Khamis, 4 April 2024

PERAYAAN APRIL FOOLS ; MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA

 

Salah satu sifat lumrah manusia adalah suka bergurau senda dan berjenaka. Sifat suka bergurau ini juga dapat memberikan kebaikan dalam kehidupan kita terutamanya dapat menghilangkan rasa tertekan (stress) dengan ragam kehidupan. Bahkan, hidup ini tentunya tidak seronok jika berada dalam keadan tertekan, serius seharian. Sekali sekala hidup ini memerlukan kepada kerehatan otot muka dengan bergurau senda. Malah jika kita mengamati dan menekuni catatan sirah kehidupan baginda Nabi SAW, ada waktu dan ketikanya baginda akan bergurau senda dan berjenaka bersama keluarga dan para sahabatnya. Pada zaman Nabi juga, terdapat seorang pelawak yang sering membuat baginda ketawa, iaitulah yang bernama Nu'aiman bin Amru.

Saban tahun, kita akan melihat sebahagian masyarakat terutamanya di dunia Eropah, mereka menjadikan April Fools sebagai perayaan bergurau senda dengan cara melakukan penipuan atau pembohongan yang juga lebih dikenali dengan istilah "Prank". Ianya acapkali disambut pada 1 April setiap tahun. Perayaan April Fools merujuk kepada suatu sambutan yang bermula di bumi Eropah. Berdasarkan dapatan sejarah, asal usul perayaan April Fools masih menjadi misteri. Ini kerana terdapat banyak teori dan perbincangan yang berlaku dalam usaha menukilkan sejarahnya. Pun begitu, sebahagian para sejarawan mengandaikan bahawa peristiwa ini bermula sejak 1582.




Pada ketika itu, Perancis telah menukar sistem kalendar Julian ke sistem Gregorian. Penukaran sistem ini mengakibatkan ramai yang tidak sedar bahawa sistem baru ini telah menjadikan tahun baru bermula pada 1 Januari. Ini kerana mengikut pada kalendar Julian, tahun baru disambut pada penghujung Mac hingga 1 April. Mereka yang menyambut tahun baru mengikut sistem kalendar Julian ini dijadikan bahan gurauan oleh sebahagian yang lain yang telah sedar akan pertukaran sistem itu. Maka mereka membahan sebahagian yang lain ini dengan melekatkan sejenis ikan kertas di belakang mereka yang dibahan tersebut sebagai simbol ikan yang mudah ditangkap dan orang yang mudah ditipu.

Selain itu, berdasarkan dari sumber sejarawan yang lain, ada yang berpandangan bahawa perayaan April Fools ini berasal dari perayaan kuno seperti Hilaria di Rom pada penghujung Mac. Ada juga yang mendakwa bahawa perayaan ini terikat dengan ekuinoks, iaitu hari pertama musim bunga untuk Hemisfera Utara, apabila alam semulajadi menipu orang dengan perubahan cuaca. Walau apa pun asal usulnya, perayaan ini telah tersebar luas sehingga turut disambut oleh orang Britain yang bermula pada sekitar abad ke-18. Sejarah mencatatkan di Scotland, April Fools disambut selama dua hari dan ianya dimulai dengan suatu upacara yang disebut sebagai "Hunting The Gowk". Upacara ini dilakukan dengan dihantar seorang pengutus untuk melakukan tugasan yang sebenarnya palsu. Kemudian pada hari kedua, dinamakan sebagai "Hari Tailie" iaitu hari untuk mengusik orang.

Akhirnya budaya usikan ini yang dilakukan pada 1 April telah menjadi sambutan tradisi warga masyarakat di seluruh dunia. Sehingga tercatat dalam sejarah sekitar tahun 1957, di Switzerlamd, BBC telah melaporkan bahwa petani-petani di sana sedang menuai mi spaghetti daripada pokok sedangkan ianya pembohongan. Pada tahun 1998 pula, syarikat Burger King mempromosikan sebuah hidangan istimewa yang diberi nama "Left-Handed Whopper" yang menyaksikan ramai pelanggan yang memesan hidangan tersebut namun ianya hanyalah gurauan semata-mata. Inilah sebahagian sejarah yang tercatat bagi menunjukkan budaya gurau dengan cara menipu sedang dinormalisasikan dikalangan masyarakat. Bahkan realiti hari ini, budaya prank sudah menjadi kebiasaan masyarakat, dijadikan bahan di media sosial.




Sesungguhnya dalam Islam, bergurau adalah sesuatu yang dibenarkan selagimana tidak bertentangan dengan syariat. Ini bermakna, pada asasnya, diharuskan untuk kita bergurau senda tetapi janganlah sehingga melampaui batas seperti berbohong, menzalimi, menakutkan dan selainnya. Oleh kerana itu, dalam soal perayaan April Fools ini, al-Marhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menegaskan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu tanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah bersabda dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.”

Rasulullah memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda bersabda dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud :

“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.”

Rasulullah juga bersabda dalam sebuah hadith riwayat Ahmad yang bermaksud :

“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran.”

Demikianlah apa yang ditegaskan oleh al-Qaradawi tentang perayaan ini. Maka jelas bagi kita bahwa perayaan ini adalah haram untuk orang Islam menyambutnya kerana padanya terdapat larangan menipu, juga agama melarang kita dari menakutkan atau membuat orang bersedih pada perkara yang tidak berasas, selain Islam melarang kita melakukan pengkhianatan dan meniru budaya buruk yang bukan milik sifat orang Islam. Selain al-Qaradawi, Syeikh Shalih Fauzan juga menyatakan pandangannya menerusi laman sesawang islamqa.com, beliau menyatakan bahawa Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Menurut Syeikh Atiyyah Saqr pula adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan. Demikianlah beberapa fatwa dan pandangan para sarjana Islam yang menegaskan hukumnya adalah haram bagi orang Islam meraikannya. Perbuatan bergurau senda sehingga menyakiti orang lain adalah dilarang oleh Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi dari Ibn Abbas, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Jangan kamu bertengkar dengan saudaramu (semuslim) dan jangan kamu bergurau dengan saudara kamu sehingga menyakitinya.”




