Khamis, 19 Ogos 2021

MUHARRAM : ANTARA AHLI SUNNAH DAN SYIAH

 

Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam perkiraan kalendar tahun hijrah. Seperti yang kita maklum, pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar hijrah bukanlah dipilih kerana pada Muharram itu berlakunya peristiwa hijrah. Ada pun peristiwa hijrah, tidak sama sekali berlaku pada bulan Muharram. Ini berdasarkan kitab sirah yang masyhur, Ar Raheeq al Makhtum, karangan oleh Safiyyurrahman al Mubarakfury, menyatakan bahawa peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah telah berlaku pada bulan Rejab tahun kelima kenabian. Manakala hijrah kedua umat Islam ke Madinah telah berlaku pada awal bulan Rabiulawal.

Bulan Muharram datang dengan kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Maka terdapat perbezaan amalan dan fahaman yang berlaku antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Persoalannya ? Siapakah Ahli Sunnah dan siapa pula yang dimaksudkan dengan Syiah ?. Dalam sebuah hadis riwayat al Tirmizi, daripada Abdullah bin 'Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka ? Nabi SAW menjawab : Apa yang aku berada diatasnya dan juga sahabat-sahabatku"



Secara umumnya, mereka yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ini adalah mereka yang berada di atas jalan sunnah baginda Nabi SAW dan berpegang pada jalan sahabat Nabi. Oleh itu, Ahli Sunnah bukan merujuk kepada sesuatu mazhab tertentu bahkan semua yang berada di atas jalan sunnah Nabi dan para sahabat termasuklah dalam kumpulan Ahli Sunnah. Biarpun berbeza mazhab dan fahaman, selagi mana ianya masih dalam lingkungan jalan sunnah Nabi dan para sahabat, maka ia diiktiraf sebagai golongan Ahli Sunnah.

Berkenaan Syiah, pelbagai tafsiran dan definisi yang disebut oleh para ulama berdasarkan zaman tertentu. Menurut al Imam al Shahrastani dalam kitabnya al Milal wa al Nihal, Syiah adalah satu golongan yang cenderung kepada Ali bin Abi Talib. Namun begitu, tafsiran ini adalah bersifat umum. Pelbagai lagi tafsiran para ulama berkenaan Syiah berubah dari semasa ke semasa mengikut pada perubahan zaman Syiah itu sendiri. Biarpun begitu, Syiah mempunyai satu sikap melampau iaitu mengagungkan Ali bin Abi Talib dan mengkafirkan sebahagian sahabat Nabi SAW.

Bulan Muharram adalah bulan haram. Sepertimana yang terkandung dalam al Quran, menerusi surah al Tawbah ayat 36, Allah SWat berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat dalam kitabullah (loh mahfuz) pada hari diciptakan langit dan bumi. Antaranya (bulan-bulan tersebut) termasuklah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian dalam bulan-bulan tersebut".

Empat bulan yang haram tersebut adalah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Perkara ini telah dijelaskan lagi oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat al Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Dalam setahun itu ada 12 bulan dan antaranya termasuklah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram serta bulan Rejab, iaitu antara Jamadilakhir dengan Syaaban".




Disebabkan Muharram merupakan bulan haram, Allah SWT menegah dan melarang kita daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh menzalimi diri kita sendiri. Selain itu, pada bulan-bulan haram itu, kita dilarang untuk berperang. Sebaliknya, pada bulan Muharram, kita dituntut untuk memperbanyakan amal soleh seperti berpuasa. Hal ini seperti yang disebut oleh baginda Nabi SAW, sebuah hadis riwayat Abu Dawud, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Puasa yang paling afdal setelah bulan Ramadan ialah puasa pada bulan Allah al Muharram, dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu ialah solat malam (qiamulail)".

Berbeza dengan Syiah, pada 10 Muharram, kita dapat lihat di beberapa negara Asia Barat, mereka menyambut 10 Muharram (Hari Asyura') dengan memukul-mukul badan mereka dengan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecederaan yang parah. Malah kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak berdosa dan tidak tahu apa-apa turut menjadi mangsa kerasukan ajaran Syiah yang menyimpang jauh landasan agama Islam yang sebenar.

Perayaan hari Asyura' di sisi Syiah merupakan perayaan memperingati kesyahidan Saidina Hussain yang terbunuh di Karbala. Pada hari Asyura', golongan Syiah akan berkabung dan mengungkapkan kesedihan serta menzahirkan penyesalan oleh golongan at Tawwabun. Golongan at Tawwabun ini adalah mereka yang telah bertindak menulis sepucuk surat kononnya menjemput Saidina Hussain untuk dibaiah sebagai Imam, walhal mereka sendiri telah membunuhnya pada 10 Muharram. Inilah kemunafikan nyata oleh Syiah.

Menurut tulisan Qadhi Nurullah Syustri, seorang ulama Syiah dalam kitabnya Majalis al Mu'minin (kitab Syiah), beliau menyatakan bahawa :

"Kita telah memanggil Saidina Hussain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuhan sesama kita".




Pada hari tersebut juga, golongan Syiah akan meratap, bersedih, memukul diri sendiri bagi menzahirkan rasa sedih dan penyesalan mereka yang telah membunuh Saidina Hussain. Sedangkan, agama Islam sangat melarang kita berbuat sedemikian rupa walau seteruk mana pun kekecewaan kita. Larangan ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat al Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan Jahiliyyah".

