di dunia ini kecuali membesarkan dan mengagungkan Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 10 Februari 2024

IBADAH WAKAF SYARIAT SEDEKAH TERTINGGI

 

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini telah banyak mengajar kita tentang persoalan "memberi dan menerima". Sebahagian manusia seringkali merasa kecewa sekiranya tidak menerima atau mendapat sesuatu yang diingininya tetapi pada masa sama, jarang sekali kita mendengar sebahagian manusia merasa kecewa kerana tidak dapat memberi. Hal ini barangkali disebabkan kerana mungkin kita terlalu memfokuskan soal apa yang boleh diterima sehingga lupa pula tentang apa yang harus diberi. Sedangkan hakikat kehidupan ini sangat terkait tentang soal memberi dan menerima.

Dalam agama Islam, terdapat satu pensyariatan oleh Allah SWT yang mendidik para hamba Nya untuk bersedekah. Syariat tersebut ialah ibadah wakaf. Perkataan wakaf berasal dari bahasa arab. Dari sudut bahasa, seperti yang terdapat dalam kitab Lisan al-Arab, perkataan wakaf membawa maksud berdiri atau berhenti. Selain itu, perkataan wakaf juga boleh disama ertikan dengan ungkapan al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. Kebanyakkan para sarjana fiqh Islam memberikan takrifan wakaf dari segi bahasanya adalah bermaksud al-Habs (menahan) kerana perkataan tersebut lebih dekat kepada pengertian syarak.




Pada sudut istilah pula, terdapat beberapa pentakrifan wakaf yang telah dikemukakan oleh para sarjana Islam merangkumi beberapa makna. Antaranya seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni, wakaf bermaksud sebagai menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkan buah (hasil). Dr. Wahbah al-Zuhaili pula dalam kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuh, beliau menyatakan bahawa wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan keatasnya. Selain itu, Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, beliau menyebut wakaf bermaksud menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak pemilikan atas harta tersebut.

Berdasarkan pelbagai pentakrifan tersebut, dapat kita fahami bahawa ibadah wakaf pada sudut istilahnya membawa maksud suatu amalan sedekah yang menyerahkan harta yang dimiliki bagi tujuan dimanfaatkan kepada masyarakat dan sedekah tersebut juga bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana ibadah wakaf adalah amalan sedekah yang paling tinggi darjatnya kerana dirinya sendiri telah memutuskan hak pemilikian hartanya untuk digunakan manfaatnya kepada orang lain. Inilah juga sebahagian kesempurnaan kebaikan di dunia dan akhirat. Dalam al-Quran, surah Ali-Imran ayat 92, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Maani Alfaz al-Minhaj, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya Abu Talhah disaat mendengar ayat ini, Abu Talhah suka (ingin) mewakafkan kebun Bairuha' yang merupakan harta yang paling disayanginya. Selain itu, Imam al-Baidawi dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Baidawi, beliau menjelaskan bahawa seseorang itu tidak akan dapat mencapai hakikat sesebuah kebaikan iaitu kesempurnaan bagi kebaikan atau tidak akan mencapai kebaikan Allah SWT iaitu Rahmat-Nya, keredaan-Nya dan syurga sehinggalah seseorang itu menginfakkan sesuatu yang disayanginya daripada harta-hartanya.




Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW menceritakan tentang wakaf yang telah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab. Hadith tersebut diriwayatkan oleh anaknya Abdullah bin Umar yang bermaksud :

"Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang menghadap Nabi S.A.W untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu (wakafkanlah tanah itu) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah dari hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya."

Dalam catatan sejarah Islam, amalan wakaf telah bermula sejak awal tahun Hijrah dengan pembinaan Masjid Quba' dan Masjid Nabawi. Kedua-dua pembinaan ini merupakan amalan wakaf yang diperkenalkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan kemudiannya diteruskan usaha wakaf ini oleh para sahabat baginda. Catatan sirah baginda Nabi SAW turut mencatatkan amalan wakaf yang diusahakan oleh Saidina Uthman bin Affan. Pada waktu itu, umat Islam sangat sukar untuk mendapatkan bekalan air kerana terdapat sebuah telaga yang dimiliki oleh seorang Yahudi, beliau telah menghalang umat Islam daripada mendapatkan bekalan air tersebut. Malah, sekiranya mahu dapatkan air, beliau yang juga pemilik kepada telaga tersebut mengenakan caj bayaran yang mahal kepada umat Islam. Melihat akan keadaan tersebut, Saidina Uthman telah membeli telaga itu dan mewakafkannya untuk kegunaan awam.

Melalui pensyariatan ibadah wakaf ini, secara tidak langsung ianya telah banyak membantu membangun ekonomi dan sosial masyarakat. Terdapat banyak keistimewaan dan faedah melalui ibadah wakaf ini. Lembaran sejarah terus mencatatkan kegemilangan dunia dengan amalan berwakaf. Antaranya, Terusan Wakaf 'Ayn Zubaydah yang bermula dari Baghdad ke Makkah telah dibina pada zaman Khalifah Harun al-Rashid, Wakaf Rumah Sakit Istana al-Fatimiy pada zaman pemerintahan al-Ayubiyin di Mesir, Hospital Wakaf Ibnu Tulun di Kaherah, Hospital Wakaf Marakish di Afrika Utara, pembinaan institusi wakaf seperti Universiti al-Nizamiyyah di Baghdad dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Inilah sebahagian kejayaan membangunkan umat melalui amalan berwakaf.




Sistem wakaf yang disyariatkan oleh Allah SWT ini telah banyak menyumbang kepada kesejahteraan hidup. Malah, sebahagian tokoh sarjana Barat turut mengakui kekaguman mereka terhadap amalan wakaf yang begitu indah ini. Sarjana Barat seperti Baskan dan Yediyildiz, mereka menyifatkan pada zaman kegemilangan wakaf, kehidupan seseorang manusia seolah-olah dibiayai institusi wakaf sejak hari kelahiran hingga kematiannya. Bagi mereka juga, wakaf dilihat sebagai suatu instrumen terpenting dalam msnyumbang kepada pembiayaan pembangunan masyarakat Islam. Selain itu, Gaudiosi, seorang sarjana Barat melalui sebuah artikelnya yang bertajuk “The Influance of the Islamic Law of Waqf on the development of the Trust in England : The Case of Merton College", beliau menyatakan penelitiannya terhadap sistem wakaf ini telah memainkan peranan besar dalam kewujudan sistem perundangan Trust di Barat. Ini bermakna dunia Barat telah dipengaruhi oleh sistem wakaf sehingga mendorong dunia Barat kepada idea mewujudkan sistem Trust.

