Ahad, 19 Mei 2024

SUARA PEREMPUAN ; AURAT ATAU TIDAK ?

 

Kejadian manusia merupakan sebaik-baik penciptaan yang telah diiktiraf oleh Allah SWT. Di dalam al-Quran, dalam pelbagai ayat firman Nya menyebutkan bahawa sesungguhnya kejadian manusia itu terdiri daripada dua jenis iaitu mereka yang berjantina lelaki dan perempuan. Pada setiap jantina baik lelaki mahupun perempuan telah Allah peruntukkan kasih sayang Nya bersesuaian dengan fitrah kejadian insan. Oleh itu, kita lihat bagaimana ketetapan Allah berkaitan hukum juga adalah bersesuaian dengan naluri lelaki dan perempuan. Ini termasuklah soal penjagaan aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan.

Dalam soal kita berbicara berkenaan aurat, tentu sekali penekanan banyak diberikan kepada para perempuan yang lebih banyak bersifat menutup selari dengan nilai sifat malunya seorang perempuan. Apatah lagi perempuan seringkali dijadikan bahan eksploitasi oleh pihak tertentu sejak zaman Arab jahiliah lagi. Kerana itu Islam yang datang dengan tujuan lain adalah untuk melindungi kaum perempuan dan meletakkan martabat dan maruah mereka pada tempat yang sewajarnya. Aurat bagi perempuan seperti yang disepakati oleh para ulama ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Namun begitu, terdapat perbezaan dikalangan ulama berkenaan mulut dan dahi yang sebahagiannya menyatakan bahagian tersebut juga dianggap sebagai aurat.




Selain itu, timbul persoalan berkenaan suara perempuan. Apakah suara orang perempuan juga dianggap sebahagian daripada aurat ? Maka berdasarkan perbahasan yang diperincikan oleh para ulama, terdapat dua pandangan dalam hal ini. Pandangan pertama, jumhur (majoriti) para ulama menyatakan bahawa suara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat. Hal ini kerana terdapat dikalangan para sahabat Nabi SAW mendengar suara isteri-isteri Nabi untuk mempelajari hukum-hukum agama. Namun begitu, diharamkan pula mendengar suaranya yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran. Ini kerana dibimbangi dan dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah. Ini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud :

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)".

Berdasarkan daripada ayat ini, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, beliau menyebutkan bahawa Al-Suddi dan selainnya berkata yang dimaksudkan ialah melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki. Ertinya, jangalah seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya. Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa :

" Yakni larangan melunakkan perkataan. Allah mengarahkan agar para isteri nabi itu hendaklah berkata dengan tegas dan jelas dalam perbualan, dan jangan bercakap dalam suatu bentuk yang menzahirkan dalam hati satu hubungan dengan apa yang terzahir daripada kelunakan tersebut, seperti adalah hal keadaan yang berlaku dalam kalangan wanita arab ketika berbual dengan lelaki dengan cara melembutkan suara dan melunakkannya, seperti gaya perbualan wanita yang mengelirukan dan wanita pelacur".

Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin, turut menyebutkan hal yang sama berkaitan aurat suara orang perempuan. Beliau menyatakan bahawa :

“Dan bermula suara wanita itu dalam keadaan selain daripada nyanyian itu bukanlah aurat, kerana kaum wanita pada zaman sahabat R.Anhum sentiasa bercakap-cakap dengan kaum lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa, meminta sesuatu, melakukan syura dan sebagainya. Akan tetapi pada nyanyian itu suatu tambahan yang memberi kesan dalam merangsang syahwat.” Kami juga berpendapat dengan isu nyanyian kaum wanita, jika dilakukan dengan adab yang betul dan tidak terlalu melunakkan suara dan melembutkannya sehingga mendatangkan syahwat, adalah harus".




Dikalangan ulama masa kini, al-Marhum Syeiikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya, Halal dan Haram dalam Islam, beliau menyebutkan bahawa Islam membolehkan nyanyian selama mana ianya tiada unsur maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan menghasut kepada penyelewengan akidah. Tidak mengapa jika ianya diiringi dengan alat-alat muzik yang tidak membangkitkan syahwat. Beliau berdalilkan hadith riwayat Bukhari, daripada Aisyah R.Anha bahawa dia pernah menghantar seorang pengantin wanita ke tempat pengantin lelaki daripada kalangan kaum Ansar. Lalu Nabi Muhammad SAW berkata kepada beliau yang bermaksud :

"Wahai Aisyah! Apakah kalian membawa sekali hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar itu suka akan hiburan".

Oleh itu, apa yang menjadi pegangan dikalangan jumhur para ulama, pada asalnya suara orang perempuan tidak dianggap dan dikira sebagai aurat. Namun begitu, ianya boleh menjadi haram apabila seorang perempuan bercakap, bernyanyi atau melontarkan sebarang vokal yang melunakkan sehingga boleh menimbulkan keinginan syahwat. Jelas disini, hukum aurat suara orang perempuan ialah terletak kepada bagaimana hal itu berlaku. Dalam konteks berkomunikasi, selagi ianya dilontarkan suara dengan nada yang biasa, tidak dengan nada menggoda halus, maka ia tidak dikira sebagai haram. Namun sebaliknya, jika suara yang dilontarkan itu bernada halus, lemah-lembut yang menggoda serta mengundang perasaan syahwat, maka hukumnya adalah haram. Ini semua bergantung kepada keadaan yang berlaku.

Pada pandangan kedua, terdapat disana para ulama yang menyatakan bahawa suara orang perempuan itu dikira dan dianggap sebagai aurat. Ini kerana mereka berpandangan orang perempuan dilarang untuk meninggikan suara ketika bercakap kerana dibimbangi akan didengar oleh para lelaki yang bukan mahram. Ini juga bertepatan dengan larangan oleh Allah untuk kaum perempuan agar tidak berjalan menghentak kaki sehingga mengeluarkan bunyi gelang kaki. Bagi mereka, sekiranya bunyi gelang kaki pun ditegah, apatah lagi alunan suara yang lebih lunak dari bunyi tersebut. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"...Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".

Berdasarkan kefahaman ayat ini, para ulama yang menyatakan hukum haram suara orang perempuan, menjelaskan bahawa sekiranya mendengar bunyi perhiasan hasil hentakkan kaki pun ditegah dan dilarang oleh Allah, inikan pula suara yang tentu lebih lunak dan menggoda apabila mendengarnya. Oleh itu, mendengar orang perempuan menyanyi bertambah lah haram kerana kelunakkannya. Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa aurat suara orang perempuan jelas hukumnya haram didengar kerana terdapat hadith Nabi yang menjelaskan bahawa orang perempuan yang solat berjemaah dan mahu membetulkan kesalahan imam, bagi mereka memadai dengan menepuk tangan sahaja tanpa mengeluarkan suara dengan bertasbih.