Juga baginda Nabi SAW melarang kita untuk berbuat gurauan sehingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan. Sepertimana yang dinyatakan oleh Abdul Rahman bin Abi Laila dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud :

“Telah menceritakan kepada kami para sahabat Rasulullah SAW bahawa mereka pernah bermusafir bersama dengan baginda. Ketika seorang lelaki tidur, sebahagian mereka pergi mengambil tali yang ada bersama dengannya. Apabila lelaki itu terjaga dari tidur, dia terkejut (kerana kehilangan tali tersebut), lalu orang amai ketawa melihatnya. Sabda Nabi SAW: “Apa yang menyebabkan mereka semua tertawa?” para sahabat menjawab: “Tiada apa wahai Rasulullah, Cuma kami mengambil tali miliknya sehingga dia terkejut kebimbangan.” Sabda Rasulullah SAW: “tidak dihalalkan kepada seorang muslim perbuatan menakutkan seorang muslim yang lain.”

Memadailah dengan beberapa peringatan penting oleh baginda Nabi SAW kepada kita semua. Melalui penjelasan ini, dapatlah kita fahami bahwa agama mengharuskan kita untuk bergurau senda dan berjenaka. Tetapi keharusan untuk bergurau tersebut sama sekali tidak menghalalkan untuk kita menipu, menakutkan orang, mengambil barang orang meskipun diatas tujuan sekadar gurauan. Maka apa yang kita lihat pada perayaan April Fools ini telah menyanggahi garis panduan syariat. Selain Islam juga melarang dan menegah umatnya daripada meniru budaya yang tidak elok dari perbuatan orang kafir. Jelaslah bagi kita perayaan April Fools adalah haram dan tidak boleh orang Islam meraikannya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 2 April 2024

ADA APA DENGAN LAILATUL QADAR ?

 

Setiap detik dan ketika yang berlalu tentunya membawa seribu satu coretan dalam kehidupan yang sesingkat ini. Apa pun keadaan yang kita hadapi, gelak tawa dan nangis hiba, semuanya akan terakam dalam memori ingatan kita. Betapa besarnya nikmat hidup ini meskipun singkat dan tidak kekal, namun tetap meninggalkan jejak yang membekas dalam memori manusia. Apatah lagi jika Allah SWT mengurniakan kepada kita nikmat memperolehi lailatu qadar, yang padanya dijadikan satu malam lebih baik dari seribu bulan. Andai sekecil-kecil nikmat pun kita ingati, apatah lagi jika Tuhan merezekikan kita untuk bertemu pada malam yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Ungkapan Lailatul Qadar berasal dari bahasa Arab. Padanya terdapat dua gabungan perkataan iaitu "Lailatul" dan "al-Qadar". Perkataan Lailah merujuk pada makna apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau bahasa mudahnya, membawa maksud waktu malam. Manakala perkataan al-Qadar pula bermaksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan. Menurut Ibnu Qudamah seperti yang dinyatakan dalam kitabnya, al-Mughni, beliau menjelaskan bahawa malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Selain itu, Imam Ibnu al-Jauzi telah menyatakan lima pendapat berkenaan dengan nama malam qadar. Antaranya, seperti pendapat al-Zuhri, beliau menyatakan malam qadar bermaksud malam keagungan. Ibnu Qutaibah pula menyatakan malam al-Qadar malam yang diberi hukum dan ketetapan. Ini kerana kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah.




Secara umumnya, Lailatul Qadar merujuk kepada makna malam yang padanya terdapat kemuliaan, malam yang diberkati, dirahmati dan padanya urusan manusia ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Peristiwa Lailatul Qadar telah disebutkan oleh Allah SWT dalam firman Nya melalui surah al-Qadr ayat 1- 5 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)"

Telah berkata Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, menyatakan, para ashab kami yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat ke 3 "malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan" bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya. Selain itu, Syeikh al-Maraghi berkata malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.

Hakikatnya, pada malam al-Qadar atau disebut Lailatul Qadar ialah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Dalam hal ini, kita dapat melihat bahwa Allah telah menyatakan angka seribu bulan. Jika dilihat pada angka seribu, tentunya kita anggap ianya jumlah kecil. Pun begitu, angka seribu yang dijelaskan oleh Allah bukanlah bermaksud benar-benar jumlahnya seribu tetapi jumlahnya tidak ternilai hadnya. Ini kerana angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Maka, difahami bahawa lebih baik dari seribu bulan itu bermaksud lebih baik dari bulan-bulan lain yang tidak terkiranya jumlahnya. Ungkapan ini untuk memberitahu kita betapa hebatnya satu malam yang tiada yang lebih baik dari malam tersebut biarpun beribu-ribu malam, beribu-ribu bulan, tahun dan sebagainya.




Lailatul Qadar padanya diangkat sebagai malam yang penuh keberkatan. Ini kerana seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qadr pada ayat yang pertama, Allah menyebutkan bahawa pada malam tersebut Allah telah menurunkan al-Quran. Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat tentang bila diturunkan al-Quran. Ini kerana terdapat sebahagian pendapat yang menyatakan al-Quran turun pada 17 Ramadan. Sebahagian lagi menyatakan al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar. Menurut Imam Ibn Kathir menyatakan dalam kitab tafsirnya, terdapat dua pandangan mengenai penurunan al-Quran. Pandangan pertama, seperti yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, pada malam al-Qadar tersebut, telah berlaku penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul 'Izzah atau disebut sebagai langit dunia secara serentak atau sekaligus sepertimana yang disebutkan di dalam surah al-Qadr.

Pandangan kedua, seperti yang dinukilkan oleh Abu Jaafar al-Baqi, penurunan pada hari nuzul al-Quran atau pada tanggal 17 Ramadan adalah merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia melibatkan permulaan surah al-‘Alaq sekali gus bermulanya penurunan wahyu secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah SAW. Berdasarkan pandangan tersebut, dapat kita simpulkan bahawa malam penurunan al-Quran dan malam Lailatul Qadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri. Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Adapun penurunan al-Quran pada malam Lailatul Qadar adalah malam al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.