Demikianlah pensyariatan ibadah wakaf bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan. Dalam konteks Malaysia, amalan wakaf telah dipertanggungjawabkan oleh badan-badan kerajaan seperti Yayasan Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), dan pelbagai lagi kewujudan institusi wakaf yang lain. Jika dahulu amalan wakaf ini dilihat hanya mampu dilakukan oleh mereka yang kaya-raya. Namun begitu, dengan kecanggihan teknologi sesuai dengan peredaran zaman, ibadah wakaf telah berkembang meluas memberikan ruang juga peluang kepada semua umat Islam melakukannya dengan menyumbang wang ringgit. Bagi yang tidak memiliki harta berupa fizikal seperti rumah atau tanah, wang ringgit juga boleh disumbangkan melalui atas nama wakaf. Dimana sahaja, pada bila-bila masa sahaja, kita boleh berwakaf. Begitulah mudahnya untuk beramal dengan ibadah sedekah yang tertinggi ini. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni kita semua.

Khamis, 8 Februari 2024

PEMBUKTIAN KEWUJUDAN TUHAN : ANTARA ISLAM DAN BARAT

 

Sesungguhnya sesuatu kepercayaan itu terbina diatas alasan hujah dan fakta yang meyakinkan akal. Apa sahaja maklumat dan info yang hendak disalurkan, tentunya manusia yang waras berkehendakkan kepada alasan dan hujah yang kuat dengan hidangan fakta-fakta yang benar. Hal ini tentunya memerlukan kepada keringat akal yang waras untuk memainkan peranannya untuk menimbang tara antara yang benar dan yang batil. Pun begitu, meskipun anugerah akal yang diberikan oleh Tuhan kepada hamba Nya bagi tujuan untuk berfikir, ianya adalah terbatas dan mempunyai limitasi yang harus dipatuhi. Jika garisan limitasi akal ini dilanggar, nescaya kita akan buntu dan hilang kepercayaan akan kewujudan sesuatu perkara.

Kemunculan fahaman ateisme iaitu sebuah gerakan yang menolak akan kewujudan Tuhan, merupakan suatu tamparan hebat bagi kelompok yang beragama dan yang mempercayai akan kewujudan Tuhan. Sejarah melakarkan bibit-bibit kemunculan pemikiran songsang ateisme ini adalah berpunca daripada kegagalan manusia untuk menterjemahkan ajaran agama dengan intipati yang sebenar. Natijahnya, manusia akan mudah kecewa dengan sikap pelampau beragama sehingga lahirlah fahaman tentang agama itu tidak wujud dan sia-sia. Dakwaan batil ini sekaligus mengheret polimik tentang hakikat kewujudan Tuhan. Jika dilihat dalam sejarah tradisi ilmu, sebahagian ahli falsafah yang berpegang kepada kepercayaan akan kewujudan Tuhan telah berjuang mengetengahkan pelbagai idea dan teori bagi mengukuhkan lagi dakwaan sebenar bahawa Tuhan itu wujud.




Sebahagian besar sarjana zaman moden Barat telah mengakui kewujudan Tuhan. Hal ini seperti yang telah diusahakan oleh John Clover Monsma, yang telah menyunting lebih 30 artikel daripada ilmuan atau sarjana Barat, dan dibukukannya yang berjudul The Evidence of God in an Expanding Universe. Setiap mereka yang disunting aritkelnya telah mengemukakan hujah dan bukti berdasarkan kepakaran bidang masing-masing. Sebagai contoh, dalam artikel pertama yang disuntingnya yang bertajuk The Origin of The World : By Chance or Design tulisan Frank Allen, beliau menyimpulkan dengan beranggapan bahawa menganggap alam ini memiliki pencipta iatu Tuhan, yang membuat dan mengatur dengan sangat rapi, kemungkinan ini sahaja yang rasional dapat diterima akal. Selain daripada itu, akal tidak boleh menerimanya.

Dalam penulisan lain, Robert Morris Page telah menulis satu artikel yang bertajuk A Conclusive Test. Artikel tersebut dinyatakan bahawa para Rasul mendakwa mereka diutuskan oleh Tuhan telah menyampaikan dua perkara penting iaitu pertama, tentang alam ini adanya pencipta yang whjib diyakini dan kedua, tentang perkara-perkara ghaib yang akan berlaku kelak. Kedua-dua perkara ini benar-benar berlaku dan sebahagiannya boleh dilihat sehingga kini. Hal ini membuktikan kebenaran risalah yang dibawa oleh mereka sehingga mewajibkan manusia percaya kepada para rasul termasuklah berita mengenai Tuhan. Akal manusia tidak dapat menolak atau membantah kebenaran yang dibawa oleh para Rasul. Malah keimanan akan kewujudan Tuhan merupakan perkara terpenting yang tumbuh dalam perasaan fitrah manusia.

Selain itu, Paul Clarence Acbersold, seorang tokoh pemikir Barat, jjuga telah menulis tentang soal kewujudan Tuhan dibawah artikelnya yang bertajuk Pyhysical Evidences of God. Dalam artikel tersebut, beliau menegaskan bahawa seluruh manusia bersepakat tentang wujudnya Tuhan. Manusia merasakan sama ada melalui logik mahupun rohani, terdapat suatu kekuatan yang sangat dahsyat yang mengatur alam semesta ini dengan sangat rapi. Kekuatan ini adalah Tuhan yang Maha Agung dan Maha Besar. Beliau turut menyatakan bahawa walaupun manusia tidak mampu mengenal hakikat Tuhan, namun banyak bukti dan tanda pada alam ini yang menunjukkan bahawa Tuhan itu wujud.