Juga dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Meratap adalah termasuk dari amalan jahiliyyah, orang yang meratap bilamana dia meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat, Allah akan memakaikan kepadanya pakaian dari minyak tar (yang panas) dan baju dari nyalaan api neraka".

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, kita dapat fahami bahawa segala amalan dan ritual yang dilakukan oleh Syiah adalah jauh terpesong dari ajaran agama Islam. Syiah bukanlah mazhab bahkan ianya sudah menjadi agama yang baharu. Terdapat banyak kepincangan dan penyelewengan oleh Syiah yang sudah pun terang lagi menyuluh, telah bercanggah dengan al Quran dan sunnah Nabi SAW. Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan taufik Nya agar kita sentiasa berada di landasan agama Islam yang sebenar.

Selasa, 17 Ogos 2021

MENGEJAR KELEBIHAN HARI ASYURA

 

Kalender Hijrah merupakan perkiraan hari mengikut bulan Islam yang diasaskan pada zaman Khalifah Umar al Khattab r.a. Tahun baharu Hijrah merupakan detik bersejarah yang sangat bermakna bagi umat Islam kerana bermulanya perkiraan tahun yang sistematik. Sebelum ini, orang Arab hanya mempunyai kiraan bilangan bulan sebanyak 12 bulan tanpa kiraan tahun.

Selepas perbincangan demi perbincangan, Umar al-Khattab sepakat memilih tahun penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Hijrah. Bulan Muharam pula dipilih sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Pemilihan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam  kalendar Hijrah bertepatan dengan kelebihan dan keistimewaan bulan tersebut.



Antara kelebihan dan keistimewaan bulan Muharam menurut nas al-Quran dan hadis termasuklah:

MUHARAM: BULAN HARAM DAN BULAN KEBAIKAN

Bulan Muharam merupakan satu daripada empat bulan yang diharamkan seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Pada bulan ini, umat Islam diseru agar memperbanyak amalan soleh.

Firman Allah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat dalam kitabullah (lohmahfuz) pada hari diciptakan langit dan bumi. Antaranya (bulan-bulan tersebut) termasuklah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian dalam bulan-bulan tersebut”. (Surah al Tawbah 9:36)

Rasulullah SAW menjelaskan berkenaan dengan empat bulan haram ini dalam sabda baginda yang bermaksud,

 “Dalam setahun itu ada 12 bulan dan antaranya termasuklah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta bulan Rejab, iaitu antara Jamadilakhir dengan Syaaban”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Pada bulan haram ini, Allah SWT mengharamkan umat Islam berperang. Demikian juga pada bulan Muharam yang terdapat kelebihan untuk kita memperbanyak amalan soleh seperti berpuasa.

Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Puasa yang paling afdal setelah bulan Ramadan ialah puasa pada bulan Allah al-Muharam, dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu ialah solat malam (qiamulail).” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

 HARI  ASYURA: HARI YANG DIKEJAR OLEH RASULULLAH SAW

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kegigihan Rasulullah SAW mengejar kelebihan hari Asyura berbanding dengan hari yang lain. Ibn Abbas r.a. ketika ditanya tentang puasa Asyura, beliau berkata,

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding dengan hari yang lain melainkan hari ini, iaitu hari Asyura”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Mengulas hadis ini, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari berkata bahawa “Ini menunjukkan bahawa puasa Asyura lebih afdal berbanding dengan hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan. Zahir daripada hadis riwayat Muslim pula menyebut bahawa puasa pada hari Arafah lebih afdal berbanding dengan puasa pada hari Asyura. Hikmahnya ialah puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Nabi Musa a.s., manakala puasa Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh hal yang demikian, puasa Arafah lebih afdal”.



PUASA HARI ASYURA: DIAMPUNKAN DOSA SETAHUN YANG LALU

Dalam sebuah yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa Asyura, maka Baginda menjawab,

“Aku berharap kepada Allah agar puasa ini dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.” (Hadis riwayat Muslim).

Menurut Abdul Wahhab bin al-Khaffaf dalam kitab al-Siyam, “Qatadah berkata bahawa puasa Asyura merupakan kafarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya”.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin berpuasa sunat Asyura, disunatkan juga berpuasa pada hari sebelum hari Asyura, iaitu hari Tasu‘a (hari kesembilan Muharam) ataupun sehari selepasnya, iaitu hari ke-11 Muharam. Hal ini bertujuan untuk membezakan dengan amalan orang Yahudi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan bezakanlah dengan golongan Yahudi, iaitu berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Dalam hadis yang lain, sepertimana dalam sebuah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan (Muharam)”. (Hadis riwayat Muslim).

 HARI NABI MUSA A.S. TERSELAMAT DARIPADA FIRAUN DAN PENGIKUTNYA

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. mengatakan bahawa,

“Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi  berpuasa pada hari Asyura. Mereka berkata, ‘Hari ini hari yang mulia kerana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu, Nabi Musa a.s. berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran’. Rasulullah SAW bersabda, ‘Aku lebih utama daripada Musa berbanding dengan mereka’. Maka itu, Baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut”. (Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim).