Ini menunjukkan betapa suara orang perempuan itu haram di dengar. Dalam hal ini juga, al-Munawi di dalam kitabnya, Faidhul Qadir, menyebutkan bahawa arahan Nabi untuk kaum perempuan bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat. Hadith tersebut riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu ( lelaki ) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk perempuan”

Oleh itu, daripada penjelasan oleh kedua-dua pandangan ini, dapat kita fahami dengan tiga keadaan. Bagi keadaan pertama, suara orang perempuan yang bercakap dengan nada yang biasa dan tidak dilunakkan. Dalam hal ini, jumhur ulama berpandangan harus manakala sebahagian lagi menyatakan haram secara keseluruhan. Kedua, keadaan suara orang perempuan yang sengaja dilembutkan suara, melunakkannya dan dimanjakan suaranya, telah sepakat para ulama dalam keadaan seperti ini adalah haram diperdengarkan di khalayak orang lelaki. Ketiga, keadaan dimana para perempuan menyanyi dengan nada yang beradab dan menjaga perbatasan aurat, tidak dengan sengaja dilembutkan suara, sebahagian para ulama menyatakan harus dengan syarat selagi tidak mendatangkan syahwat. Manakala sebahagian lagi menyatakan tetap haram keseluruhannya. Demikianlah penjelasan yang boleh kita fahami. Semuanya duduk letaknya kepada keadaan yang dinyatakan ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Khamis, 16 Mei 2024

BINATANG SEMBELIHAN KORBAN MENURUT ISLAM

 

Ekosistem dalam kehidupan ini merupakan interaksi dan hubung kait antara makhluk sesama makhluk yang lain. Sama ada ianya diklasifikasikan sebagai benda hidup atau tidak, semuanya perlu berinteraksi antara satu sama lain bagi memastikan kehidupan ini berjalan diatas fitrahnya yang semulajadi. Oleh itu bagi mencapai tujuan kehidupan ini, Allah SWT telah menganugerahkan kepada para manusia haiwan dan tumbuhan sebagai sumber kepada nutrisi makanan yang diperlukan oleh badan bagi menjalani kehidupan seharian. Maka telah menjadi sunnatullah atau ketetapan Nya, manusia perlu berinteraksi dengan kehidupan lain yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan untuk dijadikan sebagai sumber makanan.

Ibadah korban merupakan salah satu pensyariatan Allah SWT kepada para hamba Nya yang beriman. Ini secara tidak langsung membawa maksud sesuatu penyembelihan yang dilakukan diatas nama ibadah korban hanya akan diterima oleh Allah SWT adalah dari kalangan orang-orang yang beriman. Dengan maksud demikian, Allah telah mengharamkan juga orang Islam untuk memakan sembelihan dari orang kafir atau bukan Islam kecuali dari kalangan ahli kitab. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dalam surah al-An'am ayat 121 yang bermaksud :

“ Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya...”




Oleh itu berdasarkan penjelasan ini, maka hukumnya adalah haram bagi orang Islan memakan sembelihan orang bukan Islam kerana pada sembelihannya itu tidak menyebut nama Allah. Pada masa yang sama, berkaitan soal penyembelihan juga, perlu dinyatakan bahawa ibadah penyembelihan binatang korban merupakan suatu ibadah yang khusus kepada binatang-binatang tertentu sahaja. Ini bermakna, untuk melakukan sembelihan bagi ibadah korban, tidak boleh disembelih sebarangan binatang meskipun binatang tersebut halal untuk dimakan. Misalnya, menyembelih seekor ayam untuk tujuan ibadah korban tidak diterima oleh agama Islam. Ini kerana walaupun pada hukum asalnya, ayam halal untuk disembelih dan di makan, tetapi ayam tidak termasuk dalam senarai binatang korban.

Dalam melakukan ibadah korban, terdapat binatang tertentu yang disyariatkan bagi tujuan tersebut. Binatang selain yang disyariatkan itu, maka tidak boleh atau tidak diterima sembelihan untuk ibadah korban tersebut. Dalam hal ini, Allah SWat telah menyatakan di dalam al-Quran dalam surah al-Haj ayat 34 yang bermaksud :

“Dan tiap-tiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka mengingat nama Allah terhadap al-An'am (binatang ternak) yang telah direzekikan kepada mereka”.

Perkataan al-An’am yang bermaksud haiwan ternakan di dalam bahasa arab merujuk kepada unta, lembu/kerbau dan kambing. Adapun haiwan-haiwan seperti kuda, rusa dan selainnya tidak termasuk di dalam pengertian al-An’am. Ini juga sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Raudhah al Tholibin, beliau menyatakan bahawa haiwan yang disembelih itu mestilah daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing sama ada jantan atau betina, dan kesemua ini telah disepakati. Maka dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa bukan semua binatang itu boleh dijadikan sebagai sembelihan korban. Ini kerana syariat Allah telah mengkhususkan binatang tertentu yang disebut sebagai al-An'am iaitu binatang ternakan.

Imam Khatib Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dengan tegas menyebutkan bahawa korban ialah ibadat yang berkaitan dengan haiwan dan ia dikhususkan dengan haiwan ternakan seperti zakat, maka tidak sah (korban) selain daripada haiwan Na’am seperti lembu liar dan seumpamanya. Begitu juga menurut Sa’di Abu Jaib dalam kitab Mausu’ah al Ijma’, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya kesepakatan para ulama bahawa tidak sah korban kecuali unta, lembu, kambing, biri-biri dan sejenis dengannya, sedangkan berkorban dengan haiwan lain tidak memadai. Secara jelas lagi terang, hanya binatang tertentu seperti yang diperintahkan sahaja yang boleh disembelih untuk tujuan korban. Demikianlah ketetapan oleh Allah terhadap binatang yang disyariatkan untuk tujuan sembelihan korban.




Namun begitu, meskipun disebutkan tentang binatang ternakan sahaja yang dibolehkan untuk ibadah sembelihan korban, padanya juga terdapat terdapat beberapa syarat-syarat tertentu yang mengikat kepada keadaan binatang ternakan korban tersebut. Antara lainnya, umur binatang ternakan untuk dikorbankan tersebut mestilah mencapai umur yang ditentukan oleh syariat. Ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Jangan kamu menyembelih korban kecuali musinnah, kecuali sekiranya kamu menghadapi kesusahan (untuk mendapatkannya) maka boleh kamu menyembelih kambing yang Jaz’ah”.

Berdasarkan hadith ini, perkataan "Musinnah" menurut kitab Mu'jam Lughah al-Fuqaha, ianya membawa maksud haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang telah gugur gigi hadapannya. Menurut pandangan majoriti ulama, umur musinnah bagi haiwan yang sah untuk dijadikan korban ialah bagi unta yang musinnah ialah yang telah cukup umur 5 tahun. Bagi lembu dan kerbau yang musinnah pula ialah yang berumur cukup 2 tahun manakala kambing yang musinnah pula ialah kambing yang cukup 1 tahun. Namun begitu, para ulama dalam mazhab Syafie sedikit berbeza pandangan tentang umur kambing musinnah dengan menyatakan umur bagi kambing musinnah ialah cukup sempurna 2 tahun.

Selain itu, bagi maksud kambing yang Jaz'ah seperti yang disebutkan di dalam hadth tersebut, menurut ulama mazhab Hanbali membawa maksud kambing yang umurnya telah sempurna 6 bulan. Syarat lain lagi ialah agama Islam menetapkan bahawa binatang korban mestilah tidak cacat dan tidak berpenyakit. Menjadi lebih utama atau lebih baik (afdhal) ialah binatang ternakan yang gemuk. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada al-Bara' bin 'Azib katanya yang bermaksud :

“Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya berkenaan haiwan yang tidak boleh dijadikan korban, maka baginda mengisyaratkan tangannya sambil berkata ada empat jenis. Haiwan yang cacat dan kecacatannya yang amat jelas kelihatan, yang buta sebelah matanya dan kebutaannya amat jelas kelihatan, yang sakit dan kesakitannya amat jelas kelihatan, dan yang akhir, haiwan yang lemah atau yang kurus”.