Dalam Islam, terdapat banyak hujah dan dalil pembuktian akan kewujudan Tuhan. Antaranya yang boleh kita lihat dialog seorang anak dan bapanya, iaitu Nabi Ibrahim AS berdialog dengan bapanya yang bernama Azar. Allah Azza Wa Jalla telah merakamkan dialog tersebut di dalam al-Quran, dalam surah al-An'am ayat 74-78 yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata"(74). Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. (75) Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".(76) Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". (77) Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).”(78)

Dialog perdebatan antara Nabi Ibrahim AS dengan bapanya, Azar, dalam usaha mencari hakikat Tuhan yang sebenar, telah memberikan kita suatu daya fikir akan kewujudan Tuhan yang Maha Esa. Bagaimana alam ini terbentuknya cuaca yang pelbagai, berubah waktu antara siang dan malam, tanpa ada sesuatu kekuasaan yang mengawalnya. Selain itu, Allah SWT telah menimbulkan persoalan tentang penciptaan diri manusia yang dicipta tanpa ada yang mencipta. Dalam surah al-Tur ayat 35-36, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"(Mengapa mereka tidak beriman?) (i) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau (ii) adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (iii) Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) (iv) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).”

Persoalan ini tentunya bukan kerana Allah SWT tidak tahu akan hakikatnya. Namun begitu, persoalan ini bertujuan merangsang akal manusia yang waras, berfikir akan hakikat itu dengan cara fikir yang betul. Bukan sekadar berteori tanpa berpijak pada realiti yang nyata. Selain hujah berpandukan kitab suci al-Quran, para sarjana Islam juga telah banyak usaha membentangkan hujah logikal bagi mengukuhkan lagi dakwaan akan kewujudan Tuhan. Ini sepertimana yang dinukilkan oleh Imam ar-Razi dalam kitab Mafatih al-Ghayb - al-Tafsir al-Kabir, beliau membawa cerita tentang sekumpulan ateis yang berdebat dengan Imam Abu Hanifah bagi menidakkan kewujudan Tuhan. Setelah Imam Abu Hanifah mendengar hujah mereka, lalu Imam Abu Hanifah telah berkata :

“Sebenarnya aku sekarang sedang befikir tentang satu berita yang disampaikan kepadaku, iaitu tentang sebuah kapal yang sarat dengan muatan sedang belayar dilautan. Kapal itu berlayar sendiri tanpa nakhoda, pemilik, dan pengawal yang menjaga dan mengemudinya. Lebih hebat lagi kapal tersebut mampu belayar dengan baik dan lancar dalam lautan yang bergelora menuju ke destinasinya"




Ketika Imam Abu Hanifah selesai bercerita, seorang daripada mereka telah menyanggah Imam Abu Hanifah dengan mendakwa cerita tersebut tidak boleh diterima akal sama sekali. Malah, mereka menyatakan sekalipun ada yang menyampaikn cerita tersebut pastinya tidak berakal. Maka, Imam Abu Hanifah pun menjawab dengan menyatakan bahawa jika begitu cerita tersebut tidak boleh diterima, bagaimana mungkin alam yang begitu indah, tersusun rapi sama ada di langit atau dibumi dan pelbagai lagi kejadian alam yang lain berlaku tanpa ada penciptanya. Demikian bagaimana hujah logik Imam Abu Hanifah ketika berdepan dengan golongan ateis.

Selain itu, Imam ar-Razi juga turut merakamkan jawapan oleh Imam al-Syafie ketika beliau ditanya tentang bukti kewujudan Tuhan. Imam al-Syafie menjawab dengan menyatakan :

“Lihat kepada daun mulberry ini. Daun ini mempunyai satu rasa. Jika dimakan oleh ulat boleh menghasilkan sutera. Jika dimakan oleh oleh lebah boleh mengeluarkan madu. Jika dimakan oleh kambing atau lembu akan mengeluarkan kotoran. Jika dimakan oleh rusa akan mengeluarkan kasturi. Tidakkah semua ini menggambarkan bukti bahawa Allah SWT wujud yang mencipta semua ini.”

Demikianlah bagaimana sebahagian jawapan yang menjadi hujah dan sandaran bagi agama Islam membuktikan akan kewujudan Tuhan. Hakikatnya, para sarjana Barat juga sebahagiannya turut berjuang mempersembahkan hujah dan bukti dari sudut pandang mereka berkenaan kewujudan Tuhan. Berdasarkan apa yang telah dibentangkan ini, tidak terlalu melampau untuk kita katakan bahawa adalah sangat tidak waras bagi mereka yang masih berhalusinasi dengan berpegang pada pendirian bahwa Tuhan itu tidak wujud. Pelbagai bukti melalui berbagai macam keadaan disekeliling kita yang boleh dijadikan bukti asas tentang kewujudan Tuhan. Semoga kita semua benar-benar waras dengan memperakui akan kewujudan Tuhan dan sesungguhnya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Jumaat, 26 Januari 2024

AMALAN KHATAN : TUNTUTAN AGAMA ISLAM MERAIKAN FITRAH

 

Kejadian manusia telah diiktiraf oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik penciptaan. Pada diri manusia itu terdapat tanda-tanda kehebatan dan keagungan ciptaan Allah. Ini kerana Allah SWT telah mengurniakan kepada kita suatu anugerah akal yang tidak ternilai harganya. Akal yang waras pastinya memainkan peranan besar untuk mempertimbangkan sesuatu perkara. Ini termasuklah tentang persoalan amalan berkhatan. Barangkali kita terfikir apakah disebalik pengajaran amalan berkhatan ini. Logik akal tentunya melihat amalan berkhatan ini tidak lebih sekadar usaha yang menyakitkan atau menyeksakan. Ada pula yang beranggapan ianya bertujuan kesihatan. Dan tidak kurang pula ada yang memandang amalan berkhatan ini sebagai tuntutan agama.

