Ahad, 27 Ogos 2023

PUISI : MERDEKA YANG ABADI

 

Telah ku katakan dahulu

Kita ini sekian lama bebas terjajah

Arus pemodenan membangun tak sudah

Membawa sinar cahaya yang meriah

Mewarnai hidup negara yang indah

 

Telah ku sebutkan dahulu

Kita ini sekian lama terdidik

Memilih yang benar menolak yang batil

Mempasak minda menolak kekarutan

Supaya diri tidak sekawan syaitan




 

Telah ku dendangkan dahulu

Azimat, tangkal semuanya dusta

Minda merdeka takkan percaya

Menolak syirik menongkah khurafat

Kepada Allah kita terikat

Jalan selamat dunia akhirat

 

Benarlah firman Nya dan sabda junjungan

Tidak selamat untuk syirik dan khurafat

Tiada tempat untuk syurga dan nikmat

Dijanji neraka tempat kembali yang dasyat

Duhai umat, bebaskan diri dari dibelenggu

Syirik dan khurafat

 

Jumaat, 11 Ogos 2023

KEPERCAYAAN KEHIDUPAN SELEPAS KEMATIAN

 

Umum mengetahui bahawasanya dunia yang sedang kita diami ini adalah bersifat sementara dan akan berlaku kehancuran, kemusnahan yang meliputi segala makhluk yang melata di dunia ini. Hakikat yang mesti kita faham adalah dunia ini tidak ada yang kekal. Semuanya bakal dan akan menuju kepada kemusnahan dan kehancuran. Ini termasuklah seluruh umat manusia akan turut hancur dengan akan berdepan dengan sebuah kematian. Barangkali kita beranggapan bahawa kematian ialah penamatan kehidupan. Walhal, kematian adalah suatu transisi peralihan umat manusia dari alam dunia menuju ke alam akhirat.

Ini sepertimana firman Allah SWT dalam Ali Imran ayat 185 yang bermaksud :

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".

Sesungguhnya kematian hanyalah sebuah perpindahan manusia dari dunia menuju ke alam lain. Ini bermaksud, selepas kematian di dunia, kita akan memasuki ke suatu alam lain yang disebutkan sebagai alam akhirat. Makanya, setelah mati akan adanya kehidupan selepas itu. Berkaitan berkenaan kepercayaan kehidupan selepas kematian, selain agama Islam, turut ditekankan dan dinyatakan oleh pelbagai agama lain di dunia ini. Setiap agama, masing-masing mempunyai kepercayaan yang tersendiri berkenaan kehidupan selepas kematian. Melalui setiap kepercayan yang ada ini, tentunya kita amat yakin bahawa kematian bukanlah penamat mutlak kepada sebuah kehidupan namun sebaliknya hanyalah sebuah perjalanan untuk menuju alam yang kekal abadi.




Menurut kepercayaan agama Hindu, mereka berpegang kepada konsep "Cyclical Religion" iaitu yang bermaksud kitaran semula. Bagi mereka, setiap individu yang telah meninggal dunia akan dilahirkan semula. Malah, proses kelahiran semula ino atau dikenali sebagai "Reinkarnasi" ini berlaku berdasarkan perlakuan individu tersebut semasa hayatnya. Ini bermakna, jika ketika hidup di dunia, individu tersebut melakukan kebaikan, maka dirinya akan dilahirkan semula dalam keadaan yang lebih baik. Sebaliknya, jika ketika hidup di dunia, individu tersebut melakukan keburukan, maka dirinya akan dilahirkan semula dalam keadaan yang lebih buruk. Selain itu, dalam kepercayaan agama Hindu juga, mereka percaya bahawa mereka akan dilahirkan dalam kasta yang lebih tinggi berbanding kasta mereka ketika di dunia.

Kepercayaan menurut agama Hindu tidak jauh bezanya pula dengan agama Buddha. Dalam kitab utama agama Buddha, Tripitaka (tiga bakul kebijaksanaan), terdapat begitu banyak pengaruh ajaran yang dibawa oleh golongan Brahmana, iaitu golongan cendekiawan yang berpecah dari ajaran Hindu. Oleh kerana ajaran Budhha lahir dan datang daripada pecahan ajaran Hindu, maka kita akan dapati banyak persamaan kepercayaan mereka dengan agama Hindu. Dalam soal kehidupan selepas kematian, mereka berpegang kepada konsep Samsara iaitu suatu konsep membawa maksud kitaran kehidupan secara berulang yang akan berterusan dalam proses kelahiran dan kematian. Begitu juga mereka turut mempercayai konsep "Karma" sepertimana yang digagaskan oleh agama Hindu. Selain itu, terdapat pula satu konsep kepercayaan yang paling tinggi untuk dicapai dalam agama Buddha iaitu konsep "Nirvana".