Melalui pemahaman daripada hadith ini, menyatakan dengan jelas kepada kita bahawa sekiranya binatang ternakan yang hendak dilakukan korban mestilah daripada keadaan yang elok dan bagus. Ini juga merangkumi maksud bahwa binatang korban tersebut mestilah tidak cacat yang jelas kelihatan, yang padanya mata kebutaan, yang padanya terdapat penyakit yang jelas kelihatan dan binatang yang lemah. Secara tidak langsung, syarat ini menggambarkan kepada kita betapa Islam sangat menitikberatkan tentang soal kualiti binatang untuk dikorbankan tersebut. Bahkan bukan setakat itu sahaja, malah Islam juga turut menitikberatkan soal cara atau kaedah penyembelihan mestilah dilakukan dengan penuh sifat ihsan atau belas kasihan. Dalam hal ini, terdapat sebahagian para ulama mengharamkan penggunaan pisau yang tumpul.

Demikianlah sedikit-sebanyak perkara yang dijelaskan oleh Islam berkaitan binatang sembelihan untuk tujuan ibadah korban. Ibadah korban adalah merupakan suatu ibadah sembelihan yang khusus. Ini kerana ibadah korban tersebut terikat kepada hari dan waktu tertentu, binatang tertentu dan dengan niat yang khusus berbeza dengan sembelihan binatang lain di luar dari hari dan masa ibadah korban tersebut. Pada ibadah korban tersebut, dituntut untuk kita bertakbir membesarkan Allah disamping kita bersyukur diatas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita sebagai para hamba Nya. Setiap curahan dan tumpahan darah hasil ibadah korban tersebut tidak dilihat dan dikira oleh Allah melainkan yang diterima korbannya adalah yang ikhlas kepada Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 13 Mei 2024

GURU ; PERANAN MULIA YANG DIANGKAT OLEH ISLAM

 

Kehidupan manusia ini tidak dapat dipisahkan dengan kepentingan mencari ilmu. Ini kerana para manusia hidup di atas dunia dengan adanya ilmu. Untuk mencapai sesuatu ilmu, manusia akan memperolehinya melalui pengajaran yang disampaikan oleh guru. Telah menjadi fitrah manusia itu untuk bersifat belajar dalam kehidupan ini. Oleh kerana itu, apabila Allah SWT menurunkan ayat al-Quran yang pertama, kita dapat melihat bagaimana Allah menyatakan bahawa Allah lah Tuhan yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan dan mengajar manusia tentang apa yang tidak diketahui sebelumnya. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-'Alaq ayat 1-5 yang bermaksud :

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)"

Dengan mengambil faham maksud dan intipati terpenting tentang ayat ini, jelaslah bahawasanya tugas menjadi seorang pengajar, guru, pensyarah atau apa sahaja diatas nama mengajar adalah merupakan suatu tugas yang sangat dimuliakan di dalam kehidupan manusia. Malah tanpa ilmu pengetahuan, pastinya manusia tidak boleh meneruskan kehidupan ini dengan normal. Dengan itu, ilmu tidak mungkin dapat disebarkan tanpa adanya guru yang mengajarnya dan menyampaikannya kepada manusia. Seorang guru pula tidak boleh menyampaikan ilmu sebagai seorang guru melainkan dirinya belajar pula dengan gurunya. Demikianlah pentingnya rantaian guru yang memberikan kesinambungan rantaian ilmu di dunia ini.




Ketika kita berbicara tentang tugas dan peranan seorang guru, baginda Nabi SAW juga telah menyifatkan diri baginda sebagai seorang guru. Hal ini dapat dilihat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Allah SWT tidak menghantar aku untuk bersikap keras dan menyusahkan orang lain, tetapi Allah menghantar aku untuk sebagai seorang guru dan memudah carakan".

Oleh itu, kita akan dapati bahawa sesungguhnya baginda Nabi SAW merupakan seorang guru yang maha besar dikalangan manusia kerana baginda telah menjadi guru menyampaikan ilmu kepada seluruh manusia menunjuki jalan yang lurus bagi membolehkan umat manusia hidup berjaya di dunia dan juga berjaya untuk kehidupan di akhirat. Demikian juga boleh kita katakan bahawa seorang guru itu telah memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan manusia. Peranan besar itu ialah kerana sebahagian peranan Nabi untuk mengajar umat telah dimainkan dan disambung peranannya oleh mereka yang bergelar guru.

Dalam sebuah syair yang telah di dendangkan oleh seorang tokoh penyair Arab terkenal iaitu Ahmad Syauqi, di dalam syairnya beliau berkata :

"Bangunlah untuk guru, berikan untuknya penghormatan,

Hampirlah seorang guru itu menjadi seorang rasul,

Adakah engkau tahu sesiapa yang lebih mulia dan terhormat dari seorang yang membina dan menghidupkan jiwa dan akal".

Demikianlah pujian yang ditujukan kepada mereka yang bergelar guru. Apa yang didendangkan oleh penyair terkenal Ahmad Syauqi ini melambangkan kepada kita kemuliaan dan kedudukan yang istimewa seorang guru. Warga pendidik diatas pelbagai nama gelaran, guru, cikgu, ustaz ustazah, pensyarah, dan di dalam pelbagai bidang pengajaran yang telah memainkan mencetak warga manusia yang berilmu sepatutnya merasai kagum dengan tugasnya yang sangat besar jasa dalam setiap kehidupan manusia. Walau barangkali pekerjaan guru itu tidak menjanjikan pendapatan yang besar, tidak memberikannya kemewahan dan kekayaan harta yang melimpah ruah, tetapi ia tidak ada tugas yang lebih mulia selain tugas guru yang menyemai ilmu kepada umat manusia.




Terkadang dalam kehidupan ini, sebahagian manusia berlumba-lumba melakukan pekerjaan yang boleh memberikan dirinya diingati oleh orang ramai. Namun begitu, tugas guru sekalipun tidak terlintas dibenak jantung hati mereka untuk meminta diri mereka diingati, mereka tetap akan diingati sepanjang hayat manusia bahkan tetap akan disebut sebagai cikgu walau bertemu dimana-mana jua. Demikian juga seorang guru itu bukan sahaja diingati dan disebut-sebut oleh kalangan manusia bahkan seluruh alam juga berinteraksi kerana seorang guru. Ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”.

Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa seluruh alam hattakan semut yang berada di dalam tanah pun akan mendoakan kebaikan kepada para guru yang telah mengajarkan kebaikan kepada kehidupan manusia. Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW tidak menyebut bagi mereka yang mengajar agama sahaja tetapi apa sahaja yang diajarkan itu yang telah memberikan kebaikan kepada kehidupan manusia, maka seluruh alam dan seisi dunia ini mendoakannya diatas kebaikan mengajar tersebut. Betapa hebat dan mulianya seorang guru yang tanpa kita sedar hari-hari mereka mengajar di iringi doa oleh seluruh makhluk termasuklah para malaikat, makhluk yang paling taat kepada Allah.