Perkataan "khatan" disebut dalam bahasa Arab sebagai "khitan". Menurut Ibnu Manzur dalam kitab Lisan al-Arab, khitan merujuk kepada maksud tempat yang dipotong zakar dan faraj wanita. Selain itu, menurut Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab Tarbiyyah al-Aulad, ungkapan khitan juga membawa maksud memotong qulfah, iaitu kulit yang menutupi kepala zakar. Perkataan khitan dari sudut syarak pula bagi lelaki seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Abdullah Nasih Ulwan, bermaksud membuang kulit yang mengelilingi kepada zakar. Manakala khitan bagi perempuan pula bermaksud memotong bahagian kelentit yang terdapat diatas faraj. Kadar yang dipotong pula adalah sedikit sahaja. Ini kerana berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Ummu 'Attiyah Ranha bahawa :

"Di Madinah seorang perempuan telah mengkhatankan (seorang perempuan) lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya : “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”

Amalan khatan seperti yang dinyatakan oleh baginda Nabi SAW sebagai fitrah bagi manusia. Ianya bertujuan untuk menjaga kebersihan zahir seseorang manusia. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Fitrah (sunnah) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.”




Dalam lembaran sejarah, amalan khatan bagi lelaki adalah tertua di dunia. Ini kerana amalan berkhatan ini telah bermula sejak zaman Nabi Ibrahim AS. Perkara ini berasaskan sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Nabi Ibrahim AS berkhatan selepas berumur 80 tahun dengan menggunakan qadum (alat seperti beliung, kapak kecil).”

Amalan berkhatan yang telah dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim AS telah diikuti oleh para Nabi berikutnya sehinggalah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Kemudiannya telah menjadi syariat agama untuk diikuti oleh umat Islam. Dalam a-Quran, Allah SWT telah memerintahkan agar Nabi Muhammad SAW mengikuti apa yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim AS. Arahan ini berdasarkan firman Nya dalam surah al-Nahl ayat 123 yang bermaksud :

"Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) : Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik."

Selain itu, amalan berkhatan juga telah menjadi amalan kebanyakkan tempat seperti di Mesir yang bermula sejak zaman Firaun, juga di Afrika, Ethopia dan Sudan. Biarpun begitu, sesetengah amalan tersebut dilakukan diatas pelbagai faktor seperti kesihatan, adat dan budaya selain faktor utama kerana tuntutan agama. Dalam Islam, para sarjana Islam telah sepakat bahwa khatan bagi kaum lelaki adalah sunnah Rasulullah SAW. Jumhur berpendapat berkhatan adalah wajib bagi lelaki. Bahkan dalam kitab al-Mughni, Ibnu Qudamah menukilkan bahwa Imam Malik menyebut lelaki yang tidak berkhatan tidak sah menjadi imam solat dan kesaksiannya ditolak. Kewajipan bagi kaum lelaki untuk berkhatan juga berhujahkan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 123 yang memerintahkan agar mengikuti apa yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim AS.

Namun begitu, para sarjana Islam telah berbeza pandangan berkenaan hukum berkhatan bagi kaum perempuan. Menurut Imam al-Syafie, hukum berkhatan bagi kaum perempuan adalah wajib sama seperti kaum lelaki. Ini seperti yang dinukilkan oleh Abu Suraih Muhammad Hadi, dalam kitab Ahkamu al-Taharah fi fiqhu al-Islami ala Mazahibul Arbaah, pada pandangan wajib tersebut adalah berdasarkan hujah yang menyatakan bahawa hadith-hadith yang mewajibkan khatan bagi lelaki turut merangkumi bagi kaum perempuan kerana lafaznya adalah bersifat umum. Selain itu, Ibnu Qudamah menyatakan bahawa menurut satu riwayat dari Imam Ahmad, hukum berkhatan bagi perempuan adalah tidak wajib. Pun begitu, amalan khatan bagi kaum perempuan dianggap suatu sunnah yang sangat dimuliakan. Pandangan ini juga merupakan pandangan majoriti para sarjana Islam.




Dalam hal ini juga, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fatawa al-Muasirah, menyatakan pandangan beliau bahawa khatan anak perempuan terserah kepada ibubapanya. Mereka yang berpendapat ianya baik, elok melakukannya. Mereka yang tidak melakukannya tidak dianggap berdosa kerana sebahagian para sarjana Islam beranggapan khatan bagi kaum perempuan adalah suatu kemuliaan sahaja dan bukannya kewajipan seperti kaum lelaki. Demikian pandangan beliau dalam hal ini. Selain itu, isu khatan bagi anak perempuan juga seringkali menjadi polimik adalah kerana disebabkan wujud kegusaran dikalangan ibubapa tentang akan berlakunya kecacatan sekiranya dilakukan proses khatan. Namun begitu, persoalan ini bergantung kepada proses pelaksanaannya agar tidak ada sebarang bentuk penyeksaan terjadi.

Oleh kerana itu juga, Imam al-Akbar Mahmud Syaltut dalam kitabnya, al-Fatawa disrah Limusykilati al-Muslim al-Muasirah fihayati al-Yaumiyah al-ammah, beliau menyatakan bahawa syarak tidak mengharuskan menyeksa sesuatu yang hidup kecuali ada kemashalatan (kebaikan). Maka beliau berpandangan khatan bagi lelaki ada kemashalatan yang perlu dijaga iaitu menghindarkan jangkitan kuman. Tetapi tidak ada maslahah yang perlu dijaga dalam persoalan khatan anak perempuan. Demikian apa yang telah dijelaskan. Berdasarkan penjelasan yang telah dinyatakan ini, dapat kita fahami bahawa amalan berkhatan adalah menjadi tuntutan agama bagi kaum lelaki dan sebaliknya bagi kaum perempuan, menjadi pilihan. Adapun kelebihan berkhatan, tentunya banyak kebaikan yang ditemui berdasarkan kajian perubatan yang dilakukan.