Nirvana merupakan suatu konsep kebebasan diri daripada nafsu, kejahilan, terhindar daripada penderitaan mahupun kitaran kelahiran semula. Konsep Nirvana ini hampir sama dengan konsep Mokhsa dalam agama Hindu. Menurut mereka, konsep Nirvana terbahagi kepada dua iaitu Nirvana sementara dan Nirvana yang kekal abadi. Peringkat Nirvana sementara boleh dicapai ketika hidup dan sebaliknya nirvana yang kekal abadi hanya boleh dicapai selepas kematian. Peringkat nirvana kekal abadi ini, mereka yang mencapai tahap tersebut akan dapat berdamping dengan Tuhan. Sesetengah Bikhu bermazhab Theravada beranggapan nirvana itu adalah Tuhan mereka. Maka seseorang yang telah mati dan dapat mencapai peringkat nirvana yang kekal abadi ini, akan dapat bertemu dan berdamping dengan Tuhan mereka sendiri.




Bagi agama Islam, kehidupan selepas kematian itu adalah benar dan inilah janji Allah SWT. Setelah manusia mati, dirinya akan berpindah ke alam barzakh (alam kubur) dan akan datanglah para malaikat atas arahan Allah untuk menyoal di alam kubur. Bagi manusia yang beriman, dirinya akan dapat menjawab soalan malaikat dengan tenang dan bagi manusia yang tidak beriman, pastinya akan ketakutan dan gerun apabila ditanya oleh malaikat. Maka setelah itu, seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk dihakimi oleh Allah. Firman Allah dalam surah al-Jatsiyah ayat 26 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia akan mematikan kamu, setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)".

Demikian janji Allah kepada para hamba Nya untuk menghimpunkan umat manusia setelah kematian di dunia. Maka kehidupan setelah kematian adalah suatu alam yang kekal abadi tiada penghujungnya. Dalam pada itu, bagi agama Islam, pada kehidupan setelah kematian itu akan ditegakkan keadilan oleh mahkamah Allah. Segala amal perbuatan baik dan buruk, sama ada nilai perbuatan itu besar atau kecil, baik dalam keadaan tersembunyi atau terang-terangan, semuanya pasti akan dihitung dan dikira oleh Allah SWT. Tidak ada manusia yang akan terlepas pandang. Ketika itu, segala penyesalan tidak berguna lagi. Pengakuan keimanan kepada Allah sudah tidak diterima lagi. Akhirnya, setelah diadili oleh mahkmah Allah, umat manusia akan mendapat tempat akhirnya iaitu sama ada di syurga yang indah atau sebaliknya di neraka yang punah.




Secara asasnya, semua agama mempunyai kepercayaan berkenaan kehidupan setelah kematian. Namun bezanya adalah dari sudut kaedah dan pemahaman. Bagi agama Islam, tidak ada kehidupan di dunia setelah kematian. Islam amat menolak konsep Tanasukh al-Arwah atau disebut sebagai Reinkarnasi. Roh manusia yang telah mati di dunia tidak dapat pulang semula ke dunia. Tidak ada yang namanya kelahiran semula seperti yang dipercayai oleh sesetengah agama lain. Pun begitu, kehidupan setelah kematian adalah suatu ruang untuk umat manusia dibawa ke muka pengadilan yang mutlak, tiada lagi penyelewengan, kezaliman dan sebagainya. Ini kerana mahkamah Allah adalah yang paling adil dan bersifat mutlak. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 114 yang bermaksud :

"Maka, apakah (pantas) aku mencari selain ALLAH sebagai hakim, padahal Dialah yang menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu (dengan penjelasan) secara terperinci? Orang-orang yang telah kami anugerahi Kitab Suci mengetahui (bahawa) sesungguhnya (Al-Quran) itu diturunkan dari Tuhanmu dengan benar. Maka, janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu,"

Walau apapun, sebagai mnusia kita seharusnya sentiasa melakukan perubahan untuk menjadi insan yang lebih baik. Kerana yang baik itu tidak pernah sia-sia. Jika tidak dapat pengiktirafan di dunia, pastinya akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak. Begitu juga sebaliknya, keburukan itu adalah penyesalan belaka. Jika tidak menyesal di dunia, pastinya tertunduk malu menyesal di hari akhirat. Marilah kita beriltizam untuk sentiasa menyebarkan kebaikan yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 8 Ogos 2023

KERANA LIDAH CERMINAN HATI

Ajaran agama Islam membawa intipati makna kesejahteraan dan kedamaian. Ini bukanlah bermaksud Islam mengajar kita untuk sentiasa berdamai sehingga dipijak dan dihina maruah dan harga diri . Pun begitu, kesejahteraan dan kedamaian yang juga datang dari perkataan Islam, menatijahkan suatu pandangan jelas bahawa Islam adalah suatu cara hidup yang menenangkan, mendamaikan malah jauh dari perkataan buruk dan jahat. Oleh sebab demikian, Islam sangat menitikberatkan soal perhubungan kita sesama insan agar tindakan kita tidak ada yang menyakiti mereka.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa Al-Asy'ari RA dia berkata, aku berkata :

"Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama ? Baginda menjawab, "Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya".