Hakikatnya pekerjaan guru bukanlah suatu pekerjaan yang boleh dipandang lekeh dan tidak hebat. Biarpun kadang pada pandangan dunia yang materialistik ini telah membuatkan masyarakat merasai pekerjaan guru ini sebagai tidak ada kedudukan hebat. Malah mungkin ada dikalangan kita yang malu-malu untuk mengaku sebagai seorang guru jika hendak dibandingkan dengan pekerjaan lain yang nampak hebat. Namun percayalah bahawa guru itu lebih hebat dan mulia kerjanya kerana apa yang kita dapat lihat hari ini, seorang perdana menteri hebat dengan pidatonya, seorang peguam yang bijak menyusun tuturnya atau seorang tukang masak yang sedap masakannya, semuanya bermula dari jasa dan pengorbanan dari seorang guru.

Demikanlah jasa guru. Sememangnya mereka ini bukanlah pakar yang membina bangunan namun jangan kita lupa bahawa mereka membina akal fikiran manusia, mencorak dan membentuk pemikiran, membangunkan manusia yang bermaruah dan punyai jati diri peribadi yang indah. Membangunkan kemenjadian manusia lebih mustahak dan penting berbanding sibuk membina bangunan pencakar langit yang hanya dikagumi di dunia. Oleh itu, kepada semua warga pendidik, apa yang tinggal kepada kita ialah keikhlasan dalam menyampaikan ilmu. Mungkin orang kaya boleh berikan wang untuk memenuhi sehari dua keperluan si miskin, namun seorang guru yang ikhlas, memberikannya ilmu dan dengan ilmu itu, si miskin ini memanfaatkan ilmu tersebut untuk mencari wang dan dengan wang itu dia dapat mengubah nasib hidupnya. Hanya bermula dengan sebuah ilmu yang disampaikan oleh seorang guru yang ikhlas. Semoga Allah memberkati hidup kita semua.

Sabtu, 11 Mei 2024

KESESATAN NYATA TAREKAT NAQSYABANDIYAH

 

Kecintaan kepada Allah oleh hamba Nya adalah sesuatu yang dituntut dan terpuji. Sesuatu yang tidak wajar bahkan tidak patut sebenarnya bilamana ada yang menghalang manusia lain daripada mencintai Allah SWT. Namun yang menjadi persoalannya, bagaimanakah jalan untuk mencintai Allah SWT. Dalam soal ini, jalan untuk mencintai Allah, antara jalan yang membuktikan kecintaan kita kepada Nya adalah dengan mengikuti apa yang dibawa oleh baginda Rasul SAW. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud :

"Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengamun lagi Maha Penyayang".

Oleh itu, sebagai usaha yang boleh kita lakukan untuk benar-benar mencintai Allah dan Rasul Nya memadailah dengan kita mengikuti ajaran Nabi SAW. Namun apa yang menyedihkan kita semua, realiti hari ini diatas nama mencintai Allah, telah banyak kerosakan dan penyelewengan yang telah berlaku dikalangan orang Islam lebih-lebih lagi apabila menggunakan nama tarekat. Ungkapan "Tarekat" boleh kita fahaminya sebagai suatu jalan atau wasilah. Salah satu gerakan tarekat yang pada tujuan asalnya untuk mendidik pengikutnya mendekatkan diri kepada Allah tetapi telah diseleweng ialah Tarekat Naqsyabandiyah.




Tarekat Naqsyabandiyah merupakan sebuah tarekat yang diasaskan oleh Syeikh Baha' al-Din, Muhammad Ibn Muhammad al-Syarif al-Hasani al-Husayni al-Uwaysi al-Bukhari yang lahir pada tahun 1317 Masihi bersamaan 717 Hijrah. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Shah Naqsyaband. Ungkapan "Naqsyaband" adalah hasil gabungan dua bahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Parsi. Gabungan dua perkataan tersebut iaitu "Naqsy" dan "Band". Perkataan "Naqsy" berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ukiran. Manakala perkataan "Band" diambil dari bahasa Parsi yang membawa maksud kekal. Ini bermakna gabungan dua perkataan tersebut menjadikan maksudnya ialah ukiran kecintaan kepada Allah yang kekal. Pun begitu, pada awal gagasan tarekat ini tidaklah begitu dikenali sangat sehingga lah lahir pimpinan lain yang membawanya.

Ajaran tarekat Naqsyabandiyah ini kemudiannya terkenal dibawah pimpinan Syeikh Nazim al-Haqqani al-Qubrusi. Beliau dilahirkan pada tahun 1922 Masihi bersamaan 1341 Hijrah di Kota Larnaka, Cyprus (Qubrus). Ajaran beliau dibawah tarekat Naqsyabandiyah ini telah tersebar meluas di serata dunia sehingga beliau telah diiktiraf sebagai antara tokoh Islam yang berpengaruh pada abad ini. Akan tetapi, ajaran yang dibawa olehnya telah mendapat kritikan yang mendakwa akidah dan pemikiran beliau terpesong jauh daripada landasan sebenar ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Apa yang lebih menjadi kebimbangan ialah ajaran tarekat ini sebenarnya sangat terkenal di bumi nusantara dan mendapat tempat di kebanyakkan tempat di Malaysia. Sehinggakan telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan para pengikutnya yang menisbahkan diri mereka kepada tarekat Naqasyabandiyah dengan menambah al-Haqqani al-Aliyyah.

Selain itu, tidak kurang pula ada yang menisbahkan diri mereka sebagai ahli aliran tarekat tasawuf yang kononnya mendokong ajaran tasawuf namun telah membawa ideologi dan pendekatan yang sesat. Keadaan ini hinggalah telah difatwakan sesat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam sebanyak 12 kali pada tahun 2000 (2 kali) , 2001 (1 kali), 2002 (1 kali), 2009 (4 kali), 2010 (3 kali) dan 2019 (1 kali). Malah terdapat tambahan kepada teks asal pada tahun 2000 iaitu dengan memasukkan teks "Pengamal ajaran ini dikehendaki segera bertaubat". Namun begitu, terdapat usaha-usaha dari golongan tertentu dengan menggunakan nama orang-orang besar untuk dibenarkan semula ajaran ini sehinggalah berlaku pindaan keputusan berkenaan fatwa ini pada tahun 2022. Dalam pindaan tersebut dinyatakan bahawa ajaran ini boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam.




Pelik bin ajaib sekali. Bagaimanakah suatu keputusan yang mengharamkan ajaran ini yang difatwa sesat sebanyak 12 kali namun dengan satu kertas putih dibawa ke mesyuarat MKI maka sudah memadai untuk dibenarkan pula. Persoalannya, mengapakah ajaran ini dilabelkan sebagai ajaran yang sesat ? Maka disini disertakan beberapa bentuk kesesatan yang nyata dan terang benderang bercanggah dengan intipati ajaran Islam yang sebenar. Antara ciri-ciri kesesatan ajaran tarekat ini ialah berlaku perbuatan pemujaan kubur dan meminta pertolongan dengan menyeru nama orang yang telah meninggal dunia. Menjadi amalan kebiasaan mereka ini untuk pergi ke makam-makan pemimpin tarekat mereka untuk melakukan pemujaan. Dalam rekod, kesesatan nyata yang mereka lakukan ialah dengan memohon kepada wali Sultan Ariffin yang makamnya terletak di Pulau Besar, Melaka.