Secara umumnya, sesuatu pensyariatan dalam agama Islam adalah bersifat rahmah dan bersesuaian untuk meraikan fitrah manusiawi. Maka biarpun amalan berkhatan dilakukan atas nama adat, budaya dan apa tujuan sekalipun, Islam sangat mementingkan kebersihan diri dan inilah yang menjadi hikmah diatas amalan berkhatan bagi kaum lelaki. Namun, bagi perempuan, adalah suatu pilihan untuk melakukan amalan berkhatan. Jika memilih untuk berkhatan anak perempuan, maka adalah wajib untuk kita pastikan agar tidak ada sebarang penyeksaan dan kecacatan dilakukan seperti amalan yang dilakukan oleh golongan female genital mutilation yang melampau dalam memotong. Perbuatan ini dilarang oleh syarak. Oleh itu, berwaspadalah dengan pilihan yang dibuat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sabtu, 20 Januari 2024

HAKIKAT MENGETAHUI PERKARA GHAIB

 

Setiap perkara yang dijadikan oleh Allah SWT, baik perkara itu boleh dilihat, dinilai dan dirasai secara nyata mahupun secara ghaib atau tidak nyata, tentunya mengandungi seribu satu hikmah untuk para hamba Nya berfikir. Demikian juga sifat alam yang dilihat sebagai nyata ini hakikatnya terdapat kehidupan lain yang tidak dapat dilihat oleh kita, namun kewujudannya adalah benar belaka. Umpamanya syaitan dan iblis, sesungguhnya kita telah berkongsi alam yang sama tetapi berada pada dimensi yang berbeza. Para manusia tidak dapat melihat mereka dengan pancaindera biasa namun mereka dapat melihat umat manusia. Inilah yang dikatakan perkara ghaib.

Perkara ghaib adalah merujuk kepada sesuatu perihal atau entiti yang tidak dapat dilihat oleh kebiasaan manusia. Namun untuk mempercayai akan perkara tersebut memerlukan kita untuk beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, setiap perkara yang disifatkan sebagai ghaib berada di dalam pengetahuan Allah SWT. Perkara ghaib contohnya seperti syurga dan neraka, pahala dan dosa, para malaikat, iblis, jin dan syaitan dan selainnya lagi. Semua yang disebutkan ini adalah perkara ghaib yang memerlukan kepada keimanan kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 59 yang bermaksud :

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja…”




Jika dilihat dalam kitab Tafsir al-Quran al-'Azim, Imam Ibn Kathir telah menukilkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”

Dalam agama Islam, mempercayai perkara ghaib merupakan suatu tuntutan utama. Ini bermaksud, sebagai orang yang beriman kepada Allah, menjadi wajib pada dirinya mempercayai akan perkara-perkara ghaib. Ketetapan ini sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-Baqarah ayat 1-5 yang bermaksud :

“Alif lam mim. Kitab (Alquran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi merek ayng bertakwa, (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan salat, dan menafkahkan sebagian rizki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Alquran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunuuk dari Rabb mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Berdasarkan ayat tersebut, jelas kepada kita bahwa menjadi ciri-ciri orang beriman itu ialah mereka yang mempercayai dan menyakini setiap perkara-perkara ghaib. Maka asasnya, Islam tidak menolak sama sekali perkara-perkara ghaib dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, biarpun mempercayai sesuatu perkara ghaib itu adalah salah satu cabang bentuk keimanan manusia kepada Allah SWT, hakikat yang perlu kita sedari ialah tidak ada sesiapa pun di muka bumi Allah ini dapat mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan yang datang daripada apa yang telah dikhabarkan oleh Allah SWT. Ini juga termasuklah baginda Nabi SAW sendiri pun tidak akan mengetahui sesuatu perkara ghaib melainkan setelah dikhabarkan oleh Allah.

Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawasanya tidak ada satu pun makhluk di bumi dan di langit yang dapat mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT sahaja. Firman Allah dalam surah al-Naml ayat 65 yang bermaksud :

“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!”




Menurut Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya, beliau menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk mengucapkan sesuatu yang mengajarkan seluruh manusia bahawa tidak ada seorangpun penghuni langit dan bumi yang dapat mengetahui perkara ghaib kecuali Allah. Ungkapan “Kecuali Allah” adalah istithna’ munqathi’, iaitu tidak ada satupun yang mengetahui hal itu kecuali Allah SWT kerana Dia sahajalah yang mengetahui hal itu dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Demikian nukilan Imam Ibn Kathir menjelaskan makna bahwa selain Allah, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui akan perkara ghaib. Selain itu, baginda Nabi SAW juga menegaskan bahawa baginda juga tidak mengetahui akan perkara ghaib.

Ini sepertimana firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 188 yang bermaksud :

“Dan kalau Aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

Hakikatnya, umat manusia hanya akan dapat memperolehi pengetahuan berkenaan perkara ghaib melalui perkhabaran oleh Nabi Muhammad SAW. Adapun selain itu, sama ada melalui mimpi tok guru, kata-kata ramalan tok wali keramat dan seumpamanya tidak boleh dijadikan pegangan. Ini kerana hanya satu-satunya jalan untuk ketahui perkara ghaib yang benar, melalui Nabi SAW. Maka boleh kita simpulkan bahawa dalam mengetahui perkara ghaib ini, ianya terbahagi kepada dua perkara. Pertama, perkara ghaib yang dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW dan sebaliknya yang kedua, perkara ghaib yang tidak dikhabarkan oleh baginda Nabi.

Adapun perkara ghaib yang dikhabarkan oleh baginda Nabi adalah seperti tanda-tanda kiamat, kebenaran tentang adanya azab kubur, perihal syurga neraka dan selainnya. Namun jika ada perkara ghaib yang tidak dikhabarkan oleh baginda Nabi, maka tanpa menafsirkannya, memadailah dengan kita menyerahkannya urusan tersebut kepada Allah SWT. Usahlah kita melakukan tafsiran yang membawa kepada kekarutan dan kekeliruan. Seperti yang disebutkan dengan tegas oleh al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, al-Halal Wa al-Haram, beliau menyebutkan bahawa :

"Apabila Rasulullah SAW diutuskan, Baginda mendapati terdapat masyarakat Arab mempunyai beberapa kaum dajjal yang dikenali dengan panggilan kahin, iaitu dukun, dan yang lain dikenali sebagai tukang tilik dan ahli nujum, yang mengaku diri mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, baik yang telah terjadi pada masa yang lalu, mahupun yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu dengan perantaraan jin, puaka dan sebagainya."




Satu hal yang perlu kita fahami juga, sesungguhnya baginda Nabi SAW tidak mengetahui akan segala sesuatu yang ghaib melainkan setelah mendapat perkhabaran dari Allah SWT. Ini termasuklah baginda Nabi tidak tahu apa yang berlaku di masa hadapan selain apa yang diwahyukan oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Ummul Mukminin, Aisyah Ranha, katanya yang bermaksud :

"Barang siapa yang beranggapan bahwa Nabi Muhammad SAW mengetahui apa yang akan terjadi esok, maka ia telah berdusta besar terhadap Allah, kerana Allah menyatakan, ‘Katakan, tidak ada yang tahu tentang keghaiban langit dan bumi kecuali Allah’."