Demikian beberapa kelebihan dan keistimewaan bulan Muharam dan hari Asyura (10 Muharam) yang disebut dalam nas al-Quran dan hadis. Adapun beberapa amalan khusus yang lain, seperti doa akhir tahun dan awal tahun, tiada dalil atau nas yang mengkhususkan amalan tersebut.

Oleh hal yang demikian, tanpa kita mengkhususkan apa-apa, berdoalah pada bila-bila masa dengan penuh yakin dan merendah diri memohon hanya kepada-Nya. Semoga Allah SWT menjadikan tahun baharu ini sebagai satu peluang dan ruang bagi kita untuk sentiasa istiqamah mengerjakan kebajikan, seterusnya mengharapkan keredaan-Nya.

Jumaat, 13 Ogos 2021

RASUAH TETAP RASUAH, BIARPUN DIBERI SECARA BERHEMAH

 

Menurut definisi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun. Al Mausu'ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyyah, menyatakan bahawa rasuah membawa makna sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kebenaran.

Integriti merupakan satu elemen terpenting dalam memyerahkan sesuatu kuasa kepada ahlinya. Biarpun ilmu menjadi ukuran untuk kelayakan, tetapi tidak semua mereka yang berilmu itu mempunyai integriti serta telus dalam kepimpinannya. Oleh kerana nilai integriti ini sangat besar dan memberi impak dalam urus tadbir negara, maka sesiapa pun yang mencuba menyogok dengan keistimewaan tertentu, ia tetap adalah sogokan rasuah.




Islam sangat melarang umatnya untuk memberi apatah lagi menerima rasuah. Implikasi memberi atau mengambil rasuah, bukan sahaja telah merendahkan maruah dan martabatnya, bahkan dikeji dan dilaknat oleh Rasulullah SAW. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, daripada Thauban RA, beliau menyebut yang bermaksud :

"Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya"

Ternyata, pemberi, penerima dan perantara kedua-duanya dilaknat oleh Rasulullah SAW. Perbuatan baginda Nabi SAW melaknat mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah ini telah cukup bagi menunjukkan kepada kita bahawa betapa hina dan kotornya perbuatan rasuah ini. Demikian juga Allah SWT begitu tegas dalam hal ini. Perkara ini sepertimana dalam al Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 188 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)".

Syeikh al-Sobuni dalam kitab Sofwah al Tafasir, beliau menyatakan bahawa :

"Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim".

Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya al Halal wa al Haram fi al Islam, beliau pula menyatakan :

"Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pengawal, supaya penguasa atau pengawal tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkan, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya, atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya".




Berdasarkan firman Allah dan sabda baginda Nabi, diperhalusikan pula dengan perincian oleh para sarjana dan alim ulama, dapat kita simpulkan bahawa rasuah adalah suatu perbuatan yang terkutuk, buruk, jijik lagi kotor. Menggadaikan maruah demi untuk kepentingan diri. Perkara ini semestinya menjadi musuh pada diri. Bukannya menjadikan ia sebagai peluru bagi menutup kebenaran.

Rasuah pada hari ini dilihat sudah menjadi normalisasi dikalangan kita. Ada yang perasan dan ada juga yang tidak perasan. Lebih membimbangkan, apabila rasuah diberikan dengan kaedah yang berhemah, dibaluti dengan frasa kata yang gah, berdiri megah tanpa rasa bersalah. Pemberian tersebut tidak menzahirkan makna sebenar rasuah namun pemberian itu sudah tentu mempunyai maksud dan tujuan yang mendalam. Bukan sekadar memberi, tetapi mengharapkan balasan tertentu. Dalam tidak sedar, kita telah pun membuka ruang untuk dimurkai oleh Allah dan Rasul Nya.

Negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak 64 tahun lamanya, namun najis rasuah masih membelenggu diri kita. Biarpun pelbagai usaha dan langkah diambil dan dibuat bagi membanteras jenayah rasuah, namun selagi diri sendiri tidak dapat mendidik hati agar bertaqwa, maka selagi itulah manusia boleh terjerumus ke lembah kehinaan dan hilang pedoman hidup. Kata kuncinya adalah taqwa. Kerana ketaqwaan pada diri seseorang itu mampu menjadi benteng kepada nafsu serakah durjana. Kepada sesiapa pun pelaku rasuah, jika tidak di dunia, di hadapan Allah kelak pasti akan dihitungnya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 31 Julai 2021

FITNAH : MAKNA & ERTI SEBENAR

 

Perkataan "fitnah" adalah berasal daripada bahasa arab. Sebahagian besar daripada kita memahami makna dan maksud perkataan fitnah dengan makna tuduhan palsu atau tuduhan tidak benar. Pemahaman ini adalah kurang tepat dan tidak bertepatan dengan apa yang dimaksudkan di dalam al Quran dan hadis Nabi SAW. Kerana perkataan fitnah telah banyak disebutkan di dalam al Quran dan hadis dengan makna dan maksud yang berbeza berdasarkan konteks sesuatu ayat tersebut.

Menurut Ibnu Manzur, Al Azhari dan lain-lainya, inti makna fitnah di dalam bahasa arab terkumpul pada makna الإبتلاء (cubaan), الإمتحان(ujian) dan الإختبار (ujian). Ibnu Faris dalam kitab Maqayis al Lughah pula menyatakan bahawa huruf ف ت ن  adalah huruf dasar yang sahih menunjukkan kepada cubaan dan ujian. Manakala Ibnu Atsiir dalam kitab an-Nihayah menyatakan secara bahasa maknanya ujian dan (kata fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai, kemudian setelah itu banyak digunakan untuk makna-makna : dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.