Selain kesesatan mereka memuja kubur, ajaran tarekat ini juga terkenal dengan amalan zikir menari. Amalan ini telah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Malah amalan zikir menari tersebut telah ditegur dan dilarang dengan tegas oleh Datuk Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2015. Dalam kenyataan tegas tersebut, beliau menyatakan bahawa pihaknya telah mengeluarkan larangan (zikir menari) tersebut dalam laman web e-fatwa menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-48 pada 3 April 2000. Menurut beliau lagi, tarekat yang diguna pakai ketika berzikir ke atas Nabi SAW telah diputuskan oleh muzakarah sebagai ajaran yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Selain itu, dikalangan para ulama juga ada yang menegaskan zikir menari adalah haram dan merupakan bid'ah yang ditegah. Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Qurtubi, Imam Ibn Kathir, Imam Taqiyuddin al-Subki dan lain-lain.




Ciri lain yang memperlihatkan akan kesesatan mereka ialah perbuatan bersalaman dan mencium kaki yang melampau. Dalam ajaran tarekat ini, mereka mendakwa bahawa para wali itu dapat melihat dan bersalaman antara lelaki dan perempuan tanpa batas. Pada anggapan mereka, amalan mencium kaki ini adalah sebagai tanda penghormatan. Ini sudah melampaui batas dan sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai hamba Nya yang melampaui batas. Selain itu, ciri kesesatan ajaran ini juga adalah berdasarkan kepercayaan mereka terhadap kewalian. Mereka mendakwa bahawa Hisham Kabbani, salah seorang wali mereka mempunyai kedudukan dan taraf yang sama seperti ahli Badar dan Imam Mahdi. Ajaran ini juga terkenal dengan amalan zikir "Hu Hu Hu". Zikir ini dilakukan dengan menyebut dhomir (kata nama) Hu yang merujuk kepada perkataan Allah. Perbuatan zikir ini jelas tidak diajar dan tidak dituntut oleh agama Islam. Selain itu, mereka juga berpegang kepada amalan “Rabithah”. Amalan ini merujuk kepada perbuatan membayangkan atau menghadirkan wajah guru atau syeikh ketika hendak berzikir.

Dalam sebuah buku ajaran mereka yang bertajuk Hakikat Tarekat Naqsyabandiyah karangan oleh H.A Fuad Said, beliau menyatakan bahawa barangsiapa berhubungan terus menerus dengan rabithah nescaya terjadilah atas dirinya peristiwa-peristiwa tarekat dan kesempurnaan hakikat tetapi sebaliknya barangsiapa tidak berrabithah nescaya terputus limpahannya dan tidak akan muncul rahsia kebesaran Allah kepadanya. Demikian apa yang dinyatakan. Selain itu, beberapa dakwaan akidah yang dibuat oleh Syeikh Nazim juga meragukan dan jelas bertentangan dengan syarak. Antara dakwaan tersebut ialah mendakwa Allah berkata-kata melalui wali, beliau juga mendakwa para wali berkumpul dengan Nabi SAW setiap malam, mendakwa wali mengawal alam semesta dan pelbagai lagi dakwaan karut-marut yang dibuat. Dalam hal ini, berpadalah kita dengan petunjuk oleh Nabi SAW. Berwaspada lah dengan ajaran ini dan semoga Allah mengampuni keterlanjuran kita.

Rabu, 8 Mei 2024

SERANGAN RAFAH : KEBINATANGAN ISRAEL ZIONIS TERSERLAH

 

Tatkala dunia sejagat mengidamkan sebuah kehidupan yang aman dan harmoni, gerakan bernafsukan syaitan dan iblis ini tidak pernah henti menggugat nilai keamanan dan kesejahteraan penduduk di bumi Palestin. Sejarah kekejaman puak Israel Zionis ini tidak perlu kita hebahkan lagi. Ini kerana satu dunia telah pun diperlihatkan wajah kebinatangan mereka ini menindas dan menzalimi penduduk asal di bumi suci Palestin ini. Apa sahaja yang tidak pernah mereka lakukan. Segala bentuk kekejaman dan penindasan telah menjadi rutin mereka dan sejarah telah memperakukan mereka ini bukan baharu sehari dua melakukan kerja-kerja kebinatangan membunuh malah sejak hampir puluhan tahun lagi.

Terkini situasi tegang peperangan konflik Israel-Palestin terus menjadi perbualan hangat dan topik utama penduduk dunia apabila mereka puak kebinatangan ini melancarkan serangan di sempadan Rafah. Bandar Rafah yang terletak di wilayah paling selatan Semenanjung Gaza dengan memiliki keluasan sekitar 64 km persegi telah menjadi sasaran serangan biadab dan tidak berperikemanusiaan. Rafah telah menjadi satu-satunya benteng terakhir untuk warga Gaza berlindung. Serangan ini bukanlah sesuatu yang diluar jangkaan. Sebelum daripada itu, serangan ini merupakan perancangan dan tekad yang telah dizahirkan melalui kenyataan Perdana Menteri Negara Haram Israel, Benjamin Netanyahu yang mahu jadikan Rafah sebagai sasaran serangan andai kehendak Israel untuk gencatan senjata tidak penuhi.




Walhal umat dunia tahu akan sikap kebinatangan Isreal Zionis ini yang dengan sengaja menjadikan Rafah dan semua warga Palestin yang berada di sana sebagai tebusan dalam memaksa pihak Hamas untuk bersetuju dengan syarat mereka dalam proses gencatan senjata. Sebelum daripada serangan biadab ini, pihak Hamas yang diwakili oleh pemimpin paling kanan, Ismail Haniyeh telah mengesahkan bahawa pihaknya sudah berhubung dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahan al-Thani dan Menteri Perisikan Mesir, Abbas Kamel bagi memaklumkan persetujuan Hamas terhadap cadangan perjanjian gencatan senjata itu. Namun Benjamin Netanyahu pula membidas dengan menyatakan bahawa perjanjian tersebut tidak memenuhi tuntutan Israel.

Kebinatangan Zionis Israel ini kian terserlah lagi apabila terdapat satu laporan media Ibrani yang menjelaskan bahawa kereta kebal tentera Israel sedang beroperasi di Koridor Philidelphi. Keadaan ini secra jelas terang lagi bersuluh Isreal Zionis yang kian terkenal dengan sikap kebinatangan mereka ini telah mencabuli Perjanjian Philidelphi 2005 yang bersetuju kawasan tersebut adalah kawasan bebas tentera atau disebut sebagai "Demilitarized Zone". Nafsu kebinatangan Israel Zionis ini terus membuak apabila mereka dengan beraninya telah bertindak menutup pintu lintasan Kerem Shalom yang telah menyebabkan operasi bantuan kemanusiaan melalui pintu masuk di Rafah terhenti serta-merta. Cukup untuk kita jelaskan tindakan tidak perikemanusiaan ini dengan terang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan norma-norma kemanusiaan.

Hakikatnya, serangan kebinatangan ini telah menzahirkan watak sebenar Israel Zionis yang jelas menunjukkan keengganan negara haram itu untuk bekerjasama bagi tujuan kemanusiaan meskipun pihak Hamas telah menerima cadangan gencatan senjata tersebut. Serangan terkini di Rafah yang telah bermula sejak 6 Mei 2024 yang lalu telah menyaksikan jet Israel menyerang dua kawasan di timur Rafah. Menurut Pegawai Pertahanan dan Bantuan Awam Gaza, Gaza Ahmed Ridwan, kawasan yang menjadi sasaran Israel adalah berhampiran perimeter Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza, kawasan Al-Shuka, kawasan Abu Halawa, kawasan jalan Salaheddin dan kejiranan Salam. Malah, Isreal Zionis sebelum itu telah mengeluarkan arahan kepada penduduk Gaza agar berpindah. Tindakan mengusir ini jelas menampakkan nafsu buas mereka yang berselera untuk membunuh insan yang tidak bersalah.