Selain itu, pada malam al-Qadar juga, telah turun para malaikat bersama dengan ketua malaikat, Jibril AS yang disebutkan sebagai al-Ruh dengan urusan manusia untuk setahun. Malam al-Qadar atau disebut Lailatul Qadar akan berlaku diantara 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Carilah olehmu sekalian Lailatul Qadar itu pada waktu ganjil sepuluh terakhir di bulan Ramadan"




Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa malam al-Qadar akan berlaku pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Selain itu, dikalangan para ulama pula ada yang menyatakan malam al-Qadar akan berlaku pada malam 27 Ramadan seperti yang dipegang oleh Abu Ka'ab yang yakin dengan pandangan Ibnu Mas'ud, juga disebut oleh Ibnu Abbas. Ada pula yang berpandangan berlaku pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Syafie. Maka dengan itu kita akan dapati baginda Nabi SAW akan lebih bersungguh-sungguh memfokuskan ibadah sepanjang malam tersebut dan akan mengejutkan ahli keluarga Nabi untuk turut bangun malam beribadah kepada Allah. Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Ibn Hibban daripada Aisyah RA, beliau menceritakan yang bermaksud :

“Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut".

Pada malam al-Qadar itu terdapat banyak kelebihan. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa malam al-Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam al-Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah. Malah, tambah al-Qurtubi, malaikat bersama ketua malaikat, Jibril AS turun ke langit, mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar. Demikianlah apa yang ada pada malam tersebut.Semoga Allah mengampuni kita semua.

Ahad, 31 Mac 2024

KEWAJARAN PENGGUNAAN ISTILAH KAFIR

 

Acapkali kita mendengar bahawa sesuatu kebenaran tidak dapat dipadam dengan perkara yang batil. Ini bermakna kebenaran tetap dilihat sebagai yang benar dan tiada sesiapa pun yang dapat menafikan akan hal tersebut. Demikian juga dengan kewujudan ungkapan "Kafir" yang telah wujud dan telah diperkatakan dalam banyak tempat di dalam al-Quran. Sesiapa pun tidak boleh menidakkan perkataan kafir yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firman Nya iaitu al-Quran. Begitu juga penggunaan perkataan kafir banyak disebutkan melalui lisan baginda Nabi SAW yang direkodkan sebagai hadith Nabawi. Oleh itu, secara asasnya, istilah kafir bukanlah perkataan baharu bahkan telah disebutkan di dalam al-Quran dan hadith Nabi.

Perkataan kafir dari sudut literasinya bermakna seseorang yang menutupi. Disebabkan itu, di dalam Al quran, dalam surah a-Hadid ayat 57, Allah SWT telah menyatakan ungkapan "kuffar" yang merujuk kepada pekerjaan tukang kebun yang kerjanya menutup benih dengan menggunakan tanah. Dalam sebahagian tempat pula, Allah SWT menggunakan perkataan kafir yang membawa maksud mereka yang melakukan dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Selain itu, dari satu sudut makna yang lain, kafir adalah lawan bagi iman. Maka dapat kita fahami bahawa iman difahami sebagai kepercayaan, sebaliknya kafir difahami dengan makna keingkaran dan kemungkaran. Oleh itu, ungkapan kafir juga bermaksud mereka yang ingkar dan tidak taat kepada perintah Allah.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 73 yang bermaksud :

" Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : "Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan." Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa..."




Dalam ayat ini, dengan jelas Allah SWT menggunakan perkataan "kafir" kepada golongan Kristian yang mendakwa Allah itu ketiga daripada Triniti. Kekafiran ini telah mengeluarkan mereka daripada agama Islam. Untuk itu, menggangap orang bukan Islam sebagai orang kafir bukanlah sesuatu yang salah malah ungkapan tersebut benar dan tepat mewakili mereka yang tidak patuh dan ingkar kepada perintah Allah. Ini juga sepertimana yang dinukilkan oleh al-Qadhi 'Iyadh dalam kitab al-Shifa' bi Ta'rif Huquq al-Mustafa, beliau menjelaskan bahawa kita mengkafirkan semua orang yang beragama selain agama umat Islam atau orang yang sejalan dengan mereka atau ragu-ragu (dengan agama) atau membenarkan agama mereka. Demikian apa yang telah disebutkannya.

Namun persoalan yang lebih besar bukanlah tentang pemaknaan tetapi ianya soal penggunaan. Ungkapan kafir seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan hadith sangat jelas. Perkataan tersebut telah memberikan kita suatu garis panduan bagi menentukan yang mana yang benar dan yang mana yang batil. Tentu sekali segala kekafiran itu berada dalam kebatilan. Penggunaan istilah kafir terhadap mereka yang bukan beragama Islam telah diperbahaskan oleh ramai para sarjana Islam. Isu yang sering diperbincangkan adalah mengenai kewajaran menggunakan istilah kafir kepada mereka yang bukan beragama Islam. Ini bermaksud sebagai warganegara yang hidup dengan kepelbagaian agama, dalam konteks kehidupan sosial ini, wajar atau tidak memanggil mereka yang bukan beragama Islam dengan panggilan kafir. Maka kita dapati terdapat pandangan para sarjana berkenaan hal tersebut.

Antaranya seperti apa yang telah dikemukakan oleh al-Marhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam naskah kitabnya, Khitabuna al-Islami fi 'Asr al-'Awlamah, beliau menyatakan bahawa :

“Di antara seruan kepada hikmah dan dakwah yang baik, dan berhujah dengan cara yang terbaik, apa yang diwajibkan kepada umat Islam. , terutama di zaman globalisasi : ialah kita tidak menyapa orang-orang yang menentang kita atas nama orang-orang kafir, walaupun kita percaya kepada kekufuran mereka, terutama orang-orang yang menentang kita di kalangan Ahli Kitab".




Berdasarkan kenyataan tersebut, al-Qaradawi memberikan 2 sebab. Pertama, perkataan (kafir) itu mempunyai beberapa makna, yang sebahagiannya bukan yang pasti kita maksudkan. Antara pengertian tersebut ialah: pengingkaran terhadap Allah Taala dan Rasul-rasulNya, dan hari akhirat, sebagaimana halnya golongan materialis yang tidak percaya kepada apa-apa di luar pancaindera. Mereka tidak percaya kepada Tuhan, tidak pula kepada kenabian, mahupun akhirat.

Jika kita bercakap tentang Ahli Kitab, kita tidak mahu menyifatkan mereka sebagai kafir dalam pengertian ini, sebaliknya, yang kita maksudkan adalah mereka kafir kepada risalah Muhammad dan agamanya.