Bahasa arab merupakan bahasa yang kaya dengan makna. Satu-satu perkataan tersebut mampu membawa banyak makna dengan konteks yang berbeza-beza. Berdasarkan pentakrifan tersebut, dapat kita memahami makna sebenar perkataan "fitnah" bukanlah seperti apa yang kita fahami sebelum ini. Ianya membawa kepada banyak makna yang bergantung kepada konteks dan teks penurunan sesuatu ayat tersebut. Maka, dalam al Quran dan hadis, kita akan mendapati banyak perkataan "fitnah" disebut tetapi dengan makna yang berbeza-beza.

1) Fitnah Bermaksud Perselisihan Faham

Dalam firman Nya yang lain, perkataan fitnah membawa kepada maksud perselisihan faham. Perkara ini sepertimana dalam surah at Taubah ayat 47, firman Allah SWT :

لَوْخَرَجُوافِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُم  

الْفِتْنَةَ

Maksudnya :

"Jika (mereka berangkat bersamamu), nescaya mereka tidak akan menambah (kekuatan) mu, malah hanya akan membuat gangguan, dan mereka tentu bergegas maju ke hadapan di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan perselisihan diantara kalian"

Berdasarkan ayat ini, perkataan (يَبْغُونَكُم  الْفِتْنَةَ) telah membawa makna mereka menjerumuskanmu ke dalam perselisihan diantara kalian.

Dalam sebuah hadis yang sahih, riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Akan berlaku perselisihan dan peperangan orang yang melihatnya lebih baik dari orang yang menyebabkannya ia berlaku."

2) Fitnah Bermaksud Kesyirikkan

Perkataan fitnah juga membawa makna syirik. Hal ini sepertimana firman Nya dalam surah al Baqarah ayat 193,

وَقٰتِلُوْهُمْ حَتّٰى لَا تَكُوْنَ فِتْنَةٌ

Maksudnya : "Dan perangilah mereka itu sehingga tiada lagi kesyirikkan"

Dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan perkataan (فتنة) yang merujuk kepada makna kesyirikkan. Demikian juga dalam beberapa ayat yang lain, perkataan fitnah membawa maksud kesyirikkan kepada Allah SWT.

3) Fitnah Bermaksud Ujian Dan Cubaan

Dalam surah Taha ayat 40, firman Allah SWT :

وَفَتَنّٰكَ فُتُوْنًا  

Maksudnya : "Dan Kami uji kamu (Nabi Musa) dengan pelbagai ujian yang besar"

Perkataan fitnah yang terkandung dalam ayat ini membawa makna ujian dan cubaan.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW, riwayat Muslim, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Maka hendaklah kamu berwaspada terhadap dunia dan waspada terhadap wanita, sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa Bani Israel adalah wanita"



Demikian sebahagian beberapa maksud dan makna fitnah yang terkandung dalam al Quran dan hadis Nabi SAW. Banyak lagi ayat-ayat al Quran dan hadis Nabi yang membawa makna perkataan fitnah yang berbeza. Ianya terletak kepada teks dan konteks sesuatu ayat tersebut. Maka, sebenarnya apa yang difahami oleh sebahagian besar masyarakat kita berkenaan dosa memfitnah lebih besar dari membunuh adalah suatu pemahaman yang salah dan tidak menepati kehendak ayat sebenar. Hal ini merujuk kepada ayat 191 surah al Baqarah :

وَالْفِتْنَةُ اَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya : "Kesyirikkan itu dahsyat dosanya daripada membunuh".

Sebahagian masyarakat kita memahami perkataan fitnah itu sebagai tuduhan yang tidak benar. Sedangkan tidak ada fitnah yang membawa maksud tuduhan di dalam al Quran dan hadis Nabi SAW. Dalam konteks penurunan ayat ini, para ulama telah memberikan makna fitnah itu adalah kesyirikkan. Hal kerana sebab penurunan kepada ayat ini adalah merujuk kepada perbuatan kaum Musyrikin yang telah memaksa orang mukmin untuk kembali kufur dan mengingkari perintah Allah SWT.

Dalam kitab Jami'ul Bayan fi Ta'wil al Quran, Imam at-Thabari menyatakan makna fitnah dalam ayat والفتنة أشد من القتل ialah syirik, maka ayat ini bermaksud penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang Mukmin sehingga dia kembali menjadi musyrik, adalah lebih dahsyat dan lebih memudaratkan berbanding dia dibunuh dalam keadaan dia tetap berpegang teguh pada agamanya (Islam). Beliau turut menukilkan pandangan Mujahid yang mempunyai maksud yang sama dalam hal ini.

Menurut Imam al Qurutubi, ayat ini turun berkenaan salah seorang sahabat telah membunuh ‘Amru bin al-Hadhramiy pada akhir bulan Rejab (salah satu bulan haram) dalam satu ekspedisi bersama beberapa orang sahabat yang lain, dalam usaha menangani ancaman musyrikin Quraish di Mekah. Maka, fitnah dalam ayat ini merujuk kepada usaha orang kafir untuk memaksa kaum Muslimin supaya kembali kepada kekufuran, dan ia adalah lebih besar kemudaratannya berbanding usaha balas kaum Muslimin untuk kembali memerangi mereka meskipun pada bulan-bulan haram.

