Isnin, 11 Mac 2024

RAMADAN DAN PELUANG ERATKAN PERSAUDARAAN

 

Antara kenikmatan yang tidak ternilai dalam kehidupan ini ialah apabila kita dapat saling mengenali antara satu sama lain. Manusia dengan pelbagai latar belakang cerita akan mewujudkan suatu kehidupan yang sempurna apabila saling melengkapi antara satu sama lain. Umpamanya, seorang pengusaha kedai makan tidak akan mampu membuka perniagaannya tanpa ada para petani dan nelayan yang membekalkan sumber makanan mentah untuk dimasak. Begitu juga orang yang kaya tidak akan dapat makan ayam jika tidak ada para penternak yang membela. Peranan setiap manusia di pelbagai lapangan akan melengkapi hidup satu sama lain.

Dalam Islam, persaudaraan adalah sesuatu yang ditekankan oleh Allah SWT dan rasul-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran, menerusi surah al-Hujurat 10 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu sertabertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”




Dalam kitab tafsir al-Sa'di, Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di menyatakan bahawa persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. Demikian apa yang telah disebutkan. Ini bermakna orang-orang beriman itu diikat dengan ikatan persaudaraan sesama Islam. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahwa antara tanda-tanda atau ciri-ciri orang yang beriman ialah mengasihi saudaranya seperti menyayangi dirinya sendiri. Sekali lagi, indikator keimanan kepada Allah adalah terletak juga kepada bab persaudaraan. Agama Islam bukan sekadar mendidik umatnya untuk solat dan puasa semata-mata bahkan menjadi bukti keimanan juga apabila kita memelihara dan menjaga persaudaraan sesama Islam. Oleh itu, apabila dapat bertamu di bulan Ramadan, bukan sekadar kita menahan diri daripda makan dan minum, sebaliknya madrasah Ramadan yang dilalui ini akan menjadi medan untuk kita perkasakan persaudaraan sesama Islam.

Seringkali memasuki bulan Ramadan, dikalangan masyarakat Islam sudah mula berbicara tentang kemeriahan ibadah puasa. Ada yang ternanti-nantikan menu yang hanya dijual pada bulan Ramadan. Tidak kurang juga ada yang gemar berkongsikan tentang kerancakkan aktiviti membaca dan bertadarus al-Quran. Selain ada pula yang suka berkongsikan menu harian untuk berbuka puasa dan sahur di laman media sosial. Namun begitu, adakah kita sedar bahwa bulan Ramadan yang padanya disebutkan sebagai madrasah ini juga merupakan ruang dan peluang terpenting untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam.




Ramadan, suatu bulan mulia yang diwajibkan umat Islam untuk berpuasa. Selain menahan diri daripada makan dan minum, kita juga dituntut untuk meninggalkan perkara yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa. Antara perkara yang sia-sia tersebut ialah bermusuhan sesama umat Islam. Bermusuhan sesama Islam adalah sesuatu yang merugikan apatah lagi ketika kita berada pada bulan Ramadan yang mulia ini. Untuk itu, bulan Ramadan adalah peluang yang terbaik untuk kita jadikan sebagai titik permulaan meninggalkan segala permusuhan dan mengambil peluang ini untuk mengeratkan persaudaraan. Ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 103, yang bermaksud :

"Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara."

Amalan berpuasa di bulan Ramadan tentunya akan lebih dimaknai dengan meninggalkan segala perdebatan, perbalahan dan permusuhan yang merugikan umat manusia khususnya orang Islam. Pertengkaran yang membawa kepada percakaran sesama umat Islam tentunya menunjukkan suhu persaudaraan yang tidak sihat. Walhal, mengelakkan suasana kuat pertengkaran adalah suatu bentuk yang mulia. Ini kerana, pada sisi Allah SWT, sangat membenci para lelaki yang sangat kuat bertengkar. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Lelaki-lelaki yang sangat dibenci oleh Allah adalah yang sangat kuat dalam bertengkar."




Selain itu, peluang pada bulan Ramadan yang juga merupakan bulan untuk kita eratkan persaudaraan Islam, boleh diterjemahkan dengan aktiviti berkongsikan masakan kepada jiran tetangga. Ini bukanlah suatu budaya baharu malah sejak zaman dahulu, telah menjadi tradisi masyarakat Islam khususnya di Malaysia suka berkongsi masakan kepada jiran-jiran sambil dibalas dengan bertukar-tukar juadah hidangan. Budaya seperti ini seharusnya dipelihara agar sentiasa dapat memupuk semangat persaudaraan yang baik dikalangan komuniti setempat. Budaya sihat ini bukan sahaja dapat menyemai roh persaudaraan bahkan mendapat ganjaran hebat di sisi Allah. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga."

Betapa besarnya ganjaran pahala bagi sesiapa yang menyediakan makanan untuk jiran tetangga turut merasainya. Hal ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan ingatan persaudaraan bahkan diberikan juga ganjaran pahala diatas sebab memberikan makan kepada orang yang berpuasa. Beruntunglah jika budaya saling berkongsi makanan ini dapat disuburkan kembali dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Selain itu, ibadah puasa pada bulan Ramadan juga secara tidak langsung dapat memupuk persaudaraan dengan mengingatkan orang kaya terhadap golongan manusia yang fakir dan miskin. Menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauzi, dengan tegas beliau menyatakan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda orang miskin.

Malahan menurut Syeikh Muhammad Abduh dalam kitab Tafsir al-Manar, ketika beliau mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa, beliau menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajipan berpuasa, sama dalam merasakan lapar dan dahaga. Sementara itu, kata Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, beliau menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih sayang, ukhuwwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam. Demikianlah Ramadan dan peluang yang boleh kita manfaatkan untuk tujuan mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

Khamis, 7 Mac 2024

SIAPAKAH AHLI KITAB ?

 

Sejarah dan kehidupan manusia bagaikan ikatan yang tidak boleh sama sekali dileraikan. Ini bermakna, episod sejarah yang berlaku dalam siri kehidupan umat manusia tidak dapat dipadamkan atau dinafikannya. Meskipun sebahagian perkara yang berlalu itu telah menjadi bahan sejarah dahulu, namun apa yang dilakarkan tersebut telah banyak meninggalkan kesan kepada kehidupan manuisa biarpun dunia sudah berevolusi bergerak maju ke masa hadapan. Kerana itu, sebahagian nukilan sejarah kehidupan manusia yang lampau, kini menjadi rujukan umat masa kini sebagai pedoman dan pengetahuan untuk masa sekarang. Jika tidak ada mereka yang dahulu, tentunya tidak ada kita yang sekarang ini.