Sebab kedua, al-Qur'an mengajar kita untuk tidak berbicara kepada manusia walaupun mereka kafir disebabkan nama kekufuran, maka seruan kepada orang-orang kafir dalam Al-Qur'an menggunakan sama ada dengan seruan Wahai manusia (يا أيها الناس ) atau Wahai anak Adam (يا بني آدم) atau Wahai hamba-hamba-Ku (يا عبادي) atau Wahai Ahli Kitaًb (يا اهل الكتاب ). Tidak ada ucapan dalam al-Quran yang bertajuk kufur kecuali dalam dua tempat, salah satunya ialah ucapan kepada mereka pada hari kiamat dalam surah al-Tahrim ayat 7 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang kafir, janganlah kamu berdalih pada hari ini. Kamu hanya akan dibalas dengan apa yang kamu biasa dilakukan)"

Kedua, ialah surah al-Kafirun ayat 1-6. Perkataan (قل يا أيها الكافرون) adalah ucapan kepada musyrikin pagan yang sedang tawar-menawar dengan Rasulullah SAW bahawa dia akan menyembah tuhan-tuhan mereka dalam setahun , dan mereka akan menyembah Tuhannya dalam masa setahun, jadi surah ini ingin menyekat percubaan ini dengan cara yang ketat, dan dengan ucapan tegas. Demikian apa yang telah dijelaskan oleh al-Qaradawi. Bagi beliau, ungkapan yang lebih sesuai dalam konteks dakwah ialah dengan menggunakan istilah bukan Islam.




Selain itu, menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Faysal al-Tafriqah Bayna al-Islam wal al-Zandaqah, berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 15, beliau merumuskan bahwa orang kafir itu dibahagikan kepada 3 kategori. Pertama, orang kafir yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima Islam. Kedua, orang kafir yang mendengar hujah yang benar tetapi menolaknya. Ketiga, orang kafir yang mendengar hujah yang tidak kuat menyebabkan mereka tidak menerima Islam. Maka daripada apa yang disebutkan ini, ungkapan kafir berkait rapat dengan balasan syurga dan neraka yang kita sendiri belum pasti keputusannya. Oleh itu, untuk memanggil orang bukan Islam sebagai kafir secara mutlak diatas sebab kita yakin akan keingkaran mereka kepada Allah adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini kerana kita tidak mengetahui isi hati mereka kecuali Allah.

Demikianlah apa yang boleh kita fahami. Isu pokoknya, ungkapan kafir adalah dari Allah SWT bagi merujuk kepada mereka yang ingkar dan menentang arahan Allah. Sudut akidah, hnya ada dua, sama ada beriman ataupun kafir. Pun begitu, dari sudut lain, banyak tempat Allah memanggil mereka yang bukan beragama Islam dengan seruan lain seperti yang dinyatakan oleh al-Qaradawi. Ini menunjukkan bahawa dalam konteks lain selain sudut akidah, tidak semestinya memanggil mereka dengan gelaran kafir. Ketika kita berinteraksi dengan mereka, wajarlah kita menggunakan istilah orang bukan Islam atau orang belum Islam sesuai dengan apa yang telah Allah nyatakan. Oleh itu, penggunaan istilah kafir mestilah dilihat dalam kerangka konteks semasa. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 26 Mac 2024

HUKUM ORANG MENINGGALKAN SOLAT

 

Tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Dalam kata lain, penciptaan manusia di muka bumi Allah ini tiada tujuan lain melainkan untuk beribadah kepada Allah SWT. Perkataan ibadah memahamkan kepada kita bahawa suatu pekerjaan yang memerlukan gerak usaha bagi mentaati akan segala suruhan Nya dan juga berusaha meninggalkan segala larangan Nya. Ini kerana Allah lah yang menjadikan kehidupan ini keseluruhannya. Maka tentulah selayaknya puji dan puja hanya diabadikan untuk Allah SWT. Ungkapan ibadah merupakan tunjang dan teras perhubungan kita dengan sang Pencipta. Ibadah terpenting yang akan dihitung oleh Allah SWT ialah ibadah solat fardhu yang menjadi kewajiban bagi tiap-tiap hamba Nya yang beriman.

Perkataan "Solat" berasal dari bahasa Arab. Dari sudut pemahaman bahasa, solat membawa maksud doa memohon kebajikan dan pujian. Maka apabila kita menemui ayat di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa solat Allah kepada nabi Nya, ianya merujuk kepada maksud Allah memuji kepada Nabi Nya. Solat pada sudut pemahaman syarak pula, seperti yang dinukilkan oleh Sayyid Sabiq dalam kitabnya, Fiqh Sunnah, ianya membawa maksud suatu ibadah yang terdiri dari perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir bagi Allah dan disudahi dengan memberi salam dengan syarat-syarat tertentu. Pemahaman ini secara jelas memberikan maksud bahwa solat itu sendiri merupakan ibadah yang merangkumi rukun qauli (perkataan), rukun qalbi (niat) dan rukun fi'li (perbuatan) dan pada masa sama terikat kepada syarat-syarat tertentu bagi menentukan kesahihan ibadah tersebut.




Ibadah solat fardhu yang merangkumi 5 waktu sehari sekali, bermula dari waktu subuh hingga waktu isyak, adalah merupakan kewajiban bagi setiap para hamba Nya yang beriman. Baik lelaki mahupun perempuan, di utara walaupun di selatan, warna kulitnya berwarna putih ataupun hitam, selagi mana dirinya bergelar muslim (orang Islam), maka selagi itulah kewajiban bagi dirinya sebagai seorang Islam untuk ditunaikannya. Ibadah solat fardhu juga merupakan ibadah pertama sekali yang akan dihitung dan diambil kira oleh Allah SWT. Malah demikian juga kewajiban solat bagi mereka yang sakit. Disana terdapat keringanan bagi mereka untuk solat secara duduk, berbaring atau sebaliknya menggunakan isyarat mata bergantung kepada kesulitan atau kepayahan yang dialaminya.

Perbuatan meninggalkan solat merupakan antara perbuatan yang diklasifikasikan sebagai dosa besar. Malah, terdapat banyak nas dalil daripada al-Quran dan hadith yang menunjukkan balasan azab dan kedudukkan hina bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Muddathir ayat 42-43, firman Nya yang bermaksud :

"(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat;"

Juga dalam sebuah hadith riwayat Muslim, dari Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir berkata yang bermaksud :

“Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”

Demikianlah beberapa nas dalil yang menunjukkan kedudukan bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja. Namun begitu terdapat beberapa perbezaan pendapat dikalangan para sarjana Islam dalam soal membincangkan berkenaan hukum orang meninggalkan solat. Secara umumnya, perbuatan meninggalkan solat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, bagi mereka yang meninggalkan solat kerana malas atau meringankan solat tanpa membantah akan kewajiban menunaikan solat. Ini bermaksud, mereka yang meninggalkan solat ini dengan sengaja diatas sebab malas atau sambil lewa meringankan ibadah solat tanpa bermaksud menentang pensyariatan ibadah solat. Kategori kedua, bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkari akan kewajiban ibadah solat.