Demikian huraian para ulama dalam usaha memahami makna sebenar fitnah sepertimana yang terkandung dalam surah tersebut. Dapatlah kita rangkumkan bahawa, perkataan fitnah membawa pelbagai makna dan maksud. Pelbagai makna dan maksud itu pula terletak pada teks dan konteks sesuatu tersebut. Maka, semaklah terlebih dahulu sebelum kita menyebarkan perkara yang tidak pasti. Disinilah peri pentingnya kita mencari ilmu agar kita tidak terpedaya dengan kejahilan semata-mata. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 27 Julai 2021

AGAMA TERTEGAK DIATAS HAK BAGI YANG BERHAK

 

Hidup beragama tidak semestinya kita hanya sibuk beribadah sehingga mengabaikan tanggungjawab kita yang dituntut oleh agama. Hidup beragama juga bukanlah bermaksud keluar berdakwah semata-mata. Walhal, urusan anak isteri dan jiran tetangga juga perlu kita santuni dan ambil peduli. Kesibukkan kita berdakwah bukanlah alasan untuk kita berasa cukup ilmu, bahkan sebaliknya semakin sibuk berdakwah, maka bertambah sibuklah juga kita menuntut ilmu dan bermuhasabah diri.

Oleh kerana demikian, agama ini tertegak bukanlah kerana kita beramal semata-mata tetapi ianya tertegak dengan memberikan hak kepada mereka yang berhak. Dalam erti kata yang mudah, beramal jangan lah sehingga diri terabai. Tuhan tidak pernah menyuruh kita untuk beribadah 24 jam, apatah lagi Tuhan tidak pernah meminta kita berdakwah seharian. Namun bukanlah salah untuk beribadah dan berdakwah 24 jam. Tetapi dalam tempoh tersebut, yang dikurniakan oleh Allah, ada hak yang perlu kita tunaikan.




Dalam sebuah kisah sahabat Nabi yang masyhur, antara Salman al Farisi dengan Abu Darda'. Keakraban mereka berdua tercipta setelah tindakan baginda Nabi SAW ketika sampai di Madinah, baginda telah mempersaudarakan sesama umat Islam yang berhijrah ke Madinah (Muhajirin) dengan penduduk Madinah (Ansar). Maka bermula disaat dan ketika itu, mereka bersaudara atas ukhwah islamiah.

Suatu ketika, Salman telah pergi ke rumah Abu Darda' untuk menziarahinya. Ziarah sahabat adalah menjadi kelaziman dan sunnah Rasulullah SAW. Kebetulan pada waktu itu, beliau berjumpa dengan isteri Abu Darda' yang hanya memakai pakaian yang lusuh. Melihat akan keadaan tersebut, maka Salman bertanya tentang keadaan itu, lalu isteri Abu Darda' menjawab : "saudaramu, Abu Darda' sudah tidak lagi berhajat kepada dunia".

Salman akhirnya bertemu dengan Abu Darda' lalu beliau dipelawa masuk ke dalam rumahnya. Sebagai tanda memuliakan tetamu yang datang, Abu Darda' menghidangkan makanan dan menjemput Salman untuk menjamah makanan. Dalam masa yang sama, Abu Darda' enggan makan bersama kerana beliau sedang berpuasa. Melihat situasi tersebut, lantas Salman pun berkata :"Aku tidak akan makan sehingga kamu makan". Lalu, Abu Darda' pun mengalah dan telah berbuka puasa dengan menjamah hidangan bersama sahabatnya, Salman.

Pada hari yang sama, Salman telah mengambil keputusan untuk bermalam di rumah Abu Darda' dan hasrat tersebut tidaklah ditolak bahkan dipelawa oleh Abu Darda''. Pada ketika malam mencapai waktu puncak, Abu Darda' bangun daripada tidur dengan tujuan untuk menunaikan solat malam. Namun Salman sedar dan menyuruh Abu Darda' tidur. Maka Abu Darda' akur dan terus menyambung tidur. Pada kali kedua, sekali lagi Abu Darda' bangun untuk solat malam, tetapi Salman menyuruhnya untuk tidur dahulu. Abu Darda' pun akur dan mengikut arahan sahabatnya.




Pada ketika waktu hampir subuh, Salman pun bangun dari tidur lantas mengejutkan Abu Darda' untuk bangun menunaikan solat malam bersama. Setelah itu, Salman telah menegur perbuatan Abu Darda' yang hanya menumpukan ibadah kepada Allah dan telah mengabaikan tanggungjawab yang lain. Salman berkata kepada Abu Darda' :

"Sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap Tuhanmu, hak terhadap dirimu sendiri dan juga hak terhadap isterimu. Maka berikan hak kepada setiap mereka yang berhak atasnya"

Setelah mendengar kata-kata tersebut, Abu Darda' telah bertemu dengan baginda Nabi SAW dan beliau telah menceritakan kejadian yang berlaku antara dirinya dengan Salman. Lalu baginda bersabda yang bermaksud :

"Benarlah kata-kata Salman".