Ungkapan Ahli Kitab merupakan perkataan yang merujuk kepada gelaran umat terdahulu. Secara umumnya, Ahli Kitab adalah mereka yang beragama Yahudi dan Kristian yang berpegang kepada ajaran kitab Taurat dan Injil. Namun begitu, dalam usaha memberikan definisi sebenar tentang siapakah Ahli Kitab, para ulama berbeza pandangan tentangnya. Menurut Imam al-Syafie dalam kitabnya, al-Umm, beliau mengkhususkan Ahli Kitab kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian. Ini bermakna, mereka yang beragama Yahudi dan Kristian, yang bukan dari keturunan Bani Israel, tidak tergolong mereka ini dalam Ahli Kitab. Ini kerana, Nabi Musa yang diberikan kitab Taurat dan Nabi Isa yang diberikan kitab Injil hanya diutuskan kepada Bani Israel dan bukan kaum lain.




Selain itu, menurut Imam Abu Hanifah dalam kitab Ahkam al-Quran, beliau menyatakan bahawa Ahli Kitab juga adalah mereka yang daripada wilayah Kaskar (daerah utara Kufah) dan Bata’ih (kawasan berpaya di utara Basrah) termasuk dalam penganut Kristian. Walaupun mereka banyak perbezaan daripada agama-agama lain; kerana Kristian itu terdapat banyak aliran. Begitu juga Imam Al-Shahrastani di dalam kitabnya, al-Milal wa al-Nihal, beliau menjelaskan bahawa Ahli Kitab tidak hanya dikhususkan kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian tetapi juga sesiapa sahaja yang menerima Taurat dan Injil, samada mereka mengamalkannya atau tidak. Sementara itu, Buya Hamka pula dalam kitab Tafsir al-Azhar pula menyatakan bahawa ahli kitab terdiri dari Yahudi dan Nasrani, tetapi ia tidak memberi kriteria tertentu sehingga setiap dari Yahudi dan Nasrani disebut ahli kitab.

Demikian beberapa definisi yang dikemukakan oleh para ulama untuk memahami makna kepada ungkapan Ahli Kitab. Secara konsepnya, Ahli Kitab adalah merujuk kepada orang Yahudi dan Kristian yang mempunyai keturunan salasilah keturunan Nabi Yaakub AS. Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang dimaksudkan sebagai Ahli Kitab iaitu yang disebut sebagai golongan as-Sobi'ah. Pun begitu, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan sama ada mereka ini termasuk dalam golongan Ahli Kitab ataupun tidak. Golongan as-Sobi'ah disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 62 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Mengenai golongan as-Sobi'ah ini, para ulama berbeza pendapat. Antara perbezaan tersebut, menurut Imam Abu Hanifah mengkategorikan mereka sebagai Ahli Kitab yang merupakan aliran menyeleweng daripada agama Kristian yang membaca kitab Zabur, tidak kitab Injil. Mereka menyembah bintang dan berhala-berhala. Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad ibn Hassan al-Syaibani tidak menerima mereka sebagai Ahli Kitab. Selain itu, Imam Malik menganggap mereka sebagai kafir dan tidak termasuk dalam Ahli Kitab. Mereka tidak mempunyai kitab suci mahupun peraturan-peraturan berkaitan agama. Di sisi ulama’ Malikiyyah, mereka dikira sebagai penyembah berhala. Manakala Imam al-Syafie pula bertawaqquf dalam hal ini kerana identiti mereka yang tidak jelas. Walaubagaimanapun, para ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa mereka adalah hampir kepada ajaran Kristian dan dianggap sebahagian daripada penganut Kristian. Imam Ahmad bin Hanbal dan para ulama’ Hanabila kebanyakannya menerima pendapat-pendapat Imam Abu Hanifah dan para ulama’ Syafi’iyyah.




Menurut Ibn al-Qayyim dalam kitab Ahkam Ahl al-Zimmah, beliau menjelaskan, al-Sobi’ah adalah umat yang besar. Ada yang baik dan ada yang celaka. Ia termasuk dalam salah satu umat yang terbahagi menjadi Mukmin dan kafir. al-Sobi’ah itu ada pelbagai kategori, ada al-Sobi’ah Hanif (pengikut ajaran Nabi Ibrahim) dan ada al-Sobi’ah Musyrik. Mereka memiliki kitab, tulisan-tulisan, dan ilmu-ilmu. Penganutnya banyak di Baghdad. Antaranya adalah Ibrahim bin Hilal, penulis bagi beberapa risalah. Dia menganut agama tersebut, berpuasa Ramadhan seperti umat Islam. Majoriti mereka adalah ahli falsafah. Walau apapun, pastinya Ahli Kitab itu merujuk kepada mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Ini juga berdasarkan beberapa ayat di dalam a-Quran yang menyebutkan Ahli Kitab itu sebagai mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 135-136 yang bermaksud :

“Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik". (135) Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, Tafsir al-Munir, beliau menyebutkan bahawa ayat di atas menceritakan berkenaan seruan kepada ahli kitab dan bangsa Arab agar patuh kepada Allah SWT dan mengikuti agama yang benar yang dibawa oleh semua para nabi. Allah SWT juga mencela sifat ahli kitab yang suka berselisih dalam perbezaan yang kecil di mana orang Yahudi dan Nasrani berhujah bahawa agama mereka yang sampai kepada kebenaran mengikut pendapat masing-masing. Tetapi Allah SWT membantah hujah mereka dengan memberi contoh Nabi Ibrahim AS (Yahudi dan Nasrani mengatakan mereka mengikuti agama Ibrahim AS) yang mana beliau bukanlah seorang yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun, baik berhala mahupun patung. Dalam ayat ini juga terdapat sindiran ke atas kesyirikan mereka yang mengatakan Uzair itu adalah anak Allah dan Isa itu adalah anak Allah.

Berdasarkan kefahaman ayat ini, kita dapat fahami bahwa Ahli Kitab yang terdiri daripada orang Yahudi dan Kristian memiliki kepercayaan yang tersendiri dan berbeza dengan ajaran agama Islam sebenar. Maka dengan itu, Allah SWT telah menghantar Nabi Muhammad SAW untuk berdakwah menyeru dan mengajak mereka untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan tidak menyekutukan Allah Azza Wa Jalla. Kesinambungan daripada ayat tersebut, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 137 yang bermaksud :

“Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”




Imam Fakhruddin al-Razi menyatakan dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Kabir, bahawa Allah SWT menyeru kepada ahli kitab untuk beriman kepada petunjuk (kitab taurat dan injil) yang tidak diolah dan diubah isinya. Sebagai contoh jika mereka beriman kepada kitab taurat yang asli di mana tiada sebarang tokok tambah, maka mereka akan diberi hidayah serta petunjuk yang membawa kepada kenabian Nabi Muhammad SAW. Demikian pula menurut Syeikh Mutawali Sya’rawi, beliau menyatakan ayat ini merupakan frasa yang berkaitan dengan penyaksian kalimah syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Setiap Muslim perlu mengucapkan kalimah syahadah untuk membuktikan keimaman, maka ayat ini adalah perumpamaan kepada keimanan ahli kitab agar penyaksian dan kata-kata mereka harus sama seperti Muslim. Jika tidak, mereka akan sentiasa berada di dalam perselisihan dan pergaduhan sesama mereka.