Bagi kategori pertama, mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja tetapi tidak mengingkari perintah solat, berlaku perbezaan pendapat dikalangan para sarjana Islam. Pendapat pertama, seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nailul Authar, hukumnya adalah fasiq dan berdosa besar. Inilah pendapat jumhur (majoriti) para ulama antaranya Imam Malik dan Imam al-Syafie. Mereka berpendapat bahawa orang tersebut tidak menjadi kafir tetapi menjadi fasiq. Mereka ini boleh dihukum bunuh seperti penzina yang telah berkahwin sekiranya mereka enggan bertaubat dan kembali menunaikan solat. Manakala pendapat kedua dalam permasalahan ini, hukumnya adalah kafir dan murtad. Ini juga adalah pendapat sebahagian ulama Salaf seperti Abdullah ibn Mubarak, Ishaq ibn Rahawiyah dan ini juga pendapat mashyur (terkenal) oleh Imam Ahmad ibn Hanbal.

Selain itu, bagi kategori kedua, iaitu merujuk kepada mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkari akan kewajiban ibadah solat. Dalam permasalahan ini, telah berlaku ijmak (sepakat) para sarjana Islam hukumnya adalah kafir dan murtad. Hal ini kerana sikap mengingkari akan kewajiban ibadah solat atau dalam bahasa mudahnya tidak mengaku akan wajibnya solat, sikap tersebut menunjukkan bahawa orang tersebut telah mendustakan Allah dan Rasul Nya, dan bagi dia adalah sama kedudukkan dengan orang-orang kafir yang turut disifatkan oleh Allah sebagai kaum yang tidak berakal. Ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, melalui surah al-Maidah ayat 58, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat, mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan, yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal."




Telah berkata al-Syirazi dalam kitabnya al-Muhazzab, beliau menyatakan bahawa mana-mana orang yang wajib ke atasnya mengerjakan solat dan dia enggan mengerjakannya serta mengingkari (tidak mengakui) bahawa solat itu wajib sedangkan dia tahu bahawa solat itu wajib, maka jadilah dia kafir murtad, kerana dia mendustakan Allah SWT, dan jika dia tidak mengerjakan solat sedangkan dia tahu dan beriktikad bahawa solat itu wajib, maka wajib dia dibunuh. Demikian pula kata Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Riyad al-Solihin, beliau menjelaskan bahawa :

“Jika mana-mana orang meninggalkan solat dalam keadaan mengingkari akan wajibnya solat itu atau mengingkari hukum wajib solat itu, maka dihukumkan ke atasnya kafir murtad dengan ijmak ulama dan wajib dijalankan ke atasnya hukuman bagi orang murtad iaitu dihukum bunuh dengan perintah raja, kecuali jika dia Islam semula. Jika dia tidak tahu akan wajibnya solat itu dengan sebab baharu masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampainya hukum wajib solat itu, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan kita perlu mengajarnya. Jika setelah diajarkan hukum tersebut dan dia tetap mengingkarinya, maka dia menjadi murtad.”

Demikian betapa hebat dan besarnya ancaman bagi mereka yang meninggalkan solat. Sehinggakan juga Imam al-Zahabi, pengarang kitab al-Kaba'ir (Dosa-Dosa Besar) meletakkan hukum meninggalkan solat berdosa besar pada kedudukkan 10 teratas. Sekaligus memberi isyarat bahawa ibadah solat fardhu yang menjadi kewajiban bagi tiap-tiap yang bergelar muslim merupakan misi dan matlamat utama sebagai orang Islam. Ini kerana, pada ibadah solat tersebut terkandung seribu satu macam hikmah yang boleh disingkapi bagi mereka yang mahu berfikir. Ketahuilah bahawa solat merupakan medium terbaik untuk manusia berhubung dengan pencipta Nya. Segalanya dalam kehidupan ini, hasrat dan hajat, rintihan mahupun keluhan, semuanya dapat dipohon dengan menunaikan solat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Ahad, 24 Mac 2024

GOLONGAN MANUSIA YANG RUGI DI BULAN RAMADAN

 

Ibadah puasa merupakan suatu tuntutan terpenting yang menjadi syiar bagi seorang yang beragama Islam. Ini kerana syariat berpuasa merupakan salah satu rukun terpenting dalam Islam yang juga disebutkan sebagai rukun Islam. Malah, melalui lisan baginda Nabi Muhammad SAW, terdapat 5 perkara yang merupakan binaan asas sebagai seorang Islam dan antaranya ialah ibadah puasa. Hakikatnya, ibadah puasa bukanlah suatu perkara baharu dalam siri kehidupan manusia. Bahkan, ianya telah dilakukan oleh umat yang terdahulu. Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Bulan Ramadan adalah bulan yang disyariatkan kepada orang Islam untuk berpuasa selama sebulan. Perkataan "Ramadan" ialah dari bahasa Arab. Ungkapan perkataan Ramadan ini berasal dari kata akar Ramada (رمض). Dari sudut bahasa, Ramadan membawa maksud panas yang sangat terik. Menurut Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Qurtubi, beliau menyatakan bahawa perkataan Ramadan diambil dari perkataan ramada iaitu semakin panas orang yang berpuasa itu iaitu hangat organ perutnya kerana terlalu haus. Demikian penjelasan Imam al-Qurtubi dalam membahaskan maksud Ramadan. Pada bulan ini, Allah SWT memerintahkan para hamba Nya untuk berpuasa dengan cara menahan diri daripada makan dan minum serta menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti bersetubuh suami isteri di waktu siang hari.