Mengambil pengajaran daripada kisah ini, dapat kita sama-sama memahami bahawa agama Islam yang diturunkan dengan penuh kerahmatan dan kasih sayang, tidak sesekali menafikan hak umatnya untuk dipenuhi sebagai suatu cara menjalani kehidupan yang pelbagai. Kita tidak disuruh untuk berdakwah 24 jam, tetapi kita di tuntut untuk mengimbangi hak antara yang berhak, agar kita tidak sibuk dengan beramal walhal hak kita sebagai suami, hak kita sebagai bapa dan sebagainya tertangguh dek kerana kesibukkan kita pada hal yang lain.




Allah tidak menyuruh kita bersujud 24 jam, meratib dan berzikir diatas tikar sejadah semata-mata tanpa keluar berusaha mencari rezeki memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan. Selagi mana keperluan dan kehendak tersebut tidak bercanggah dengan syariat, maka wajib kita memenuhi hak supaya tidak menzalimi dalam keenakkan kita beramal soleh. Kita harus ingat bahawa beramal dan beribadah juga merupakan salah satu pintu untuk tipu daya iblis bagi mengheret kita ke lembah kesombongan dan keangkuhan dengan apa yang telah kita kerjakan.

Oleh itu, marilah sama-sama kita hidup dengan menunaikan hak-hak kepada yang berhak. Usahlah menunggang diatas nama beramal sehingga menyebabkan tindakan kita langsung tidak mempedulikan keluarga, masyarakat dan komuniti setempat. Apa yang lebih mustahak adalah kualiti beramal dan bukan pada kuantiti. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 17 Julai 2021

APABILA YANG DI DAKWAH TIDAK SAMA DENGAN YANG DI AMAL

 

Dakwah adalah suatu kemestian yang dilakukan. Ianya bukan lagi pilihan mahu atau tidak, tetapi ianya menjadi keperluan dan peranan yang mesti ada dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Maka pelbagai lah penafsiran perkataan dakwah dibahas dan dibincangkan. Ada yang melihat dakwah dari sudut sempit dan ada yang melihatnya dari sudut yang luas.

Ada juga yang menyusun keutamaan berdakwah itu kepada mereka yang bukan Islam. Ada juga yang berpandangan keutamaan berdakwah pada mereka yang berada di sekeliling kita. Dalam penyusunan keutamaan tersebut, kita seringkali terlepas pandang untuk berdakwah juga pada diri kita sendiri. Bukan lah bermakna kita perlu menjadi sempurna terlebih dahulu, barulah kita boleh berdakwah tetapi setidak-tidaknya kita mesti perbaiki diri kita terlebih dahulu sebelum menyentuh perihal orang lain.




Allah SWT menerusi firman Nya dalam surah al Saff ayat 2 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukan"

Syeikh Dr. Wahbah az- Zuhaili dalam kitab tafsir al Wajiz, beliau telah menukilkan kata-kata Ibnu Abbas yang bermaksud :

"Sebelum ada perintah jihad, orang-orang mukmin berkata : kami senang jika Allah menunjukkan kami amalan-amalan yang paling dicintai Nya maka kami akan mengerjakannya. Kemudian Allah memberitahu Nabi Nya bahawa amalan yang paling dicintai Nya adalah beriman kepada Nya tanpa ragu, berjihad melawan orang-orang yang selalu berbuat maksiat yang menolak beriman pada Nya dan mengakui risalah Nabi Nya. Saat perintah jihad turun, orang-orang mukmin tersebut tidak menyukainya dan membuat mereka terpecah belah. Kemudian Allah menurunkan ayat ini.."

Berdasarkan firman ini, dapat kita fahami bahawa Allah telah mempersoalkan tindakan mereka yang beriman kepada Allah melalui percakapan mereka namun mereka tidak membuktikan dengan perbuatan. Bahasa mudahnya pada hari ini ialah "cakap tidak serupa bikin". Pandai bercakap tetapi tidak pada perbuatannya. Berpidato di khalayak ramai, menyeru orang mentauhidkan Allah, walhal dirinya sendiri telah bertuhankan pangkat jawatan, bermegah dengan kerja dakwahnya sehingga tergelincir ke dalam lembah kesyirikan iaitu riya'.

Memperbetulkan diri perlu bergerak seiringan dengan usaha kerja dakwah yang sedang dan akan kita lakukan. Dengan apa yang seringkali kita pertuturkan, harus kita terjemahkan dalam gerak tindak-tanduk kita agar orang diluar sana bukan setakat mendengar apa yang kita bicara tetapi dapat melihat dengan apa yang kita tuturkan. Walau pun barangkali, kita tidak dilihat seperti "bersemangat dakwah" turun ke lapangan menyampaikan Islam, namun jangan kita perlekehkan dakwah melalui teladan dan contoh akhlak yang baik.



Kita juga harus sedar, fenomena Islamofobia terjadi bukanlah kerana salah faham ajaran Islam semata-mata tetapi besar dari itu ialah kerana salah faham mereka dengan melihat tindak-tanduk orang Islam yang tidak bercerminkan ajaran al Quran dan as Sunnah. Inilah faktor utama Islamofobia menjadi dilema dunia. Kita dakwa al Quran ajaran yang sempurna tetapi sebaliknya apabila melihat akhlak peribadi muslim itu sendiri amat menyedihkan lagi mendukacitakan. 