Ekoran sikap kebinatangan Israel Zionis yang mengusir keluar berpindah tersebut, Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell telah menyatakan kecaman tindakan tersebut yang telah memberi arahan berpindah namun tetap melakukan serangan terhadap mereka sebelum mereka sempat berpindah. Selain itu, kecaman hebat terhadap Israel Zionis ini turut dizahirkan oleh beberapa buah negara dunia. Di Paris, Kementerian Luar Perancis telah mengeluarkan kenyataan mengecam dengan menyatakan bahwa Perancis mengulangi bahawa mereka menentang keras serangan Israel keatas Rafah dimana lebih 1.3 juta orang sedang berlindung dalam keadaan yang sangat membimbangkan. Demikian juga menurut kenyataan yang dibuat oleh Kedutaan China di Malaysia, Presiden China, Xi Jinping turut menzahirkan kecaman terhadap nafsu kebinatangan Israel Zionis ini. Inilah sebahagian suara warga dunia yang masih waras dan berjiwa kemanusiaan. Isreal dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat sepatutnya malu dan berhentilah daripada menjadi binatang bertopengkan manusia.

Malaysia melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Wisma Putra turut melahirkan perasaan mengecam tindakan serangan di Rafah. Melalui kenyataan yang dibuat, Wisma Putra berkata serangan itu berlaku beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada rundingan damai yang dibuat oleh Mesir dan Qatar, jelas menunjukkan keengganan Israel untuk bekerjasama bagi tujuan keamanan. Menambah lagi, Wisma Putra turut berkata serangan berterusan keatas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Isreal (IOF) khususnya di Rafah, Gaza adalah amat zalim terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem-kem yang sangat padat dan kini menjadi benteng perlindungan terakhir daripada pencerobohan Israel. Berdasarkan kenyataan-kenyataan kecaman ini, jelas kepada kita semua warga penduduk dunia akan wajah kebinatangan mereka yang sejak dahulu lagi. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia dibawah pimpinan kerajaan Madani dilihat sangat lantang membawa suara isu Palestin di meja-meja persidangan antarabangsa. Malah, usaha tersebut terus diperhebatkan lagi dengan beberapa penganjuran program yang melibatkan para pemimpin agma-agama dunia dan para ulama Asia. Ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus bergasak pada ruang yang termampu.

Apa yang boleh kita lakukan adalah terhad. Namun dalam fasa terhad ini, usaha menyebarkan mesej keamanan, menyuntik kesedaran penduduk dunia untuk melihat wajah sebenar kebinatangan Israel Zionis harus diteruskan. Perjuangan memboikot barangan Isreal juga harus diperhebatkan dengan syarat mesti dilakukan dengan ilmu dan bukannya dengan sentimen emosi semata-mata. Seruan jihad dikalangan umat Islam harus diperkukuhkan lagi makna dan keluasan pemahamannya. Jalan berjihad itu tidak sekadar soal mengangkat senjata semata-mata tetapi perlu diperluaskan lagi dengan makna dan pemahaman yang betul yang bertepatan dengan kehendak syarak. Kita yakin dan percaya, dengan tindakan kebinatangan Israel Zionis ini akan membuatkan seluruh penduduk dunia lebih bijak mengenali Israel Zionis ini sekaligus bangkit bersama menyatakan kecaman dan kutukan keras kita terhadap mereka sebagai tanda ketidak redhaan kita dengan perbuatan tersebut. Buat warga Islam, teruskan berdoa khususnya doa qunut nazilah agar saudara seagama kita diberi kekuatan dan perlindungan oleh Allah. Semoga Allah menghancurkan puak Israel Zionis ini dan dikenang sebagai binatang berupa manusia.

SISTEM PERHAMBAAN DAN AJARAN ISLAM

 

Kemerdekaan atau lebih sinonim dengan maksud kebebasan merupakan suatu nikmat yang sangat memberi nilai tambah dalam kehidupan sejagat. Kebebasan dalam konteks kemanusiaan akan menzahirkan segala nilai maruah dan peribadi yang perlu dan mesti dihormati. Dalam ungkapan mudah, untuk menjadi seorang manusia yang bermaruah, dirinya terlebih dahulu mesti dibebaskan dari menjadi hamba kepada manusia. Maka sebenarnya kedatangan Islam antaranya bertujuan untuk memberikan kebebasan kepada manusia agar tidak lagi menjadi kuda tunggangan atau budak suruhan semata-mata tanpa diberikan hak sebagai kemanusiaan.

Hakikatnya, sistem perhambaan bukanlah suatu sistem yang diperkenalkan oleh Islam. Sebaliknya sistem perhambaan ini telah menjadi suatu budaya yang telah wujud sejak zaman pra-sejarah lagi. Sistem perhambaan juga merupakan sebahagian daripada kesan sampingan dari peperangan dan pertempuran antara puak dan suku. Setelah itu budaya perhambaan ini telah berkembang meluas dan menjadi fenomena dunia. Catatan sejarah menjelaskan kepada kita bahawa pada zaman penjajahan Barat, sistem perhambaan ini telah dijadikan salah satu daripada pemangkin ekonomi negara-negara penjajah. Ini bermakna, sistem perhambaan telah dieksploitasi dengan digunakan para hamba ini sebagai tenaga buruh dalam kerja-kerja pembinaan selain dijadikan sebagai barang pertukaran. Meskipun usaha pemansuhan sistem hamba yang diperjuangkan oleh Abraham Lincoln dahulu telah berjaya dengan perisytiharan pembebasan (Emancipation Proclamation) pada tahun 1863, namun ianya dibuat bagi mendapat sokongan politik semata-mata dan ia sebagai strategi ketenteraan bagi memenangi perang saudara yang melanda Amerika pada ketika itu.




Jelaslah kepada kita bahawa sistem perhambaan ini bukannya mula diperkenalkan oleh Islam. Bahkan Islam datang dengan diutuskan baginda Rasulullah SAW dan melalui pensyariatan agama ini, bertujuan mengajak umat manusia untuk membebaskan para hambanya. Dalam hal ini kita akan dapati banyak ajaran dalam Islam yang menyuruh manusia membebaskan para hamba sesama manusia dalam pelbagai bentuk hukum. Antaranya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Balad ayat 12-13 yang bermaksud :

“Adakah engkau tahu apa itu halangan tersebut? Ia adalah memerdekakan hamba.”

Berdasarkan ayat ini, menurut Imam Abu Hanifah dalam kitab Tafsir al-Kabir, beliau menyatakan bahawa membebaskan hamba dikira sebagai sebaik-baik sedekah. Selain itu, Imam al-Razi menjelaskan bahawa terdapat tiga maksud daripada ayat tersebut antaranya maksud pertama, membebaskan hamba yang dimiliki tanpa sebarang syarat. Kedua, ayat ini bermaksud membebaskan hamba yang terikat dengan perjanjian tertentu dengan tuannya bagi membebaskan dirinya dengan cara membantunya melunaskan hutang yang ditetapkan oleh tuannya. Maksud ketiga, membebaskan diri sendiri daripada neraka dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan atau menjauhkan diri daripada dosa dan maksiat.