Demikianlah tentang siapakah Ahli Kitab. Secara mudahnya, golongan Ahli Kitab adalah mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Ciri-ciri yang ada pada mereka ini mestilah yang mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW kerana diutuskan baginda Nabi juga bertujuan mengajak kepada mereka untuk kembali ke jalan yang benar. Dikalangan mereka, ada yang beriman dan sebaliknya ada juga yang tidak beriman dengan apa yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Ini juga bermakna sekiranya masih wujud Ahli Kitab yang masih berpegang kepada ajaran suci rasul dan nabi mereka, masih berpegang kepada kitab suci mereka tanpa menyeleweng, namun enggan mengikuti ajaran atau tidak mahu beriman kepada baginda Nabi Muhammad, mereka ini tetap dianggap sebagai kufur kepada Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 


Selasa, 5 Mac 2024

MENJELANG RAMADAN : MENYINGKAP SIFAT PARA SALAFUS SOLEH

 

Umpama hadiah yang bermakna, Ramadan merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi orang Islam. Bulan Ramadan, padanya disyariatkan berpuasa sebulan dengan tujuan mudah-mudahan memperolehi ketaqwaan. Padanya pelbagai ganjaran dan keistimewaan yang dihidangkan oleh Allah kepada hamba Nya yang ikhlas. Pada bulan Ramadan juga, terakam beberapa peristiwa dan detik yang bersejarah. Di dalam bulan Ramadan, al-Quran yang merupakan panduan lengkap kehidupan manusia telah diturunkan. Selain itu, sejarah pertembungan epik dalam perang Badar, antara tentera Islam yang diketuai oleh baginda Nabi SAW dan tentera kafir Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan telah berlaku pada bulan Ramadan, yang menyaksikan kemenangan bermakna buat umat Islam.

Oleh itu, bulan Ramadan yang padanya terkandung keberkatan dan keampunan Allah SWT, sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam sejak dahulu lagi. Ini termasuklah para Salafus Soleh yang menjadi generasi contoh dan teladan terbaik dalam Islam. Menurut Ibnu Manzur dalam kitab Lisanul 'Arab, ungkapan Salaf pada sudut bahasa membawa makna terdahulu (nenek moyang), yang lebih tua dan lebih utama. Manakala Syeikh Muhammad bin Abdurrahman al-Marghrawi dalam kitabnya, al-Mufassiruun bainat Ta'will wal Itsbat fii Aayatis Sifat, menyatakan bahawa Salaf bermaksud pendahulu. Ungkapan Salaf pada sudut istilah pula merujuk kepada maksud generasi pertama dan terbaik dari umat Islam ini, yang terdiri dari para sahabat, para Tabi'in, para pengikut Tabi'in dan para imam pembawa petunjuk pada tiga kurun pertama yang dimuliakan oleh Allah SWT.




Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (yaitu masa para Sahabat), kemudian yang sesudahnya (masa Tabi’in), kemudian yang sesudahnya (masa Tabi’ut Tabi’in).”

Menurut pandangan al-Qalsyani dalam kitab al-Mufassiruun bainat Ta'wil wal Itsbaat fi Aayatis Sifat, beliau menyatakan Salafus Soleh adalah generasi pertama dari umat ini yang pemahaman ilmunya sangat dalam, yang mengikuti petunjuk Nabi SAW dan menjaga sunnahnya. Allah memilih mereka untuk menemani Nabi-Nya SAW dan menegakkan agama-Nya. Selain itu, Syeikh Mahmud Ahmad Khafaji berkata di dalam kitabnya, al-‘Aqidatul Islamiyyah Bainas Salafiyyah wal Mu’tazilah, beliau menyebutkan bahawa penetapan istilah Salaf tidak cukup dengan hanya dibatasi waktu saja, bahkan harus sesuai dengan Al-Quran dan Al-Sunnah menurut pemahaman Salafus Soleh. Maka tentunya generasi Salafus Soleh ini adalah rujukan generasi terbaik untuk kita mencontohinya.

Menjelang bulan Ramadan, terdapat banyak amalan dan persediaan yang dilakukan oleh para Salafus Soleh yang boleh kita jadikan contoh ikutan. Antaranya ialah para Salafus Soleh sentiasa berdoa selama enam bulan sebelum Ramadan supaya mereka berpeluang bertemu dengan bulan Ramadan. Sementelah itu, enam bulan selepas Ramadan pula, mereka sentiasa berdoa agar Allah SWT menerima segala amal baik yang telah mereka lakukan di bulan Ramadan. Ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Rejab al-Hanbali, dalam kitabnya, Lataif al-Ma'arif, beliau menukilakan daripada Ma'la bin al-Fadhl dengan menyebutkan bahawa adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadan dan enam bulan lagi supaya Allah SWT menerima daripada mereka amalan mereka.

Selain itu, menjelang bulan Ramadan yang mulia ini, para Salafus Soleh juga telah melakukan persediaan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Ini kerana, pada bulan Ramadan, diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia dan juga yang menjadi pemisah antara yang benar dan yang batil. Ini sepertimana dalam surah al-Baqarah ayat 185, firman Allah SWT yang bermaksud :

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".

Dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala', Ibrahim al-Nakha'i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan setiap dua malam sekali. Selain itu, Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadan, beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap tiga hari sekali. Manakala memasuki 10 hari terkahir pada bulan Ramadan, beliau mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap hari. Begitu juga telah berkata al-Rabe' bin Sulaiman, Imam al-Syafie Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadan. Selain itu, Imam Malik, tokoh pendiri mazhab Maliki, apabila tibanya bulan Ramadan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada al-Quran. Kata Imam al-Zuhri Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadan, bulan ini adalah bulan tilawah al-Quran dan memberi orang makan. Demikianlah kesungguhan para Salafus Soleh memperbanyakkan membaca al-Quran.




Selain itu, menjelang Ramadan yang diberkati ini, para Salafus Soleh yang juga merupakan generasi terbaik dalam Islam sentiasa melakukan solat malam yang disebutkan sebagai Qiyam. Perbuatan Qiyam adalah merujuk kepada maksud menghidupkan malam hari dengan beribadah kepada Allah SWT. Dalam ibadah Qiyam pada bulan Ramadan, disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali sebagai solat teraweh sama ada dilakukan secara berjemaah ataupun bersendirian. Dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam".

Menurut Dr. Sayyid al-Affani, beliau menyatakan bahawa kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada Allah SWT dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat. Selain itu, para Salafus Soleh juga sentiasa memperbanyakkan amalan sunat nawafil seperti puasa sunat dan sebagainya. Imam al-Syatibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menyebutkan bahawa ibadah nawafil dan perkara sunat yang lain dikira sebagai landasan untuk masuk kepada ibadah fardu, ia juga sebagai penyempurnaan untuk mendapatkan redha Allah SWT.