Senario hidup beragama pada hari ini bukanlah lagi melihat pada sumber tetapi melihat kepada penganutnya sendiri. Kita seringkali mendakwa Islam agama yang benar, walhal diri kita sendiri tidak berlaku jujur pada orang, bersikap bohong dan berdusta. Lebih parah, ada yang sanggup menutupi kesalahan dengan menggunakan sumpah atas nama Allah. Kita dakwa Islam agama yang harmoni dan damai, walhal diri kita sendiri berlagak samseng bercakap kotor dan bersikap baran. Kita dakwa Islam agama yang penuh kesantunan budi, walhal diri kita sendiri yang kurang ajar terhadap orang lain.

Oleh yang demikian, mengingatkan diri ini dan kita semua, marilah kita menyusun kembali peribadi kita agar diri kita sendiri dapat menterjemahkan ajaran al Quran dan as Sunnah tanpa kita hanya sekadar bercakap memukau orang tetapi lemah dan lekeh dalam amal perbuatan. Seruan dakwah adalah seruan wajib. Tidak ada seorang pun dikalangan muslim yang boleh menafikan kewajiban berdakwah. Namun, satu hal yang mustahak juga, seruan untuk mengislahkan diri, mendakwahkan diri sendiri supaya usaha dakwah ini selari dengan peribadi kita yang mulia.




Nabi SAW bukan lah sekadar berdakwah melalui percakapan, tetapi Nabi juga berdakwah melalui teladan yang baik. Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam surah al Ahzab ayat 21 yang bermaksud :

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati Allah"

Maka untuk menjadikan dakwah kita benar-benar bermakna, kita terlebih dahulu wajib memperbetulkan diri, bersikap dengan sikap Nabi seperti amanah, jujur dan sifat mulia baginda Nabi yang lain. Sirah riwayat hidup Nabi juga sebelum dari kenabian, baginda Nabi telah terkenal dengan sikap al Amin, bercakap benar, beramanah dan jujur dalam kehidupan. Marilah kita memperbetulkan semula diri kita dengan menjadikan kita beramal dengan apa yang telah kita perkatakan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Ahad, 11 Julai 2021

NAUNGAN INSTITUSI RAJA JAMALULLAIL & PERANAN MAIPs YANG EFISIEN

 

Perlis merupakan sebuah negeri yang bertuah yang harus kita akui dan mesti kita contohi dari masa ke semasa. Selain keistimewaan Perlis negeri yang dianugerahkan buah Harumanis, lebih besar daripada itu adalah Perlis dianugerahkan raja pemerintah negeri Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan anakanda baginda, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis yang sentiasa ambil peduli dan cakna akan keadaan semasa. Malah, cerita keprihatinan Duli-Duli Tuanku ini bukanlah cerita yang baharu dan bermusim.

Sejak dahulu, Duli-Duli Tuanku amat dekat dihati rakyat di segenap lapisan umur dan masyarakat. Dekatnya Duli-Duli Tuanku ini telah menzahirkan rasa prihatinnya Duli-Duli Tuanku terhadap rakyat. Hal ini juga terbukti dengan pelaksanaan beberapa program dibawah MAIPs, berbasikal bersama ketua-ketua jabatan mencari dan beramah mesra dengan asnaf yang terpilih. Seingat kita, Program Kayuhan MAIPs Peduli ini telah mencetuskan fenomena sukan berbasikal di sekitar negeri Perlis.



Keprihatinan Duli-Duli Tuanku kian terserlah apabila negara dilanda wabak pandemik Covid 19. Tanggal 13 Mac 2020, merupakan suatu tarikh yang tidak akan pernah dilupakan oleh seluruh para pegawai masjid di seluruh Perlis. Ini kerana pada tarikh tersebut, Perlis dibawah titah DYTM Tuanku Yang Dipertua MAIPs, masjid di seluruh negeri Perlis diarahkan untuk menangguhkan solat jumaat dan digantikan dengan solat zohor di rumah. Arahan ini bukan sahaja menjadi janggal di kalangan rakyat Perlis bahkan seluruh negara memberi reaksi terhadap arahan penangguhan solat jumaat ini.

Dengan arahan tersebut juga, seluruh masjid di negeri Perlis diarahkan tutup. Disini lah, sekali lagi kita harus akui kepantasan Duli-Duli Tuanku mengambil keputusan pada masa yang tepat walau ketika itu keputusannya mendapat kecaman dan labelan yang pelbagai. Biarpun begitu, tindakan Perlis yang menjadi negeri pertama menutup masjid, memperlihatkan bahawa tindakan tersebut telah diikuti oleh seluruh negara dengan mengeluarkan arahan menutup masjid bertujuan untuk mengekang wabak Covid 19.

Episod pandemik ini terus mengheret seluruh negara dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seluruh negara dikenakan perintah berkurung dirumah, tidak boleh keluar bekerja dan hidup normal seperti biasa. Sudah tentu arahan ini menggusarkan hati ramai pihak khususnya golongan marhaen. Akibat arahan ini, ada yang hilang punca pendapatan, ada yang hilang kerja dan sebagainya. Kegusaran ini telah banyak memberikan kesan ekonomi kepada mereka yang berpendapatan kecil.



Untuk itu, MAIPs dibawah naungan Duli-Duli Tuanku telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan untuk dihulurkan kepada asnaf dan kepada mereka yang bukan asnaf tetapi terkesan dengan pandemik. Sejak tahun 2020, tanggal 24 Mac, sebanyak RM 2.6 juta telah disumbangkan secara terus kepada 13, 091 penerima dikalangan asnaf. Tanpa perlu mengisi borang, sumbangan telah disalurkan terus ke akaun bank penerima.