Melihat kepada pemahaman ayat tersebut, jelas kepada kita bahawa Islam datang dengan tujuannya untuk membebaskan para hamba sesama manusia. Selain itu, terdapat banyak hukum dalam Islam yang menuntut kepada pembebasan perhambaan seperti hukum kaffarah sumpah, kaffarah zihar, dan diyat bagi kesalahan membunuh tanpa niat atau dengan niat setelah diberi keampunan oleh keluarga si mati. Sebahagian hukum ini menuntut supaya dibebaskan hamba dan inilah antara komitmen Islam yang datang bagi menghapuskan sistem perhambaan yang telah sekian lama menjadi nilai budaya dalam masyarakat antarabangsa. Dalam pada itu, syariat Islam datang dengan membawa nilai kemanusiaan yang sama sahaja. Tidak ada pembahagian kasta di dalam Islam. Untuk itu, Allah menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang beramal soleh, baik lelaki mahupun perempuan, maka dirinya layak ke syurga.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97 yang bermaksud :

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan"




Ayat ini menjelaskan bahawa di sisi Allah Azza Wa Jalla, sesiapa sahaja baik dirinya lelaki mahupun perempuan, selagimana dirinya beramal soleh dengan mentaati segala perintah Nya, tanpa mengira apa jua statusnya di dunia, mereka ini layak memasuki syurga Allah SWT. Ini juga bermakna dalam Islam tidak ada kasta tertentu yang membezakan manusia. Semuanya sama sahaja. Hanya yang membezakan antara manusia itu ialah nilai ketaqwaan. Oleh sebab itu, Islam dengan syariatnya ini bertujuan untuk mengangkat nilai kemanusiaan membebaskan manusia dari dieksploitasi dengan manusia yang lain. Selain itu, Islam juga datang dengan membela para hamba daripada ditindas dan dizalimi. Hal ini kita boleh dalam sebuah hadith riwayat Muslim, tatkala ketika itu Abu Mas'ud memukul hambanya, tanpa beliau sedar bahawa Nabi SAW ternampak perbuatan beliau. Ketika beliau sedang memukul, kedengaran suara Rasulullah SAW menjerit dibelakangnya dengan bersabda :

"Ketahuilah wahai Abu Mas’ud, Allah lebih berkuasa bertindak ke atas kamu berbanding tindakan kamu terhadapnya. Dengan itu, beliau berhenti dari memukul hambanya, dan terus memerdekakan hamba terbabit. Lalu beliau maklumkan kepada Nabi. Mengetahui hamba itu dimerdekakan, Nabi terus berkata kepada Abu Mas’ud; “Andai kamu tidak lakukannya (merdekakan hamba tersebut), sudah pasti kamu akan dilahap oleh api neraka".

Sesungguhnya kedatangan Islam adalah untuk menegakkan nilai keadilan sosial termasuklah kepada perhambaan. Jika dilihat melalui naratif Barat, seolah-olah Islam telah melakukan kezaliman terhadap nilai kemanusiaan apabila membenarkan perhambaan ini berlaku. Malah sebahagian para orientalis Barat menukilkan ayat al-Quran yang mengharuskan hamba perempuan dinikahi oleh tuannya. Cubaan menukilkan ayat tersebut adalah bagi menggambarkan pelacuran yang dihalalkan oleh Islam. Ini adalah sangkaan bermotif jahat bagi memburukkan Islam. Sedangkan jika kita lihat ayat tersebut dalam surah al-Nur ayat 25 yang bermaksud :

"Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki..."

Dalam konteks ayat ini, Allah SWT membenarkan hamba perempuan dinikahi oleh tuannya bertepatan dengan keadaan semasa itu yang memperlihatkan para hamba perempuan diperlakukan seperti binatang tunggangan. Maka kebenaran ini tentu sekali untuk memperbaiki konsep perhambaan dengan mengangkat martabat perempuan dikalangan hamba diberikan hak seperti isteri yang sah agar dirinya dipelihara dan tidak diperlakukan lagi seperti binatang. Bahkan jika kita memahami ayat ini, kita akan mendapati betapa Islam cuba mengangkat martabat hamba yang layak dinikahi dalam membela para lelaki yang kurang berkemampuan dari sudut kebendaan. Ini sekaligus menutup pintu untuk ruang melakukan keganasan seksual atau keterpaksaan dalam melakukan hubungan seks. Ini kerana Islam melarang umatnya untuk bersetubuh dengan pasangan dengan melakukan kekasaran atau keganasan.




Perhatikanlah juga pada ayat tersebut, Allah SWT menggunakan perkataan “budak perempuan yang beriman", suatu kalimah yang sangat beradab, mesra dan berhikmah. Allah telah menyifatkan “mukminat” kepada hamba perempuan. Ini sudah cukup memuliakan mereka sebagai penghormatan yang perlu diberi sesuai dengan hak-hak seorang yang beriman. Hal ini juga supaya mereka dikalangan hamba yang dinikahi itu dijaga dengan begitu baik, bukannya seperti hamba sahaya, bahkan dimerdeka sebagai mahar mereka menjadi isterinya. Kenyataan ini membuktikan bahawa keharusan menikahi hamba perempuan bukanlah suatu bentuk pelacuran yang cuba dihalalkan, Malah ianya suatu syariat yang mengangkat semula martabat hamba dikalangan perempuan menjadi lebih mulia dan bermaruah.

Sesungguhnya Islam datang dengan menutup semua pintu perhambaan seperti perhambaan buruh, perhambaan seks kecuali satu pintu sahaja iaitu melalui peperangan. Apabila berlaku peperangan, maka mereka yang ditawan oleh tentera Islam boleh dijadikan sebagai hamba. Pun begitu, perhambaan hanya boleh ke atas musuh yang dikalahkan dalam perang dan keadaan itu hanya boleh berlaku jika mereka berlainan agama dan mereka yang sudah pun berstatus hamba. Adapun seorang muslim yang merdeka tidak boleh sama sekali dihambakan oleh muslim yang lain kecuali jika dia memang telah berstatus hamba. Secara jelas, tiada satu pun tuntutan daripada al-Quran mahupun hadith yang menyebut tentang kewajipan menjadikan tawanan sebagai hamba. Malah Islam menggalakkan agar hamba-hamba dibebaskan apabila mereka menunjukkan tanda-tanda insaf dan ingin kembali kepada kebaikan dan Islam. Berkata Dr. Muhammad Ammarah, seorang pemikir Islam Mesir di dalam bukunya al-Islam wa Huquq al-Insan, bahawa orang yang berakal dan adil dapat memahami bahawa Islam secara jelas memberhentikan amalan perhambaan dan menghapuskannya sama sekali. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Jumaat, 3 Mei 2024

PERBUATAN NUSYUZ : ADA APA DENGANNYA ?

 

Keharmonian hidup dalam berumahtangga memerlukan komitmen terpenting bagi kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Berusaha menyemai dan memupuk suasana kasih sayang dalam rumahtangga bukan semata-mata terletak dibahu para suami sebagai seorang nakhoda ketua keluarga, namun ia juga menuntut komitmen para isteri bagi memaknai sebuah perkongsian hidup yang dibina diatas lafaz ijab dan kabul pada suatu ketika dahulu. Maka tentunya sesebuah kehidupan berumahtangga itu akan gagal mencapai tujuan perkahwinan andai salah satu pihak atau keduanya tidak memberikan komitmen yang jitu.