Berdasarkan hadith ini, seseorang muslim yang baik itu adalah dikalangan mereka yang menjaga dan memelihara pertuturannya dan perbuatannya dari menyakiti orang lain. Ini bermaksud, menjadi keutamaan dan kewajipan orang Islam untuk sentiasa berwaspada dengan pertuturan yang dihemburkan. Umum mengetahui, lidah adalah anggota penting buat umat manusia. Bukan sahaja untuk bercakap dan bertutur bahkan lidah juga berperanan untuk merasai keenakan dan kelazatan rezeki makanan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Anugerah lidah oleh Allah Azza Wa Jalla kepada umat manusia adalah merupakan satu ciptaan Allah yang unik. Keunikannya terletak kepada sifatnya yang tidak bertulang, tetapi apabila bertutur, kadang lebih tajam berbanding pisau.




Dalam kehidupan ini, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kekhilafan. Keadaan ini juga membuktikan bahawa betapa lemahnya insan itu sendiri. Namun begitu, ianya bukanlah hujah untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Seperti contoh, memfitnah, mencaci, memaki hamun dan seumpamanya. Apabila lidah sudah terbiasa mengungkapkan perkara yang tidak baik, ini bukan lagi soal kesalahan tetapi ianya adalah cerminan pada hati diri manusia itu sendiri. Dalam soal ini, baginda Nabi SAW tekan menekankan akan kepentingan menjaga hati. Ini kerana, sekiranya baik dan elok hatinya, maka akan keluarlah perkataan ungkapan yang baik dan elok pada pertuturannya. Sebaliknya, jika buruk dan kotor hatinya, maka akan keluarlah ungkapan yang buruk dan kotor pada pertuturannya.

Demikian apa yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Nu'man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda :

"Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

Melalui pemahaman hadith ini, maka tidak timbul lah soal "mulut jahat tapi hati baik". Kerana apa yang baik di hati maka akan baik lah juga pada seluruh jasadnya. Ungakapan yang terbit dari mulut adalah cerminan apa yang ada pada hati seseorang. Oleh itu, bagi sebahagian mereka yang beranggapan mencarut, bercakap kotor dan seumpamanya adalah tabiat kebiasaan sesetengah manusia atau adat kebiasaan seseorang, maka wajiblah mereka bermuhasabah dan memeriksa semula kesihatan hati mereka kerana dibimbangi terdapat kerosakan pada hati mereka. Sikap dan pendirian orang yang beriman itu pada asasnya adalah dengan selalu berwaspada dengan lidah. Ini kerana, lidah adalah satu ciptaan tidak bertulang tetapi boleh menikam lebih pedih dari tusukan pisau.

Dalam pada Islam mengajar umatnya untuk berwaspada dengab lidah, Allah SWT juga sangat benci kepada hamba Nya yang bercakap dan berperangai kotor dan tidak senonoh. Ini berdasarkan pada sebuah hadith riwayat Ahmad, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak menyukai perbuatan yang keji atau Allah membenci orang yang bercakap kotor dan orang yang berperangai kotor."




Betapa hina mereka yang suka bercakap dan berperangai kotor sehingga dibenci oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, penting dan mustahaknya kita untuk memelihara pertuturan agar tidak di didik dengan kebiasaan bercakap kotor. Lebih malang dan parah lagi, apabila yang bercakap kotor itu pula adalah mereka yang berjuang atas nama agama Islam. Inilah malapetaka yang sungguh besar bagi umat ini. Pada zahirnya berpakaian soleh tetapi pada lidahnya penuh kata-kata dusta dan nista, cercaan, maki hamun dan sebagainya. Semuanya dihalalkan atas nama perjuangan. Walhal, agama tidak mengajar sedemikian rupa.

Sebagai orang Islam yang berprinsip, seharusnya menjauhi diri daripada menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah, cercaan dan seumpamanya. Ini kerana, seseorang yang hidup diatas prinsip Islam yang membawa manifestasi sejahtera itu, pastinya ungkapannya membawa perdamaian dan keamanan. Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, mengingatkan kita untuk bercakap yang baik, jika tidak, adalah lebih baik berdiam diri. Sepertimana yang disabda oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Juga dalam hadith lain, riwayat al-Tirmidzi, daripada Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar".




Demikianlah peringatan penting oleh baginda Nabi SAW berkenaan lidah. Sudah jelas kepada kita bahwa apa yang keluar melalui lidah, maka itulah cerminan pada hatinya. Sekiranya lidah ini sudah terbiasa mencarut, memaki hamun orang, gemar memfitnah, memperlekehkan, mengherdik dan seumpamanya lagi, maka periksalah hati ini dan perbaikilah dengan kembali kepada jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Sesungguhnya tidak ada yang akan kembali kepada Allah dengan tenang dan selamat melainkan dengan hati yang suci dan bersih. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah As-syu'ara' ayat 88 - 89 yang bermaksud :

"(Iaitu) di hari harta dan anak pinak tidak berguna lagi, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat dan sejahtera"

Dengan mengambil sikap untuk insaf dan bermuhasabah, marilah kita sentiasa mengingatkan diri kita bahawa sesuatu yang hak tidak akan bercampur dengan yang batil. Sesuatu yang baik tidak akan berkedudukan sama dengan yang buruk. Kebenaran tetap kebenaran. Tidak ada yang boleh menenggelamkannya dengan kebatilan. Oleh itu, tidak ada istilah mulut jahat tapi hati baik. Kerana tidak mungkin yang benar akan bercampur dengan yang batil dalam satu-satu masa. Waspadalah dengan apa yang kita ungkapkan. Malu lah kita yang mendakwa berjuang atas nama Islam namun mulut tidak mencerminkan wajah Islam yang sebenar. Mudah-mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk menghindari dari bercakap perkara yang kotor, jijik lagi tidak bermaruah ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 5 Ogos 2023

KEDUDUKAN ANJING DALAM ISLAM

 

Sesungguhnya agama Islam merupakan agama yang menuntut penganutnya untuk berlaku belas kasihan kepada sesama makhluk. Perbuatan belas kasihan ini tidak hanya terhad dan terbatas kepada sesama manusia sahaja bahkan kepada kehidupan lain termasuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Ini sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran, firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 38 yang bermaksud :

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)".