Selain itu, Bantuan Khas Rangsangan Asnaf berjumlah RM 2, 939, 400 disalurkan terus kepada 14, 697 penerima asnaf bagi menyokong kelangsungan hidup mereka dikala pandemik terus menyerang dunia. Penubuhan Kaunter Agihan Terhad MAIPs juga telah dibuka di Masjid Alwi Kangar dengan peruntukkan sebanyak RM 30 000 bagi mereka yang bukan golongan asnaf tetapi terkesan dengan pandemik ini.

Memahamai kesan pandemik yang masih menggila ini, keprihatinan Duli-Duli Tuanku terus terserlah dengan memperluaskan lagi agihan bantuan dibawah Program Ziarah Dakwah Bil Hal (Bantuan Awal). Menerusi program ini, sejumlah RM 153, 000 disalurkan kepada 102 kariah masjid dan telah dimanfaatkan oleh sejumlah 3, 060 penerima bantuan tersebut. Melalui program ini, Ahli Jawatankuasa Masjid telah memainkan peranan penting membawa amanah MAIPs untuk disalurkan kepada anak kariah yang terkesan dengan pandemik ini.


Sikap efisien MAIPs dibawah naungan Duli-Duli Tuanku telah disambut baik oleh pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan NGO. Kerjasama MAIPs dengan pelbagai NGO telah membantu mempercepatkan bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan. MAIPs dengan kerjasama Perlis Volunteers Action Comunity dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan suatu pusat sehenti agihan bantuan & aktiviti kesukarelawan. Juga turut tampil ke depan membantu MAIPs menyalurkan bantuan ialah One Centre Malaysia Perlis, Pertubuhan IQ Cawangan Perlis dan lain-lain.

Melihat nasib peniaga usahawan di premis sewaan MAIPs yang secara langsung terkesan dengan arahan PKP, bagi meringankan beban penyewa premis MAIPs, Duli-Duli Tuanku telah memperkenankan Inisiatif Pengecualian Awal Bayaran Sewaan Premis MAIPs kepada semua penyewa premis selama 3 bulan. Inisiatif ini adalah antara inisiatif awal MAIPs bagi mengurangkan beban mereka yang terbabit. Inisiatif awal ini sedikit sebanyak telah menyelamatkan nasib usahawan di bawah premis MAIPs daripada menanggung kerugian kos akibat arahan PKP ini.

Tidak cukup dengan itu, Duli-Duli Tuanku yang begitu prihatin dan sangat mengambil berat tentang kepentingan ilmu pengetahuan, MAIPs dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan usaha sama oleh Suara Sunnah Channel, telah mewujudkan suatu platform pengajian ilmu agama dan tadarus al Quran secara atas talian yang dinamakan sebagai program Perlis Mengaji. Sebanyak RM 20, 000 telah disalurkan untuk program ini bagi menampung segala kos bagi menjalankan pelbagai slot dan intisari rancangan dalam program Perlis Mengaji. Sehingga kini, bulan Julai 2021, program Perlis Mengaji terus menerus mendapat perhatian dan sambutan ramai penonton dari dalam dan luar Perlis dengan pelbagai sajian segmen dan slot menarik diadakan.


Setelah hampir 2 tahun negara kita berperang dengan wabak Covid 19 ini, Perlis dibawah naungan Duli-Duli Tuanku dan juga peranan MAIPs yang sangat efisien telah berjaya mencatatkan beberapa rekod kejayaan antaranya Perlis negeri pertama mencapai zon hijau dan begitu juga Perlis menjadi negeri pertama dibuka semula masjid. Kejayaan ini tidak mampu kita raih tanpa peranan pemerintah yang cekap dan prihatian disamping peranan MAIPs dan pelbagai agensi dan NGO yang tampil bagi membendung wabak Covid 19. Juga kepatuhan rakyat Perlis yang tidak berbelah bagi pada raja pemerintah turut menyumbang kepada kejayaan-kejayaan manis ini.

Hari ini, menerusi titah terkini DYTM Tuanku Yang Dipertua MAIPs, ibadah korban dan solat aidiladha dibenarkan di seluruh masjid negeri Perlis dengan pematuhan SOP yang ketat. Juga aktiviti pengimarahan masjid seperti bacaan al Quran selepas solat subuh, kuliah pengajian dan lain-lain dibenarkan dengan pematuhan SOP. Sudah tentu kelonggaran ini akan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Perlis dan berharap agar kita semua tidak terus leka dan alpa dengan kelonggaran yang diberikan ini.

Syukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Duli-Duli Tuanku diatas sikap kprihatinan dan efisien Duli-Duli Tuanku telah membuahkan kejayaan yang menenangkan hati seluruh rakyat jelata Perlis. Sekalung ucapan tahniah buat jentera MAIPs diatas sikap dan peranan besar yang telah dimainkan bagi memastikan negeri ini terus stabil dan mengekang wabak pandemik ini. Ayuh semua, kita terus mematuhi SOP dan tumpahkan taat setia kita kepada naungan raja Jamalullail yang sentiasa prihatin dan dekat di hati kita semua. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.