Kedatangan bulan Ramadan ibarat memasuki alam tarbiah secara langsung dari Allah SWT. Padanya dibuka segala pintu-pintu kebaikan dan ditutup pintu-pintu kejahatan. Selain itu, pada bulan Ramadan juga dijanjikan oleh Allah SWT untuk membebaskan para hamba Nya daripada api neraka dan perkara tersebut berlaku pada setiap malam di bulan Ramadan. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintunya yang terbuka. Pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satupun pintunya yang tertutup. Lalu seorang penyeru menyeru: “Wahai yang mengharapkan kebaikan, bersegeralah (kepada ketaatan). Wahai yang mengharapkan keburukan, berhentilah (daripada melakukan keburukan). Allah SWT akan membebaskan hambahamba-Nya daripada api neraka dan perkara tersebut berlaku pada setiap malam (di bulan Ramadan).”

Terdapat begitu banyak keistimewaan di bulan Ramdan. Namun begitu, meskipun padanya terdapat pelbagai kebaikan dan ganjaran yang boleh direbut, di sana terdapat golongan manusia yang sangat rugi walaupun dirinya berkesempatan memasuki bulan Ramadan yang mulia ini. Antara golongan manusia yang rugi tersebut ialah mereka yang berpuasa namun tidak bangun untuk bersahur. Bersahur merupakan suatu ibadah yang menjadi tuntutan dalam kita menjalani ibadah puasa. Walaupun ibadah sahur tidaklah menjadi wajib, namun padanya terdapat seribu satu kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi. Antara kelebihan bagi mereka yang bersahur, Allah dan para Malaikat akan mendoakan mereka. Selain itu, ibadah sahur juga merupakan ibadah yang membezakan puasa orang Islam dengan puasa orang lain. Ini seperti yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dan puasa ahli kitab terletak pada makan sahur"

Seterusnya, golongan yang rugi di bulan Ramadan juga adalah mereka yang melakukan solat tarawih tidak bersama imam sehingga solat witir. Ini kerana, terdapat ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang mendirikan solat tarawih bersama imam hingga ke akhirnya, yakni solat witir. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.




Berdasarkan maksud hadith ini, barangsiapa yang melakukan solat tarawih secara berjemaah bersama imam, sehinggalah imam selesai solat witir, maka baginya di sisi Allah, diberikan ganjaran pahala seperti orang yang mendirikan solat sepanjang malam. Ini juga bermaksud, sesiapa yang solat bersama imam hingga selesai, baginya pahala seperti solat malam qiammullail. Betapa beruntungnya bagi mereka yang melazimi solat tarawih bersama imam hingga selesai solat witir. Selain itu, golongan yang rugi di bulan Ramadan juga ialah mereka yang melambat-lambatkan berbuka puasa. Perbuatan melambat-lambatkan berbuka bukanlah tuntutan dalam suruhan agama. Sebaliknya, Islam memerintahkan agar umatnya bersegera ketika mahu berbuka puasa. Berbanding dengan bersahur, dianjurkan untuk melewatkan bersahur.

Dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya".

Dalam kitab Lathaif al-Ma'arif, para ulama mensyarahkan makna kegembiraan ketika berbuka puasa ialah kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya. Justeru, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Demikian syarahan oleh para ulama. Selain itu, Islam sangat menuntut untuk bersegera ketika berbuka puasa. Ini kerana ianya akan berada dalam kebaikan selama mana kita bersegera ketika berbuka puasa. Hal ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim, sabda baginda Nabi yang bermaksud :

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”




Oleh itu, rugilah bagi mereka yang melambat-lambatkan berbuka puasa kerana pada bersegera berbuka puasa tersebut adanya kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Selain itu, tatkala waktu menunggu untuk berbuka puasa pula, termasuk juga orang yang rugi di bulan Ramdan ialah mereka yang tidak berdoa kepada Allah SWT. Ini kerana pada waktu dan ketika itu merupakan waktu yang mustajab untuk kita berdoa. Hal ini merujuk kepada sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, daripada Abdullah bin 'Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”.

Alangkah ruginya bagi mereka yang berpuasa diketika menunggu waktu untuk berbuka namun diisi dengan perkara yang sia-sia sehingga tanpa sedar, mereka telahpun terlepas waktu yang mustajab untuk berdoa. Akhir sekali, termasuk golongan yang rugi di bulan Ramadan juga ialah mereka yang melebih-lebihkan ibadah sunat atau lebih mengutamakan solat tarawih berbanding menjaga solat fardhu. Ini bukanlah bermaksud tidak perlu melakukan solat tarawih. Pun begitu, keutamaan yang lebih besar dan penting ialah dengan memelihara ibadah wajib seperti solat fardhu. Oleh kerana itu, kita perlu sentiasa bijak dalam membuat perancangan beribadah. Janganlah sehingga kita mengabaikan perkara yang lebih wajib. Hal ini juga supaya kita tidak sekadar menjadi hamba kepada Ramadan sahaja. Demikianlah beberapa golongan manusia yang rugi di bulan ramadan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 19 Mac 2024

FASAKH & KHULUK : HAK ISTERI DALAM PEMBUBARAN PERKAHWINAN

 

Kehidupan dalam berumahtangga umpama kita melayari lautan yang luas di dalam sebuah bahtera yang diketuai oleh seorang nakhoda. Dalam pelayaran membelah lautan tersebut, kadang ombak memukul-mukul, ada ketikanya angin menghembus deras dan ada waktunya ribut melepaskan amarahnya. Demikian juga dalam suasana hidup berumahtangga. Tidak selalunya manis belaka. Kadang yang pahit datang menyapa menguji kerukunan berkasih sayang dalam berumahtangga. Pokok pentingnya ialah, sesebuah perkahwinan di dalam Islam adalah terbina diatas tujuan mencapai ketenangan, kebahagiaan dan saling berkasih sayang.

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"




Pun begitu, sekiranya sudah tiada lagi perasaan tersebut dan gagal untuk meraihnya dalam berumahtangga, maka Islam telah memberikan jalan keluar untuk membubarkan perkahwinan dengan cara yang baik. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud :

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik..."