Menurut Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir Ibn Kathir, ketika beliau mengulas ayat ini dengan menyatakan bahawa maksud daripada "umat-umat seperti kamu" di dalam ayat tersebut ialah makhluk-makhluk yang dicipta seperti kamu juga. Demikian ulasan Imam Ibn Kathir bagi menunjukkan kepada kita bahawa binatang dan haiwan juga dianggap umat seperti umat manusia juga. Maka bersifat belas kasihan sesama makhluk juga merangkumi kepada binatang dan haiwan juga. Juga agama Islam sangat menitikberatkan soal berbuat baik kepada binatang sekalipun untuk tujuan membunuh binatang tersebut. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembelih, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut".




Oleh itu, berbuat baik dan berlaku ihsan kepada binatang adalah tuntutan utama dalam ajaran Islam. Tanpa mengira jenis binatang, Islam menuntut umatnya untuk berlaku ihsan atau berbuat baik kepada binatang. Ini lebih-lebih lagi berbuat baik kepada binatang peliharaan. Pun begitu, dalam agama Islam, terdapat hukum halal dan haram yang menjadi garisan merah yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. Ini termasuklah berkenaan hukum membela dan menyentuh anjing. Pada asasnya, hukum membela anjing adalah tidak digalakkan atau sekurang-kurangnya makruh membela tanpa sebab keperluan. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing untuk berburu atau mengembala, maka akan dikurangkan daripada pahala hariannya sebanyak satu qirath".

Hadith ini juga menjadi sebahagian hujah dalam mazhab Imam As-Syafie di dalam bab hukum membela anjing sebagai binatang peliharaan di dalam rumah. Juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan patung"

Berdasarkan hadith ini, Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi karyanya yang bertajuk Haza Halal.wa Haza Haram, beliau menyatakan bahawa antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama lain pula ada yang berpendapat, bahawa hikmah dilarangnya memelihara anjing di rumah ialah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari pula menyatakan bahawa :

"Ungkapan malaikat tidak akan memasuki rumah menunjukkan malaikat secara umum (malaikat rahmat, malaikat hafazah, dan malaikat lainnya)". Akan tetapi pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Wadhdhah, Imam Al-Khathabi, dan yang lainnya mengatakan : "Kecuali malaikat hafazah, mereka tetap memasuki rumah setiap orang kerana tugas mereka adalah mendampingi manusia sehingga tidak pernah berpisah sedetik pun dengan manusia. Sedangkan yang dimaksud dengan malaikat (yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing) ialah malaikat rahmat (yang suka memohon keampunan untuk manusia) bukan malaikat hafazhah yang menjaga manusia".

Namun begitu, sekiranya terdapat keperluan atau kepentingan untuk membela anjing seperti dengan tujuan untuk menjaga kawasan ataupun dijadikan binatang untuk memburu, maka hukumnya diharuskan. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Tsa'labah al-Khasyni berkata :

"Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang dibolehkan untukku ?" Rasulullah saw menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah".




Selain membela anjing, turut dibincangkan juga oleh para ilmuan Islam berkenaan hukum memegang atau menyentuh anjing. Anjing pada jilatannya dianggap najis dalam Islam. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami maka hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan"

Namun begitu, haram memegang anjing semata-mata kerana dianggap najis bukanlah anggapan yang tepat. Ini kerana, jika anggapan ini benar maka sudah tentu kita juga tidak boleh memegang najis anak kita atau najis sesiapa sahaja ketika kita hendak membersihkannya. Lebih tepat adalah para ilmuan Islam berbeza pendapat berkaitan hukum memegang najis tanpa keperluan. Dalam kalangan para ilmuan, ada yang membolehkan memegang najis jika ada keperluan. Dalam keadaan tiada keperluan pula, sebahagian ada yang memakruhkan dan sebahagian lain pula mengharamkan.