Demikianlah beberapa sifat para Salafus Soleh yang boleh kita jadikan sebagai inspirasi, contoh dan ikutan yang terbaik menjelang menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak. Sesungguhnya setiap perbuatan baik disisi syarak tiada yang menjadi sia-sia melainkan menjadi saham akhirat. Maka dengan itu, menghitung detik menjelang bulan Ramadan, kita seharusnya mempersiapkan kekuatan diri, baik dari sudut jasmani dan rohani, dengan melakukan amalan yang telah ditunjukkan oleh generasi hebat umat terdahulu. Persepsi orang ramai tentang bulan Ramadan adalah bulan pesta makanan perlu diperindahkan lagi dengan melihat ianya bukan sekadar soal makan dan minum tetapi pesta untuk kita beribadah dengan ruang lingkup kemampuan diri masing-masing. Ini bermakna, ibadah di bulan Ramadan tidak sekadar solat teraweh di masjid semata-mata malah sesiapa sahaja walau berada di mana pun, kita semua ada ruang untuk beribadah dengan pelbagai pintu-pintu kebaikan dibuka. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 2 Mac 2024

QARIN ; PENDAMPING PERIBADI DIRI MANUSIA

 

Sememangnya dunia yang dijadikan oleh Allah SWT ini adalah merupakan medan bagi menguji diri manusia. Tidaklah kehidupan dan kematian itu dicipta melainkan untuk menguji para umat manusia antara iman dan juga kufur. Oleh kerana itu, kaya mahupun miskin, senang ataupun susah, masing-masing mempunyai posisi ujiannya yang tersendiri. Ujian bukan bermakna hal-hal yang sukar dan susah semata-mata, malah hidup kaya-raya juga suatu ujian bagi melihat nilai kerendahan hati dengan memiliki kemewahan harta benda.

Bagi menguji manusia, selain Allah SWT menjadikan pada diri manusia itu punyai hawa nafsu, Allah juga telah menjadikan tiap-tiap diri manusia itu mempunyai Qarin. Perkara ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abdullah bin Mas'ud RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”




Perkataan "Qarin" adalah merujuk kepada makna jin yang senantiasa berdamping pada tiap-tiap diri manusia termasuklah diri baginda Nabi Muhammad SAW. Dikalangan para sarjana Islam, berlaku perbezaan pendapat mengenai status Qarin yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Ada yang menyatakan bahawa baginda Nabi terselamat daripada gangguan Qarin. Sebahagian lain pula berpandangan bahawa Qarin yang berdamping dengan Nabi telah memasuki Islam. Hal ini berlaku perbezaan disebabkan kedudukan baris bagi huruf lam pada perkataan "فأسلم" di dalam hadith tersebut.

Sesungguhnya Qarin itu adalah dikalangan bangsa jin. Umum mengetahui, jin terdiri daripada jin baik yang soleh dan jin jahat yang kufur. Ini sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran mengenai perihal jin. Dalam surah al-Jin ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.”

Berdasarkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-'Azim, beliau menyatakan bahawa jin mengkhabarkan tentang diri mereka bahawa mereka terbahagi kepada dua kelompok, iaitu yang soleh dan tidak soleh. Mereka berada di atas jalan yang beragam-ragam dan pendapat yang pelbagai. Ibn ‘Abbas, Mujahid dan selainnya menyebut bahawa bermaksud, di antara kami, ada yang Mukmin dan ada yang kafir. Demikian apa yang telah dinyatakan. Setiap diri manusia yang lahir ke dunia ini, pastinya akan ada bersamanya Qarin. Tugas Qarin ini adalah bagi mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perkara yang ditegah dan dilarang oleh agama. Namun, keadaan ini berbeza dengan Qarin baginda Nabi SAW yang telah memasuki Islam, menjadikan Qarin pendamping Nabi adalah dikalangan jin yang baik, jin Islam yang mendorong Nabi melakukan kebaikan.




Qarin merupakan pendamping diri manusia sejak manusia dilahirkan ke dunia. Pun begitu, yang boleh memisahkan Qarin dengan manusia itu adalah kematian. Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terpisahlah jasad dan roh, begitu juga terpisahlah Qarin dengan manusia tersebut. Sebagai pendamping diri manusia, Qarin yang berasal dari jin ini akan sentiasa memastikan diri manusia melakukan perbuatan-perbuatan mungkar yang dimurkai oleh Allah SWT. Dalam al-Quran, ungkapan Qarin juga dinyatakan pada hari akhirat kelak, Qarin akan memberikan buku catatan amalan kepada manusia yang didampinginya. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 23 yang bermaksud :

"Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia (untuk dibicarakan).”

Ayat ini jelas memberikan kita kefahaman bahawa setiap diri manusia akan menerima buku catatan amalannya yang akan diberikan oleh Qarinnya. Cuma, pada ayat ini para sarjana Islam berbeza pendapat dalam menafsirkan siapakah Qarin yang dimaksudkan. Ini kerana, selain Qarin pendamping manusia dikalangan jin, turut berdamping dengan manusia 4 lagi pendamping iaitulah 4 daripadanya adalah malaikat, 2 malaikat kiri dan kanan, 2 lagi malaikat penjaga depan dan belakang manusia. Hanya 1 sahaja pendamping manusia daripada jin. Maka dengan sebab itu, para sarjana Islam berbeza pendapat mengenai Qarin yang mana satu yang dimaksudkan dari ayat tersebut.

Seperti kata Imam al-Tabari dalam kitab Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Quran, maksud ayat tersebut adalah, orang yang bersama manusia yang datang kepada Tuhannya pada hari kiamat, yang bersamanya seorang penggiring dan seorang penyaksi. Selain itu, al-Qatadah pula berkata maksud Qarin tersebut adalah malaikat. Begitu juga pendapat Imam al-Qurtubi, di dalam kitab tafsirnya, ketika beliau mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Qarin di dalam ayat ini adalah malaikat yang diutuskan untuknya. Inilah sepertimana pendapat al-Hasan, Qatadah dan al-Dahhak. Berdasarkan perbezaan pandangan ini, maka Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Munir, telah merajihkan (menguatkan) pendapat yang mengatakan Qarin yang dimaksudkan tersebut adalah malaikat dan bukannya jin.