Antara faktor yang boleh meruntuhkan maksud dan tujuan berumahtangga adalah apabila berlakunya nusyuz antara suami dan isteri. Perkataan "Nusyuz" berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, ungkapan nusyuz merujuk kepada maksud tempat tinggi. Pada sudut istilah pula, nusyuz membawa makna berkelakuan meninggi diri terhadap pasangan baik suami atau isteri dengan mengingkari tanggungjawab atau tidak memberi ketaatan kepada suami dalam hal yang dibenarkan oleh syarak. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, nusyuz bermaksud derhaka atau tidak taat. Secara mudah untuk kita fahami, perkataan nusyuz adalah bermaksud perbuatan derhaka atau tidak taat dan patuh terhadap pasangan, baik perbuatan tersebut dilakukan oleh suami ataupun isteri.




Melalui pemahaman maksud nusyuz ini, perbuatan tersebut boleh berlaku sama ada dilakukan oleh seorang isteri dengan cara menderhakai suami dan tidak taat pada perintah suami atau sebaliknya boleh juga berlaku kepada seorang suami yang nusyuz terhadap isterinya dengan maksud tidak melakukan tanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya. Sebahagian masyarakat barangkali hanya memahami nusyuz ini melibatkan isteri derhaka terhadap suaminya. Tetapi seorang suami juga boleh didakwa sebagai nusyuz sekiranya didapati beliau mengabaikan tanggungjawab terutamanya dalam soal memberi nafkah zahir dan batin terhadap isterinya. Dalam al-Quran, Allah SWT telah menyebutkan tentang perbuatan nusyuz tersebut.

Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

Berdasarkan pemahaman daripada ayat ini, terdapat beberapa perkara penting yang harus kita ketahui. Antaranya, jika seorang suami mendapati isterinya tidak mentaati arahannya dalam hal yang dibenarkan oleh syarak dan di dapati isterinya telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri seperti menolak untuk bersama, keluar rumah tanpa izin suami dan melakukan maksiat, maka pihak suami boleh melakukan tiga perkara terhadap isterinya. 3 perkara tersebut ialah pertama, memberikan nasihat dan teguran. Kedua, pihak suami hendaklah memisahkan tempat tidur dalam maksud lain, tidak tidur bersama. Ketiga, pihak suami boleh memukul isterinya dengan tidak memberi kesan pada kulit atau sebahagian para ulama lain pula berpandangan pihak suami dibenarkan untuk diceraikan isteri tersebut dengan cara baik.

Tindakan yang membabitkan 3 perkara tersebut hendaklah dilakukan oleh suami jika sekiranya didapati isterinya telah melakukan perbuatan nusyuz yakni tidak taat dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sebahagian ulama menyatakan bahawa langkah-langkah yang digariskan oleh al-Quran melalui surah al-Nisa ayat 34 ini perlu dilakukan secara berurutan sepertimana firman Allah. Dalam kitab Tafsir al-Munir, disebutkan bahwa Yang dimaksudkan dengan huruf ‘wau’ digunakan untuk menghubungkan keadaan yang berperingkat dari yang paling ringan sehingga yang paling berat mengikut tertib. Maka, ini menunjukkan bahawa langkah-langkah tersebut, iaitu nasihat, berpisah tempat tidur, dan pukulan, harus dilakukan secara bertahap mengikut keadaan perilaku isteri tersebut sama ada perbuatan nusyuznya hanya memerlukan nasihat untuk menyedarkannya atau sudah keterlaluan yang perlu kepada pukulan yang tidak mencederakan. Malah tidak wajar sekiranya kesalahan yang kecil dikenakan hukuman yang berat.




Pertama sekali, berpesan, beri teguran dan nasihat terlebih dahulu kepada isteri agar dirinya berhenti daripada melakukan perbuatan nusyuz. Jika keadaan isteri kembali taat, maka tidak perlu lagi untuk langkah kedua. Pun begitu, jika sebaliknya hal tersebut tidak dapat memberikan kesan kepada si isteri, maka langkah seterusnya adalah dengan berpisah tempat tidur dan tidak melakukan persetubuhan dengannya. Sekiranya hal tersebut juga gagal untuk menyuruh isteri kembali taat, maka langkah yang terakhir sekali adalah dengan memukul isteri dengan syarat tidak meninggalkan kesan pada kulit. Namun begitu, terdapat khilaf perbezaan pendapat dikalangan para ulama. Ada yang berpandangan langkah terakhir, suami dibenarkan untuk diceraikan isterinya tanpa memberikan sebarang mudharat. Demikianlah turutan yang harus diambil oleh suami dalam soal isteri yang melakukan nusyuz.

Selain itu, boleh juga berlaku keadaan dimana seorang suami telah nusyuz kepada isterinya. Perbuatan nusyuz seorang suami terhadap isterinya adalah merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 128 yang bermaksud :

“Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya yang kedekut. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (hindari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Ayat ini menunjukkan bahawa ada keadaan yang boleh menyebabkan suami juga boleh menjadi nusyuz. Perbuatan nusyuz seorang suami dikira sekiranya beliau telah mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri baik berbentuk zahir mahupun batin. Dalam perbincangan dikalangan para ulama, majoriti berpandangan bahawa mana-mana suami yang telah melakukan perbuatan nusyuz iaitu dengan makna tidak menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah, maka dirinya boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah hukuman takzir. Ini menunjukkan bahawa betapa beratnya dosa dan hukuman bagi para suami yang cuai dan melakukan pengabaian memberi nafkah terhadap isterinya.




Bagi memahami maksud suami nusyuz ini, dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, mereka menyebutkan bahawa nusyuz eorang suami itu adalah seperti dia tidak menyediakan tempat tinggal kepada isteri, suami itu memukul dengan kuat sehingga melanggar batasan syariat, atau suami itu menyakiti si isteri. Bagi kalangan ulama mazhab Maliki pula, dinyatakan bahawa bukan sekadar memukul, malah suami yang memaki hamun isteri dengan cara yang tidak sepatutnya pun boleh dianggap sebagai suami yang nusyuz. Jika ia berjaya dibuktikan di mahkamah, suami yang nusyuz tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang. Selain itu, dikalangan para ulama mazhab Syafie pula berpandangan suami yang tidak memberikan nafkah kepada isterinya dalam kadar yang sebenar pun boleh dianggap sebagai suami yang nusyuz.

Berdasarkan penjelasan ini, dapatlah kita fahami bahwa dakwaan nusyuz bukan hanya boleh dikenakan terhadap isteri sahaja malah suami juga boleh disabitkan. Sesungguhnya perbuatan nusyuz ini diletakkan sebagai dosa-dosa besar oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya, al-Kaba'ir. Oleh itu, baik suami mahupun isteri perlulah berwaspada dengan sikap tersebut. Lebih-lebih lagi kepada kaum isteri. Ini kerana apabila seorang isteri diceraikan kerana perbuatan derhakanya terhadap suami, maka gugurlah hak penerimaan nafkah semasa dalam tempoh penceraian. Dalam maksud lain, wanita yang diceraikan kerana nusyuz, tidak layak untuknya menerima nafkah selama dalam tempoh bercerai tersebut. Untuk itu, peliharalah kerukunan rumahtangga berdasarkan yang dikehendaki oleh syarak. Berusaha memperbaiki kelemahan dan mudah-mudahan hal itu dapat memberikan nilai tambah dalam hidup berumahtangga. Semoga Allah merahmati kita semua.