Secara umum, para ilmuan Islam bersepakat bahwa menyentuh anjing yang kering tidak dikira najis. Ini kerana menyentuh anjing yang kering tersebut dikira tidak berlaku pemindahan najis kepada si penyentuh. Pun begitu, para ilmuan Islam berbeza pandangan berkenaan memegang anjing yang basah. Dalam kitab al-Fatawa al-Kubra nukilan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, menyebutkan bahwa pada pandangan mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali ialah anjing pada keseluruhannya adalah najis termasuk bulunya. Pada pandangan mazhab Malik pula, anjing kesemuanya bersih termasuk air liurnya. Manakala pada pandangan mazhab Hanafi dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad pula, bulu anjing itu bersih sementara air liurnya najis. Maka secara mudahnya, majoriti para fuqaha (ahli fekah) iaitu jumhur Mazhab Hanafi, Malik dan salah satu riwayat Mazhab Hanbali berpandangan menyentuh badan anjing tidak najis sekalipun basah. Tetapi pada air liur anjing telah berlaku perbezaan pendapat mengenainya. Demikianlah perbincangan hukum berkaitan dengan membela dan menyentuh anjing.




Umumnya, sekalipun Islam telah menyatakan hukum berkaitan menyentuh dan membela anjing, hal ini tidak sesekali membenarkan sebarang bentuk kezaliman dilakukan terhadap binatang yang bernama anjing. Islam tidak membenci anjing. Sama sekali tidak bermaksud untuk memperendahkan anjing. Bahkan dalam al-Quran melalui surah al-Kahfi diceritakan kisah pemuda al-Kahfi diiringi anjing ketika berjuang menghadapi rejim yang zalim. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 18 yang bermaksud :

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.”

Kerana menghilangkan dahaga seekor anjing juga, seorang pelacur dimasukkan ke dalam syurga. Sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu”

Oleh itu, Islam sama sekali tidak bermaksud membenarkan umatnya untuk berlaku zalim kepada anjing. Juga tidak bermaksud memperlekehkan anjing. Semua ini adalah sebahagian peraturan dalam beragama di dalam Islam sebagai tanda dan bukti cinta kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan kepatuhan hanya kepada Nya tanpa berbelah bagi. Tanpa perlu mengetahui hikmah disebalik semua peraturan ini, umat Islam diajar untuk menyerah diri kepada Allah SWT kerana Dia lah yang lebih mengetahui akan segala-galanya. Semoga Allah mengampunkan kita semua.

Khamis, 3 Ogos 2023

KRISIS UMAT ISLAM : KETERHAKISAN JATI DIRI

 

Umum mengetahui bahawa agama Islam merupakan suatu cara hidup yang lengkap, meraikan naluri insan selari dengan kehendak Tuhan. Itu sebab kita akan dapati melalui syariat-syariat agama Islam ini akan terzahir pelbagai hikmahnya dan terungkap banyaknya pengajaran bagi sesiapa yang benar-benar mahu bersahabat dengan kebenaran. Ini kerana pada kebenaran tersebut akan terlihatlah intipati ajaran Islam yang suci lagi murni. Agama ini sememangnya telah lengkap untuk dihayati, telah sempurna untuk diselami dari zaman berzaman hingga ke hari penamat dunia ini.

Dalam sebuah penulisan buku oleh Al-Marhum Dr. Said Ramadan al-Buti, beliau mengatakan bahawa ujian yang menimpa umat Islam hanyalah satu. Dari ujian yang satu ini, telah menjadikan keretakkan yang lebih luas dan malapetaka yang lebih hebat sehingga akhirnya perkara benar dan batil menjadi susah untuk dipertimbangkan. Ujian yang satu itu adalah masalah keterhakisan jati diri. Hilangnya jati diri umat ini bukanlah kerana kuatnya musuh-musuh Islam, tetapi kerana umat ini sudah semakin jauh dari landasan agama yang benar. Sebahagian kecil umat ini beranggapan agama yang dianuti ini hanya sekadar perhiasan majlis memohon keberkatan. Tidak membawa sebarang pembangunan dan kemajuan. Islam pada kacamata sebahagian kecil umat ini, hanya bertujuan untuk akad nikah, solat, berpuasa dan seumpamanya lagi yang tidak memberikan apa-apa untung rugi dengan keduniaan.




Maka oleh kerana itu, Islam hanya dipraktikkan dalam ibadah khusus tetapi tidak diterjemahkan Islam ketika di luar ibadah tersebut. Jika ketika kita berada di masjid dan surau, kita boleh mendirikan solat dengan beratur tersusun di dalam saf, namun gagal menyusun kasut dan selipar di luar masjid. Kenderaan kereta motosikal kadang kala diletakkan mengikut suka hati tanpa peduli. Jika di dalam kehidupan ini, setiap kali selesai solat, kita sering berdoa agar dijauhi api neraka, namun kita sendiri pun masih berkawan dengan api dunia dengan merokok sana-sini tanpa rasa bersalah. Lebih malang, jika yang merokok itu adalah mereka yang digelar ustaz atau tok imam, yang juga antara barisan hadapan masyarakat untuk dijadikan contoh dan teladan.

Itu belum lagi kita bicarakan tentang trend gaya hidup kini yang membimbangkan. Apabila hidup sekadar mengikut trend semasa, syariat pula akan tersisih menjadi perkara kedua atau ketiga. Kumpulan artis luar negara yang kontroversi baru-baru ini, benar-benar menjadi suatu pukulan hebat buat kita semua dan sesungguhnya kita perlu mulai risau tentang perkembangan ini. Bagaimana mungkin kumpulan biadap ini terang-terang diatas pentas dikhalayak ramai, melakukan aksi tidak senonoh dan tidak bertamadun, namun disambut pula dengan sorakan dan jeritan para penonton. Kita benar-benar di dalam krisis jati diri. Umat ini perlu diberikan rawatan segera bagi memberikan kesedaran iman. Selain itu, pemakaian tudung telah menjadi suatu trend flip flop, hari ini pakai esoknya tidak, seolah-olah kita sedang bermain dengan firman Tuhan.