Demikianlah hakikatnya dalam mempercayai akan perkara-perkara yang ghaib. Perlu ditegaskan, sesungguhnya tiada ada satu pun makhluk di langit mahupun di bumi, yang dapat mengetahui perkara-perkara ghaib termasuk tentang soal ramalan masa hadapan, soal jodoh rezeki dan seumpamanya melainkan hanya Allah Azza Wa Jalla. Hanyasanya Allah yang lebih mengetahui. Adapun tok bomoh, pawang, dukun yang melakukan kerja-kerja ramalan atau mendakwa dirinya tahu akan perkara ghaib, ketahuilah sesungguhnya dia telah berbohong dengan menggunakan bantuan jin, iblis dan syaitan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 16 Januari 2024

HIDUP LEBIH BERMAKNA DENGAN BERSYUKUR

 

Kehidupan ini sesungguhnya telah banyak menemukan kita dengan manusia yang pelbagai watak-watak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Dalam penemuan dengan banyak watak manusia ini, sebahagiaannya ada yang bagus untuk kita teladani. Sebahagiannya pula adalah harus untuk kita menjauhinya. Biar siapapun watak yang kita jumpa, baik buruk sesuatu perwatakan itu mestilah diukur dan dilihat pada neraca dan nilaian berlandaskan panduan syarak. Begitulah kita dalam menilai yang mana permata dan yang mana pula kaca.

Dalam soal kita bicara tentang watak-watak manusia yang pelbagai ini, ada yang telah sebati pada dirinya tabiat yang buruk sehingga dianggap perkara tersebut adalah biasa dalam kehidupan. Sebagai contoh, ungkapan carutan dan makian kadang dijadikan sebagai bahasa pertuturan harian mereka. Akibatnya, mencarut dan memaki sudah tidak dilihat lagi sebagai kata-kata kotor dan tidak berfaedah. Keadaan ini jika tidak dibendung, pastinya akan melahirkan manusia yang berhati kotor dan nista. Kesannya juga pada diri manusia itu akan lahir perasaan iri hati, cemburu tidak kena pada tempat, sakit hati dan seumpamanya.




Ironinya, bermula dari pertuturan yang kotor, membuahkan hati nurani yang sakit sekaligus membuatkan diri ini sentiasa merasa tidak cukup dan sentiasa mahukan lebih lagi. Ini termasuklah bagi manusia yang hanya mahu menerima sahaja tanpa ada sedikit pun perasaan mahu memberi. Lebih-lebih lagi dalam soal memohon dan meminta apa-apa bantuan seperti bantuan zakat, bantuan kebajikan dan lain-lain. Perasaan hanya mahu menerima bantuan tanpa mahu memberi atau menyumbang akan menjadikan hidup ini sentiasa berperang dan tidak pernah sunyi dari persengketaan dan permusuhan dengan orang lain. Barangkali pada pemahamannya, apa sahaja bantuan yang ada pasti namanya antara yang terwajib sekali untuk menerimanya.

Umumnya, bukanlah sesuatu yang salah untuk berharap dan menerima apa-apa bantuan yang ada selagi perkara itu menjadi hak pada dirinya. Tanpa perlu mengharapkan, jika dirinya berkelayakan untuk menerima bantuan, pastinya ada untuknya. Namun begitu, pada sebahagian kelompok masyarakat pada hari ini, ada yang sanggup mencarut, memaki, mengherdik, melabel dan sebagainya dek kerana dirinya tidak menerima bantuan. Usahkan dalam masyarakat, institusi keluarga itu sendiri pun boleh runtuh, bergaduh dan memulau sesama adik beradik dek kerana tidak puas hati dalam soal pembahagian harta dan sebagainya. Inikan pula dalam konteks masyarakat yang tidak pernah puas dengan apa yang diterimanya.

Melihat kepada situasi dan realiti yang ada ini, maka benarlah sabda Junjungan Nabi kita, Muhammad SAW yang membicarakan tentang ketidakcukupan diri manusia dengan apa yang dimilikinya. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat"




Antara punca yang menjadikan diri kita tidak akan pernah merasa puas dengan apa yang kita miliki adalah kerana gagalnya kita untuk menjadi hamba Nya yang bersyukur. Seharusnya umat manusia hari ini perlu ditekankan tentang menjadi manusia yang tahu bersyukur. Realiti ini, kita sendiri dapat melihat betapa sedikitnya umat manusia yang tahu bersyukur. Sebaliknya, kebanyakan manusia hari ini ada yang sehingga sanggup membunuh, memutuskan hubungan silaturrahim, mengherdik dan menghina hanya kerana dirinya tidak menerima nikmat atau bantuan. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Saba' ayat 13 yang bermaksud :

"Sangat sedikit sekali diantara hamba Ku yang mahu bersyukur"

Ketika mengulas ayat ini, Syeikh As-Sa'di telah menyebutkan dalam kitab tafsirnya, Tafsir As-Sa'di, beliau menjelaskan bahawa sangat ramai dikalangan manusia yang tidak mahu bersyukur kepada Allah atas nikmat harta yang diberi dan juga atas nikmat yang dihilangkan musibah. Demikian nukilan Syeikh As-Sa'di. Hakikatnya, sifat bersyukur akan menjadikan kita manusia yang hidup lebih bahagia, tenang dan sentosa. Selain itu, bersyukur juga akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Hal ini kerana, kita sendiri akan bebas dan merdeka dari dibelenggu oleh sifat dan perangai iri hati atau sakit hati apabila melihat orang lain mendapat nikmat. Adalah mustahak untuk kita belajar menjadi manusia yang bersyukur dengan nikmat dan pemberian dari Nya. Semakin banyak kita bersyukur, maka pastinya semakin banyak Allah melipat gandakan nikmat Nya. Sepertimana firman Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah pedih"