Selain itu, ada juga ungkapan Qarin di dalam al-Quran yang merujuk kepada makna jin yang berdamping dengan diri manusia. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 27 yang bermaksud :

“Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”

Berdasarkan ayat ini, telah berkata Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya dengan menyatakan bahawa Qarin di dalam ini adalah syaitan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya. Demikian pula telah berkata Syeikh Dr. Wahbah a;-Zuhaili dalam kitab tafsinya,Tafsir al-Munir dengan menjelaskan bahawa :

"Kemudian, Allah SWT menyebut percakapan antara orang kafir dan syaitan yang menjadi qarin-Nya. Syaitan yang menjadi qarin manusia berkata berkait dengan manusia yang kafir, dengan maksud untuk berlepas diri daripadanya: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya atau menjatuhkannya ke dalam kesesatan. Namun, dia sendiri orang yang sesat, lebih memilih kebatilan, angkuh terhadap kebenaran dan jauh daripada kebenaran. Ketika aku mengajaknya, dan dia menerima ajakanku. Seandainya dia termasuk hamba-Mu yang ikhlas, tentu aku tidak akan mampu untuk memujuknya. Di sini, tampaknya orang kafir ingin membela diri dengan berkata: “Wahai Tuhanku, syaitan yang menjadi qarinku lah yang menyesatkanku.” Lalu syaitan menjawab: “Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”

Demikianlah perbincangan mengenai Qarin yang sememangnya merupakan pendamping peribadi setiap manusia yang dilahirkan diatas muka bumi Allah ini. Tentunya Qarin yang datangnya dari bangsa jin ini, selain hawa nafsu, akan menggoda diri manusia untuk melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Oleh kerana itu, kadang manusia yang pada awalnya kelihatan bagus kehidupannya, baik amalannya, tetapi pada akhir hujung kehidupannya, tergelincir dirinya ke jalan kesesatan. Inilah yang dikatakan manusia akan diuji sama ada menjadi orang yang beriman atau sebaliknya orang kufur dan ingkar kepada Allah. Oleh kerana itu juga kita disarankan untuk sentiasa memohon doa kepada Allah ditunjukkan kepada kita jalan yang lurus yakni jalan yang diredhai Allah. Semoga Allah melindungi kita semua.

Rabu, 28 Februari 2024

AJARAN AGAMA YANG MENYEMBAH DAN MEMUJA KUBUR

 

Sejarah hitam yang telah dicatatkan pada zaman Nabi Nuh AS telah memperlihatkan kepada kita titik permulaan manusia mula menyembah dan memuja orang-orang soleh. Fenomena ini bertambah buruk apabila mereka telah membuat patung-patung orang soleh yang pada awalnya untuk dizahirkan rasa cinta mereka terhadap orang soleh. Namun begitu, ianya telah mengheret umat manusia untuk terus sesat dan terpesong jauh dengan menjadikan patung-patung tersebut sebagai sembahan berhala. Seperti kata Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya', beliau menyatakan bahawa setelah berabad-abad kejayaan Islam, keadaan berubah menjadi sebaliknya iaitu ketika manusia beralih kepada penyembahan berhala.

Berhala-berhala tersebut diberikan nama seperti nama orang-orang soleh di zaman Nabi Nuh AS. Setelah kematian orang-orang soleh tersebut, mereka ini disembah dengan dijadikan berhala dan dinamai dengan nama-nama mereka. Perkara ini ditegah oleh Allah SWT dan dirakamkan tegahan tersebut di dalam al-Quran, menerusi surah Nuh ayat 23, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Tuhan-Tuhan kamu dan jangan sesekali kamu meninggalkan (penyembahan) Wad, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasra.”




Dalam hal ini, Ibnu Abbas telah menyebutkan bahawa nama-nama tersebut ialah nama orang soleh daripada kaum Nabi Nuh AS. Ketika mereka wafat, syaitan membisikkan kepada kaumnya agar mereka membuat patung orang soleh antara mereka dan memberikan nama-nama patung-patung mengikut nama-nama orang soleh tersebut. Mereka patuh pada bisikan syaitan itu, pada mulanya patung-patung tersebut tidak disembah, namun setelah mereka meninggal dunia, maka patung-patung itu akhirnya disembah. Berhala-berhala yang ada dalam kalangan kaum Nuh AS akhirnya muncul di tengah-tengah bangsa Arab. Demikianlah Ibn Abbas ketika menjelaskan tentang hal tersebut.

Setelah zaman datang dan pergi bersilih ganti, tradisi menyembah berhala yang pada tujuan asalnya untuk memuliakan orang-orang soleh, kini telah merubah menjadi tempat perantaraan meminta tolong kepada Tuhan. Malah, melihat pada zaman kini, umat manusia sudah tidak lagi menyembah berhala berskala besar tetapi tradisi meminta tolong kepada orang yang telah mati masih kekal diamalkan dengan cara menyembah atau memuja kubur orang-orang soleh atau wali. Sedangkan, Islam dengan jelas melarang sebarang permintaan meminta tolong selain hanya mohon dan minta kepada Allah. Ritual penyembahan atau pemujaan kubur bukan sahaja dilakukan oleh mereka yang bukan beragama Islam malah segelintir umat Islam yang tergelincir turut terjerat dengan ibadah menyembah dan memuja kubur yang kononnya diberi alasan sebagai memuliakan kepada orang-orang soleh.

Antara ajaran agama yang menyembah kubur ialah ajaran agama Yazdani. Agama Yazdani atau dikenali juga sebagai Yazidi salah sebuah agama kuno yang telah wujud di bahagian Timur Tengah. Ungkapan "Yazdani" merupakan istilah baru yang diguna pakai bagi merujuk kepada gambaran agama purba yang dianuti oleh orang Kurdish. Kurdish pada asalnya adalah sebuah nama bangsa dan mereka pernah memiliki negara sendiri yang diberi nama Kurdistan. Pun begitu, setelah berlaku Perang Dunia Pertama, negara Kurdistan telah dipecahkan kepada lima negara. Ajaran agama Yazdani tercetus daripada kesan penyelewengan ajaran batiniyyah yang jauh terpesong dari ajaran Islam. Mereka yang menganuti ajaran Yazdani ini akan menyembah kubur Syeikh Adi Ibn Musafir yang terletak di Iraq. Bagi mereka, Syeikh Adi merupakan wakil Tuhan yang berkuasa menentukan setiap kejadian di dunia.




Selain itu, wujud agama baru yang menyembah kubur yang dikenali sebagai agama Druze. Ajaran agama ini lahir dan muncul daripada penyelewengan ajaran Syiah Ismailiyyah Batiniyyah. Ajaran agama ini telah muncul pada zaman pemerintahan Bani Fatimiyyah sekitar tahun 1018 Masihi. Menurut kepercayaan mereka, Tuhan telah menjelma di dalam tubuh al-Hakim Amrullah, seorang khalifah Syiah dan semua kata-kata al-Hakim Amrullah dianggap sebagai wahyu dari Tuhan. Penganut agama Druze menyembah dan memuja kubur Nabi Shuib AS yang di dakwa terletak di sekitar negara haram Israel. Dengan penyelewengan yang dilakukan, ajaran agama Druze mempercayai konsep reinkarnasi (lahir semula setelah mati) sama seperti kepercayaan agama lain seperti Hindu dan Buddha.