Dalam keghairahan masyarakat moden kini yang mahu belajar tentang agama, muncul pula ajaran-ajaran sesat yang kita sendiri tahu berakarkan kepada fahaman batiniyyah yang sesat lagi menyesatkan. Inilah barahnya jika masih ada yang mahu menghalalkan ajaran yang bertopengkan atas nama tarikat, tetapi berasaskan kepada fahaman batiniyyah yang melampau. Buruk padahnya jika masih ada yang memilih untuk berlembut dan bersangka baik dengan para pendukung ajaran batiniyyah ini. Tidak cukup dengan fatwa pelik mereka, habis kuburan pulaa menjadi tanah suci ketiga golongan pelampau ini. Para wali disisi faham mereka, diangkat dan dipuja, disembah bahkan ada yang rela untuk diraba. Asalkan tok guru, tok syeikh atau apa jua gelaran guru mereka itu, redha dengan mereka. Satu lagi episod kebodohan umat ini yang wajib kita perbetulkan.




Semua permasalahan yang berbangkit ini, berpunca daripada jati diri yang semakin terhakis. Perasaan gah dan hebat dengan Islam itu sudah mulai tercabut dan terangkat sedikit demi sedikit. Ini juga merupakan tamparan hebat buat mereka yang dianggap para agamawan. Seharusnya mereka yang digelar agamawan, mendidik umat ini untuk hidup beragama dan bukannya beragama untuk hidup. Apabila diajar beragama untuk hidup, maka medan kuliah-kuliah ilmu telah bertukar wajah menjadi medan pak lawak, tempat mengata orang, dan sebagainya. Bukan ilmu yang dicari tetapi hiburan yang dinanti. Masyarakat Islam semakin tenat dan penat jika taraf kuliah-kuliah ilmu ini masih ditakuk lama, masih kekal menjadi tempat "membuang masa" sementara menunggu masuk waktu solat. Sebahagian mereka yang menggangap kerja mereka berdakwah, lebih banyak menyeru manusia kepada diri mereka sendiri berbanding mengajak manusia kembali kepada Allah. Di celah-celah itu pula, tempat berkuliah dijadikan habuan untuk mencari pengaruh.

Krisis ini bukanlah tentang kau, dia atau mereka, tetapi tentang "kita semua". Kegagalan kita sebagai umat Islam untuk mencerminkan ajaran Islam sebenar akan sedikit-sebanyak menyumbang kepada salah faham mereka yang bukan beragama Islam. Oleh yang demikian, tidak ada jalan lain yang lebih pintas selain menyeru umat ini untuk kembali berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Keterhakisan jati diri manusia pada hari ini kerana gagalnya kita untuk menghayati setiap intipati hidup beragama. Untuk menjadi umat yang kuat jati diri Islamnya, bukanlah perlu menjadi ustaz dan ustazah. Tidaklah pula kena memakai serban dan jubah 24 jam. Tetapi jadilah diri ini sebagai orang yang beragama. Hidup beragama, pastinya akan menuruti displinnya yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Biar apapun status dan kedudukan kita, agama sebagai prinsip, dunia sebagai singgahan dan akhirat tempat untuk kembali. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 19 Julai 2023

ISLAM DAN KEDATANGAN TAHUN BAHARU HIJRAH

 

Masa atau waktu adalah suatu sistem bagi makhluk Allah SWT yang padanya mengikat kehidupan setiap hamba Nya. Pada yang namanya makhluk, pastinya tidak dapat lari daripada putaran masa yang menjadi sunnatullah. Suka atau tidak, setiap detik akan berlalu pergi sehinggalah hari berganti bulan, bulan berganti tahun dan demikianlah dunia ini bergerak. Begitulah sistem peraturan masa yang mengikat para makhluk Nya. Tidak ada sesiapa pun dikalangan makhluk Nya yang terkecuali dari sistem peraturan masa ini. Adapun kita sebagai hamba Nya yang berjalan diatas putaran masa ini, akan merasai dan melalui setiap detik-detik kehidupan ini dengan penuh ketakjuban kita pada Nya. Manakan tidak, dahulu rupa paras kita yang cantik dan tegang, tenaga kita yang dahulu kuat, kini kian berubah riak wajah selari dengan peredaran masa yang berlalu pergi.

Allah telah berulang-kali bersumpah dengan masa, mengkhabarkan kepada kita bahawa setiap yang namanya insan itu pastinya akan berada dalam kerugian. Rugi masa, rugi tenaga, rugi harta, kecuali bagi mereka yang beriman kepada Allah, melakukan amal soleh, berpesan kepada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Maka untuk mengeluarkan kita daripada kerugiam, hanyalah melalui jalan bertaqwa kepada Allah SWT. Sebab itu, bagi orang yang bertaqwa, kedatangan tahun baharu tidak mendatangkan apa-apa kesan yang mendalam melainkan melangkah ke hari baru dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Oleh sebab itu, kita dapat melihat di sana tidak terdapat sebarang petunjuk yang sahih dari baginda Nabi SAW untuk menyambut tahun baharu hijrah.