Dalam usaha menjadi manusia yang lebih bersyukur, seharusnya juga kita perlu memastikan diri ini adalah sebagai memberi dan tidak hanya menerima semata-mata. Hidup ini tentulah bukan sekadar persoalan menerima, tetapi perlu dilengkapi dengan sifat memberi. Barulah hidup lebih seimbang dengan saling menghargai antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, janganlah diasuh diri ini sekadar mahu menerima tanpa mahu memberi. Untuk memberi, syaratnya adalah kesanggupan. Tidak perlu menjadi seorang yang kaya, baru boleh memberi. Kerana memberi itu punyai maknanya yang sangat luas, Ianya bukan sekadar beri harta benda atau material semata-mata bahkan memberikan ilmu, memberi dengan mengukir senyuman, memberi dalam erti kata menyampaikan nasihat juga sebahagian daripada bentuk memberi dalam kehidupan ini. Kita juga perlu meletak jauh sifat bakhil ini agar kita lebih sedia untuk memberi. Ketahuilah bahawa Islam sangat memuliakan tangan yang memberi. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Hakîm bin Hizam RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Dan mulailah dari orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-sebaik sedekah adalah yang dikeluarkan dari orang yang tidak memerlukannya. Barangsiapa menjaga kehormatan dirinya maka Allâh akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allâh akan memberikan kecukupan kepadanya.”

Percayalah, hidup ini akan lebih bermakna jika kita menjadi manusia yang mahu bersyukur. Dengan sifat bersyukur, kita akan menjadi lebih banyak memberi daripada menerima. Juga dengan bersyukur, kita akan lebih tenang, saling reda dan tidak sibuk untuk menghina, mengherdik orang yang diberi nikmat. Hiduplah dengan bermakna. Ini kerana hidup ini adalah sangat singkat untuk bergaduh, bermasam muka sesama manusia. Usahlah membuang masa dengan banyaknya penyakit hati. Rawatlah hati yang rosak itu dengan belajar menjadi manusia yang tahu bersyukur. Lihatlah bagaimana Buya Hamka dalam penulisannya pernah menyatakan bahawa syukur dan sabar itu umpama sayap.Sayap kanan adalah syukur dan sayap kiri adalah sabar. Jika jatuh salah satunya maka jatuhlah hidup kita. Berdasarkan kata-kata Buya Hamka ini, dapat kita fahami bahawa untuk berusaha menjadi orang yang bersyukur, kita perlulah bersabar agar hidup ini lebih bermakna. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 9 Januari 2024

QUBURIYYUN : PENYEMBAH KUBUR DAN KESESATANNYA

 

Secara semulajadi, manusia sangat cenderung untuk bergantung harap kepada sesuatu kekuasaan yang baginya dengan kekuasaan tersebut dapatlah memberikan dirinya perlindungan, menunaikan permintaan dan hajat dan sebagainya. Oleh kerana itu, sejarah umat manusia mencatatkan pelbagai bentuk anutan dan sembahan yang dilakukan bagi menzahirkan kebergantungan manusia kepada sesebuah kekuasaan menurut kepercayaan dan amalan tradisi masing-masing. Ini termasuklah amalan menyembah berhala, patung-patung orang soleh dan selainnya yang dianggap berkuasa dan punyai keberkatan.

Perkatan Quburiyyun berasal dari bahasa Arab yang bermaksud penyembah kubur. Ungkapan Quburiyyun ini secara umum adalah merujuk kepada mereka yang melampau terhadap kubur, memuliakan kubur lebih dari kadar sepatutnya, menjadikan kubur sebagai tempat melakukan amalan ritual yang terdapat tegahan di dalam syarak seperti menjadikan kubur sebagai tempat menunaikan solat, tempat untuk berzikir, tempat ibadat menyembelih haiwan, menjadikan kubur sebagai tempat meminta pertolongan kepada selain Allah dan seumpamanya. Ini seperti yang dinukilkan oleh Imam al-San'ani dalam kitab Tathir al-I'tiqad 'An Adran al-Ilhad, beliau menegaskan bahawa :

“Bernazar dengan harta kepada orang mati dan seumpamanya, menyembelih haiwan korban di kubur, bertawassul dengan penghuni kubur, meminta hajat-hajat dari penghuni kubur adalah seperti apa yang dilakukan masyarakat jahiliah. Hanya sahaja yang membezakannya ialah masyarakat jahiliyyah melakukannya kepada patung dan berhala, manakala quburiyyun melakukannya kepada apa yang mereka namakan sebagai wali, qubur dan masyhad. (Perbezaan) Nama-nama ini tidak memberi kesan dan tidak mengubah hakikat sebenar pada bahasa, akal dan syarak.”




Sejarah merekodkan amalan menyembah kubur ini telah berlaku sejak dahulu kala lagi. Termasuklah yang dilakukan oleh orang Yahudi, mereka telah menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid, tempat mereka beribadah. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Semoga Allah membinasakan Yahudi, mereka menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid"

Agama Islam sangat melarang keras umatnya untuk melakukan sembahan selain kepada Allah dalam apa jua bentuk sekalipun, termasuklah sembahan berbentuk berhala, patung, sembahan kubur orang soleh, tok wali dan seumpamanya. Dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Abi Syaibah, Rasulullah SAW bersabda lima hari sebelum wafat yang bermaksud :

”Dan ketahuilah, bahwa sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah menjadikan kubur nabi-nabi dan orang-orang shalih di antara mereka sebagai masjid (tempat ibadah). Tetapi janganlah kamu sekalian menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, karena aku benar-benar melarang kamu dari perbuatan itu.”

Demikian sikap dan pendirian tegas dan keras oleh baginda Nabi SAW melarang perkuburan dijadikan tempat untuk beribadah. Dalam Islam, tiada satu pun ajaran untuk memuliakan atau mengagungkan perkuburan. Oleh kerana itu, pada awal zaman umat Islam, tidak berlaku sebarang bentuk mengagungkan mana-mana perkuburan. Ini seperti yang telah dinyatakan oleh al-Samhudi RH dalam kitab Wafa' al-Wafa Bi Akhbar Dar al-Mustafa, beliau berkata :

“Tidak diketahui kedudukan kubur Fatimah (binti Rasulillah SAW) RA dan kubur selain beliau dari kalangan generasi Salaf hanyalah kerana tidak ada binaan dan simen yang dibuat di atas kubur mereka.”