Berdasarkan keterangan ayat ini, Allah SWT yang lebih mengetahui dan memahami para hamba Nya telah memberikan peruntukkan khas untuk keluar daripada kemelut permasalahan rumahtangga ini dengan proses penceraian melalui melafazkan talak oleh para suami. Sesungguhnya Allah SWT dengan sifat Nya yang Maha Mengetahui lagi Maha Adil, telah memberikan peruntukkan mutlak penceraian ini kepada si suami. Ini bermaksud, kuasa dan hak untuk melafazkan cerai tertakluk dibawah hak seorang suami. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang telah memberikan kedudukan darjat para suami lebih tinggi berbanding kedudukan seorang isteri. Lihatlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud :

"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Namun begitu, dengan sifat kasih sayang Allah jua, para isteri diberikan ruang dan hak untuk menuntut penceraian dengan alasan yang munasabah pada sisi syarak melalui proses fasakh dan khuluk. Perkataan "Fasakh" adalah merujuk kepada maksud jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak dan dapat memberi kesan kepada tujuan perkahwinan. Manakala perkataan "Khuluk" pula dari sudut bahasa membawa maksud menacbut atau melepaskan. Dari sudut istilah pula, khuluk merujuk kepada maksud perpisahan antara suami dan isteri dengan sesuatu gantian yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak khuluk. Dalam bahasa mudah, ungkapan khuluk merujuk kepada makna tebus talak.




Dalam bab pembubaran perkahwinan, meskipun kuasa mutlak penceraian adalah dibawah kuasa dan hak seorang suami, namun pada keadaan dan situasi yang tertentu, para isteri yang merasai dirinya dianayai, dizalimi atau tidak lagi merasai kebahagiaan dan ketenangan berumahtangga atau apa jua alasan yang munasabah untuk berpisah pada pandangan syarak, para isteri diberikan ruang untuk mengadu kepada hakim bagi melakukan proses tuntutan pembubaran perkahwinan melalui fasakh atau khuluk. Proses fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa sahaja seperti hakim apabila tuntutan yang dikemukakan tersebut selari dengan kehendak syarak. Sebagai contoh, seorang isteri boleh membuat tuntutan fasakh disebabkan kerana tidak tahan dengan sikap ganas suami terhadapnya. Keadaan ini telah menyebabkan jiwanya tidak terasa tenang dan dibimbangi akan membawa ancaman yang lebih besar.

Demikian juga dalam keadaan lain yang sehingga boleh membawa kepada ketidak ketenteraman dalam rumahtangga seperti si suami melakukan pengabaian nafkah sama ada nafkah berbentuk zahir atau batin, atau si suami kehilangan upaya untuk melakukan tugas sebagai seorang suami, maka pada keadaan tersebut agama memberikan ruang kepada para isteri bagi melakukan tuntutan fasakh. Lebih-lebih lagi apabila kemelut rumahtangga yang dihadapi oleh si isteri tersebut akan melibatkan soal nyawa hidup dan mati dirinya, maka fasakah adalah jalan keluarnya. Dalam hal ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah bersidang 28 - 29 Mac 2019, telah menyebutkan bahwa seorang isteri adalah berhak menuntut talak disebabkan ancaman merokok. Ini menjelaskan kepada kita bahwa agama Islam tidaklah turun dengan menindas mana-mana gender jantina.

Selain itu, khuluk juga antara peruntukkan yang diberikan oleh Allah kepada para isteri untuk tuntutan talak. Khuluk seperti yang kita fahami, ianya merupakan suatu pemberian tebus talak yang diberikan oleh isteri kepada suaminya bagi tujuan berpisah. Keadaan ini kita dapat fahami lagi dengan kita melihat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA, isteri Thabit bin Qais menyatakan :

“Wahai Rasulullah, Thabit bin Qais, tidak aku mencela akhlak dan agamanya. Akan tetapi aku tidak mahu menderhakainya." Jawab Rasulullah SAW: "apakah kamu akan kembalikan kebun yang dia berikan kepadamu sebagai mahar dahulu?" Jawabnya: "Ya." Sabda Rasul SAW kepada Thabit (suaminya): "terimalah semula kebun mu itu, dan talakkan dia satu talak."




Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa antara sebab yang mengharuskan khuluk adalah apabila pasangan suami isteri atau salah seorang daripadanya bimbang tidak dapat menegakkan batasan-batasan Allah SWT dalam melaksanakan tanggungjawab yang berkaitan perkahwinan. Alasan ini juga sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 229, firman Nya yang bermaksud :

"Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)..."

Demikianlah secara ringkas yang dapat kita fahami secara asasnya berhubung ruang dan hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada kaum isteri yang merasai dirinya dizalimi, tidak diperlakukan dengan adil, terasa diancam dan sebagainya. Agama Islam merupakan agama fitrah yang meraikan setiap naluri diri manusia. Tidaklah Allah menurunkan sesuatu syariat atau titah perintah Nya dengan tujuan menzalimi dan menindas para hamba Nya melainkan disana terdapat seribu satu macam hikmah yang menuntut para manusia berfikir akan tentangnya. Sudah semestinya, hidup berumahtangga adalah medan ujian bagi mengukur kekuatan iman. Oleh itu, berpeganglah pada titah perintah Allah nescaya hidup akan selamat dunia dan akhirat. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Khamis, 14 Mac 2024

AGAMA SAMAWI : ISLAM, YAHUDI DAN NASRANI ?

 

Sesungguhnya hidup beragama merupakan fitrah semula jadi umat manusia sejak berzaman lagi. Catatan sejarah telah memperlihatkan kepada kita kewujudan pelbagai kepercayaan dan jalan hidup beragama. Antara yang terawal disebutkan adalah kepercayaaan berbentuk animisme iaitu merujuk kepada perbuatan memuja dan menyembah roh dan semangat alam. Daripada pemujaan roh dan semangat orang yang telah meninggal dunia kemudian dijadikan pula alam ini sebagai tempat pemujaan roh yang berkuasa, sehinggalah manusia mencipta patung-patung berhala untuk disembah dengan kepelbagaian kepercayaan yang berkait.

Dalam suatu sudut yang lain, tatkala kita berbicara tentang kewujudan pelbagai kepercayaan dan cara hidup untuk beragama, harus kita ketahui bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama paling tua di dunia ini. Ini sekaligus menafikan dakwaan yang menyatakan agama Hindu dan Buddha agama yang tertua. Agama Islam merupakan agama paling tua dengan banyaknya para rasul dan nabi diutuskan sejak zaman berzaman lagi. Malah, agama Islam bukan sahaja agama tertua di dunia sebaliknya Islam lah satu-satunya agama yang paling benar. Selain itu, agama Islam merupakan satu-satunya agama Samawi yang di iktiraf dan diperakui oleh Allah SWT.