Hasil dari sikap pelampau puak Syiah juga, lahir pula satu ajaran agama baru penyembah kubur yang disebut sebagai Yarsani. Agama Yarsani merupakan sebuah agama yang bersifat sinkretisme yang diasaskan oleh Sultan Sahat pada akhir abad ke-15 di bahagian Iran Barat. Sultan Sahat juga sebagai pendiri ajaran agama ini telah mendalami ilmu sufi batiniyyah. Penganut agama ini majoritinya dianuti oleh mereka yang berketerunan Kurdish yang duduk di Iraq dan Iran. Penganut agama ini akan menyembah kubur orang-orang soleh pada sisi mereka seperti kubur Sultan Sahat yang dianggap sebagai jelmaan zat Tuhan sendiri, kubur Pir Benjamin yang dianggap sebagai jelmaan malaikat Jibril dan kubur Baba Yadegar. Agama Yarsani juga adalah puak pelampau Syiah yang telah mempertuhankan Saidina Ali RA.

Turut mengajak penganutnya menyembah atau memuja kubur adalah ajaran Brelwi atau Barelvi. Brelwi adalah merujuk kepada satu ajaran yang bermula di Utara India dan terus meluas tersebar sehingga ke Pakistan. Ajaran ini adalah bertitik tolakkan kepada ajaran puak pelamlau sufi yang menggangungkan tokoh-tokoh tertentu pada sisi mereka. Ajaran ini telah diasaskan oleh Ahmad Raza Khan. Mereka berpegang kepada kepercayaan Wehdatul Wujud (kesatuan manusia dengan Allah dalam satu jasad) dan konsep Nur Muhammad. Mengikut kebiasaan pengamalan, mereka akan membina kubur-kubur orang mulia pada tanggapan mereka seperti membina masjid. Golongan ajaran Brelwi ini juga sangat terkenal dengan ritual menghias perkuburan orang-orang mulia yang diiktiraf disisi mereka. Mereka turut dikenali sebagai pendokong lambang capal yang dianggap mulia. Menjadi pengamalan mereka menziarahi kubur-kubur orang soleh lalu dihiasi dengan bunga-bungaan dan dilakukan acara memuja dan menyembah kubur.




Demikian beberapa ajaran agama yang berteraskan kepada ritual pemujaan dan sembahan kubur. Hakikat yang wajib kita fahami, Islam sangat melarang dan menegah umat manusia dari memperbodohkan akal yang waras dengan memuja dan menyembah kubur yang langsung tidak dapat memberikan sebarang mudarat (keburukan) atau fadilat (kebaikan). Meskipun sebahagian mereka yang melakukan ritual di kubur memberikan alasan dan hujahan bahawa mereka tidak meminta kepada kubur sebaliknya sebagai perantara memohon kepada dengan keberkatan si wali yang di dalam kubur, ianya mengingatkan kita jawapan orang musyrik yang menjadikan berhala sebagai perantara. Ini sebagaimana yang telah dirakamkan Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 3 yang bermaksud :

"Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya"

Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa selain Allah. Meletakkan Allah sebaik-baik penolong bagi kita adalah teras keimanan hakiki. Ini bermakna, kita meminta, menyembah dan menyerah diri hanya kepada Allah SWT dan tidak kepada kubur-kubur orang soleh. Kisah kesesatan kaum Nabi Nuh AS yang telah menjadikan orang-orang soleh yang telah meninggal dunia sebagai patung berhala yang disembah, adalah memadai bagi kita fahami bahawa manusia tiada daya dan kuasa. Angkara tertipu dek kerana bisikan syaitan, punahlah manusia yang hidup bertuhankan kejahilan dan selera nafsu semata-msta. Semoga Allah SWT menjadikan kita hamba Nya yang tidak mudah diperdaya oleh hasutan syaitan dan iblis. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 26 Februari 2024

YA'JUJ DAN MA'JUJ : SEBUAH HAKIKAT KEMUNCULAN

 

Peristiwa kiamat ialah merujuk kepada suatu tempoh masa yang menunjukkan kehancuran dunia sesuai dengan kehendak dan ketetapan oleh Allah SWT. Sejak sekian lama dahulu, manusia dari zaman berzaman seringkali berbicara dan bercakap tentang keadaan-keadaan yang akan terjadi di masa hadapan. Dalam pelbagai konteks, juga dalam pelbagai ajaran agama di dunia ini tentunya tidak terlepas dari mengajar dan menerangkan tentang peristiwa kiamat yang memperlihatkan soal kehancuran dan kemusnahan alam dunia yang sementara ini.

Dalam ajaran Islam, peristiwa kiamat adalah termasuk di dalam perkara yang ghaib. Ini bermakna, setiap perkara yang bersifat ghaib tentunya tidak dapat diketahui secara tepat dan jelas melainkan daripada apa yang diceritakan di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Selain daripada itu, tidak boleh diterima sebagai dalil atau bukti untuk dipegang. Ini termasuklah tentang hakikat kemunculan Ya'juj dan Ma'juj. Dalam usaha memahami apakah itu Ya'juj dan Ma'juj, para ulama bahasa telah khilaf atau berselisih pendapat dalam memaknainya. Berlaku khilaf tentang asal perkataan Ya'juj dan Ma'juj ini sama ada ianya dari isim Musytaq atau dari isim 'Ajam.




Pun begitu, menurut Syeikh Yusuf al-Wabil, dalam kitabnya, Asyrath al-Sa'ah, beliau menyatakan bahawa Ya'juj dan Ma'juj berasal dari bahasa Arab yang berakar kata "ujaj" yang bermaksud mengering kemudian mengeras. Manakala satu lagi dari kata "al-ajj" yang bermaksud ketika musuh datang dengan cepat sekali. Ungkapan Ma'juj pula berasal dari kata "maaja" yang bermaksud goncang. Dalam pada itu, Syeikh Yusuf al-Wabil telah menukilkan pandangan Abu Hatim yang menyatakan bahawa ungkapan Ma'juj berasal dari perkataan maaja yang bermaksud kekacauan. Menurut pendapat yang sahih, Ya'juj dan Ma'juj bukan isim Musytaq tetapi isim 'Ajam dan laqab (gelaran).

Penceritaan tentang Ya'juj dan Ma'juj ini terdapat di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Antaranya seperti yang terkandung di dalam al-Quran, melalui surah al-Kahfi ayat 94, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

Berdasarkan ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim, menyatakan bahawa Ya'juj dan Ma'juj termasuk dari keturunan Nabi Adam AS sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Sahihain. Selain itu, Syeikh al-Maraghi pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, menyatakan bahawa apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu tempat yang dikatakan oleh para pelancong pada abad ke-15 M sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kepada mereka kerana tahap pemikiran mereka lemah. Sekiranya mereka mempunyai kecerdasan yang mantap, sudah tentu mereka memahami setiap persoalan yang diajukan berbanding penggunaan bahasa isyarat.