Sesungguhnya amalan penyembahan kubur yang berlaku dikalangan umat Islam telah bermula pada penghujung abad ketiga hijrah. Hal ini seperti yang diungkapkan oleh Syaikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah RH dalam kitabnya, Majmu' al-Fatawa, beliau berkata :

“Pada zaman awal dan masa keutuhannya (Khilafah Bani al-‘Abbas), mereka tidak mengagungkan al-Masyahid (kubur-kubur yang menjadi tempat perhimpunan ramai), sama ada (kubur itu) benar atau palsu seperti yang berlaku selepas itu. Ini kerana Islam pada masa itu masih kuat dan segar. Tiada sama sekali (sebarang kubur yang menjadi tempat perhimpuan ramai) di zaman para Sahabat, para Tabi‘en dan Tabi’ Tabi‘en di mana-mana negeri Islam, sama ada di Hijaz, mahupun di Yaman, di Sham, di Iraq, atau di Mesir, tiada juga di Khurasan mahupun di Maghrib. Tidak pernah ada al-Masyhad (kubur yang menjadi perhimpunan ramai) sama ada pada kubur seorang Nabi, atau seorang sahabat, atau seorang dari kalangan Ahl al-Bait, atau orang yang soleh sama sekali. Bahkan semua kubur masyhad ini mula wujud selepas itu. Kemunculan dan tersebarnya perkara ini terjadi ketika khilafah Bani Abbas semakin lemah dan umat Islam semakin berpecah-belah. Dalam masa yang sama golongan zindik yang menimbulkan kekeliruan ke atas umat Islam semakin ramai, tersebar pula seruan ahli bid’ah dari Daulah al-Muqtadir di penghujung abad ketiga Hijri".




Amalan penyembahan kubur yang juga boleh difahami sebagai beribadah di perkuburan telah tersebar luas ke seluruh negara umat Islam. Ini termasuklah di Mesir, bumi para Nabi. Menurut Arafah Abdul Ali dalam kitab Mawalid Misr al-Mahrusah, beliau menukilkan :

"Makam para wali yang bertebaran di seluruh kota-kota dan sekitar 6000 kampung di Mesir, menjadi pusat-pusat tumpuan mengadakan hari sambutan kelahiran untuk para pengikut dan pencinta para wali. Kita boleh katakan, sukar untuk kita dapati satu hari sepanjang tahun yang tidak ada perayaan kelahiran seorang wali di mana-mana tempat di Mesir.”

Selain itu, Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dalam kitabnya Muzakkirat Sa-ih, telah menceritakan pengalamannya ketika berada di Mesir pada tahun 1951 Masihi. Beliau telah menyatakan bahawa :

“Kami solat zuhur di Masjid Sultan Hassan, kemudian kami menziarahi Masjid al-Rifa‘I yang merupakan Kawasan kubur Raja Fuad dan ayahandanya, Khadivi Ismail dan selainnya. Kemudian kami menziarahi Masjid al-Imam al-Syafi‘e dan kuburnya. Kami melalui banyak perkuburan, sehingga kami berkata: "Sekiranya setiap para pembesar atau ulama atau orang soleh apabila meninggal dunia dibinakan kawasan perkuburan untuknya, sudah pasti kota untuk orang mati itu lebih besar daripada kota orang hidup, dan pasti orang hidup tidak memperolehi kawasan untuk rumah mereka walau sejengkal.”

Dikalangan para ulama, terdapat beberapa tokoh yang dengan secara tegas menegah dan melarang daripada menjadi sebahagian daripada golongan penyembah kubur. Antara lainnya seperti apa yang disebutkan oleh Imam al-Syafie dalam kitabnya, al-Umm, beliau menyatakan bahawa :

“Saya tidak suka masjid dibangun di atas kuburan dan kuburan diratakan; atau shalat di atasnya dalam keadaan kubur tersebut tidak rata (tampak); atau shalat menghadap ke arahnya”.




Begitu juga menurut pandangan mazhab Hanbali dalam kitab, Tahdzir as-Sajid, adalah tidak sah solat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang didirikan perkuburan. Begitu juga menurut Imam Ibn al-Malik, beliau menyatakan hukumnya haram mendirikan masjid di kuburan kerana bersolat dk masjid yang ada kubur sama seperti mengikut sunnah dari sunnah-sunnah Yahudi. Selain itu, As-Syahid Imam Hasan al-Banna, seorang tokoh dan pemikir Islam juga turut menentang amalan Quburiyyuan ini seperti yang disebutkan oleh beliau dalam catatannya, Usul 20. pada usul yang ke 14 beliau menyatakan bahawa :

"Menziarahi kuburan walaubagaimanapun adalah sunnah yang disyariatkan dan mestilah dengan syarat menurut cara yang diterima dan Rasulullah (s.a.w). Tetapi meminta pertolongan dari si mati, walaubagaimana bentuk sekalipun, demikian juga menyeru mereka supaya memberi pertolongan, meminta mereka menunaikan hajat, dari jauh atau dekat, bernazar kepada mereka, membina perkuburan, mengelambuinya,meneranginya dengan lampu dan memperluaskannya, juga bersumpah dengan nama selain Allah dan perkara-perkara yang seumpamanya, adalah bidaah dan dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak melakukan perkara-perkara tersebut demi menutup punca-punca kemungkaran"

Demikianlah ketegasan para sarjana Islam menentang golongan Quburiyyun. Kita bukanlah mahu menentang atau menghalang orang Islam untuk menziarahi tanah perkuburan. Apa yang pasti, penentangan ini adalah untuk menutup pintu-pintu kesyirikan yang sudah tentu mengundang kemurkaan Allah SWT. Agama ini berdiri diatas suruhan Allah dan Rasul Nya. Selain daripada itu, rekaan dan tokok tambah yang boleh menghilangkan ketulenan dalam beribadah dan merentap sifat perhambaan beribadah hanya kepada Allah. Menginsafi akan bahayanya golongan ini, marilah bersama kita memberikan kesedaran kepada masyarakat memahamkan tentang konsep beribadah hanya kepada Allah. Semoga Allah pelihara kita semua dari tergolong dalam kalangan para penyembah kubur.