Ini kerana, umum telah mengetahui bahawa kalendar hijrah tidak wujud lagi di zaman Nabi. Kalendar hijrah telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab dengan mengambil kira bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kiraan tahun hijrah. Dan bulan Muharram juga, bukanlah bulan yang terkait dengan peristiwa hijrah baginda Nabi SAW. Ini kerana, dalam catatan sirah Nabi SAW, baginda bersama umat Islam Mekah, telah memulakan perjalanan berhijrah pada hujung bulan Safar dan sampai ke Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. Pun begitu, bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama bagi perkiraan kalendar tahun hijrah adalah setelah mengambil kira faktor selesainya umat Islam menjalani ibadah haji, yang padanya merupakan kemuncakan peribadatan kepada Allah.

Oleh itu, tidak ada sebarang petunjuk yang sahih berkenaan anjuran membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Namun begitu, telah menjadi amalan para sahabat Nabi SAW berdoa sebelum memasuki bulan atau tahun baharu. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, beliau menukilkan kata-kata Abdullah bin Hisyam RA yang bermaksud :

Para sahabat Rasulullah SAW mempelajari doa (berikut) sebagaimana mereka mempelajari al-Quran apabila masuknya bulan baharu atau tahun baharu : "Ya Allah, masukkanlah ia (bulan atau tahun baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada Al-Rahman".

Menjadi kelaziman umat manusia, azam dan tahun baharu berpisah tiada. Biasanya, keazaman diri akan terkait dengan kedatangan tahun baharu. Dalam Islam, untuk berazam atau bertekad untuk berubah, tidak perlu menunggu kedatangan tahun baharu. Kerana setiap detik dan waktu yang berlalu adalah harapan bagi kita umat manusia. Untuk memperbaharui niat dan azam, bukanlah syarat perlu tunggu datangnya tahun baharu. Malah setiap detik dan ketika, adalah peluang bagi kita untuk berazam dan perbaharui niat. Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku lalu berkata :

"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu".




Oleh yang demikian, Islam mengajar kita supaya tidak perlu menunggu saat dan ketika datangnya tahun baharu untuk perbaharui azam dan niat. Mulai saat ini, detik dan ketika ini, kita disuruh untuk segera perbaharui niat dan azam, melakukan perubahan diri pada setiap masa. Tanp berlengah, kita mesti berusaha memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Ada pula sebahagian kita beranggapan, membaca doa akhir tahun dan awal tahun sebagai memberkati amalan kita dengan harapan diangkat dan diterima oleh Allah SWT. Dakwaan ini seperti tepat dengan datangnya tahun baharu. Ibarat pepatah melayu berkata "tutup buku lama dan buka buku baru". Pun begitu, dakwaan ini tidak berasas dan tiada sandaran dalil yang sahih. Ini kerana, berdasarkan petunjuk Nabi SAW, amalan manusia akan dibentangkan atau diangkat kepada Allah pada setiap hari (pagi dan petang), setiap dua kali seminggu (setiap isnin dan khamis) dan pada setiap tahun iaitu pada bulan Sya'ban.

Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba Ku itu?' Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat."

Dalam hadith lain, riwayat Muslim, amalan kita aka diangkat pada setiap dua kali seminggu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."




Demikianlah pula amalan kita akan diangkat setiap tahun pada bulan Sya'ban. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Imam an-Nasa'i, yang bermaksud :

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"

Kedatangan tahun baharu hijrah mengingatkan kita supaya mencari keberkatan dalam nikmat usia yang dikurniakan. Keberkatan hidup pastinya diperolehi oleh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Untuk itu, kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui azam dan niat dan sentiasa berusaha berubah menjadi lebih baik pada setiap detik dan ketika agar kita diberikan keberkatan masa dan kehidupan ini. Tahun baharu adalah sekadar perubahan angka sahaja. Namun hakikatnya, perubahan manusia itu terletak kepada diri kita sendiri. Oleh itu, agama ini mengajarkan kita akan menginsafi kepentingan masa. Bukan sekadar dihayati setiap kali beralih tahun baharu, tetapi pada setiap detik yang berlalu pergi. Bagi setiap muslim, waktu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Dengan nikmat keberkatan ini, tiada tolak tanding harganya dengan segala isi dunia ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 15 Julai 2023

BENARKAH ISLAM ANTI-MUZIK ?