Kisah penceritaan berkenaan Ya'juj dan Ma'juj juga terdapat di dalam hadith Nabi SAW. Antara lain dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abi Sa'id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Allah SWT berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!” Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.” Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda SAW menjawab,"Bergembiralah kamu. Sesungguhnya dari setiap orang daripada kamu, maka dari Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang...”




Berdasarkan pemahaman hadith ini, ianya menunjukkan kepada kita bahawa orang kafir selain daripada Ya'juj dan Ma'juj akan masuk ke dalam neraka Allah SWT. Bahkan, hadith ini juga menunjukkan kepada kita sesungguhnya betapa banyak sekali bilangan Ya'juj dan Ma'juj ini dan sebaliknya betapa sedikit pula orang yang beriman masuk ke dalam neraka. Demikian apa yang telah dijelaskan. Menurut al-Quran, kemunculan Ya'juj dan Ma'juj adalah suatu hal yang benar dan akan terjadi. Mereka ini hanya menanti roboh sahaja tembok-tembok yang telah memisahkan mereka dengan dunia yang nyata. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' ayat 96-97 yang bermaksud :

"Hingga apabila dibukakan (dinding) Ya'juj dan Ma'juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan telah dekatlah datangnya janji yang benar (hari berbangkit), maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang-orang yang kafir. (Mereka berkata): “Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami dalam kelalaian tentang ini, bahkan kami adalah orang-orang yang zalim.”

Berdasarkan pemahaman ayat ini, Syeikh al-Maraghi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Genghis Khan sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis – peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah. Selain itu, Syeikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidiyy pula dalam kitabnya, Ma‘a Qisas al-Sabiqin Fi al-Qur’an, Durus Fi al-Iman wa al-Da‘wah wa al-Jihad, telah menyatakan bahawa ayat dalam Surah al-Kahfi menceritakan tentang Ya'juj dan Ma'juj pada apa yang telah berlalu dan menceritakan kerosakan yang telah mereka lakukan di atas muka bumi. Manakala ayat dalam Surah al-Anbiya' menceritakan berkenaan Ya'juj dan Ma'juj pada masa akan datang dan tentang keluarnya mereka secara besar-besaran sebelum berlakunya kiamat.




Kemunculan mereka di bumi ini adalah sesuatu yang benar lagi nyata. Namun begitu, terdapat dua pandangan berkenaan kemunculannya. Pada pandangan pertama, mereka menyatakan bahwa Ya'juj dan Ma'juj akan muncul dan keluar sekali sahaja iaitu ketika waktu hampirnya kiamat. Manakala pandangan kedua, ada yang menyatakan bahwa Ya'juj dan Ma'juj akan muncul beberapa kali bermula sejak kurun pra sejarah hinggalah pengakhirannya dengan kemunculan besar yang membawa kemusnahan yang dahsyat ketika waktu hampir kepada kiamat. Walau bagaimana pun, kemunculan Ya'juj dan Ma'juj adalah suatu kepastian. Ini berdasarkan dalam beberapa hadith yang turut menceritakan tentang kemunculan mereka. Antaranya dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Huzaifah bin Asid al-Ghiffary menceritakan :

"Suatu hari Rasulullah dating kepada kami dalam keadaan kami sedang berbincang-bincang. Lantas baginda bertanya: “Apakah yang kamu bincangkan?” Mereka mengatakan: “Kami membincangkan tentang Hari Kiamat”. Nabi SAW bersabda: “Ia tidak akan berlaku melainkan sebelumnya kamu melihat 10 tanda.” Lalu Nabi SAW menyebutkan tandanya – “Asap, Dajjal, Binatang melata, keluar matahari daripada arah terbenamnya (barat), turunnya Isa bin Maryam alaihisalam, Yakjuj dan makjuj, serta tiga gempa iaitu di timur, barat dan kepulauan Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari Yaman sehingga menghalau manusia ke tempat pengumpulan mereka.”

Sesungguhnya kemunculan Ya'juj dan Ma:juj itu adalah sesuatu yang pasti dan benar. Menurut para sarjana Islam, Ya'juj merupakan satu kaum dan Ma'juj pula merupakan satu kaum lain. Mereka adalah manusia seperti kita namun kufur dan ingkar kepada Allah SWT. Golongan ini apabila tepat pada saat dan ketikanya, dengan izin dan kehendak dari Nya, mereka ini akan muncul di bumi dengan tujuan untuk melakukan pelbagai kerosakan. Seperti yang dinyatakan oleh al-Alusi dalam kitabnya, Ruh al-Ma'ani, mereka akan melakukan kerosakan seperti mengganas, membunuh dan segala kerosakkan terhadap manusia. Walau apapun penceritaan tentangnya, tentunya wahyu al-Quran dan hadith tempat terbaik sebagai rujukan mengenali hakikat golongan dahsyat ini. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Sabtu, 17 Februari 2024

YAQAZAH : PERBUATAN MELIHAT NABI SECARA JAGA

 

Hidup ini tidak dapat lari dari memaknai maksud kecintaan kepada sesuatu. Baik hal yang dicintai itu berupa cinta sesama manusia, atau cinta kepada kebendaan seperti kereta, rumah dan sebagainya, mahupun cinta kepada apa sahaja yang disukai dan dikasihinya. Salah satu manifestasi kecintaan itu dapat diterjemahkan melalui ingatan memori yang sentiasa merinduinya hingga kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi. Oleh itu, kita juga seringkali mendengar kisah-kisah menarik orang-orang soleh berjumpa dengan baginda Nabi SAW melalui mimpi. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dek kerana kerinduan yang sangat begitu kuat kepada baginda Nabi, Bilal bin Rabah RA, muazzin rasmi baginda Nabi, pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW.

Dalam soal kita berbicara tentang bertemu Nabi dalam mimpi, sesuatu yang mustahak yang mesti diperjelaskan kepada masyarakat adalah berkaitan dengan Yaqazah. Perkataan "Yaqazah" menurut Kamus Idris al-Marbawi, ianya merujuk kepada maksud jaga, sedar (bukan dalam keadaan mimpi). Secara umum, Yaqazah adalah bermaksud perbuatan seseorang yang mendakwa bahawa dirinya telah secara sedar dan jaga, bukan melalui mimpi, bertemu dengan baginda Nabi SAW. Perbuatan Yaqazah ini telah menjadi polimik dikalangan umat Islam. Ini kerana, sebahagian para ulama menyatakan hukumnya adalah harus manakala sebahagian lain telah menolak perbuatan tersebut boleh berlaku.