Ungkapan istilah agama "Samawi" adalah merujuk kepada maksud agama yang diturunkan dari langit oleh Allah SWT. Maka, satu-satunya agama yang dimaksudkan dengan makna Samawi ialah agama Islam. Adapun sebelum ini, kita seringkali diberi kefahaman bahawa agama Samawi merujuk kepada tiga ajaran iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani. Kefahaman sebegini adalah batil dan tidak benar. Tanggapan ini tentunya bertentangan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran melalui surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud :

"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi".

Menurut Syeikh Abdurrahman as-Sa'di, dalam kitab tafsirnya, beliau menyebutkan bahawa telah diterangkan dalam surah al-Baqarah bahawa asas-asas ini yang merupakan pokok-pokok iman yang diperintahkan oleh Allah kepada umat ini telah disepakati oleh kitab-kitab dan para Rasul. Itulah matlamat asas yang ditujukan kepada semua orang, dan itulah agama yang benar dan Islam. Dan orang yang mencari selain Dia dan beramal dengannya, tertolaklah amalannya sehingga tidak ada ajaran yang kembali kepadanya. Sesiapa yang tidak memerlukan dan membencinya, ke mana dia akan pergi? Ke penyembahan pokok, batu atau api? Atau kepada penyembahan sami, paderi atau salib? Atau kepada kebinasaan Tuhan sekalian alam? Atau kepada agama-agama palsu yang merupakan wahyu daripada syaitan? Kesemua mereka di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Demikian pula bagaimana Allah SWT dengan penuh ketegasan menyatakan bahwa hanyasanya agama Islam ialah agama yang diredhai oleh Nya. Lihatlah bagaimana Allah SWT menyebutnya di dalam al-Quran, surah Ali-Imran ayat 19, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya."




Berdasarkan ayat ini, Dr. Syeikh Wahbah al-Zuhaily dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Wajiz, menyatakan bahawa sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam yang meliputi keimanan. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak berselisih kecuali setelah datang ilmu dalam Taurat dan Injil yang mewajibkan untuk mengesakan Allah, menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Perselisihan diantara mereka sudah melewati batas wajar, menerjang kebenaran dan keadilan kerana kedengkian yang ada di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah yang menunjukkan keesaan-Nya, maka sesungguhnya Allah sangat cepat pembalasan-Nya atas perbuatan mereka.

Maka, sekiranya kita beranggapan agama selain Islam iaitu agama Yahudi dan Nasrani sebagai agama Samawi, iaitu agama yang diturunkan oleh Allah dari langit, bagaimana mungkin Allah menurunkan agama Nya ini sedangkan Allah sendiri tidak meredhai kecuali agama Islam sahaja. Untuk apa Allah menurunkan agama Yahudi dan Nasrani sedangkan tidak di iktiraf akan kebenarannya. Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan agama Samawi hanyalah merujuk kepada agama Islam semata-mata. Islam bukanlah agama yang baru diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW bahkan agama Islam juga merupakan agama bagi semua para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Antara bukti yang menunjukkan bahwa Islam adalah agama untuk para rasul dan para nabi terdahulu, kita boleh lihat bagaimana penegasan oleh Allah SWT menjelaskan kedudukan sebenar Nabi Ibrahim AS, di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 67, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia adalah seorang yang lurus, Muslim dan dia tidaklah termasuk orang-orang musyrik"

Melalui ayat ini jelas bahawa Allah SWT telah memberikan suatu kedudukan sebenar yang menjadi pegangan dan pendirian Nabi Ibrahim yang berada di jalan agama yang hanif (lurus). Lafaz "hanif" (lurus) pada ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim AS telah meninggalkan perbuatan syirik menuju kepada ajaran tauhid dengan hanya tunduk patuh dan menyembah Allah Azza Wa Jalla. Meskipun ketika itu, Nabi Ibrahim dikelilingi oleh masyarakat yang menyembah berhala dan ini termasuklah bapanya sendiri yang bernama Azar. Pun begitu, Nabi Ibrahim tetap teguh membawa risalah tauhid dibawah agama Islam yang diredhai oleh Allah. Daripada ayat tersebut, jelaslah kepada kita bahawa Islam adalah merupakan agama bagi semua para rasul dan para nabi yang diutuskan oleh Nya.




Begitu juga penjelasan yang telah dibuat oleh Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Para nabi merupakan saudara sebapa (ibu berlainan), agama mereka satu dan ibu-ibu mereka pelbagai"

Maksud dari hadith ini menyatakan kepada kita bahawa agama ke semua nabi ialah agama Islam. Namun begitu, yang membezakan antara mereka adalah syariat yang berbeza dari satu umat dengan umat yang lain. Ini bermakna, semua para nabi membawa risalah dakwah agama Islam tetapi dengan membawa syariat atau peraturan yang berbeza mengikut umat-umat terdahulu. Kerana itu, kita pastinya pernah mendengar hadith Nabi SAW menceritakan kepada kita puasa umat Nabi Daud tidak sama seperti puasa umat Nabi Muhammad. Pun begitu, risalah dakwah mereka tetap sama, menyeru manusia mentauhidkan Allah dibawah panji agama Islam.

Dalam pada itu, selain Nabi Ibrahim AS di iktiraf sebagai seorang muslim beragama Islam, Allah SWT juga telah mencatatkan bahawa Nabi Isa AS dan para pengikutnya juga beragama Islam. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran, melalui surah Ali-Imran ayat 52, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)".

Hakikatnya, terdapat banyak lagi ayat-ayat yang menjelaskan agama Islam adalah agama para nabi dan rasul sejak dahulu lagi. Maka, setiap para nabi dan rasul yang diutuskan itu tidak bermaksud untuk membawa agama baharu melainkan hanya menyeru umat manusia menyembah Allah dengan syariat berbeza, tetapi tetap dibawah agama yang sama iaitulah agama Islam. Adapun sebahagian yang beranggapan Yahudi dan Nasrani juga adalah agama Samawi adalah tidak benar dan batil sama sekali. Tidaklah Tuhan menurunkan agama Yahudi dan Nasrani untuk menentang seruan diri Nya sendiri. Walau pun begitu, kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka iaitu Taurat dan Injil, sama sekali tidak menyeru kepada kesyirikan melainkan setelah mereka sendiri yang melakukan penyelewengan kitab ajaran tersebut. Semoga Allah merahmati kita semua.