 

Kehidupan normal sebagai seorang manusia tidak dapat menafikan tentang keperluan untuk diri berhibur sebagai salah satu langkah juga untuk mengurangkan tekanan disamping naluri itu sendiri memerlukan hiburan yang menyeronokkan. Pada asasnya, berhibur adalah hukumnya harus. Keharusan berhibur ini pula bergantung kepada bagaimana hiburan itu berlaku. Berhibur dengan cara meminum arak, menari lenggok di khalayak ramai dan seumpamanya lagi akan membawa hukum haram berhibur seperti itu. Pun begitu, jika hiburan itu sekadar menyanyi, bergurau senda, pertunjukkan permainan dengan tidak melampaui batas, maka agama membenarkannya.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh Nabi SAW melalui hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Bahawa pada hari raya Fitri dan Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah Aisyah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu'ath (peperangan Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata : "Suara syaitan" (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda : "Biarkan mereka wahai Abu Bakr ! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita"

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, ketika Nabi SAW menghadiri suatu majlis perkahwinan orang Ansar, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda : "Wahai Aisyah ! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan ? Orang Ansar sukakan hiburan".




Berdasarkan hadith ini, baginda Nabi SAW sangat bertoleransi dengan kecenderungan orang Ansar yang sukakan kepada hiburan. Maka secara umumnya, berhibur dalam Islam adalah sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Namun begitu, umat manusia yang cenderung kepada hiburan mempunyai pelbagai cara untuk berhibur termasuklah dengan cara mendengar dan bermain alat muzik. Persoalannya, adakah Islam melarang mendengar dan bermain alat muzik ? Ini kerana sebahagian masyarakat berpandangan muzik adalah sesuatu yang melalaikan. Bahkan, muzik juga dilihat sebagai suatu permulaan kepada perkara maksiat dan sia-sia.

Perkataan muzik menurut Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab Ighathah al-Lahfan, membawa maksud seluruh alat muzik atau permainan. Imam al-Zahabi pula dalam kitab al-Tazkirah, beliau menyatakan bahawa muzik mencakupi seluruh alat muzik atau permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi sesebuah lagu atau syair. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, muzik berasal dari bahasa inggeris yang sinonim dengan bunyi-bunyian, irama, lagu, nada, senandung dan tanji. Berdasarkan maksud yang telah disebutkan ini, jelas kepada kita bahawa muzik merupakan alat dan bunyian yang mengiringi sesuatu nyanyian atau syair. Ini juga boleh disebutkan dengan kata lain, muzik adalah suatu instrumen yang menjadi penambahan kelunakan sesebuah nyanyian atau syair di dendangkan.

Dari segi hukum berkenaan muzik, para ulama telah berbeza pandangan. Perbezaan ini termasuk dalam bab khilaf yang muktabar, iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara umumnya, jumhur atau majoriti ulama dan fuqaha' mengharamkan alat muzik. Tetapi sebahagian mereka mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Mereka yang berpandangan haram antaranya adalah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Dalam kitabnya, Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahwa mendengar nyanyian (atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang. Tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya.




Selain itu, turut berpandangan haram ialah Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Kaff al-Ri'aa. Beliau menyatakan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran). Menurut Imam Ibn Qudamah pula dalam kitabnya, al-Mughni, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan, atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan, kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan kefasikan.

Mereka yang menyatakan pandangan haram muzik ini diatas beberapa hujah berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith. Antanya firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud :

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan".

Menurut Ibn ‘Abbas dalam kitab tafsirnya, sewaktu mentafsirkan ayat ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Imam Mujahid pula berpandangan ia merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Demikian juga Imam Hasan al-Basri menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. Dalil yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Imam al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah”

Demikian beberapa hujah dalil berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW. Pun begitu, sebahagian para ulama yang lain pula berpandangan hukum berkaitan muzik adalah harus. Antaranya ialah Abu Bakar Ibnu al-Arabi dalam kitab Ahkam al-Quran. Beliau menyatakan bahawa hadith-hadith yang digunakan untuk mengharamkan nyanyian mengatakan tidak ada satu pun dalil yang sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak tsiqah. Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. Begitu juga pandangan Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla bil Athar, beliau membahaskan hukum nyanyian dengan mengatakan bahawa semua riwayat hadith tentang haramnya nyanyian adalah batil.




Beliau turut menjelaskan bahawa pada ayat 6 surah Luqman yang menjadi pengharaman nyanyian pula, ayat tersebut menyebutkan satu sifat yang barangsiapa mengerjakannya akan menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu apabila dia menjadikan agama Allah SWT sebagai bahan mainan. Oleh kerana itu, jika seseorang membeli senaskhah al-Quran untuk menyesatkan orang ramai dan menjadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Selain itu, Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nail al-Autor meriwayatkan banyak athar daripada sahabat dan tabi'in yang menunjukkan keharusan mendengr nyanyian dan muzik antaranya Ibnu Umar, Muawiyah, Amru bin al-'Aas dan Abdullah bin Jaafar.

Dalam konteks fatwa semasa, al-Marhum Syeikh al-Qaradhawi menyatakan dalam kitabnya Halal dan Haram dalam Islam, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama. Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.

Selain itu, Fatwa Dar al-Iftaa' Misriyyah menyatakan bahawa nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya menjadi buruk. Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata. Secara mudahnya, berhibur dengan mendengar atau bermain muzik adalah diharuskan selagimana perkara tersebut tidak melanggar batasan syarak. Inilah juga asas pendirian Islam dalam banyak urusan kehidupan. Setiap perkara ada batasan. Maka jelaslah Islam bukanlah anti-muzik selagi tidak bercanggah dengan peraturan Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.