Dakwaan boleh bertemu Nabi SAW secara sedar dan jaga ini bertitiktolakkan dari sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang melihatku di dalam tidur maka ia akan melihatku di dalam jaga atau ia seolah-olah telah melihatku di dalam jaga. Bahawa syaitan tidak boleh menyerupai diriku"

Mengenai hadith ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaaj Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa terdapat tiga pandangan para ulama berkenaan perbuatan yaqazah ini. Pandangan pertama, maksud boleh melihat Nabi SAW secara jaga itu ialah mereka yang hidup semasa hayat baginda Nabi. Ini bermaksud, sesiapa yang melihat di dalam mimpi tetapi tidak sempat berhijrah bersama Nabi ke Madinah, maka Allah SWT memberi taufiq Nya untuk berhijrah sama kemudiannya dan pada masa itu dia akan dapat menemui Nabi secara jaga. Pada pandangan kedua pula, maksud melihat Nabi SAW secara jaga ialah orang yang bermimpi itu boleh melihat benar-benar apa yang dimimpikan secara jaga semasa di akhirat nanti. Ini kerana di akhirat nanti semua umat akan dapat melihat baginda Nabi SAW sama ada yang pernah melihatnya di dunia atau yang belum pernah melihatnya.

Manakala pandangan ketiga, ada yang berpandangan orang yang bermimpi Nabi SAW itu dapat melihatnya di akhirat dengan cara melihat yang khusus kerana hampirnya ia dengan Nabi SAW di samping memperolehi syafaatnya dan lain-lain. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari, telah menukilkan sebanyak 6 pandangan dalam isu Yaqazah. Antara lain, pandangan yang datang daripada Ibn Abi Jamrah, beliau meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas dan selainnya pernah bermimpi melihat Nabi SAW dalam tidurnya. Setelah Ibnu Abbas bangun daripada tidur, terfikir di benaknya tentang hadith berkaitan Yaqazah. Lalu Ibnu Abbas telah menemui ibu saudaranya, Maimumah. Lantas Maimumah memberikannya cermin yang selalu digunakan oleh Nabi SAW. Ibnu Abbas telah melihat cermin tersebut dan mendapati apa yang dilihat di dalam cermin itu adalah gambar Nabi SAW dan bukan gambar dirinya.

Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyatakan bantahan tentang perbuatan Yaqazah, iaitu boleh melihat Nabi secara jaga dengan beliau menyatakan bahawa :

“Ini suatu yang amat mustahil, kerana seandainya ada orang yang melihat Nabi SAW di waktu terjaga, tentu dia termasuk sahabat Nabi SAW. Bererti peluang untuk menjadi sahabat tetap berlangsung sehinga hari kiamat. Tentunya hal ini (yaqazah) sangat keliru. Wujudnya ramai yang (mendakwa) mimpi bertemu Nabi SAW, tetapi tidak seorang pun mengaku berjumpa dalam keadaan sedar (bangun).”




Turut menyatakan bantahan terhadap perbuatan Yaqazah ini ialah Imam al-Qurtubi. Dalam kitab Fathul Bari, dinukilkan ungkapan beliau yang bermaksud :

“Dalam makna hadis ini terdapat perbezaan; Sebahagian berpendapat sebagaimana zahirnya, iaitu barangsiapa yang melihat dalam mimpi, maka ia telah melihat secara hakiki sama seperti orang melihatnya di waktu terjaga, pendapat ini dapat diketahui kekeliruannya dengan dalil akal, kerana :

1) Tidak seorang pun yang melihatnya melainkan dalam bentuk saat beliau meninggal. Tidak mungkin ada dua orang yang bermimpi melihatnya secara jaga dalam waktu yang sama dalam dua tempat.

2) Bahawa ia hidup keluar dari kuburnya dan berjalan di pasar serta berbicara dengan manusia. Bahawa kuburnya kosong dari jasadnya, sehingga tidak tertinggal sesuatu di dalamnya, maka yang diziarahi hanya kubur semata (tanpa jasad) dan memberi salam kepada sesuatu tidak ada. Kerana ia mampu dilihat di sepanjang waktu; pagi dan petang secara hakiki di luar kuburnya.

Pendapat yaqazah secara hakiki adalah kebodohan, tidak akan berpegang dengannya siapa saja yang memiliki sedikit akal yang sihat.”

Selain itu, Syaikhul Islam Ibn al-Taimiyyah dalam kitabnya, al-Jawab al-Sahih, juga menegaskan tidak boleh terjadinya bertemu Nabi secara jaga atau sedar. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa :

“Melihat para Nabi di dalam mimpi adalah haq (benar). Adapun melihat orang yang sudah mati dalam keadaan terjaga, maka ini adalah jin yang menjelma dalam bentuknya. Kemudian, mimpi itu kadangkala benar datang dari Allah, sehingga ia merupakan mimpi yang benar. Namun kadangkala datang dari syaitan. Sebagaimana pembahagian dua ini telah disebutkan di dalam hadis-hadis yang sahih. Dan syaitan kadangkala menjelma dalam mimpi dalam bentuk seseorang. Bahkan, kadangkala menjelma dalam keadaan terjaga dengan bentuk seseorang yang dapat dilihat orang ramai. Dengan itu dia akan menyesatkan orang yang tidak mempunyai ilmu dan iman. Seperti terjadi di kalangan kaum musyrik India dan lainnya. Apabila ada seseorang meninggal dunia, maka setelah itu mereka melihatnya datang membayar hutang, mengembalikan barang titipan dan menceritakan tentang orang-orang mati di antara mereka. Sesungguhnya itu adalah syaitan yang menjelma dalam bentuknya. Kadangkala syaitan datang dalam bentuk orang soleh yang mereka agungkan. Dan dia berkata: “Saya adalah si Fulan”, padahal sebenarnya dia adalah syaitan. Melihat Nabi Muhammad dalam mimpi adalah benar, tetapi melihatnya dalam keadaan terjaga, maka beliau tidak mungkin dilihat dengan mata, demikian juga orang-orang lain yang telah mati. Walapun banyak orang kadangkala melihat seseorang yang menurut prasangkanya adalah Nabi di antara para nabi. Kadangkala di dekat kuburannya atau dijauh dari kuburannya.”

Demikianlah sebahagian nama-nama besar para sarjana Islam seperti Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam al-Qurtubi, Ibnu Taimiyyah, juga Imam al-Nawawi, Ibn Kathir dan begitu juga al-Sakhawi meragui dan menolak perbuatan bertemu Nabi SAW secara jaga. Selain itu, perbuatan Yaqazah juga boleh terdedah kepada tipu daya syaitan dengan membuka pintu kerosakan yang berbagai seperti timbul penyakit ujub dan sum'ah. Perbuatan Yaqazah ini juga akan mengheret dan membuka ruang fitnah yang luas terhadap ajaran Islam dengan dakwaan semborono boleh bertemu Nabi SAW. Berhati-hatilah dengan perbuatan yang sedemikian kerana kelak banyak mengundang mudarat berbanding faedahnya. Semoga Allah merahmati kita semua.